Utusan Online - Timur |
- Pentas istimewa insan OKU
- SPNB bina 2,384 rumah di Kelantan
- Asrama Darul Akhyar mulakan operasi ambil 98 pelajar
Posted: Pentas istimewa insan OKU Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
KUALA TERENGGANU 7 Julai - Apabila Muhamad Syarif Azan, 17, dari Sekolah Menengah Permaisuri Nur Zahirah, Besut berdiri di pentas dan penuh yakin menyampaikan puisi, perhatian orang ramai yang hadir terpaku ke arahnya. Menyuluh jalan hidupku, Kasih sayangmu tak ternilai, Ayah dan ibu, Dengarlah suara hatiku apa yang terbuku.." Itu sebahagian daripada bait puisi ciptaan gurunya yang mengingatkan kesusahan ibu bapa menjaga anak-anak yang dilahirkan dengan serba kekurangan. Sebahagian daripada 2,000 hadirin yang memenuhi Dewan Besar Wisma Darul Iman mengesat air mata apabila nada suaranya dan bait puisi itu menyuntik keharuan. Itu kali pertama Muhamad Syarif menyertai persembahan pentas dan dia bersama 128 orang kanak-kanak istimewa menjayakan Program Pentas Istimewa Pendidikan Khas 2011 yang dirintis Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) baru-baru ini. Biarpun sudah melalui usia remaja, perkembangan fizikalnya tidak normal, dengan berbadan kecil dan rendah persis kanak-kanak berusia enam tahun malah menghidap masalah paru-paru. Anak ketiga daripada tujuh beradik itu ketika ditemui memberitahu, usianya sudah 17 tahun, seolah-olah mahu kami mengikis tanggapan bahawa dia sekadar seorang budak. "Saya memang berdebar kerana pertama kali berdiri di pentas, di hadapan begitu ramai penonton. Saya berlatih beberapa minggu lalu dan sangat terharu kerana ramai orang suka," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui. Program itu dimeriahkan dengan pelbagai persembahan termasuk pantomin, drama muzikal, tarian tradisional, silat, nyanyian solo, nasyid serta tarian sewang. Sebanyak 14 buah sekolah yang terlibat iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Razali Ismail, Kuala Terengganu; SMK Sultan Omar, Dungun; SMK Permaisuri Nur Zahirah, Besut; SMK Kuala Telemong, Hulu Terengganu; SMK Bukit Besar, Kuala Terengganu dan SMK Bukit Diman, Hulu Terengganu. Juga SMK Pulau Serai, Dungun; SMK Tembila, Besut; SMK Panji Alam, Kuala Terengganu; Sekolah Kebangsaan (SK) Ibok, Kemaman; SK Pendidikan Khas Besut; SK Pauh, Hulu Terengganu dan SK Sungai Pergam, Kemaman. Melalui program ini, bakat pelajar pendidikan khas terdiri daripada mereka yang cacat penglihatan, cacat pendengaran, masalah lemah pembelajaran serta terencat akal diketengah. Dikir barat oleh pelajar SMK Tembila, Besut memberi kelainan dalam persembahan dengan menampilkan pendikir dan awak-awak yang menggunakan bahasa isyarat khas untuk mereka yang tidak dapat mendengar. Menurut guru yang melatih mereka, Rozaila Mat Ail, 39, dia mengakui amat sukar untuk melatih pelajar-pelajar istimewa itu membuat persembahan sebaik apa yang penonton lihat pada hari ini. Ujarnya, dia dan 11 guru lagi bekerjasama melatih mereka sejak tiga bulan yang lalu. "Pada awalnya kami rasa mereka tidak mampu namun kami sangat terharu apabila mereka yang mempunyai masalah pembelajaran serta pendengaran ini dapat memberikan persembahan yang baik. "Biarpun cabaran amat besar kerana mereka tidak boleh mendengar tetapi harus mengikut muzik namun mereka berjaya membuktikan keupayaan walaupun pertama kali mempersembahkannya," ujarnya. Pentas Istimewa yang merupakan acara julung-julung kalinya diadakan di negeri ini dan bakal dijadikan program tahunan. Dalam pada itu, Ketua Sektor Pendidikan Khas Jabatan JPNT, Ngah Bidin berkata, program tersebut akan dijadikan tradisi tahunan sebagai satu usaha untuk mengasah bakat golongan istimewa yang turut membantu meningkatkan keyakinan diri mereka bersama anggota masyarakat. Baginya, ia bukannya suatu usaha yang mudah untuk dilaksana memandangkan ia melibatkan pelajar-pelajar pendidikan khas namun tenaga pengajar yang memberi komitmen tinggi membolehkan program itu dijayakan. "Penganjuran Pentas Istimewa ini amat bermakna buat insan istimewa dan saya lihat ramai yang terharu apabila melihat kemampuan pelajar-pelajar ini membuat persembahan yang tiada cacat celanya. "Malah boleh dibanggakan apabila mereka langsung tidak gentar walaupun pertama kali membuat persembahan di hadapan ribuan penonton," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
SPNB bina 2,384 rumah di Kelantan Posted: SPNB bina 2,384 rumah di KelantanKOTA BAHARU 7 Julai – Kerajaan Pusat melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah membina 2,384 buah rumah bernilai kira-kira RM16 juta di bawah Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Kelantan sejak lapan tahun lalu. Pengarah Urusan SPNB, Datuk Dr. Kamarul Rashdan Salleh berkata, tidak berbangkit soal Kerajaan Pusat tidak membina rumah di Kelantan selepas kerajaan Pas mengambil alih negeri ini daripada Barisan Nasional (BN) sejak 1999. Beliau diminta mengulas dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Kemudahan Asas dan Utiliti negeri, Datuk Mohd. Anizam Abdul Rahman, bahawa Kerajaan Pusat tidak pernah menghulurkan peruntukan kepada kerajaan negeri dalam menyediakan projek perumahan di negeri itu sejak 1999. Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini mengakui keperluan perumahan di Kelantan masih tinggi tetapi gagal dilaksanakan kerana tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup. Dr. Kamarul Rashan berkata, program perumahan ini mula diperkenalkan di Terengganu pada 2002 untuk membantu golongan berpendapatan rendah seperti nelayan, petani dan keluarga miskin yang tidak memiliki rumah atau tinggal di rumah usang (daif) tetapi mempunyai tanah untuk membina rumah sendiri yang sempurna dan selesa. "Program ini diperluaskan ke Kelantan pada tahun berikutnya atas matlamat yang sama membantu golongan sasaran itu," katanya. Beliau berkata dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), SPNB bercadang membina sebanyak 2,500 unit RMR di seluruh negara pada tahun depan. Bagaimanapun, katanya, ia tertakluk kepada peruntukan yang disalurkan oleh Kementerian Kewangan. Beliau berkata, setiap rumah yang dibina itu sekurang-kurangnya mengandungi tiga bilik tidur bernilai RM70,000 yang dibina atas tapak tanah milik sendiri. — BERNAMA | ||
Asrama Darul Akhyar mulakan operasi ambil 98 pelajar Posted: Asrama Darul Akhyar mulakan operasi ambil 98 pelajarPELAJAR pertama yang mendaftar di Asrama Darul Akhyar bergambar bersama kakitangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu di Kampung Tanjung Kapal, Batu Rakit, Kuala Terengganu, baru-baru ini. - utusan/FAUZI MOHD. KUALA TERENGGANU 7 Julai - Asrama Darul Akhyar kelolaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu di Kampung Tanjung Kapal, Batu Rakit, di sini mula beroperasi dengan pengambilan kumpulan pertama seramai 98 pelajar. Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman berkata, asrama untuk anak yatim dan fakir miskin itu menelan kos RM4.3 juta dengan pembinaan dua blok asrama lelaki dan perempuan, kantin, surau dan rumah warden. Katanya, asrama itu telah mengambil pelajar bermula dari tingkatan satu hingga empat dari seluruh negeri dan mereka telah ditukarkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Rakit, dekat sini. "Semua kos operasi termasuk elaun tujuh kakitangan asrama, perbelanjaan setiap pelajar seperti yuran sekolah, tambang bas, duit saku ditanggung sepenuhnya oleh pihak Maidam. "Pihak Maidam juga akan berusaha menambah baik prasarana seperti penyediaan perpustakaan, gelanggang sukan serta kawasan riadah bagi menjadikan Asrama Akhyar ini sebagai pusat pengajian dan kebajikan anak yatim yang terbaik," katanya. Beliau berkata demikian dalam satu majlis kesyukuran pembukaan asrama itu di Batu Rakit, dekat sini semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat yang juga Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit. Wan Harujan berkata, seramai 44 pelajar lelaki dan 54 perempuan yang berjauhan dengan keluarga di Darul Akhyar itu diberi perhatian khusus terutama soal disiplin dan pencapaian akademik. Katanya, pihak Maidam juga mengalu-alukan sekiranya terdapat pihak lain seperti badan korporat dan individu persendirian untuk hulurkan sumbangan bagi membantu mereka mendapatkan pendidikan yang terbaik. "Begitu juga dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan penuntut institusi pengajian tinggi turut dipelawa mengadakan pelbagai program bermanafaat di asrama ini. "Untuk itu juga, Maidam akan turut jalinkan kerjasama dengan beberapa asrama anak yatim yang diuruskan oleh pihak lain kerana mereka lebih berpengalaman dalam perkara ini," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan