Khamis, 22 September 2011

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Orang Asli bakal miliki tanah

Posted:

Orang Asli bakal miliki tanah

Orang Asli bakal miliki tanah

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanmelaka@utusan.com.my

SEREMBAN 21 Sept. – Lebih 7,000 Orang Asli yang menetap di 68 perkampungan membabitkan tanah seluas 1,650 hektar sekitar negeri ini bakal menerima status pemilikan tanah tetap apabila kerajaan negeri mengambil keputusan mengazetkan tanah berstatus hutan simpan kekal untuk dijadikan milik kaum minoriti itu.

Sehingga kini, sebanyak 13 kampung sudah diwartakan sebagai Rizab Orang Asli dengan pemilik rumah diberi geran milikan bersama manakala perkampungan selebihnya dalam proses penukaran status tanah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kerajaan negeri mahu memastikan pembangunan Orang Asli tidak dipinggirkan dan mereka tidak mempunyai harta walaupun menetap di sebuah perkampungan untuk tempoh lama.

''Sebelum ini perkampungan mereka dibina di atas tanah hutan simpan atas ihsan kerajaan negeri, jadi ia sebenarnya secara tidak langsung bermakna kampung terbabit adalah kampung setinggan dan mereka tidak mempunyai sebarang hak ke atasnya.

''Justeru, kita membuat kajian bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan mengenal pasti semua 68 kampung Orang Asli di negeri ini untuk diberi hak milik tanah kepada pemilik rumah," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini hari ini.

Katanya, selain itu kerajaan negeri akan menaik taraf kawasan rayau Orang Asli dengan melantik RISDA serta FELCRA untuk mengusahakannya dengan pertanian kelapa sawit dan getah yang menjamin pulangan lumayan.

Jelasnya, agensi terbabit akan menguruskan ladang sawit serta getah di kawasan rayau berkenaan dengan setiap Orang Asli yang terbabit diberi lot saham bagi menggantikan hak milik tanah bagi mengelakkan mereka diperdaya pihak tidak bertanggungjawab.

''Sebelum ini, Orang Asli mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan untuk makanan sendiri di kawasan rayau namun ia tidak membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

''Dengan skim ini, mereka akan memperolehi pendapatan tetap kira-kira RM1,500 setiap bulan tanpa perlu melakukan apa-apa kerja.

Tamabah Mohamad, inisiatif tersebut akan dapat menjamin masa depan mereka, selain lot saham itu pula boleh diwariskan kepada anak-anak mereka.

Lokasi Balai Polis Sungai Lui tersorok

Posted:

Lokasi Balai Polis Sungai Lui tersorok

Lokasi Balai Polis Sungai Lui tersorok

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my


Kedudukan Balai Polis Sungai Lui di sebalik kebun getah ternyata tidak strategik dan menyukarkan pengadu kerana tidak mempunyai lampu jalan terutama pada waktu malam.


JEMPOL 21 Sept. – Lokasi Balai Polis Sungai Lui, dekat sini yang terletak di sebalik kebun getah menyulitkan penduduk setempat untuk membuat laporan sekiranya berlaku sebarang kes jenayah mahupun kecemasan.

Menurut penduduk, Chelah Jantan, 67, kedudukan balai tersebut yang kini mencecah usia 30 tahun itu dianggap tidak strategik dan menyukarkan penduduk untuk melaporkan sebarang kejadian.

''Lokasinya terpencil dan tersorok kerana terletak di sebalik kebun getah, tambahan jalan untuk ke balai itu pula kecil dan gelap tanpa cahaya lampu.

''Rasanya sudah tiba masa ia diperbaharui dan diubah lokasinya. Kedudukan sekarang memang tidak sesuai. Kita faham, ia sudah dibina bagi tempoh yang lama, namun rasanya tidak salah jika sebuah balai baru dibina di lokasi yang lebih baik," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau berharap pihak berkuasa tempatan dapat melakukan sesuatu bagi 'menghidupkan' semula balai tersebut.

Bagi Badly Rashid 59 pula, laluan balai yang gelap membuatkan pengadu takut untuk ke balai di waktu malam.

''Sudahlah tersorok, laluannya pula kecil dan gelap. Saya sendiri takut jika ingin ke sana pada waktu malam. Risau jika ada perkara yang tidak diingini berlaku.

''Walaupun berdekatan dengan balai, kami juga bakal berhadapan dengan pelbagai risiko kerana laluan ke balai gelap,"ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Abdul Hamid Rajikin 65, meminta pihak berkenaan dapat melakukan sesuatu dengan memindahkan balai polis tersebut.

''Macam mana jika orang luar mahu mencari balai ini. Siapa sangka di sebalik kebun terdapat sebuah balai polis.

''Memang ada papan tanda tapi ia tidak banyak dan tidak dapat menunjukkan lokasi dengan tepat," jelasnya.

Rusnani Latip kini Pegawai Daerah Melaka Tengah

Posted:

Rusnani Latip kini Pegawai Daerah Melaka Tengah

Rusnani Latip kini Pegawai Daerah Melaka Tengah


Mohd. Ali Rustam (tengah) berkata sesuatu kepada Rusnani Latip (kiri) pada majlis perpisahan Ketua Setiausaha Sulit Ketua Menteri itu di Melaka, baru-baru ini.


MELAKA 21 Sept. - Selepas berkhidmat selama 10 tahun sebagai Ketua Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Rusnani Latip dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Daerah Melaka Tengah berkuat kuasa 16 September lalu.

Rusnani, 54, mula menjawat jawatan tersebut sejak 2001 dan sebelum itu pernah bertugas sebagai Pegawai Tadbir di Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan Penolong Pegawai Daerah Melaka Tengah pada 1992.

Tempat beliau kini diisi oleh bekas Penolong Setiausaha Kerajaan (swasta) di Unit Perancang Ekonomi (UPEN), Ahmad Azlan Ahmad Salleh.

Rusnani berkata, sepanjang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Sulit Ketua Menteri, beliau tidak menghadapi sebarang masalah.

"Paling penting saya mesti selesaikan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Bila semua tugas itu berjalan lancar, tidak ada sebarang masalah yang timbul.

"Memang Mohd. Ali amat pentingkan soal kerja, kerana beliau mahu semua kerja dapat diselesaikan segera dan tidak ditangguh," katanya pada majlis perpisahan yang diadakan di Bangunan Secure Corporate Group di sini semalam.

Turut hadir Mohd. Ali bersama isteri, Datin Seri Asmah Abdul Rahman.

Pada majlis tersebut Mohd. Ali turut meraikan Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Asisten Komisioner Ab. Rahman Haron yang berpindah ke Ipoh, Perak dengan jawatan yang sama dan berpangkat Senior Asisten.

Mohd. Ali juga turut meraikan 29 kakitangan di Pejabat Ketua Menteri yang menyambut hari jadi masing-masing.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Tinjau sendiri masalah rakyat

Posted:

Tinjau sendiri masalah rakyat

Tinjau sendiri masalah rakyat

Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 21 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan wakil rakyat bahawa peranan mereka bukan sekadar berdebat dan memegang jawatan eksekutif di peringkat negeri serta Persekutuan, sebaliknya mereka hendaklah sentiasa berada bersama rakyat.

Perdana Menteri berkata, wakil rakyat perlu meninjau sendiri masalah yang dialami oleh rakyat di kawasan mereka.

Justeru, beliau berkata, program Perhimpunan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BNBBC) dari seluruh negara di Selangor mulai hari ini hingga Jumaat dapat memperkasakan peranan para wakil rakyat agar mereka disenangi oleh rakyat.

"Untuk itu, wakil rakyat perlu mempunyai empat ciri iaitu rajin bertemu rakyat, mudah untuk dihubungi, mampu menyelesaikan masalah rakyat dan tidak memungkiri janji," ujarnya yang dipetik dari kata-kata aluannya dalam buku aturcara program itu.

Perdana Menteri mahu semua wakil rakyat agar terus mengukuhkan silaturahim dan memberi khidmat bakti yang terbaik untuk rakyat dalam menjayakan agenda negara.

Najib dijadual merasmikan program perhimpunan yang dianjurkan oleh Kelab BNBBC Malaysia itu di pekarangan pasar raya Tesco Kuala Selangor dekat sini, malam esok.

Laksanakan hukum hudud segera

Posted:

Laksanakan hukum hudud segera

Laksanakan hukum hudud segera

Oleh WANDA IDRIS
pengarang@utusan.com.my


DR. MAHATHIR Mohamad ketika menyampaikan syarahan Perdana Za'ba di Universiti Pendidikan Sultan Idris, semalam. – BERNAMA


TANJUNG MALIM 21 Sept. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mencabar Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya melaksanakan hukum hudud dengan segera memandangkan beliau bukan lagi seorang Perdana Menteri.

Ini kerana, selama menjadi pemerintah negara, beliau sering dianggap sebagai penghalang kepada pelaksanaan hukum tersebut di negeri itu.

"Saya bukan Perdana Menteri dah, pasal apa tak laksanakan (hudud).

"Pergilah tanya Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) kalau dia nak bagi... Ini dia (Nik Aziz) asyik salahkan saya kononnya kerana saya, (Pas) tak dapat laksana hukum hudud," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan syarahan perdana Za'ba bertajuk Mampukah Malaysia Menghadapi Cabaran Imperialisme Bentuk Baru anjuran Institut Peradaban Melayu dan Pejabat Kursi Za'ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat Pas untuk melaksanakan hudud di negeri itu biarpun ditentang hebat oleh sekutunya dalam pembangkang.

Sebelum ini Nik Abdul Aziz pernah dilaporkan berkata bahawa Dr. Mahathir merupakan individu pertama yang menghalang kerajaan negeri Kelantan daripada melaksanakan hukum hudud dan bukan Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut membidas pemimpin negeri itu yang lebih banyak bercakap tentang politik daripada memberi didikan agama secukupnya kepada rakyat khususnya golongan muda.

Ini kerana, jelas beliau, sekiranya pemimpin negeri berkenaan menerapkan nilai dan hukum agama maka sudah pasti kes-kes HIV/Aids yang mencatat angka tertinggi di negeri itu berbanding negeri lain tidak akan berlaku.

"Negeri lain tidak ada hukum hudud pun, macam mana kita kawal (rakyat). Ini dia tidak kawal, dia tidak ajar agama betul.

"Kalau kawal betul orang akan tolak perbuatan yang membawa kepada penyakit Aids... Ini dia tidak ajar agama, dia ajar politik, tapi dia (nak) salahkan saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir mengingatkan rakyat supaya terus menjaga keselamatan negara dan tidak mengambil kesempatan terhadap pemansuhan Akta Dalam Negeri (ISA).

Beliau berkata, biarpun tiada lagi undang-undang yang digubal bagi menggantikan akta tersebut namun rakyat patut mendisiplinkan diri dan tidak berbuat sesuka hati.

"Saya harap rakyat matang dan tidak bertindak sesuatu yang boleh merosakkan negara," katanya.

Malah Dr. Mahathir berpendapat Malaysia sudah cukup matang dan cekap untuk menjaga dan memastikan keselamatan negaranya sendiri apabila ditanya mengenai kesediaan Amerika Syarikat (AS) untuk membantu merangka undang-undang baru menggantikan ISA.

"Saya fikir kita tidak perlu ikut (cara mereka). Kita pun cekap juga menjaga keselamatan kita. Tak payahlah nak ikut stail Amerika Syarikat," katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan yang mahu menukar Jalur Gemilang, beliau berkata: "Ini satu pendapat yang tidak bertanggungjawab. Itu lambang negara kita."

Bantahan ke atas kilang Lynas untuk jatuhkan kerajaan

Posted:

Bantahan ke atas kilang Lynas untuk jatuhkan kerajaan

Bantahan ke atas kilang Lynas untuk jatuhkan kerajaan

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, bantahan oleh beberapa pihak mengenai pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi milik Lynas Corp. Ltd. di Gebeng, Pahang lebih bersifat politik bagi menjatuhkan kerajaan.

Katanya, sungguhpun banyak kajian telah dilakukan terhadap tapak pembinaan kilang tersebut termasuk oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang tidak menemui sebarang bahaya radiasi di situ, bantahan oleh penggiat politik dan pencinta alam sekitar tidak tulen akan berterusan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan serta pihak pengendali kilang tersebut perlu berhati-hati dengan semua kebarangkalian pencemaran radioaktif.

"Namun kita tidak boleh membiarkan aktivis politik serta para pencinta alam sekitar palsu menghalang kita menikmati hasil ekonomi daripada nadir bumi menerusi cerita-cerita menakutkan yang tidak berasas.

"Walaupun saya masih tidak menyokong pembinaan loji nuklear, saya tidak membantah projek Lynas. Kerajaan tidak perlu takut untuk membenarkan projek itu diteruskan," katanya dalam http://chedet.cc hari ini.

Kebelakangan ini, pihak pembangkang terutama Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berterusan membuat kenyataan negatif ke atas projek Lynas sehingga memaksa Pergerakan Pemuda UMNO Indera Mahkota di Kuantan membuat laporan polis ke atas wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Bagaimanapun, pakatan pembangkang yang giat menjalankan kempen anti-Lynas menerima tamparan hebat apabila Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat dari Pas muncul dalam program berita dalam salah satu televisyen swasta bulan lalu dengan mengatakan beliau telah lama bersabar dengan pakatan pembangkang mengenai penipuan dalam hal kilang Lynas.

Che Rusli juga mendedahkan pada masa itu beliau tidak dapat bersabar dengan tindakan Lajnah Penerangan Pas Pusat yang melarangnya daripada mengeluarkan sebarang kenyataan tentang nuklear terutama mengenai Lynas.

Selain Che Rusli, rakannya, Prof. Ahmad Tarmizi Ramli yang turut muncul dalam slot berita itu juga mempertahankan pembinaan dan peroperasian kilang Lynas dibenarkan di negara ini kerana ia didapati memenuhi segala aspek keselamatan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Mat Sabu didakwa tohmah polis

Posted:

Mat Sabu didakwa tohmah polis

Mat Sabu didakwa tohmah polis

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my


Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu hadir di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang, semalam bagi menghadapi tuduhan membuat tohmahan terhadap anggota polis dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong. – utusan/ismail kamadin.


BUTTERWORTH 21 Sept. – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan membuat tohmahan memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka yang terlibat dalam tragedi serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang Menora, Tasek Gelugor antara pukul 10 malam hingga 12 tengah malam, 21 Ogos lalu.

Mohamad atau Mat Sabu dipercayai ahli politik pertama yang didakwa di mahkamah atas tuduhan membuat tohmahan terhadap anggota polis dan kaum keluarga mereka yang terlibat dalam peristiwa bersejarah yang berlaku lebih 60 tahun lalu di Johor.

Dalam pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd. Tajudin, Mohamad didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.

Beliau turut dikenakan tuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota polis, Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Konstabel Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam peristiwa tersebut, dengan membuat tohmahan dalam ucapan kepada orang ramai pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Mohamad yang berbaju T hijau, berseluar hitam dan berjaket biru kelihatan tenang sewaktu pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dan mengangguk tanda faham atas pertuduhan tersebut.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dibuat selepas aduan daripada tiga orang ahli keluarga anggota polis yang terkorban dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong iaitu Jamilah Abu Bakar, Azlas Jaafar dan Nazir Yusoff.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan, Mohamad Hanafiah Zakaria bersama Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff dan Suhaimi Ibrahim manakala Mohamad diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin dan Aminuddin Zulkifli.

Mohamad Hanafiah memohon agar Mohamad diikat jamin RM50,000 sementara menunggu tarikh sebutan namun jumlah itu dibantah oleh Mohamed Hanipa yang menyatakan anak guamnya telah memberikan kerjasama kepada pihak polis.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Oktober ini untuk sebutan kes sementara perbicaraan dijadualkan dari 5 hingga 9 Disember depan.

Mohamad dibebaskan selepas membayar wang ikat jamin pada pukul 12 tengah hari.

Ahli politik parti pembangkang itu ditahan petang semalam setelah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang selepas beliau menyerah diri susulan waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya.

Beliau bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada malam tadi setelah percakapannya dirakam.

Memetik laporan akhbar hari ini, Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, pihaknya menerima 1,013 laporan polis berhubung kenyataan yang dibuat oleh Mohamad termasuk oleh anggota keluarga mereka yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong itu.

Mohamad dalam ceramahnya itu antara lain menyifatkan pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor pada 1950 ialah wira sebenar, bukannya 25 anggota polis serta keluarga mereka yang terkorban dalam kejadian tersebut.

Mat Sabu menerima kecaman hebat apabila klip rakaman video ceramahnya itu disebarkan menerusi Internet dan mendapat liputan meluas pihak media.

Judi haram makin banyak di Melaka

Posted:

Judi haram makin banyak di Melaka

Judi haram makin banyak di Melaka

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 21 Sept. – Sebahagian daripada penduduk di negeri ini kini melahirkan kebimbangan dengan kewujudan pusat-pusat perjudian haram yang tumbuh membiak bagai cendawan di negeri itu tanpa tindakan tegas pihak penguat kuasa.

Pusat perjudian yang beroperasi di kafe-kafe siber di seluruh negeri ini dikatakan turut menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pemimpin kerajaan negeri ini.

Menurut sumber, kerajaan negeri pernah melahirkan rasa tidak puas hati itu kerana pihak berkuasa tidak tegas dalam menangani kegiatan itu.

Namun, pengusaha premis perjudian berkenaan pula semakin rakus mengaut keuntungan apabila kegiatan mereka berjaya menarik minat ramai pelanggan berpendapatan rendah, golongan belia, pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Ahli Jawatankuasa Gerakan Belia 4B Bukit Katil, Adnan Saad ketika mendedahkan permasalahan itu mendakwa, lebih daripada 100 premis menjalankan kegiatan perjudian berkomputer secara terbuka dan beroperasi tanpa lesen di beberapa daerah di negeri ini.

Menurutnya, kebanyakan premis berkenaan beroperasi di sekitar Alor Gajah, Masjid Tanah, Merlimau, Jasin, Melaka Tengah dan Ayer Keroh.

"Orang ramai kecewa dengan sikap tidak endah pihak berkuasa yang dilihat tidak serius mengambil tindakan terhadap kewujudan semakin banyak pusat judi berkomputer di negeri ini.

"Kami diberitahu, setiap kali serbuan hendak dilakukan melalui kerjasama pihak berkuasa dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ia sering kali gagal.

"Apabila serbuan dibuat, premis berkenaan tidak beroperasi. Serbuan itu gagal kerana pemiliknya seolah-olah sudah tahu mengenai operasi tersebut," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, Bahagian Penguat Kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) merampas 35 unit komputer yang menjalankan kegiatan judi haram manakala Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) pula menyita 37 unit.

Adnan turut mendakwa ada premis berkenaan yang beroperasi berdekatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Bukit Beruang dan berhampiran Balai Polis Simpang Ampat di Alor Gajah.

Beliau melahirkan rasa kecewa dengan pihak berkuasa yang langsung tidak ambil peduli terhadap maklumat yang diberikan kepada mereka mengenai premis yang menjalankan kegiatan tersebut.

"Saya pernah memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai sebuah pusat siber menjalankan kegiatan judi berkomputer di Melaka Tengah tetapi malangnya mereka tidak datang bertindak atau menahan pemiliknya," ujarnya.

Justeru, katanya, beliau bersama 60 ahli Gerakan Belia 4B termasuk orang ramai terpaksa mengambil tindakan sendiri apabila berjumpa dengan pemilik premis berkenaan dan meminta mereka menutup operasi premis tersebut.

Adnan menambah, sekiranya pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan wajar membanteras premis berkenaan, ahli Gerakan Belia 4B seluruh negeri melibatkan 6,000 orang akan membuat demonstrasi aman.

PM, isteri fail permohonan ketepikan sapina

Posted:

PM, isteri fail permohonan ketepikan sapina

PM, isteri fail permohonan ketepikan sapina

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk mengetepikan sapina yang menghendaki mereka sebagai saksi pembelaan dalam kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam permohonan tersebut, mereka menamakan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dan pihak pendakwaan sebagai pihak responden.

Kira-kira 45 minit selepas permohonan itu difailkan pada pukul 3.30 petang ini, pihak media dimaklumkan bahawa kesemua pihak yang terlibat akan bertemu dengan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah esok bagi menetapkan tarikh pendengaran permohonan berkenaan.

Permohonan tersebut difailkan di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi Jenayah di sini oleh peguam-peguam, Datuk Salehuddin Saidin, M. Athimulan, Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Ghazi Ishak yang hadir mewakili pasangan berkenaan.

Kesemua peguam terbabit bagaimanapun enggan memberikan sebarang maklumat lanjut mahupun alasan-alasan yang dikemukakan dalam permohonan tersebut sehingga mahkamah mengeluarkan salinan yang sudah dimeterai.

Pada perbicaraan kes liwat pertama pada 1998, lima individu termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat permohonan yang sama dan dibenarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Timur

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


TM Terengganu rugi RM2 juta

Posted:

TM Terengganu rugi RM2 juta

TM Terengganu rugi RM2 juta

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
pengarang@utusan.com.my

MARANG 21 Sept. – Telekom Malaysia (TM) Terengganu kerugian dianggarkan RM2 juta sepanjang tempoh lapan bulan pertama tahun ini akibat kecurian kabel yang makin berleluasa di beberapa daerah di negeri ini.

Pengurus Besarnya, Badrul Hisham Bahari berkata, akibat kegiatan itu lebih 10,500 pengguna talian telefon dan Internet mengalami gangguan perkhidmatan.

Katanya, sehingga Ogos lalu sebanyak 200 kes kabel dicuri dilaporkan melibatkan tiga daerah iaitu Besut, Hulu Terengganu dan Setiu.

"Jika dibandingkan dengan tahun lalu, kita menanggung kerugian RM2 juta sehingga hujung tahun namun pada tahun ini kita jangka kos kerugian yang terpaksa ditanggung lebih tinggi.

"Perbuatan mencuri kabel turut menyebabkan perkhidmatan TM kepada pengguna terjejas dan memberi imej buruk kepada syarikat," katanya pada majlis sambutan Aidilfitri TM di sini hari ini yang turut dihadiri kira-kira 450 kakitangan syarikat itu.

Mengulas lanjut Badrul berkata, bagi mengurangi gejala itu, langkah memasang alat penggera di kabel telefon dilaksanakan sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, ia tidak dapat membasmi kegiatan itu memandangkan tidak semua kawasan dapat dilengkapi dengan alat penggera berkenaan.

"Ada juga kes di beberapa kawasan di mana tidak sampai seminggu kita tukar kabel, ada individu yang tidak bertanggungjawab mencurinya.

"Kita berharap masyarakat dapat membantu mencegah kejadian mencuri kabel ini dengan melaporkan kejadian selain menjalankan rondaan di sekitar kawasan mereka," jelasnya.

Dalam pada itu Badrul berkata, TM akan terus memberi perkhidmatan talian tetap kepada pengguna biarpun is semakin tidak mendapat tempat di kalangan pengguna ekoran perkembangan talian mudah alih yang lebih fleksibel.

Jelasnya, tumpuan TM pada masa kini adalah untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar melalui talian tetap terutama untuk keperluan sambungan Internet di pejabat.

"Selain itu, kita juga bekerjasama dengan kerajaan untuk menyediakan kemudahan Internet di kawasan-kawasan luar bandar bagi membolehkan masyarakat di kawasan terlibat menikmati kemudahan tersebut," katanya.

4 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang

Posted:

4 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang

4 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang


Anggota bomba berusaha memadamkan api yang melibatkan rumah Zahara Abu Bakar (gambar kecil) di Kampung Baung, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 21 Sept. - Empat sekeluarga dari Kampung Baung, Pengkalan Chepa dekat sini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran pagi ini.

Kejadian pukul 8.15 pagi itu turut memusnahkan sebuah motosikal dan kereta jenis Perodua Kancil milik mangsa yang diletakkan berhampiran rumah berkenaan.

Mangsa, Zahara Abu Bakar 63, berkata, dia menyedari kebakaran itu selepas ternampak kepulan asap di kawasan rumahnya ketika dia dan salah seorang anaknya, Masitah Mohammad, 19, berada di dapur untuk menikmati sarapan pagi.

"Saya mengarahkan Masitah mengejutkan seorang lagi anak saya, Siti Asiah, 24, yang ketika itu sedang berehat di ruang tamu supaya keluar dari rumah.

"Sebaik sahaja keluar, saya lihat rumah sudah pun terbakar. Saya tidak berdaya untuk berbuat apa-apa kerana api marak dengan cepat. Bagaimanapun saya bersyukur kerana musibah ini tidak meragut nyawa kami sekeluarga," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Ketika kejadian, suaminya Mohamad Ibrahim, 64, tiada dirumah kerana keluar bekerja.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Saipu Bahari Mat Noor ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.25 pagi dan tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian.

Menurutnya, seramai 21 anggota dari dua buah balai iaitu Pengkalan Chepa dan Kota Bharu bersama lima jentera dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadamkan api.

"Kerugian dianggarkan berjumlah RM160,000. Punca sebenar kebakaran ini masih dalam siasatan," katanya.

Tarikan berkayak di Sungai Nenggiri

Posted:

Tarikan berkayak di Sungai Nenggiri

Tarikan berkayak di Sungai Nenggiri

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my


PESERTA memulakan kayuhan ketika menyertai aktiviti berkayak pada program Cabaran Nenggiri Inter Politeknik Malaysia 2011 di Sungai Nenggiri, Gua Musang, baru-baru ini. – utusan/Yatimin


GUA MUSANG 21 Sept. – Menyusuri Sungai Nenggiri melalui aktiviti kayak arus deras sejauh 54 kilometer menjanjikan satu pengalaman yang menarik buat sesiapa sahaja yang mengikuti aktiviti berkenaan.

Mengharungi 32 jeram termasuk lima jeram besar pasti mengundang rasa gerun kepada mereka yang pertama kali menyertai aktiviti tersebut, namun bagi mereka yang sudah biasa pasti tidak menghadapi sebarang masalah untuk berdepan dengan cabaran itu.

Itulah sebahagian rencah cabaran yang terpaksa diharungi seramai 85 peserta termasuk pegawai pengiring dari 15 politeknik seluruh negara serta dua kolej komuniti iaitu Pasir Mas dan Kok Lanas, Kelantan sepanjang mengikuti Cabaran Nenggiri Inter-Politeknik Malaysia 2011 yang berlangsung di Sungai Nenggiri dekat sini selama tiga hari bermula 15 September lalu.

Pengalaman menaiki rakit tiub sambil menongkah arus deras sungai serta aliran jeram yang diselang seli dengan batu-batuan semula jadi pasti menjadi kenangan paling berharga kepada semua peserta.

Hujan renyai-renyai yang mengiringi hari pertama dan bahang cuaca panas di hari kedua langsung tidak melunturkan semangat kesukanan para peserta dek kerana terpukau dengan keindahan panorama ciptaan yang maha esa sepanjang melunsuri arus Sungai Nenggiri.

Sepanjang program berlangsung, para peserta telah diuji semangat berpasukan melalui cabaran mendayung dan mengharungi arus jeram yang deras. Selain itu, mereka turut dibawa menyelami budaya masyarakat orang asli di Kampung Pos Pulat yang terletak kira 50 kilometer dari Bandar Gua Musang.

Menurut Pengarah Program, Raduan Ibrahim, program anjuran Politeknik Kota Bharu dengan kerjasama Majlis Sukan Polteknik Malaysia (MSP) bertujuan mengembangkan potensi pelajar terutamanya dalam membina soft skill agar mampu berdaya-saing dengan dunia luar selepas menamatkan pengajian.

"Melalui program seperti ini diharapkan para peserta mampu mempelajari kepentingan untuk bekerjasama dalam pasukan kerana apabila menghadapi alam pekerjaan nanti yang sememangnya memerlukan sifat toleransi dan bersatu-padu.

"Selain aktiviti berunsurkan cabaran, kita turut mengadakan aktiviti yang melibatkan masyarakat, menghargai alam sekitar serta mengenali peninggalan sejarah agar para peserta berkeupayaan membudayakan aktiviti tersebut dalam membina jati diri," katanya.

Tambahnya, program tersebut pernah di adakan sebelum ini namun lebih kepada aktiviti riadah dan bukannya berbentuk pertandingan.

"Hari pertama para peserta terpaksa mengharungi cabaran sejauh 30 kilometer bermula di Gua Cha yang merupakan lokasi awal penempatan manusia di negara ini dan berakhir di perkampungan orang asli Pos Pulat dan memakan masa hampir tiga jam 30 minit.

"Cabaran hari kedua bermula di Kampung Pos Pulat dan berakhir di Kampung Star sejauh 15 Kilometer," ujarnya.

Seorang peserta dari Politeknik Sandakan, Sabah, Herman Kunsian, 20, berkata dia teruja dapat menyertai cabaran tersebut yang merupakan kali pertama di sertainya.

"Ini merupakan pengalaman baru buat diri saya sepanjang mengikuti program ini. Antaranya ialah semangat kerjasama berpasukan yang menuntut komitmen yang tinggi.

"Selain itu, saya juga dapat mempelajari cara hidup dan sosial budaya masyarakat orang asli di Pos Pulat yang belum pernah dirasai sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Mohd. Azuwan Mat Nawan, 21, mengakui cabaran kayak arus deras di Sungai Nenggiri menuntut pesertanya memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang mengharungi aliran sungai berkenaan.

"Biarpun sudah biasa mengharungi cabaran di sini, ia bukanlah semudah yang disangka kerana aliran sungai berbeza dengan apa yang saya lalui sebelum ini," katanya.

Sementara itu, seorang peserta wanita tunggal Zuzailisha Zubir 23, berkata, cabaran Nenggiri memerlukan daya ketahanan mental yang tinggi selain kecergasan fizikal.

"Selain itu, kepakaran membaca aliran sungai juga penting untuk memastikan kita dapat mengemudi rakit berkenaan dengan selamat," ujarnya yang sudah lima tahun berkecimpung dalam sudah berkayak.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Apek nafi Jepun berpesta gol

Posted:

Apek nafi Jepun berpesta gol

Apek nafi Jepun berpesta gol

Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my


khairul Fahmi Che Mat (kiri) menafikan percubaan dua penyerang Jepun, Yuya Osako (kanan) dan Keigo Higashi pada Kelayakan Olimpik di Tosu, Saga Jepun semalam. – AFP


KUALA LUMPUR - Tewas 0-2 kepada Jepun mungkin bukan satu keputusan yang memalukan.

Namun hakikatnya persembahan hambar skuad Olimpik negara ketika berdepan pasukan No.1 Asia pada aksi pembukaan Kumpulan C Kelayakan Olimpik semalam, memberi gambaran tentang tahap bola sepak kita masih ketinggalan berbanding negara tuan rumah.

Jika bukan kerana ketangkasan penjaga gol yang juga ketua pasukan, Khairul Fahmi Che Mat, skuad negara mungkin dibolosi dengan jumlah jaringan yang jauh lebih besar.

Beraksi di hadapan kira-kira 23,000 penyokong Blue Samurai di Stadium Tosu, Fukuoka, Harimau Muda bagaikan kehilangan taring, langsung tidak mengaum.

Sejak awal permainan, barisan pertahanan skuad Ong Kim Swee begitu mudah dilepasi oleh rangkaian serangan Jepun yang diketuai tonggak perancang, Hiroshi Kiyotake.

Serangan yang dilancarkan dari pelbagai sudut, menguji Khairul Fahmi dengan hantaran lintang berbahaya dari kedua-dua belah sayap, serta rembatan dari luar kotak.

Barisan empat pertahanan Malaysia iaitu Mahali Jasuli, Muslim Ahmad, Fadhli Shas dan Zubir Azmi, kerap membiarkan pemain lawan melepasi kawalan mereka.

Menghidu kelemahan Malaysia itu, Jepun akhirnya mendahului selepas 10 minit perlawanan menerusi jaringan Keigo Higashi yang mudah menewaskan Khairul Fahmi di penjuru kiri gawang selepas menerima umpanan Kiyotake.

Jaringan itu menyemarakkan semangat Jepun dengan menggandakan serangan.

Ketika pertahanan skuad negara terus bergelut, mujur ketangkasan Khairul Fahmi atau Apek menjadi penyelamat.

Apek akhirnya dibolosi kali kedua apabila pemain gantian, Ryohei Yamazaki mudah menolak masuk umpanan penyerang Nagoya Grampus, Kensuke Nagai.

Peluang untuk meneruskan harapan ke London 2012 belum tertutup sekiranya dapat bangkit pada perlawanan berikutnya, dengan syarat Kim Swee mengelak aksi hambar semalam.

Malaysia akan menerima kunjungan Syria, 23 November depan.

Devan akui terguris hati

Posted:

Devan akui terguris hati

Devan akui terguris hati

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Bekas ketua jurulatih Selangor, K. Devan amat terguris hati dengan sikap segelintir penyokong pasukan itu yang memasang sepanduk memintanya meletak jawatan selepas kalah 1-2 kepada T-Team dalam perlawanan Kumpulan D bola sepak Piala Malaysia, Sabtu lalu.

Jurulatih kelahiran Negeri Sembilan itu berkata, sepanjang tiga tahun bersama Gergasi Merah sejak akhir 2008, dia belum pernah mengalami situasi sedemikian.

Insiden itu menyumbang salah satu punca mengapa dia mengundur diri kelmarin, lebih awal daripada kontraknya yang berakhir 30 November.

"Tiga tahun saya bersama Selangor, tidak pernah ada sepanduk sebegitu ditujukan kepada saya. Hati saya kurang senang dengan tindakan mereka (penyokong Merah Kuning). Mereka tidak menghormati perasaan saya," katanya yang dipetik daripada temu bual dengan sebuah stesen TV tempatan, semalam.

Devan turut mempersoalkan mengapa penyokong Selangor berkenaan tidak langsung menilai rekod pencapaiannya dengan Merah Kuning seperti membantu mereka menjulang Piala Sultan Ahmad Shah 2009-10, Liga Super 2009-10 dan Piala FA 2009.

"Saya sudah bawa banyak kejayaan buat pasukan Selangor. Saya juga sudah mencuba yang terbaik (bagi musim ini, tempat ketiga Liga Super dan separuh akhir Piala FA) dan penyokong perlu tahu, ada beberapa sebab mengapa pasukan kurang menyerlah kali ini.

"Kami kehilangan (penyerang utama) Safee Sali (berhijrah ke Pelita Jaya Indonesia) dan ramai tonggak tercedera (sejak penghujung liga) tetapi dengan tindakan penyokong itu, saya rasa saya tidak boleh duduk lama lagi (bersama Selangor)," katanya.

Mulai kelmarin juga, tempat Devan diambilalih P. Maniam, yang sebelum ini menjadi penolong jurulatih Selangor.

Maniam pernah mengemudikan pasukan belia negeri menjulang Piala Belia 2006, Piala Presiden 2008 dan pingat perak Sukan Malaysia 2010.

Selangor masih berpeluang ke suku akhir Piala Malaysia jika menewaskan Polis Diraja Malaysia di Paroi, Sabtu ini dan Kuala Lumpur di Shah Alam, Selasa depan selain berharapkan keputusan dan kedudukan pasukan lain, membantu menyebelahi mereka.

Peletakan jawatan Devan, 50, diibaratkan seorang 'nakhoda yang meninggalkan bahteranya yang hampir karam' atau ketika 'anak kapalnya' terkial-kial untuk terus berjuang menuju haluan iaitu mencapai 'Misi 33 Piala Malaysia' Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Amin yang juga pengurus pasukan Selangor pada sidang akhbar khas di Shah Alam, kelmarin, pula enggan mendedahkan sebab sebenar pengunduran ketua jurulatih itu dan hanya bersedia mengumumkannya selepas Piala Malaysia musim ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Rabu, 21 September 2011

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Bilik 'Triaj' di balai polis

Posted:

Bilik 'Triaj' di balai polis

Bilik 'Triaj' di balai polis

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my


ISMAIL Omar menandatangani plat pelancaran perkhidmatan 'Triaj' di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI


KUALA LUMPUR 21 Sept. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyediakan sebuah bilik khas di bahagian pertanyaan balai-balai polis untuk kegunaan pengadu yang ingin membuat laporan berkaitan kes-kes sensitif.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, selain menjaga kerahsiaan pengadu, kemudahan bilik yang dikenali sebagai 'Triaj' itu diwujudkan bagi mengelak berlaku suasana tidak terkawal di kaunter pertanyaan.

Katanya, kemudahan itu diberikan kepada orang ramai yang membuat aduan berkaitan kes-kes sensitif seperti jenayah seksual, keganasan rumahtangga, culik, ragut dan kemalangan jalan raya.

"Pengadu yang terdiri daripada kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan wanita hamil akan diberi keutamaan menggunakan bilik Triaj (bermaksud 'tindakan mengikut kesesuaian' dalam bahasa Perancis).

"Kita akan menyediakan kakitangan awam dan pegawai penyiasat yang terlatih untuk menerima laporan dan membantu mangsa mengawal emosi mereka ketika ditempatkan di bilik Triaj.

Katanya, bilik ini berbeza dengan kaunter pertanyaan kerana ia tempat menangani masalah pengadu yang menghadapi tekanan emosi atau pengalaman pahit dalam sesuatu kejadian.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Perkhidmatan Triaj PDRM di Balai Polis Travers di sini, hari ini.

Menurutnya, perkhidmatan Triaj merupakan satu daripada inisiatif yang disenaraikan di bawah projek Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk meningkatkan tahap kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan PDRM.

Beliau berkata, fasa pertama perkhidmatan Triaj telah dilaksanakan mulai tahun lalu dengan lima balai dipilih sebagai perintis projek tersebut iaitu dua di Kontinjen Selangor dan tiga di Kuala Lumpur.

Balai-balai tersebut adalah Balai Polis Damansara; Seksyen 15, Shah Alam; Travers, Petaling dan Sungai Besi.

"Dalam fasa kedua tahun ini, sejumlah 35 balai polis di beberapa kontinjen lokasi panas iaitu Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur akan dibina bilik Triaj.

"Perkhidmatan Triaj akan diperluaskan ke negeri-negeri lain tetapi ia bergantung kepada peruntukan disediakan oleh kerajaan kerana kos menyediakan sebuah bilik sahaja memerlukan antara RM50,000 hingga RM60,000," katanya.

Selain membina bilik Triaj, PDRM juga akan menambah kelengkapan logistik di ruang menunggu seperti set sofa, televisyen, alat pendingin hawa dan air minuman untuk memberi keselesaan kepada pelanggan yang datang berurusan di balai-balai polis.

Laporan Anwar: Polis buka kertas siasatan

Posted:

Laporan Anwar: Polis buka kertas siasatan

Laporan Anwar: Polis buka kertas siasatan

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Polis sudah membuka kertas siasatan ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa membuat laporan palsu bagi menafikan beliau ialah pelaku dalam video aksi seks yang tersebar pada Mac lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, kertas siasatan kes tersebut dibuka selepas ada pihak membuat laporan polis baru-baru ini.

Ismail bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan kes tersebut kerana ia masih dalam siasatan.

"Berpandukan kepada aduan yang diterima, kita siasat kes ini mengikut prosedur dan justifikasi perundangan negara.

"Kertas siasatan sudah buka dan sekarang kita sedang menjalankan siasatan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran Perkhidmatan Triaj Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Balai Polis Travers di sini, hari ini.

Ismail mengulas mengenai desakan orang ramai yang meminta polis tidak menunggu kes liwat membabitkan Anwar selesai di mahkamah sebelum menyiasat laporan yang dibuat pemimpin itu sebelum ini.

Pergerakan Puteri UMNO sebelum ini membuat laporan polis berhubung tindakan Anwar membuat laporan palsu menafikan penglibatannya dalam video seks yang didedahkan trio Datuk T.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Politik

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Politik


240 ADUN BN berkampung di Selangor

Posted:

240 ADUN BN berkampung di Selangor

240 ADUN BN berkampung di Selangor


Nadzri Ismail (dua dari kanan) memperkatakan sesuatu kepada pengerusi dan setiausaha ADUN Barisan Nasional sebelum memulakan mesyuarat di Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 21 Sept. - Seramai 240 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dari seluruh negara berkampung di 45 kawasan DUN di negeri Selangor selama tiga hari bermula hari ini dalam rangka perhimpunan dwitahunan ADUN-ADUN BN (BNBBC).

Perasmian program itu dijadual disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di pekarangan pasar raya besar Tesco Kuala Selangor pada pukul 8.30 malam esok.

Sepanjang program tersebut, seramai 150 orang ADUN BN akan turun padang dan tinggal bersama keluarga angkat masing-masing melibatkan sebanyak 73 kawasan pusat daerah mengundi (PDM) di seluruh negeri ini.

Program tersebut dilihat sebagai satu penggemblengan secara serius BN bagi menawan hati rakyat negeri ini sekali gus mengembalikan semula tampuk pemerintahan negeri ke tangan BN melalui Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Pengerusi Kelab BNBBC Malaysia, Datuk Nadzri Ismail berkata, melalui program perkampungan tersebut, semua ADUN yang terlibat berpeluang menyelami masalah rakyat secara dekat selain memberikan penerangan mengenai gagasan 1Malaysia.

''Program itu juga dapat merapatkan lagi hubungan di kalangan ADUN-ADUN BN dan menggabungkan idea dalam menyelesaikan masalah rakyat.

''Ini akan dapat menambahkan lagi kekuatan ADUN-ADUN BN dan kita akan memberikan fokus kepada 45 kawasan DUN di Selangor bagi membolehkan BN kembali menerajui pentadbiran negeri ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat UMNO Selangor di sini hari ini.

Program perkampungan BNBBC itu bermula dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama masyarakat di seluruh 73 PDM membabitkan 20 kawasan Parlimen di Selangor malam ini.

Keesokannya, mereka akan bersarapan bersama keluarga angkat dan kemudian bertolak ke Kuala Selangor bagi menghadiri ceramah yang akan disampaikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad bertajuk Peranan dan Cabaran Terkini Wakil Rakyat pada pukul 3 petang esok.

Selepas majlis perasmian perhimpunan itu dan jamuan makan malam bersama Perdana Menteri, wakil-wakil rakyat tersebut akan menghadiri sesi dialog tertutup bersama Perdana Menteri di Bangunan UMNO Kuala Selangor dekat sini.

Perasmian penutup pula akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Klang pada Jumaat ini.

Nadzri yang juga ADUN Manjoi, Perak berkata, perkampungan tersebut juga dapat memberi pendedahan kepada kesemua ADUN BN supaya mempelajari cara menghadapi keadaan sekiranya mereka tidak lagi menjadi pemerintah sebagaimana berlaku di Selangor.

Pembangkang setuju sertai jawatankuasa khas Parlimen

Posted:

Pembangkang setuju sertai jawatankuasa khas Parlimen

Pembangkang setuju sertai jawatankuasa khas Parlimen

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Pakatan pembangkang hari ini akhirnya bersetuju menyertai Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen yang bertanggungjawab menambah baik proses pilihan raya di negara ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiga wakil dari pakatan pembangkang dalam jawatankuasa itu akan ditentukan bersama-sama oleh Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Anwar pada persidangan berita di sini berkata, keputusan untuk menyertai jawatankuasa khas terpilih itu adalah bagi memastikan wakil mereka dapat membawa cadangan pakatan pembangkang yang menuntut pilihan raya yang bersih, iaitu reformasi keseluruhan proses dan pelaksanaan pilihan raya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarangan maklumat rasmi mengenai usul penubuhan jawatankuasa itu yang akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula 3 Oktober ini.

Pada 15 Ogos lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu dalam usaha menambah baik proses pilihan raya. - bernama

Jawatankuasa itu akan diketuai oleh seorang menteri dan dianggotai oleh sembilan wakil rakyat terdiri lima daripada parti kerajaan, tiga pembangkang dan satu bebas.

— BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved