Rabu, 24 Julai 2013

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Nissan Serena S-Hybrid dilancar di Malaysia

Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT

Oleh JOHARDY IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

ETCM yakin sambutan terhadap Nissan Serena S-Hybrid yang ditawarkan dengan harga RM149,500 seunit.

SHAH ALAM 23 Julai - Edaran Tan Chong Motor (ETCM) memperkenalkan Nissan Serena S-Hybrid (S bermaksud Smart atau pintar) iaitu kenderaan pelbagai guna hibrid pertama di Malaysia dengan harga RM149,500 seunit.

Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng berkata, pihaknya telah menerima tempahan awal yang menggalakkan untuk model MPV baharu ini dan diunjur dapat dijual sebanyak 250 unit sebulan.

Menurutnya, selari dengan dasar kerajaan sejak beberapa tahun lalu untuk mempromosikan kenderaan hibrid dan Kenderaan Cekap Tenaga (Energy Efficient Vehicles atau EEV) di Malaysia, ETCM sangat optimistik atas pelancaran Nissan Serena S-Hybrid serba baharu ini.

Kami percaya bahawa MPV hibrid ini akan diterima baik oleh mereka yang mahukan sebuah MPV luas dengan pelbagai ciri berteknologi tinggi dan turut menawarkan penjimatan bahan api," katanya pada majlis pelancaran di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam di sini hari ini.

Menurut Nissan, model Serena S-Hybrid memiliki penjimatan bahan api yang terbaik dalam kelasnya iaitu 15.2 kilometer perliter (km/L) berdasarkan kepada ujian kitaran JC08 Jepun.

Kenderaan itu juga menawarkan ruang dalaman luas dengan lapan tempat duduk yang boleh diubah suai sehingga 14 kedudukan.

Rangkaian kuasa Nissan Serena S-Hybrid itu terdiri daripada satu sistem hibrid kompak yang terdiri daripada enjin petrol MR20DD empat silinder DOHC dengan Twin CVTC (Continuously Variable Valve Timing) dan kotak gear XTRONIC CVT generasi terkini bersama ciri Adaptive Shift Control (ASC).

Motor elektrik ECO menawarkan sumber kuasa yang cukup untuk membantu enjin dan proses janaan semula tenaga.

Sistem hibrid ini memiliki satu bateri tambahan untuk meningkatkan kapasiti penyimpanan bagi menguasakan ECO Motor.

Enjin MR20DD ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 147ps pada 5,600rpm dan tork 210Nm pada 4,400rpm.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


'Pemain senior masih bagus'

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Aksi cemerlang yang ditampilkan oleh beberapa muka baharu dalam dua perlawanan persahabatan, baru-baru ini masih belum cukup untuk memikat hati pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal untuk diserapkan dalam senarai kesebelasan utama.

Masih yakin dengan kelibat pemain-pemain senior, dia mendedahkan masih belum ada tempat secara automatik buat mereka tetapi tidak mahu bersikap terus menutup pintu kepada mereka jika mampu menampilkan rentak konsisten dalam beberapa perlawanan persahabatan yang diadakan di Jepun ini.

Bakal berdepan kelab J-League 1, Shimizu S-Pulse hari ini, Rajagobal berkata, dia sebagai jurulatih, lebih arif mana pemain yang wajar diturunkan dalam perlawanan itu nanti.

"Kita kena faham ini adalah perlawanan persahabatan dan ini adalah masa terbaik buat saya menguji semua pemain dan kalau ada yang menyerlah, mereka mungkin boleh menjadi pilihan terbaharu untuk menentang Bahrain nanti.

"Memang ada pemain baharu yang menyertai kami bermain cukup baik tetapi bila menjelang aksi sebenar di pentas antarabangsa, pemain yang lebih senior dan berpengalaman selalunya tidak menghampakan saya jika diberikan peluang.

"Saya tahu pemain mana yang boleh diharapkan bila tiba perlawanan sebenar," katanya.

Apa yang diperkatakan oleh Rajagobal itu pasti menjadi satu cabaran besar kepada buat pemain-pemain seperti Mohd. Nizad Ayub, Mohd. Nazrin Mohd. Nawi dan Junior Eldstal untuk menyarung jersi kebangsaan pada masa akan datang biarpun telah menunjukkan prestasi terpuji semasa perlawanan persahabatan berdepan Chonburi F.C dan Chelsea minggu lalu.

Apatah lagi bukan semua pemain senior dalam skuad pada waktu ini berada di tahap terbaik seperti Safee Sali, Mohd. Shakir Shaari dan Ahmad Fakri Saarani, namun ia masih belum mencukupi memenangi kepercayaan Rajagobal.

Jelasnya, bertemu Shimizu yang merupakan kelab dari liga utama Jepun, bukanlah sesuatu yang mudah tambahan kebanyakan pemainnya masih kepenatan melalui dua perlawanan dalam seminggu yang lalu.

"Perlawanan esok bukan mudah..kita akan bertemu pasukan dari J-League, tambahan sedang berpuasa lagi, saya bukan hendak memberi alasan tetapi inilah realiti pasukan kita sekarang.

"Kita juga menghadapi dua perlawanan dalam masa terdekat ditambah dengan menaiki penerbangan dari Malaysia ke Jepun, pemain saya tidak berada di tahap kecergasan yang dikehendaki," katanya.

Shimizu S-Pulse kini menduduki di tangga ke-11 J-League daripada 18 pasukan dengan 22 mata dari 17 perlawanan dan pada perlawanan terakhir, kelab yang dibimbing pengurus dari Iran, Afshin Ghotbi itu seri 2-2 bertemu Kashiwa Reyol pada 17 Julai lalu.

Juara Piala Liga Juara-Juara Asia tahun 1999/2000 itu diperkuatkan dengan beberapa pemain import seperti pertahanan dari Belanda, Calvin Jong-A-Pin serta dua pemain Korea Selatan, Lee Minsoo dan Lee Kije.

Selepas itu, Harimau Malaya dijadual bertemu Shonan Bellmare pada hari Sabtu sebelum menutup tirai aksi persahabatan di Jepun dengan menentang kelab J League 2, Tokyo Verdy, pada 31 Julai.

Mukhriz intai kerjasama kelab antarabangsa selepas terajui KFA

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Oleh SAFINA RAMLI
sukan@utusan.com.my

TIMBALAN Presiden KFA, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah (kiri) memakaikan kot Presiden KFA kepada Mukhriz selepas dipilih menerajui Persatuan Bola Sepak Kedah di Alor Setar, semalam. - UTUSAN/Kamal Basir

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir semalam dilantik menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang baharu bagi penggal 2013-2014.

Pelantikan itu dipersetujui sebulat suara oleh sebanyak 28 perwakilan yang menyertai Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Wisma Darul Aman, semalam.

Mukhriz yang ditemui pemberita selepas pemilihan itu berkata, beliau menerima amanah tersebut serta berazam untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak pasukan Kedah.

"Amanat ini amat berat memandangkan bola sepak memberikan kesan yang mendalam kepada rakyat negeri ini.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih serta penghargaan kepada bekas Presiden KFA, Tan Sri Azizan Abdul Razak atas jasa dan sumbangan beliau kepada KFA.

"Azam saya sudah tentu Kedah berjaya menjadi gemilang semula dalam arena bola sepak dan saya yakin dengan formula mantap perkara ini tidak mustahil," katanya.

Menurut Mukhriz, bagi memantapkan lagi pasukan bola sepak Kedah, pihaknya sedang berbincang dengan beberapa kelab bola sepak antarabangsa bagi berkongsi ilmu dengan penggerak bola sepak di Kedah.

"Kita mahu mereka bekerjasama dengan kita berkongsi ilmu dalam bidang pengurusan pasukan, pengurusan stadium, kewangan, kelab peminat dan lain-lain lagi.

"Belum tiba masa untuk saya umumkan kelab mana, tapi sekarang memang kita tengah bincang dengan satu dua kelab," ujarnya.

Dalam pada itu, jurulatih sementara pasukan Kedah bagi saingan Liga Malaysia, Datuk Ahmad Shafie optimis bahawa pasukan Kenari akan mencipta kejayaan pada saingan Liga Malaysia nanti.

"Kita malap sekarang bukan makna kita tidak boleh menyinar, saya yakin kita boleh harungi Liga Malaysia dan berada pada tangga teratas.

"Saya juga percaya barisan pemain Kedah adalah terbaik dan potensi mereka harus digilap lagi," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Dua beradik maut, kereta dirempuh bas di Kuantan

Posted: 23 Jul 2013 11:33 PM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB

KUANTAN 24 Julai - Dua beradik maut selepas Proton Saga yang dinaiki mereka dirempuh sebuah bas dari arah belakang dalam kejadian di Jalan Kuantan-Pintasan Pelabuhan dekat Kompleks Mahkamah Kuantan di sini hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 10.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Arif Akmal Ab. Razak, 22, dan adiknya Aniq Ihsan, 16, yang menetap di Kampung Teluk Mahang, Jalan Gambang di sini maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Berpeluang miliki lesen 'P' sah

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

Arifin Che Mat (lima dari kiri) bersama-sama warga emas dan Orang Asli selepas penyerahan replika lesen 'P' sempena program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (SKSPJ) di Kampung Damak, Jerantut, Pahang, baru-baru ini. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD

JERANTUT 24 Julai - Program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (PSKSJPJ) di Kampung Damak, dekat sini baru-baru ini bertujuan mendekatkan JPJ dengan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak termasuk Orang Asli di kawasan pedalaman.

Program itu memberi peluang penduduk menyelesaikan urusan berkaitan lesen memandu, cukai jalan dan menukar nama pemilik kenderaan.

Sepanjang program itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), bomba daerah, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan pihak swasta turut berperanan mengetengahkan kesedaran mengenai kesihatan, penyalahgunaan dadah dan kemalangan jalan raya.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Arifin Che Mat berkata, program 'turun padang' JPJ bersama agensi lain itu bertujuan memberi kemudahan kepada orang ramai menyelesaikan hal ehwal pelesenan kenderaan dan lesen memandu.

"Program bersama penduduk luar bandar ini juga membuka peluang kepada JPJ memberi panduan berguna untuk Orang Asli dan warga emas memiliki lesen memandu 'P' secara sah," katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan PSKSJPJ, di Sekolah Kebangsaan (SK) Damak, dekat sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengarah JPJ negeri, Datuk Zakaria Man; Ketua Bahagian Penguatkuasaan JPJ negeri, Mohamat Johari Mat Nor dan Ketua Penguat Kuasa Cawangan JPJ Raub, Dasiman Mat Zain.

Sempena program dua hari itu, sebanyak 502 penduduk terdiri daripada warga emas dan belia Melayu (340), Cina (13), India (2) dan Orang Asli (147) di sekitar Kampung Damak, Kampung Paya Petai, Kampung Merting dan Kuala Tahan daerah Jerantut berjaya lulus dan menerima lesen P.

Menurutnya, sambutan penduduk terhadap pemilikan lesen motosikal B2 (P) menunjukkan petanda positif dan sehingga kini JPJ berjaya mengeluarkan lesen berkenaan kepada 54,329 orang di seluruh negara menerusi 128 program sejak dilancarkan pada 2009.

Ujar beliau, di Pahang pula sebanyak 6,906 pemilik motosikal sudah memiliki lesen B2 (P) menerusi 13 program yang serupa dalam tempoh berkenaan.

Arifin berkata, JPJ juga memperkenal satu lagi perkhidmatan baharu untuk keselesaan orang ramai berurusan perlesenan, cukai jalan dan pembayaran saman menerusi kaunter bergerak beroperasi mengikut zon di Semenanjung mulai bulan ini.

Katanya, mulai awal bulan ini, JPJ menyediakan tiga buah van sebagai kaunter bergerak untuk kemudahan orang ramai melibatkan tiga buah zon.

Beliau berkata, van berkenaan berpusat di Zon Utara, iaitu di JPJ Kedah, Zon Selatan (JPJ Johor) dan Zon Tengah (JPJ Pahang) mula beroperasi awal bulan ini.

"Van yang dilengkapi talian internet untuk pelbagai urusan transaksi JPJ akan ditempatkan di lokasi negeri berkenaan dengan beroperasi mengikut jadual di kawasan kampung dan pinggir bandar termasuk menjelajah ke semua negeri dalam zon berkenaan.

"JPJ menyediakan tiga buah van bergerak sebagai peringkat percubaan dan sekiranya transaksi ini mendapat sambutan orang ramai, kita akan menambah lagi di setiap buah negeri sebuah van bagi tujuan mobiliti kaunter berkenaan," katanya.

Menurut Ariffin, JPJ juga bercadang melebarkan operasi van bergerak berkenaan ke Sarawak dan Sabah tidak lama lagi khususnya di lokasi luar bandar dan pekan kecil yang mempunyai rangkaian jalan darat untuk kemudahan penduduk di sana.

Katanya, kemudahan mobiliti kaunter berkenaan antara mekanisme JPJ untuk membantu penduduk yang memiliki kenderaan berurusan perlesenan, cukai jalan, pembayaran saman dan sebagainya khususnya perkhidmatan di lokasi yang agak jauh dari pejabat JPJ cawangan dan negeri.

Tambahnya, kemudahan mobiliti berkenaan antara alternatif yang efisien membantu penduduk sejajar dengan bidang transformasi sosial dan perkhidmatan bagi memenuhi aspirasi pembangunan kerajaan hari ini.

Aliran trafik Kuantan berubah

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

KUANTAN 24 Julai - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mengalu-alukan maklum balas orang ramai berhubung perubahan trafik di daerah ini yang diubah daripada dua hala kepada sehala melibatkan beberapa jalan utama bagi mengurangkan kesesakan bermula kelmarin.

Yang Dipertuanya, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, apa yang diharapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu orang ramai tampil memberi pandangan dan cadangan bagi memperkemaskan lagi perubahan aliran trafik yang dibuat.

"Jalan mana yang perlu dibaiki atau tambah lagi, tanda amaran apa diperlukan, di mana kita (MPK) perlu letakkan, tapi saya rasa hari ini masuk hari ketiga pelaksanaannya, kita lihat keadaan menjadi semakin baik.

"Saya harap warga Kuantan bersabar kerana jika kita tidak mencuba kita tidak boleh berubah. Kali terakhir kita ubah Jalan Besar dan Jalan Mahkota daripada dua hala menjadi sehala adalah pada tahun 1979, semasa itu Menteri Besar adalah Allahyarham Datuk Abdul Rahim Abu Bakar.

"Maknanya sudah 34 tahun kita tidak melalukan perubahan kepada aliran trafik di daerah ini, jadi saya rasa sudah sampai masanya kita lakukan perubahan ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan 'Kami Prihatin' dan Bakul Ramadan kepada orang kurang upaya (OKU) Badan Kebajikan Bagi Insan Istimewa (Bakbiis) 2013 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Majlis MPK, Datuk Dr. Abd. Wahid Abd. Manap.

Zulkifli berkata, MPK juga akan melakukan penambahbaikan bagi memastikan perubahan aliran trafik yang dilakukan berjaya direalisasikan.

"Pertamanya dari segi papan tanda, saya telah mengarahkan bahagian pembangunan MPK untuk menyediakan papan tunjuk arah yang lebih banyak lagi supaya memudahkan pengguna.

"Buat sementara waktu ini, kita juga menempatkan penguat kuasa MPK yang ditugaskan selama 24 jam untuk memastikan keadaan berjalan lancar. Kita juga berterima kasih kepada pihak yang turut membantu mengawal lalu lintas terutama pada waktu-waktu puncak," katanya.

Mengenai masalah orang ramai terutama pejalan kaki untuk melintas jalan akibat perubahan aliran trafik itu, beliau berkata, jejantas sedia ada perlu digunakan.

"Dalam pada itu, MPK dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang melihat kesesuaian semasa lampu isyarat merah sebagai laluan orang ramai melintas. Ini kita sedia maklum kerana kereta pastinya lebih laju melalui jalan sehala," katanya.

'Ramsar adalah khazanah negara'

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

TEMERLOH 24 Julai - Pencerobohan di kawasan tanah lembap atau Ramsar di Tasik Bera bukan sahaja menjejaskan ekosistem dan biodiversiti di kawasan tersebut tetapi turut menjejaskan sektor pelancongan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, kawasan tanah lembap seperti di Tasik Bera tidak banyak terdapat di dunia dan lokasi berkenaan adalah satu daripada produk pelancongan utama di negeri.

"Saya terkejut berikutan pendedahan mengenai pencerobohan hutan tanah lembap atau Ramsar hampir 400 hektar di Tasik Bera dan itu adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

"Rakyat perlu mempunyai kesedaran untuk bersama-sama menjaga khazanah negara demi kepentingan alam sekitar dan kesejahteraan hidup generasi masa kini dan akan datang.

"Dan peranan memelihara khazanah negara bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa tetapi menjadi tanggungjawab semua pihak," katanya mengulas mengenai pencerobohan Ramsar Tasik Bera selepas Majlis Rahmat Ramadan di Masjid Felda Lakum, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengurus Felda Lakum, Hassan Mohd Ali.

Sehubungan itu, Mohd. Sharkar berkata, beliau akan meminta Jabatan Perhutanan negeri memberi taklimat mengenai pencerobohan hutan tersebut dalam mesyuarat jawatankuasa kerajaan negeri yang akan datang.

Beliau juga menasihati rakyat menghormati undang-undang supaya tidak menceroboh kawasan yang telah diwartakan sebagai kawasan yang tidak boleh diterokai dan tidak ada maknanya jika ada undang-undang dan peraturan tetapi tidak dihormati.

"Saya mahu pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap penceroboh kerana Tasik Bera akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan sebagai kawasan pertandingan mengenali burung antarabangsa selepas Bukit Fraser.

"Kalau hutan seluas itu sudah dimusnahkan burung yang tinggal di kawasan itu akan berhijrah ke tempat lain dan secara tidak langsung menggagalkan usaha kerajaan negeri untuk menjadi kawasan itu sebagai produk pelancongan berasaskan alam sekitar," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Dua Ahli Parlimen didakwa

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Oleh SITI NOORALINA AHMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 24 Julai - Dua Ahli Parlimen, empat aktivis mahasiswa dan seorang anggota Sekretariat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 dalam perhimpunan Black 505 di Padang Merbok, bulan lalu.

Ahli Parlimen Pandan, Mohd. Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook bersama aktivis mahasiswa, Adam Adli Abd. Halim, Muhammad Safwan Anang @ Talib, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham, Mohamed Bukhairy Mohamed Sofian dan anggota sekretariat PKR, Muhammad Adib Ishar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berlainan.

Mohd. Rafizi, 36, Siew Fook, 36, dan Muhammad Adib, 24, didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner (ACP) Zainuddin Ahmad yang memerlukan mereka mendapatkan kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menggunakan Padang Merbok untuk perhimpunan itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Padang Merbok, Jalan Parlimen di sini antara pukul 2 dan 6 petang, 22 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(3) Akta Perhimpunan Aman 2012 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa atas pertuduhan pilihan, gagal memaklumkan kepada polis mengenai perhimpunan itu iaitu 10 hari sebelum ia diadakan pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi tuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 9(1) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta tersebut yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000.

Menurut undang-undang, Rafizi dan Siew Fook akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen sekiranya jumlah denda ditetapkan melebihi RM2,000 jika mereka didapati bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Salleh mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun peguam N. Surendran dan Keppy Wong yang mewakili Mohd. Rafizi dan Muhammad Adib membantah atas alasan kes saman tidak memerlukan jaminan untuk dibebaskan.

Hakim Mat Ghani Abdullah kemudian membenarkan ketiga-tiga mereka dikenakan bon jaminan RM3,000 tanpa cagaran dan menetapkan pengurusan kes pada 23 September ini dan perbicaraan pada 7 Oktober depan.

Peguam Latheefa Koya turut mewakili Rafizi dan Muhammad Adib dalam kes tersebut manakala Siew Fook diwakili peguam Thomas Su.

Sementara itu, Adam Adli, 24, Muhammad Safwan, 24, Ekhsan Bukharee, 22, dan Mohamed Bukhairy, 23, pula didakwa menyertai perhimpunan yang diadakan di kawasan larangan, Masjid Ar-Rahman di Universiti Malaya antara pukul 12 tengah hari dan pukul 1.15 petang, 22 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(b) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh Saad yang mengendalikan pendakwaan kes itu mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Mat Ghani bagaimanapun menetapkan bon jaminan RM2,000 tanpa cagaran serta menetapkan pengurusan kes pada 23 September ini manakala perbicaraan bermula 21 Oktober depan.

Adam Adli diwakili Surendran manakala tiga lagi aktivis mahasiswa diwakili peguam Murni Hidayah Anuar.

Yang turut hadir di mahkamah ialah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Keputusan bantahan petisyen pilihan raya Nurul Izzah 1 Ogos

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

KUALA LUMPUR 24 Julai - Peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun memohon Mahkamah Pilihan Raya di sini menolak bantahan awal Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar terhadap petisyen pilihan raya bagi mencabar kemenangannya yang dikemukakan oleh seorang pengundi kawasan tersebut.

Ini kerana menurut Mohd. Hafarizam, petisyen yang dikemukakan oleh Mohamad Sazali Kamilan itu perlu dibicarakan terlebih dahulu memandangkan dakwaan 'rasuah' yang dibuat oleh Nurul Izzah mempunyai merit untuk didengar dalam perbicaraan.

Beliau sehubungan itu memohon supaya bantahan awal itu ditolak dengan kos RM5,000 dibayar kepada Mohamad Sazali kerana berpendapat Nurul Izzah tidak sepatutnya memohon petisyen anak guamnya itu dibatalkan pada peringkat ini.

Sementara itu, barisan Peguam-peguam Kanan Persekutuan, Alice Yoke dan Amarjeet Singh yang mewakili Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Lembah Pantai dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meninggalkan mahkamah selepas mahkamah membenarkan permohonan Mohd. Hafarizam untuk mereka dikeluarkan sebagai pihak dalam petisyen tersebut.

Terdahulunya, peguam Edmund Bon yang mewakili Nurul Izzah selaku responden pertama memohon, petisyen Mohamad Sazali ditolak dengan kos atas alasan tindakan itu tidak menyatakan secara spesifik fitnah terhadap calon Barisan Nasional (BN), Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin yang didakwa disiarkan oleh portal berita, Malaysiakini.

Raja Nong Chik, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, turut hadir mendengar petisyen tersebut.

Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof yang mendengar bantahan awal Nurul Izzah akan membuat keputusan pada pukul 8 pagi, 1 Ogos ini.

Mahkamah sebelum itu menolak petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Titiwangsa yang difailkan oleh Pas, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi bagi mencabar kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Johari Abdul Ghani.

Hakim Zabariah berkata, Ahmad Zamri gagal mengemukakan fakta untuk menyokong dakwaannya bahawa ejen Johari mengamalkan rasuah dan ejen itu mengedarkan risalah yang boleh mempengaruhi pengundi.

Hakim Zabariah menolak petisyen itu dengan kos berjumlah RM70,000 selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh Johari.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Kes keracunan makanan di India, pengetua serah diri

Posted: 24 Jul 2013 10:05 AM PDT

NEW DELHI 25 Julai - Pengetua wanita yang diburu pihak berkuasa India ekoran kes keracunan makanan yang menyebabkan 23 pelajar mati, akhirnya menyerah diri kepada polis, semalam.

Meena Devi diburu oleh pihak polis sejak lebih seminggu lalu kerana dikaitkan kes kematian pelajar sekolahnya di Bihar akibat keracunan makanan selepas menjamah makanan percuma yang disediakan pihak sekolah.

Devi kini berada dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut. - REUTERS

Jepun kerah jet usir pesawat China

Posted: 24 Jul 2013 10:04 AM PDT

TOKYO 25 Julai - Jepun mengerahkan beberapa jet pejuangnya untuk mengusir sebuah pesawat tentera China yang memasuki ruang udara berhampiran kawasan pertikaian antara kedua-dua negara terbabit yang terletak Lautan Pasifik, semalam.

Menteri Pertahanan Jepun, Itsunori Onodera dalam kenyataannya berkata, pesawat China itu terbang di antara pulau Okinawa dan pulau kecil Miyako di selatan negara ini sebelum berpatah semula ke Laut China Timur.

"Saya percaya tindakan China itu ada kaitan dengan rancangan Beijing untuk memperluaskan kawasan maritim," katanya. - REUTERS

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Megabait

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Gajet pintar kawal diabetes

Posted: 22 Jul 2013 11:45 PM PDT

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN

Annie Chin (kiri) bersama Dr. Nor Azmi Kamaruddin ketika melancarkan aplikasi Bulan Ramadan, Diabetes dan Saya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KENCING manis atau diabetes antara penyakit keturunan yang amat digeruni kerana kesannya yang boleh menyebabkan penurunan kualiti hidup sepanjang hayat.

Segala-galanya perlu dijaga dan diawasi terutama sekali dalam bab pemakanan.

Apabila penyakit ini dibicarakan pada bulan Ramadan, sudah pasti ia memberi kesan kepada umat Islam yang menghidapnya.

Sekiranya mereka yang menghidap penyakit kencing manis jenis 2 (diabetes jenis 2) berpuasa, ia boleh menjejaskan aras gula darah dalam badan kerana mereka tidak makan pada waktu siang dan situasi ini lebih dikenali sebagai hipoglisemia.

Bila keadaan ini berlaku ia boleh mengakibatkan pesakit berada dalam keadaan tidak sedar dan sawan yang memerlukan rawatan kecemasan.

Begitupun, mengikut kajian yang dilakukan, hampir 79 peratus pesakit diabetes jenis 2 yang beragama Islam atau kira-kira 50 juta orang di seluruh dunia tetap ingin menjalani ibadah berpuasa.

Oleh yang demikian, bagi menyelesaikan masalah tersebut, sebuah syarikat khidmat kesihatan yang terkemuka, MSD, telah melancarkan sebuah aplikasi mudah alih Apple, Bulan Ramadan, Diabetes Dan Saya, dan kit maklumat Fakta Tentang Amalan Berpuasa Pada Bulan Ramadan.

Aplikasi serta kit maklumat tersebut dihasilkan untuk membantu pesakit-pesakit diabetes jenis 2 mengatasi kesulitan kesihatan yang mungkin dihadapi akibat mengubah pola pemakanan pada bulan Ramadan.

Menurut Pengarah Urusan MSD, Annie Chin, aplikasi serta kit maklumat tersebut terhasil apabila pihaknya menyedari cabaran dihadapi oleh jutaan pesakit diabetes Islam seluruh dunia yang tetap ingin berpuasa.

"Dengan memanfaatkan kuasa dan capaian teknologi mudah alih yang ada hari ini, kami ingin memberi peluang dan membantu pesakit-pesakit diabetes jenis 2 menunaikan kewajipan mereka sepanjang bulan Ramadan.

"Pada masa yang sama kami sentiasa berusaha menghasilkan alat-alat bantuan yang baharu dan lebih baik untuk menyokong masyarakat diabetes dengan pelbagai cara," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran aplikasi dan kit maklumat tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berbicara lanjut mengenai aplikasi yang dihasilkan, ulas Annie, ia mengandungi maklumat penting mengenai bulan Ramadan seperti waktu solat, waktu matahari terbit, dan waktu matahari terbenam.

Kesemuanya ini adalah berdasarkan kepada lokasi pengguna dan kompas di dalamnya yang menentukan arah kiblat.

Aplikasi ini juga mengandungi penjejak gula dalam darah yang memudahkan laporan dihantar mengenai aras glukosa kepada pengamal kesihatan sepanjang bulan Ramadan dan ia boleh dihantar terus melalui e-mel.

Pada masa yang sama, aplikasi ini juga memberikan saranan umum tentang aras gula darah yang mengharuskan pesakit berbuka puasa disebabkan risiko gula darah yang rendah.

Antara ciri penting yang lain ialah cadangan soalan-soalan yang boleh ditanya kepada pakar kesihatan sebelum mula berpuasa pada bulan Ramadan termasuklah sajian makanan dan rawatan yang boleh dijalani.

Mengenai kit maklumat pula, Annie memberitahu ia mengandungi fakta-fakta penting tentang amalan berpuasa, petua sebelum berpuasa, penjejak aras gula darah serta takwim untuk mencatatkan waktu solat dan waktu berbuka puasa.

Penyelidikan terbaharu menunjukkan bahawa kejadian gula darah rendah yang teruk dalam kalangan pesakit diabetes jenis 2 nyata lebih kerap berlaku pada bulan Ramadan berbanding pada bulan-bulan lain.

Tidak ketinggalan kajian epidemiologi turut menunjukkan peningkatan 7.5 kali ganda pada kejadian hipoglisemia yang teruk dalam kalangan pesakit diabetes jenis 2 pada bulan Ramadan.

Untuk kit maklumat, ia disediakan di semua pejabat Persatuan Diabetes Malaysia seluruh negara dan juga di kebanyakan klinik, hospital, dan farmasi.

Bagaimanapun, bagi aplikasi Bulan Ramadan, Diabetes Dan Saya, buat masa ini ia hanya boleh digunakan menerusi gajet pintar yang menggunakan platform sistem operasi iOS (iPhone, iPad, iTouch) atau di http://itunes.apple.com.

Dinasihat berbuka

Sementara itu, menurut Pakar Perunding Kanan Endokrinologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Nor Azmi Kamaruddin, pesakit diabetes jenis 2 boleh menjalani ibadah puasa tetapi dengan syarat mereka perlu disiplin mengenai makanan yang diambil.

Katanya lagi, pesakit-pesakit diabetes jenis 2 digalakkan bersahur lambat tetapi disarankan agar berbuka puasa tepat pada masanya.

Jelas Profesor Dr. Nor Azmi, ini adalah untuk mengelakkan sebarang komplikasi berlaku akibat berpuasa seharian.

"Pesakit-pesakit diabetes jenis 2 sebenarnya perlu makan tepat pada waktunya untuk aliran darah yang normal. Tetapi jika sesuatu berlaku ketika berpuasa, mereka dinasihatkan agar segera berbuka puasa untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini.

"Yang penting, sepanjang berpuasa, pesakit digalak mengawasi aras gula darah dengan lebih kerap pada waktu siang," katanya.

Beliau juga menyarankan agar pesakit-pesakit diabetes jenis 2 mengambil makanan yang berkhasiat dan seimbang.

Waktu bersahur pesakit diabetes disarankan mengambil makanan seperti gandum, semolina, dan kekacang kerana makanan ini merembeskan gula dengan perlahan.

Ketika berbuka puasa pula, makanan-makanan seperti buah-buahan serta yang berkarbohidrat amat digalakkan untuk merembeskan gula dengan cepat.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved