Rabu, 14 September 2011

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Wanita Australia mangsa kasanova

Posted:

Wanita Australia mangsa kasanova

Wanita Australia mangsa kasanova

Oleh ANGELINA SINYANGpengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Seramai 12 wanita warga Australia disahkan pernah menjadi mangsa penipuan dua daripada tiga 'kasanova' warga Nigeria yang aktif memperdayakan wanita melalui cinta siber dan ditangkap polis di negara ini, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, siasatan lanjut ke atas kedua-dua suspek mendapati, mereka terlibat dalam 12 kes penipuan melalui cinta siber membabitkan wanita dari negara itu.

Bagaimanapun, kata beliau, jumlah keseluruhan kerugian dialami oleh semua mangsa dalam kes ini masih disiasat.

Namun, katanya, berdasarkan maklumat, jumlah tertinggi pernah dibayar oleh seorang mangsa adalah lebih RM50,000.

"Sebelum ini, sudah banyak laporan polis dibuat dan didedahkan oleh media mengenai kes penipuan cinta siber.

"Namun, kita dapati masih ramai wanita tertipu. Terbaru, kita berjaya membongkar satu lagi sindiket cinta siber dengan tertangkapnya dua lelaki warga Nigeria di KL Sentral dan Putrajaya pada Jumaat lalu," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Bukit Perdana di sini hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, tiga 'kasanova' Nigeria yang aktif memperdayakan wanita melalui cinta siber dicekup polis setelah mereka termakan 'umpan' yang dipasang oleh seorang penyiasat peribadi wanita dari Australia.

Suspek sebelum ini pernah memperdayakan seorang wanita warga Australia dikenali sebagai Rosalie sehingga mangsa mengalami kerugian apabila sanggup menyerahkan wang kepada kekasih yang dikenali melalui alam siber itu.

Mangsa yang berasa tertipu kemudian mengupah seorang penyiasat peribadi di negaranya untuk menjejaki kumpulan penjenayah berkenaan.

Hasil maklumat diberikan oleh Rosalie, penyiasat peribadi wanita berusia 28 tahun itu mula menjejaki suspek yang akhirnya dikesan berada di Malaysia pada Julai lalu.

Penyiasat wanita terbabit kemudian datang ke ibu negara dan membuat laporan polis sebelum bekerjasama memerangkap kumpulan sindiket berkenaan.

Wanita Kenya ditahan bersama syabu RM1.3 juta

Posted:

Wanita Kenya ditahan bersama syabu RM1.3 juta

Wanita Kenya ditahan bersama syabu RM1.3 juta

KOTA KINABALU 14 Sept. - Seorang wanita warga Kenya ditahan setelah cuba menyeludup masuk lima kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM1.3 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini semalam.

Suspek berusia 31 tahun ditahan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri pukul 8.30 pagi sejurus tiba di lapangan terbang itu dari Bandar Seri Begawan, Brunei, menaiki penerbangan Royal Brunei Air.

Menurut Timbalan Pengarah JKDM negeri, Hamzah Sundang, pemeriksaan mendapati suspek bertolak dari Kenya, 5 September lalu, melalui Ethopia serta Dubai dan tiba di Brunei, kelmarin sebelum meneruskan perjalanan ke sini.

"Suspek yang pertama kali tiba di Kota Kinabalu dilihat dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan terhadap dua buah beg dibawanya, menemui empat peket berisi dadah berkenaan.

"Dadah itu disorokkan dalam beg tersebut yang telah diubah suai iaitu di bawah 'lantai' dan ditutup menggunakan papan lapis dan plastik serta dibalut dengan kertas aluminium," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hamzah berkata, kejayaan rampasan dadah terbesar di negeri itu tahun ini adalah hasil kecekapan pemantauan pegawai JKDM di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang di Terminal Satu KKIA.

Menurutnya, pihaknya turut merampas mata wang asing iaitu 36,000 France (RM22,793), Brunei Dollar $87 (RM210), AS$ 900 (RM2,735) dan Banki Kuuga Kenya 1,800 (RM56).

Katanya, suspek direman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

"Siasatan awal mendapati suspek merupakan pelajar di Institut Pengurusan Kenya dan berkerja sambilan sebagai jurujual pakaian di negaranya," katanya yang tidak menolak kemungkinan suspek diperdaya menjadi keldai dadah oleh sindiket antarabangsa.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved