Sabtu, 26 Oktober 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Penantian 16 tahun berakhir

Posted: 26 Oct 2013 12:01 PM PDT

Oleh FARHANA JONI
sukan@utusan.com.my

KUCHING - Impian Pahang untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia akhirnya tercapai selepas 16 tahun menanti apabila menunjukkan pintu keluar buat juara Liga Perdana, Sarawak dengan agregat 4-2 setelah seri 1-1 di Stadium Negeri, Kuching, semalam.

Dalam perlawanan yang disaksikan kira-kira 22,000 penonton setia Bujang Senang itu, Sarawak terlebih dahulu berada di hadapan pada minit ke-33 menerusi penyerang berbisa mereka, Bobby Gonzales tetapi jaringan super-sub, Mohd. Fauzi Roslan pada minit ke-73 meranapkan hajat besar skuad Ngap Sayot itu untuk melangkah ke perlawanan akhir musim ini.

Kejayaan itu akan menemukan Tok Gajah dengan jiran mereka dari Pantai Timur, Kelantan pada perlawanan akhir yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam, 3 November depan.

Malah, lakaran sejarah layak ke perlawanan akhir buat kali ketujuh itu dianggap sebagai hadiah terbaik kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang menyambut Hari Keputeraan ke-83 pada 24 Oktober lalu.

Namun, Sarawak sebenarnya perlu menyesali kegagalan menamatkan perlawanan selaku pemenang ekoran banyak peluang terbuka di hadapan pintu gol Pahang dipersiakan, terutama menerusi Bobby Gonzales dan Mohd. Hairol Mokhtar.

Walaupun beraksi cukup cemerlang, namun semuanya lebur buat tuan rumah sebaik sahaja Pahang berjaya menyamakan kedudukan.

Pemain-pemain Pahang meraikan kejayaan melangkah ke final Piala Malaysia selepas menumpaskan Sarawak menerusi agregat 4-2, malam tadi.

Kepedihan gagal layak ke perlawanan akhir turut dirasai oleh sebahagian penyokong setia Sarawak yang merusuh sebaik sahaja tamat perlawanan sehingga menyebabkan kira-kira 100 penyokong Pahang yang hadir tidak dapat keluar ke stadium sambil diberikan keselamatan oleh pihak polis.

Penguasaan bola kira-kira 60 peratus yang memihak kepada tuan rumah memberikan hasil 12 minit sebelum babak pertama berakhir apabila bola hantaran silang Joseph Kalang Tie ke dalam kotak penalti disambar penuh bergaya oleh Bobby bagi merapatkan jurang agregat kepada 2-3.

Gol itu nyata menjadi pembakar semangat kepada anak-anak buah Robert Alberts bagi mendapatkan gol kemenangan yang bertali arus melancarkan serangan ke dalam kawasan gol Pahang, namun kecekapan Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid menjadi penghalang kepada hajat Sarawak.

Kecederaan Matias Conti yang terpaksa dikeluarkan rupanya memberi hikmah tersendiri kepada Pahang apabila Fauzi atau 'Koji' yang masuk selaku pemain gantian menanduk masuk gol penyamaan Tok Gajah, hanya seminit sahaja selepas berada di dalam padang.

Kejayaan mara ke perlawanan akhir itu cukup melegakan jurulatih Pahang, Dollah Salleh yang memberitahu, beliau telah menyangka akan bertemu Kelantan di final, namun pasukannya bernasib baik apabila Sarawak banyak melepaskan peluang.

"Saya agak terkejut dengan cara permainan Sarawak kerana banyak mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol.

"Kemasukan tiga pemain gantian kami banyak membantu mengimbangi kembali rentak permainan," kata Dollah.

Bajet pastikan pembangunan berterusan

Posted: 26 Oct 2013 12:01 PM PDT

Khairy Jamaluddin menyerahkan Obor Permaisuri Komanwel 2014 kepada atlet paralimpik Malaysia, Daneil Lim pada majlis pembukaan Sukan Para Asia Remaja 2013 di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam. - Mingguan/Hafiz Johari

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyambut baik peruntukan sebanyak RM239 juta kepada kementeriannya serta menyifatkan bajet tersebut sebagai proses berterusan untuk kecemerlangan sukan tanah air.

Khairy berkata, hasil daripada pengumuman Bajet 2014 terhadap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu, penekanan terhadap aspek pengurusan akan diberikan perhatian serta beliau akan menyalurkannya kepada pelbagai program yang telah dirangka selama ini.

"Ini bermakna, lebih banyak dana akan disalurkan kepada pelbagai program, antaranya, program persediaan atlet, sukan untuk semua, aktiviti belia dan lain-lain.

"Sebahagiannya juga akan digunakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan serta proses menaiktaraf fasiliti seperti kompleks dan gelanggang sukan," katanya kepada pemberita ketika sidang media bersempena Majlis Perasmian Malaysia Sports Trend And Games Expo 2013 (MSTGE'13) dan Karnival Kecergasan Peringkat Kebangsaan.

Menurutnya, peruntukan tersebut juga begitu penting terhadap perancangan pelaksanaan program 'Future Professional Coach' yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pembentangan bajet itu, kelmarin.

"Melalui bajet ini, kita akan gunakannya untuk program kejurulatihan agar dapat menggilap potensi serta kemahiran mereka. Sudah pasti, ia akan lebih diberikan tumpuan kepada aspek kejurulatihan melibatkan sukan teras.

"Selain itu, projek perintis seperti pengenalpastian bakat bermula dari sekolah rendah akan dilakukan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia," katanya.

Tambahnya, rangkuman daripada program kejurulatihan melibatkan sukan teras ini adalah merupakan Pelan Pembangunan Bola Sepak 2014-2020 yang akan dilancarkan Perdana Menteri pada November ini.

Sementara itu, Khairy juga turut menyatakan atlet-atlet paralimpik remaja yang sedang menyertai Sukan Para Asia Remaja 2013 di Kuala Lumpur akan mendapat imbuhan yang samarata terhadap pingat yang berjaya diraih untuk negara melalui perubahan polisi terhadap Skim Hadiah Kemenangan (Shakam).

"Ini melibatkan kesemua atlet paralimpik tidak kira elit ataupun amatur, ia bermakna mereka juga mendapat hak yang samarata dengan atlet-atlet normal yang lain berbanding hanya satu pertiga sebelum ini.

"Ini adalah kesamarataan, mereka juga mempunyai kesungguhan, usaha, latihan dan pengorbanan yang sama," kata Khairy.

Khairy yang merasmikan Sukan Para Asia Remaja 2013 di Stadium Putra, Bukit Jalil juga turut memberitahu bahawa pusat kecemerlangan atlet paralimpik yang sedang dibina di Kampung Pandan, Kuala Lumpur berjalan lancar dan akan siap sepenuhnya pada November ini selain program pembangunan akar umbi yang akan dimiliki mereka.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved