Utusan Online - Selatan |
- Pusat Hang Tuah gerbang zaman silam
- Perzim janji hidupkan Perkampungan Hang Tuah
- Tiada kompromi jika salah laku
Pusat Hang Tuah gerbang zaman silam Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM SEBAHAGIAN koleksi senjata yang dipamerkan di rumah Hang Jebat yang terletak di pekarangan Pusat Hang Tuah. MELAKA 24 Okt. - Berbicara mengenai laksamana Hang Tuah, sudah pastinya sumpah keramat 'Tidak Melayu Hilang Di Dunia' akan berlegar-legar dalam fikiran sambil tergambar kelicikan langkah pahlawan Melayu itu berpencak silat bersama empat sahabatnya. Selain sejarah lisan, kisah Hang Tuah turut diceritakan dalam dua buah karya agung tulisan Tun Sri Lanang hampir 400 tahun lalu iaitu Hikayat Hang Tuah dan Sulalat Al-Salatin yang sehingga kini menjadi rujukan khusus kepada pengkaji sejarah Melayu. Karya berkenaan yang agak sukar difahami kerana penulisnya menggunakan lenggok sastera mendalam maksudnya kemudian diterjemahkan ke layar perak oleh Malay Film Productions Ltd. melalui Pengarahnya, Phani Majumdar dengan teraju utama memegang watak Hang Tuah ialah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Filem Hang Tuah pertama yang ditayangkan pada 28 Januari 1956 itu dikatakan adaptasi daripada Hikayat Hang Tuah yang menjadi titik permulaan penonjolan Hang Tuah kepada umum secara audio visual. Kisah hidup Hang Tuah mula menjadi sebutan pelbagai peringkat usia dan penggiat filem ketika itu mula menghasilkan karya yang mengaitkan kisah pendekar ulung itu antaranya filem berjudul Hang Jebat (1961), Puteri Gunung Ledang (1961), Tuah (1989), XX Ray II (1995) dan Puteri Gunung Ledang (2004). Namun seiring dengan peredaran zaman, filem berkenaan yang suatu masa dahulu menjadi pujaan segenap lapisan masyarakat jarang lagi muncul di kaca televisyen dan cerita 'super hero' Barat mula menggantikannya sehingga Hang Tuah yang sepatutnya 'hidup' dalam diri setiap masyarakat terutamanya orang Melayu kian pudar. Menyedari hakikat ini dan sebagai usaha melindungi Hang Tuah agar terus segar dalam ingatan setiap generasi, Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan kerajaan negeri mengorak langkah mewujudkan Pusat Hang Tuah (Hang Tuah Centre) yang menjadi mercu kepada penonjolan pahlawan itu kepada umum melalui pendekatan moden. Pusat berkenaan yang terletak di Perkampungan Hang Tuah, Duyong di sini tidak seperti sebuah muzium biasa yang menyimpan khazanah lama, malah boleh dianggap sebagai pintu gerbang melangkah ke zaman silam khususnya zaman Kesultanan Melayu Melaka ketika hebatnya kisah Hang Tuah dan empat sahabatnya diperkatakan. Dengan senibina bercirikan istana zaman Kesultanan Melayu Melaka, pengunjung pastinya terpukau apatah lagi selepas melihat ukiran batu wajah Hang Tuah dan rakan-rakannya menghiasi laluan masuk ke pusat berkenaan. Sejurus melangkah masuk ke pusat yang dibina dengan kos keseluruhan RM132 juta ini, terdapat dua bahagian yang dinamakan Galeri Hang Mahmud yang mendedahkan cerita Laksamana Hang Tuah dalam aspek ketokohan dan kepahlawanannya dan Galeri Dang Merdu yang merungkai sikap dan sifat pahlawan Melayu itu. Kisah Hang Tuah yang dipetik dari Hikayat Hang Tuah diterjemahkan secara ringkas juga dipamerkan di beberapa bahagian pusat itu bagi memudahkan pengunjung membaca dan menghayatinya. Menariknya mengenai Pusat Hang Tuah ini, pengunjung boleh melihat tayangan multimedia berbentuk animasi 3D di sudut tertentu yang memaparkan peristiwa penting antaranya pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat dan hukuman bunuh terhadap Hang Tuah. Bagi yang meminati bidang persilatan bolehlah mencungkil bakat di ruang tengah pusat berkenaan yang menempatkan gelanggang silat interaktif yang membolehkan pengunjung mengikuti pergerakan silat yang ditunjukkan oleh jurulatih silat melalui tayangan video. Selain itu terdapat 12 ruang pameran dalam pusat berkenaan yang mempamerkan koleksi senjata lama, keris, manuskrip, pakaian dan juga disediakan sebuah panggung mini yang boleh memuatkan kira-kira 30 pengunjung pada satu-satu masa. Selesai melawat pusat berkenaan, tidak lengkap sekiranya tanpa berkunjung ke pekarangan yang menempatkan lima buah rumah iaitu rumah Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu yang setiap satunya mempamerkan koleksi peribadi tertentu antaranya senjata, pakaian dan lukisan. Untuk berkunjung ke setiap rumah berkenaan, tiada bayaran dikenakan dan pengunjung juga dialu-alukan untuk hadir pada hari tertentu untuk melihat pertunjukkan silat yang diadakan di perkarangan rumah berkenaan yang setiap satunya dilengkapi dengan gelanggang silat. Di atas tapak seluas 40 hektar itu, pelbagai kemudahan disediakan untuk pengunjung selain turut mempunyai sebuah gelanggang silat terbesar di dunia yang ditadbir oleh Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) negeri. |
Perzim janji hidupkan Perkampungan Hang Tuah Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT PAKAIAN tradisional yang dipamerkan antara daya penarik di Pusat Hang Tuah. MELAKA 24 Okt. - Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) berjanji akan menghidupkan suasana Perkampungan Hang Tuah, Duyong di sini dengan mengadakan pelbagai program secara berkala dengan penglibatan penduduk setempat. Pengurus Besarnya, Datuk Khamis Abas berkata, lokasi berkenaan kini dilihat sebagai destinasi pelancongan baharu di negeri ini setelah Pusat Hang Tuah dan perkampungan lima saudara dibuka kepada orang ramai Ogos lalu. Menurutnya, Perzim merangka pelbagai aktiviti untuk sepanjang tahun supaya tempat berkenaan khususnya Pusat Hang Tuah dan persekitarannya seluas 40 hektar itu tidak sunyi daripada kunjungan pelancong dalam dan luar negara. "Untuk membina pusat ini kerajaan negeri telah membelanjakan kos yang begitu tinggi, jadi sekiranya ia tidak dimanfaat sepenuhnya sudah pasti sangat merugikan. "Perzim telah merangka banyak aktiviti dan program untuk memeriahkan lagi kawasan ini dan menarik lebih ramai pelancong sama ada dari dalam dan luar negara kerana Pusat Hang Tuah ini sangat istimewa tidak seperti muzium lain," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Menurutnya, Perkampungan Hang Tuah itu diibaratkan sebagai muzium hidup kerana dikelilingi oleh elemen sejarah sama ada berbentuk artifak atau sejarah lisan turun temurun yang masih kuat dipegang oleh penduduknya. Beliau berkata, Perzim juga akan membaik pulih perigi Hang Tuah yang menjadi antara tarikan pelancong ke kawasan berkenaan yang dikatakan mempunyai khasiatnya yang tersendiri seperti airnya mampu menyembuhkan penyakit kulit. Tempat yang dipercayai berasalnya Hang Tuah itu juga akan diserikan dengan persembahan silat dan seni bela diri lain pada setiap malam. "Saya yakin dengan apa yang kita rancang ini, tempat ini akan menjadi meriah selain dapat mengembalikan kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka kerana ada aktiviti kesenian dan kebudayaan termasuk kegiatan persilatan di halaman rumah lima bersaudara itu," katanya. Katanya, pembangunan di kawasan itu juga telah membuka peluang kepada penduduk tempatan menambah pendapatan melalui aktiviti perniagaan dan pihak Perzim sangat mengalu-alukan penglibatan mereka ini supaya dapat menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan berkenaan. |
Tiada kompromi jika salah laku Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT Oleh FADZLY IZAB MELAKA 24 Okt. - Anggota dan pegawai polis di negeri ini diingatkan supaya sentiasa menjaga disiplin, tatasusila dan kelakuan ketika berhadapan dengan masyarakat mahupun semasa di luar waktu penugasan. Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Shah Gzali Khan Shahadad berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas bagi mereka yang gagal mematuhi perkara itu. "Mereka yang melanggarnya tidak layak untuk bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengamalkan nilai integriti serta pematuhan standard ditetapkan," katanya ketika berucap semasa perhimpunan bulanan anjuran Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Bukit Beruang di sini hari ini. Tegas Shah Gzali, perkara tidak bermoral perlu dielakkan kerana setiap tingkah laku mereka sentiasa diperhatikan oleh masyarakat sekeliling. Sementara itu katanya, seluruh warga polis digesa menghayati tiga teras utama yang digariskan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk dilaksanakan seluruh lapisan pegawai kanan, pegawai rendah dan pegawai awam PDRM. Jelas beliau, tiga teras tersebut ialah mengekalkan ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyat, mengawal serta mengekang jenayah melalui kaedah pencegahan dan penyiasatan lebih efektif dan inovatif serta memantapkan integriti dan pematuhan standard warga PDRM. "Oleh itu, teras ini perlu difahami dan dilaksanakan secara maksimum selain meningkatkan kebolehan dalam pelbagai sudut yang akan membantu melonjakkan lagi imej pasukan PDRM di kaca mata masyarakat. "Kreativiti dan inovasi perlu dijadikan amalan dalam kerjaya ini yang akan memberi impak terhadap keyakinan masyarakat terdapat organisasi," tambahnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan