Sabtu, 24 September 2011

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Judi haram: 4 PBT pantau rapi

Posted:

Judi haram: 4 PBT pantau rapi

Judi haram: 4 PBT pantau rapi

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 23 Sept. - Empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini memberi jaminan melakukan pemantauan rapi setiap hari di 266 kafe siber berlesen di kawasan tadbiran masing-masing bagi memastikan ia tidak disalah guna untuk kegiatan perjudian haram.

Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dua minggu lalu memutuskan untuk tidak mengeluarkan lagi lesen kafe siber dalam usaha memantau 32 premis sedia ada bagi mengekang penyalahgunaan lesen itu.

Dua lagi PBT iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) juga bertindak demikian apabila kali terakhir meluluskan permohonan lesen kafe siber pada tahun lalu.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, setakat ini hanya 161 lesen kafe siber diluluskan PBT itu di bawah Akta Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred MBMB 2010 dan Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 2001.

"Kali terakhir MBMB mengeluarkan lesen tersebut ialah pada tahun lalu dan selepas itu kita memang tidak pernah memproses apa-apa permohonan lesen berkaitan kafe siber.

"Usaha kini lebih tertumpu ke arah memantau kegiatan kafe siber sedia ada selain membuat serbuan ke atas kafe siber yang menjalankan kegiatan menyalahi undang-undang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar ini kelmarin mengenai keresahan sebahagian penduduk di negeri ini yang bimbang dengan kewujudan pusat-pusat perjudian haram di kafe-kafe siber di seluruh negeri ini tanpa tindakan tegas pihak berkuasa.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mengkaji dengan teliti permohonan untuk membuka kafe siber dan seumpamanya bagi memastikan ia tidak disalah guna untuk kegiatan perjudian haram.

Khalid yang menyifatkan penyelewengan lesen kafe siber itu sudah lama berlaku berkata, perkara itu perlu diberi perhatian oleh PBT kerana pengeluaran lesen bukan di bawah bidang kuasa polis.

Mengulas lanjut Zainal berkata, sejak awal bulan lalu sehingga semalam, lebih 20 serbuan telah dibuat dan tindakan diambil terhadap 28 premis kafe siber dengan merampas 90 buah komputer dan 88 unit pemproses pusat (CPU) dipercayai digunakan bagi tujuan perjudian haram.

Yang Dipertua (YDP) MPAG, Kamaruddin Md. Shah pula ketika dihubungi memberitahu, pengeluaran lesen kafe siber dihentikan sejak dua minggu lalu dan ketika ini hanya 32 kafe siber berlesen beroperasi di daerah Alor Gajah.

"Dalam usaha memerangi habis-habisan kegiatan perjudian berkomputer secara haram ini, kami melakukan pemantauan dan serbuan hampir setiap hari.

"Kami juga mengenal pasti lima premis judi haram berkomputer dan dua daripadanya yang beroperasi di Taman Sri Naning, Simpang Ampat dan Taman Desa Bayu, Kuala Sungai Baru telah diserbu dan sejumlah 37 set komputer beserta CPU dirampas," katanya.

Dalam pada itu YDP MPJ, Murad Husin berkata, pihaknya kini giat melakukan pemantauan terhadap 68 premis kafe siber berlesen di daerah itu selain masih memproses dua permohonan lesen kafe siber.

"Pemantauan yang dijalankan mendapati semua 68 premis ini tidak terlibat dalam perjudian haram kecuali lima premis tidak berlesen yang menjalankan kegiatan judi berkomputer.

"Kompaun kerana tiada lesen telah dikenakan selain turut merampas 19 unit komputer. MPJ dengan kerjasama polis akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa," katanya.

YDP MPHTJ, Sapiah Haron pula berkata, pihaknya turut memperhebatkan operasi pemantauan dan serbuan di lima kafe siber berlesen di kawasan itu.

"Bagaimanapun, kita turut mengenal pasti sembilan kegiatan judi haram yang beroperasi tanpa lesen di premis-premis kosong di lima kawasan iaitu Bukit Beruang, Ayer Keroh, Batu Berendam, Taman Merdeka dan Gangsa.

"Tindakan telah diambil malam tadi dan dengan kerjasama pihak polis kita telah merampas 178 buah komputer dan 86 unit CPU," katanya.

Peneroka diminta waspada elak jadi mangsa penipuan

Posted:

Peneroka diminta waspada elak jadi mangsa penipuan

Peneroka diminta waspada elak jadi mangsa penipuan


Zainal Abidin Ahmad beramah mesra bersama anak-anak peneroka selepas menghadiri jamuan hari raya di Balai Raya Felda Lui Timur, semalam.


JEMPOL 23 Sept. - Peneroka di daerah ini dinasihatkan supaya tidak terlalu tamak dengan bertindak memajak atau menjual tanah kepada orang tengah yang menjanjikan tawaran lumayan kerana dibimbangi mereka akan menjadi mangsa penipuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, tanah tersebut merupakan harta berharga yang boleh menjadi sumber pendapatan mereka hingga ke anak cucu.

"Baru-baru ini ada orang luar yang datang ke Felda Pasoh Dua dan memperkenalkan diri sebagai orang tengah kepada seorang jutawan di Sabah.

"Dia menawarkan RM30 juta jika peneroka bersedia memajak tanah mereka seluas empat hektar," katanya pada majlis Jamuan Aidilfitri di Balai Raya Felda Lui Timur, dekat sini baru-baru ini.

Jelasnya, peneroka perlu berwaspada kerana tawaran tersebut terlalu tinggi dan berisiko kerana ia melebihi harga pasaran.

"Harga bagi keluasan itu dianggarkan RM250,000 sahaja. Kita tidak mahu ada peneroka yang tertipu gara-gara mahu memperolehi wang dengan cepat dan mudah," tegasnya.

Mengulas lanjut perkembangan tersebut, Zainal Abidin bimbang apabila hampir 10 daripada 380 peneroka di kawasan tersebut sudah mula bersetuju untuk memajakkan tanah mereka.

"Dimaklumkan mereka sudah memberi salinan kad pengenalan dan salinan geran tanah kepada pihak tersebut. Kini peneroka tersebut sedang menunggu untuk dibawa ke Sabah bagi mendengar taklimat dalam masa terdekat ini," katanya.

Jelas beliau, dua tahun lalu senario yang sama berlaku di Felda Pasoh Empat apabila mereka diarah menyerahkan geran asal tetapi bernasib baik kerana hanya memberi salinan geran.

"Mereka telah menyerahkan geran salinan dan berharap perjanjian itu menjadi, namun sehingga kini tiada khabar berita. Jika mereka serahkan geran asal sudah pasti ditipu.

"Jika peneroka benar-benar mahu memajak atau menjual tanah, sebaiknya berunding dengan pihak pengurusan Felda sebelum berbuat demikian," katanya.

Kastam Melaka rampas RM3.52j rokok seludup

Posted:

Kastam Melaka rampas RM3.52j rokok seludup

Kastam Melaka rampas RM3.52j rokok seludup

MELAKA 23 Sept. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri ini mematahkan tiga sindiket penyeludupan rokok seludup dan merampas 39,182 karton rokok putih dan keretek bernilai RM3.52 juta termasuk cukai dalam tiga serbuan baru-baru ini.

Pengarah JKDM Negeri, Datuk Mohd. Nasir Said berkata, dalam operasi pukul 3.15 petang semalam, pasukan itu menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Kinrara, Puchong, Selangor.

Menurut beliau, rumah tersebut telah dijadikan stor untuk menyimpan 6,682 karton rokok putih dan keretek pelbagai jenama yang tidak mempunyai label cukai bernilai RM125,536 dengan nilai cukai sebanyak RM563,359.

"Turut ditahan ialah seorang lelaki berusia 30-an yang direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967," katanya di sini hari ini.

Dalam serbuan Selasa lalu, kata beliau, satu lagi sindiket penyeludupan rokok yang beroperasi di Johor Bahru tumpas apabila pihaknya merampas sebuah van yang membawa 3,000 karton rokok bernilai RM66,000 melibatkan cukai sebanyak RM306,960.

"Pemandunya berjaya melarikan diri ketika van itu ditemui di Kilometer 9.2 Lebuh Raya Utara Selatan di Tanjung Kupang, Johor," katanya.

Menurut beliau, dalam rampasan terbesar pada 16 Jun lalu, anggotanya berjaya merampas dua lori membawa 29,500 karton rokok bernilai RM547,5000 dengan nilai cukai RM1,910,130 di kawasan Rawat dan Rehat Ayer Keroh.

"Ketika kenderaan itu diperiksa, pemandunya tiada dan kita percaya lori dari negara jiran itu diletakkan di situ sementara menunggu pertukaran pemandu selain membuat penukaran nombor pendaftaran palsu," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Nasir memberitahu, sepanjang tahun ini pihaknya menggagalkan 22 kes penyeludupan rokok bernilai RM10.29 juta termasuk cukai.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


AG gubal dua akta baru

Posted:

AG gubal dua akta baru

AG gubal dua akta baru

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my


HISHAMMUDDIN Tun Hussein beramah mesra dengan bekas polis pada Majlis Hari Raya Kementerian Dalam Negeri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA


KUALA LUMPUR 23 Sept. – Dua undang-undang baru yang akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 hanya akan diumumkan selepas Jabatan Peguam Negara (AG) selesai menggubal undang-undang itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dua akta baru itu akan diumumkan oleh Peguam Negara sebelum dibentangkan di Parlimen.

Katanya, pada peringkat ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi maklumat dalam konteks keselamatan negara.

"Maklumat (keselamatan) kepada AG itu disampaikan oleh PDRM menerusi Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Mahmood Adam.

"Kita tunggu AG yang akan mengumumkan sendiri akta baru itu nanti," katanya pada sidang akhbar di Rumah Terbuka KDN di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Hishammuddin menafikan pengumuman Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memansuhkan ISA pada 16 September lalu itu bersifat retorik, sebaliknya dilakukan berlandaskan transformasi untuk membangunkan negara ini.

"Apa yang kita lakukan tidak sesekali akan menjejaskan keselamatan, ketenteraman dan keharmonian yang wujud sejak merdeka lagi.

"Tetapi perubahan yang kita lakukan ini adalah untuk mengimbangi kepentingan dan keselamatan negara dengan hak asasi serta individu setiap masyarakat di negara ini.

"Oleh itu, setiap pertimbangan yang dilakukan perlu dikaji dengan teliti dan bukan KDN sahaja terlibat sebaliknya Kementerian Penerangan serta Jabatan Perdana Menteri juga memainkan peranan," katanya.

Ujar beliau, Jemaah Menteri menyokong langkah diumumkan Perdana Menteri dan tiada muslihat mahupun agenda di sebaliknya, melainkan perancangan membawa Malaysia ke hadapan.

Jangan buat spekulasi kes samun pengurup wang

Posted:

Jangan buat spekulasi kes samun pengurup wang

Jangan buat spekulasi kes samun pengurup wang

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi berhubung kes samun seorang pengurup wang oleh tiga pegawai sebuah agensi penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, 15 September lalu.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, pihaknya akan menjalankan siasatan dengan profesional bagi menyelesaikan kes tersebut.

"Justeru, polis harus diberi kepercayaan untuk menjalankan siasatan dengan lebih terperinci," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penutupan Program Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dan Program Diploma Siswazah Sains Kepolisan sesi 2010/2011 di Maktab Polis Diraja Malaysia Cheras, di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 19 graduan Program Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dan 33 graduan Program Diploma Siswazah Sains Kepolisan menamatkan pengajian.

Ismail memberitahu, pihaknya memberi kepercayaan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) untuk menyiasat kes samun itu yang melibatkan kerugian AS$300,000 (RM950,000).

"Saya yakin Pengarah JSJ akan dapat menjalankan siasatan dengan profesional berdasarkan penemuan baru. Petunjuk baru juga akan diperoleh dari semasa ke semasa," ujarnya.

Pada 19 September lalu, tiga pegawai agensi penguat kuasa ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor untuk memberi keterangan selepas dipercayai terbabit dalam kes samun seorang pengurup wang di KLIA.

Selepas penahanan ketiga-tiga pegawai tersebut, polis kini mencari dua lagi lelaki rakyat tempatan yang dipercayai bersubahat dengan tiga pegawai berkenaan.

Dua beradik diburu polis Thailand

Posted:

Dua beradik diburu polis Thailand

Dua beradik diburu polis Thailand

Daripada RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my


Chaitath Intanuchit menunjukkan gambar suspek yang mempunyai kaitan dengan kejadian letupan bom di Sungai Golok tempoh hari, di Narathiwat kelmarin.


NARATHIWAT, Selatan Thailand 23 Sept. – Polis Thailand memburu dua beradik termasuk seorang daripadanya disahkan mempunyai dua kerakyatan iaitu Thailand dan Malaysia, kerana dipercayai bertanggungjawab memasang dan meletupkan bom di daerah Golok, pada 16 September lalu.

Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Chaitath Intanuchit berkata, wajah seorang daripada suspek berjaya dirakam oleh sebuah kamera litar tertutup (CCTV) di Hotel Merlin yang turut terjejas akibat pengeboman itu.

Beliau berkata, lelaki tersebut, Suhaidi Rubaku, 26, diburu bersama abangnya, Roslan, 27, yang dipercayai turut terlibat menghasilkan bom dan tidak menolak kemungkinan kedua-duanya telah melarikan diri dan bersembunyi di Malaysia.

Katanya, mereka yang berasal dari Mukim Peluru, Sungai Padi di selatan Thailand merupakan rakan kepada tiga lelaki yang ditahan polis Kelantan pada 14 Disember 2009 di Pasir Mas, Kelantan, kerana terlibat menghasilkan bahan letupan termasuk bom.

Jelas beliau, kedua-dua suspek adalah pengedar dadah antarabangsa diisytiharkan sebagai penjenayah merbahaya kerana turut terlibat dalam pengeboman lain di daerah Golok pada 21 Ogos dan 6 September 2009.

"Selepas mendapatkan maklumat daripada 35 saksi dan melalui rakaman CCTV, kami telah mengeluarkan arahan bahawa Suhaidi merupakan individu sangat dikehendaki polis kerana bertanggungjawab memasang dan meletupkan bom itu dan abangnya dipercayai turut membantunya.

"Saya telah memaklumkan perkara tersebut kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) beberapa hari lalu kerana mungkin suspek berada di Malaysia selepas siasatan kami mendapati dia turut mempunyai Mykad, namun menggunakan nama berlainan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Pemerintah Rejimen Tentera Marin Narathiwat, Kapten Somkeart Ponprayoon.

Dalam kejadian pukul 7.30 petang, 16 September lalu, empat rakyat Malaysia maut, manakala 14 lagi cedera dalam tiga letupan bom di kawasan hiburan Jalan Charoen Khet di sempadan negara Thailand itu.

Chaitath berkata, rakaman CCTV yang diperoleh jelas merakamkan Suhaidi telah terlebih dahulu melintas di hadapan Hotel Merlin berulang kali dalam waktu yang singkat, sebelum meletakkan bom tersebut di sebelah hotel tanpa disedari orang lain.

Katanya, hasil siasatan mendapati pengeboman tersebut bukan ditujukan kepada rakyat Malaysia tetapi merupakan tindakan balas dendam Suhaidi dan abangnya selepas pihak berkuasa Thailand merampas pil kuda, wang tunai, senjata api dan emas milik mereka dua hari sebelum itu yang keseluruhannya berjumlah kira-kira RM800,000.

"Kami mendapati, beberapa pengeboman sebelum ini turut berlaku beberapa hari selepas pihak berkuasa merampas dan mematahkan aktiviti pengedaran dadah oleh suspek, justeru kami yakin letupan kali ini turut mempunyai motif sama.

"Jumlah rakyat Malaysia yang paling ramai terkorban adalah tidak sengaja kerana suspek sebenarnya mahu membalas dendam dan berharap letupan itu membunuh dan mencederakan lebih ramai orang," tambahnya.

Beliau memberitahu, kedua-dua suspek merupakan penjenayah antarabangsa yang sukar ditangkap kerana ada antaranya memiliki dua taraf kerakyatan yang memudahkan mereka untuk bersembunyi di antara dua negara. – Utusan

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Bersatu, teras kejayaan BN Kedah

Posted:

Bersatu, teras kejayaan BN Kedah

Bersatu, teras kejayaan BN Kedah

Oleh ZAHARI MORAD


Ahmad Bashah Md. Hanipah


NADA skeptikal selalu mempersoal sama ada Barisan Nasional (BN) Kedah dapat merampas kembali negeri ini pada pilihan raya umum akan datang?

Natijah sebenar yang perlu ditanya ialah adakah kita mahu merasai nikmat kemenangan atau penderitaan kekalahan?

Jikalau mahu menang, maka tindakan dan sikap setiap ahli dan penyokong harus menjurus usaha memberi kemenangan kepada parti.

Sikap mahu menang akan memberi motivasi kepada semua yang sayangkan parti, agar bersatu padu dan bekerja keras dalam masa beberapa bulan yang tinggal sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Sikap mahu menang juga akan memberi keinsafan kepada setiap orang supaya meminggirkan kepentingan sendiri dan meletak kepentingan parti sebagai keutamaan.

BN sebenarnya mampu menang di Kedah.

Caranya juga tidak sukar sebenarnya. Hanya dua perkara diperlukan, iaitu bersatu padu dan bekerja keras di setiap peringkat. Sekiranya dua perkara tersebut diamalkan, misi mengambil kembali Kedah dapat dilakukan dengan jayanya.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah kerap kali menekan tentang dua perkara berkenaan dalam penjelajahan bertemu dengan pelbagai lapisan rakyat, pemimpin serta penyokong parti.

Bagi Ahmad Bashah, perpaduan adalah tonggak kekuatan. Parti akan lemah tanpa perpaduan dan ia pasti kalah tanpa perpaduan. Sekiranya perpaduan dalam kalangan anggota amat erat bagaikan sebuah kubu yang sangat kukuh, biar diserang tentera musuh sekuat mana pun, ia tidak akan lemah.

"Seperti kata pepatah 'bersatu kita teguh' tetapi apabila kita bercerai, yang akan roboh adalah parti kita, negara kita," kata Ahmad Bashah dalam temu bual khas sempena Konvensyen BN Negeri Kedah yang akan berlangsung hari ini, di Dewan Serbaguna Kompleks Mu'adzam Shah, Anak Bukit.

Ahmad Bashah menjelaskan, perpaduan itu amat penting, sehingga UMNO menggunakan perkataan bersatu sebagai cogan kata, manakala pemimpin peringkat pusat seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sering menekankan perkara berkenaan.

"BN adalah organisasi yang sangat besar. Di Kedah kita bercakap tentang komponen parti yang mempunyai puluhan ribu ahli dan penyokong, sekiranya ahli-ahli yang ramai itu berpecah, maka kubu kita lemah, sedikit serangan daripada musuh akan memusnahkan kita," katanya.

Bercakap dalam konteks bersatu pada pilihan raya umum yang akan datang pula, maka semua ahli dan pemimpin perlu sepakat menyokong sesiapa sahaja calon yang ditentukan oleh pucuk pimpinan.

Setiap ahli khususnya, pemimpin sama ada di peringkat bahagian atau parti komponen perlu 'turun padang' membantu jentera pilihan raya walaupun calon pilihan mereka atau diri sendiri tidak dicalonkan.

"Bagi saya itu sahaja yang perlu dilakukan untuk BN menang. Mudah, kerjasama dan keyakinan. Kalau mereka (yang tidak dicalonkan) sanggup turun dan tidak melakukan perbuatan yang memudaratkan calon BN, maka kita akan mendapat semula kuasa," kata Ahmad Bashah.

Begitu juga dalam soal bekerja keras untuk parti, ia perlu dilakukan mulai sekarang, supaya mewujudkan persepsi bahawa BN adalah sebenarnya harapan dan pembela nasib rakyat Kedah.

Untuk melaksanakan misi 'peperangan persepsi' itu, setiap pemimpin di semua peringkat mesti bergerak mendekati rakyat, memahami masalah mereka dan mengambil tindakan membantu mereka yang memerlukan.

"Kita perlu bergerak mulai sekarang supaya orang ramai menaruh harapan kepada kita. Jangan biarkan mereka memandang parti lain yang lebih baik daripada kita…kita harus melakukan lebih baik dan ia memerlukan pemikiran dan tindakan daripada kebiasaan bagi menyaingi tindakan parti pembangkang. Kalau rakyat suka BN, rakyat akan pilih, kalau benci mereka akan pilih orang lain untuk mewakili kawasan mereka.

"Pengundi akan pilih yang peduli kepada mereka, maka kita harus bagi tahu dan buktikan bahawa kita bukan setakat bercakap, tetapi BN sememangnya amat peduli rakyat," tegas Ahmad Bashah.

Menurutnya, susunan organisasi BN sangat baik dan teratur, dari peringkat negeri, bahagian dan cawangan.

"Sekiranya semua jentera di setiap peringkat itu bergerak seperti yang dirancangkan, tiada pihak lain yang dapat menyaingi kehebatan kita.

"Biarlah kita korbankan sedikit masa dan tenaga kita mendekati orang ramai kerana perjuangan kita terhadap parti amat penting, terutama PRU-13 nanti persaingan adalah amat sukar dan penentu kepada survival BN," katanya.

Masa terlalu suntuk buat seluruh jentera BN untuk bersenang lenang. Masa yang semakin suntuk itu menuntut seluruh jentera BN bergerak dengan lebih pantas, teratur dan strategik.

Kemenangan BN di Kedah adalah matlamat, maka menjadikan kemenangan itu satu realiti adalah tanggungjawab yang mesti digalas oleh setiap daripada kita yang sayangkan parti.

PENULIS ialah Pegawai

Media UMNO Kedah

79 kaki judi termasuk 22 wanita dicekup ketika leka berjudi

Posted:

79 kaki judi termasuk 22 wanita dicekup ketika leka berjudi

79 kaki judi termasuk 22 wanita dicekup ketika leka berjudi

PULAU PINANG 23 Sept. - Seramai 79 'kaki judi' termasuk 22 wanita dicekup dalam serbuan di sebuah bangsal di Kampung Batak, Relau di sini, awal pagi tadi.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, kira-kira pukul 1 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Supritendan Lai Fah Hin berkata, hasil siasatan mendapati, mereka terlibat dengan kegiatan judi Tai Sai (judi dadu) dan dalam serbuan itu polis merampas wang tunai bernilai RM1,538.

"Selain wang tunai, kami turut merampas tiga buah dadu, cip pelbagai jenis, meja panjang, 30 kerusi plastik dan sebuah kalkulator.

"Seramai 57 lelaki dan 22 wanita warga tempatan yang leka berjudi dicekup, manakala yang lain memboloskan diri," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini..

Menurut Fah Hin, kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

"Semua yang ditahan merupakan penduduk tempatan berusia dalam lingkungan 40 hingga 70 tahun. Mereka dibawa ke IPD Barat Daya untuk siasatan lanjut.

"Pihak polis juga akan meningkatkan operasi bagi membanteras kegiatan judi haram yang semakin berleluasa di daerah ini," ujarnya.

Konvensyen BN Kedah, hari ini

Posted:

Konvensyen BN Kedah, hari ini

Konvensyen BN Kedah, hari ini

ALOR SETAR 23 Sept. - Konvensyen Barisan Nasional (BN) Kedah di Dewan Serbaguna Kompleks Mu'adzam Shah, Anak Bukit di sini esok, akan membincangkan pelbagai isu yang lebih terarah kepada persiapan dan gerak kerja parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Setiausaha Kerja BN Kedah, Datuk Ariffin Man berkata, konvensyen itu akan dihadiri oleh lebih 1,000 ahli semua parti komponen BN negeri.

"Konvensyen ini mampu meniup semangat ahli parti dan menetapkan fokus mereka untuk memastikan BN kembali menawan negeri ini pada pilihan raya umum akan datang," katanya di sini, hari ini.

Menurut Ariffin, Pengerusi BN Negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah akan merasmikan konvensyen itu.

Katanya, selain menyentuh usaha-usaha parti untuk menawan kembali di Kedah, Ahmad Bashah juga akan menyampaikan amanat mengenai langkah-langkah untuk meneguhkan lagi BN Kedah.

"Ketua-ketua parti komponen juga akan menjelaskan peranan dan gerak kerja mereka di konvensyen ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Karpal mesti hormat pendirian Pas

Posted:

Karpal mesti hormat pendirian Pas

Karpal mesti hormat pendirian Pas

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 23 Sept. – Pengerusi DAP, Karpal Singh mesti menghormati pendirian kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud kerana ia adalah hak masyarakat beragama Islam sebagaimana Pas menghormati sebarang tuntutan orang bukan Islam.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz (gambar) berkata, suara-suara penentangan yang mahu menyekat pelaksanaan hudud termasuk oleh Karpal Singh tidak boleh diterima pakai kerana ia berlawanan dengan objektif pakatan pembangkang sendiri yang memperjuangkan hak kebebasan rakyat.

Beliau mendakwa, penduduk di negeri ini sudah bersedia untuk melihat hudud dilaksanakan setelah lebih 20 tahun mereka berada di bawah kerajaan Pas.

"Pakatan pembangkang menuntut kebebasan untuk rakyat dalam semua aspek, orang bukan Islam ada haknya dan orang Islam juga ada haknya kedua-duanya kita bagi.

"Jadi, sebarang unsur dan suara yang mahu menyekat kebebasan ini kita tolak, asasnya begitu, tidak kira penentangan itu daripada Pas sendiri atau DAP.

"Rakyat Kelantan yang sudah memilih Pas lebih 20 tahun jelas mahukan hudud, tiada sebab rakyat pilih kita tetapi tolak hudud kerana kitalah satu-satunya parti yang memperjuangkannya sejak sekian lama," katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan kuliah di hadapan pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.

Nik Abduh berkata demikian ketika diminta mengulas reaksi Karpal Singh sebelum ini yang menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud atas alasan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan Karpal Singh itu mendapat perhatian Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam yang tidak kisah sekiranya DAP mahu meninggalkan pakatan pembangkang disebabkan hudud.

Nik Abduh berkata, walaupun beliau tidak menganggap Karpal Singh sebagai individu yang menyusahkan Pas, tetapi pemimpin DAP itu tidak seharusnya mendendangkan lagu serupa setiap kali isu mengenai hudud diutarakan.

"Ini benda lama, jadi bila Karpal Singh mengulang benda lama, ayah (Nik Abdul Aziz) pun beri jawapan lama iaitu kami tidak kisah sekiranya ada pihak yang mahu keluar daripada pakatan pembangkang kerana tidak bersetuju dengan hudud.

"Kita hormat Karpal Singh kerana beliau adalah pejuang yang konsisten melawan kezaliman dan dia juga kena hormat kepada kita," katanya.

Kastam tahan warga asing, rampas wang RM253,000

Posted:

Kastam tahan warga asing, rampas wang RM253,000

Kastam tahan warga asing, rampas wang RM253,000


Pegawai penguat kuasa menunjukkan tempat simpanan wang tunai bernilai RM253,000 yang tidak diikrar dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di Padang Besar, Perlis, semalam.


PADANG BESAR 23 Sept. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri mematahkan cubaan menyeludup sejumlah wang kertas ringgit Malaysia bernilai RM253,000 ke negara ini berikutan penahanan seorang penoreh getah warga Thailand di Kompleks Imigresen Padang Besar, di sini semalam.

Pengarahnya, Mohd. Pudzi Man berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan ketika sepasukan anggotanya memeriksa kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang pada pukul 12.45 tengah hari.

"Hasil pemeriksaan itu anggota Kastam menemui empat bungkusan mengandungi wang berkenaan yang dibungkus menggunakan surat khabar dan beg plastik.

"Wang not kertas RM1 sehingga RM100 itu ditemui disorok di bawah tempat duduk belakang kenderaan tersebut. Kesemua wang berkenaan disita dan dilucutkan hak kepada pihak Kastam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan, lelaki berkenaan yang memasuki negara ini gagal mengemukakan dokumen mengenai wang berkenaan malah tidak mengikrar wang itu dalam borang Kastam K22.

"Lelaki itu mendakwa membawa wang berkenaan ke negara ini untuk membayar hutang," ujar beliau.

Mohd. Pudzi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kes itu dan telah menahan empat lelaki iaitu tiga warga tempatan dan seorang warga Thailand untuk siasatan lanjut.

"Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk meneliti rekod kemasukan lelaki berkenaan ke negara ini," katanya.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLAFTA) 2001, Seksyen 4 (1) AMLAFTA iaitu terlibat dengan penggubahan wang haram dan Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk barang larangan import.

Mohd. Pudzi turut mengingatkan orang ramai yang memasuki negara ini dengan membawa mana-mana mata wang melebihi nilai atau bersamaan AS$$10,000 (RM31,700) agar mengisytiharkan kepada pihak Kastam.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyeludupan wang agar menghubungi Kastam 1-800-88-8855.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Timur

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Gantikan bangunan 'usang'

Posted:

Gantikan bangunan 'usang'

Gantikan bangunan 'usang'

Oleh FAUZI MOHD
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 23 Sept. - Kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri bagi membina kompleks baru Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, bangunan sedia ada yang digunakan sejak 1960-an sudah tidak lagi sesuai dengan persekitaran semasa dan perlu diganti baru.

Katanya, keperluan itu agak mendesak ekoran perkembangan pesat bandar raya ini selain bertujuan mewujudkan suasana kerja yang kondusif bagi anggota polis.

"Dahulu kerajaan negeri pernah berbincang dengan Polis Terengganu berhubung perkara ini dan kita bersetuju menyediakan tapak baru pembinaan kompleks itu dengan keluasan yang hampir sama.

"Selepas siap pembinaan, bangunan lama akan dirobohkan dan tapak asal akan diberi kepada kerajaan negeri bagi membolehkan pelbagai projek komersial dibangunkan di kawasan itu," katanya ketika menghadiri Jamuan Aidilfitri Polis Terengganu di IPK kelmarin.

Hadir sama Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa.

Menurut Ahmad, pembangunan yang dirangka meliputi pembinaan bangunan bertingkat yang lebih selesa, penambahan kelengkapan logistik selain kekuatan anggota dapat dikemas kini mengikut kapasiti penduduk.

Tambah beliau, sekiranya perancangan itu dipersetujui oleh KDN, kawasan projek komersial itu turut melibatkan pembangunan tapak Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang dirancang dirobohkan.

Lawat ke rumah bantu pelajar

Posted:

Lawat ke rumah bantu pelajar

Lawat ke rumah bantu pelajar


Matulidi Jusoh (tengah )menyampaikan sumbangan kepada Siti Nur Aida Ngah, 13, pelajar sebuah sekolah menengah di Dungun ketika berkunjung ke rumah pelajar tersebut, kelmarin.


DUNGUN 23 Sept. – Demi memastikan pelajar miskin turut berjaya dalam pelajaran, Pejabat Parlimen Dungun di sini mengambil pendekatan melawat dari rumah ke rumah untuk membantu mereka.

Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh berkata, usaha itu diharap dapat memberi semangat kepada para pelajar berkenaan untuk terus cemerlang dalam peperiksaan.

Katanya, beliau seboleh-bolehnya tidak mahu melihat pelajar miskin yang cemerlang dalam peperiksaan, berdepan dengan masalah pembelajaran disebabkan oleh faktor kemiskinan yang membelenggu keluarga mereka.

"Saya mahu pelajar-pelajar miskin ini cemerlang dalam pendidikan dan dengan sokongan yang diberikan ini diharap pelajar terbabit terus cemerlang dalam pelajaran mereka," katanya di sini semalam.

Dalam program itu, seramai 42 pelajar miskin dan yatim piatu di daerah itu menerima bantuan berbentuk wang tunai untuk kegunaan mereka.

Mereka yang menerima bantuan itu terdiri daripada 12 murid yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), 18 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan selebihnya merupakan pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Dalam pada itu, Matulidi berkata, pihaknya juga menganjurkan program turun ke akar umbi yang bertujuan menyalurkan apa jua bantuan dan keperluan terhadap keluarga pelajar miskin yang perlukan bantuan.

"Kita turut memberi bantuan seperti khidmat membaiki rumah, atap rumah dan menghulurkan beberapa keperluan dapur untuk keluarga yang dihimpit kesusahan," katanya.

Geng curi motosikal tumpas

Posted:

Geng curi motosikal tumpas

Geng curi motosikal tumpas

KOTA BHARU 23 Sept. - Polis menahan empat lelaki yang dipercayai aktif mencuri motosikal dalam serbuan di dua buah rumah di Kampung Rekang Hulu dan Kampung Kuau, Bachok, dekat sini, 6 September lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kesemua lelaki yang berusia 20-an itu bekerja sebagai petani, buruh dan nelayan sementara salah seorang daripada suspek yang ditahan adalah pembeli motosikal curi.

Menurutnya, ekoran penahanan pukul 3.45 pagi itu, pihak polis turut merampas empat buah motosikal, sebuah jenis Honda EX 5, dua buah jenis Yamaha LC 135 dan sebuah Yamaha Lagenda yang dilaporkan hilang di sekitar bandar ini.

"Dua daripada motosikal terbabit telah ditemui di salah sebuah rumah seorang suspek yang disyaki membeli kenderaan terbabit sementara dua lagi motosikal ditemui masing-masing di rumah dua daripada suspek terbabit.

"Siasatan juga mendapati, suspek yang merupakan satu kumpulan yang aktif menjalankan kegiatan mencuri motosikal sejak empat bulan lalu diketuai oleh seorang suspek yang bekerja sebagai nelayan," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Azham berkata, dalam serbuan di rumah ketua kumpulan terbabit yang berusia 26 tahun itu, polis juga merampas pelbagai jenis komponen motosikal curi yang telah dileraikan.

Menurutnya lagi, motosikal yang dicuri itu dijual dengan harga RM300 dan polis percaya sudah banyak motosikal yang curi yang telah dijual suspek.

"Kita turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap keempat-empat suspek dan kesemua positif pil kuda," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rekreasi

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Di sebalik nama DR.Campsite

Posted:

Di sebalik nama DR.Campsite

Di sebalik nama DR.Campsite

rohana.man@utusan.com.my
Gambar WAN NAQIUDDIN WAN YAACOB


AKTIVITI berakit diadakan di Sungai Langat yang terletak di hadapan deretan chalet DR. Campsite.


Memandangkan bulan Syawal masih hangat dengan sambutan rumah terbuka, maka saya mencadangkan supaya sesi temu bual dengan Azman Haron, 44, dilakukan dalam suasana hari raya.

Justeru, berbekalkan kerjasama rakan-rakan rekreasi yang lain, majlis beraya sambil memperkenalkan DR. Campsite kepada kami diadakan pada Sabtu minggu lalu.

Tatkala jentera Kembara yang dipandu penulis menghampiri DR. Campsite yang terletak di dalam kebun buah-buahan dan belantara di Kampung Lubok Kelubi, Hulu Langat, Selangor, mata penulis terus terhenti pada tulisan yang jelas dapat dibaca di halamannya.

"Damai, tenang, segar & selamat" adalah motto yang digunakan untuk menjual pelbagai pakej latihan dan motivasi di DR. Campsite.

Tentang keunikan namanya, Azman memberitahu idea menamakan lokasi itu diilhamkan oleh rakan kongsinya yang merupakan seorang pensyarah.

"Nama tempat ini dicadangkan oleh rakan kongsi saya yang berpangkat doktor falsafah di Universiti Malaya," ujarnya yang menganggap nama itu membawa tuah kerana ia lain daripada yang lain.

Berada sehari suntuk di DR. Campsite dan mengintai semula motto tempat rekreasi ini, maka memang benar apa yang diwar-warkan itu.

Segalanya mengujakan. Bunyi aliran sungai yang mendamaikan jiwa, desiran angin yang menenangkan dan kehijauan belantara yang menyegarkan. Kehadiran sejumlah jurulatih rekreasi pula menjanjikan keselamatan peserta sepanjang beraktiviti di sini.

"Tidak seperti pusat rekreasi lain yang memiliki trainer sambilan, kami memiliki 20 orang trainer termasuk lulusan universiti yang bekerja sepenuh masa.

"Selain mengendalikan pakej latihan dan motivasi di sini, kesemua trainer kami juga terlibat dalam program yang diadakan di sekolah seperti kemahiran hidup atau bijak Matematik," ujarnya yang merupakan bekas guru cemerlang Matematik.

Beliau yang juga pengasas program Smart & Easy Math berkata, pada tahun lalu sahaja, DR. Campsite mengendalikan lebih 100 program di sekolah.

"Jumlah ini tidak termasuk program yang diadakan di DR. Campsite sendiri. Untuk memastikan setiap program berjalan lancar, pihak kami melantik dua konsultan iaitu Wirajaya Excellence Consultancy dan Man Team Resources yang berpejabat di Taman Ukay Perdana, Ampang," tambahnya.

Ketika asyik menemubual Azman, mata penulis melirik ke arah aliran sungai yang jernih dan deras.

"Ini Sungai Langat. Biasanya selepas hujan, paras air meningkat sedikit dan mengalir lebih deras daripada biasa. Namun, bah tidak pernah sampai ke halaman DR. Campsite," katanya.

Nampaknya, sungai itu menjadi antara aset paling berharga di DR. Campsite. Apatah lagi, kehadiran sederet chalet kayu dan buluh yang membarisi tebing sungai yang sentiasa melambai kedatangan pengunjung.

"Sungai inilah yang menjadi tarikan utama pencinta alam dan penganjur program latihan dan kem motivasi untuk mengadakan aktiviti di sini," kata Azman.

Beliau bercerita bagaimana peserta yang masuk sahaja ke kawasan DR. Campsite akan memperoleh kedamaian yang dicari.

"Masuk sahaja ke sini, tiada langsung kedengaran bunyi lalu lintas kenderaan. Ini kerana lokasi DR. Campsite terletak jauh dari jalan raya.

"Pada malamnya pula, halwa telinga kita akan dihiburkan oleh bunyi unggas rimba seperti cengkerik, selain desiran aliran sungai yang mendamaikan," katanya.

Menurutnya, sungai yang mengalir dari Gunung Nuang itu juga kaya dengan siput etok dan ikan seperti kelah dan jelawat.

Mengenai perancangan masa depan, Azman memberitahu, pelbagai cabang bisnes kini sedang dan akan dimulakan secara berperingkat. Antara program yang telah dijalankan adalah insurans, sewa bas, katering dan percetakan.

Sementara itu, jurulatih rekreasi, Mohd Khairul Ramli, 26, merangkap Pengurus Pejabat DR. Campsite berkata, pakej yang ditawarkan adalah 2 hari 1 malam atau 3 hari 2 malam dan terbahagi kepada dua kategori harga.

"Harga pakej tanpa konsultan untuk pakej 3 hari 2 malam adalah RM65 hingga RM90 seorang, manakala dengan konsultan, antara RM95 hingga RM120 bagi setiap peserta.

"Untuk pakej 2 hari 1 malam pula, harga bermula daripada RM45 hingga RM55 seorang (pakej tanpa konsultan), atau RM75 hingga RM85 seorang (pakej dengan konsultan)," katanya.

Rakannya yang juga seorang jurulatih rekreasi merangkap Ketua Pegawai Pemasaran DR. Campsite, Syed Alwi Syed Hussin, 26, pula berkata, pihaknya kini sedang menawarkan harga promosi untuk aktiviti yang akan diadakan pada Januari 2012.

"Untuk menikmati harga promosi dengan diskaun 20 peratus itu, tempahan boleh dibuat sekarang," ujarnya sambil memberitahu jumlah minimum peserta adalah 80 orang.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Politik

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Politik


Kenyataan biadab: Manoharan digantung enam bulan

Posted:

Kenyataan biadab: Manoharan digantung enam bulan

Kenyataan biadab: Manoharan digantung enam bulan

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan digantung selama enam bulan oleh partinya, DAP berhubung satu kenyataan kontroversinya dalam laman sosial Facebook minggu lalu.

Malaysiakini melaporkan keputusan itu diambil selepas satu mesyuarat Jawatankuasa Disiplin parti itu yang dipengerusikan, Tan Kok Wai di ibu pejabat DAP, di sini, hari ini.

Manoharan sebelum ini berkata, pembangkang akan bertindak menukar Jalur Gemilang jika memperoleh kuasa dalam pilihan raya umum akan datang dan tindakan itu mengundang kemarahan pelbagai pihak dan laporan polis telah dibuat.

Beliau menulis kenyataan berbunyi: "I distributed many DAP flags today in my constituency. I refused to fly the Malaysian flag because it looks more BN than Malaysian. (Saya mengedarkan banyak bendera DAP hari ini dalam kawasan Dewan Undangan Negeri saya. Saya enggan mengibarkan bendera Malaysia kerana ia kelihatan seperti BN berbanding Malaysia).

Sementara itu, The Star Online melaporkan Manoharan telah menerima surat penggantungan dan akan membuat rayuan.

Manoharan sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila mempersendakan doa masuk tandas selain pernah mewujudkan sentimen perkauman berhubung isu novel Interlok.

Anwar sudah habis modal politik - Zaid

Posted:

Anwar sudah habis modal politik - Zaid

Anwar sudah habis modal politik - Zaid

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sudah kehabisan modal politik untuk 'membaham' kerajaan apabila kini bersetuju pula dengan hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud di negeri tersebut.

Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim (gambar) berkata, Ketua Pembangkang itu tidak mempunyai idea lagi untuk mencipta slogan baru dengan membuat pelbagai tuduhan terhadap kerajaan dan kini hanya mampu mengubah pendirian biarpun terpaksa melanggar dasar pakatan pembangkang.

''Saya lihat isu ini merupakan satu lagi helah politik Anwar kerana beliau sudah kehabisan modal untuk melawan pendekatan transformasi politik yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Dahulu beliau tuduh kerajaan zalim apabila mengaitkan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sekarang apabila akta itu sudah dimansuhkan maka beliau ubah pendekatan walaupun sanggup melanggar dasar perjuangan pakatan pembangkang,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Anwar menyatakan pendirian terbaru mengenai hukum hudud dan menyifatkan pelaksanaannya tidak mencabuli hak orang bukan Islam kerana ia hanya melibatkan orang Islam selain jaminan terhadap pentadbiran yang adil.

Bagaimanapun, Anwar berkata, ia merupakan pandangan peribadinya memandangkan pakatan pembangkang tidak membincangkan perkara tersebut.

Persetujuan Anwar itu berdasarkan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tetap mahu menubuhkan sebuah negara Islam serta melaksanakan hukum hudud biarpun tidak mendapat sokongan daripada sekutunya dalam pembangkang iaitu DAP.

Dalam konteks itu, Zaid berkata, Anwar tidak lagi mampu untuk memimpin pakatan pembangkang kerana politik yang dibawa Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu jelas sekali tidak berprinsip.

''Sebab itu, Anwar membuat keputusan tergesa-gesa dan menyifatkan ia kenyataan peribadi (persetujuan hukum hudud).

''Sama juga dengan Pas apabila Nik Abdul Aziz juga mengeluarkan kenyataan yang tidak selari dengan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu setiap keputusan perlu dibincang bersama,'' katanya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved