Utusan Online - Pahang |
- Pendidikan seks pelatih PLKN
- JLKN puas hati modul PKRS dipelajari serentak
- Pemandu pelancong digantung
Posted: Pendidikan seks pelatih PLKNOleh ALI MAHMOOD
RAUB 4 Julai - Masalah gejala sosial terutama di kalangan remaja membabitkan seks bebas, mengandung luar nikah, sumbang mahram, buang bayi, rogol, keganasan dan diskriminasi gender menimbulkan kebimbangan masyarakat. Justeru, langkah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) memperkenalkan program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) kepada pelajar sekolah, remaja dan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tepat pada masanya. Program itu mula diperkenalkan kepada pelatih PLKN pada 15 Jun lepas merangkumi empat perkara utama iaitu gender, kekeluargaan, pembangunan kemahiran dan hidup tanpa keganasan. Seramai 30,000 pelatih PLKN dari 82 kem latihan seluruh negara mempelajari modul tersebut dengan dibimbing 1,102 jurulatih PLKN yang mendapat latihan daripada LPPKN sejak enam bulan lalu. Rata-rata pelatih di Kem PLKN Benum Hill Resort di sini yang mengikuti program pendidikan itu baru-baru menyifatkan ia sebagai pelindung bagi mengelak mereka dari terjerumus dalam kegiatan tidak bermoral. Mereka juga berpendapat modul tersebut sangat berguna kerana kandungannya boleh memberi bimbingan dan menyedarkan mereka supaya tidak terbabit dalam aktiviti tidak sihat. Salah seorang pelatih, Kang Siew Leng, 18, memberitahu, dia menerima modul tersebut dengan fikiran terbuka kerana memberi satu pengetahuan baru dan berfaedah kepada golongan remaja. Tambahnya, ia juga membentuk jati diri pelatih kerana menerangkan cara melindungi diri daripada terjebak dalam maksiat serta salah laku moral. "Isu-isu gender, seks, biologikal, kerohanian, rogol, keganasan dan diskriminasi yang dibincangkan amat berguna supaya remaja dapat mengenali diri," katanya yang berasal dari Triang, Pahang. Bagi pelatih Orang Asli, Rosila Mohamad Zaidi, 18, banyak ilmu yang diperoleh dan tidak pernah dipelajarinya sebelum ini sama ada daripada keluarga atau masyarakat. Katanya, modul itu bukan sahaja perlu diajar kepada pelatih PLKN tetapi ia perlu diterangkan kepada semua remaja. "Banyak ilmu yang diterangkan melalui PKRS yang tidak diajar di sekolah atau mana-mana institusi pendidikan," katanya yang berasal dari Gua Musang, Kelantan. Seorang lagi remaja Orang Asli, Roy Ude, 18, yang berasal dari Lojing, Gua Musang berkata, antara pendekatan yang dipelajari melalui subjek itu ialah mengenai amaran kuning dan merah. "Dengan berpandukan amaran tersebut, ia memberi kesedaran supaya remaja sentiasa berfikir sebelum membuat sesuatu tindakan agar tidak terjerumus ke kancah maksiat, rogol, keganasan dan sebagainya," katanya. Pendapat itu turut disokong oleh seorang lagi pelatih, K. Rajendran, 18, yang menyifatkan modul pendidikan itu merupakan salah satu cara untuk menghindari seks bebas. Rajendran yang berasal dari Kuala Lipis berkata, mereka juga mempelajari isu diskriminasi tidak sepatutnya berlaku antara lelaki dan wanita sama ada mereka yang sudah bekerja atau berkeluarga. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
JLKN puas hati modul PKRS dipelajari serentak Posted: JLKN puas hati modul PKRS dipelajari serentak
RAUB 4 Julai - Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) berpuas hati dengan modul Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) yang mula diperkenalkan kepada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sejak 15 Jun lalu. Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, modul itu dipelajari serentak oleh 30,000 pelatih PLKN di seluruh negara bagi kumpulan kedua tahun ini menerusi tahap kedua modul Pembinaan Karakter. Katanya, pelatih bersedia menerima PKRS setelah keyakinan mereka terhadap keupayaan dan kebolehan diri mereka begitu tinggi apabila selesai melalui tahap pertama modul berkenaan. "Pada mulanya kami berasa bimbang sekiranya jurulatih gagal melaksanakan modul itu, tetapi melalui maklum balas diterima daripada pelatih, kami sangat berpuas hati apabila ia berjaya dilaksanakan dengan baik," katanya ketika ditemui di Kem PLKN Benum Hill Resort di sini, baru-baru ini. Abdul Hadi yakin modul itu dapat membendung gejala sosial terutama di kalangan bekas-bekas pelatih PLKN selepas ini. Beliau berharap sebaik sahaja menamatkan program tersebut, mereka dapat menyebarkan maklumat dan pendidikan mengenai PKRS kepada rakan-rakan dan juga ahli keluarga mereka. Katanya, tujuan utama modul itu diperkenalkan di PLKN ialah membendung gejala sosial di kalangan remaja dan belia khususnya bagi golongan yang berumur 16 tahun ke atas. Jelasnya, tanpa pengetahuan dan kemahiran, golongan itu tidak dapat membuat pertimbangan serta keputusan dengan sebaiknya. "Modul ini memberi penekanan kepada pembinaan kemahiran untuk menghindari tingkah laku remaja berisiko tinggi dan membuat pilihan bijak berkaitan kesihatan reproduktif serta sosial," katanya. | ||
Posted: Pemandu pelancong digantungOleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
KUANTAN 4 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang pemandu pelancong selepas didapati bersalah kerana mengedar ganja seberat 895.08 gram pada tahun lalu. Lokman Borhan, 54, disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah itu di rumahnya di No. 11 Lorong Kubang Buaya 47, Taman Kubang Buaya di sini, pada pukul 9.20 malam, 7 Ogos 2010. Dia dituduh mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati. Lokman turut didapati bersalah memiliki lima peket plastik lutsinar mengandungi 22.39 gram ganja pada waktu, tarikh dan tempat yang sama. Bagi kesalahan di bawah Seksyen 6 akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta tersebut, lelaki itu dihukum penjara empat tahun bermula dari tarikh tangkapan. Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mariana Yahya menjatuhkan hukuman tersebut setelah mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Tertuduh diwakili oleh peguam bela, Datuk Mohamad Shariff Abu Samah, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan