Utusan Online - Utara |
- 10,000 sambut tahun baharu
- Ibu terharu lahir bayi tahun baharu 2014
- Wanita anak dua, mengandung antara ditahan
Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR Sebahagian daripada hampir 10,000 warga Ipoh yang hadir menyambut tahun baru 2014 di Dataran Ipoh, malam semalam. - utusan Zulkarnain Mohd. Saidin IPOH 1 Jan. - Lebih 10,000 orang membanjiri Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi meraikan sambutan Tahun Baharu 2014 anjuran kerajaan negeri di sini malam tadi. Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kerajaan negeri akan menunaikan segala janji yang dibuat ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), berbekalkan kepercayaan dan sokongan berterusan oleh rakyat. Menurut beliau, rakyat perlu mensyukuri nikmat keamanan dan perpaduan di negara ini yang tidak berdepan sebarang tekanan ancaman dari negara luar selain tidak dihambat dengan malapetaka semula jadi mahupun konflik manusia seperti berlaku di selatan Thailand. "Kita perlu terus mengguna pakai formula yang terbukti berkesan selama ini dengan mengetepikan segala persengketaan dan perbezaan fahaman politik mahupun sebarang jurang yang wujud antara kita untuk terus bersatu demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri. "Hanya apabila kita mampu dan mahu berbuat demikian, tiada lautan bergelora yang tidak boleh kita harungi, malah tiada gunung yang tidak boleh kita daki," katanya. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Nolee Ashilin Mohamed Radzi. Terdahulu, sebanyak 1,000 peserta dari Persatuan Interaksi Kebudayaan Malaysia (MICA) termasuk kakitangan MBI dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengikuti aktiviti berbasikal dari Kinta Riverwalk menuju ke Dataran MBI di sini. Program yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak; Koloni Karyawan Amanjaya (Port) dan Perak Tourism itu juga menyaksikan persembahan bunga api penuh warna-warni melibatkan dua sesi selama enam minit. Orang ramai turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan Gema Warisan MBI dan JKKN serta persembahan dram Perkusi Gatra dan Seni Anak Perak (Snap). Bersama menceriakan suasana ialah telatah Ilya dan Ropi Maharaja Lawak Mega, Haziq AF4 serta persembahan gendang 1Malaysia yang melibatkan alunan 20 gendang Melayu, Cina (10) dan India (5) secara serentak. |
Ibu terharu lahir bayi tahun baharu 2014 Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST Sharifah Noryana Syed Mohamad terharu melihat bayi yang dilahirkannya pada awal pagi 1 Januari 2014 di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, semalam. ALOR SETAR 1 Jan. - Seorang suri rumah berharap kelahiran anak kedua sempena tahun baharu pada awal pagi ini mampu mengubah nasib keluarga yang hidup dalam kemiskinan. Rayvanut Charensuk, 25, yang berketurunan Siam dari Naka, Padang Terap selamat melahirkan bayi lelaki dengan berat 3.5 kilogram (kg) secara normal pada pukul 4.24 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). Menurutnya, berdasarkan kepercayaan masyarakat Siam, melahirkan anak pada tahun baharu adalah petanda baik dan memberi tuah serta harapan kepada keluarga. "Saya memang berharap dapat bersalin pada 1 Januari 2014 kerana percaya mengikut kepercayaan Siam, kelahiran bayi pada tarikh ini mampu memberikan tuah. "Saya juga tidak sangka angan-angan dan harapan saya jadi kenyataan kerana tarikh kelahiran yang ditetapkan doktor adalah pada 3 Januari ini," katanya ketika ditemui di HSB hari ini. Bagi Siti Macitoh Mat Isa, 27, kelahiran bayi sulungnya merupakan hadiah paling istimewa buat dirinya dan keluarga. Katanya, dia melahirkan Muhamad Adam Rayyan Aiman Syazwan secara pembedahan kerana berdasarkan kiraan doktor, dia sepatutnya bersalin pada 12 Januari ini. "Saya sangat gembira kerana memang mengharapkan bayi saya dapat dilahirkan pada tahun baharu sejak dimasukkan ke wad pada 30 Disember lalu kerana kalau anak saya lahir hujung tahun dia akan rugi setahun," ujarnya. Sementara itu, Pengarah HSB, Datuk Dr. Juita Ghazalie berkata, dua bayi tersebut adalah antara 15 bayi tahun baharu dilahirkan di HSB. Ujarnya, jumlah itu membabitkan empat perempuan dan 11 lelaki dengan bayi pertama dilahirkan pada pukul 12.10 tengah malam. "Kelahiran bayi tahun baharu membabitkan 13 ibu berketurunan Melayu, seorang Siam dan seorang lagi warganegara Arab," jelasnya. |
Wanita anak dua, mengandung antara ditahan Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST DUA pegawai Jabatan Agama Islam Pulau Pinang mengambil keterangan salah seorang wanita yang ditahan dalam operasi cegah maksiat di Bukit Mertajam, malam semalam. BUKIT MERTAJAM 1 Jan. - Helah seorang wanita membawa dua anak bermalam bersama teman lelaki dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa agama tidak menjadi selepas dia bersama pasangannya ditahan dalam Ops Ambang 2014 yang dijalankan Jabatan Agama Islam negeri di sini malam tadi. Wanita berusia 29 tahun itu pada mulanya memberi alasan bermalam bersama 'suaminya', namun siasatan lanjut mendapati dia dan pasangannya yang menyewa sebuah hotel di Alma dekat sini, tidak mempunyai hubungan sah. Ketika serbuan, wanita berkenaan yang dipercayai masih isteri orang berada di dalam sebuah bilik hotel berkonsepkan pangsapuri bersama salah seorang anaknya. Pasangannya pula yang diyakini masih suami orang berada di ruang tamu manakala seorang lagi anak wanita berkenaan berada dalam bilik berasingan. Selain itu, operasi selama lima jam bermula pukul 2 pagi tersebut turut menahan wanita berusia awal 20-an yang sarat mengandung lapan bulan dipercayai masih berstatus isteri orang atas kesalahan khalwat di sebuah hotel bajet di Bagan, dekat sini. Sementara itu, Ketua Unit Operasi Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Khairul Azman Azizan berkata, operasi yang diadakan sempena sambutan tahun baharu tersebut digerakkan di tiga daerah iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Timur Laut. Menurutnya, dalam serbuan itu, seramai 39 individu ditahan kerana didapati berkhalwat dan kesemua mereka dibawa ke Pejabat Agama Islam Butterworth untuk tindakan lanjut. "Mereka akan didakwa di bawah Sesyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan. Dalam pada itu, operasi yang diketuai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP, Yusuff Ahmad tersebut turut menahan tujuh pasangan remaja di sebuah hotel murah berhadapan pasar menjual daging babi di Jalan Raya Uda, Butterworth dekat sini. Tidak cukup dengan itu, penguat kuasa jabatan agama juga terpaksa memasuki bilik sebuah hotel di Bagan Jermal berhampiran Persiaran Guerney dekat sini, dengan memanjat menerusi tingkap bilik air selepas penghuninya tidak mengendahkan arahan membuka pintu selama kira-kira 40 minit. "Dalam serbuan itu, kita menahan pasangan yang tidak mempunyai hubungan suami isteri yang sah," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan