Sabtu, 10 Ogos 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Trafik mula perlahan dari arah Utara dan Selatan

Posted: 10 Aug 2013 02:36 AM PDT

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Peningkatan kenderaan petang ini menyaksikan aliran trafik di lebuh raya terutama dari arah utara dan selatan mula perlahan dan berlaku sedikit kesesakan di beberapa kawasan.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressway Berhad ketika dihubungi Bernama berkata, trafik mula sesak bermula dari Sungai Petani arah selatan ke Juru, Kedah dan dari Simpang Pulai ke Tanjung Malim, Perak.

"Trafik juga sesak di kedua-dua arah di Jambatan Pulau Pinang. Di Perak pula di Km 237 Bukit Gantang ke Bukit Berapit sesak akibat kawasan berbukit serta Sungai Perak ke Terowong Menora," katanya.

Beliau berkata, dari arah selatan, trafik bergerak perlahan sebelum Tol Air Hitam, Johor serta Seremban ke Nilai, Negeri Sembilan berikutan pertambahan kenderaan.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di seluruh Lembah Klang, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Kesas dan Lebuhraya Pantai Baru (NPE) bergerak lancar kecuali di Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

"Trafik mula sesak dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah, dari Plaza Tol Bentong ke Bukit Tinggi serta sekitar Plaza Tol Jabor, Pahang," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - BERNAMA

Bekas Ahli Parlimen Gelang Patah meninggal dunia

Posted: 10 Aug 2013 02:09 AM PDT

Oleh AZIZI MAJID

JOHOR BAHRU 10 Ogos - Bekas Ahli Parlimen Gelang Patah, Tan Ah Eng yang bertarung dengan penyakit kanser tulang meninggal dunia kira-kira pukul 11 pagi ini.

Kesihatan Ah Eng dilaporkan semakin merosot sejak April tahun lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Ah Eng menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Zaliha Mustafa dengan majoriti 8,851 undi.

Mendiang yang dipilih menjadi Ahli Parlimen sejak 2004 bagaimanapun tidak mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu berikutan faktor kesihatan. - UTUSAN ONLINE

Warga asing banjiri ibu kota, sampah berlonggok

Posted: 10 Aug 2013 01:43 AM PDT

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Sempena cuti panjang Hari Raya ribuan pekerja asing mengambil kesempatan bersiar-siar di ibu kota namun budaya pengotor mereka terserlah.

Sampah bertaburan di merata-rata tempat meskipun tong sampah mencukupi disediakan dan ramai juga dilihat meludah sesuka hati di kali lima, stesen bas mahupun di pusat beli-belah.

Tinjauan Bernama di sekitar Pasar Seni serta Kompleks Kota Raya mendapati kawasan itu terutamanya di kaki lima bukan sahaja dipenuhi warga asing tetapi juga sampah sarap.

Seorang warga tempatan Cheong Kok Thai, 67, yang berniaga makanan sayur-sayuran di Jalan Petaling berkata kebiasaannya pada musim perayaan ramai warga asing akan berkumpul di kawasan itu dan sampah mula bertimbun.

"Walaupun lori sampah datang untuk mengosongkan tong sampah dan membersihkan sampah sarap tetapi tempat itu kembali kotor semula," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Lum They, 72, peniaga kedai kain di Jalan Tun Perak mengeluh tabiat pengotor warga asing yang bukan sahaja membuang sampah merata-rata malah turut meludah di merata tempat.

"Mereka kebanyakannya tidak mempunyai kesedaran akan kebersihan, tidak hairanlah keadaan di sekitar ibu kota lebih kotor daripada biasa pada hari kelepasan am," katanya.

Sementara itu, K. Sharmella Rani, 27, juga kesal dengan sikap pekerja asing yang merosakkan harta benda awam seperti papan tanda dan tong sampah di perhentian bas dan jejantas.

"Jika dilihat, kesemua kawasan yang dikerumuni warga asing seperti Petaling Street, Lebuh Pudu dan Masjid Jamek berada dalam keadaan kotor dan banyak harta benda awam dirosakkan," katanya.

Kerajaan perlu mengambil tindakan sewajarnya kerana kepentingan masyarakat tempatan dilihat terjejas dengan perbuatan warga asing yang bersifat pentingkan diri sendiri, sedangkan mereka datang ke Malaysia untuk mencari nafkah, katanya. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved