Khamis, 22 Ogos 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Majlis Aidilfitri di Melaka meriah

Posted: 21 Aug 2013 12:03 PM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

Orang ramai yang hadir tidak melepaskan peluang merasa pelbagai juadah pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Othman Muhamad di Ayer Molek, Melaka, baru-baru ini.

MELAKA 21 Ogos - Sambutan Hari Raya Aidilfitri di negeri ini seakan tidak lengkap tanpa penganjuran rumah terbuka yang menjadi tradisi tahunan dalam usaha mendekatkan lagi masyarakat dengan para pemimpin.

Kemeriahan majlis rumah terbuka bermula sejak 1 Syawal lalu membolehkan rakyat berbilang kaum dari seluruh negeri berpeluang bertemu dan bersalaman dengan para pemimpin kesayangan mereka.

Lebih menyeronokkan lagi, apabila kesemua pengunjung yang datang mengenakan pakaian baharu cantik dan berwarna-warni dengan si lelakinya berbaju Melayu lengkap bersamping manakala wanita pula berbaju tradisional kurung atau kebaya.

Kanak-kanak pula tidak ketinggalan, malah mereka lebih teruja dan bersemangat apabila mendapat duit raya.

Bermula 1 Syawal, majlis rumah terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Idris Haron diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

Rumah terbuka yang dikunjungi lebih 30,000 masyarakat berbilang kaum dari seluruh negeri bermula pukul 11 pagi, berakhir pukul 4 petang.

Pelbagai makanan lazat seperti lemang, ketupat, rendang, lontong, sate dan sebagainya yang lazim ditemui pada hari lebaran dihidangkan kepada para tetamu yang hadir.

Majlis itu turut dihadiri bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Muhamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar serta barisan Exco kerajaan negeri.

Selepas itu, majlis rumah terbuka para pemimpin kerajaan negeri menyusul pada hari raya kedua bermula dengan majlis di rumah Othman Muhamad di Taman Ayer Molek diikuti ADUN Asahan, Datuk Abdul Ghafaar Atan dan ADUN Telok Mas, Datuk Latiff Tamby Chik.

Pada hari raya ketiga pula ADUN Ayer Molek, Datuk Md. Yunos Husin, ADUN Pantai Kundor, Datuk Ab. Rahman Ab. Karim, ADUN Paya Rumput, Sazali Muhd. Din dan ADUN Durian Tunggal, Datuk Abdul Wahab Ab. Latip.

Sambutan itu, pada hari raya keempat pula rumah terbuka diadakan oleh ADUN Rim, Datuk Ghazale Muhamad, Ahli Parlimen Tangga Batu, Prof. Datuk Abu Bakar Md. Diah, bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan ramai lagi.

Rumah terbuka anjuran Speaker DUN di hadiri seramai 10,000 tetamu pelbagai lapisan masyarakat dicatatkan hadir.

Othman berkata, beliau menyediakan pelbagai juadah makanan kepada tetamu berbanding hanya 7,000 pada tahun sebelum ini.

"Budaya kunjung mengunjung di negara ini sangat meriah dan ini dapat dilihat melalui kehadiran pengunjung yang tidak putus-putus.

"Selain itu, majlis seperti ini juga dapat merapatkan lagi hubungan antara para pemimpin dengan orang ramai serta merapatkan silaturrahim sempena Aidilfitri," katanya.

Latiff pula mengadakan rumah terbukanya di padang bola sepak Taman Sri Telok Mas.

Majlis yang bermula pada pukul 8 malam itu tidak kurang meriahnya yang diadakan dengan konsep terbuka di tengah padang bola sepak dan dikunjungi lebih 7,000 pengunjung.

Konsep terbuka dengan puluhan gerai makanan menghidangkan pelbagai juadah enak seperti lemang, rendang, sate, ketupat dan pelbagai lagi disediakan di setiap sudut padang bagi memudahkan para tetamu.

Selepas memilih juadah, para tetamu kemudian menjamu selera di dalam khemah yang disediakan di tengah padang sambil dihiburkan pelawak terkenal tanah air, Datuk Ali Mamak dan Wan Maimunah serta pertunjukan bunga api selama lebih lima minit.

Latiff yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri berkata, beliau gembira dengan sambutan yang ditunjukkan masyarakat setempat berbilang kaum pada majlis anjurannya itu.

"Malam ini kita dapat lihat orang Melayu, Cina dan India hadir merayakan Aidilfitri seperti satu keluarga yang hidup dalam keadaan harmoni dan saling hormat-menghormati.

"Kehadiran yang amat menggalakkan seperti ini adalah bukti sokongan kuat masyarakat terhadap kerajaan di DUN Telok Mas selain mampu merapatkan lagi ikatan di kalangan masyarakat berbilang kaum," ujarnya.

Majlis tidak berhenti di situ sahaja, malah lebih banyak rumah terbuka diadakan para pemimpin negeri pada hari raya ketiga yang jatuh pada hari Sabtu.

Di Jasin, Ahli Parlimennya, Datuk Ahmad Hamzah turut tidak ketinggalan menganjurkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya Kampung Pernu, Jasin bermula pada pukul 10 pagi.

Majlis rumah terbuka yang diadakan di pekarangan rumahnya itu dihadiri hampir 4,000 tetamu termasuk para pemimpin utama serta rakyat pelbagai kaum.

Katanya, beliau amat bersyukur kerana dapat menganjurkan majlis bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk menikmati kemeriahan Aidilfitri serta peluang untuknya bertemu rakan-rakan serta masyarakat setempat.

"Majlis seperti ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan sesama Islam yang menyambut hari raya malah turut memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat berbilang bangsa yang sama-sama meraikan Aidilfitri dalam suasana muhibah," ujarnya.

Tidak ketinggalan, ADUN Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman yang mengadakan majlis rumah terbukanya di kediamannya di Kampung Parit Perawas, Jasin.

Majlis yang diadakan bermula pada pukul 10 pagi itu mencatat kehadiran amat menggalakkan di mana seramai lebih 15,000 tetamu pelbagai kaum hadir.

Hasan berkata, beliau gembira dengan sambutan menggalakkan yang ditunjukkan orang ramai dari pelbagai kaum dan agama ke majlis tersebut.

"Ini jelas menunjukkan rasa kekitaan yang tinggi di kalangan rakyat berbilang kaum bersama-sama meraikan hari kebesaran ini dalam suasana penuh harmoni tanpa sebarang percakaran," katanya.

Sementara itu, di Alor Gajah pula, ADUN Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman mengadakan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru bermula pukul 10 pagi.

"Sambutan yang ditunjukkan pengunjung pelbagai bangsa membuktikan rakyat sentiasa memberi sokongan dan yakin dengan kerajaan sedia ada," katanya.

Pelancaran kibar Jalur Gemilang NS meriah

Posted: 21 Aug 2013 12:03 PM PDT

Mohamad Hasan (tengah) bersama sebahagian ketua jabatan kerajaan, syarikat swasta, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang di Dataran Senawang, Seremban, Negeri Sembilan, malam kelmarin.

SEREMBAN 21 Ogos - Lebih 10,000 orang memeriahkan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri yang berlangsung dengan penuh semangat patriotik dan meriah di Dataran Senawang dekat sini malam semalam.

Majlis bertemakan 'Malaysiaku Berdaulat - Tanah Tumpahnya Darahku' dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam majlis itu, Mohamad menyerahkan Jalur Gemilang secara simbolik kepada lebih 400 ketua jabatan kerajaan, syarikat swasta, parti politik, badan bukan kerajaan dan pemimpin masyarakat.

Majlis turut diserikan dengan persembahan hiburan antaranya oleh penyanyi terkenal Ramli Sarip dan Amelia AF yang menyanyikan lagu-lagu berunsur patriotik serta persembahan bunga api sebagai acara kemuncak.

Yang turut hadir isteri Menteri Besar, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Dr. Awaluddin Said dan isteri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hasan.

Turut serta, ahli-ahli Exco kerajaan negeri, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.

Mohamad dalam ucapannya menyeru rakyat menunjukkan semangat cintakan tanah air dan menghargai kemerdekaan yang diperjuangkan oleh para pejuang kemerdekaan.

"Kita generasi yang menikmati dan mengisi kemerdekaan, marilah bersama-sama berterima kasih kepada mereka yang bergelar pejuang.

"Pengorbanan mereka membolehkan kita merasai erti nikmat kemerdekaan dan erti sebuah rakyat yang merdeka daripada cengkaman penjajah," katanya.

Menurutnya, dalam usaha menghayati erti kemerdekaan, rakyat boleh menilai peristiwa yang sedang berlaku di negara lain yang mana penduduknya sedang berbunuhan sesama mereka akibat pertikaian politik yang melampau.

Mohamad turut menyeru semua pihak agar mengibarkan Jalur Gemilang di premis dan kenderaan masing-masing dengan harapan rakyat dapat menghayati dan mencintai negara ini, seterusnya menghargai dan mempertahankan kedaulatannya.

Sains bina loji rawatan baharu

Posted: 21 Aug 2013 12:03 PM PDT

Oleh Noor Hanis Harun
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 21 Ogos - Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) mengenal pasti beberapa lokasi untuk membina loji rawatan air bagi menggandakan kapasiti bekalan air terutama di kawasan yang semakin pesat membangun seperti di Seremban Barat, Nilai dan Bandar Enstek.

Antara tempat tersebut adalah di Kampung Ngoi-Ngoi dekat Pantai di sini dan Sawah Raja di Rembau.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, loji rawatan air sedia ada di Ngoi-Ngoi yang mempunyai kapasiti 120 juta liter sehari tidak dapat bertahan lama selepas mengambil kira pertumbuhan di kawasan Seremban.

"Sebenarnya di Ngoi-Ngoi, kita sudah ada loji rawatan air tetapi kali ini kita merancang untuk menambah satu lagi loji rawatan air yang boleh digandakan kapasiti air antara 189 ke 226 juta liter air sehari.

"Dalam mesyuarat bersama Lembaga Pengarah Sains, kita sudah membuat kajian agar tindakan ini dapat dilakukan memandangkan pembangunan di kawasan Seremban Barat dan sekitar amat pesat.

"Perancangan itu dibuat selepas mengambil kira perpindahan kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Sendayan yang penduduknya lebih kurang 5,000 orang serta di Bandar Enstek yang akan mempunyai jumlah pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Sains di Seremban 2 di sini semalam.

Seramai 800 jemputan termasuk anak yatim dan golongan ibu tunggal menghadiri majlis tersebut.

Mohamad memberitahu, kerajaan negeri bersama Sains turut memberi perhatian kepada kawasan tumpuan lain seperti Kuala Pilah dan Port Dickson.

"Jempol ada loji yang sedang dinaik taraf seperti loji Jelai dan kita gandakan kapasiti air antara 45 ke 94 juta liter air sehari daripada 15 ke 30 juta liter air sehari serta menggantikan paip lama dan menambah paip baharu.

"Sementara itu di kawasan Port Dickson dan Rembau, kita sedang meneliti untuk membina satu lagi loji rawatan air di Sawah Raja, Rembau bagi memastikan seluruh kawasan di Port Dickson dan Rembau mendapat bekalan air mencukupi," katanya.

Mohamad berkata, perancangan untuk membina loji rawatan tambahan itu bagi menentukan isu bekalan air tidak akan timbul dan tidak menjadi masalah di negeri ini pada masa hadapan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved