Ahad, 16 Februari 2014

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Mata pencarian nelayan terjejas

Posted: 15 Feb 2014 10:12 AM PST

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
pengarang@utusan.com.my

Asmadi Jidin (tengah) ditemani Osni Sulong (kiri) dan Shukor Ismail menunjukkan Sungai Plentong yang dipenuhi sampah-sarap di Kampung Plentong Tengah, Johor Bahru, kelmarin.

JOHOR BAHRU 15 Feb. - Sejumlah 38 nelayan dari Kampung Plentong Tengah di sini mendakwa hampir hilang mata pencarian akibat pencemaran disebabkan pembuangan sampah-sarap di Sungai Plentong yang berlarutan selama setahun dan menjadi semakin meruncing sejak minggu lalu.

Ketua Nelayan Kampung Plentong Tengah, Asmadi Jidin, 68, berkata, warna air sungai berubah menjadi hitam dan menghasilkan selut yang luar biasa selain bau busuk, dipercayai pembuangan sampah sarap oleh penduduk.

"Ia mengakibatkan aktiviti menangkap udang dan ikan terjejas, malah sejak seminggu lalu air terlalu kotor. Jika dulu kami dapat bawa balik sehingga lapan kilogram udang dan ketam, sekarang ini mahu mendapatkan sekilogram pun sukar walaupun bekerja dari pagi sampai ke petang," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dia yang menetap di kawasan tersebut sejak 40 tahun lalu berkata, pencemaran memburukkan lagi keadaan kerana sebelum ini hasil tangkapan telah pun berkurangan disebabkan penambakan pasir dan penebangan hutan bakau di situ.

Osni Sulong, 48, yang menjadi nelayan sejak di usia remaja berharap pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Alam Sekitar dapat memberi perhatian terhadap permasalahan yang berlaku sebelum melarat.

"Sungai bertambah keruh ketika paras sungai mulai surut dan dikhuatiri menjadi semakin teruk sekiranya tindakan pembersihan tidak dilakukan segera. Golongan nelayan berharap pencemaran yang berlaku mendapat perhatian sewajarnya dari pihak berwajib agar tidak berterusan," katanya.

Sementara itu rakannya, Shukor Ismail, 57, memberitahu, kebanyakan mereka kini terpaksa bergantung kepada wang simpanan untuk meneruskan kehidupan.

"Kami berharap masalah ini dapat diselesaikan segera agar nelayan di sini dapat meneruskan aktiviti menangkap ikan seperti biasa.

"Masalah ini bukan sahaja berlaku pada nelayan Kampung Plentong Tengah, tetapi juga mereka yang bekerja sebagai nelayan di kampung-kampung sekitar sini," katanya.

Punca ikan mati di Tg. Kupang diketahui minggu depan

Posted: 15 Feb 2014 10:13 AM PST

JOHOR BAHRU 15 Feb. - Punca pencemaran yang menyebabkan beratus-ratus ikan mati di sekitar Tanjung Kupang di sini bakal diketahui seawal minggu depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Johor, Ismail Mohamad.

Beliau berkata, pihaknya kini masih menunggu laporan sampel air dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi mengenal pasti punca sebenar yang menyebabkan kematian ikan secara besar-besaran itu.

"Kita dah minta LKIM dan JAS mengambil sampel air dan menilai apakah sebab berlakunya kejadian itu. Adakah akibat daripada penambakan atau sebab-sebab pencemaran lain," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Khamis lepas, kira-kira 10 kolam ternakan ikan dan 250 nelayan tradisional dilaporkan mengalami kerugian akibat ikan mati yang dipercayai berpunca daripada kerja-kerja penambakan tanah luar pesisir.

Singapura juga dilaporkan mengalami masalah yang sama iaitu kematian ikan secara besar-besaran tetapi punca kejadian masih belum dikenal pasti.

Ismail berkata, setelah laporan sampel air itu diterima, kerajaan negeri akan mengenal pasti bantuan yang boleh diberi kepada nelayan-nelayan ini bagi meringankan beban kerugian mereka.

"Antaranya skim bantuan untuk membaik pulih ternakan ikan atau bantuan dari segi benih ikan," katanya.

Bagaimanapun, sekiranya punca pencemaran disebabkan kerja-kerja penambakan, kerajaan negeri akan memastikan pihak bertanggungjawab memberi pampasan yang sewajarnya kepada penternak dan nelayan terlibat. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Bomba pantau kebakaran Gunung Tempurung

Posted: 16 Feb 2014 02:38 AM PST

KAMPAR 16 Feb. - Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak terus memantau kawasan Gunung Tempurung di Kampung Sungai Siput Selatan yang terbakar sejak Jumaat.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Ruhisha Haris berkata, sebahagian daripada kawasan kebakaran seluas 1.6 hektar itu telah padam dengan sendiri.

"Tetapi kebakaran merebak ke sebelah kiri gunung pula dan ini melibatkan kawasan seluas 0.8 hektar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, katanya hujan yang turun petang ini diharap dapat memadamkan api.

Beliau berkata, anggotanya telah meninjau di kawasan terlibat untuk melakukan penghalang api bagi mengelak kebakaran merebak ke gunung berhampiran.

Katanya, permukaan gunung yang sangat curam serta berbahaya menghalang anggota bomba daripada menghampiri kawasan kebakaran. - BERNAMA

Bekalan air di Kota Damansara pulih pagi esok

Posted: 16 Feb 2014 02:36 AM PST

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Gangguan bekalan air di beberapa tempat di Kota Damansara akibat paip pecah di Persiaran Surian di sini semalam, dijangka berakhir pagi esok.

Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Priscilla Alfred berkata, kontraktor yang dilantik pihak terlibat kini membuat kerja pembaikan.

"Apabila selesai, bekalan air akan disambung secara berperingkat mulai tengah malam ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Priscilla berkata, insiden kira-kira 10.15 pagi itu menjejaskan bekalan air di beberapa kawasan seperti Seksyen 11, 12, 13, 14, 19, 20, 21, SS1, SS2, SS3, SS4, SS5, SS6, SS7, Zon Perdagangan Besas (FTZ) SS8, SS9, SS9A, Sg Penchala, Kampung Kayu Ara, Universiti Malaya dan Setiapuspa. - BERNAMA

Kematian nahas jalan raya di Johor meningkat

Posted: 16 Feb 2014 01:28 AM PST

JOHOR BAHRU 16 Feb. - Jumlah kematian akibat nahas jalan raya di Johor meningkat kepada 1,133 orang pada tahun lepas berbanding 1,073 pada tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Dr. Tam Teng Wah berkata, penunggang dan pembonceng motosikal kekal penyumbang tertinggi dengan 695 kes berbanding 648 pada 2012.

"Ini diikuti oleh pejalan kaki sebanyak 77 kes pada 2013 berbanding 64 kes sebelumnya," katanya berucap semasa pelancaran kempen pejalan kaki di sini hari ini.

Angka itu katanya, membimbangkan kerana menunjukkan pejalan kaki kurang kesedaran mengenai keselamatan jalan raya.

"Kebanyakan mereka tidak mematuhi lampu isyarat lalu lintas dan tergesa-gesa untuk melintas jalan dan ini menjadi punca utama kepada kes kematian dalam kalangan pengguna jalan raya," katanya.

Beliau memberi contoh di Jepun yang penduduknya amat mematuhi lampu isyarat.

"Walaupun kenderaan kurang, mereka akan tunggu lampu isyarat bertukar warna hijau sebelum melintas," katanya. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Perpaduan bentuk negara aman - MB

Posted: 15 Feb 2014 10:13 AM PST

Oleh AINAA MARDHIAH
MOHD. GHAZALI
utusanN9@utusan.com.my

Mohamad Hasan menyampaikan sijil kemahiran jiran wanita kepada seorang penduduk dalam majlis perasmian bangunan Kawasan Rukun Tetangga Taman Tuanku Jaafar, Fasa Tiga, dekat Seremban, semalam.

SEREMBAN 15 Feb. - Perpaduan antara kaum perlu menjadi benteng pertahanan masyarakat di Malaysia bagi membentuk sebuah negara yang aman serta disegani oleh pihak luar.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, masyarakat yang bersatu padu akan hidup dalam keadaan harmoni dan sejahtera.

"Negara yang aman sejahtera adalah disebabkan oleh persefahaman antara penduduk setempat di samping menyatupadukan masyarakat khususnya di kawasan kejiranan.

"Oleh yang demikian, jangan kita pandang ringan isu perpaduan terutama negara kita yang berbilang kaum ini dan jangan sesekali kita dengar hasutan orang yang mahu melihat kita berpecah-belah, jangan kita dengar cakap orang yang nak lihat kita bergeseran," tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Bangunan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Tuanku Jaafar, Fasa Tiga di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Mohd. Ghazali Abd Wahid dan Pegawai Daerah Seremban, Hasnul Mohamed.

Dalam pada itu, Mohamad menyarankan warga KRT menjadi jentera yang boleh berfungsi di peringkat akar umbi bagi memastikan masyarakat sentiasa diberi perhatian sewajarnya.

"KRT juga perlu berperanan untuk pastikan masyarakat dalam keadaan sejahtera, sihat serta selamat dan dalam masa yang sama menjadi tempat kebergantungan masyarakat.

"Jika ada masalah kemasyarakatan jangan dipendam, beritahu kepada wakil rakyat segala isu yang timbul agar dapat diselesaikan dengan kadar segera," ujarnya.

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan hadiah cabutan bertuah serta sijil kemahiran jiran wanita kepada penduduk terlibat.

URB respons lebih cepat

Posted: 15 Feb 2014 10:13 AM PST

Chuah Ghee Lye mencuba motosikal unit rondaan di IPK Melaka, kelmarin.

MELAKA 15 Feb. - Polis negeri yakin dapat memberikan respons lebih cepat dan meluas terhadap sesuatu kes jenayah yang berlaku terutamanya di kawasan perumahan dan industri dengan wujudnya Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, skuad elit bermotosikal yang baharu diperkenalkan di seluruh negara itu diwujudkan dalam usaha memastikan tugas rondaan dapat dijalankan dengan lebih lancar dan berkesan.

Menurutnya, dengan wujudnya skuad URB ini, jangkaan masyarakat terhadap kesannya dalam menangani kejadian jenayah juga adalah tinggi.

"Justeru dengan terbentuknya URB di negeri ini, kita amat mengharapkan ia dapat memberi impak positif dalam membendung jenayah.

"Ia juga diharap dapat membantu dalam mengurangkan ketakutan terhadap jenayah di kalangan masyarakat seterusnya meningkatkan tahap keyakinan masyarakat kepada polis," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis Penutup Latihan Dalam Perkhidmatan Pengendalian Motosikal URB di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Bukit Beruang, di sini semalam.

Dalam majlis itu, sebanyak 51 pegawai dan anggota dipilih menjalani latihan pengendalian motosikal jenis Kawasaki Ninja 250 berkenaan.

Kesemua 51 buah motosikal tersebut akan diagihkan ke tiga daerah secara sama rata bagi membolehkan tugas rondaan dijalankan dengan lebih berkesan.

Sebelum ini jelas Ghee Lye, unit rondaan hanya memberi tumpuan terhadap kawasan bandar raya terutamanya pusat pelancongan namun kurang dilakukan di kawasan perumahan serta industri seperti kilang dan sebagainya.

"Oleh yang demikian, URB akan memberi fokus terhadap kawasan perumahan dan kilang kerana kes jenayah di kawasan tersebut semakin meningkat," katanya.

Selain itu tambah beliau, pelbagai latihan lain turut akan diberikan kepada anggota URB dari semasa ke semasa seperti berinteraksi dengan masyarakat serta tindakan yang perlu diambil dalam menangani jenayah.

Katanya lagi, impak penggunaan URB ini turut akan dilihat dan dikaji dan jika ia memberi kesan yang amat baik terhadap usaha mengurangkan jenayah maka jumlahnya akan ditambah.

Panggilan kebakaran meningkat di Melaka

Posted: 15 Feb 2014 10:13 AM PST

MELAKA 15 Feb. - Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri mencatat peningkatan panggilan kebakaran mencecah 50 panggilan sehari sejak cuaca panas yang melanda seluruh negara kebelakangan ini.

Pengarahnya, Zainuddin Md. Alip berkata, purata panggilan yang diterima sepanjang bulan ini adalah antara 30 hingga 50 panggilan sehari.

Menurutnya, daripada statistik yang dicatatkan, panggilan berkaitan kes kebakaran di negeri ini meningkat melebihi 500 peratus berbanding hanya lima hingga lapan panggilan sahaja dalam sehari sebelum ini.

"Daripada jumlah panggilan yang diterima, 90 peratus membabitkan kebakaran terbuka seperti lalang, belukar, hutan, kebun, pokok dan sebagainya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam menjalankan aktiviti harian kerana kebakaran terbuka ini boleh merebak dengan cepat ke bangunan hingga mampu menyebabkan kehilangan harta benda dan nyawa jika tidak dikawal.

Sementara itu beliau menjelaskan, pihaknya sentiasa membuat persiapan bagi menghadapi musim panas yang berpanjangan di negeri ini.

Ujarnya, JBPM Melaka sentiasa dalam kesiapsiagaan yang tinggi menghadapi semua kecemasan termasuklah kebakaran terbuka.

Beliau berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa punca bekalan air terbuka yang boleh digunakan jika berlakunya bencana terutama kebakaran hutan, lalang dan sebagainya.

Selain itu, persiapan seperti peralatan pam angkut, pam flooting dan kelengkapan lain yang boleh digunakan dalam kebakaran terbuka telah disedia di setiap balai bomba," tambahnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Perlis hargai sumbangan sukarelawan

Posted: 15 Feb 2014 10:13 AM PST

Azlan Man (berdiri, depan, enam dari kanan) bersama penerima anugerah ketika hadir menyempurnakan Majlis Perhimpunan Sukarelawan Kebajikan JKM Peringkat Negeri Perlis di Rumah

KANGAR 15 Feb. - Kerajaan negeri amat menghargai sumbangan sukarelawan kebajikan Insan Hati Penyayang kerana peranan dilaksanakan seiring dengan objektif kerajaan mewujudkan masyarakat prihatin dan penyayang.

Menteri Besar, Azlan Man berkata, kumpulan tersebut telah banyak berusaha memberi kesedaran dan bimbingan kepada masyarakat berhubung soal kebajikan dan gejala tidak sihat.

Penglibatan secara sukarela ini menunjukkan bahawa individu di dalam masyarakat perlu mengambil tahu kebajikan dan masalah individu lain supaya masalah dapat diatasi secara bersama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Perhimpunan Sukarelawan Kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Peringkat Negeri Perlis di Dewan Pak Sheikh Ahmad, Rumah Anak Yatim Mak Teh Perlis di Bintong di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Rela Ahmad dan Timbalan Pengarah 1 JKM, Ku Chik Ku Mat Isa.

Azlan turut menyampaikan anugerah Sukarelawan Lelaki Cemerlang kepada jurugambar Bernama, Mohd. Effendy Harun, 37, manakala Norma Ahmad, 56, muncul sebagai Sukarelawan Wanita Cemerlang.

Mohd. Effendy yang bergiat aktif dalam kerja kesukarelaan JKM sejak 2010 turut menerima anugerah Sukarelawan Pasangan Ideal bersama isterinya, Zaonah Hamisan, 37.

Kedah cukup bekalan air

Posted: 15 Feb 2014 10:13 AM PST

SUNGAI PETANI 15 Feb. - Paras air di empat empangan di Kedah masih mampu menampung keperluan bekalan di negeri itu, sama ada untuk kegunaan domestik mahupun komersial.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Badrol Hisham Hashim berkata, bagaimanapun terdapat kawasan mengalami tekanan air rendah dan Syarikat Air Darul Aman (Sada) menghantar lori tangki ke kawasan berkenaan.

Amnya, paras air di Empangan Pedu, Muda, Ahning dan Beris belum kritikal, katanya selepas merasmikan Gotong-Royong Perdana Environment Idaman, Unit Perkhidmatan Sungai Petai di Masjid Haji Zainudin, Tanjung Dawai, dekat sini hari ini.

Badrol Hisham berkata, Rabu ini kerajaan negeri akan bermesyuarat dengan jabatan dan agensi berkaitan termasuk Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Lembaga Sumber Air Negeri Kedah mengenai bekalan dan sumber air di negeri itu.

Keadaan kemarau ini mungkin sekejap dan mungkin juga berlarutan. Justeru saya menyeru semua rakyat agar berjimat cermat bila menggunakan air kerana bimbang masalah air akan berlaku jika kemarau berpanjangan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Badrol Hisham berkata, tahap kebersihan di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) menunjukkan peningkatan, namun perlu ditingkatkan khususnya di kawasan tumpuan pelancong.

Tahap kebersihan di semua PBT meningkat tetapi perlu ditingkatkan lagi dan program seperti gotong-royong perdana ini, secara tidak langsung akan meningkatkan kesedaran penduduk mengenai pentingnya kebersihan," katanya.

Program gotong-royong yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Environment Idaman Sdn. Bhd., Mhd. Saiful Anuar Zainal itu turut melibatkan Kolej Jururawat Sungai Petani, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Sungai Petani, Majlis Perbandaran Sungai Petani, Universiti Teknologi Mara Merbok, Kem Pusat Latihan Khidmat Negara Damai Park Merbok, dan syarikat-syarikat korporat. - BERNAMA

SPNB bina 1,259 rumah mampu milik di Kedah

Posted: 15 Feb 2014 10:13 AM PST

GURUN 15 Feb . - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berjaya membina 1,259 unit rumah baharu menerusi konsep Rumah Mampu Milik (RMM) di negeri ini menerusi tiga projek bermula 2007 sehingga kini.

Pengerusi SPNB, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, antara projek itu adalah fasa pertama Taman Universiti Jaya di Kuala Muda yang merangkumi 421 buah unit.

Menurutnya, projek kedua melibatkan 479 unit di Taman Kulim Utama, Padang China di Kulim dan berjaya mendapat sijil layak menduduki pada Januari tahun lalu.

"Projek ketiga di Taman Permai Utama Fasa Pertama di Jalan Jeniang. Sebanyak 359 disiapkan dan kunci akan diserahkan," katanya dalam Majlis Penyerahan Kunci Fasa Pertama dan Pendaftaran Pembelian Fasa Kedua Projek Taman Permai Utama yang disempurnakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di sini kelmarin.

Abdul Latiff berkata, projek RMM Taman Permai Utama Fasa Pertama itu merangkumi rumah teres kos rendah setingkat, teres kos sederhana setingkat, teres kos sederhana dua tingkat, rumah berkembar setingkat dan rumah berkembar dua tingkat.

"Harga jualan rumah teres kos rendah setingkat adalah tidak melebihili RM90,000 sementara rumah berkembar dua tingkat pula tidak melebihi RM320,000," katanya.

Beliau memberitahu, pembinaan RMM oleh SPNB bertujuan menangani masalah pembeli pada masa kini iaitu peningkatan harga secara mendadak di pasaran.

"SPNB memainkan peranan dengan memastikan harga rumah yang kita jual jauh lebih rendah berbanding pemaju swasta yang lain," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, SPNB telah membina sebanyak 18,840 unit rumah yang merangkumi 35 projek RMM di seluruh negara setakat ini.

"Sehingga hari ini hanya tinggal empat lagi projek pembinaan yang berada dalam peringkat pembinaan manakala selebihnya sudah disiap dan kebanyakannya diduduki," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Teresa perlu pikul tanggungjawab

Posted: 15 Feb 2014 10:12 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

8,000 pesawah dijangka terjejas

Posted: 15 Feb 2014 10:12 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Budak maut dirempuh gajah

Posted: 15 Feb 2014 10:12 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rekreasi

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Bersantai di Villa Sentosa

Posted: 15 Feb 2014 05:03 AM PST

KESIBUKAN di kota membuatkan sesiapa sahaja akan menggunakan peluang untuk beriadah bagi membebaskan fikiran yang agak serabut dengan hal kerja di pejabat.

Peluang sedemikian digunakan oleh penulis bersama beberapa rakan untuk menyertai program berkaitan Tahun Melawat Malaysia 2014 yang berlangsung di Kampung Morten, Melaka baru-baru ini.

Perasaan bosan menempuh perjalanan yang memakan masa kira-kira dua jam menggunakan Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) dari Kuala Lumpur terus dilupakan sebaik sahaja kami tiba di Kampung Morten.

Kampung tersebut merupakan satu-satunya kampung yang terletak di tengah-tengah bandar raya bersejarah ini.

Tatkala memasuki kawasan Kampung Morten, terasa seperti berada di kampung halaman sendiri. Hiasan setiap ruang rumah begitu unik dan seperti biasa, rumah kampung kebiasaannya dipenuhi dengan pokok bunga yang merimbun dengan tujuan menghiasi halaman rumah.

Kampung ini dianggap sebagai muzium hidup memandangkan ramai penduduknya masih mengamalkan cara hidup yang tidak banyak berubah, selain mempamerkan keunikan reka bentuk dan rekaan rumah masing-masing.

Sewaktu penulis tiba di Villa Sentosa, melangkah sahaja masuk ke kawasan vila itu membuatkan hati terasa girang dan tenang, seolah-olah pulang ke kampung halaman untuk berhari raya bersama sanak saudara.

Kehadiran penulis dan rakan-rakan lain disambut meriah oleh penduduk setempat yang diketuai oleh kurator muzium hidup Villa Sentosa, Abdul Rahim Hashim iaitu anak kepada pengasas Kampung Morten, Hashim Datuk Demang Abdul Ghani.

Dalam pada itu, penduduk kampung telah menganjurkan pelbagai aktiviti untuk kami seperti menganyam ketupat dan membuat kuih Buah Melaka. Setelah selesai, kami bersantai di kawasan sekitar sambil menikmati kuih yang sinonim dengan nama negeri Melaka itu.

Jujur penulis katakan, kali pertama menjamah kombinasi dua juadah istimewa iaitu kuih Buah Melaka dan teh O lemon suam dalam satu masa membuatkan selera penulis bertambah.

Penduduk Villa Sentosa sememangnya kreatif melayan tetamu, sekali gus ia menggamit seribu memori yang tidak boleh penulis lupakan sampai bila-bila.

- RABIATUL ADAWIYAH ZAKARIA

Bertemu semula di Sungai Chiling

Posted: 15 Feb 2014 05:03 AM PST

AIR Terjun Sungai Chiling kini menjadi santuari ikan kelah dan tumpuan pengunjung pada cuti hujung minggu.

AIR Terjun Sungai Chiling yang terletak di Kuala Kubu Bharu merupakan antara khazanah alam paling indah yang terdapat di bumi Selangor Darul Ehsan.

Bagi yang pernah berkunjung ke sana, sudah tentu tidak akan melupai keindahan serta kedamaian suasananya.

Malah cabaran yang terpaksa ditempuhi untuk sampai ke lokasi itu juga sudah tentu kekal dalam kotak memori.

Bagi pencinta alam, lokasi ini sudah tentu disenaraikan sebagai salah satu lokasi wajib untuk diterokai. Maklumlah laluannya tidaklah begitu sukar.

Baru-baru ini, enam sekawan yang diketuai oleh Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Usuldin, 29, memilih lokasi tersebut untuk menyambut majlis pertemuan semula (reunion) bersama rakan sekuliah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Ia sekali gus mengisi aktiviti pengembaraan di hujung minggu.

Dari Kuala Lumpur, kami hanya mengambil masa selama satu jam setengah untuk sampai ke Kuala Kubu Bharu yang terletak kira-kira 63.8 kilometer dari ibu kota.

Sampai sahaja di Empangan Sungai Selangor, pengembaraan kami pun diteruskan dengan menyeberangi jambatan gantung dan berjalan kaki melalui denai hutan yang sudah tersedia.

Sebelum meneruskan perjalanan ke air terjun itu, kami terlebih dahulu mendirikan khemah di tapak perkhemahan yang disediakan oleh pihak Jabatan Perikanan Daerah Hulu Selangor. Lokasi perkelahan di Sungai Chiling sebenarnya terletak di bawah pengawasan jabatan tersebut kerana terdapat santuari ikan kelah di situ.

Mujurlah pada waktu itu tidak ramai pengunjung, maka lokasi pilihan kami sudah tentu yang paling strategik iaitu berdekatan dengan jambatan gantung di situ.

Selepas mendirikan khemah, kami pun berjalan menempuh laluan denai, anak sungai dan kemudian mengharungi sungai yang airnya agak deras paras lutut untuk sampai ke lokasi air terjun.

Untuk sampai ke sana, laluan yang ditempuh tidaklah sukar, cuma kami terpaksa menyeberangi sungai yang sama sebanyak lima kali.

Perlu diingatkan jika hujan lebat, paras air di sungai tersebut boleh mencapai sehingga ke paras pinggang dan arusnya juga boleh bertukar ganas.

Selepas berjalan selama sekitar sejam, kami tiba di lokasi air terjun yang cantik dengan kolam sederhana besar.

Penat kami pada masa itu sedikit sebanyak hilang selepas menikmati makan tengah hari yang dibawa dari tapak perkhemahan. Kami juga sempat mandi manda di air terjun tersebut.

Walaupun hanya menikmati hidangan ringkas, namun ia sudah cukup untuk mengalas perut.

Selepas makan, kami berpatah balik ke tapak perkhemahan dan sekali lagi, kami perlu menyeberangi lima kali sungai yang sama.

Namun dalam perjalanan pulang, kami singgah di sebuah lokasi air terjun yang lebih rendah. Di situ, suasananya jauh lebih sunyi daripada air terjun yang menjadi tumpuan pengunjung tadi. Malah, kami merasakan lokasi ini lebih sesuai untuk aktiviti berkelah.

Disebabkan hari seperti mahu hujan, kami tidak berada lama di situ dan berpatah balik ke tapak perkhemahan dengan kadar segera.

Dalam pada itu, kami tidak dapat mengelak daripada ditimpa hujan dan terpaksalah kami meredah sungai yang semakin besar airnya.

Oleh kerana tidak mahu menanggung risiko dihanyutkan arus deras sungai, maka kami terpaksa berteduh di tepi sungai selama beberapa jam. Kami melepak di situ sehingga hujan reda dan paras air sungai kembali normal.

Memandangkan hari semakin gelap, kami kemudian bergegas pulang ke tapak perkhemahan. Alhamdulillah, perjalanan kami berakhir dengan selamat dan pada malamnya, kami tidur begitu lena kerana kedinginan yang mencengkam tulang.

Berbekalkan suasana damai berlatar belakang bunyi unggas yang sangat mengasyikkan, kami dibuai mimpi sehingga keesokan harinya.

Menjelang pagi, kami meneruskan aktiviti riadah di tepi Sungai Chiling termasuk menyaksikan ikan kelah berlari-lari di dalam sungai yang jernih.

Panorama itu sungguh mengasyikkan sehingga tidak sedar mentari semakin tinggi. Aktiviti memasak pun dijalankan untuk menyiapkan hidangan tengah hari. Sambil memasak, ada dalam kalangan kami mengambil kesempatan terjun ke dalam sungai yang jernih dan sejuk airnya sampai ke tulang sum-sum.

Tubuh kembali segar selepas berendam agak lama di dalam sungai ini.

Selepas menikmati hidangan tengah hari di tepi sungai, kami pun mengambil kesempatan untuk berehat sambil berbual-bual, maklumlah ada di antara kami sudah lama tidak bersua muka.

Apa yang pasti, pengalaman menikmati keindahan alam dan keseronokan berkhemah bersama rakan sekuliah yang dijalankan sepanjang dua hari satu malam ini tidak akan dilupai selagi nyawa dikandung badan.

Kredit: www.utusan.com.my

Sabtu, 15 Februari 2014

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Selangor tumbang, Terengganu rampas takhta

Posted: 15 Feb 2014 10:12 AM PST

PEMAIN pertahanan JDT, Baihakki Khaizan menanduk masuk gol pertama JDT walaupun cuba dihalang oleh pertahanan Selangor, K. Gurusamy dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru malam tadi. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI

KUALA LUMPUR - Takhta Liga Super kembali beralih tangan dengan Terengganu merampas daripada Selangor selepas menewaskan juara Piala Malaysia musim lalu, Pahang dengan keputusan 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam tadi.

Kejayaan skuad Penyu itu untuk berada di puncak liga turut dibantu dengan kekalahan Red Giants 1-4 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos.

Beraksi di hadapan lebih 10,000 penyokong, Terengganu memanfaatkan sepenuhnya kelebihan selaku tuan rumah apabila mendominasi sebahagian besar aksi perlawanan khususnya pada babak pertama.

Gol pertama tuan rumah hadir pada minit ke-20 apabila sepakan bebas dari luar kotak penalti yang diambil oleh pemain tengah, Mario Karlovic melantun sebelum menerjah jaring pelawat dan hanya mampu diperhatikan oleh penjaga gol, Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid.

Anak-anak buah Abdul Rahman Ibrahim menggandakan kelebihan pada minit ke-69 apabila ketua pasukan, Ismail Faruqi Ash'ari mudah menolak masuk umpanan penyerang, Norfarhan Mohamad walaupun pertahanan Pahang cuba membantah jaringan tersebut kerana mendakwa pemain tersebut berada dalam keadaan ofsaid.

Di Larkin, JDT menunjukkan taring sebenarnya dan terlalu gagah buat Selangor apabila masih berupaya menjaringkan empat gol meskipun beraksi tanpa beberapa pemain tonggak seperti Pablo Aimar dan Aidil Zafuan yang mengalami kecederaan.

Tuan rumah memperoleh gol pertama pada minit kesepuluh menerusi tandukan kapten pasukan malam tadi, Baihakki Khaizan yang terus menerjah ke gawang gol dan jaringan kedua melalui tandukan seorang lagi pemain dari Singapura, Harris Harun pada minit ke-33.

Anak buah Mehmet Durakovic terus hampa apabila JDT memperoleh gol ketiga pada minit ke-52 menerusi penyerang dari Argentina, Luciano Figueroa hasil hantaran Amri Yahyah dan pemain pertahanan, Mohd. Fadhli Shas turut meletakkan diri selaku penjaring pada minit ke-59.

The Red Giants akhirnya memperoleh gol saguhati menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Paulo Rangel pada minit ke-59 namun sudah terlewat buat Selangor untuk mengelak daripada kalah buat kali kedua selepas lima perlawanan.

Kelantan naik ke tangga kedua Liga Super selepas mudah membenam T-Team dengan keputusan 3-0 di Stadium Sultan Muhammad IV dengan pemain dari Mesir, Mohamed Shawky Ali membuka tirai jaringan pada minit ke-32.

The Red Warriors berada dalam kedudukan selesa dengan dua lagi jaringan melalui ketua pasukan, Mohd. Badhri Mohd. Radhzi pada minit ke-44 dan Mohammed Ghaddar, pada minit ke-84 sekali gus mengutip kemenangan ketiga pada musim ini.

Jaringan tunggal penyerang Serbia, Milorad Janjus pada minit ketujuh memastikan Sarawak meraih kemenangan ketiga musim ini menerusi kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak tetapi kehilangan Junior Eldstal yang dibuang padang pada minit ke-70. Pengadil, Sukri Abdul Rahman turut melayangkan lapan kad kuning.

Di Stadium MP Selayang, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kempunan untuk meraih tiga mata penting apabila dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Lions XII walaupun The Gladiators terlebih dahulu di hadapan pada minit keempat melalui Amiridzwan Taj.

Jurulatih Lions, Fandi Ahmad mengubah percaturan pada babak kedua yang membawa hasil apabila Khairul Amri menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-47 sebelum Afiq Yunos membuatkan anak-anak buah B. Sathianathan tertunduk layu apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit terakhir.

Gara-gara tulisan doktor

Posted: 15 Feb 2014 10:12 AM PST

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Gara-gara tulisan doktor yang kurang difahami telah menyebabkan surat pertuduhan kepada pemimpin tinggi Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), yang didakwa terlibat dalam kekecohan di Larkin ketika perlawanan Piala FA awal bulan ini lewat daripada dikeluarkan.

Menurut sumber, Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terpaksa meminta pengurusan T-Team menghantar laporan perubatan doktor yang memeriksa pemainnya, Evaldo Goncalves dan jurulatih kecergasan pasukan, Stefano Impagliazzo sekali lagi, kali ini secara bertaip dan bukannya tulis tangan.

Goncalves dan Impagliazzo telah membuat laporan polis, bahawa mereka dikasari oleh pemimpin tinggi PBNJ di dalam terowong ketika menuju ke bilik persalinan pemain sewaktu pertemuan T-Team dengan Johor Darul Ta'zim dalam pusingan kedua Piala FA berhenti rehat. Mereka turut mendapatkan pemeriksaan doktor.

Namun, selepas sepuluh hari semenjak FAM meminta laporan perubatan berkenaan, T-Team masih belum memberikan maklum balas yang menyebabkan masih tiada sebarang dakwaan dapat dilakukan ke atas pengawai tinggi PBNJ itu.

Sumber itu memberitahu, laporan doktor berkenaan cukup penting buat Jawatankuasa Tatatertib kerana laporan itu boleh menentukan Kod Tatatertib bersesuaian yang akan digunakan untuk mendakwa pemimpin tinggi PBNJ itu.

"Mengenai surat pertuduhan (ke atas pemimpin PBNJ terlibat), saya difahamkan sudah hampir siap dan telah mendapat maklum balas daripada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin (Mohd. Amin) serta Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib (Datuk Taufek Abdul Razak), cuma laporan doktor yang memeriksa Evaldo dan Stefano yang melambatkan.

"Tulisan tangan doktor berkenaan sukar difahami, jadi sukar untuk menentukan pertuduhan itu dikeluarkan di bawah akta yang mana.

"Saya difahamkan Jawatankuasa Tatatertib telah meminta T-Team agar mendapatkan laporan doktor secara menaip. Ini adalah satu amalan biasa jika di dalam mahkamah sekali pun, tetapi masalahnya pihak T-Team sehingga hari ini belum menghantar laporan yang diminta, itu sebab kes ini lambat dibicarakan," kata sumber itu ketika ditemui Mingguan Malaysia.

Berdasarkan Kod Tatatertib yang termaktub, individu yang menyerang Evaldo atau Stefano boleh didakwa di bawah tiga pertuduhan berbeza iaitu Perkara 2.4, iaitu melakukan serangan secara fizikal tetapi tidak memberikan sebarang kecederaan.

Dua lagi pertuduhan ialah di bawah Perkara 2.5 iaitu melakukan serangan secara fizikal serta mendatangkan kecederaan atau Perkara 2.6 iaitu melakukan serangan secara fizikal dan membuatkan mangsa mendapat kecederaan parah.

Selain itu, sumber berkenaan memberitahu pihak PBNJ juga akan dikeluarkan surat pertuduhan atas kegagalannya mengawal keamanan semasa pemain T-Team menuju bilik persalinan.

"Mengenai kawalan keselamatan secara keseluruhan, dijangka satu lagi surat pertuduhan akan dikeluarkan kepada PBNJ kerana tidak mampu menghalang kekecohan daripada berlaku," katanya.

Sebelum ini, Hamidin memberitahu wartawan pada Selasa lalu yang surat pertuduhan mengenai insiden Evaldo ditumbuk dan Stefano ditendang di bahagian kemaluan ketika menuju bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos hampir pasti akan dikeluarkan.

Perlawanan pusingan kedua Piala FA pada 1 Februari itu tidak dapat disambung untuk babak kedua apabila pemain T-Team enggan meneruskan permainan ekoran insiden berkenaan, sebelum Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) memutuskan untuk memberikan kemenangan 3-0 buat skuad Harimau Selatan.

Selain itu, isu pergaduhan penyokong yang membabitkan Pahang dan JDT di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 7 Februari dan kereta pengurus pasukan Perak dipecahkan di Larkin, juga akan disiasat oleh Jawatankuasa Tatatertib.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved