Sabtu, 8 Oktober 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Membela rakyat, sejahtera negara

Posted:

Membela rakyat, sejahtera negara

Membela rakyat, sejahtera negara

Oleh MARHAINI KAMARUDDIN
pengarang@utusan.com.my


TENTU ada sesuatu yang mencuit hati sehingga Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri Kabinet lain tergelak ketika pembentangan Bajet 2012 di Dewan Rakyat, semalam. – Utusan/MOHD. NAIM AZIZ


KUALA LUMPUR 7 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2012 bagi meneruskan agenda transformasi nasional yang mengambil kira kebajikan segenap lapisan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana tanpa mengetepikan strategi untuk membangunkan negara.

Bertemakan Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara, Bajet 2012 yang merupakan bajet kedua dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kata Najib, bakal menjadi pemacu untuk mencapai Wawasan 2020 dan matlamat negara berpendapatan tinggi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dengan itu menggariskan lima fokus utama yang akan diberi penekanan di bawah Bajet 2012 iaitu meligat pelaburan; mengungguli modal insan; transformasi luar bandar; memperkejap perkhidmatan awam; serta meredakan inflasi dan mengimarah kehidupan rakyat.

Belanjawan kali ini begitu menyeluruh sehingga menyentuh secara langsung golongan akar umbi melalui pemberian pelbagai insentif yang tidak dijangka termasuk bantuan RM500 kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah, selain manfaat keseluruhan RM7,560 untuk pemilik teksi bajet bagi meringankan beban mereka.

Turut menerima insentif Bajet 2012 ialah warga emas, peneroka Felda, nelayan, wanita dan belia.

Golongan penjawat awam pula terus menerima imbuhan berganda apabila Perdana Menteri mengumumkan pelarasan gaji tujuh hingga 13 peratus, kenaikan gaji tahunan RM80 hingga RM320 mengikut gred selain bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 yang akan dibayar pada Disember ini.

Kerajaan juga tidak melupakan golongan pesara apabila mengumumkan pelarasan pencen dua peratus setahun secara automatik mulai 2013 di samping menerima bayaran khas RM500.

Dalam usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat, Perdana Menteri turut mengumumkan pemansuhan yuran tambahan sekolah mulai tahun depan, pemberian bantuan RM100 kepada semua pelajar daripada tahun satu hingga tingkatan lima, selain baucar buku RM200 kepada semua pelajar warga Malaysia daripada tingkatan enam hinggalah ke universiti.

Najib juga sempat menyindir pembangkang yang sering menguar -uarkan konsep negara berkebajikan sedangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah sejak sekian lama mengamalkannya.

"Keseluruhannya subsidi bahan makanan asas ini menelan belanja RM2.3 bilion dan dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaya atau miskin, bandar atau luar bandar. Oleh yang demikian, kita ingin bertanya, tidakkah ini dinamakan negara kebajikan?" katanya.

Bajet 2012 menyediakan peruntukan berjumlah RM232.8 bilion meliputi RM181.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM51.2 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan melaksanakan sejumlah projek bagi tahun depan di bawah Pakej Rangsangan Khas berjumlah RM6 bilion untuk merancakkan pelaburan.

Perdana Menteri turut mengumumkan empat dana khas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mempergiatkan industri itu.

Dalam pada itu, berpegang kepada falsafah 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Najib turut menjanjikan proses besar islah undang-undang di bawah Program Transformasi Politik bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara moden dan progresif sekali gus demokrasi yang berfungsi.

"Bajet yang baru saya bentangkan ini mendakap segenap taraf sosioekonomi rakyat, ia tidak meninggalkan yang berpendapatan rendah sekalipun menengah atau tinggi dan tidak pula meminggir mereka yang di bandar waima di desa," katanya.

Perdana Menteri mengakhiri ucapan belanjawannya yang memakan masa dua jam itu dengan menegaskan kerajaan BN tidak tunduk kepada tekanan atau paksaan untuk mengambil jalan benar dan betul demi warga Malaysia.

"Kami yakin dengan perjuangan yang kami gandar ini bukan dibuat-buat atau ilusi silap mata sebagai guna menutup lompang keikhlasan dan kebobrokan sahsiah serta kemunafikan intelektual seperti sesetengah pihak," tegasnya.

1.2j penjawat awam naik gaji

Posted:

1.2j penjawat awam naik gaji

1.2j penjawat awam naik gaji

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Kira-kira 1.2 juta penjawat awam bakal menerima kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus mulai tahun depan apabila perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2012 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju meningkatkan kadar kenaikan gaji tahunan penjawat awam antara RM80 sehingga RM320 setahun mengikut gred ekoran ia tidak pernah disemak sejak 1991.

Bagi pesara pula, beliau berkata, lebih 600,000 pesara kerajaan akan menikmati pelarasan pencen melibatkan peruntukan RM600 juta dan mulai tahun 2013 kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji.

Di dalam bajet kali ini, Najib turut mengumumkan had umur baru bagi persaraan wajib iaitu daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam.

"Pelanjutan ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada generasi muda kerana sektor awam dan swasta akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baru," ujar Perdana Menteri.

Selain itu, Najib juga mengumumkan bayaran bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada kakitangan awam yang akan dibayar pada bulan Disember ini selain bayaran khas RM500 kepada semua pesara kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, penyelarasan gaji serta kenaikan kadar kenaikan gaji tahunan itu merupakan salah satu daripada empat elemen Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang mula diperkenalkan dalam bajet tahun ini.

"SBPA merupakan satu sistem saraan baru yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan ia digubal dengan bermatlamat mentransformasi Perkhidmatan Awam Malaysia supaya ia menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi," ujarnya.

Menghuraikan lebih lanjut tiga elemen lagi di dalam SBPA, Perdana Menteri berkata, kenaikan gred berdasarkan time-based (tempoh perkhidmatan) bagi guru akan dikurangkan daripada tahun ke-10 kepada tahun kelapan perkhidmatan.

Beliau berkata, ini bermakna seorang guru akan berada pada gred 44 pada tahun kelapan dan gred 48 pada tahun ke-16.

"Jika mengikut time-based sekarang ia memakan masa 10 tahun tetapi di bawah SBPA ia hanya mengambil tempoh lapan tahun sahaja," katanya lagi.

Satu lagi elemen yang terdapat di dalam SBPA, beliau berkata, gaji maksimum dalam gred ditingkatkan lebih 30 peratus.

"Sebagai contoh di dalam SSM bagi seorang guru gred DG48 gaji maksimumnya adalah RM6,325.39 tetapi di dalam SPBA gaji maksimum akan meningkat 37.7 peratus. Dengan pertambahan itu jumlah gaji maksimum yang baru ialah RM8,710," ujarnya.

Ujar Najib elemen terakhir di dalam SBPA ialah wujudnya dasar pemisah atau 'exit policy' bagi penjawat awam yang berprestasi rendah dan bagi mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan.

Yuran sekolah tahun depan dimansuhkan

Posted:

Yuran sekolah tahun depan dimansuhkan

Yuran sekolah tahun depan dimansuhkan

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bayaran yuran persekolahan untuk sesi 2012 bagi sekolah rendah dan menengah melibatkan jumlah RM150 juta, dimansuhkan.

Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2012 di Dewan Rakyat hari ini berkata, dengan pemansuhan itu bermakna buat pertama kali dalam sejarah negara kemudahan pendidikan sama ada di sekolah rendah mahupun menengah disediakan secara percuma.

Beliau berkata, sebelum ini pelajar masih dikenakan bayaran yuran sebanyak RM24.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah.

"Bayaran itu digunakan untuk yuran kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) dan insurans takaful," katanya.

Menurutnya, keputusan kerajaan itu bakal memberi manfaat kepada 2.9 juta murid sekolah rendah dan 2.4 juta pelajar sekolah menengah.

Terdahulu Perdana Menteri berkata, kerajaan memperuntukkan RM50.2 bilion bagi sektor pendidikan untuk tahun depan.

"Bagi peruntukan pembangunan sebanyak RM1.9 bilion, ia akan dibelanjakan untuk semua jenis sekolah terdiri daripada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT), sekolah mubaligh serta sekolah agama bantuan kerajaan," ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik pulih bangunan sekolah, menyelenggara, membeli peralatan dan membina blok tambahan.

"Daripada peruntukan tambahan RM1 bilion itu, RM500 juta adalah untuk sekolah kebangsaan, RM100 juta kepada SJKC, RM100 juta kepada SJKT, RM100 juta kepada sekolah mubaligh, RM100 juta kepada sekolah agama bantuan kerajaan dan RM100 juta kepada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan tiga galakan untuk sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran dan memenuhi peraturan ditetapkan kerana ia turut memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan berkualiti untuk melahirkan generasi masa depan yang cemerlang.

"Tiga galakan itu adalah pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus atau elaun cukai pelaburan sebanyak 100 peratus ke atas perbelanjaan modal dalam tempoh lima tahun, potongan dua kali bagi perbelanjaan promosi di luar negara bagi menarik kemasukan lebih ramai pelajar asing.

"Galakan ketiga adalah pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas semua peralatan pembelajaran," katanya lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


4 pengawal ditahan bantu siasatan kes rompak van keselamatan

Posted:

4 pengawal ditahan bantu siasatan kes rompak van keselamatan

4 pengawal ditahan bantu siasatan kes rompak van keselamatan

SHAH ALAM 7 Okt. - Polis menahan empat pengawal bagi membantu siasatan kes rompakan sebuah van keselamatan yang dipercayai membawa wang tunai RM2.2 juta di sebuah stesen minyak di pekan Ijok, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, kesemua mereka berusia antara 19 dan 30 tahun, ditahan pihaknya di daerah itu pukul 2.30 petang.

Katanya, siasatan mendapati mereka terlibat menguruskan operasi penghantaran wang untuk dimasukkan ke dalam mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di stesen minyak berkenaan.

"Kesemua mereka ditahan reman selama seminggu bermula hari ini. Kita juga memburu lima suspek yang melarikan van keselamatan berkenaan dengan seorang daripadanya dipercayai warga asing," katanya di sini hari ini.

Mohd. Adnan memberitahu, hasil siasatan, pihaknya menemui semula van keselamatan bersama kereta Proton Perdana di sebuah kebun pisang semalam, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Katanya, kedua-dua kenderaan itu telah dibakar dan dipercayai dilakukan oleh lima perompak terbabit untuk melupuskan bukti.

Tambahnya, Proton Perdana yang ditemui itu merupakan kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Subang Jaya, 5 Oktober lalu.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dengan menggunakan senjata. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan," ujarnya.

Dalam kejadian semalam, lima lelaki bersenjatakan dua pucuk pistol melarikan van keselamatan dipercayai membawa wang tunai kira-kira RM2.2 juta di sebuah stesen minyak kira-kira pukul 9.45 pagi.

Ketika kejadian, kesemua pengawal keselamatan itu termasuk pemandu van berhenti di stesen itu untuk memasukkan wang tunai di dalam mesin ATM.

PDRM tingkat keupayaan siasatan - KPN

Posted:

PDRM tingkat keupayaan siasatan - KPN

PDRM tingkat keupayaan siasatan - KPN

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan keupayaan dan kemahiran pasukan tersebut dalam melakukan siasatan kes ekoran pemansuhan Akta Perintah Kediaman Terhad 1933 (Akta 377).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, ini termasuk menambah kelengkapan peralatan saintifik bagi meningkatkan lagi keupayaan dalam siasatan forensik.

"Langkah meningkatkan keupayaan dari segi penyiasatan merangkumi tiga jabatan PDRM iaitu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Kursus Bahasa Mandarin antara PDRM dan Universiti Malaya (UM) serta Institut Kong Zi di Maktab PDRM, Cheras, di sini hari ini.

Menurut Ismail, pihaknya berpuas hati dengan pencapaian pasukan itu dalam menyelesaikan kes-kes jenayah yang berlaku di negara ini.

"Berdasarkan kadar penyelesaian kes jenayah pada tahun lalu, sebanyak 40 peratus dicatatkan manakala tahun ini lebih daripada 25 peratus setakat ini telah dicatatkan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Harimau hilang taring

Posted:

Harimau hilang taring

Harimau hilang taring

Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my


Pemain Australia, Luke Wilkshire (kiri) mengasak penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat pada aksi persahabatan di Canberra, semalam. Australia menang 5-0. - AFP


KUALA LUMPUR - Pahit untuk ditelan tetapi akui sahajalah hakikat bahawa mutu bola sepak kita meskipun bergelar juara Asia Tenggara, sebenarnya masih jauh ketinggalan.

Kekalahan besar skuad kendalian Datuk K. Rajagobal 0-5 kepada Australia di Stadium Canberra, semalam, merupakan realiti yang mengejutkan kita daripada lamunan mimpi menyangka bola sepak Malaysia sudah kembali ke landasan sebenar.

Tidak sejak kita disingkirkan negara jiran, Singapura, daripada kelayakan Piala Dunia, tidak juga sewaktu kita berhempas pulas melakar keputusan seri 4-4 dengan Taiwan.

Maka terbukti benar jugalah kenapa ada pihak di Australia cuba mempersoalkan niat Socceroos mengatur pertemuan persahabatan dengan Malaysia yang dilabel sebagai pasukan kerdil dan apakah faedah kepada gergasi Asia yang menghuni ranking ke-19 dunia itu.

Tanpa nama-nama terkemuka seperti Tim Cahill, Brett Emerton, Mark Schwarzer dan Harry Kewell, Australia tetap berada di kelas berbeza dan terlalu gah untuk dicabar kesebelasan pemain Malaysia.

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk memulakan pesta gol apabila membuka jaringan pada minit ketiga menerusi Luke Wilshere selepas mudah menolak masuk hantaran bek kanan Middlesbrough, Rhys Williams dari jarak dekat.

Gol pembukaan itu mula menyerlahkan betapa rapuhnya pertahanan Harimau Malaya menyaksikan lawan dengan mudahnya bertukaran hantaran sebanyak enam kali yang dimulakan dari luar kotak, tanpa ditekan pemain kita sehinggalah gol disumbat Wilshere.

Selang empat minit kemudian, Malaysia berpeluang menyamakan kedudukan apabila Safee Sali berjaya melepasi kawalan dua pemain pertahanan lawan dari sebelah kiri padang dan melorongkan bola cantik ke tengah, namun tiada sesiapa yang berada di kotak untuk menyudahkanya.

Bermula saat itu, Australia mula menguasai bola secara menyeluruh dan melancarkan asakan demi asakan ke gawang Malaysia, sebahagian besarnya dari kedua-dua belah sayap, sementara pemain kita pula hanya mampu tercegat dan melihat.

Andai mendapat bola di kaki mereka pun, rata-rata mereka tidak tahu kepada siapakah mahu dihantar dan kelambatan bertindak menyebabkan ia mudah dirampas atau hantaran singgah ke pemain lawan.

Ketangkasan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat acap lagi menjadi penyelamat kepada kealpaan benteng pertahanan yang dibarisi Mahali Jasuli, Norhafiz Zamani Misbah, Muslim Ahmad dan Asraruddin Putra Omar, yang jika tidak, Malaysia berkemungkinan tewas dengan jumlah jaringan lebih besar.

Memasuki minit ke-30, Australia yang melancarkan serangan bertali arus sudah pun memperoleh 10 cubaan tepat ke gawang dan kebuntuan memburu jaringan kedua akhirnya dipecahkan oleh penyerang tinggi lampai, Joshua Kennedy, angkara kesilapan Amar Rohidan yang hilang bola di suku ketiga padang.

Penyerang Shimizu S-Pulse di Liga Jepun, Alex Brosque meledak jaringan ketiga sebelum Kennedy yang juga beraksi di Liga-J untuk Nagoya Grampus, melebarkan kedudukan 4-0 sebelum berakhirnya babak pertama.

Persembahan hambar pertahanan diparahkan lagi kegagalan jentera tengah berfungsi. S. Kunalan dan Baddrol Bakhtiar gagal mengancam dari bahagian sayap sementara Joseph Kalang Tie yang diberi kepercayaan Rajagobal mengisi kekosongan besar Safiq Rahim sebagai playmaker, tidak efektif.

Gandingan dua penyerang utama Harimau Malaya, Safee dan Nor Shahrul Idlan Talaha pastinya serba tidak menjadi ekoran kegagalan bahagian tengah.

Gol terakhir Australia yang melengkapkan keputusan 5-0, merumuskan kenapa Harimau Malaya begitu mudah diratah.

Tambahan sukan RM30j

Posted:

Tambahan sukan RM30j

Tambahan sukan RM30j

KUALA LUMPUR - Kerajaan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta untuk program sukan berprestasi tinggi dengan tumpuan diberi kepada pembangunan atlet muda agar mereka lebih kompetitif untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Pengumuman peruntukan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2012 yang bertemakan 'Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara' di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Peruntukan itu akan dimanfaatkan untuk bola sepak, badminton, skuasy, boling tenpin, terjun, memanah dan berbasikal.

Penyediaan peruntukan tambahan itu menjadikan keseluruhan peruntukan RM84 juta.

RM15 juta juga bagi membina 150 gelanggang futsal tambahan agar matlamat Satu Gelanggang, Satu Mukim dapat dicapai.

Kerajaan juga memperuntukkan RM50 juta menyediakan kemudahan padang tiruan yang dilengkapi lampu limpah di 30 lokasi terpilih seluruh negara.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Politik

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Politik


Kekecohan semasa ceramah Mat Sabu

Posted:

Kekecohan semasa ceramah Mat Sabu

Kekecohan semasa ceramah Mat Sabu

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL-JABRI
utusann9@utusan.com.my


INSIDEN tolak menolak berlaku hingga memaksa Unit Tindakan Ringan Polis dikejarkan ke tempat kejadian bagi meredakan pertelagahan antara penyokong Pas dengan NGO di Kapung Bintungan, Rembau, kelmarin.


REMBAU 7 Okt. – Bantahan orang ramai terhadap kehadiran Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu ke negeri ini berterusan dan terbaru apabila beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepadanya pada sesi ceramah parti itu di Kampung Pulau Bintungan di sini malam tadi.

Bagaimanapun kumpulan yang diwakili 70 orang terdiri daripada beberapa NGO yang diketuai Gerakan Memartabatkan Perjuangan Nasional (GMPN), kecewa selepas mereka dihalau dengan kasar oleh penyokong pembangkang ketika cuba menyerahkan memorandum kira-kira pukul 10.15 malam.

Berikutan itu, insiden tolak menolak berlaku antara kumpulan berkenaan sebelum pergaduhan tercetus antara mereka yang tidak berpuas hati dengan kehadiran rombongan GMPN.

Beberapa ahli kumpulan berkenaan cedera ringan dipercayai akibat ditumbuk dan terkena botol minuman serta objek yang dibaling oleh kedua-dua pihak.

Keadaan kemudian tidak terkawal menyebabkan Unit Tindakan Ringan (LSF) polis bergegas ke lokasi bagi meredakan keadaan.

Dua wakil GMPN akhirnya dibenarkan masuk bertemu Mat Sabu kira-kira pukul 10.30 malam selepas Ketua Cabang Keadilan Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard keluar untuk berunding sebelum menyerahkan memorandum berkenaan.

Di sebalik bantahan dan suasana tegang itu, Mat Sabu masih meneruskan ceramahnya sebelum ia berakhir kira-kira pukul 12 malam.

Sementara itu, wakil GMPN, Mohd. Arafat Muhammad kesal dengan insiden tersebut kerana penganjur sebelum itu memaklumkan wakil mereka akan dibenarkan masuk tanpa sebarang halangan.

''Sebelum ini kita telah berbincang dengan wakil penganjur sebelum ke kawasan ceramah itu kerana diberitahu empat wakil kami akan dibenarkan masuk menyampaikan memorandum kepada Mat Sabu," katanya.

Sebelum ini kehadiran Mat Sabu turut dibantah oleh beberapa NGO yang membantah kehadirannya pada sambutan Aidilfitri anjuran parti berkenaan di Ampangan dekat sini pada 24 September lalu berikutan kenyataannya menghina pejuang negara.

Malah peserta dari NGO berkenaan yang tidak berpuas hati dengan kenyataan pemimpin pembangkang itu yang masih mempertahankan pendiriannya dalam isu komunis, bertindak menyerbu majlis berkenaan.

Perkembangan itu menyebabkan beberapa siri pergelutan antara peserta perhimpunan dengan beberapa ahli Pas yang bertugas pada majlis berkenaan.

Mat Sabu sebelum ini mendakwa Mat Indera adalah wira sebenar dalam tragedi serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, bukannya anggota polis yang diserang kerana mereka bekerja dengan penjajah British.

Berikutan itu, Mat Sabu telah didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang 21 September lalu atas tuduhan membuat tohmahan memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam tragedi di Bukit Kepong sewaktu menyampaikan ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor pada Ogos lalu.

Kelantan tubuh jawatankuasa pelaksana hudud

Posted:

Kelantan tubuh jawatankuasa pelaksana hudud

Kelantan tubuh jawatankuasa pelaksana hudud

KOTA BHARU 7 Okt. - Selepas didesak pelbagai pihak, akhirnya, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan satu jawatankuasa pelaksana hukum hudud akan ditubuhkan.

Menurut beliau, jawatankuasa itu ditubuhkan bagi menentukan bagaimana Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 bakal digazetkan untuk pelaksanaan serta penentuan semua perkara berkaitan seperti pelantikan hakim.

Mursyidul Am Pas itu berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut hanyalah perkara teknikal dan segala urusan terletak kepada tindakan pegawai kerajaan negeri.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan dengan tepat bila tugas jawatankuasa pelaksana itu akan bermula dan memberi alasan ia tidak boleh tergesa-gesa.

"Kita akan tubuh dan serah kepada jawatankuasa itu, bagaimana nak gazet, siapa nak dilantik jadi kadi, hakim, benda ini bukan lagi kerja saya tapi kerja teknikal, kerja pegawai.

"Benda ini tidak boleh buat dengan cepat, selama ini kita hanya beri kursus dan penerangan, sekali setahun kita buat wacana hudud kerana kita berasa payah, tapi sekarang ini alhamdulillah, dengan pemahaman yang diberi pakar perlembagaan seperti Profesor Dr. Abdul Aziz Bari, nampak jelas, tidak ada apa salah untuk melaksanakan hudud.

"Seperti saya pernah sebut, ini urusan dan perkara negeri, di bawah kuasa Tuanku Sultan, jadi kenapa Kerajaan Pusat nak ganggu kerja-kerja ini, malah Abdul Aziz kata kita boleh saman Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana dia ganggu semangat federalisme dengan surat amarannya dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya bila kerajaan Kelantan akan melaksanakan hukuman hudud selepas menyampaikan kuliah Jumaat di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri, di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan teguran Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Daud Mohamad bahawa kerajaan negeri hanya lantang bercakap mengenai hudud pada waktu tertentu meskipun peruntukannya telah diluluskan sejak lebih 20 tahun lalu.

Sementara itu, Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin baru-baru ini dilaporkan berkata, suasana di Kelantan belum kondusif untuk pelaksanaan hukuman hudud.

Sementara itu, dalam masa sama, Nik Abdul Aziz menyambut baik kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dilaporkan meminta Kerajaan Pusat memberi peluang kepada Kelantan melaksanakan hukuman hudud di negeri ini.

"Dia sebagai seorang mufti, dia tahu hukum hudud, hudud ini hukum syarak, bukan hukum pandai-pandai Pas, ini hukuman yang ada dalam al-Quran, jadi kenapa disekat-sekat? Sekat ini tanda kita tak faham, atau termakan pengaruh Barat yang mengatakan Islam ini ganas," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Jumaat, 7 Oktober 2011

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Tak pernah kata Anwar tak boleh bongkok - Pakar

Posted:

Tak pernah kata Anwar tak boleh bongkok - Pakar

Tak pernah kata Anwar tak boleh bongkok - Pakar

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa seseorang yang mempunyai masalah atau penyakit berkaitan tulang belakang tetapi mampu membongkokkan badan untuk mengambil sesuatu dari lantai, bermakna individu terbabit mempunyai keupayaan mengawal otot bagi menghalang rasa sakit.

Pakar bedah ortopedik Jerman, Dr. Thomas Hoogland, 66, menyatakan demikian semasa pemeriksaan balas oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden pada perbicaraan kes liwat peringkat bela diri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saksi pembelaan ketujuh itu kemudian ditunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) salah sebuah lif di Kondominium Desa Damansara yang memaparkan Anwar memasuki lif tersebut dan kemudian membongkok ke kanan untuk meletakkan beg yang dipegangnya sebelum membongkok ke hadapan lalu mengambil kot sebelum menyarungnya ke badan.

Walaupun mendakwa tidak boleh memberikan jawapan yang tepat mengenai keadaan pesakitnya itu ekoran rakaman CCTV itu dimainkan dengan kadar yang laju, saksi itu memberitahu, berdasarkan rakaman tersebut, Anwar boleh membongkokkan badannya tetapi tidak dapat dipastikan sama ada tertuduh itu menahan sakit atau sebaliknya.

"Saya tidak pernah kata yang Anwar tidak boleh membongkok tetapi dia akan sakit sekiranya dia cuba melakukan pergerakan dengan pantas," ujarnya yang pernah melakukan pembedahan tulang belakang terhadap Ahli Parlimen Permatang Pauh itu pada 2004.

Anwar, 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 26, di Unit 11-51-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Terdahulu, pada peringkat awal perbicaraan, Hoogland menyatakan posisi melutut tidak akan menyebabkan kesakitan dan sekiranya ada rasa sakit ia bukan berpunca daripada bahagian belakang sebaliknya sebarang pergerakan yang dibuat selepas itu yang akan menimbulkan rasa sakit.

Sebagai pakar tulang belakang, beliau berpendapat bahawa untuk mengadakan hubungan seks dalam keadaan sedemikian adalah 'amat-amat sukar untuk berlaku'.

Selepas selesai soalan berhubung rakaman CCTV dikemukakan, soal balas oleh Mohd. Yusof terhadap saksi itu kemudian dilakukan secara tertutup selama hampir setengah jam.

Semalam, prosiding secara tertutup diadakan selama 10 minit bagi membolehkan peguam Sankara Nair menyoal pakar bedah tersebut berhubung keterangan mangsa mengenai dakwaan perbuatan liwat tersebut.

Bagaimanapun kira-kira pukul 12.35 tengah hari, pihak media dimaklumkan bahawa Hoogland telah selesai disoal semula oleh Sankara sebaik sahaja pemeriksaan balas Mohd. Yusof berakhir.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah bersambung pada 17 Oktober ini.

Sementara itu, Nair ketika ditemui pemberita kemudiannya memaklumkan, pihaknya akan memanggil bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof sebagai saksi-saksi pembelaan yang seterusnya.

Beliau turut memberitahu, pihak pendakwaan memaklumkan akan memanggil antara dua hingga tiga orang saksi (rebuttal witness) untuk menyangkal keterangan saksi-saksi pakar pembelaan.

Menjelaskan mengenai tindakan pihak pendakwaan itu, Nair menyatakan, ia merupakan perkara biasa dan walaupun tiada peruntukkan undang-undang yang spesifik mengenainya, terdapat beberapa nas undang-undang yang menyentuh mengenai perkara tersebut.

Tiga pegawai risik SPRM didakwa

Posted:

Tiga pegawai risik SPRM didakwa

Tiga pegawai risik SPRM didakwa

Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my

SEPANG 7 Okt. – Tiga pegawai risik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini didakwa atas sembilan tuduhan membabitkan kesalahan bersubahat melakukan rompakan berkumpulan, penipuan dan penyamaran serta menyembunyikan rancangan rompakan terhadap tiga warganegara Singapura melibatkan wang tunai mencecah RM1 juta.

Timbalan Penguasa, S. Vijayarao, 33, dan dua pegawai berpangkat Penolong Penguasa, Wan Elfie Shafizy Wan Ahmad, 30, serta Aziz Jaafar, 48, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan-tuduhan yang dibacakan kepada mereka di Mahkamah Sesyen, di sini.

Ia melibatkan tiga tuduhan utama bersubahat melakukan rompakan berkumpulan, tiga tuduhan utama menipu dan tiga tuduhan pilihan menyamar serta tiga tuduhan utama menyembunyikan rancangan rompakan.

Perbuatan-perbuatan tersebut didakwa dilakukan di antara pukul 11 malam dan 11.25 malam, 15 September lalu di tandas lelaki bersebelahan Restoran Deli France, Tingkat 1, Bangunan Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 6 Disember ini untuk proses penyerahan dokumen.

Mahkamah turut mengenakan syarat-syarat tambahan iaitu tertuduh-tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa, diperintah melaporkan diri di balai polis berhampiran pada Sabtu pertama setiap bulan serta larangan memasuki Sabah dan Sarawak.

Mereka didakwa atas tiga tuduhan bersubahat melakukan rompakan berkumpulan bersama-sama dua lagi yang masih bebas iaitu T. Sritharan, 32, dan D. Nagarajan, 34.

Mangsa-mangsa terdiri daripada Hameed Saadik Batcha, Abd. Rahman Maricar dan Mohamed Zakkariya Mohamed Shatik dengan setiap seorang melibatkan wang tunai AS$100,000 (RM320,000).

Mereka turut didakwa bersubahat dengan Sritharan menipu ketiga-tiga mangsa dengan memperkenalkan lelaki itu sebagai pegawai SPRM di Bangunan Satelit KLIA pada waktu yang sama.

Pegawai-pegawai berkenaan yang kini ditahan kerja turut didakwa atas tuduhan pilihan bersubahat dengan Sritharan yang melakukan penyamaran sebagai pegawai agensi berkenaan.

Vijayarao, Wan Elfie Shafizy dan Aziz juga didakwa atas tuduhan menyembunyikan rancangan rompakan yang didakwa dilakukan oleh kedua-dua lelaki berkenaan bertujuan memudahkan mereka melakukan jenayah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan rompakan berkumpulan, Seksyen 419 bagi kesalahan menipu, Seksyen 170 dibaca bersama Seksyen 109 bagi kesalahan bersubahat melakukan penyamaran dan Seksyen 120 bagi kesalahan menyembunyikan rancangan rompakan.

Mahkamah turut membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud agar ketiga-tiga tertuduh dibicarakan bersama mengikut Seksyen 170 Kanun Tatacara Jenayah atas alasan ia melibatkan transaksi yang sama.

Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abas dan Najib Zakaria turut hadir bagi pihak pendakwaan.

Peguam T. Vijayasandran mewakili Wan Elfie Shafizy, Aziz diwakili oleh peguam, Mohd. Nazri Yahya manakala Vijayarao diwakili oleh M.M. Athimulan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Bangkit isu Felda Plantation

Posted:

Bangkit isu Felda Plantation

Bangkit isu Felda Plantation

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

KUANTAN 7 Okt. – Kesukaran untuk mempengaruhi warga Felda menyebabkan pembangkang terpaksa mencipta pelbagai isu bagi memastikan golongan terbabit memberi sokongan kepada mereka.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Abu Jimi Samat yakin usaha pembangkang itu akan gagal kerana pelbagai dakwaan terhadap pengurusan Felda sebelum ini tidak berasas.

"Saya yakin warga Felda juga menyedari nikmat yang diperoleh dan tahu mereka termasuk generasi kedua Felda tidak akan diabaikan.

"Felda sendiri sudah pasti mempunyai kaedah penyelesaian untuk keperluan generasi kedua Felda seperti keperluan generasi pertama dahulu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) yang diketuai Presidennya, Mazlan Aliman mengedar borang kepada generasi kedua dan ketiga Felda kononnya untuk membolehkan mereka memperoleh tanah milik Felda Plantation apabila pembangkang berkuasa kelak.

Abu Jimi berkata, warga Felda khususnya generasi baru perlu menjauhkan diri daripada Anak yang hanya pandai berjanji kerana niat sebenar lebih kepada kepentingan politik semata-mata.

"Semua hal berkaitan dengan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan Felda bukan di bawah kuasa Anak," katanya.

Menurut beliau, kerajaan dan Felda ada cara serta strategi untuk memakmurkan warga Felda dalam pelbagai bidang seperti yang terbukti dan dinikmati mereka sekarang.

Operasi turunkan iklan ah long

Posted:

Operasi turunkan iklan ah long

Operasi turunkan iklan ah long


Pegawai polis, Razif Mohd. Wahi menanggalkan kertas pelekat iklan ah long yang dilekatkan di telefon awam ketika membersihnya di Taman Indera Mahkota, Kuantan, kelmarin. - BERNAMA


KUANTAN 7 Okt. - Sebanyak 261 poster iklan ah long di sekitar bandar ini berjaya diturunkan dalam operasi bersepadu melibatkan antara polis dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusof berkata, dalam operasi itu, pelekat iklan ah long yang dipasang di merata-rata tempat turut ditanggalkan.

"Operasi ditumpukan di sekitar pusat bandar, kawasan Air Putih, Indera Mahkota dan Semambu termasuk taman-taman perumahan di sini.

"Usaha ini yang dimulakan sejak Jun lalu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengekang kegiatan ceti haram," katanya di sini.

Operasi membuang iklan ah long yang bermula sejak pukul 10.30 pagi dan berakhir kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu diketuai Asisten Supritendan Zaizul Rizal Zakaria bersama lima anggota dan lima pegawai MPK.

Katanya, langkah itu dilakukan bagi mengelak orang awam berurusan dengan ceti haram melalui nombor telefon yang dipamer pada iklan dan poster tersebut.

Kata Jasmani, pada tahun ini hanya satu laporan polis dibuat berhubung kes melibatkan ah long iaitu pada bulan lalu dan kes berkenaan masih dalam siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sindiket ini diminta melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan segera," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan perbuatan menampal pelekat atau poster iklan perkhidmatan pinjaman wang di tempat awam menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

Jeti KPEP rangsang bidang akuakultur

Posted:

Jeti KPEP rangsang bidang akuakultur

Jeti KPEP rangsang bidang akuakultur

KUALA LIPIS 7 Okt. - Projek Jeti Komuniti Pengurusan Ekosistem Perikanan (KPEP) bernilai RM200,000 merupakan kemudahan penting dalam memacu sektor perikanan air tawar di santuari Sungai Kuala Serau, Hulu Jelai dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jeti KPEP yang dibina menerusi peruntukan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu juga antara kemudahan pemuliharaan ikan air tawar di santuari tersebut.

Menurutnya, dengan terbinanya jeti itu, ia mampu menjadi pemangkin dalam usaha kerajaan meningkatkan pendapatan penduduk berasaskan bidang akuakultur dan pelancongan.

''Kerajaan negeri menerusi Jabatan Perikanan sememangnya komited dalam menjayakan projek perikanan air tawar kerana ia dapat memelihara pelbagai spesies ikan air tawar yang bermutu tinggi agar tidak pupus pada masa akan datang," katanya di Kuala Serau, dekat sini baru-baru ini.

Menurut beliau, Jabatan Perikanan juga menubuhkan Jawatankuasa Perikanan Darat membabitkan penglibatan penduduk setempat yang berkemahiran dalam bidang akuakultur.

Wan Rosdy yang juga Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands berkata, penduduk yang menganggotai jawatankuasa berkenaan turut diberi latihan dan kemudahan bot untuk tujuan pemantauan.

Sehubungan itu, katanya, kegiatan akuakultur di Kuala Serau mampu merangsang penduduk di situ memajukan bidang ternakan air tawar di kolam kawasan tanah terbiar dan sangkar di sungai berkenaan untuk menjana pendapatan.

"Projek santuari ikan air tawar Sungai Kuala Serau juga merupakan lokasi baru pusat pelancongan di Hulu Jelai berasaskan keindahan alam sekitar, sungai dan pembangunan sektor pertanian," ujarnya.

Beliau berkata, usaha penambahan benih ikan seperti lampam dan kelah akan dilaksanakan secara berperingkat di santuari Sungai Kuala Serau dan anak sungai berdekatan agar pembiakan lebih terancang.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Pertempuran sengit di Sirte

Posted:

Pertempuran sengit di Sirte

Pertempuran sengit di Sirte


Tentera NTC melancarkan serangan besar-besaran dari timur bandar Sirte menggunakan senjata berat ke tengah bandar itu bagi menawan bandar kelahiran Gaddafi itu, semalam. - AFP


SIRTE, Libya 7 Okt. - Tentera Libya menggempur bandar Sirte, menggunakan senjata berat hari ini, serangan terbesar setakat ini untuk menawan bandar kelahiran bekas pemimpin Muammar Gaddafi itu.

Kejayaan menawan bandar di tepi pantai itu dianggap penting kerana ia akan menjadi kemenangan simbolik bagi kerajaan baru Libya, dan akan membolehkan mereka menguasai sepenuhnya negara ini, hampir dua bulan sejak pemberontak menawan ibu negara Tripoli.

Tentera yang setia kepada Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) menghadapi tentangan hebat daripada tentera yang setia kepada Gaddafi yang menggunakan senjata berat bagi mempertahankan bandar itu sejak beberapa minggu lalu.

Asap tebal memenuhi ruang udara Sirte ketika kereta kebal tentera NTC melepaskan tembakan dan meriam ke arah tengah bandar itu dari arah timur, bandar ini yang merupakan kubu kuat terakhir yang masih dikuasai tentera yang setia kepada Gaddafi.

Beribu-ribu penduduk Sirte telah meninggalkan bandar itu setelah pertempuran semakin sengit.

"Serangan dilancarkan dari semua arah. Hari ini kita akan tamatkan pertempuran ini. Dengan izin Tuhan kita akan berjaya menawan Sirte," kata Kolonel Ahmed El-Obeidi, seorang komander NTC. - Reuters

Bas guna jet jumbo pertama di dunia

Posted:

Bas guna jet jumbo pertama di dunia

Bas guna jet jumbo pertama di dunia


Lakaran artis bas berteknologi tinggi yang dipanggil 'super bus' menggunakan kuasa elektrik akan digunakan di Emiriyah Arab Bersatu. - Agensi


LONDON 7 Okt. - Orang ramai kini boleh mengembara dari Dubai ke Abu Dhabi sejauh 121 kilometer dalam tempoh tidak sampai setengah jam dengan hanya menaiki bas.

Bas yang digelar 'super bus', ciptaan seorang angkasawan dari Belanda dan merupakan bekas pakar aerodinamik Formula One, Profesor Wubbo Ockels itu merupakan yang pertama di dunia dan mampu memecut sehingga 250 kilometer sejam.

Bas berteknologi tinggi yang kelihatan seperti sebuah kereta Lamborghini yang panjang itu mampu membawa seramai 23 orang penumpang dan berharga 7 juta pound (RM34 juta).

Diperbuat daripada bahan-bahan ringan termasuk aluminium, gentian karbon, kaca gentian dan polikarbonat.

Penumpang akan menikmati keselesaan setanding dengan limusin atau jet peribadi ketika menaiki bas sepanjang 15 meter, lebar 2.5 meter dan setinggi 1.65 meter itu yang menggunakan tenaga elektrik daripada kuasa solar.

Menurut pereka projek, Antonia Terzi, 'super bus' itu yang dibawa ke Emiriyah Arab Bersatu menggunakan jet jumbo akan melalui kawasan bandar dengan kelajuan yang dibenarkan dan hanya akan memecut apabila memasuki lebuh raya.

"Penumpang boleh membuat tempahan tiket secara talian dan kami akan mengambil mereka di rumah dan menghantar ke destinasi mereka," katanya. - AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved