Utusan Online - Hiburan |
Posted: Sam, Lisa serasi bersamaOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
IMPAK populariti dua bintang terkenal ini memang melangkaui segala-galanya. Harus diakui, ketika ini nama Lisa Surihani dan Shaheizy Sam merupakan pelakon yang cukup diminati ramai. Bukan hanya menjadi kegilaan peminat tetapi juga rebutan para produser di negara ini yang mahukan mereka berdua berlakon dalam filem masing-masing. Ternyata nilai bintang (star value) yang dimiliki oleh Lisa Surihani dan Shaheizy Sam telah meletakkan mereka di puncak tertinggi ketika ini. Sehinggakan ada khabar angin yang berhembus lembut mengatakan Lisa Surihani dan Shaheizy Sam antara pelakon yang dibayar cukup tinggi untuk sesebuah filem. Apatah lagi, ditambah pula dengan gelaran Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) yang dimenangi mereka tahun lalu menguatkan lagi perkhabaran itu. Dengan populariti mereka itu juga, ia mampu menarik perhatian peminat filem tempatan untuk menonton filem Sekali Lagi arahan Hashim Rejab yang mula ditayangkan semalam (30 Jun). Harga Shaheizy Sam KALAU disingkap kembali diari seni Shaheizy Sam atau lebih mesra disapa Sam ini, dia tidak mengecapi populariti dalam masa yang cukup singkat. Dia bermula dari bawah, merangkak perlahan-lahan sehinggalah dia berjaya membina namanya sebagai salah seorang aktor popular negara. Kredibiliti lakonannya juga tidak perlu dipertikaikan lagi. Berilah apa sahaja watak kepadanya, dia tidak pernah gagal membawakannya dengan baik. Jika tidak, mana mungkin trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM23 menjadi milik mutlaknya tahun lalu yang dimenanginya menerusi filem Evolusi KL Drift 2. Namun, ada suara-suara sumbang sudah kedengaran apabila mereka mula mempersoalkan kemunculan Sam yang begitu kerap di layar perak. Sehinggakan ada yang berkata dengan kekerapan itu telah menjejaskan sedikit lakonan Sam apabila hampir kesemua watak yang diberikan kepadanya hampir sama. Untuk tahun 2010 sahaja, Sam sudah membintangi lima buah filem berbanding hanya tiga sahaja pada 2009. Sementara itu, dianggarkan sebanyak lima buah filem lakonannya menanti giliran untuk ditayangkan di pawagam sehingga penghujung tahun ini iaitu Adnan Semp-It 2, 8 Jam, Bini-Biniku Gangster, Aku Ada...Kau Ada??? dan Songlap. Sambil melemparkan senyum, Sam menjawab segala pertanyaan itu dengan tenang dan memberitahu dia cukup sedar akan perihal itu. "Seboleh-bolehnya, saya tidak mahu mengecewakan sesiapa dan dalam masa yang sama, saya akui sudah mula berasa penat untuk berlakon kerana tidak cukup rehat. "Bukan itu sahaja, untuk menghayati sesuatu watak itu, saya memerlukan persediaan yang cukup rapi. "Inilah harga yang perlu saya bayar menjadi seorang aktor dan kalau mahu merungut pun, tidak boleh kerana ini adalah jalan yang saya pilih," jelasnya dalam nada penuh diplomasi. Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abd. Samad itu ditemui pada majlis tayangan filem Sekali Lagi anjuran DiGi di TGV Sunway, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. Mahu berehat Demi menjaga portfolionya sebagai seorang aktor, Sam memberitahu dia kini mula memikirkan untuk berehat seketika dari dunia lakonan bermula tahun depan. "Saya tidak mahu cepat berasa bosan dan saya bimbang peminat serta penonton juga akan berasa seperti itu. Saya juga bimbang jika terlalu penat, ia akan memberi kesan kepada mutu lakonan saya juga. "Dalam masa yang sama, mungkin saya mahu mencari peluang lain dengan menerbitkan filem sendiri bersama kakak saya, Zizie Ezette. "Semuanya sebagai persediaan masa depan kerana dunia seni ini ibarat roda. Bukan selalu kita di atas dan apabila sampai satu tahap, kita akan berada di bawah juga," kata Sam yang memulakan karier lakonannya seawal usia 13 tahun menerusi filem pertamanya, Sama Tak Serupa pada tahun 1995. Barangkali ramai yang tidak tahu, rupa-rupanya Sam tidak gemar untuk menonton lakonannya sendiri di layar perak. Bukan mahu mendabik dada, tetapi kata Sam, adalah menjadi lumrah untuk anak seni sepertinya yang tidak pernah berasa puas dengan setiap lakonannya. Pelakon filem Kongsi dan Ngangkung ini juga memberitahu dia lebih selesa penonton dan peminat menilai hasil kerjanya berbanding dirinya sendiri. "Saya memang tidak suka mencari kelemahan sendiri dalam mana-mana filem atau drama yang saya bintangi. "Jika berkesempatan, saya tidak akan melepaskan peluang untuk menonton filem lakonan saya tetapi jika saya merasakan ia sudah mula menjatuhkan keyakinan saya, barulah saya akan berhenti menontonnya," jelasnya yang kini sibuk di lokasi filem Ngongkrong. Serasi dengan Lisa Menyentuh mengenai lakonannya dalam Sekali Lagi, Sam yang berusia 29 tahun itu memberitahu watak Arman banyak dipengaruhi oleh anak saudaranya. Kata Sam, sebagai Arman yang mengalami gangguan otak selepas pembedahan tumor sehingga berperwatakan seperti seorang kanak-kanak, dia sendiri mengkaji bagaimana pemikiran dan personaliti anak saudaranya itu. Ditanya mengenai keserasiannya dengan Lisa, aktor yang pernah menjadi bualan kerana lakonannya dalam drama Pa'e pada tahun 1998 itu, dia tidak mempunyai masalah dengan pelakon jelita itu. "Kami sudah lama berkenalan sejak dia berusia 14 tahun lagi manakala saya pula ketika itu baru sahaja tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. "Jadi, apabila digandingkan kali pertama dalam Sekali Lagi, saya tidak mempunyai masalah untuk berasa selesa dengan dia. Tetapi, dalam masa yang sama, saya tidak menafikan ada juga rasa gementar," katanya berseloroh sambil memandang ke arah Lisa di sebelahnya. Sekali Lagi uji Lisa SEBELUM ini, Lisa Surihani atau lebih mesra disapa sebagai Lisa itu begitu sinonim dengan aktor kacak, Farid Kamil. Empat filem yang dibintangi mereka iaitu Lagenda Budak Setan, Semerah Cinta Stilleto, V3 Samseng Jalanan dan I'm Not Single telah meletakkan mereka sebagai pasangan layar lebar yang cukup serasi. Apabila digandingkan kali pertama dengan Sam, aktres berusia 25 tahun itu mengakui gementar untuk berdampingan dengan aktor pujaan ramai itu. Walaupun sudah lama mengenali Sam, tetapi perasaan itu tetap berbeza sewaktu di lokasi penggambaran filem tersebut. "Sewaktu dengan Farid, saya memang tidak mengenalinya dan keserasian itu mula terbentuk apabila di lokasi. Tetapi, dengan Sam, saya perlu menjaga hatinya kerana bimbang tindak-tanduk saya membuatkannya tidak selesa atau janggal. "Dalam masa yang sama, portfolio Sam sebagai seorang aktor terkenal juga membuatkan saya gementar untuk berdampingan dengannya. "Dalam erti kata lain, filem ini memang memberikan cabaran yang berbeza dengan filem-filem lain yang pernah saya bintangi apabila watak Sheila ini merupakan seorang ibu tunggal," jelas Lisa yang mula mencipta nama menerusi filem Goodbye Boys arahan Bernard Chauly pada tahun 2007. Sayang dengan Mia Sara Keserasiannya dengan pelakon cilik, Mia Sara Nasuha juga membuatkan Lisa tidak mempunyai masalah untuk berlakon dengan Mia Sara yang menjadi anaknya dalam filem Sekali Lagi. Mula digandingkan menerusi drama rantaian, Adamaya sekitar dua tahun lalu, Lisa dan Mia Sara dilihat cukup serasi di mata peminat. Kerana itulah, ada ketikanya, Lisa perlu menjadi begitu berhati-hati sewaktu adegan bersama Mia Sara kerana menyedari sensitiviti kanak-kanak comel itu. "Sebagai ibu dalam filem ini, saya perlu kawal emosi saya kerana tidak mahu hatinya cepat terusik dan terasa. "Jadi, kalau mahu melepaskan rasa marah dalam adegan membabitkan saya dengan Mia Sara, saya perlu melakukannya dengan membaling kerusi. "Selepas habis adegan itu, saya akan cepat memujuknya dengan mengatakan semua itu hanya lakonan dan saya tetap menyayanginya," cerita Lisa atau nama sebenarnya, Lisa Surihani Mohamed yang akan muncul dengan filem Ombak Rindu penghujung tahun ini. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Kris Coleman pilihan BroadwayOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL BARISAN tenaga kerja muzikal Dreamgirls yang hadir di sidang akhbar yang diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini. SEGALA spekulasi yang bertebaran tentang watak James Thunder Early akhirnya terjawab apabila pihak Broadway Academy Sdn. Bhd. mengumumkan aktor yang menjadi pilihan mereka untuk membawakan watak tersebut dalam pementasan Dreamgirls. Bukan calang-calang pelakon iaitu Kris Coleman yang sebelum ini cukup popular menerusi pementasan Jersey Boys yang dipentaskan di Broadway, New York selama lima tahun. Berbekalkan portfolio Kris yang cukup luas dalam pementasan teater muzikal ternyata memikat pihak Broadway Academy untuk memilihnya membawakan watak yang menjadi perhatian itu. Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang apabila ada yang mengatakan watak James Thunder Early itu bakal dibawakan oleh Stephen Rahman-Hughes. Namun, baik Stephen Rahman mahupun pihak Broadway Academy sendiri lebih selesa untuk mendiamkan diri apabila diajukan tentang kebenaran tersebut. Bagi Pengarah Urusan Broadway Academy, Casey Koh, pihaknya mahu memilih calon yang benar-benar layak untuk membawakan watak tersebut. Semuanya adalah untuk memastikan jenama Dreamgirls yang dilabelkan sebagai salah sebuah teater muzikal hebat itu akan terus kekal. Begitu juga dengan pemilihan Kris yang dilakukan sejak enam bulan lalu dan prosesnya juga kata Casey, bukan dibuat sambil lewa. Ujarnya lagi, untuk watak James Thunder Early atau lebih dikenali sebagai Jimmy Early dalam pementasan itu, pihaknya telah menilai beberapa portfolio sebelum memilih Kris. "Sejak dari awal lagi selepas pihak kami mengumumkan akan membawa masuk Dreamgirls ke negara ini, pelbagai spekulasi telah diperkatakan terutama barisan pelakonnya. "Kami mahu memastikan calon yang dipilih itu benar-benar menepati kriteria setiap watak dalam pementasan ini. Atas alasan itu, uji bakat telah dilakukan dan kami telah memilih yang terbaik. "Bukan hanya untuk pelakon utama tetapi juga untuk pelakon gantian (understudy) kerana Dreamgirls sebuah pementasan yang besar. "Seperti Kris juga, dia memang pilihan yang tepat kerana pengalamannya sebelum ini membintangi teater muzikal Jersey Boys yang sememangnya cukup popular di Broadway," jelasnya saat ditanya tentang pemilihan Kris dalam pementasan Dreamgirls terbitan pihaknya. Casey berkata demikian pada sidang akhbar Dreamgirls yang berlangsung di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, baru-baru ini. Turut hadir pengarahnya, Joanna Bassey dan barisan pelakon teater muzikal itu seperti Cheryl Samad, Elvira Arul, Azura Zainal, Dina Nadzir, Dafi, Tony Eusoff, Ruzana Ibrahim dan Indi Nadarajah. Menyambung bicara, Casey menjelaskan dengan pemilihan Kris itu juga sebenarnya membawa banyak manfaat kepada ramai pihak terutama tenaga kerja Dreamgirls sendiri. "Selepas berbincang dengan pihak Broadway di New York, kami merasakan ini adalah peluang terbaik untuk semua pihak yang terlibat dalam pementasan ini untuk belajar sesuatu yang positif. "Kami masih di landasan yang betul apabila kami memberitahu Dreamgirls merupakan produksi terbitan 100 peratus anak tempatan walaupun hak ciptanya dari Amerika Syarikat. "Tetapi, kerana mahu menampilkan kelainan dan impak yang tersendiri untuk teater muzikal terbitan kami ini, atas alasan itulah kami menyenaraikan Kris dalam pementasan ini," kata Casey optimis. Sebelum Dreamgirls, Broadway Academy yang diasaskan oleh Casey dan abangnya, Marvin pernah menerbitkan sebuah lagi teater muzikal dari Broadway, SHOUT! The Mod Musical pada tahun lalu. Dalam sidang akhbar itu juga, Casey mengumumkan watak Effie Melody White yang sebelum ini dipegang sepenuhnya oleh Elvira Arul juga akan dilakonkan oleh naib juara Malaysian Idol musim pertama, Dina. Kata Casey, walaupun sebelum ini Dina hanyalah sekadar pelakon gantian untuk watak tersebut, tetapi selepas melihat latihannya, pihaknya merasakan adalah wajar untuk 'menaikkan pangkat' Dina kepada pelakon utama. "Sepanjang 11 hari Dreamgirls dipentaskan di IB, Elvira dan Dina akan mengambil giliran membawakan watak Effie. Bukan untuk membuktikan siapa yang hebat tetapi lebih kepada memberi peluang bagi mereka untuk menonjolkan bakat masing-masing kepada khalayak. "Inilah masanya juga buat peminat dan pencinta teater muzikal amnya untuk menonton sendiri kehebatan bakat anak-anak tempatan membintangi sebuah pementasan yang memiliki jenama gah di seluruh dunia," ujar Casey yang merancang untuk membawa dua pelakon Broadway terkenal, Idina Menzel dan Kristin Chenoweth dalam sebuah persembahan istimewa kelak. Berbicara mengenai latihan pula, Joanna selaku pengarah memberitahu, semuanya berjalan dengan baik dan sesi latihan pun sudah memasuki minggu kesembilan. Katanya, walaupun cabaran yang digalas itu memang cukup besar dan hebat, namun, berkat kesabaran serta dedikasi semua pelakon, segala yang dirancang menunjukkan hasil yang positif. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan