Jumaat, 14 Oktober 2011

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Farah AF2 menangis di Chiang Mai

Posted:

Farah AF2 menangis di Chiang Mai

Farah AF2 menangis di Chiang Mai

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
Gambar ihsan ASTRO


PENGGAMBARAN di hadapan stesen kereta api Chiang Mai.


MELAKUKAN penggambaran program berepisod amat memenatkan, namun itu semua bukan masalah kepada Farah Diana Anuar, 26, atau Farah AF2 untuk memikul tanggungjawab.

Baru-baru ini S3 berkesempatan menjengah ke Chiang Mai, Thailand, atas jemputan pihak Astro Oasis untuk melihat Farah melakukan tugasan di sana.

Farah yang sebelum ini berada di Laos, hanya menjamah roti dan buah-buahan sebagai pengisi perut sebelum memulakan penggambaran.

Tugasan Farah pada hari pertama di Chiang Mai adalah melawat Maesa Elephant Camp dan rombongan bertolak pada pukul 8 pagi menuju ke destinasi.

Sewaktu di kawasan pelancongan itu, Farah turut bertanding memecah belon bersama salah seekor gajah yang terlatih.

Suasana ceria bertukar sayu, apabila kumpulan kami berpeluang melihat gajah bernama Thongsa menulis perkataan Rasa Halal Thailand (RHT) secara dekat sambil Farah melakukan tugasannya.

"Farah amat terharu tengok gajah itu menulis dengan cantik, walaupun ia hanya belajar selama dua minggu untuk menulis perkataan itu. Kalau Farah yang berada dalam kedudukan gajah itu, tak tahulah nak gambarkan.

"Telinganya ditarik oleh si penjaga ke atas, bawah, kiri dan kanan untuk membentuk huruf. Mesti sakit, cuma gajah itu tidak boleh bercakap sahaja. Cukuplah kalau kita pandang matanya yang sayu itu, mesti sebak," kata Farah yang berjiwa sensitif itu.

Selain melihat kebolehan gajah melukis, krew RHT juga melihat pertunjukan ular dan monyet di kawasan berhampiran.

Farah walaupun nampak lembut, namun bukan jenis penakut. Sewaktu menonton pertunjukan ular, ramai yang duduk jauh namun Farah sengaja duduk di hadapan.

Dalam kumpulan itu, hanya Farah yang berani memegang dan bergambar bersama ular dan begitu juga sewaktu menonton pertunjukan monyet dan pada hari itu juga krew RHT melakukan penggambaran di kilang lakuer (pengilat), jed serta kulit.

Kata Farah, dia tidak perlu melakukan penggambaran di setiap lokasi yang disinggah kerana dalam program selama setengah jam itu juga ada penerangan menyeluruh.

"Kalau tidak buat rakaman di lokasi, info akan diberikan secara voice over. Cara ini mudah sikit sebab penonton hanya mendengar suara Farah yang membaca skrip. Kalau rakaman langsung Farah kena hafal dan ingat info yang hendak dikatakan," jelasnya terperinci.

Sebelum krew menamatkan tugasan pada hari itu, mereka melakukan penggambaran di Bazar Malam Chiang Mai yang merupakan tumpuan pelancong dari seluruh pelosok dunia.

Menurut Farah, walaupun berada di Laos atau Chiang Mai yang menawarkan harga lebih murah berbanding di Malaysia, namun dia tidak berkesempatan membeli-belah.

"Ingat Farah tak rambang mata ke nak membeli barang-barang itu semua. Dahlah murah, cantik-cantik pula. Masalahnya, tak sempat sebab sibuk penggambaran.

"Farah kalau membeli mesti nak membelek. Kalau asyik nak membeli, sah-sah tidak selesai penggambaran nanti. Lagipun pakaian yang Farah pakai untuk program ini ditaja oleh Ariani dan Adidas," katanya yang bersolek sendiri.

Seterusnya pada hari kedua Farah di Chiang Mai, penggambaran dilakukan di hadapan stesen kereta api Chiang Mai sebelum berangkat ke masjid berhampiran.

"Di sini bukan lelaki sahaja sembahyang Jumaat tapi orang perempuan juga. Walaupun orang Islam golongan minoriti di sini tetapi mereka bersatu.

"Mereka sering mengadakan aktiviti pada setiap hari Jumaat dan sepanjang bulan puasa, ramai yang memilih berbuka puasa di masjid. Itu yang Farah dapat tahu apabila berbual dengan salah seorang ahli jawatankuasa masjid tadi," ceritanya.

Sebaik sahaja selesai tugasan di situ, Farah melahirkan rasa syukur kerana tanggungjawabnya di lokasi tamat.

Full content generated by Get Full RSS.

Abadi kehidupan melalui foto

Posted:

Abadi kehidupan melalui foto

Abadi kehidupan melalui foto

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar RASHID MAHFOF


ANTARA gelagat Adi ketika cuba merakamkan objek yang dimahukannya.


LANTARAN minat yang mendalam dalam seni fotografi, Adi Akmal Sehrom, 25, menyertai kelab ko-kurikulum ketika menuntut di institut pengajian tinggi pada 2006. Melalui kelab itu, dia belajar teknik fotografi yang betul walaupun jurusan yang dipilihnya jauh berbeza.

Kata graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan Psikologi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak ini, mengabadikan kehidupan yang dilihat matanya ketika merantau ke serata dunia memberikan seribu satu pengajaran hidup untuknya memajukan diri.

Bertugas sebagai wartawan penyiaran dan juga penyampai berita untuk stesen TV AlHijrah ( Saluran 114, Astro), Adi berkata, dia banyak merantau ke negara lain untuk memenuhi tuntutan kerja.

"Ketika menziarahi negara orang, bermacam-macam pengalaman dapat ditempuhi.

"Sebagai manusia, saya akui tidak semua pengalaman itu mampu diingat dalam tempoh masa yang agak lama.

"Justeru tidak mahu 'menghilangkan' memori itu, saya merakamkan apa yang dilihat dengan menggunakan kamera Canon 600D," katanya yang juga ahli kumpulan nasyid Devotees itu.

Mengagumi kebesaran dan kekuasaan Allah SWT, Adi menjelaskan, dia berhasrat untuk mendalami teknik fotografi landskap dan macro.

Ini kerana kata Adi, merakamkan foto yang mengandungi pemandangan saujana mata memandang membuatkannya berasa bersyukur dilahirkan ke dunia ini untuk melihat alam ciptaan Allah SWT.

"Tambahan pula, saya suka mengembara ke banyak tempat, jadi kesempatan itu saya gunakan untuk menajamkan skil merakamkan gambar pemandangan dan juga objek macro yang menarik," tambahnya lagi.

Menyentuh mengenai perbelanjaan bagi pencinta seni fotografi, Adi akur dengan kosnya yang tinggi.

Sebab itulah, ujar Adi, dia menyimpan wang sedikit demi sedikit agar dapat membeli dan mengumpul segala peralatan dan kelengkapan yang membantunya untuk merakamkan gambar yang lebih menarik pada masa akan datang.

"Buat masa ini, saya mengimpikan untuk mempunyai lensa kamera yang lebih bagus daripada sekarang," kata Adi.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Temui jodoh masakan Minang

Posted:

Temui jodoh masakan Minang

Temui jodoh masakan Minang

rekreasi@utusan.com.my
Gambar ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN

Biarpun ia popular di kalangan masyarakat Minangkabau, namun masakan yang dibawa masuk dari Padang, Sumatera Barat, semakin digemari ramai di Malaysia.

Mungkin ada di antara kita menganggap ia sebagai masakan biasa tetapi buat Chef Nur Eleena Mohd. Ismail, 30, yang ditemui S3 baru-baru ini menganggap masakan tersebut amat bermakna dan istimewa.

Mana tidaknya, masakan tersebut juga membawa beliau ke alam perkahwinan apabila bertemu jodoh dengan Mohd. Azrin Irwan Asrin, 30, yang merupakan salah seorang anak kepada pemilik Restoran Nasi Padang Capitol.

Sejak Chef Nur Eleena berkenalan dengan Mohd. Azrin, beliau sering ke restoran tersebut dan secara tidak langsung dia mula mempelajari masakan Padang dan Minangkabau seperti masak lemak cili api, sambal goreng berlada dan rendang Minang.

Chef Nur Eleena berkata, sejak dari kecil lagi beliau minat memasak dan selepas berkahwin beliau mula serius untuk menjadikan bidang masakan sebagai kerjaya tetap.

"Memasak merupakan sebahagian daripada hobi yang saya sukai. Kalau dahulu jika ada masa lapang, saya akan memasak untuk keluarga.

"Dari hobi itu, saya cuba jadikannya sebagai kerjaya dan kini hasil minat yang mendalam terhadap bidang masakan, saya berjaya membuka sebuah restoran masakan kegemaran saya dan suami," katanya ketika ditemui di Restoran Nasi Padang Minangkabau yang terletak di No.5, Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pada mulanya beliau dan suami bermula dengan perkhidmatan katering secara kecil-kecilan.

"Selepas melihat sambutan semakin baik, kami mula merancang untuk membuka sebuah restoran yang menawarkan pelbagai sajian masakan Padang dan Minangkabau.

"Bagi pendapat saya, masakan Padang dan Minangkabau asli agak sukar dicari di sekitar Kuala Lumpur kerana rempah ratus yang digunakan dalam masakan itu jarang terdapat di sini," jelasnya.

Berkongsi minat

Memiliki sebuah perniagaan bersama insan tersayang pasti memberi kelebihan kerana dapat bekerja di bawah bumbung yang sama.

Begitu juga dengan Chef Nur Eleena dan suaminya yang bertuah kerana mereka kini berpeluang menguruskan sebuah restoran bersama.

Menurut Chef Nur Eleena, melakukan pelbagai tugasan daripada mengurus restoran, chef dan suri rumah dalam satu masa bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

"Pembahagian tugasan dan masa amat penting, sebab itu kami berdua bergilir-gilir menjaga anak-anak.

"Kebiasaannya suami saya akan menguruskan hal-hal mengenai pembelian bahan-bahan masakan yang ingin gunakan di sebelah pagi, manakala saya akan mula memasak dari pukul 8.00 pagi hingga 10.00 pagi.

"Ketika saya memasak, suami akan menjaga anak-anak begitu juga selepas saya selesai memasak, saya akan mengambil alih tugasan menjaga anak-anak," ujarnya.

Tambahnya, ketika mula beroperasi pelbagai dugaan mereka berdua tempuhi bersama.

"Kami gunakan wang simpanan sebanyak hampir RM200,000 untuk membuka restoran ini dan kami hampir menghabiskan kesemua wang tersebut untuk mengubah suai restoran dan membeli pelbagai peralatan memasak.

"Selama tujuh bulan beroperasi, sambutan yang diberikan agak kurang tetapi syukur alhamdulillah, sejak setahun lalu kami mula nampak sambutan yang diberikan semakin bertambah," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Sifon cantik beralun

Posted:

Sifon cantik beralun

Sifon cantik beralun

Oleh MERAN ABU BAKAR
Pakaian BUTIK ARCA, EMART MATANG JAYA, KUCHING, SARAWAK DAN AKF, PLAZA ANGSANA, JOHOR BAHRU (012-3962961)

FABRIK sifon kini begitu popular di kalangan pereka-pereka fesyen. Fabrik sifon yang lembut, ringan dan nipis tampak cantik apabila disarungkan ke tubuh. Oleh itu sifon menjadi pilihan baik bagi yang bertubuh gempal mahupun yang tinggi lampai.

Ini terbukti apabila melihat trend fesyen-fesyen terkini yang dibuat daripada fabrik sifon. Kaftan dan maksi merupakan antara yang paling diminati pada masa sekarang.

Bukan sahaja sifon polos menjadi pilihan, malah sifon dengan dua tona warna cantik untuk rekaan kaftan dan maksi ini.

Memperindahkan rekaan kaftan dan maksi ini ialah manik atau kristal serta sulaman yang dijahit pada bahagian dada. Tampak semakin mewah apabila ditambah dengan labuci dan jemeki yang berkilauan. Tanpa perincian seperti manik, kristal dan labuci ini pastinya keindahan kaftan dan jubah tidak akan terserlah.

Walaupun kaftan dan maksi yang dibuat daripada fabrik sifon ini nipis, namun tidak menjadi masalah jika hati telah suka kerana si pemakai boleh memakainya bersama pakaian dalam atau inner yang sama warna.

Tampil menawan dan anggun digayakan, kaftan dan maksi cantik digayakan ke majlis-majlis atau tatkala menghadiri rumah terbuka.

Hiasan yang mewah di dada sudah cukup membuatkan anda menjadi perhatian dan tidak perlulah lagi anda berlebih-lebihan dengan aksesori atau perhiasan lain.

Populariti kaftan dan maksi sifon jelas dilihat apabila fesyen ini digayakan oleh para selebriti sama ada di kaca televisyen, media cetak atau ketika bertandang ke rumah sanak-saudara dan teman-teman.

Bagaimanapun bukan semua orang sesuai memakai kaftan dan maksi sifon ini. Mereka yang bertubuh tinggi lampai memang nampak cantik apabila menggayakannya sementara yang bertubuh gempal dan rendah tidak sesuai dengan potongan kaftan dan maksi ini kerana akan menampakkan mereka lebih rendah dan gempal.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Penduduk mohon ihsan DBKL

Posted:

Penduduk mohon ihsan DBKL

Penduduk mohon ihsan DBKL

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
kota@utusan.com.my


DERETAN kenderaan penghuni Apartmen Teratai Mewah yang terpaksa diletakkan di sepanjang Jalan Langkawi, Setapak berikutan kekurangan tempat letak kereta di kawasan itu tetapi tindakan mereka itu telah menyebabkan mereka menerima kompaun daripada DBKL hampir setiap hari.


KUALA LUMPUR 13 Okt. - Penghuni Apartmen Teratai Mewah di Setapak di sini merungut ekoran tindakan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan kompaun terhadap kereta mereka yang diletakkan di bahu Jalan Langkawi di situ.

Sambil mengakui tindakan mereka itu satu kesalahan, penghuni terbabit memohon jasa baik dan budi bicara pihak DBKL supaya lebih bertimbang rasa dalam soal tersebut.

Penduduk berkata, mereka tidak ada pilihan melainkan terpaksa meletakkan kenderaan di tepi jalan itu berikutan kekurangan kawasan meletak kenderaan di kawasan tersebut.

Seorang penduduk, Ahmad Yusri Yusof, 27, berkata, dia sudah buntu dan tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan akibat disaman hampir setiap hari.

"Setiap kali saya pergi ke kereta, pasti ada surat saman di atas cermin kereta. Di mana lagi harus saya letakkan kereta saya," katanya yang bimbangkan keselamatan hartanya itu jika diletakkan terlalu jauh.

Dia berpendapat, DBKL harus menggunakan budi bicara dan juga memikirkan nasib ramai penduduk yang disaman hampir setiap hari di situ.

"Penduduk tahu meletakkan kenderaan di bahu jalan adalah satu kesalahan tetapi DBKL juga perlu tahu mengapa penduduk terpaksa berbuat demikian," katanya.

Mohd. Yusof Abbas, 36, pula berkata, tindakan penduduk meletakkan kenderaan kawasan tersebut sebenarnya tidak menganggu kenderaan lain dan kelancaran trafik di jalan itu.

"Saya tidak kisah, malah memang galakkan DBKL bertindak jika kenderaan ganggu lalu-lintas tetapi kawasan itu hanya kawasan penempatan dan bukannya kawasan komersial yang sibuk," katanya.

Katanya, dia yakin penguat kuasa DBKL tahu mengapa penduduk meletakkan kenderaan di situ dan sebagai pihak berkuasa tempatan yang turut menjaga kebajikan dan keselesaan warga kota, penduduk rayu DBKL lebih bertimbang rasa.

"Setiap bulan, sebahagian duit gaji sudah tentu perlu diperuntukkan untuk membayar saman DBKL ini dan kita pihak DBKL memahami situasi yang terpaksa ditanggung penduduk," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Peluang beli benih terbaik, murah

Posted:

Peluang beli benih terbaik, murah

Peluang beli benih terbaik, murah

SERDANG 13 Okt. - Orang ramai berpeluang mendapatkan anak pokok bermutu pada harga murah di Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM, bermula esok hingga 19 Oktober ini di Bukit Ekspo UPM di sini.

Kenyataan akhbar UPM memaklumkan, antara anak pokok buah- buahan yang akan dijual dengan harga yang murah ialah pelbagai jenis durian, rambutan tanpa biji, nangka, mangga dan juga pokok herba seperti misai kucing, kacip fatimah, mahkota dewa dan cekur mas.

Daging dan susu lembu UPM juga akan dijual pada ekspo itu, selain diadakan pameran ternakan dan akuakultur seperti lembu tenusu dan pedaging, kambing, rusa, biri-biri, kuda, kerbau, ayam, ikan akuarium dan haiwan kesayangan.

UPM juga akan melancarkan nanas jenis MD2 dan mempamerkan 36 produk penyelidikan UPM yang memenangi anugerah kebangsaan dan antarabangsa termasuk yang telah dikomersialkan.

Agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam bidang pertanian dan jualan hasil tani usahawan kecil tempatan akan turut menyertai ekspo yang diadakan bersempena Majlis Konvokesyen ke-35 itu.

Majlis Perwakilan Pelajar pula sudah mengatur pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung seperti Cabaran Siber Putra, Putra Race Challenge, paint ball, flying fox, pertandingan fotografi, futsal, cuci kereta, tarik tali, cabaran menggubah buah, persembahan grafiti, pertunjukan yoyo dan gerai jualan.

Aktiviti padang dan air turut diadakan iaitu pertandingan bola sepak jalanan, memancing, kayak, melukis, sukan kanak-kanak, gerai tercantik, gubahan anggerik, zoo mini, pameran auto, mencari harta karun, memanjat dinding dan banyak lagi.

Kemudahan bas disediakan untuk membawa orang ramai dari Padang Kawad ke Bukit Ekspo.

Untuk keterangan lanjut, hubungi Jawatankuasa Pesta Konvo di talian 03-89467987.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Bantah kehadiran Guan Eng

Posted:

Bantah kehadiran Guan Eng

Bantah kehadiran Guan Eng

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

SEGAMAT 13 Okt. – Kebiadaban Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berceramah di Kampung Abdullah di sini, malam tadi, mengundang kemarahan penduduk kerana datang ke negeri ini tanpa mendapat perkenan dan izin Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terlebih dahulu.

Menurut mereka, perbuatan itu jelas menunjukkan keangkuhan Guan Eng tanpa rasa bersalah, sekali gus membelakangkan Sultan Johor selaku ketua negeri.

Mohd. Ridza Hassan, 55, dari Kampung Jawa berkata, kedatangan pemimpin DAP itu begitu memeranjatkan kerana Sultan Johor belum pun memberi sebarang jawapan mengenai permohonan maaf yang dilakukannya menerusi media.

"Sudahlah memohon maaf secara biadab, belum pun Sultan Johor memberi sebarang titah, dia sudah datang ke Tangkak dan Segamat. Perbuatan ini menunjukkan dia langsung tidak menghormati Sultan Johor. Ini amat menyinggung perasaan orang Segamat.

"Sepatutnya, Guan Eng jangan berdegil dan angkuh. Pergi menghadap Sultan Johor dulu dan kalau dapat perkenan, barulah datang ke Segamat dan daerah lain di Johor," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Malam tadi, lebih 100 penduduk melakukan piket secara aman membantah kehadiran Setiausaha Agung DAP itu yang berceramah di Kelab Rekreasi Siang Hai, kampung tersebut sambil melaungkan 'Daulat Tuanku', 'Mohon ampun pada Sultan' selain membawa sepanduk mengecam Guan Eng.

Guan Eng mencetuskan kemarahan rakyat dan menyinggung Sultan Johor apabila menyatakan negeri ini tidak selamat semasa temu bual dengan media asing di Singapura, baru-baru ini.

Sementara itu, Halimahtun Saadiah Mohamed, 46, dari Kampung Awat, Batu Anam, dekat sini pula berharap, pihak berkuasa tidak memberi sebarang permit kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu berucap di negeri ini selagi Sultan Johor tidak memberi perkenan atau memaafkannya.

"Hanya dengan cara itu dapat mengajar serta menundukkan keegoan Guan Eng dan memaksanya menghadap Sultan Johor untuk memohon ampun secara rasmi," katanya.

Mohd. Hafidzul Anuar, 32, dari Tahang Rimau pula melahirkan kesal dengan penduduk dan kelab tersebut yang membenarkan Guan Eng menggunakan dewan itu tanpa memikirkan sensiviti rakyat Johor.

"Sudahlah Johor dihina, kini diberi tempat pula untuk berceramah. Penduduk Kampung Abdullah sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan yang banyak membantu dan memberi kemudahan kepada mereka. Sepatutnya tiada sebarang layanan diberikan kepada Guan Eng," tegasnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Kerajaan negeri peruntuk RM1.8j taja jemaah haji

Posted:

Kerajaan negeri peruntuk RM1.8j taja jemaah haji

Kerajaan negeri peruntuk RM1.8j taja jemaah haji


TUNKU Ismail Sultan Ibrahim (dua dari kanan) meraikan bakal-bakal haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai, Johor, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 13 Okt. - Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.8 juta bagi membiayai tambang 310 jemaah haji tajaannya tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, mereka golongan yang bertuah kerana boleh dianggap 'duta' negeri ini.

"Saya berharap mereka dapat menjaga nama baik negara dan Johor sepanjang mengerjakan ibadah tersebut.

"Tahun ini kita mendapat kuota haji 500 orang dan 310 daripadanya ditanggung oleh kerajaan negeri," katanya pada Majlis Meraikan Bakal Haji Rombongan Kerajaan Negeri di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail di Senai, dekat sini, baru-baru ini.

Rombongan jemaah itu disertai oleh Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadot sebagai pakar rujuk semasa berada di 'tanah suci' Mekah. Mereka yang berlepas Isnin dan Selasa lalu dijadual pulang ke tanah air pada 13 November depan.

Ahli rombongan turut diraikan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum memasuki pesawat kira-kira 11.55 pagi.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Mohd. Ali Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil.

Sementara itu, jemaah mualaf yang mengerjakan haji kali pertama, Normimi Abdullah, 47, melahirkan perasaan terharu kerana diberi peluang mengerjakan haji mengikut kuota saudara baharu oleh Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).

"Sesungguhnya, banyak dugaan bagi saya mengerjakan ibadah rukun Islam kelima ini terutamanya daripada kalangan ahli keluarga.

"Namun, setelah mendapat dorongan pelbagai pihak khususnya JAIJ serta mendapat kekuatan dalaman daripada Allah SWT, akhirnya tercapai jua hasrat saya untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah," katanya sambil berdoa semoga dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


RM2 juta terbit buku ilmiah

Posted:

RM2 juta terbit buku ilmiah

RM2 juta terbit buku ilmiah

Oleh AMRAN MULUP
pengarang@utusan.com.my

MELAKA 13 Okt. – Kerajaan akan mewujudkan dana RM2 juta melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menggalakkan penerbitan buku-buku ilmiah sains dan teknologi bertaraf ilmu tinggi dalam bahasa Melayu bermula tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dana tersebut diwujudkan memandangkan jumlah buku ilmiah dalam bidang dan bahasa tersebut amat terhad.

''Jika buku ilmiah dalam bidang berkenaan banyak diterbitkan dalam bahasa Melayu, maka akan berlakulah limpahan ilmu yang luas dalam kalangan masyarakat.

''Yang pastinya, ia akan mendorong lebih banyak cetusan kreativiti dan inovasi kerana karya-karya ilmiah menjadi tatapan terbanyak buat rakyat.

''Dana yang diwujudkan ini adalah antara langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, khususnya dalam bidang sains dan teknologi," katanya ketika berucap melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pada masa kini hanya 3,900 daripada 15,700 judul buku sains dan teknologi dalam bahasa Melayu yang diterbitkan di negara ini.

''Sekiranya kita benar-benar mahu menyebarluaskan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu terutamanya dalam bidang sains dan teknologi, maka jumlah buku ilmiah dalam bahasa Melayu perlu diperbanyakkan," ujarnya lagi.

Muhyiddin berkata, walaupun kerajaan menyedari penerbitan dalam bahasa Inggeris adalah penting untuk meningkatkan penarafan universiti di peringkat antarabangsa, namun ia tidak bermakna kita harus meminggirkan penerbitan karya-karya ilmiah dalam bahasa Melayu.

Sehubungan itu, kata Timbalan Perdana Menteri, setiap penulis yang menghasilkan buku-buku yang diterbitkan oleh DBP, mereka akan menerima ganjaran sebanyak RM20,000 selain bayaran royalti yang biasa diterima.

Justeru katanya, DBP akan menentukan karya-karya yang layak diterbitkan berdasarkan manuskrip yang dihantar dan memberi ganjaran kepada penulis yang berjaya.

Di samping itu, beliau berkata, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran dan urusan rasmi kerajaan akan dimantapkan atas persetujuan Kabinet yang mahu semua penjawat awam diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan dalam segala urusan rasmi.

''Untuk memastikan arahan ini dipatuhi, Pekeliling Perkhidmatan berkaitan Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Kerajaan terus pertingkat khidmat kesihatan

Posted:

Kerajaan terus pertingkat khidmat kesihatan

Kerajaan terus pertingkat khidmat kesihatan


MUHYIDDIN Yassin melihat bahan bacaan yang terdapat di Perpustakaan Desa Felda Lenga, Muar, Johor, semalam.


PAGOH 13 Okt. — Kerajaan terus berusaha mempertingkatkan lagi perkhidmatan kesihatan di negara ini walaupun prasarana dan mutunya kini sudahpun mencapai tahap yang membanggakan sehingga mendapat pengiktirafan dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkhidmatan itu bukan hanya dinikmati di kawasan bandar malah kini dibawa ke seluruh pelosok kampung di kawasan luar bandar seperti Program Doktor Turun Kampung sebagaimana yang diadakan di kawasan Parlimen Pagoh.

"Ini usaha yang lebih daripada biasa kerajaan lakukan di mana doktor dapat melihat sendiri keadaan kesihatan penduduk kampung dan memahami keperluan mereka," kata Muhyiddin.

Muhyiddin yang juga Anggota Parlimen Pagoh berkata, usaha sentuhan hati itu adalah untuk memastikan setiap rakyat sihat dan mampu menyumbang kepada kemajuan negara.

Muhyiddin berkata demikian pada Majlis Program Doktor Turun Kampung dan Program Khas Untuk Rakyat (Kesejahteraan Rakyat) di Kampung Sentosa, Lenga di sini, hari ini.

Program Doktor Turun Kampung yang dilancarkan 30 Julai lalu di sini itu bertujuan mewujudkan kesedaran dan perubahan tingkahlaku ke arah gaya hidup sihat di kalangan masyarakat dengan memperkasakan komuniti agar prihatin dan bertanggungjawab terhadap tahap kesihatan mereka sendiri.

Setelah dilancarkan, program itu berjaya mengesan 500 kanak-kanak sekolah di kawasan Parlimen itu yang tidak mempunyai tahap penglihatan yang baik dan memerlukan cermin mata.

Muhyiddin turut menyampaikan peruntukan RM128,650 kepada 221 orang penduduk kurang bernasib baik dan tiga buah badan bukan kerajaan dari Zon Lenga/Bukit Kepong di bawah Program Khas Untuk Rakyat.

Sebelum itu, semasa merasmikan Program Bakti Siswa Masterskill 2011 di Felda Batu 27, Lenga, Muhyiddin berkata, kerjasama antara kerajaan dan pihak swasta penting bagi meningkatkan tahap pendidikan di negara ini khasnya di kawasan luar bandar.

Ini bagi memastikan masyarakat di luar bandar tidak ketinggalan dalam mencapai tahap pendidikan tertinggi, katanya.

Pada masa yang sama Muhyiddin mengingatkan anak-anak kampung atau di tanah rancangan agar mengambil segala peluang yang ada untuk meningkatkan kehidupan mereka termasuk menyambung pelajaran ke peringkat tinggi. - BERNAMA.

Full content generated by Get Full RSS.

PECAH TANAH

Posted:

PECAH TANAH

PECAH TANAH


NAJIB Tun Razak mendengar penerangan Penasihat MAHS, Elmer Tan Soon Beng (kanan) pada majlis pecah tanah akademi itu di Bukit Katil, Melaka, semalam.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menyempurnakan majlis pecah tanah Akademi Pengajian Han Malaysia (MAHS) di Bukit Katil, Melaka yang penubuhannya akan membantu meningkatkan kecemerlangan akademik serta nilai-nilai positif yang diperlukan oleh manusia sejagat.

'Han' merupakan identiti etnik di China yang meliputi 94 peratus daripada populasi di tanah besar berkenaan menjadikannya kumpulan etnik terbesar di dunia.

Dinasti Han dianggap 'Zaman Keemasan' dalam sejarah China dan pengajian mengenainya dapat memberi pengetahuan tentang falsafah serta sikap saling menghormati sesama manusia.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Bersyukur jadi penjaga kubur

Posted:

Bersyukur jadi penjaga kubur

Bersyukur jadi penjaga kubur

Oleh HASHIM P. MAMAT
utusanperak@utusan.com.my


DIN Ahmad Sham menyembur racun rumput di Tanah Perkuburan Islam Jalan Baru, Kuala Kangsar, baru-baru ini.


KUALA KANGSAR 13 Okt. - "Tiada apa yang mahu ditakutkan, jauh sekali hendak berasa malu. Bagi saya ini pekerjaan mulia, malah ia membuat saya sentiasa sihat."

Itu jawapan spontan warga emas, Din Ahmad Sham (gambar) ketika diajukan pertanyaan mengenai pekerjaannya sebagai penjaga dan penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Jalan Baru, Jalan Sultan lskandar Shah di sini, sejak lebih 15 tahun lalu.

Bagi Din atau lebih mesra dengan panggilan Pak Din, pekerjaannya itu bukan untuk dinilai dengan wang ringgit, sebaliknya keikhlasannya untuk menyumbang bakti kepada masyarakat Islam di kawasan tersebut.

Hanya menerima gaji sekitar RM100 sebulan, Pak Din berkata, dia cukup gembira melihat tanah perkuburan seluas lebih empat hektar itu sentiasa bersih dan selamat daripada masalah kecurian.

Ketika usianya sudah mencapai 85 tahun, Pak Din mengakui pekerjaannya itu memberi banyak keberkatan, termasuk nikmat kesihatan dengan tidak menghidap sebarang penyakit kronik seperti yang dihadapi oleh ramai golongan seusianya.

"Nikmat kesihatan ini juga sebahagian daripada berkat pekerjaan ini dan Pak Din bersyukur kerana dalam usia begini, masih mampu melakukan kerja-kerja yang biasanya dilakukan oleh orang muda," katanya yang mempunyai dua isteri, 21 anak, 52 cucu dan 19 cicit.

Bercerita mengenai sejarah hidupnya, Pak Din bukanlah sebarangan orang.

Dia pernah mendapat pendidikan di Madrashah Idrisiah, Bukit Chandan di sini sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua dan berkhidmat sebagai tentera British di Singapura antara 1949 hingga 1955.

Pak Din kemudiannya menabur khidmat sebagai Konstable Khas selama tiga tahun sebelum berkhidmat sebagai guru al-Quran di sebuah kolej Melayu sekitar l955 hingga l960 selain terlibat secara serius dalam aktiviti keagamaan.

Dia juga pernah menjadikan rumahnya di Jalan Kenas di sini sebagai pusat mengajar al-Quran.

Bercakap mengenai tugas rutinnya, Pak Din berkata, dia memastikan rumput atau lalang di kawasan tersebut sentiasa bersih selain membuat persediaan sekiranya berlaku kematian, terutama di Hospital Kuala Kangsar akibat kemalangan jalan raya.

Percaya atau tidak, sepanjang bertugas di situ, tanah perkuburan tersebut pernah menjadi johan tanah perkuburan paling bersih di daerah ini pada 2003, 2004 dan 2010 selain pernah menjadi naib johan peringkat negeri.

"Kemenangan tersebut menjadi rangsangan buat saya untuk terus berkhidmat selagi yang termampu dan walaupun agak berat, tetapi keluarga termasuk isteri dan anak-anak sering tampil membantu," katanya.

Malah, bekerja sebagai penjaga kubur tidak menghalang Pak Din untuk memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak sehingga ada antara mereka yang berjaya menjadi golongan profesional seperti arkitek, jurutera dan guru.

Full content generated by Get Full RSS.

E.D Ayam paling murah di Alor Setar

Posted:

E.D Ayam paling murah di Alor Setar

E.D Ayam paling murah di Alor Setar


DARI kiri, Nur Zahidah Mohd. Zahir, Nurzharfan Mohd. Zahir dan Muhammad Zuhair masih mampu menjual ayam RM6.80 sekilogram di gerai E.D Ayam di Pasar Besar Alor Setar, Kedah.


ALOR SETAR 13 Okt. – Walaupun rata-rata peniaga ayam di daerah ini menjual bahan itu sekitar RM8.60 sekilogram, namun seorang peniaga ayam di Pasar Besar Alor Setar, Mohd. Zahir Zainal Abidin (gambar), 57, tetap menjualnya dengan harga RM6.80 sekilogram.

Zahir yang juga pemilik gerai E.D Ayam berkata, harga yang rendah dapat dikekalkan kerana hanya mengambil sedikit keuntungan daripada harga pemborong, tetapi mendapat lebih banyak keuntungan apabila berjaya menjual dalam kuantiti yang banyak kepada pelanggan.

"Sesetengah penjual ayam mendapatkan bekalan ayam daripada berlapis-lapis pembekal dan ini menyebabkan harga akhir kepada pengguna meningkat.

"Saya pula hanya mendapatkan bekalan daripada satu pembekal sahaja," katanya ketika ditemui di pasar berkenaan di sini, semalam.

Zahir berkata, harga ayam berubah-ubah sejak sebelum Ramadan lalu sehingga sekarang dan sebab itu tidak hairanlah jika terdapat peniaga lain menjual hingga RM8.60 sekilogram.

Menurut, sesetengah peniaga pula menyalahkan kerajaan apabila harga yang diperoleh daripada pembekal agak mahal, namun sebenarnya kerajaan tidak boleh dipersalahkan begitu sahaja.

Dia berpendapat, ini kerana sesetengah peniaga terpaksa menjual dengan harga tinggi kerana mengambil bekalan daripada banyak lapisan pembekal.

Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada pengguna untuk memilih dan membeli di mana-mana gerai, namun dia tetap mahu menjual dengan harga yang rendah sebagai strategi perniagaan dan pada masa sama membantu para pelanggannya.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah, Mohd. Sakri Saleh ketika dihubungi berkata, pemantauan pihaknya mendapati harga ayam standard di negeri ini dijual sekitar RM8.64 berbanding minggu lalu iaitu RM8.31 sekilogram.

Sementara itu, peniaga sayur, Zainal Abidin Bulat, 61, pula berkata, sesetengah sayur-sayuran yang import dari Thailand kini naik harga kerana bekalannya sukar diperoleh daripada pemborong selepas negara itu dilanda banjir.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan permintaan terhadap sayur-sayuran tempatan meningkat, sekali gus terdapat kenaikan harga sedikit pada beberapa jenis sayur.

Full content generated by Get Full RSS.

Restoran mamak naik harga

Posted:

Restoran mamak naik harga

Restoran mamak naik harga

Oleh SAHBULAH DARWI
utusankedah@utusan.com.my

ALOR SETAR 13 Okt. - Sebahagian daripada restoran mamak yang beroperasi 24 jam di daerah ini didapati menaikkan harga makanan dan minuman antara 20 hingga 50 sen berbanding biasa.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kedah, Mohd. Sakri Saleh berkata, pihaknya mendapat aduan mengenai kenaikan itu berlaku sejak minggu lalu.

"Minuman biasanya naik 20 sen segelas, manakala makanan seperti nasi dan juadah tengah hari naik sekitar 50 sen sepinggan," katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata, roti canai bagaimanapun masih dijual dengan harga antara 80 sen hingga RM1 sekeping.

Justeru, kata Mohd. Sakri, pihaknya meminta restoran dan gerai-gerai makanan dan minuman tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya kerana tiada kenaikan barang mentah yang ketara berlaku.

Katanya, walaupun harga makanan dan minuman tersebut tidak dikawal oleh kerajaan, namun harga bahan mentah yang digunakan seperti gula, tepung dan minyak tidak naik kerana ia dikawal oleh kerajaan.

Dalam pada itu, pengguna juga perlu berwaspada dengan taktik mengaut keuntungan berlebihan oleh pengusaha restoran seperti yang berlaku baru-baru ini apabila seorang pelanggan mengadu terpaksa membayar RM4 bagi sekeping roti canai istimewa.

Mohd. Sakri berkata, siasatan mendapati pengguna tersebut meminta roti canai kosong tetapi mahu disediakan secara istimewa, namun pengusaha restoran mengambil kesempatan menambah dua biji telur, ikan sardin seekor dan bawang pada sekeping roti canai itu.

Menurutnya, disebabkan bahan-bahan tambahan itu, sekeping roti canai itu dikenakan harga RM4 hingga menyebabkan pengguna tidak berpuas hati dan mengadu kepada PPDNKK.

Kata beliau, sepatutnya, pengusaha restoran yang terletak di Jalan Putra di sini itu boleh menyediakan roti sardin atau roti telur yang berharga RM2.50 sekeping.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


430 pembeli ditawar kontrak baru

Posted:

430 pembeli ditawar kontrak baru

430 pembeli ditawar kontrak baru

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 13 Okt. – Pembeli asal yang terlibat membeli bangunan kedai dan pejabat terbengkalai sebelum ini di Pulau Melaka diminta memberi maklum balas berhubung tawaran pembelian kontrak baru selewat-lewatnya esok.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Md. Yunos Husin berkata, gesaan itu dibuat memandangkan masih terdapat sebahagian besar daripada 430 pembeli asal projek itu gagal berbuat demikian.

Menurutnya, projek itu yang terbengkalai sejak lebih 10 tahun lalu telah diambil alih oleh kerajaan negeri melalui Perbadanan Ketua Menteri (CMI) dengan perlaksanaan projek diteruskan oleh kontraktor dilantik iaitu KAJ Sdn. Bhd.

''Melalui kontrak baharu itu, pembeli cuma perlu menambah 20 peratus harga asal dan perkara ini tidak dapat dielakkan kerana peningkatan kos dalam kerja membaik pulih bangunan terbengkalai," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, pembeli asal yang masih gagal memberi maklum balas berhubung tawaran kontrak baharu itu dikhuatiri kehilangan kelayakan ke atas pembelian bangunan tersebut.

Ujar beliau, pembeli asal perlu mengemukakan dokumen pembelian sebagai bukti urusan dan segera berurusan dengan CMI sekiranya pembeli tidak memperoleh surat tawaran kontrak baharu.

''Masih ada sebahagian besar pembeli asal tidak membuat tuntutan atau reaksi berhubung surat tawaran kontrak baharu ini biarpun tarikh akhir untuk mereka berbuat demikian ditetapkan esok," katanya.

Sementara itu, mengenai perkembangan pemulihan projek terbengkalai Pulau Melaka, katanya, kerja-kerja membaik pulih berjalan lancar meliputi keseluruhan bangunan perniagaan A, B dan kompleks komersial C pada masa ini.

''Kerja membaik pulih termasuk memasang kembali kemudahan yang dicuri atau rosak di kawasan itu dijangka siap bulan depan," katanya.

Sehubungan itu, kata Md. Yunos, pemilik bangunan asal projek itu dijangka menerima kunci bangunan masing-masing menjelang Disember ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Perbanyakkan seminar undang-undang syariah

Posted:

Perbanyakkan seminar undang-undang syariah

Perbanyakkan seminar undang-undang syariah


SEBAHAGIAN peserta mewakili pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai Seminar Undang-Undang Islam Dunia Melayu Dunia Islam di Melaka, baru-baru ini.


MELAKA 13 Okt. - Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan agensi kerajaan yang berkaitan dengannya diminta memperbanyakkan penganjuran program atau seminar undang-undang syariah bagi membolehkan masyarakat mendapat maklumat yang jelas mengenainya pada masa depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, usaha itu bukan sahaja penting diperluaskan dalam negara malah dipertingkatkan dengan pembabitan negara-negara Islam yang lain khususnya dalam kalangan negara Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).

Menurutnya, melalui usaha itu, pengisian program atau seminar yang diadakan mampu menyedarkan masyarakat daripada pelbagai peringkat mengenai undang-undang syariah dan perkara-perkara yang boleh memudaratkan Islam.

"Melalui usaha tersebut, masyarakat dunia boleh mengetahui mengenai kepentingan dan jelas tentang pelbagai aspek undang-undang Islam seterusnya memperoleh garis panduan yang betul tentang perkara berkaitan dengannya," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Seminar Undang-Undang Islam DMDI anjuran Biro Dakwah Sekretariat DMDI di sini kelmarin.

Katanya, penganjuran Seminar Undang-Undang Islam DMDI misalnya mengetengahkan pelbagai isu dan perbincangan terperinci mengenai undang-undang Islam oleh pakar-pakar dalam bidang terbabit.

Katanya, ia termasuk Jabatan Kehakiman, mufti, pensyarah universiti, peguam syarie dan pakar-pakar akademik dari pelbagai negara DMDI.

Menurut Mohd. Ali, antara perkara yang dibincangkan seperti sistem dan pelaksanaan undang-undang keluarga, undang-undang syariah dan cabaran yang perlu ditangani negara-negara DMDI berhubung keperluan undang-undang syariah.

"Saya harap penganjuran seminar seperti ini dapat diperluaskan dan mendapat penyertaan semua agensi kerajaan serta swasta yang berkaitan bagi memastikan ia dapat difahami dan diterima dengan jelas oleh masyarakat," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

TPMlancar Bulan Bahasa Kebangsaan 2011

Posted:

TPMlancar Bulan Bahasa Kebangsaan 2011

TPMlancar Bulan Bahasa Kebangsaan 2011

MELAKA 13 Okt. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, hari ini.

Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan itu adalah sebahagian daripada rantaian perjuangan yang panjang dalam memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di Malaysia.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut mengingatkan masyarakat majmuk di negara ini bahawa sejak bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan, termasuk di universiti, terbukti semakin ramai pelajar seluruh negara berjaya memasuki universiti.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin hadir pada majlis penuh warna-warni itu.

Pada majlis tersebut, Pengarah Pusat Pengajian Melayu Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Beijing, Profesor Wu Zongyu dinobatkan sebagai Tokoh Pejuang Bahasa Melayu Antarabangsa.

Wu, 72, menerima RM50,000, buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta Watikah Penghargaan Negara.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved