Jumaat, 19 April 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Pandelela, Mun Yee raih perak Siri Terjun Dunia

Posted: 19 Apr 2013 01:34 PM PDT

Pandelela Renong dan Leong Mun Yee

KUALA LUMPUR - Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee membuktikan mereka masih lagi gandingan serasi selepas meraih pingat perak dalam acara 10 meter platform seirama di Siri Terjun Dunia (DWS) di Edinburgh, semalam.

Mereka terpaksa akur dengan China yang merangkul emas walaupun membariskan gandingan penerjun nombor dua, Li Huixia-Si Yajie, hasil pungutan 338.64 mata. Pandelela dan Mun Yee meraih 322.20 mata.

Pingat gangsa menjadi milik gandingan Rusia, Yulia Koltunova-Natalia Goncharova yang mencatatkan 308.22 mata.

Lebih menarik pingat perak yang diraih Pandelela dan Mun Yee adalah yang pertama selepas 12 bulan, di mana kali terakhir mereka menaiki podium di DWS Moscow, April tahun lalu ketika meraih pingat gangsa.

Ketiadaan gandingan Kanada, Roseline Filion-Meaghan Benfeito, yang menduduki tempat kedua di belakang penerjun China pada dua kejohanan sebelum ini di Beijing dan Dubai ternyata memberi tuah buat penerjun negara.

Bagaimanapun, kejayaan pingat perak tidak akan dicapai dengan mudah jika mereka gagal menunjukkan prestasi terbaik semalam.

Mereka juga hampir meraih emas selepas melakukan kejutan mendahulu pungutan mata dari pusingan pertama hingga ke pusingan keempat sebelum dipintas oleh penerjun dari China itu.

"Saya tidak rasa aksi kali ini tidak sengit, malah kami melakukan tahap kesukaran yang sama tetapi kami berjaya melakukannya dengan baik sekali," kata Pendelela.

Kata penerjun kelahiran Sarawak itu, gandingannya dan Mun Yee semakin mantap selepas mereka sudah lama tidak mempamerkan aksi bersama seperti mana yang dilakukan semalam.

Kejayaan tersebut sudah pasti akan memberi suntikan semangat buat kedua-dua penerjun negara itu menjelang Kejohanan Dunia di Barcelona Julai depan tatkala mereka memburu pingat kedua di kejohanan tersebut selepas meraih gangsa di Rome pada 2009.

Johor DT lunas dendam

Posted: 19 Apr 2013 01:34 PM PDT

Oleh IFQDAR RAHMAN dan MOHAMMAD YASIR JAAFAR
sukan@utusan.com.my

Penyerang Johor DT, Mohd. Safee Sali menanduk bola sambil dihalang pemain pertahanan Pahang pada perlawanan Liga Super di Stadium Larkin, Johor Bahru, malam tadi. Johor DT menang 1-0. - Utusan/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU - Skuad Johor Darul Takzim berjaya membalas dendam ke atas Pahang apabila menundukkan pasukan Pantai Timur itu 1-0, sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri dalam aksi pusingan kedua Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam

Johor DT pernah dikejutkan Pahang 3-2 dalam aksi pembukaan Liga Super tatkala ramai yang meramalkan skuad bimbingan Fandi Ahmad itu mampu mencatat kemenangan pertama namun kekalahan tersebut berjaya ditebus di hadapan penyokong sendiri.

Disuntik semangat kemenangan ke atas Selangor dalam perlawanan suku akhir Piala FA, Selasa lalu, Harimau Selatan tampak garang apabila menguasai permainan keseluruhan babak pertama.

Mempamerkan aksi penuh bertenaga, tuan rumah bagaimanapun gagal meraih sebarang gol sepanjang separuh masa pertama walaupun Nurul Azwan Roya berpeluang memecah kebuntuan pada minit kelima, namun ditangkap kemas oleh penjaga gol lawan.

Memasuki babak kedua, Johor DT terus mengasak kubu lawan dan akhirnya, Leonel Nunez berjaya merembat masuk gol pertama, hasil hantaran Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-46.

Asakan demi asakan terus dilakukan oleh skuad Tok Gajah bagi memburu gol penyamaan sehinggakan nyaris membuatkan pemain pertahanan Johor DT, Kamarul Afiq Kamarudin menjaringkan gol sendiri di minit terakhir, namun bernasib baik kerana tandukannya mengenai palang.

Keputusan kekal 1-0 sehingga tamat perlawanan dan kemenangan tersebut melonjakkan kedudukan Harimau Selatan ke tangga teratas liga setelah Negeri Sembilan mengikat Selangor 0-0 di Stadium Paroi, Seremban.

Sementara itu di Stadium Shah Alam, tuan rumah, PKNS berjaya meraih tiga mata selepas menang tipis 2-1 ke atas Kelantan.

Bagaimanapun mereka dikejutkan dengan jaringan awal pelawat pada minit keenam melalui Ahmad Fakri Saarani.

PKNS berjaya menyamakan kedudukan apabila pemain import, Roman Chmelo berjaya membolosi gawang Kelantan pada minit ke-51.

Pada minit ke-72 Mohd Fauzan Dzulkifli muncul wira selepas menjaringkan gol kemenangan tuan rumah yang berpunca daripada sepakan percuma.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan dan Selangor terikat 0-0, yang menyaksikan pasukan tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-86 selepas Ahmad Shakir Ali dilayangkan kad merah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved