Utusan Online - Rencana |
Tindakan tegas tuntutan maqasid syariah Posted: 20 Jan 2014 10:39 AM PST Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD KEDEGILAN Pengarang The Herald, Lawrence Andrew yang berkeras mahukan semua gereja Katolik di Selangor menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya benar-benar mengundang kemarahan umat Islam negara ini. Ekoran daripada kenyataannya yang cukup kontroversi itu, pelbagai pihak sama ada individu, para ulama, cendekiawan Islam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak Andrew ditahan dan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang negara. Desakan mereka cukup berasas dan seharusnya diberikan perhatian sepenuhnya oleh pihak kerajaan berdasarkan kepada kenyataan Andrew yang jelas melanggar undang-undang negara kerana menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia. Paling penting, langkah tersebut termaktub di dalam salah satu daripada lima maqasid syariah iaitu memelihara agama dan itu merupakan satu tuntutan yang wajib dilaksanakan oleh kerajaan demi menjaga kesucian Islam daripada dipermain-mainkan oleh pihak lain. Perkara itu ditegaskan oleh Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad ketika diminta mengulas mengenai isu berkenaan. Selain itu, kenyataan Andrew itu juga jelas bertentangan dengan kenyataan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang telah menitahkan semua rakyat khasnya di negeri Selangor tanpa mengira kaum dan latar belakang agama akur serta patuh kepada larangan pengunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam. Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di dalam istiadat menyembah tahniah dan pengurniaan darjah serta bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-86 di Istana Anak Bukit semalam turut bertitah, kalimah Allah merupakan hak eksklusif umat Islam dan penggunaannya dilarang dalam kalangan penganut agama lain. Seri Paduka bertitah, ketetapan itu sudah jelas dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1986 dan perlu dihormati. Sementara itu beratus-ratus laporan polis telah dibuat oleh pelbagai pihak bagi membolehkan Andrew segera dihadapkan ke muka pengadilan atas tindakannya mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini. Walau bagaimanapun timbul persoalan, mengapa sehingga ke saat ini Andrew masih bebas tanpa dikenakan tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa? Sehingga kini umat Islam di Malaysia terus tertanya-tanya mengenai status Andrew kerana langsung tidak kedengaran sebarang berita berhubung tindakan undang-undang yang sepatutnya diambil oleh pihak berkuasa terhadap Andrew. GENTAR Ismail Mina ketika ditanya lebih lanjut mengenainya berkata, jika kerajaan tidak melakukan sebarang tindakan akan wujud 10 atau mungkin 100 lagi orang seperti Andrew yang sewenang-wenangnya menyentuh sensitiviti umat Islam. Kelompok ini kata Ismail Mina akan melakukan perbuatan seperti dilakukan oleh Andrew tanpa rasa gentar dan takut walaupun terdapat peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan ke atas mereka. ''Mereka tahu kita ada undang-undang tetapi ia tidak mendatangkan rasa gentar kerana mereka tahu yang pihak berkuasa tidak berani untuk mengambil tindakan atas perbuatan tersebut (menyentuh sensitiviti umat Islam)," ujarnya kepada Utusan Malaysia. Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ketika bercakap kepada pemberita selepas majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2014 di Putrajaya pada 11 Januari lalu, menyatakan pihaknya masih meneliti kertas siasatan berhubung kenyataan Andrew itu dan belum membuat keputusan sama ada akan meneruskan kes tersebut ke mahkamah atau sebaliknya. Ismail Mina berkata, dalam situasi sekarang kerajaan wajib menahan Andrew kerana jelas perbuatannya itu melanggar undang-undang negara selain dapat meredakan kemarahan umat Islam. ''Perbuatan Andrew ini juga amat berbahaya dalam konteks ketegangan agama yang mana jika dia tidak dikenakan tindakan undang-undang dikhuatiri umat Islam akan bangkit menunjukkan kekecewaan mereka. ''Kita tidak mahu perkara ini berlaku kerana kesannya amat buruk kepada keamanan negara," katanya sambil merujuk umat Islam di Malaysia masih mempunyai sifat sabar yang cukup tinggi. Hakikatnya Ismail Mina berkata, kenyataan Andrew itu boleh disifatkan sebagai percikan awal ke arah berlakunya ketegangan antara agama dan berpunca daripada perbuatannya yang tidak menghormati kalimah suci Allah. Dalam pada itu pelbagai telahan dan andaian dibuat ekoran kenyataan yang tidak bertanggungjawab tersebut. Salah satunya ada pihak yang berpandangan Andrew mahu menarik perhatian dunia di sebalik tuntutan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) yang mahukan kerajaan Malaysia akur dengan amalan hak asasi termasuk isu-isu berkaitan dengan agama. SENGAJA Perkara itu telah dibangkitkan oleh Ketua Delegasi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo) ke Geneva, Azril Mohd. Amin yang juga seorang peguam dalam satu kenyataannya sebelum ini. Menurut pendapat Azril, isu itu sengaja ditimbulkan oleh Andrew di saat tuntutan itu masih berjalan. ''Pada 24 Mac ini kita akan mengemukakan hujah terakhir berkenaan tuntutan yang dibuat oleh Comango dan kami melihat isu ini sengaja ditimbulkan Andrew supaya ia dijadikan isu hak asasi manusia dan membuka ruang untuk Malaysia didesak menerima syor ini," ujarnya. Jika itu berlaku katanya, kerajaan Maaysia perlu mengubah segala undang-undang berkaitan hak eksklusif umat Islam dan penganut agama lain seperti Kristian boleh menggunakan kalimah Allah. Comango dalam laporannya untuk sesi Semakan Berpenggal Sejagat (UPR) menuntut Malaysia menandatangani dan memeterai International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR) yang terkandung di dalamnya Perkara 18 iaitu berhubung hak kebebasan beragama dan implikasinya boleh membawa kepada pemurtadan berlaku secara berleluasa. Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang merupakan individu yang begitu kuat mempertahankan kesucian kalimah Allah turut menegaskan kalimah suci itu hanya untuk umat Islam sahaja. Dalam satu ulasannya mengenai isu tersebut ketika beliau mengerjakan haji pada Oktober tahun lalu dengan tegas menyatakan kalimah suci Allah hanya eksklusif untuk Islam manakala agama-agama lain tidak dibenarkan sama sekali menggunakannya. Haron berkata, semua pihak wajib faham iaitu kalimah Allah sebenarnya merujuk kepada Tuhan Yang Esa atau Tuhan Yang Tunggal seperti mana disebut oleh Allah di dalam surah al-Ikhlas dan bukannya tuhan yang berbilang-bilang seperti mana kepercayaan agama Kristian. Haron berkata, di dalam surah al-Ikhlas diterangkan sepenuhnya mengenai Allah iaitu Allah Yang Esa, Allah yang tiada anak dan tiada bapa, Allah yang tiada sekutu (penolong, pembantu atau pelengkap) dan Allah Maha Sempurna. Katanya, surah al-Kafirun juga menyebut tentang keesaan Allah dan antara intipati kandungan surah tersebut adalah kewajipan menyembah Allah Yang Esa. |
Sejarah negara rentasi buku teks Posted: 20 Jan 2014 10:39 AM PST Oleh A MURAD MERICAN SEJARAH bukan hanya terkandung dalam buku teks sekolah. Sejarah adalah satu kemahiran - intelektual, warisan dan kehidupan. Wacana dan kenyataan awam yang hanya mengaitkan sejarah kepada buku teks dan pengajarannya memupuk semangat patriotisme adalah kurang tepat. Menganggap sejarah sebagai tidak wujud di luar buku teks sekolah hanya memesongkan lalu memalsukan kesedaran kita. Perkara ini dicerminkan melalui perbincangan awam akhir-akhir ini. Ini mengakibatkan hujah-hujah mutakhir ini juga mengandaikan bahawa Semenanjung Tanah Melayu tiada penduduk asal kecuali Orang Asli. Ada penulisan menyatakan sejarah Malaysia hanya bermula dari tahun 1786. Ada juga mahukan sejarah negara diajar sebagai bermula pada 1957. Malah ada juga yang langsung terus menyatakan bahawa sejarah (khususnya merujuk kepada sejarah Malaysia) tidak perlu diajar langsung, apatah lagi sebagai mata pelajaran wajib lulus kerana pengetahuan sejarah tidak menyumbang apa-apa kepada kemahiran hidup dan kebolehan keusahawanan. Sidang Kemuncak Sejarah 2013 Disember lalu telah membincangkan pelbagai isu dan tema berkaitan sejarah dan sejarah Malaysia. Antara kertas kerja yang menarik perhatian saya bertajuk Sejarah Malaysia di Media: Respons Daripada Public Historian (Sejarawan Awam)" oleh Mohd. Arof Ishak. Beliau membangkitkan trend mempersoalkan setiap isu dan bentuk sejarah Malaysia dengan tujuan mengubah seluruh isu dan rupanya." Beliau mengenal pasti aliran pemikiran tersebut sebagai pendekatan rejectionist yang menolak masyarakat sedia ada. Ini lumrah dalam media seperti blog dan portal media dalam talian, juga dalam beberapa media tradisional. Mohd. Arof mengambil pendirian sebagai seorang sejarawan awam, melihat sejarah sebagai satu naratif masyarakat pribumi itu sendiri di habitat/alamnya sendiri. Salah satu pendekatan yang sepatutnya disebar luas dan diguna pakai di Malaysia adalah melihat sejarah sebagai pengkisahan tentang peradaban. Ini bermakna sejarah negara menumpukan kepada pengkisahan akan suatu bumi atau alam yang tertentu dan penghuni aslinya atau pribuminya. Suatu bumi dan penghuninya aslinya membentuk satu alam manusia, budaya dan pandangan alam. Alam manusia setempat membentuk bahasa yang ditutur dan mengembangkannya menjadi institusi dan amalan - nilai masyarakat. Dalam hal ini, orang Melayu dan lain-lain warga negara ini mesti memahami istilah-istilah dan maksud bangsa pribumi, tanah ibunda dan tanah air. Ini adalah asas kefahaman dan pembelajaran tentang ilmu sejarah. Umumnya, negara-negara pasca kolonial di alam Melayu seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina dan di rantau lain di dunia dibentuk akibat aliran sejarah melalui proses undang-undang dan politik moden dengan mewujudkan sempadan-sempadan lalu membentuk unit politik. Keaslian alam Melayu adalah hakikat yang dicitrakan oleh bangsa dan bahasa Melayu-Polinesia dan mengasaskan kepada kekeluargaan dengan merujuk kepada satu istilah asli, yakni serumpun. Namun, menurut Mohd. Arof, pembentukan negara-negara bangsa moden telah membawa padah kepada kefahaman mengenai sejarah. Akibat itu, sejarah menjadi satu kajian akademik yang bersifat nationalistic. Keadaannya adalah negara-negara pasca kolonial seperti Malaysia terperangkap dalam gesaan dan hambatan membentuk satu sejarah baru selepas tarikh dilepaskan oleh penjajah. Inilah yang ditekankan oleh sejarah akademik/kenegaraan dalam buku-buku teks sekolah di Malaysia. Ia telah menyempitkan kajian sejarah Malaysia yang dihadkan oleh sempadan politik. Sejarah bukan lagi menjadi ilmu peradaban dan kemanusiaan. Sejarah cara akademik sebegitu, yang disebut sebagai sejarah nasional bersifat sejarah palsu. Keadaan sebegini bukanlah sejarah kerana sejarah tidak boleh dipenggalkan oleh sempadan politik - seperti yang berlaku di kepulauan alam Melayu. Jika sejarah terus diajar mengikut fahaman sempit sejarah nasional, maka akan wujud gesaan dan kemestian satu interpretasi politik yang betul, dan kewajaran politik (political correctness). SEIMBANG Keadaan sedemikian kebelakangan ini, menjurus kepada hujah supaya sejarah Malaysia bersifat seimbang dan inklusif - dengan mengakui kepelbagaian budaya dan kepelbagaian agama seperti yang biasa difahami dalam wacana-wacana akademik dan dasar. Pendekatan ini berdasarkan kepada pendidikan sejarah dan penggubalan semula penulisan buku-buku teks sejarah di Malaysia. Pendirian Mohd. Arof, yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat, Persatuan Sejarah Malaysia, bertentangan dengan tujahan yang sedemikian. Hujah inclusiveness ini juga dikemukakan dalam sebuah makalah bertajuk History Education: Fostering Patriotik Citizenship and National Unity (Pendidikan Sejarah: Memupuk Kewarganearaan Patriotik dan Kesepaduan Kebangsaan) oleh Helen Ting dalam 2013 Yearbook of the International Society of History Didactics, Jil. 34, h. 103-116. Helen menggariskan beberapa cadangan antaranya menekankan kreativiti dan apa yang disebutnya sebagai patriotisme kritikal; serta merombak buku teks sekolah bagi memuatkan dan membentangkan sejarah dari perspektif masyarakat majmuk. Di sini terdapat dua aliran besar terhadap pendidikan dan penceritaan sejarah Malaysia - satu aliran menganggap negara bangsa Malaysia dan sempadan-sempadan politik yang dibentuk tanpa bersifat kritis walaupun mengkritik kaedah dan pendekatan pengajaran sejarah Malaysia di sekolah; dan satu aliran lagi bersifat kritis terhadap pembentukan negara-negara pasca kolonial - khususnya dalam kepulauan dan Alam Melayu, dan konsep sejarah negara (Malaysia) sebagai satu kategori. Mohd. Arof berpendapat sejarah nasional (yang sempit) terus menjadi lebih palsu dengan tekanan dan kehendak kewajaran politik dalam negara. Pada masa sama, ciri inclusive terpampang melalui pelbagai tajuk di kedai-kedai buku di Malaysia. Dengan meletakkan spesifikasi-spesifikasi sebegini maka sejarah telah dijadikan seolah-olah satu hasil keluaran kilang kerana produk kilang semestinya dikehendaki menepati spesifikasi yang ditentukan oleh empunya kilang tersebut. Apakah kita ingin menjadi sejarah sebagai satu faktor produk, dan bukan lagi satu ilmu kemanusiaan yang unggul? (Mohd. Arof Ishak, 2013). Ilmu dan pendekatan sejarah tidak semestinya mengenali sempadan politik, dan dengan itu, tidak sepatutnya disekat oleh sempadan politik. Pendekatan sejarah alam Melayu hendaklah disebarluaskan kepada masyarakat negara ini. Pendekatan tersebut mesti diambil kira oleh penggubal dasar awam, pendidikan dan kurikulum. Apakah satu kesalahan jika mendekati Malaysia dalam konteks rumpun Melayu di alam Melayu? Jika masyarakat bukan Melayu tidak faham, kita yang faham perlu menggariskan pendekatan dan strategi supaya ini dapat diketahui semua kaum di Malaysia. Istilah rumpun, tanah ibunda dan tanah air perlu disebarluaskan, juga kepada orang Melayu. Pendekatan mengenali tamadun dan peradaban Melayu mesti menjadi asas kepada sejarah yang termaktub dalam buku-buku teks. Kita tidak dapat memahami kesultanan Melayu Melaka atau Kesultanan Patani, Kesultanan Brunei atau tamadun di Lembah Bujang tanpa memahami tanah ibunda dan tanah air yakni kandungan dan konteks kepulauan dan alam Melayu. Apakah sejarah Melayu dan alam Melayu berakhir dengan kemunculan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa? Sama juga pendekatan yang mesti diambil oleh Indonesia dan Filipina, misalnya. Dalam Muzium Nasional Indonesia, peta etnik dan bahasa negara kepulauan nusantara itu berakhir dengan berakhirnya sempadan negara baru itu. Permulaan negara-negara jiran baru lain tidak dikira. Inilah nasionalisme sempit yang diamalkan oleh negara-negara di Asia Tenggara. Ia hanya memesongkan sejarah dan pandangan alam yang lebih besar di tanah ibunda dan tanah air rumpun kita sendiri. PENULIS ialah Profesor di Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Petronas, Seri Iskandar, Perak. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan