Ahad, 9 Februari 2014

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Sumber rezeki 200 nelayan terjejas

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

Oleh UMU HANI ASSAIDAH ABDULLAH
kota@utusangroup.com.my

PEMBUANGAN sisa toksik dari kilang kelapa sawit didakwa menjadi punca pencemaran Sungai Bernam, Sabak Bernam, semalam.

SABAK BERNAM 9 Feb. - Kira-kira 200 nelayan yang berpengkalan di Jambatan Muhibbah Changkat Jelutong, Belia Dua di sini hilang mata pencarian apabila Sungai Bernam yang menjadi lubuk rezeki mereka dicemari sisa pembuangan toksik sejak 1 Februari lalu.

Pencemaran yang didakwa berpunca daripada sebuah kilang kelapa sawit yang terletak kira-kira lima kilometer dari situ menyebabkan ratusan ikan mati.

Seorang nelayan Ahmad Ghazali Mat Amin, 58, mendakwa, sepanjang 30 tahun menjadi nelayan di kawasan terbabit, kejadian seumpama itu kerap berlaku namun pelepasan sisa toksik pada 1 Februari lalu adalah paling buruk.

Keadaan kali ini agak serius apabila air sungai berubah menjadi hitam dan menyebabkan kami tidak dapat turun ke sungai kerana kebanyakan hidupan sungai sudah mati akibat pencemaran itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahmad Ghazali menambah, dia yang merupakan individu paling lama menjadi nelayan di situ benar-benar terkilan dengan kejadian tersebut.

Keadaan air sungai tidak seperti sebelum ini. Dulu apabila turun ke sungai, saya tidak perlu bawa bekalan air kerana yakin untuk minum air sungai yang bersih namun kini keadaan sudah jauh berubah," ujarnya kesal.

Seorang lagi nelayan, Mohd. Rosli Alias, 54, pula memberitahu, dia pernah mengalami sakit perut serius selepas memakan ikan dipercayai berpenyakit yang diperoleh dari sungai berkenaan.

Selepas pulang dari menangkap ikan, saya makan ikan tersebut, malangnya saya sekeluarga mengalami cirit-birit," jelasnya.

Menurutnya, mujur dia belum menjual ikan terbabit kepada peraih sekali gus dapat mengelak perkara yang tidak diingini terjadi sekiranya ia dibeli oleh orang awam.

Seorang pengusaha bot sewa, Nazaruddin Sardi, 35, berkata, sejak kejadian pencemaran itu, dia mengalami kerugian apabila pemancing tidak berkunjung ke kawasan terbabit selepas mengetahui sungai telah tercemar.

Sebelum ini, lebih sepuluh pemancing akan berkunjung dan menyewa bot saya untuk memancing di sekitar Sungai Bernam namun selepas kejadian pencemaran ini, jumlah mereka yang datang semakin berkurangan," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang, Budiman Mohd. Zohdi memberitahu, pihaknya akan bertemu dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membincangkan masalah pencemaran tersebut.

Kita mahu JAS mengesahkan tahap pencemaran kualiti air sungai terbabit bagi mengelak sesuatu yang buruk terjadi sekiranya kegiatan penangkapan hasil sungai masih dilakukan tanpa mengetahui keadaan sungai yang sebenar," katanya.

PPR Raya Permai akan dinaik taraf tahun ini

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) dan Rizalman Mokhtar (tiga dari kiri) menyertai gotong-royong pada Majlis Kenduri 1Wilayah Persekutuan di PPR Raya Permai, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/ AZLAN HADI ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Kementerian Wilayah Persekutuan telah meluluskan cadangan untuk melaksanakan pembangunan dan menaik taraf Projek Perumahan Rakyat (PPR) Raya Permai, Sungai Besi dekat sini.

Kerja-kerja tersebut akan melibatkan penurapan jalan, menaik taraf surau, pembinaan tempat letak kereta bertingkat, dewan serbaguna dan penyusunan semula gerai-gerai penjaja di kawasan itu.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kerja-kerja yang akan dilaksanakan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dijangka bermula pada tahun ini.

"Kita akan menyelesaikan semua permohonan daripada penduduk berhubung masalah yang dihadapi. Kita akan menurap semula jalan di kawasan ini yang saya lihat daif dan mendap. Selain itu, penduduk juga menghadapi masalah tempat letak kereta.

"Kerja-kerja pembesaran surau untuk menempatkan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain, pembinaan kemudahan dewan serbaguna, gelanggang sukan dan gerai makan akan dilaksanakan demi memastikan keperluan dan keselesaan para penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kenduri 1Wilayah Persekutuan di Taman Herba, PPR Raya Permai, Sungai Besi dekat sini hari ini.

Yang turut hadir isterinya, Datin Seri Anggraini Sentiyaki; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md. Ikshan; Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar; Ketua MCA Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Chew Yin Keen dan Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan, Datuk A. Chandrakumanan.

Tengku Adnan memberitahu, kos untuk penurapan jalan dan menaik taraf surau melibatkan perbelanjaan sebanyak RM230,000.

Ujarnya, kos pembinaan tempat letak kereta bertingkat yang meliputi dewan, gerai makan dan gelanggang sukan akan ditentukan kemudian setelah cadangan serta pelan pembangunan diteliti.

Dalam pada itu, beliau berkata, program Kenduri 1Wilayah Persekutuan itu membolehkan pemimpin turun padang untuk berjumpa para penduduk dan menyelami masalah mereka.

"Melalui program ini, penduduk boleh menyuarakan apa yang mereka kehendaki dan ini konsep yang kita amalkan," ujarnya.

Program yang dianjurkan sejak tahun lalu sempena Hari Wilayah Persekutuan itu akan diadakan sehingga 23 Februari ini di 13 kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan.

Ia turut melibatkan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

RM2.3j baik pulih Taman Kejiranan Air Panas

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

BEBERAPA kanak-kanak bermain buih sabun selepas Majlis Pelancaran Sahabat Taman Kejiranan Air Panas di Setapak, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/ZAKARIA IDRIS
Ahmad Phesal Talib

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Sebanyak RM2.3 juta telah dibelanjakan untuk membaik pulih pelbagai kemudahan yang rosak akibat perbuatan vandalisme di kawasan Taman Kejiranan Air Panas, Setapak di sini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, sikap tidak bertanggungjawab segelintir orang awam menyebabkan pihaknya mengeluarkan peruntukan yang besar bagi kerja baik pulih.

"Peruntukan itu digunakan antaranya untuk membaik pulih padang bola sepak serta menambah kemudahan-kemudahan lain seperti pembinaan pagar.

"Selain itu, vandalisme mengakibatkan banyak kerosakan kepada peralatan permainan kanak-kanak, lampu taman, tandas awam, pagar dan lain-lain lagi," katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Sahabat Taman Kejiranan Ayer Panas, Setapak di sini semalam.

Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari dan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.

Sementara itu, Ahmad Phesal memberitahu, penubuhan Sahabat Taman tersebut merupakan inisiatif DBKL dalam membangunkan sesebuah taman awam yang boleh dikongsi manfaatnya oleh semua lapisan masyarakat di ibu negara.

"Taman ini merupakan salah satu daripada 15 taman awam utama yang telah dibangunkan oleh DBKL dengan keluasan kira-kira 14 hektar.

"Pelbagai proses dan halangan telah dilalui untuk mewartakan tanah sebagai taman awam. Justeru, orang ramai perlu menghargai dan menjaganya dengan baik kerana ia adalah untuk kegunaan mereka," katanya.

Taman Kejiranan Ayer Panas terletak berhampiran 11 buah sekolah menengah dan rendah serta tujuh Projek Perumahan Rakyat (PPR) antaranya PPR Sungai Bonus dan PPR Sri Semarak yang meliputi kira-kira 100,000 penduduk.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Dunia dan wanita cantik

Posted: 08 Feb 2014 08:11 AM PST

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Wanita kelahiran Venezuela, Maria Gabriela Isler dinobat sebagai Miss Universe 2013.

APAKAH itu kecantikan? Kata sasterawan Inggeris, John Keats "kecantikan ialah kebenaran, kebenaran ialah kecantikan. Itu sahaja yang kita tahu dan setakat itulah kita perlu tahu."

Sebenarnya kecantikan itu sesuatu yang sukar dijelaskan kerana ia terpulang kepada mata yang memandang. Jika kita melihat dunia perniagaan hari ini rata-rata mengkomersialkan wanita-wanita cantik untuk melariskan perniagaan.

Golongan ini dilihat berpeluang menceburkan diri dalam dunia pengiklanan dan mendapat habuan yang lumayan. Ini menyebabkan gaya hidup wanita-wanita cantik menjadi kegilaan serta fantasi bagi wanita lain yang merasakan diri mereka tidak cantik .

Wanita cantik sebenarnya boleh ditemui di mana-mana sahaja di seluruh pelosok dunia. Namun dalam kalangan 200 buah negara terdapat beberapa negara yang terkenal dengan wanita cantik.

Baru-baru ini, majalah Traveller's Digest telah melakukan kajian tentang negara-negara yang memiliki wanita cantik berdasarkan kualiti, kemesraan dan keramahan wanita negara tersebut. Negara-negara itu menjadi perhatian dan tarikan seluruh masyarakat dunia. Ada yang menganggap faktor kecantikan wanita dapat dilihat melalui bentuk mata dan bibir, ada pula yang merujuk kepada ketinggian.

Hakikatnya, kecantikan itu lahir daripada dalaman diri wanita tetapi ciri-ciri kecantikan itu dapat dilihat secara zahir dan ditonjolkan melalui ciri-ciri fizikal.

Wanita-wanita negara ini dikatakan mempunyai kecantikan semula jadi. Kecantikan asli wanita Colombia dapat dilihat dalam pertandingan ratu cantik yang dijalankan setiap tahun seperti Ratu Cantik Dunia dan Ratu Universe. Anda pasti teruja dengan kejelitaan wanita Colombia yang tiada tandingannya dan terserlah melalui penampilan. Mereka dilihat cukup bergaya dan dengan kelas tersendiri seperti kecantikan yang dimiliki peragawati antarabangsa, Sandra Valencia.

Bagi mereka yang ingin melihat wanita jelita yang tinggi lampai dengan mata warna perang, Denmark ialah negaranya. Denmark yang terletak di utara Eropah terkenal dengan kejelitaan tersendiri wanitanya. Sekiranya anda pernah melawat Copenhagen atau mana-mana bandar di Denmark, anda akan mengakui kisah wanita-wanita cantik di sana bukan retorik tetapi satu kenyataan.

Tambahan pula, Denmark merupakan negara yang masih mengekalkan ciri-ciri konservatif walaupun dalam dunia moden . Ciri-ciri inilah yang membuatkan Denmark menjadi destinasi yang patut dikunjungi. Penyanyi, model dan pereka, Anine Bing antara wanita yang menjadi buruan lelaki di Denmark. Kecantikannya berjaya mengangkat namanya sebagai peragawati terkemuka.

Venezuela terkenal dengan wanita-wanita yang sering memenangi pelbagai gelaran ratu cantik. Sebut sahaja pertandingan yang melibatkan wanita cantik seperti Ratu Cantik Dunia, Ratu Universe dan Ratu Bumi, Venezuela pasti menjadi sebutan. Wanita kelahiran Venezuela, Gaby Espino membuktikan dirinya mempunyai pakej yang cukup sebagai aktres dan model jelita.

Ada yang menganggap faktor kecantikan wanita dapat dilihat melalui bentuk mata dan bibir, ada pula yang merujuk kepada ketinggian...

Negara ini terkenal dengan pelbagai mitos yang aneh. Satu perkara yang tidak boleh dinafikan ialah negara ini sememangnya mempunyai ramai wanita cantik. Tidak kisahlah ke mana sahaja anda pergi sama ada ke ibu negaranya, Kiev atau bandar kecil lain, anda pasti bertemu dengan wanita-wanita cantik.

Masyarakat tempatan pula sangat peramah dan mesra menyapa tetamu dan pelancong. Para pelancong pasti merasai keramahan penduduk tempatan yang jelita terutamanya bagi mereka yang melawat pantai Black Sea dan kawasan-kawasan bersejarah negara itu. Ikon wanita cantik Ukraine ialah Tina Karol. Melihat renungannya serta bentuk badan menggiurkan, pasti membuatkan sesiapa sahaja jatuh hati dengan penyanyi ini.

Wanita Asia juga mempunyai kecantikan tersendiri seperti di Korea Selatan. Negara ini mempunyai butik kecantikan dan kewanitaan yang tertinggi kerana penduduknya sangat mengambil berat tentang penjagaan kecantikan. Jika anda mahu melihat kecantikan wanita Korea Selatan, cukup hanya menonton video muzik K-pop. Pun begitu, ada yang menganggap kecantikan mereka sebenarnya tidak asli kerana dibuat melalui pembedahan plastik dan sebagainya.

Hakikatnya, kecantikan fizikal mereka memang jelas kerana kebanyakan wanita Korea memiliki kulit sempurna dan raut wajah yang menarik sejak usia remaja lagi. Tidak hairanlah, jika penduduk dunia termasuk Malaysia terikut-ikut dengan gaya hidup mereka. Artis remaja yang telah memulakan hidup kampus seperti Seohyun daripada Girls Generation (SNSD) di Universiti Dongguk dilihat mempunyai ciri kecantikan wanita Asia iaitu ayu dan mempunyai sifat kewanitaan sempurna.

Argentina merupakan salah satu negara Amerika Selatan yang sangat indah dan tidak terkecuali memiliki wanita cantik. Negara ini menggunakan bahasa Sepanyol sebagai bahasa pertuturan. Jika anda terlihat wanita berambut hitam ikal mayang, berkaki panjang dan tinggi, wanita itu mungkin berasal dari Argentina.

Aktres, model dan penyanyi, Luisana Lopilato merupakan ikon kecantikan Argentina. Apatah lagi beliau telah melangsungkan perkahwinan dengan penyanyi terkenal, Michael Buble.

Lebanon bukan sahaja terkenal dengan sejarah dan budayanya. Negara ini juga popular kerana mempunyai wanita yang jelita. Semua tahu bahawa negara-negara Arab terkenal dengan wanita jelita, tetapi Lebanon merupakan satu-satunya yang menonjol dengan wanita cantik. Sebenarnya sukar untuk menentukan apakah faktor wanita Lebanon dikategorikan cantik.

Ada yang berpendapat, wanita Lebanon dilihat cantik kerana memiliki kulit sun-kissed yang menyerlah. Di samping itu, wanita di sana memiliki anak mata berwarna biru dan hijau menjadikannya daya tarikan terpenting. Cyrine Abdelnour dianggap ikon kecantikan negara itu, mengangkat namanya sebagai aktres, penyanyi dan model tercantik.

Umpamanya, ketika kejohanan tenis Wimbledon 2008, Maria mencuri tumpuan dengan mengenakan pakaian yang direka berasaskan tuxedo dipadankan seluar pendek.

Selain pakaian yang menarik perhatian, Maria turut memakai subang berlian Tiffany & Co. berharga AS$5,000 (RM16,300) dan ia juga merupakan kali kedua Maria menggayakan subang Tiffany selepas Kejohanan Roland Garros.

Selain beraksi cergas di gelanggang, Maria juga terpilih untuk menjadi model jam tangan TAG Heuer dan model iklan untuk Palmolive selain kamera digital Canon.

Solekan merah samar

Posted: 08 Feb 2014 08:11 AM PST

Wajah selepas disolek.

FEMININ, ayu dan keremajaan sering dikaitkan dengan warna merah samar. Warna ini sememangnya popular dalam kalangan wanita.

Bagi mereka yang ingin menggunakannya sebagai asas solekan wajah, mungkin boleh mencuba koleksi baharu musim bunga RMK 2014.

Warna merah samar dilihat sesuai dengan sifat lembut dan kasih sayang warna tersebut.

Sebagai asas, bedak asas cecair atau concealer memainkan peranan untuk mendapatkan kesan solekan yang tidak terlalu berat.

Bagi memulakan gaya merah samar ini, anda boleh menggunakan RMK Kaleidoscope untuk pembayang mata dan pemerah pipi.

Ia adalah palet yang praktikal dan terdiri daripada warna yang cerah termasuk merah samar, oren, coklat dan putih bagi menambah kesan dramatik.

Pada musim ini, jurusolek RMK berpendapat, pipi harus kelihatan segar dan berseri-seri seperti musim bunga. Pemerah pipi warna merah samar ialah cara terbaik untuk mendapatkan kesan wajah tersebut. Dalam pada itu, penggunaan warna gincu yang terang menyerikan lagi solekan wajah anda.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Koperasi kembangkan ekonomi Johor

Posted: 08 Feb 2014 10:17 AM PST

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
pengarang@utusan.com.my

Mohamed Khaled Nordin membuka pintu sebagai gimik pelancaran Koperasi Usahawan Muda Johor Darul Takzim di Johor Bahru, semalam. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 8 Feb. - Johor menyambut baik penubuhan lebih banyak koperasi supaya rakyat di seluruh negeri berdaya usaha dalam aspek kehidupan, sosial dan penglibatan dalam bidang ekonomi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Johor menikmati pertumbuhan ekonomi berterusan dan koperasi adalah instrumen yang berpotensi dalam memastikan rakyat tidak tercicir dan terlepas daripada manfaat yang ada.

"Peranan kerajaan adalah menjadi fasilitator dan pemudah cara untuk membangun keupayaan rakyat. Terserah kepada kita sama ada mahu mendapat manfaat daripadanya atau tidak. Pelbagai pendekatan dilakukan bermula dengan menetapkan dasar supaya negara membangun dan maju.

"Kita mahu penyertaan masyarakat dalam ekonomi supaya pengagihan dapat dilakukan. Penyertaan bukan sahaja dari segi kemampuan sendiri tetapi secara berkelompok supaya lebih ramai dapat menikmati kemajuan ekonomi termasuk di Iskandar Malaysia," katanya demikan sempena pelancaran Koperasi Usahawan Muda Johor Darul Takzim (KUMJDT), di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Johor, Muridan Elias; Penasihat KUMJDT, Rohazam Shah Ahmad; Pengerusi KUMJDT, Zulkefli Ab. Manan dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Tan Cher Puk.

Menurut Mohamed Khaled, koperasi adalah institusi ketiga selepas sektor awam dan swasta yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta membolehkan anggota mendapat pelbagai manfaat.

Atas dasar itu, kata beliau, kerajaan negeri menggalakkan penubuhan koperasi dan kehadirannya pada pelancaran KUMJDT adalah untuk melihat sendiri perihal sebuah koperasi melibatkan penyertaan usahawan muda dari seluruh negeri ini.

"Nilai keusahawan, inovasi dan kreativiti adalah penting untuk berjaya dan berdepan segala kemelut dan cabaran yang dihadapi dunia dan masyarakat. Itu sebabnya kita tekankan nilai keusahawanan di kalangan anak-anak kita di universiti.

"Nama KUMJDT gah, kita berharap bukan sahaja orangnya tetapi perancangannya juga besar dan hebat supaya memberi manfaat kepada ahlinya serta seluruh negeri. Diharap melalui koperasi ini dapat memaksimumkan manfaat pertumbuhan ekonomi," katanya.

Menurut beliau, koperasi tersebut juga dapat memainkan peranan sebagai pemberi pinjaman supaya ahlinya tidak meminjam dengan ah long atau ceti haram.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menggalakkan koperasi sedia ada melibatkan diri dalam sektor rantaian nilai dan pemasaran supaya dapat melipatgandakan keuntungan yang akhirnya dapat dikongsi bersama.

35 bimbang rumah mendap

Posted: 08 Feb 2014 10:17 AM PST

Abu Bakar Abdullah (dua dari kanan) bersama beberapa penduduk melihat kesan keretakan di belakang rumah berikutan kerja-kerja mengorek dan membina longkang baharu di Taman Sri Lalang, Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini.

KOTA TINGGI 8 Feb. - Kira-kira 35 keluarga di Jalan Peria, Taman Sri Lalang dekat sini diselubungi kebimbangan tanah mendap berikutan kerja-kerja mengorek dan membina longkang baharu di belakang kediaman mereka lebih sebulan lalu.

Penduduk terbabit meminta pihak berkuasa tempatan dan kontraktor yang dilantik perlu bertanggungjawab ke atas kerja-kerja yang diumpamakan sebagai 'tikus membaiki labu' kerana ia dilihat membawa lebih banyak kerosakan dan kerugian.

Wakil penduduk, Abu Bakar Abdullah mendakwa, banyak tangga di belakang rumah penduduk dimusnahkan selain mengakibatkan keretakan ketara di bahagian dapur dan bilik air.

"Lebih mengecewakan longkang kecil yang sebelum ini menjadi tempat saliran air kumbahan ditutup oleh pihak kontraktor sehingga boleh menyebabkan tanah di sekitar menjadi lembap dan mendap," katanya yang ditemui di sini kelmarin.

Suri rumah, Khairi Zurzana Mohamed, 34, memberitahu, dia dan keluarganya tidak dapat tidur lena kerana rumahnya mengalami keretakan yang amat serius malah sentiasa dalam kebimbangan berlakunya kejadian tidak diingin.

"Lebih-lebih lagi ketika hendak memasak atau mahu mandi di bilik air, terasa macam bila-bila masa sahaja rumah ini akan runtuh," katanya.

Jirannya, Suhana Abd Karim, 35, yang mengalami situasi yang sama berharap pihak berkenaan datang dan lihat sendiri keadaan rumah penduduk di sini yang retak dan semakin condong berikutan kerja-kerja yang dilakukan oleh kontraktor terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Penduduk (JKKP) di taman perumahan tersebut, Saimin Hairon juga menyokong pandangan penduduk setempat itu.

"Saya berterima kasih kepada pihak berkuasa kerana menaik taraf longkang yang dahulunya kecil sehingga mengakibatkan air melimpah apabila musim hujan dan kini tidak lagi.

"Tetapi usaha yang baik ini janganlah pula sampai mengabaikan keselamatan dan merosakkan kediaman penduduk," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


130 samseng jalanan cari padah ditahan

Posted: 08 Feb 2014 10:17 AM PST

Oleh AZHARI ZAINOODDIN
utusanpenang@utusan.com.my

SEBAHAGIAN penunggang motosikal yang dipercayai samseng jalanan ditahan dalam operasi di Bayan Mutiara, Pulau Pinang, awal pagi semalam.

PULAU PINANG 8 Feb. - Tindakan sekumpulan 130 samseng jalanan yang dipercayai cuba menggunakan jalan di sekitar Bayan Mutiara di sini sebagai alternatif untuk mengadakan lumba haram mengundang padah apabila kesemua mereka ditahan oleh sepasukan anggota keselamatan di kawasan berkenaan awal pagi tadi.

Dalam operasi yang bermula kira-kira pukul 12 tengah malam itu, sekumpulan anggota dari Unit Trafik dan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah sedia menanti kumpulan terbabit di kawasan berkenaan selepas pergerakan mereka diperhatikan sejak dua minggu lalu.

Difahamkan, kumpulan terbabit menjadikan jalan di sekitar Bayan Mutiara sebagai alternatif untuk berlumba selepas jalan-jalan utama di pusat bandar diadakan sekatan jalan raya.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik, IPK negeri, Suprintenden Wan Aziz Wan Hussein berkata, pihaknya mendapati kumpulan samseng jalanan terbabit mula mencari laluan lain apabila merasakan kawasan bandar tidak lagi sesuai ekoran sekatan jalan yang diadakan.

"Sebaik menyedari kehadiran anggota penguatkuasa di kawasan terbabit ada antara mereka cuba bertindak agresif bagi melarikan diri dengan menunggang motosikal melawan arus dan cuba melanggar anggota bertugas.

"Bagaimanapun semua mereka berjaya ditahan dan dibawa ke Pangkalan Polis Marin, Batu Uban untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat operasi berkenaan, di sini hari ini.

Terdahulu dalam operasi yang tamat sekitar pukul 6.30 pagi itu, seramai 130 penunggang berusia antara 14 hingga 30 tahun yang menaiki 91 buah motosikal ditahan dan diperiksa.

Wan Aziz berkata, sebanyak 50 saman dikeluarkan polis atas pelbagai kesalahan seperti nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, mengubah suai motosikal dan beberapa kesalahan lain.

Tambahnya, sebanyak 23 buah motosikal telah disita kerana penunggangnya tidak mempunyai lesen dan cukai jalan tamat tempoh.

"Antara mereka yang ditahan ini juga termasuk beberapa pelajar sekolah dan ada antara mereka didapati tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri.

"Selain itu ujian air kencing juga dilakukan ke atas mereka namun hasilnya adalah negatif," ujarnya.

Kata Wan Aziz, pihaknya akan sentiasa memantau aktiviti lumba haram dan operasi bersepadu akan terus diadakan bagi membenteras kegiatan berkenaan di negeri ini.

Beliau menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau aktiviti dan pergerakan anak-anak mereka bagi memastikan golongan belia tidak terjebak dengan gejala yang tidak sihat.

Lebih 20,000 mohon sertai PVR

Posted: 08 Feb 2014 10:17 AM PST

IPOH 8 Feb. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima lebih 20,000 permohonan untuk menyertai pasukan anggota Polis Sukarelawan Simpanan (PVR) iaitu sekali ganda berbanding 10,000 kekosongan jawatan yang ditawarkan.

Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPJ) Bukit Aman, Datuk Ayub Yaakob berkata, permohonan atas talian yang direkodkan pada tahun ini akan dibuat penilaian terlebih dahulu sebelum diserapkan dalam tempoh dua bulan akan datang.

Beliau berkata, tambahan anggota PVR itu dilihat akan meningkatkan kekuatan PDRM sekali gus memainkan peranan lebih aktif dalam menunjukkan kehadiran polis kepada masyarakat.

"Strategi mengambil anggota PVR dari kawasan perkampungan dan perumahan membolehkan golongan tersebut melaksanakan peranan di kawasan masing-masing dengan mempunyai semangat kekitaan.

"Ini kerana PVR adalah orang awam yang lebih memahami kehendak serta masalah komuniti.

"Oleh itu, maklumat yang diperolehi akan dimanfaatkan oleh polis untuk membuat profil setiap kawasan sekali gus merangka operasi dan rondaan yang lebih berkesan berdasarkan keperluan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan pasukan PVR di Pusat Latihan Teknologi Tinggi Taiping, di sini baru-baru ini.

Ayub berkata, setiap pergerakan polis terutama anggota PVR memainkan peranan dalam hubungan dengan komuniti di peringkat bawah bagi mendengar reaksi masyarakat mengenai semua aspek.

Menurutnya, maklumat yang diterima itu akan membantu polis membentuk serta menentukan operasi dan langkah pencegahan jenayah yang perlu dilaksanakan.

"Kita mempunyai sumber yang terhad, jadi kita memberi tumpuan dengan langkah serta pendekatan kepada perkara tertentu yang menjadi perhatian, masalah dan isu kepentingan masyarakat," katanya.

Manfaatkan kelebihan pengalaman warga emas

Posted: 08 Feb 2014 10:17 AM PST

Norzieta Zakaria menyampaikan sumbangan Bidara kepada warga Tionghua sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2014 di Lebuhraya Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah, kelmarin.

ALOR SETAR 8 Feb. - Golongan warga emas tidak sepatutnya dilabel sebagai pembawa beban kepada mana-mana pihak sebaliknya perlu dilihat sebagai aset penting negara yang mempunyai pelbagai keistimewaan untuk dimanfaatkan dalam kehidupan masyarakat.

Isteri Menteri Besar Kedah, Toh Puan Norzieta Zakaria berkata, keistimewaan tersebut merangkumi pengalaman dan kepakaran dalam bidang tertentu yang sekian lama diamalkan golongan berkenaan dalam memacu pembangunan negara selama ini.

"Dari segi teori, mungkin orang muda boleh mempelajari apa jua ilmu di pusat-pusat pengajian tertentu tetapi perlu diingat, golongan warga emas merupakan mereka yang terlebih dahulu menabur bakti kepada negara sehingga membawa kita menikmati kesejahteraan sosial dan pembangunan semalam.

"Sebahagian mereka mempunyai pengetahuan luas dalam pentadbiran negara. Justeru, generasi muda usah bongkak dan sombong apabila berdepan mereka kerana khazanah ilmu mereka adakalanya tidak ternilai," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Warga Emas sempena Perayaan Tahun Baharu Cina di Rumah Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil Rakyat, Isteri Bekas Wakil Rakyat dan Wakil Rakyat Barisan Nasional Kedah (Bidara), di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau yang juga Yang Dipertua Bidara menyampaikan bantuan berupa angpau berserta barangan keperluan harian kepada 50 warga emas kaum Cina dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga dan Gurun.

Beliau dalam pada itu turut meminta masyarakat agar menjadikan kemusnahan dan kerosakan yang berlaku di negara luar akibat persengketaan sesama sendiri sebagai pengajaran oleh demi mempertahankan keamanan dan keharmonian sedia ada.

"Di dunia maya, terlalu banyak hal-hal perkauman disebarkan. Tetapi kita tidak seharusnya terlampau cepat terpengaruh dengan segala bentuk hasutan untuk memecah belah hubungan antara kaum di negara ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Kerajaan masih berunding ambil alih AES

Posted: 09 Feb 2014 03:14 AM PST

IPOH 9 Feb. - Kerajaan masih berunding untuk menentukan nilai bagi cadangan pengambilalihan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dari syarikat projek berkenaan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, tiada tempoh tertentu diputuskan untuk kedua-dua pihak mencapai persetujuan.

Namun, beliau yakin persetujuan dapat dicapai pada akhir rundingan tersebut.

"Dalam keputusan berkaitan komersil, ia bergantung kepada kesediaan pembeli dan penjual, kita tidak boleh jangka persetujuan mesti dicapai dalam tempoh seminggu, dua minggu...apabila ada rundingan kedua-dua pihak mempunyai pakar perunding berhubung angka (nilai) yang kita boleh seragamkan," katanya kepada pemberita ketika menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Tambun di Chemor di sini hari ini.

Beliau berkata, rundingan berkenaan tidak begitu sukar memandangkan ia mempunyai asas teknikal yang boleh diteliti secara analisis kualitatif, dan pada akhirnya beliau yakin kedua-dua pihak boleh mencapai persetujuan pengambilalihan AES.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah mengetuai pihak kerajaan dalam rundingan itu, katanya. - BERNAMA

Tiada rakyat Malaysia terbabit dalam kebakaran hotel di Madinah

Posted: 09 Feb 2014 02:58 AM PST

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbabit atau cedera dalam kebakaran di Hotel Ishraq al-Madinah, Arab Saudi pada Sabtu, kata Kementerian Luar hari ini.

"Setakat ini, laporan dari Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit atau cedera ekoran insiden itu," kata Kementerian Luar dalam kenyataan.

Kementerian akan terus berhubung dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah untuk memantau perkembangan selanjutnya, menurut kenyataan itu.

Kebakaran pada Sabtu di Hotel Ishraq Al Madinah, yang terletak kira-kira 350 meter dari Masjid Nabawi, mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang manakala 130 lagi cedera. - BERNAMA

Melaka pertama wujud koperasi orang pekak

Posted: 09 Feb 2014 12:23 AM PST

Oleh FADZLY IZAB

MELAKA 9 Feb. - Melaka bakal menjadi negeri pertama yang menubuhkan koperasi bagi orang kurang upaya (OKU) pendengaran atau pekak dalam usaha menjana ekonomi serta melahirkan usahawan daripada golongan berkenaan.

Penaung Persatuan Orang Pekak Negeri Melaka (POPNM), Datuk Md. Yunos Husin berkata, koperasi yang dikenali sebagai Koperasi Usahawan Orang Pekak Melaka Berhad itu juga dilihat akan memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 golongan tersebut di negeri ini.

Menurutnya, tujuan utama penubuhan koperasi ini adalah untuk membela kebajikan golongan istimewa berkenaan di negeri ini terutamanya menjana ekonomi menerusi perniagaan dan keusahawanan. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Stesen Batang Melaka operasi semula

Posted: 08 Feb 2014 10:17 AM PST

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanmelaka@utusan.com.my

Mohd. Noordin Kimi (depan, lima dari kiri) bersama rombongan Datuk Naning Ke-21 ketika majlis pelancaran operasi semula Stesen KTMB Batang Melaka di Jasin, Melaka, kelmarin.

JASIN 8 Feb. - Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTMB) Berhad Batang Melaka, memulakan perkhidmatan mengambil dan menurunkan penumpangnya bermula semalam.

Stesen itu terpaksa ditutup sementara waktu bagi kerja-kerja menaik taraf sejak Mei 2012.

Pengurus Kanan Pemasaran KTMB, Mohd. Noordin Kimi berkata, stesen itu memulakan operasi bagi perkhidmatan tren Ekspres Sinaran Selatan bagi laluan Sentral Kuala Lumpur-Woodlands-Sentral Kuala Lumpur.

Menurutnya, walaupun kerja-kerja menaik taraf stesen kereta api itu siap kira-kira setahun lalu, namun operasinya tertangguh hingga ke hari ini berikutan masalah dan prosedur tertentu yang perlu dituruti oleh pihak KTMB.

"Namun begitu, kita bersyukur kerana stesen ini akhirnya dapat beroperasi semula dan membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat sekali gus membangunkan kawasan sekitar.

"Pihak KTMB melihat langkah ini sebagai strategi serampang dua mata kerajaan dalam mempromosikan lagi industri pelancongan ke Melaka dan Johor melalui perkhidmatan menurun dan mengambil penumpang di sini.

"Lokasi di stesen Batang Melaka adalah strategik menghubungkan beberapa daerah di kedua-dua negeri yang turut mempunyai tarikan pelancongan tersendiri," katanya ketika ditemui selepas pelancaran Stesen Keretapi Batang Melaka, di sini semalam.

Yang hadir sama, Pengurus Wilayah Selatan, Omar Nazari Othman.

Stesen Keretapi Batang Melaka merupakan salah sebuah daripada lima stesen yang dibina dan dinaik taraf dalam Projek Landasan Keretapi Elektrik Berkembar Seremban-Gemas.

Dalam pada itu, Mohd. Noordin berkata, penumpang yang ingin menggunakan perkhidmatan kereta api menuju ke sektor selatan dari stesen itu boleh menaiki tren Ekspres Sinaran Selatan, No. 13 yang berlepas pada jam 11 pagi, manakala menaiki tren No. 12 untuk laluan ke utara pada jam 7.17 malam setiap hari.

"Dengan adanya perkhidmatan ini, KTM Berhad berharap dapat membantu mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2014 kepada pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara," katanya.

20 sukarelawan Puteri UMNO bantu mangsa Taufan Haiyan

Posted: 08 Feb 2014 10:17 AM PST

ALOR GAJAH 8 Feb. - Seramai 20 sukarelawan Puteri UMNO akan berlepas ke Filipina pada 24 Februari ini untuk menyerahkan bantuan kepada penduduk Islam di Kampung Hag Nayan yang dilanda Taufan Haiyan, November tahun lalu.

Ketuanya, Mas Ermieyati Samsudin berkata, pemilihan akan dibuat Khamis ini dan sukarelawan berkenaan akan membawa sumbangan makanan, minuman, pakaian dan barangan masjid untuk diserahkan kepada penduduk kampung tersebut.

Menurutnya, bantuan itu diberikan hasil sumbangan pelbagai pihak untuk tabung bantuan bencana alam Taufan Haiyan yang ditubuhkan Puteri UMNO dengan dana terkumpul berjumlah RM50,000.

"Kita tidak dapat menyerahkan bantuan yang diperoleh tahun lalu kerana beberapa masalah lojistik dan sebagainya. Syukur semuanya sudah selesai dan kita telah mengenal pasti sebuah perkampungan yang mempunyai ramai penduduk Islam untuk diserahkan bantuan kemanusiaan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul peringkat Parlimen Masjid Tanah yang dihadiri kira-kira 3,000 orang di Padang Awam Taman Datuk Setia, Ramuan China Besar di Masjid Tanah dekat sini hari ini.

Program tersebut yang diserikan dengan Ceramah Perdana oleh penceramah bebas, Mohamad Kazim Elias adalah anjuran bersama Biro Agama dan Dakwah UMNO Bahagian Masjid Tanah dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Ramuan China Besar.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Ab. Rauf Yusoh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman, ADUN Taboh Naning, Datuk Latipah Omar; ADUN Lendu, Sulaiman Mohd. Ali dan ADUN Tanjong Bidara, Md. Rawi Mahmud.

Mas Ermieyati berkata, sukarelawan itu disertai pasukan perubatan akan berada di kampung berkenaan selama 10 hari dan menjalankan khidmat masyarakat termasuk menjalankan pemeriksaan kesihatan penduduk di situ.

Di samping itu katanya, sukarelawan yang dihantar akan membina dua buah rumah yang akan dijadikan sebagai pusat komuniti.

Beliau menambah, penduduk juga akan diajar mengaji, solat dan bimbingan agama sebagai salah satu aktiviti sepanjang berada di kampung berkenaan.

"Lebih penting barangan keperluan masjid juga dibeli termasuk sejadah, beberapa naskhah al-Quran dan sukarelawan juga akan membersihkan masjid," katanya.

Beliau berkata, pasukan kedua sukarelawan yang ditubuhkan Puteri UMNO itu akan berkunjung sekali lagi ke kampung berkenaan awal Mac ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rekreasi

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Ronda-ronda Alor Setar

Posted: 08 Feb 2014 06:36 AM PST

PEKAN Rabu bukan sahaja menjadi medan niaga sejak berabad lamanya, bahkan juga menyimpan pelbagai kenangan dan sejarah bandar Alor Setar.

MUNGKIN ramai yang tidak mengetahui bahawa bandar Alor Setar mempunyai pelbagai tempat menarik yang boleh dilawati bersama rakan mahupun keluarga.

Peluang menziarahi sahabat yang menjadi raja sehari di bandar itu baru-baru ini membawa penulis bercuti di sana bersama rakan-rakan yang lain.

Memilih untuk menginap di pusat bandar adalah langkah yang tepat kerana dapat menyusuri bandar itu dengan lebih mendalam.

Kami datang sehari lebih awal dari tarikh yang dirancang kerana mahu berjalan-jalan di sekitar bandar ini sebelum pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri majlis perkahwinan tersebut.

Perjalanan dari Kuala Lumpur mengambil masa kira-kira enam jam dengan berhenti di beberapa tempat untuk menghilangkan penat dan bosan memandu dalam jarak jauh.

Bergerak dari Kuala Lumpur seawal pukul 3 pagi membolehkan kami tiba di bandar Alor Setar pada pukul 10 pagi dan terus menuju ke hotel yang telah siap sedia ditempah.

Kami memilih hotel Holiday Villa yang ditempah melalui sistem tempahan dalam talian yang membolehkan kami mendapat harga yang lebih murah.

Pemilihan ini dibuat kerana hotel tersebut bersambung dengan sebuah pusat membeli- belah bagi memudahkan kami mendapatkan barang keperluan.

Perkara pertama kami lakukan adalah mencari kedai makan kerana masing-masing sudah kelaparan. Apa yang menariknya kami tidak makan di sekitar hotel tetapi menyusuri jalan memasuki kampung untuk mencari juadah yang mungkin berlainan dari Kuala Lumpur.

Perjudian kami berhasil apabila kami terlihat sebuah kedai yang berasap di suatu sudut dari kejauhan. Sudah tentu terdapat ikan bakar di situ dan jangkaan kami tepat.

Ternyata makanan yang dihidangkan sangat lazat. Masakan kampung bersama ulam-ulaman membuatkan kami sangat berselera. Kami agak terkejut apabila menerima bil yang harganya jauh sangat murah berbanding di ibu kota.

Perjalanan kami diteruskan ke pusat bandar. Di sana, kami singgah di Menara Alor Setar yang bentuknya seakan-akan Menara Kuala Lumpur. Terdapat restoran dan kawasan tinjau di atasnya.

Orang kata tak lengkap ke Alor Setar jika tidak singgah ke Pekan Rabu yang merupakan sebuah pasar yang telah dibina sejak tahun 1935 lagi. Di pekan itu, terdapat pelbagai barangan menarik yang dijual.

Boleh dikatakan segalanya dapat dicari di situ, daripada tudung sehinggalah makanan dan perhiasan diri serta rumah, kesemuanya di bawah satu bumbung.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga pernah berniaga di pasar ini pada suatu ketika dahulu. Ternyata pekan itu menyimpan banyak kesan sejarah sejak penubuhannya.

Banyak masa kami dihabiskan di situ. Namun, sebelum menjelang malam kami pulang semula ke hotel untuk berehat dan keluar semula untuk mencari makan pada sebelah malamnya.

Kali ini restoran di hadapan hotel menjadi pilihan. Menurut pemilik restoran, jalan di hadapan hotel yang kami menginap akan ditutup jika ada pertunjukan perlawanan bola sepak.

Sebuah skrin besar diletakkan di hujung jalan dan orang ramai akan duduk di atas jalan bersantai bersama rakan dan keluarga sambil menonton bola sepak.

Destinasi seterusnya adalah Stadium Darul Aman, bukan untuk menonton bola sepak tetapi untuk berkunjung ke pasar malam yang menjual pelbagai barangan.

Daripada barangan bundle, baju-T bola sepak, seluar jean dan juga barangan lusuh, semuanya ada di sini.

Ia tidak ubah seperti Uptown Damansara atau Downtown Cheras, namun barangan yang dijual adakalanya tidak sama dan ternyata berbaloi untuk mereka yang datang berbelanja.

Begitulah serba sedikit perjalanan percutian kami di negeri jelapang padi ini. Walaupun tidak banyak tempat yang kami pergi namun, ia dianggap satu percutian yang berbaloi.

Di sinilah kami akan lebih mengenali masyarakat dari kelompok dan negeri lain dalam mengharmonikan masyarakat negara ini dengan lebih baik. - AMIRUL

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved