Utusan Online - Sukan |
Raja, Kim Swee elak curi pemain Posted: 14 Aug 2013 11:00 AM PDT Junior Eldstal dibenarkan beraksi untuk skuad K. Rajagobal. KUALA LUMPUR - Demi mengelak 'pisang berbuah dua kali', jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal dan jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee mencapai kata sepakat mengenai pengambilan pemain untuk perlawanan yang bakal dilalui kedua-dua pasukan September ini bagi mengelak berlaku insiden 'curi pemain'. Hanya dua pemain Bawah 23 tahun, Nik Shahrul Azim Abdul Halim dan Junior Eldstal bakal disenaraikan oleh Rajagobal sempena dua perlawanan persahabatan berkelas A pada 6 dan 10 September. Perlawanan itu bertindih dengan kejohanan Pestabola Merdeka 2013 yang bakal berlangsung dari 7 hingga 14 September ini di Kuantan, Pahang. Menurut Kim Swee, dia dan Rajagobal duduk semeja semalam dan jurulatih kebangsaan itu bersetuju mengambil dua pemain sahaja sementara pemain-pemain lain seperti Wan Zack Haikal, Mohd, Fahdli Shas akan membantu Malaysia dalam saingan Pestabola. "Saya dan Rajagobal berbincang awal pagi tadi (semalam) bagi mengelak pertindihan pemain seperti mana sebelum kerana, kami sama-sama faham digalaskan tugas yang penting. "Jika kami terlalu berkeras, saya percaya kedua-dua pihak akan rugi memandangkan beliau (Rajagobal) dalam misi cukup penting dalam Kelayakan Piala Asia 2015, begitu juga dengan saya yang akan menghadapi Sukan SEA 2013 tidak lama lagi. "Jadi, kami mencapai kata putus apabila Rajagobal mahu menyenaraikan dua pemain sahaja, Nik Shahrul Azim dan Junior manakala pemain lain boleh bersama saya bagi menyertai kejohanan Pestabola Merdeka, " katanya ketika dihubungi, semalam. Perebutan pemain antara kedua-dua jurulatih tersebut berlaku Oktober tahun lalu apabila Rajagobal menyenaraikan lima pemain Harimau Muda A tanpa restu Kim Swee. Ketika itu, Kim Swee memerlukan pemain berkenaan bagi menghadapi kejohanan jemputan Bawah 21 tahun Piala Thanh Gien di Vietnam. Ia mencetuskan sedikit ketegangan antara kedua-dua jurulatih namun FAM bertindak sebagai orang tengah dengan memberikan keutamaan kepada skuad Harimau Malaya yang dalam rangka persiapan beraksi Piala Suzuki AFF 2012 dan Kim Swee terpaksa beralah. |
Stadium Nasional ditutup awal? Posted: 14 Aug 2013 11:00 AM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN KUALA LUMPUR - Perlawanan Kelayakan Piala Asia melibatkan Malaysia-Bahrain dan final Piala Malaysia masing-masing pada 15 Oktober dan 3 November ini mungkin bertukar gelanggang ke Stadium Shah Alam, bagi membolehkan Stadium Nasional ditutup lebih awal untuk kerja-kerja baik pulih padang di Bukit Jalil sepenuhnya. Walaupun Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin belum memberi pengesahan mengenai pertukaran gelanggang untuk kedua- dua perlawanan tersebut, beliau menjelaskan mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) yang akan dipengerusikan oleh Datuk Afandi Hamzah esok akan membincangkan perkara berkenaan. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Ahmad Halmi Harun dijangka hadir pada mesyuarat tersebut. Jelas beliau, pertukaran gelanggang atau tidak hanya akan diputuskan selepas mesyuarat tersebut dan beliau tidak mahu membuat sebarang pengesahan awal namun tidak menafikan perkara itu (ditukar ke Stadium Shah Alam) antara salah satu pilihan. "Saya rasa lebih baik kita tunggu keputusan secara rasmi daripada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) yang akan bermesyuarat pada Jumaat (esok) bagi membincangkan perkara ini. "Cadangan menukar gelanggang dua perlawanan tersebut akan menjadi agenda utama dan selepas mesyuarat sidang akhbar akan diadakan bagi memaklumkan keputusannya. "Dalam mesyuarat berkenaan, mereka akan membincangkan pelbagai pilihan yang sedia ada iaitu sama ada meneruskan penggunaan Stadium Nasional sebagai gelanggang perlawanan atau menukar ke stadium lain bagi memudahkan kerja pembaikan di Stadium Nasional. "Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia(PSM) dan semua mereka yang terlibat dari PSM untuk duduk semeja dengan FAM bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi padang Stadium Nasional. "Sama-sama kita tunggu apa jua keputusannya sama ada kedua-dua perlawanan itu kekal diadakan di Stadium Nasional atau diubah ke tempat lain (Stadium Shah Alam), " katanya ketika dihubungi, semalam. PSM menyatakan kesediaan untuk menutup Stadium Nasional lebih awal jika itu diminta oleh FAM dengan menukar salah satu atau kedua-dua perlawanan yang dijangka berlangsung pada 15 Oktober dan 3 November ke gelanggang berlainan supaya proses pembaikan dapat dimulakan. Selain kedua-dua perlawanan bola sepak tersebut, konsert Linkin Park juga bakal diadakan pada 19 Ogos ini dan selepas itu, PSM berkata, pihaknya tidak akan lagi menerima sebarang program untuk dijalankan di gelanggang itu selama enam bulan sehingga selesai kerja-kerja pembaikan. Kekalutan mengenai kualiti padang Stadium Nasional tercetus semula selepas Barcelona enggan beraksi di gelanggang berkenaan dalam aksi persahabatan menentang Malaysia Sabtu lalu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan