Utusan Online - Luar Negara |
Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT SEBAHAGIAN ahli Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim (Mawar), membuang coklat Cadbury ke dalam tong sampah sebagai membantah pencemaran DNA babi yang dikesan dalam dua produk syarikat itu di Kuala Lumpur, kelmarin. - AGENSI JAKARTA 30 Mei - Pihak berkuasa Indonesia dilapor menjalankan ujian ke atas coklat jenama Cadbury selepas dua daripada produk terbabit dikesan mempunyai asid deoksiribonukliek (DNA) babi oleh kerajaan Malaysia, baru-baru ini. Pengarah Agensi Pemantauan Makanan dan Dadah Indonesia, Roy Alexander Sparingga berkata, sebanyak 10 produk Cadbury yang mempunyai logo halal, diuji sama ada mengandungi DNA babi dan keputusan ujian hanya akan diketahui dalam tempoh beberapa hari lagi. Bagaimanapun katanya, semua produk yang diuji tidak melibatkan dua jenis coklat Cadbury, Cadbury Milk Roasted Almond dan Cadbury Milk Hazel Nut yang ditarik balik penjualannya di Malaysia selepas dikesan mengandungi bahan tidak halal itu. Kontroversi pencemaran DNA babi yang haram dimakan umat Islam tersebut mencetuskan kemarahan banyak pertubuhan Islam di Malaysia yang menggesa agar semua produk keluaran syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn. Bhd. (Cadbury) dan syarikat induk, Mondelez International Inc. (Mondelez) diboikot. Kebimbangan terhadap pelanggaran piawaian halal yang ditetapkan pihak berkuasa sekali gus dilihat boleh menjejaskan jualan syarikat Mondelez di pasaran Islam terutamanya di Indonesia yang mempunyai penduduk Islam teramai di dunia selain Asia Barat. Sementara itu di Kuala Lumpur, pihak berkuasa Malaysia cuba meredakan kemarahan orang ramai terhadap Cadbury dengan menyatakan kes itu masih disiasat sama ada pencemaran dilakukan atas kecuaian syarikat terbabit. Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha dalam kenyataannya berkata, orang ramai perlu sedar bahawa tindakan tidak boleh diambil ke atas Cadbury selagi siasatan masih belum selesai. Jelasnya, tiada bukti kukuh setakat ini yang menunjukkan sama ada pencemaran itu berlaku disebabkan kecuaian di kilang atau faktor luaran. "Kes yang berlaku ke atas Cadbury umpama suspek yang ditahan dan ditempatkan di dalam pusat tahanan. "Mereka (Cadbury) masih belum didapati bersalah dan operasi mereka hanya digantung sahaja buat masa ini," katanya. - REUTERS |
Poroshenko mahu hukum kumpulan pro-Rusia Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT SEBUAH jentolak membersihkan tayar-tayar yang membentuk sekatan di pekarangan bangunan pentadbiran di bandar Donetsk, timur Ukraine, kelmarin. - REUTERS KIEV 30 Mei - Presiden Ukraine yang baharu, Petro Poroshenko hari ini berikrar untuk menghukum kumpulan pemisah pro-Rusia yang menembak jatuh sebuah helikopter tentera di timur negara ini, semalam yang mengakibatkan 12 askar maut dalam satu daripada serangan berdarah pemberontak. Helikopter jenis Mi-8 itu ditembak jatuh dengan menggunakan sebuah peluru berpandu ke permukaan di Slavyansk, sekali gus membangkitkan kebimbangan Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa kumpulan pemisah tersebut menerima bekalan senjata dari luar Ukraine. "Kami perlu melakukan apa sahaja cara yang boleh bagi memastikan tiada lagi rakyat Ukraine mati di tangan pengganas dan penjahat. Jenayah-jenayah yang dilakukan oleh musuh tidak akan dibiarkan dan bakal mendapat pembalasan sewajarnya," katanya sebagaimana lapor agensi berita Ukraine. Menteri Pertahanan, Mykhailo Koval dalam pada itu dijangka memberikan butiran terperinci mengenai serangan berhampiran bandar perindustrian Slavyansk dalam satu sidang media, hari ini. Dalam nahas itu, antara yang terbunuh adalah Jeneral Volodymyr Kulchytskiy, enam anggota tentera Pengawal Nasional terdiri daripada sukarelawan, yang merupakan kematian kedua tertinggi sejak Ukraine kehilangan 18 anggota tentera dalam satu pertempuran di Donetsk, minggu lalu. Seorang daripada pemimpin pemisah membuat pengakuan mengejutkan semalam dengan mendakwa 33 daripada 40 anggota kumpulan pemisah yang maut dalam serangan di Lapangan Terbang Donetsk merupakan warga Rusia dari wilayah yang dihuni penduduk Islam seperti Chechnya. Pendedahan itu sekali gus mencabar dakwaan Presiden Rusia, Vladimir Putin yang menafikan campur tangan Kremlin dalam tindakan kumpulan pemisah dan menyokong dakwaan Kiev bahawa pemisah tidak mewakili kehendak sebenar pekerja lombong dan keluli yang menjadi nadi kepada ekonomi Ukraine. Setiausaha Negara AS, John Kerry berkata, terdapat bukti yang menunjukkan campur tangan Rusia' dalam pertempuran dan melatih individu daripada Chechnya di Rusia yang menjadi punca kepada konflik di Ukraine. Katanya, walaupun tentera Rusia di sempadan Ukraine telah kembali ke Moscow, tetapi masih terdapat tanda-tanda bahaya di situ. Sementara itu, kerajaan Ukraine semalam dilihat mengalih tumpuan mereka untuk memulihkan keadaan di Slavyansk, sebuah bandar perindustrian yang dihuni 120,000 penduduk yang kebanyakannya merupakan etnik Rusia. - AFP |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan