Khamis, 24 Oktober 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Pusat Pemantapan Akidah Jakim

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

Oleh NURUL HUSNA HAMDAN
utusanN9@utusan.com.my

Pelbagai aktiviti dilaksanakan di Pusat Pemantapan Akidah di Jelebu, Negeri Sembilan termasuk interaktif dan amali berkumpulan.

JELEBU 23 Okt. - Ramai yang tidak tahu ada 'rahsia' yang tersimpan di Jalan Kongkoi di sini.

Bagi mereka yang menggunakan Jalan Genting Press dari Kuala Lumpur ke Jelebu, laluan yang disebut Jalan Kongkoi ini sudah tidak asing lagi.

Sepanjang laluannya dihiasi keindahan flora dan fauna, selain udara nyaman serta hembusan angin sejuk dari kawasan berbukit berdekatan.

Di sinilah 'rahsia' itu mula dibongkar oleh penulis apabila terpandang satu papan kenyataan bertulis Pusat Pemantapan Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Siapakah penghuninya?

Menurut Penguasa Pusat Pemantapan Akidah Jakim, Jamal Abdul Halim, pusat itu sebenarnya menyajikan kursus berkaitan pemantapan akidah dan antara modul yang dibawa adalah aspek kefahaman akidah, pemantapan akidah, seminar, forum bicara, kuliah, seramah dan wawancara.

''Semuanya adalah berkaitan akidah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Katanya, mereka yang menyertai program di pusat tersebut perlu terlibat dalam kursus penjanaan ilmu iaitu yang ada hubung kait dengan muhasabah diri, tazkirah selain peningkatan iman dan amal melalui solat berjemaah, qiamullail, bacaan kitab al-mathurat, zikir munajat, solat dhuha serta amalan sunat yang lain.

''Kita turut tampilkan aspek ketahanan diri dalam program riadah di mana kesemuanya berteraskan akidah dengan membawa peserta mensyukuri nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT dalam apa yang dilihat di persekitaran," ujarnya.

Kata beliau, Pusat Pemantapan Akidah Jakim juga menyediakan program peningkatan kualiti pembacaan al-Quran serta halaqah dan tadarus, amali berkumpulan serta latihan interaktif.

''Di sini terdapat kompleks pentadbiran, surau, dewan besar yang boleh memuatkan seramai 300 orang serta bangunan asrama yang boleh memuatkan 100 peserta.

''Terdapat juga satu bangunan asrama satu bilik untuk dua orang, dewan kuliah, dewan makan, bilik kaunseling, perpustakaan, rumah tetamu, rumah kakitangan serta tetamu, taman permainan, kawasan refleksologi dan dataran untuk beriadah," ujarnya.

Lebih menarik, pusat tersebut turut menyediakan Medan Badar, trek kembara, lima wakaf rehat, kemudahan sukan bagi permainan futsal, ping pong, sepak takraw, badminton, serta kemudahan WiFi di seluruh kawasannya.

''Setakat ini, kami menerima banyak program kursus sepanjang tahun daripada pelbagai agensi, pelajar sekolah dan universiti yang ingin melakukan aktiviti bersama pihak kami," tambahnya lagi.

Usaha membina keyakinan diri - Peserta

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

Pusat Pemantapan Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Jelebu, Negeri Sembilan.

JELEBU 23 Okt. - Apabila dikaitkan dengan soal akidah, pelbagai persepsi diberikan apatah lagi jika perlu menyertai kursus di Pusat Pemantapan Akidah Jakim di Jalan Kongkoi di sini.

Bagi sesetengah masyarakat, menyertai kursus yang ditawarkan tersebut bermakna 'hilang harga diri' kerana seolah-olah terpaksa membina semula akidah yang telah terpesong dan bercelaru.

Hakikatnya, kewujudan Pusat Pemantapan Akidah Jakim adalah bagi memberikan bimbingan, khususnya kepada umat Islam dalam soal kemantapan akidah dan tidak langsung bersifat merendahkan diri mereka yang menyertainya.

Ini diakui oleh pelajar Sekolah Menengah Warisan Puteri, Seremban yang mengikuti Kursus Perkampungan Ilmu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 di pusat tersebut baru-baru ini.

Seorang pelajar, Mohd. Rofzaim Dinie Roslan, 17, berkata, sepanjang menjalani kursus tersebut, banyak kesan positif diperoleh kerana aktiviti dijalankan mendekatkan dia dengan agama.

''Saya menerima ajaran itu dengan baik. Benarlah, kita harus mensyukuri nikmat yang telah Allah SWT kurniakan.

''Sebagai pelajar, kita harus mendengar didikan yang diberikan oleh guru, ustaz dan ibu bapa supaya penerimaan pelajaran itu menjadi lebih berkat dan mudah," katanya di sini baru-baru ini.

Nur Izzati Syazwani Idris, 17, pula berkata, banyak input yang diperoleh sepanjang mengikuti kursus yang diadakan tersebut.

''Apabila sebut soal akidah, saya menjadi risau. Apa yang tidak kena pada diri saya. Tetapi apabila saya datang ke sini, diberikan pengetahuan yang cukup, saya akui pusat ini banyak mendidik dalam soal pemantapan akidah.

''Bagi saya, seeloknya pusat ini lebih terbuka kepada masyarakat dan menjadi pilihan dalam mendidik generasi pada masa hadapan, terutama yang ada hubungkait dalam soal keagamaan.

''Saya akan kembali ke sini jika diberi peluang lagi. Rasanya tidak cukup ilmu yang saya peroleh untuk waktu yang singkat sebegini. Kenapa perlu risau apabila disuruh ke pusat ini," katanya.

Sementara itu, guru penyelaras, Junainah Harun memberitahu, di samping memberi fokus kepada kemantapan diri, kekuatan ilmu dan sahsiah, pelajar turut diberikan didikan keagamaan serta masa hadapan cemerlang sebagai umat Islam.

''Memang ia adalah salah satu faktor untuk menyediakan pelajar sekolah ini menghadapi SPM akan datang. Kita mengundang penceramah untuk beberapa slot supaya pelajar tidak bosan.

''Elemen keagamaan memang kita titik beratkan. Ini adalah latihan menguatkan jati diri pelajar. Mereka harus menerima apa juga cabaran dengan persediaan rapi. Kita tidak mahu mereka 'rebah' sebelum berjuang," katanya.

Menurutnya, ini merupakan kali pertama pelajar sekolah itu dihantar ke pusat terbabit dan ternyata memberi banyak manfaat kepada mereka.

''Semua kelengkapan ada di sini. Yang penting, pelajar bersedia menerima apa juga aktiviti yang dijalankan," jelas beliau.

Kolam terbiar jadi sarang aedes

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

Oleh AINAA MARDHIAH MOHD. GHAZALI
utusanN9@utusan.com.my

Yap Ah Hoi (depan) bersama Muthu Ramasamy menunjukkan kawasan kolam kumbahan terbiar yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes di Taman Makmur, Lobak, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/AINAA MARDHIAH MOHD. GHAZALI

SEREMBAN 23 Okt. - Penduduk di Taman Makmur, Lobak dekat sini meminta agensi berkaitan segera bertindak menyelesaikan masalah yang dialami berhubung isu kolam kumbahan terbiar yang kini menjadi sarang bagi pembiakan nyamuk aedes.

Mereka mendakwa masalah yang menghantui lebih 100 penduduk di taman berkenaan sebelum ini telah diajukan kepada agensi berkaitan, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan susulan bagi menangani masalah yang berlarutan lebih 10 tahun lalu itu.

Seorang penduduk, Muthu Ramasamy, 70, berkata, kolam kumbahan tersebut pernah beroperasi malangnya selepas itu tidak diselenggara sehingga menjadi kawasan hutan.

''Dahulu kolam ini berbau sangat busuk sehingga penduduk membuat aduan dan tindakan pihak berkaitan adalah dengan mengosongkan air di dalam kolam kumbahan dan terbiar sehingga sekarang," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jirannya, Palanaippan Velasamy, 57, memberitahu, kawasan itu bukan sahaja menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes tetapi dikhuatiri tumpuan hidupan liar seperti ular sawa.

''Sejak ditinggalkan penduduk di sini pernah menemui ular sawa selain biawak yang sering berkeliaran di kawasan perumahan ini. Ini menimbulkan rasa kurang senang terhadap penduduk apabila haiwan berkenaan menyelinap masuk di kawasan rumah," katanya.

Sementara itu, Yap Ah Hoi, 51, mendakwa anak saudaranya yang datang dari Kuala Lumpur turut mendapat demam denggi setelah bertandang ke rumahnya.

''Kami di taman ini sudah membersihkan kawasan perumahan yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk tetapi jika punca sebenar adalah dari hutan itu, maka tiada gunanya kami bergotong-royong membersihkannya," tegasnya.

Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan, V. Parvati, 30, berkata, pihak berwajib harus memandang serius isu tersebut bagi menggelakkan masalah lebih besar menimpa.

''Penduduk di sini mengharapkan pihak yang bertanggungjawab membersihkan dan menimbus kolam itu dengan tanah. Tidak ada masalah rasanya jika agensi berkaitan menjadikan kawasan itu taman permainan ataupun tempat rekreasi," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved