Jumaat, 23 Mei 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Jadilah pengguna Internet bijak

Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT

Oleh NIZAM YATIM
Jurugambar SAIFUL BAHARI ASHARI

Datuk Mohamed Sharil Tarmizi

UTUSAN: Apa komen Datuk tentang gejala penipuan dan fitnah dalam Internet?

MOHAMED SHARIL: Kita kena faham bagaimana Internet berfungsi. Ia direka dengan cara sesiapa sahaja boleh bersembunyi di belakangnya. Jadi jika ada yang kata dia seorang lelaki dalam Internet, sebenarnya mungkin perempuan dan yang kata dia muda, sebenarnya mungkin tua.

Frasa dalam bahasa Inggeris yang agak popular bagi menjelaskan situasi ini adalah, Kamu mungkin bercakap dengan anjing di dalam Internet dan kamu tidak tahu.

Ini berbeza kalau kita bercakap melalui telefon, sekurang-kurangnya kita boleh kenal itu suara siapa. Tetapi dalam Internet, semuanya halimunan kerana kita cuma berdepan dengan skrin komputer atau skrin telefon sahaja. Kita cuma nampak apa yang ada di depan mata dan tidak dapat melihat apa yang ada di belakang. Kalau kita faham akan hakikat ini, tidak akan menjadi kemusykilan kenapa wujudnya akaun Facebook palsu yang menyebarkan fitnah.

Antara trend yang kita sedang pantau adalah Facebook yang memaparkan gambar dan nama artis popular. Ramai nak jadi kawan, sedangkan mereka tidak siasat pun, entah-entah ia bukan milik selebriti berkenaan.

Satu lagi cabaran yang kita hadapi adalah kemudahan televisyen pintar disambung dengan jalur lebar yang boleh digunakan untuk tujuan kebaikan dan juga keburukan.

Kenapa akaun Facebook palsu dan yang menyebar fitnah tidak disekat?

Kita boleh laporkan kepada Facebook, tetapi untuk menentukan sama ada akaun itu perlu ditutup atau tidak adalah tertakluk kepada syarikat pengendali media sosial berkenaan yang berpengkalan di luar negara.

Kalau perkara berkenaan dianggap tidak menyalahi terma-terma perkhidmatan Facebook, kita tak dapat buat apa-apa. Contohnya, ada dua tiga akaun palsu yang menggunakan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kita tahu akaun itu palsu dan telah melaporkannya kepada Facebook, tetapi sehingga kini pengendali media sosial itu masih tidak tutup akaun palsu tersebut. Syarikat berkenaan menganggap pembukaan akaun terbabit tidak melanggar terma-termanya. Alasannya mungkin ada orang lain yang sama nama dengan Najib.

Dalam kes seperti ini, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat (AS) pun tak boleh nak selesaikan jika Facebook tidak membenarkan rangkaian komputer mereka dimasuki.

Berdasarkan hakikat ini, orang ramai harus sedar bahawa MCMC tidak mempunyai butang ajaib untuk menyekat Facebook dan kemudahan lain dalam Internet.

Kesukaran ini berpunca kerana reka bentuk Internet itu sendiri yang dicipta oleh Vint Cerf dan Bob Kahn yang dibiayai Agensi Projek Penyelidikan Lanjutan Pertahanan Canggih (DARPA), AS yang bertujuan membolehkan maklumat disampaikan ketika perang walaupun sewaktu ibu sawat telekomunikasi dibom.

Berikutan kekangan ini, apa yang sepatutnya dibuat pengguna?

Kita sudah ada program yang dipanggil Klik Dengan Bijak iaitu satu panduan keselamatan melayari Internet.

Dengan adanya program ini, kita berharap orang ramai memikirkan dahulu implikasinya sebelum berbuat sesuatu menggunakan Internet.

Masalahnya, masyarakat kita mudah percaya, dia tengok nama si polan bin si polan dalam Facebook, dia percaya betullah orang itu, sedangkan sebenarnya tidak.

Terdapat kemungkinan apa yang ditulis dalam Internet itu sengaja dicipta anasir tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan, melakukan penipuan dan memporakperandakan keadaan.

Ramai yang menulis dalam Facebook, blog dan Twitter tidak berpegang kepada etika kewartawanan dan menulis ikut suka sahaja. Ini berbeza dengan wartawan media tradisional yang selalunya akan memeriksa kesahihan maklumat yang disampaikan oleh sumber dan ia sekali lagi akan disemak oleh editor sebelum sesuatu berita itu disiarkan.

Adakah masalah ini dihadapi negara lain?

Bukan negara kita sahaja yang menghadapi cabaran macam ini. Saya kerap berbincang dengan rakan-rakan daripada badan kawal selia lain di seluruh dunia. Mereka pun menghadapi cabaran yang sama.

Keadaan di Malaysia nampak seolah-olah lebih serius sebab kita mungkin lebih peka kepada isu, jadi kita lebih cepat dapat tangkap. Pada masa sama, mungkin reaksinya juga cepat.

Jadi mungkin kita perlu ambil masa sedetik untuk menentukan sendiri sama ada apa yang dikatakan itu adalah sebenar-benarnya sahih. Janganlah kita percaya daripada satu sumber sahaja, seelok-eloknya kita tengok daripada sumber-sumber lain juga.

Di negara lain, penduduk akan membandingkan maklumat dalam Internet dengan sumber-sumber maklumat yang lain seperti surat khabar, televisyen dan radio.

Di Malaysia, penduduk mungkin lebih mesra dengan Internet dan ada kemungkinan mereka tidak percaya kepada media arus perdana kerana menganggap semua ini adalah propaganda sahaja.

Satu lagi yang berbeza di negara ini adalah media tradisional yang cepat memberi reaksi terhadap komen tidak bertanggungjawab dalam Facebook walaupun pengikut akaun itu hanya 200 atau 300 orang sahaja. Kenapa kita nak riuh sekampung, sedangkan jumlah ini adalah cukup sedikit berbanding 30 juta penduduk Malaysia.

Wartawan mungkin tidak sedar kuasa media tradisional yang mereka wakili. Apabila isu ini telah dibangkitkan dalam media arus perdana, apa yang ditimbulkan dalam Facebook berkenaan akan diketahui oleh pembaca akhbar berkenaan dan terdapat kemungkinan pengikut akaun itu juga akan bertambah kerana media tradisional telah membantu mempopularkan Facebook terbabit.

Ada tanggapan MCMC tidak bertindak terhadap penghasut dalam Internet?

Kita kena faham bahawa kesalahan dalam undang-undang ini tertakluk kepada kesalahan yang hakiki. Contohnya, kesalahan ugutan. Sama ada melalui cakap mulut secara berdepan atau tulisan melalui Facebook dan Twitter adalah tetap ugutan.

Kita ada undang-undang yang memang khusus bagi kesalahan mengugut yang terkandung dalam Kanun Keseksaan di bawah bidang kuasa polis. Maksudnya undang-undang Malaysia sedia ada terpakai sama ada di alam maya atau alam nyata. Tetapi apabila pihak polis memerlukan pertolongan untuk mendapatkan bukti, kita akan membantu dari segi teknikal dan forensik.

Ramai yang beranggapan bahawa segala perkara berkaitan Internet, ia termasuk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang dalam bidang kuasa MCMC. Tanggapan ini tidaklah begitu tepat.

Sebenarnya, hanya terdapat dua kesalahan sahaja yang betul-betul di bawah kuasa MCMC iaitu Seksyen 211 dan Seksyen 233 yang dalam konteks pendakwaan di mahkamah, kebiasaannya akan dijadikan tuduhan pilihan kedua. Ia berkaitan kesalahan melakukan bibit-bibit yang membawa kepada hasutan. Tetapi ini belum hasutan betul-betul.

Biasanya pihak pendakwa raya akan pergi kepada dakwaan yang mengenakan hukuman lebih berat dulu yang terkandung dalam Akta Hasutan 1948 yang di bawah bidang kuasa polis atau akta-akta lain yang relevan.

Sebagai contoh, dalam kes Alvin Tan dan Vivian Lee. Yang kesan, siasat dan merekodkan kenyataan mereka adalah MCMC, tetapi apabila didakwa bukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia. Sebaliknya mereka didakwa di bawah Akta Penapisan Filem, sebab mengeluarkan bahan lucah yang tidak ditapis; Akta Hasutan kerana mengeluarkan kata-kata yang boleh menimbulkan kemarahan umat Islam dan Kanun Keseksaan kerana menimbulkan keadaan yang boleh menimbulkan huru-hara di antara masyarakat. Hak untuk mendakwa adalah tertakluk kepada Pejabat Peguam Negara. Kami hanya bertindak sebagai agensi penyiasat.

Sebab itu, bila orang kata kita tak bertindak dan tak tegas, saya harap mereka memahami undang-undang terlebih dahulu iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia itu bukanlah satu sahaja akta yang boleh dipakai dalam dunia maya ini.

Bagaimana dengan tentera siber propembangkang, Red Bean Army (RBA)?

Daripada siasatan kami setakat ini, ada segolongan yang membahasakan diri mereka sebagai RBA atau mereka yang simpati kepada konsep dibawa kumpulan berkenaan.

Tetapi kalau nak dikatakan tentera, saya rasa tidak. Berapa besar kumpulan itu, wallahualam. Kalau tanya saya, takrifan tentera adalah satu bala tentera yang mempunyai pengkhususan dan ada struktur pemerintahannya.

Maklumat yang kami terima setakat ini, tidak sebegitu strukturnya dan ia tidaklah sebegitu teratur. Sesiapa yang mempunyai maklumat sahih yang boleh membantu siasatan terhadap RBA, kami sedia menerima dan kami akan bekerjasama dengan pihak polis berkenaan hasil siasatan.

Difahamkan MCMC telah mengenakan kompaun terhadap syarikat telekomunikasi berhubung isu panggilan telefon bimbit kerap terputus?

Ya, mereka tidak menepati piawaian yang ditetapkan dan setelah beberapa amaran dikeluarkan, akhirnya denda terpaksa dikenakan.

Untuk jangka panjang, dalam menyelesaikan masalah ini kita perlu mengetahui penyebabnya. Salah satu puncanya adalah penggunaan aplikasi atau peranti jalur lebar yang melebihi apa yang dapat ditampung oleh prasarana sedia ada. Ini berpunca kerana peranti berkenaan lebih mudah didapati dan lebih murah sekarang ini. Caj langganannya juga lebih murah.

Malahan Malaysia baru-baru ini diiktiraf sebagai negara paling teratas daripada 46 negara membangun di seluruh dunia yang mana akses kepada Internet dan jalur lebar adalah yang paling mampu milik. Sekarang ini kita juga ada 143 peratus penembusan telefon mudah alih. Maksudnya, telefon lebih banyak daripada orang dan tiap individu mungkin mempunyai dua, tiga atau lima telefon.

Jika sesuatu rangkaian direka untuk membolehkan 2,000 panggilan serentak dibuat tetapi apabila berlaku keadaan di mana panggilan serentak melebihi jumlah itu, ia mungkin akan menyebabkan panggilan terputus berlaku.

Ini boleh ditangani dengan menambah kapasiti serta penambahbaikan rangkaian dan pembinaan menara pemancar baharu. Ini yang sedang dibuat sekarang oleh pembekal-pembekal perkhidmatan dan ia akan memakan masa dan belanja yang cukup banyak.

Bukan hanya KPDNKK perlu bertegas

Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT

Komentar Oleh Zulkiflee Bakar

APABILA isu penyelewengan diesel subsidi didedahkan yang secara jelas membuktikan terdapat kelemahan dan kepincangan dari segi penguatkuasaan, ramai menuding jari ke arah Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa ada kelemahan yang berlaku di bahagian itu tetapi pada masa sama, kita juga sudah menyaksikan ketegasan menterinya, Datuk Seri Hasan Malek yang menyatakan, kementerian itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawainya yang terlibat dalam perbuatan menyalahi undang-undang termasuklah dalam isu penyelewengan diesel bersubsidi tersebut.

Selain itu, Hasan memberi jaminan bahawa kementerian akan mengkaji untuk mengehadkan tempoh penempatan pegawai-pegawai penguat kuasa di sesuatu kawasan.

Sekurang-kurangnya melalui ketegasan Hasan, ia memungkinkan KPDNKK melancarkan perang terhadap penyelewengan diesel bersubsidi.

Ternyata bukan soal menjaga imej organisasi yang menjadi perhitungan sebaliknya melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin, itulah yang dibuktikan oleh Hasan dan pegawai-pegawainya.

Oleh itu agensi-agensi penguat kuasa lain, jangan berasa selesa seolah-olah anggota mereka bersih daripada amalan rasuah. Sebenarnya, penyelewengan diesel subsidi ini turut melibatkan agensi penguat kuasa lain yang sepatutnya bertanggungjawab menghalang kegiatan haram itu.

Mereka juga tidak harus berpeluk tubuh dan membiarkan sahaja KPDNKK melakukan operasi pembersihan di kementerian itu sedangkan maklumat yang diterima oleh penulis, penglibatan agensi penguat kuasa lain dalam bersekongkol dengan sindiket tidak boleh dinafikan sama sekali.

Justeru adalah wajar jika langkah yang dilakukan oleh KPDNKK turut sama diikuti oleh agensi-agensi penguat kuasa lain dalam usaha memastikan apa juga penyelewengan seperti isu diesel bersubsidi ini dapat dihapuskan sama sekali.

Ini kerana sudah berlaku kejadian kebocoran maklumat berhubung sesuatu operasi sehingga menggagalkan usaha membanteras penyelewengan yang terjadi.

Oleh itu ketelusan dan kejujuran bukan sahaja dituntut daripada KPNDKK bahkan semua kementerian memandangkan apa yang berlaku melibatkan soal mensabotaj ekonomi negara.

Dalam mana-mana juga agensi penguat kuasa tidak boleh wujud sebarang elemen pengkhianat dan penerima rasuah kerana ia akan menggagalkan usaha membasmi kegiatan haram di negara ini.

Berikutan itu agensi penguat kuasa terlibat perlu menunjukkan jiwa besar untuk mengakui bahawa mereka juga mempunyai anggota yang disyaki bersekongkol dengan sindiket.

Berdasarkan maklumat yang diterima penulis, hampir semua agensi penguat kuasa mempunyai anggota yang bersedia menerima rasuah daripada sindiket.

Oleh itu, agensi penguat kuasa perlu telus dalam soal ini, jangan biarkan mana-mana pegawai atau anggota mereka menjadi taiko kepada sindiket.

Sementara soal ketelusan dan kejujuran perlu ditingkatkan, pada masa sama kelemahan dan kepincangan dari segi penguatkuasaan juga harus diperbaiki segera.

Pelbagai prosedur dan kaedah perlu dikaji semula bagi memastikan sindiket tidak bersandiwara dengan menghentikan operasi mereka sementara berikutan perang yang dilancarkan oleh KPDNKK.

Sudah acap kali berlaku, sindiket akan memperlahan atau menghentikan kegiatan mereka apabila mengetahui pihak berkuasa sedang melancarkan operasi.

Kalau pun mereka meneruskan operasi, ia akan dilakukan secara berhati-hati dan menjadikan anggota agensi penguat kuasa yang telah dirasuah sebagai mata dan telinga mereka.

Kesudahannya operasi yang dijalankan hanya sia-sia dan tidak berapa lama kemudian sindiket yang terlibat akan aktif semula.

Justeru adalah wajar isu penyelewengan diesel bersubsidi ini dicari jalan penyelesaian yang jitu dan bukan sekadar bermusim setelah didedahkan oleh media. Pembaziran wang kerajaan secara tidak wajar berikutan penyelewengan yang berlaku perlu dihentikan.

Dalam soal ini, sudah tiba masanya, kerajaan melalui kementerian-kementerian yang terlibat mencari kaedah paling berkesan untuk mengatasi masalah ini.

Biarlah kaedah yang bakal dijalankan tidak popular atau dilihat menyusahkan, itu lebih baik daripada kerajaan terpaksa menanggung akibat perbuatan tidak amanah kakitangan dalam agensi penguat kuasa.

Sindiket penyelewengan diesel bersubsidi tidak sehebat mana, paling ampuh pun mereka menggunakan gengster bagi melindungi kegiatan mereka.

Tetapi jika kerajaan mempunyai mekanisme untuk menghalang sindiket tersebut daripada beroperasi, ia sudah pasti akan melumpuhkan kekuatan mereka.

Apa yang diperlukan iltizam dan kesungguhan secara berterusan, bukannya hangat-hangat tahi ayam kerana sindiket tidak pernah mengenal erti penat, kelemahan pelaksanaan oleh agensi kerajaan ibarat rezeki kepada mereka.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved