Utusan Online - Kota |
- Hari-hari elak 'jerangkap samar'
- Pengguna gesa pemantauan, tindakan tegas
- Premis curi air hampir 2 tahun
Hari-hari elak 'jerangkap samar' Posted: 15 May 2014 12:08 PM PDT Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN Jalan berlubang di persimpangan Jalan Jelatek, Kuala Lumpur yang menimbulkan kebimbangan pengguna jalan raya. KUALA LUMPUR 15 Mei - Jalan berlubang, retak, mendap, beralun, tampalan tidak sempurna dan tumpahan sisa konkrit bukan lagi keadaan luar biasa kepada pengguna jalan raya di Jalan Ampang di sini. Ini terutamanya di susur keluar persimpangan Jelatek menghala ke Ampang dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2). Rata-rata menyifatkan perjalanan mereka pada setiap hari di kawasan itu seperti cuba mengelak jerangkap samar. Keadaan jalan di situ bukan sahaja mengundang bahaya, bahkan menyebabkan kerosakan kepada kenderaan. Melalui pemerhatian penulis, Jalan Ampang merupakan antara jalan utama di ibu kota yang menjadi tumpuan ramai dan sewajarnya ia berada dalam keadaan baik dan sempurna. Malangnya, apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila kira-kira 100 meter jalan di laluan itu rosak teruk. Selain kesan tampalan yang tidak sempurna, terdapat juga lubang yang mengundang risiko kemalangan. Berdasarkan pemerhatian, jumlah kenderaan yang menggunakan laluan di situ amat tinggi. Pengguna bukan sahaja datang dari arah Taman Setiawangsa dan Keramat bahkan ia menjadi laluan utama kepada mereka yang tinggal di kawasan Ampang untuk ke pusat bandar raya. Selama lebih satu jam di lokasi itu, penulis berkeyakinan punca kerosakan jalan di situ disebabkan beberapa faktor. Faktor utama ialah kegagalan pihak berkuasa tempatan memantau kegiatan keluar masuk kenderaan berat secara bebas dari tapak pembinaan berhampiran yang menggunakan jalan utama di situ. Tindakan pemandu kenderaan itu bukan sahaja menyakitkan mata tetapi juga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya. Turut menjadi punca ialah kegagalan syarikat-syarikat utiliti menjalankan kerja-kerja menampal jalan dengan sempurna. Akibat kurang pemantauan pihak berkuasa, syarikat berkenaan seolah-olah bersikap lepas tangan selepas kerja-kerja pengorekan dilakukan. Sebagai pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab di ibu kota, Dewan Bandaraya (DBKL) perlu lebih tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menjadi punca kerosakan jalan. Tindakan dan pemantauan berterusan perlu dilakukan demi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya di sekitar Jalan Ampang. |
Pengguna gesa pemantauan, tindakan tegas Posted: 15 May 2014 12:08 PM PDT KUALA LUMPUR 15 Mei - Pengguna jalan raya mengesa pihak berkuasa tempatan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menjadi punca kerosakan jalan di Jalan Ampang di sini. Ia bagi mengelakkan keadaan jalan menjadi lebih teruk dan mencacatkan pemandangan di kawasan tersebut. Seorang pemandu teksi, Meerasa Mohamad, 55, berkata, sepanjang lebih dua tahun menjadi pemandu teksi di ibu kota, hampir setiap hari dia terpaksa mengelak daripada melanggar lubang kerana bimbang tayar kenderaannya rosak. Sebagai rakyat Malaysia juga saya malu kerana rata-rata pelanggan saya adalah pelancong asing. Saya pasti mereka tidak menyangka keadaan jalan di sini begitu teruk sekali. Sempena tahun Melawat Malaysia 2014, saya harap pihak bertanggungjawab ambil tindakan sewajarnya kerana sampai bila jalan di ibu kota berada dalam keadaan yang teruk dan menyakitkan mata," katanya. Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Bantuan Umum Malaysia (Pembantu), Muhammad Azfar Muhd. Ali berkata, pihaknya menerima banyak aduan berhubung perkara tersebut dan sebagai pengguna di Jalan Ampang, dia kesal kerana ia merupakan antara laluan utama ke ibu kota yang seharusnya berada dalam keadaan yang baik. Keadaan jalan yang teruk bukan sahaja mengundang risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya malah turut menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan kos tinggi untuk membaiki kenderaan yang rosak. Saya berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melihat perkara ini dengan lebih serius. Sewajarnya tindakan lebih tegas diambil terhadap mereka yang menjadi punca jalan rosak," katanya. |
Premis curi air hampir 2 tahun Posted: 15 May 2014 12:08 PM PDT Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR KAKITANGAN Syabas memotong sambungan paip bekalan air haram di sebuah premis di Sentul, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ shiidiequiin zon KUALA LUMPUR 15 Mei - Kegiatan mencuri air sejak hampir dua tahun lalu oleh pemilik sebuah rumah tumpangan di Jalan Taman Dato Senu, Sentul di sini akhirnya terbongkar apabila Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) bersama pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyerbu premis tersebut hari ini. Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis itu menggunakan air terawat yang diperoleh secara haram. Semakan oleh Syabas menunjukkan premis tersebut tidak mempunyai meter air sah yang berdaftar dengan kami, sekali gus menyebabkan kerugian air terawat kira-kira 68,300 meter padu atau lebih RM156,000. Sambungan air secara haram ini dilakukan sejak awal Julai 2012 iaitu semasa bermulanya perniagaan mereka dengan paip jenis High Density Poly Ethylene berukuran 2.5 sentimeter," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerbu premis berkenaan di sini, hari ini. Menurutnya, pihak Syabas telah mengeluarkan Notis Pemberitahuan Kesalahan dan Tindakan Penguatkuasaan bagi menuntut ganti rugi kehilangan air daripada pihak tersebut. Mana-mana individu atau pihak yang didapati membuat sebarang sambungan haram adalah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali. Operasi membanteras kegiatan mencuri air ter awat dari paip Syabas merupakan salah satu usaha untuk mengekang kadar kehilangan air tanpa hasil dan tindakan tersebut memerlukan kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat" jelasnya. Sementara itu, beliau menyatakan sebanyak 1,271 aduan kes curi air telah diterima oleh Syabas sejak 1 Januari hingga 9 Mei lalu dan daripada jumlah tersebut, 96 kes diklasifikasikan sebagai sahih. Syabas sudahpun mengambil tindakan lanjut terhadap perkara berkenaan dan anggaran kehilangan air daripada kes-kes terbabit ialah sebanyak 2.18 juta meter padu dengan nilai anggaran kira-kira RM5 juta," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan