Sabtu, 5 November 2011

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Fatin Liyana bakal doktor jelita

Posted:

Fatin Liyana bakal doktor jelita

Fatin Liyana bakal doktor jelita

Oleh BINTU RASYADA A.RAHMAN
Foto RASHID MAHFOF


Fatin Liyana


PAGI Aidiladha mengingatkan Nur Fatin Liyana Asri kepada kenangan menyambut hari kebesaran bagi umat Islam itu di perantauan.

"Tiga tahun menuntut di Bandung, sepanjang tempoh itu saya menyambut Aidiladha di sana. Sebenarnya kemeriahan sama sahaja.

"Kami bergotong-royong bersama pelajar-pelajar lain mengerjakan ibadah korban tanpa bantuan pihak universiti. Semuanya dilakukan sendiri daripada mendapatkan lembu, sembelih, melapah dan mengagihkan daging korban kepada fakir miskin. Bagi saya, itu semua pengalaman yang sukar dilupakan ketika di tempat orang," kata gadis berusia 22 tahun ini.

Mesra disapa Fatin, dia kini sudah pulang ke tanah air, menyambung pengajian yang berbaki tiga tahun lagi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sebagai pelajar jurusan perubatan kerjasama antara UKM dan Universitas Padjajaran, Bandung, gadis berasal dari Seremban itu juga melalui pelbagai kenangan yang sukar dilupakan. Antaranya ketika ditugaskan menjalani program khidmat masyarakat di kawasan pergunungan terpencil di daerah itu.

"Bayangkan keadaan mereka yang terlalu daif sehingga langsung tidak mempedulikan soal kesihatan. Apa yang lebih penting bagi mereka hanya survival demi sesuap nasi.

"Disebabkan tidak biasa mendapatkan rawatan, mereka sangat menghormati dengan memanggil kami doktor walaupun hakikatnya kami masih lagi pelajar dalam bidang perubatan," kata beliau.

Di sebalik karier serius yang menanti beliau, Fatin sebenarnya sangat meminati dunia peragaan dan terlibat dalam bidang tersebut sejak dua tahun lalu.

Baginya, itu semua tidak mengganggu tugas hakiki kerana dia bijak membahagikan masa. Fatin hanya hadir ke sesi fotografi ketika bercuti. Malah ketika bertugas juga, anak kedua daripada empat adik beradik itu tetap selesa mengenakan pakaian ringkas dan berkaca mata seperti pelajar yang lain.

Full content generated by Get Full RSS.

Karya avant-garde Stylo Mumbai

Posted:

Karya avant-garde Stylo Mumbai

Karya avant-garde Stylo Mumbai

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
(Yang mengikuti parti fesyen GP Stylo Mercedes-Benz di Mumbai, India baru-baru ini)



MUNGKIN sukar untuk difahami, namun itulah yang ingin disampaikan penganjur tatkala parti fesyen debut Stylo singgah di metropolitan Mumbai menjelang F1 Grand Prix India yang telah pun berakhir Ahad lalu.

Karya dengan tema The 7 Deadly Sins membawa kelainan dan seakan kejutan kepada lebih 300 tetamu yang hadir dari seluruh pelosok negara itu. Sebanyak 150 kilogram sampah yang terdiri daripada tin, aluminium, surat khabar lama, pakaian terpakai, tanglung, botol kaca, kotak, tayar kereta, kelambu dan pelbagai lagi diterbangkan dari Kuala Lumpur bagi menghasilkan 30 himpunan yang aneh namun memukau. Bukan setakat itu sahaja, beberapa bahan buangan dari Mumbai sendiri turut dititip dalam setiap rekaan menggunakan mantra fesyen recycling all new black yang pastinya tidak pernah terlintas di fikiran.

Ia sebagai simbolik kepada tujuh dosa yang menyebabkan kerosakan di muka bumi iaitu tamak haloba, bangga diri, nafsu, kemalasan, iri hati, lahap dan kemarahan.

Mercedes-Benz Stylo Mumbai mengulangi kejayaan pertunjukan di London semasa Minggu Fesyen London dua bulan lalu namun kali ini diberi sentuhan baru.

"Kejayaan di London memberi inspirasi kepada kami untuk mengulanginya di sini,," kata Presiden dan Ketua Pegawai eksekutif (CEO), Nancy Yeoh.

Beliau yang tampil menawan dengan gaun hitam baldu yang diberi nama The Garbage Rose rekaan pereka tempatan bertaraf antarabangsa, Bill Keith.

Menggunakan kain baldu terpakai, gaun terbuka luas di bahagian belakang itu dihiasi plastik sampah berwarna hitam yang disusun menjadi kelopak bunga mawar dan kilauan kristal di bahagian tengah.

"Ini adalah contoh terbaik penggunaan bahan-bahan terbuang yang mampu diolah menjadi sesuatu yang berguna. Kami berharap acara ini mampu menghiburkan serta dalam masa yang sama menyampaikan mesej kepada pengunjung melalui fesyen," katanya.

Biar pun jarum jam hampir menganjak ke pukul 12 tengah malam, namun para tetamu yang memenuhi kelab malam Hype yang dimiliki oleh Deejay India nombor satu, DJ Aqeel tetap tidak berundur dan sabar menanti biar pun waktu penganjurannya tersasar dari masa yang dirancangkan.

Pereka kasut antarabangsa, Datuk Jimmy Choo diterbangkan khas dari London bagi menjayakan acara ulung itu.

Stylo, berkonsep fesyen-

hiburan yang berpangkalan di London, ditubuhkan bagi menarik peminat sukan antarabangsa F1.

Ia menyediakan hiburan dan platform sosial kepada peminat antarabangsa serta tempatan dalam usaha integrasi hiburan, fesyen, peminat fanatik F1 dan seni yang bergabung di bawah bumbung Stylo.

Selain daripada rekaan Bill Keith, pereka Mercedez Benz Stylo 2011, Lorenzo Peh dan juga pereka rambut terkenal Winnie Loo bersama pasukan A-Cut-Above turut diterbangkan dalam usaha menghasilkan rekaan avant-garde pada malam itu.

Tidak ketinggalan, lapan model dari Ford Supermodels of The Worls Malaysia 2011 turut diterbangkan ke bandar glamor itu oleh penerbangan AirAsia X, yang merupakan penaja bersama acara.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


154 keluarga dapat rumah baru

Posted:

154 keluarga dapat rumah baru

154 keluarga dapat rumah baru

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my


ABDUL Ghani Othman memotong riben sebagai gimik perasmian rumah contoh bagi penempatan semula penduduk Jalan Melati dan Jalan Kiambang di Kampung Oren, Ulu Tiram, Johor Bahru, kelmarin. - UTUSAN/NASIRRUDDIN YAZID


JOHOR BAHRU 5 Nov. - Seramai 154 keluarga di Kampung Oren, Ulu Tiram yang rumah mereka sering dinaiki air setiap kali hujan lebat, kini mampu menarik nafas lega apabila kerajaan negeri akan membina rumah baru untuk mereka.

Pembinaan rumah teres kos rendah dua tingkat berharga kira-kira RM78,000 seunit di Taman Bukit Tiram bagi penempatan semula itu, dimajukan oleh Johor Land Berhad iaitu syarikat dalam kumpulan Johor Corporation (JCorp).

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, objektif pembinaan itu adalah bagi mengatasi masalah banjir yang sering menghantui penduduk di Jalan Melati dan Jalan Kiambang di kampung itu sejak lebih 15 tahun lalu.

Menurutnya, masalah banjir kilat di Kampung Oren berlaku ekoran daripada pembangunan pesat di Ulu Tiram seperti projek perumahan dan pembinaan pelbagai kemudahan infrastruktur di kawasan sekitar.

''Saya difahamkan rumah ini bakal dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air dengan keluasan 720 kaki persegi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan rumah contoh penempatan semula penduduk Kampung Oren di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang.

Hadir sama, Ketua Eksekutif JCorp, Kamaruzzaman Abu Kassim; Pengarah Urusan Johor Land Berhad, Lukman Abu Bakar dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Halim Suleiman.

Abdul Ghani menambah, dengan pembinaan rumah tersebut juga, satu kejiranan lebih tersusun, harmoni dan seimbang akan disediakan sekali gus mengimbangi kepesatan pusat bandar utama dan pusat penempatan utama di daerah ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Jalan Melati dan Kiambang, Sayeed Mami, 51, berkata, penduduk melahirkan rasa gembira dengan keprihatinan kerajaan selepas masalah itu disuarakan sejak 10 tahun lalu.

Katanya, usaha kerajaan dan Johor Land itu dilihat mampu memberi penyelesaian menyeluruh kerana Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) telah mengenal pasti Kampung Oren tidak sesuai didiami kerana terletak dekat dengan kawasan yang kerap dilanda banjir.

''Kebiasaannya kami akan menghadapi banjir dua atau tiga kali setahun, termasuk kejadian terbaru pada bulan Februari lalu yang menyebabkan penduduk menanggung kerugian ribuan ringgit akibat kerosakan harta benda," ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Arif Yaser, 54, berkata, penempatan baru yang dibina itu jelas menunjukkan keprihatinan kerjaan negeri dalam membantu rakyat menghadapi masalah.

''Syukur kerana kami bakal mendapat rumah baru, ia jauh lebih selesa dan luas dari kediaman lama selain ia dibina tanpa membebankan kami kerana hanya perlu melunaskan pinjaman lama," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Warga emas diragut ibu tunggal muda

Posted:

Warga emas diragut ibu tunggal muda

Warga emas diragut ibu tunggal muda

KULAIJAYA 5 Nov. – Seorang ibu tunggal berusia 18 tahun dicekup selepas meragut seorang wanita di tempat letak kereta sebuah pasar raya di sini kelmarin.

Kejadian pukul 6 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 59 tahun dalam perjalanan ke keretanya di tempat letak kereta pasar raya berkenaan selepas selesai membeli-belah.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Zulkefly Yahya berkata, mangsa yang keseorangan ketika itu tiba-tiba dihampiri suspek yang kemudian bertindak merampas dompet yang dipegang mangsa.

"Setelah meragut dompet mangsa, suspek terus melarikan diri namun tindakan mangsa menjerit meminta tolong berjaya menarik perhatian orang ramai.

"Suspek berjaya ditahan oleh orang awam dan seorang anggota polis peronda yang kebetulan melalui kawasan itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya di sini semalam.

Menurut Zulkefly, mangsa yang merupakan suri rumah tidak mengalami sebarang kerugian bagaimanapun hanya cedera ringan akibat ditolak suspek.

Katanya, pemeriksaan air kencing suspek yang menganggur itu turut mendapati positif dadah jenis syabu.

Ujarnya, suspek yang berasal dari Kulai dan mempunyai seorang anak berusia setahun bagaimanapun tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini ditahan reman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya menahan sepasang kekasih di sebuah hotel bajet di Senai dan merampas 57.4 gram dadah jenis heroin dan syabu, kelmarin.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Penganjur program Seksualiti Merdeka hina, cabar hukum Islam - Tamyes

Posted:

Penganjur program Seksualiti Merdeka hina, cabar hukum Islam - Tamyes

Penganjur program Seksualiti Merdeka hina, cabar hukum Islam - Tamyes

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Tindakan penganjur program mempromosi seks bebas Seksualiti Merdeka yang cuba menghalalkan perkara yang haram telah menghina dan mencabar hukum Islam.

Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid berkata, amalan songsang itu jelas bercanggah dengan syarak dan program ini wajib diperangi demi menegakkan kesucian agama Islam.

"Kumpulan ini adalah penentang kepada hukum Islam. Semua pihak harus bertegas dan tidak boleh berkompromi dengan penganjuran program yang membinasakan moral dan akhlak masyarakat di negara ini.

"Kita khuatir golongan ini terutamanya di kalangan umat Islam akan terus berkembang dan lantang bersuara untuk menghalalkan hubungan songsang mereka seperti di negara Barat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang cuba mempromosikan program seks bebas Seksualiti Merdeka bermula 1 hingga 13 November yang mengiktiraf hak seksual di kalangan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

Tamyes berkata, kerajaan dan pihak berwajib perlu membanteras penganjuran ini sehingga ke akar umbi bagi mengelakkan ia berlaku lagi pada masa akan datang.

"Jika ia berterusan dan tidak ditegah, tidak mustahil keruntuhan moral akan berleluasa. Kita tidak mahu kebangkitan golongan ini menular dan menjadi barah dalam masyarakat.

"Apa yang lebih mengecewakan jika penganjuran ini turut disertai oleh umat Islam dan kita minta kerajaan untuk mengambil tindakan tegas kepada mereka yang terlibat dalam program ini," jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah di Jabatan Fiqh Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Dr. Datuk Mahmood Zuhdi berkata, umat Islam di negara ini harus bersatu padu menentang aktiviti yang membinasakan agama Islam.

" Kita tidak boleh memberi peluang kepada mereka untuk menganjurkan program seumpama ini. Jika semua bersatu, mereka tidak akan mengambil kesempatan untuk meneruskan usaha mempromosikan amalan LGBT itu," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Pejabat Majlis Peguam disimbah cat?

Posted:

Pejabat Majlis Peguam disimbah cat?

Pejabat Majlis Peguam disimbah cat?

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Ketelusan Majlis Peguam terus dipertikaikan apabila cuba 'menyembunyikan' insiden pejabatnya di Jalan Lebuh Pasar di sini disimbah cat, dipercayai berlaku pagi ini.

Beberapa wakil media yang membuat tinjauan di lokasi kejadian kira-kira pukul 1 petang mendapati, terdapat kesan simbahan cat warna merah di atas tangga dan tepi premis tersebut.

Malah, seorang kakitangan Majlis Peguam turut mengesahkan kejadian itu berlaku dan memaklumkan akan membuat laporan polis dalam waktu terdekat.

Bagaimanapun, insiden itu dinafikan berlaku ketika seorang wartawan akhbar Cina dan Bahasa Inggeris cuba meminta pengesahan daripada pihak Majlis Peguam kira-kira sejam kemudian.

Apa yang menarik, kira-kira pukul 3.30 petang, wartawan Utusan Malaysia menghubungi pejabat Majlis Peguam untuk mendapat pengesahan dan perkara itu disahkan pihak berkenaan namun tidak pasti sama ada akan mengeluarkan kenyataan media atau tidak berhubung kejadian.

Namun, sumber polis memberitahu, sehingga pukul 5 petang ini tiada laporan polis diterima berhubung kejadian berkenaan.

Full content generated by Get Full RSS.

Lokasi seks bebas pusat gay terkenal

Posted:

Lokasi seks bebas pusat gay terkenal

Lokasi seks bebas pusat gay terkenal

Oleh SOFIAN BAHAROM dan WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
pengarang@utusan.com.my


Bangunan yang dikatakan menjadi lokasi utama penganjuran program mempromosikan seks bebas di Kuala Lumpur. Gambar kanan: Laluan belakang Pasar Seni menjadi tempat pertemuan pasangan hubungan sejenis. - UTUSAN/FAIRUZ IZYANA AYUB


KUALA LUMPUR 4 Nov. - Sebuah bangunan pameran yang dikatakan lokasi utama penganjuran program mempromosikan seks bebas di ibu negara, Seksualiti Merdeka 2011 di sini dikatakan menjadi tumpuan pengamal seks songsang khususnya golongan gay sejak 20 tahun lalu.

Difahamkan, lokasi itu sering dikunjungi golongan tersebut setiap malam minggu untuk menyertai parti persendirian yang dianjurkan kelab gay dengan bayaran sewa sebanyak RM1,400 semalam.

Lebih mengejutkan, sepanjang parti itu, pengunjungnya bebas dan tidak malu bercumbuan di tempat awam dan memuaskan nafsu mereka di dalam tandas bangunan tersebut.

Golongan itu dikatakan ditaja oleh orang kenamaan (VIP) yang menyokong kelab-kelab gay berkenaan.

Menurut sumber, parti-parti seks bebas itu turut disertai warga asing selain ahli-ahli kelab gay tempatan yang datang dengan kereta-kereta mewah serta berpakaian berjenama.

Golongan lesbian dan transeksual bagaimanapun tidak mendominasi parti-parti itu walaupun kedua-dua golongan itu turut menyertai aktiviti di sana.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di kawasan sekitar bangunan pameran itu mendapati, terdapat beberapa pasangan gay tanpa segan silu bercumbuan berhampiran sebuah masjid dan tindakan itu seolah-olah memperlekehkan kesucian hari Jumaat dan rumah ibadat tersebut.

Seorang pelukis yang hanya mahu dikenali Marzuki pula mengakui, gejala negatif itu wujud di bangunan pameran tersebut malah dia sendiri pernah melaporkan perkara itu kepada pengurusan bangunan namun tiada tindakan diambil.

Beliau yang telah 20 tahun melihat kemungkaran itu hanya mampu menasihati golongan tersebut, tetapi dicerca dan tidak diendahkan mereka yang majoritinya orang Melayu.

"Saya bimbang kegiatan seks bebas yang berlaku di bangunan pameran ini memberi kesan kepada pusat pameran yang terkenal di ibu negara dan terletak tidak jauh dari sini.

"Malah saya yakin, kegiatan itu menyebabkan budaya seks songsang seolah-olah dibenarkan dan ia turut memberi gambaran yang negatif kepada pelancong asing.

"Saya tahu pihak pengurusan bangunan itu menghalalkan budaya sebegini. Saya kenal pasti seorang lelaki gay bertugas mengurus segala tempahan untuk parti seks bebas setiap malam minggu," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga yang dikenali sebagai Johan mendakwa, dia pernah dijemput untuk menyertai parti songsang anjuran kelab gay tersebut.

"Selepas dipanggil beberapa lelaki dipercayai gay untuk menyertai parti itu, saya cuba memaklumkan kepada mereka bahawa saya bukan gay. Bagaimanapun, saya tetap dipelawa masuk dan mereka tetap menghormati dan menerima kehadiran saya.

"Dalam parti yang bermula pukul 8 malam sehingga awal pagi itu, saya berasa tidak selesa kerana mereka mengamalkan aktiviti seks songsang secara terbuka. Selepas malam itu, saya sudah serik menghadiri mana-mana parti dianjurkan kelab gay di bangunan tersebut," ujarnya.

Dewan yang mengadakan parti itu boleh memuatkan kira-kira 100 pengunjung dan dalam parti itu, mereka dihidangkan dengan makanan, minuman dan hiburan seperti tarian diiringi muzik.

Johan yang sering berada di bangunan itu sejak 10 tahun lalu mendakwa, pengunjung dijemput menghadiri parti itu menerusi laman sosial Facebook yang dikendalikan seorang lelaki gay.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Bantahan rakyat semakin memuncak

Posted:

Bantahan rakyat semakin memuncak

Bantahan rakyat semakin memuncak

Oleh SYUKRI SHAARI, MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN, AZMAN MD. NOOR dan MALINDA ABDUL MALIK
pengarang@utusan.com.my


SEKUMPULAN penduduk melancarkan demonstrasi aman sebagai membantah penganjuran program Seksualiti Merdeka di hadapan Masjid Jamek Kuala Ketil, Baling, Kedah, semalam.


KUALA LUMPUR 4 Nov. – Bantahan terhadap program mempromosikan seks bebas, Seksualiti Merdeka 2011 semakin memuncak apabila pelbagai pihak di seluruh negara mengadakan demonstrasi membantah penganjuran acara itu.

Demonstrasi tersebut diadakan di kebanyakan masjid selepas selesai solat Jumaat, hari ini.

Di ibu negara, seramai 35 ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan Masjid Negara bagi menggesa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengambil tindakan mahkamah terhadap penganjur program tersebut.

Perhimpunan yang berlangsung kira-kira 10 minit itu diakhiri dengan penyerahan memorandum bantahan oleh Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Abu Bakar kepada Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali.

Abdul Rahman berkata, Perkasa menggesa Jawi mengambil tindakan tegas dengan membawa perkara itu ke mahkamah supaya pihak penganjur dikenakan hukuman dan program berkenaan tidak diteruskan.

"Kami percaya bahawa apa yang dilaungkan oleh penganjur program ini adalah bertentangan dengan ajaran dan tuntutan Islam. Jadi, Perkasa berharap, tindakan tegas diambil terhadap penganjur program ini dan ia mesti segera dihentikan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Di SHAH ALAM, kira-kira 100 umat Islam berhimpun secara aman di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selepas solat Jumaat bagi menyuarakan bantahan terhadap penganjuran program berkenaan.

Perhimpunan anjuran Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) yang menaungi sebanyak 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu turut dihadiri beberapa umat Islam dari Afrika dan Asia Barat yang dipercayai pelajar di salah sebuah universiti di sini.

Menurut Timbalan Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya, program tersebut mempunyai agenda tersirat untuk menggerakkan kempen berterusan bagi mengubah nilai dan landasan akhlak masyarakat di negara ini yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi.

"Kempen tersebut jelas bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan, Kanun Keseksaan dan jenayah syariah kerana ia menyeru orang ramai untuk menjalani kehidupan seks luar tabii yang merupakan suatu jenayah," katanya ketika berucap pada perhimpunan itu.

Di BALING pula, lebih 500 penduduk Kuala Ketil berpiket selama kira-kira 20 minit sambil memegang pelbagai sepanduk antaranya bertulis 'Jangan biarkan sejarah nasib kaum Nabi Luth berulang' dan 'Malaysia negara bermaruah' dan 'Haramkan kehadiran Elton John' di hadapan Masjid Jamek Kuala Ketil selepas solat Jumaat bagi membantah penganjuran program berkenaan.

Ahli Majlis Daerah Baling, Mohd. Aziz Shukri berkata, demonstrasi itu disertai semua umat Islam tanpa mengira fahaman politik kerana program seperti itu dianggap sebagai cubaan mencabar agama Islam.

"Kita tidak boleh biarkan kesucian agama Islam dipermainkan. Yang salah tetap salah. Program ini ternyata akan memberikan kesan yang amat buruk kepada masyarakat terutama golongan remaja," ujarnya.

Sementara itu di PULAU PINANG, kira-kira 100 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam demonstrasi selama sejam bagi membantah penganjuran program mempromosikan seks bebas itu di pekarangan Masjid Kampung Rawa selepas solat Jumaat hari ini.

Salah sebuah NGO yang terlibat dalam demonstrasi itu, Badan Anti Liberalisme Agama (Badai) turut menggesa Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga yang terlibat dengan penganjuran program tersebut didakwa kerana telah banyak menimbulkan kekecohan.

Full content generated by Get Full RSS.

Pemansuhan PPSMI kekal

Posted:

Pemansuhan PPSMI kekal

Pemansuhan PPSMI kekal

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 4 Nov. - Pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Melayu pada tahun 2016 dan untuk Sekolah Menengah pada 2021.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan murid-murid tahun dua tahun ini akan meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sehingga tamat tingkatan lima.

''Murid-murid tahun tiga hingga tahun enam tahun bagi sesi 2012 dibenarkan meneruskan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu atau kedua-dua bahasa di sekolah kebangsaan (SK).

''Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, mereka dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris, bahasa Cina atau kedua-dua bahasa manakala SJK Tamil pula boleh menggunakan bahasa Inggeris, bahasa Tamil atau kedua-dua bahasa.

''Bagi murid yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu atau dalam kedua-dua bahasa, mereka dibenar mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu sepenuhnya," katanya pada sidang akhbar mengenai pelaksanaan peralihan secara mudah (soft-landing) PPSMI di sini hari ini.

Serentak itu, beliau yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, keputusan pemansuhan PPSMI adalah kekal kerana kerajaan tidak bercadang melaksanakannya semula seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak.

''Pelajar yang baru masuk dalam sistem pelajaran kita mulai tahun ini, mereka akan ambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam bahasa Melayu.

''Tetapi kita yakin dengan keputusan itu pencapaian murid di bawah kohort PPSMI dalam peperiksaan UPSR, Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM tidak akan terjejas," katanya.

Muhyiddin berkata, kajian kementerian mendapati hanya 6 hingga 7 peratus sekolah yang melaksanakan PPSMI.

Ini kata beliau menunjukkan kebanyakan sekolah mengajar kedua-dua subjek itu dalam bahasa Melayu dan ia membuktikan PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti yang dihasratkan.

Jelas beliau, kajian mendapati pemerhatian di dalam kelas, pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temu bual murid-murid menunjukkan mereka sukar memahami mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Katanya, murid mengambil masa lama untuk memahami konsep Matematik dan Sains kerana tidak faham bahasa Inggeris sehingga memaksa guru mengajar dalam bahasa Melayu supaya murid dapat memahaminya dan masalah itu turut dialami di bandar.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris melalui pengenalan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Di bawah MBMMBI itu, beliau menambah, kementerian sedang melaksanakan pelbagai inisiatif baru yang lebih efektif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

''Antara inisiatif itu adalah penambahan masa Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru mahir dan penyediaan bahan sokongan yang berkualiti.

''Sehubungan itu, kerajaan berharap pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan dasar MBMMBI dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, ilmu sains dan matematik dalam kalangan pelajar serta mendaulatkan bahasa kebangsaan," katanya.

Muhyiddin menambah, kementerian itu juga sedang mengkaji beberapa inisiatif baru untuk dilaksanakan seperti program Oracy Skills (OPS-ENG) yang bertujuan meningkatkan penguasaan lisan kalangan murid, kelas berdasarkan Sistem Set, peningkatan kualiti dan kepelbagaian bahan pengajaran, pembangunan profesionalisme guru dan kecekapan pengurusan panitia bahasa Inggeris di sekolah.

Full content generated by Get Full RSS.

PPSMI: PM telah dimaklumkan

Posted:

PPSMI: PM telah dimaklumkan

PPSMI: PM telah dimaklumkan

PUTRAJAYA 4 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah dimaklumkan mengenai keputusan berhubung proses pelaksanaan peralihan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebelum beliau berlepas ke Mekah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai Pengerusi Jemaah Menteri, Perdana Menteri sememangnya telah dimaklumkan tentang isu tersebut.

''Kerajaan dalam isu ini bersama-sama. Ini bukan kuasa saya, keputusan ini bukan Kementerian Pelajaran sahaja yang buat, lebih-lebih lagi ia sudah menjadi polemik.

''Kita kena rujuk kepada Perdana Menteri dan beliau bersetuju pemansuhan PPSMI dikekalkan, cuma bagaimana nak melaksanakan dasar yang baru, inilah yang kita umumkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau memberikan reaksi demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Perdana Menteri masih boleh menghalang timbalannya daripada memansuhkan PPSMI kerana ia boleh mencetuskan kemarahan dan rasa tidak puas hati orang ramai.

Muhyiddin berkata, rakyat tidak seharusnya marah dengan keputusan pemansuhan tersebut termasuk Dr. Mahathir sendiri yang merupakan penyokong kuat Barisan Nasional (BN).

''Apabila kita membuat keputusan, bukan kita suka-suka buat. Saya percaya rakyat boleh terima terutamanya para ibu bapa yang jumlahnya 10 juta orang berdasarkan pelajar dalam sistem sekarang seramai 5.3 juta orang.

''Ibu bapa yang ada anak di sekolah tahu anak mereka tidak terjejas dan boleh belajar seperti biasa, yang mereka marah kalau hari ini belajar bahasa Inggeris esok tukar bahasa Melayu, saya fikir selepas ini mereka puas hati," katanya.

Menurut beliau, Perdana Menteri turut memberi pandangan untuk meningkatkan pembelajaran bahasa Inggeris dengan kandungan sastera dalam bahasa Inggeris ditingkatkan.

''Kita kena tengok macam mana mahu olah balik sistem pendidikan kerana kebanyakan sekolah adalah dua sesi, jadi sukar untuk menambah masa belajar.

''Kalau satu sesi, kita tambah satu setengah jam masa belajar, mereka boleh balik lewat sikit, kalau dua sesi sampai maghrib tak boleh balik rumah," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan belum membuat keputusan untuk mewajibkan pelajar wajib lulus dalam mata pelajaran bahasa Inggeris.

''Saya lihat banyak pihak kata bagus supaya pelajar akan tumpu lebih untuk lulus bahasa Inggeris bagi mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi dengan masalah tenaga pengajar, kita akan kaji dulu, belum sampai masanya untuk buat keputusan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rekreasi

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Ripcurl cabar remaja ekstrem

Posted:

Ripcurl cabar remaja ekstrem

Ripcurl cabar remaja ekstrem

Gambar WAN NAQIUDDIN WAN YAACOB
rekreasi@utusan.com.my


Kebolehan mengimbang badan diperlukan bagi memudahkan peserta atau peluncur mempamerkan aksi yang menarik.


Sebab itu, aktiviti sukan lasak sering menjadi pilihan golongan ini sama ada lelaki atau perempuan. Antaranya sukan ekstrem papan selaju (skateboard).

Bagi komuniti skateboard, aktiviti rekreasi ini digemari kerana helah (trick) yang dipamerkan menggunakan kebolehan mengimbang badan di atas peluncur seperti half paip dan pool yang pastinya nampak hebat.

Ketika mempamerkan aksi-aksi yang mendebarkan itu, setiap helah memerlukan komitmen dan tumpuan 100 peratus ketika beraksi terutamanya ketika meluncur di atas tanjakan (ramp) yang lebih tinggi.

Jika tersilap langkah, boleh jadi peluncur tersebut bakal berhadapan dengan situasi yang tidak diingini.

Selain itu, setiap keupayaan yang dipamerkan juga memerlukan fizikal dan mental yang kuat selain latihan bersungguh-sungguh bagi menjayakan helah tersebut.

Pencarian Skate Ripcurl bermula

Baru-baru ini, lokasi Sunway Piramid menjadi tumpuan remaja yang mengilai permainan tersebut ketika Kejohanan Pencarian Skate Ripcurl 2011 sedang berlangsung.

Melihat pelbagai aksi menarik yang dipamerkan 25 peserta (Malaysia) dan lima (Singapura) di atas ramp yang direka khas berdasarkan bentuk logo Ripcurl itu, ia amat mengujakan.

Para peserta nyata berusaha keras menunjukkan kebolehan dan kemahiran masing-masing dengan melakukan pelbagai gaya ekstrem dalam satu masa.

Ada yang menjadi, malah tidak kurang juga sekadar tersungkur jatuh akibat tersalah teknik lompatan mahupun kekurangan keyakinan kendiri.

Bagi yang boleh melakukan aksi tersebut pastinya tersenyum lebar dan berasa puas kerana cubaan berjaya selepas berlatih berulang-kali.

Namun bagi yang tidak mampu pastinya tertanya-tanya bagaimana mereka boleh melakukan aksi berkenaan dan pelbagai lagi persoalan yang sukar dijawab.

Memang sesetengah pergerakan nampak mudah tetapi sukar untuk dilakukan seperti aksi ollie.

Belajar bermain papan selaju boleh diibaratkan seperti sedang menunggang basikal tanpa roda latihan.

Lebih lama dan banyak anda berlatih, maka anda akan lebih selesa ketika berada di atas papan selaju.

Bagi yang berminat untuk mempelajari cara-cara meluncur bukannya sesukar yang disangkakan kerana secara asasnya sukan papan selaju hanya memerlukan peluncur menolak papan tersebut menggunakan sebelah kaki yang lain.

Sebaik sahaja berdiri di atas papan selaju, peluncur perlu mengimbangi badan agar papan itu stabil.

Jika anda boleh mengimbanginya maka helah ollie, pusingan 360 darjah kick flip dan pelbagai lagi aksi yang kelihatan seperti ahli akrobatik mahupun gaya penari hip-hop boleh dilakukan.

Dalam kejohanan tersebut, antara kategori yang dipertandingkan ialah pencarian helah terbaik.

Dalam masa tiga jam yang diberikan, setiap peserta bergilir-gilir mempamerkan pelbagai aksi.

Kategori tersebut dimenangi oleh Mohd. Nazer (Singapura), diikuti peserta tempatan, Mohd. Fikri Zulkifly di tempat kedua dan Faris Ahmad (Singapura) di tempat ketiga.

Menurut Pengurus Jenama Ripcurl, Vivian Chew, sukan papan selaju merupakan segmen permainan paling berpengaruh dalam generasi hari ini.

"Jenama Ripcurl memang sinonim dengan aktiviti luncur dan melihatkan populariti sukan ini semakin meningkat di kalangan golongan muda tempatan membuatkan kami berminat untuk mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan sukan tersebut.

"Kami berharap agar penganjuran sukan lasak seperti ini mampu mewujudkan kesedaran di kalangan anak muda untuk menceburi aktiviti berpotensi seperti sukan papan luncur," katanya.

Tambahnya, jika golongan ini diberi pendedahan dengan teliti maka bakat yang ada pada setiap peserta tersebut boleh dikembangkan lagi sehingga ke peringkat antarabangsa.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Jumaat, 4 November 2011

Utusan Online - Politik

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Politik


Pas gagal didik DAP – Zulkifli

Posted:

Pas gagal didik DAP – Zulkifli

Pas gagal didik DAP – Zulkifli

Oleh SYUKRI SHAARI
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh menolak hukum hudud dan mendakwa bahawa pelaksanaannya hanya meningkatkan kadar jenayah membuktikan kegagalan Pas menjelaskan hukum Islam kepada rakan-rakannya dalam pakatan pembangkang.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, Pas bukan sahaja gagal mendidik rakan-rakannya terutama daripada DAP tentang Islam, malah parti tersebut juga dilihat semakin tersasar dalam memperjuangkan agama itu.

Katanya, usaha Pas untuk memperkenalkan Islam dan memberi kefahaman mengenai agama itu terhadap rakan-rakannya dalam pakatan pembangkang langsung tidak membuahkan hasil, malah perkara sebaliknya berlaku apabila Pas dilihat lebih banyak mengikut telunjuk DAP.

"Apabila Karpal tolak dan mendakwa hudud boleh menyebabkan jenayah meningkat, Pas salahkan orang lain, salahkan UMNO walaupun hakikatnya mereka yang gagal mentarbiyah rakan-rakan mereka daripada pakatan pembangkang untuk memahami Islam.

"Mereka sebelum ini keliling kampung, mendabik dada di hadapan rakyat mengatakan perbezaan mereka dengan UMNO kerana mampu mendidik rakan-rakan yang bukan Islam memahami Islam. Tetapi apa yang berlaku sekarang?

"DAP semakin lantang menentang Islam, Pas pula semakin jauh dari perjuangan Islam. Pas yang mendidik DAP atau DAP yang mendidik Pas?" katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Zulkifli, perjuangan DAP untuk menuntut kebebasan beragama dan kesamarataan dari dahulu lagi tidak pernah berubah.

Sebaliknya, Pas yang kini telah terjebak dengan 'politik kelkatu' semakin jauh tersasar dari landasan perjuangan Islam.

"Pas terpengaruh dan terpesona dengan penguasaan Putrajaya yang didendang oleh Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menyebabkan mereka sanggup mengorbankan prinsip Negara Islam yang diperjuangkan.

"Pas juga meminggirkan umat Islam apabila lebih suka mengikuti perhimpunan bersama golongan bukan Islam daripada menyertai perhimpunan yang bertujuan menyelamatkan akidah umat," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Pembangkang dicabar pecat kakitangan awam

Posted:

Pembangkang dicabar pecat kakitangan awam

Pembangkang dicabar pecat kakitangan awam

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Kerajaan pakatan pembangkang dicabar supaya memberhentikan terlebih dahulu separuh daripada kakitangan awam di negeri yang dikuasai mereka tanpa menunggu kerajaan sedia ada bertukar.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Abdul Samad berkata, beliau sendiri tidak sabar untuk melihat pakatan pembangkang melaksanakan rancangan itu dan melihat apa yang akan terjadi selepas itu.

"Sekiranya DAP rasa cadangan mereka untuk mengurangkan kakitangan kerajaan adalah suatu langkah baik, laksanakan dahulu di negeri Pulau Pinang, Selangor dan Kedah.

"Berhentikan separuh daripada kakitangan kerajaan di negeri tersebut dan kita lihat apa yang akan terjadi.

"Jangan hanya pandai bercakap tetapi tidak melaksanakannya. Saya sendiri tidak sabar melihat mereka melaksanakan perkara ini," katanya ketika dipetik dalam http://umno-online.com. hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua baru-baru ini dalam sebuah akhbar berbahasa Cina pada 1 November lalu bahawa kerajaan DAP akan mengurangkan kakitangan kerajaan dan menamatkan perkhidmatan mereka yang tidak efisien seperti yang dilakukan kerajaan China bagi mengurangkan bajet kerajaan.

Shahrir berkata, motif pakatan pembangkang itu hanyalah mahu menaikkan sentimen rasis dan bukannya berasaskan ekonomi kerana sekiranya mereka benar-benar mahu lakukan apa yang mereka katakan ini, laksanakanlah di negeri pemerintahan mereka.

Ujarnya, apa yang dikatakan oleh Tony Pua itu menggambarkan seolah-olah DAP berminat untuk menyelesaikan masalah ekonomi kerana kononnya kerajaan yang ada sekarang besar. Begitu juga dengan Barisan Nasional (BN) dikatakan kerajaan Melayu.

"Apa yang saya dapat lihat kenyataan itu hanya mahu menaikkan sentimen rasis di kalangan rakyat. Sebab itulah kenyataan tersebut hanya diucapkan di akhbar berbahasa Cina dan bukan di hadapan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) ataupun kakitangan kerajaan sendiri.

''Saya tidak rasa rakan sekutu mereka Pas akan setuju dengan cadangan ini. Tapi seperti kita sedia maklum, Pas hanya akan mengikut telunjuk DAP dan tidak akan membantah walaupun tidak bersetuju," ujar beliau.

Shahrir dalam pada itu menambah, beliau yakin sekiranya langkah memberhentikan kakitangan kerajaan itu dilaksanakan, ia akan mendedahkan negara kepada masalah lain dan menyebabkan huru-hara serta menyusahkan rakyat.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Beregu negara lemah aspek taktikal

Posted:

Beregu negara lemah aspek taktikal

Beregu negara lemah aspek taktikal

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my


Yoo Yong-sung memerlukan masa bagi menilai permainan beregu utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.


KUALA LUMPUR - Isu taktikal adalah antara kelemahan yang dikesan awal jurulatih baru beregu badminton negara, Yoo Yong-sung dari Korea Selatan selepas baru dua hari bertugas.

Itu hasil pengamatan Yong-sung yang dilaporkan oleh ketua jurulatih beregu negara, Tan Kim Her ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Bagaimanapun. jurulatih dari Korea Selatan itu masih memerlukan masa bagi menilai permainan beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sebelum mencatur latihan kedua-duanya.

"Buat masa ini dia (Yong-sung) tidak akan memberitahu apa-apa kelemahan yang ada pada Koo-Tan kerana selepas dua minggu nanti barulah dia akan memberikan perancangan terhadap gandingan tersebut.

"Dalam dua hari ini kita dapat lihat jurulatih dari Korea Selatan itu sudah boleh mengesan kelemahan taktikal yang wajar diperbaiki pada pasangan beregu lain dan ada juga yang kita tidak terfikir pun," kata Kim Her.

Sementara itu, Kim Her memberitahu, pemain mudah untuk menyesuaikan diri dengan Yong-sung serta sudah mula boleh bergurau bersama jurulatih terbabit.

"Saya yakin Yong-sung mampu menjadi lebih rapat lagi dengan pemain meskipun belum pandai sepenuhnya berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.

"Jika ada apa-apa kelemahan yang ingin diperbaiki dia akan maklumkan terlebih dahulu kepada jurulatih, Pang Cheh Chang dan dia juga ikut semua pelan yang telah kita sediakan," jelas Kim Her.

Jurulatih dari Korea Selatan itu pernah memperoleh pingat perak dalam Sukan Olimpik Sydney pada tahun 2000 dan Athens pada 2004 dalam acara beregu bersama pasangannya Lee Dong-soo.

Sebelum ini pasangan utama negara, Kien Keat-Boon Heong dibimbing oleh jurulatih dari Indonesia Rexy Mainaky, namun mereka gagal untuk memperoleh keputusan cemerlang terutama ketika Kejohanan Dunia di London, Ogos lalu.

Selepas kejohanan berprestij dunia itu, prestasi beregu No. 1 negara itu terus suram dan terbaru mereka tewas dalam saingan awal Terbuka Perancis dan Terbuka Denmark.

Full content generated by Get Full RSS.

Penyokong Terengganu desak Che Mat berundur

Posted:

Penyokong Terengganu desak Che Mat berundur

Penyokong Terengganu desak Che Mat berundur

KUALA TERENGGANU - Kira-kira 1,000 penyokong bola sepak Terengganu berhimpun secara aman mendesak supaya Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berundur.

Mereka turut mendesak agar Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said campur tangan dengan melakukan penstrukturan semula persatuan berkenaan termasuk melantik pengurusan baru demi masa depan bola sepak negeri itu.

Sambil membawa kain rentang berbunyi 'MB - Kami Amat Sayang Pasukan Bola Sepak Terengganu, Tolonglah Buat Perubahan', kesemua penyokong itu mula berhimpun kira-kira pukul 5 petang berhampiran Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini.

Selepas itu, mereka berarak beramai-ramai menuju kediaman Menteri Besar di Sri Iman, di Batu Burok untuk menyerahkan memorandum kepada Ahmad.

Bagaimanapun, memorandum yang mendesak penstrukturan semula PBSNT itu gagal diserahkan disebabkan tiada wakil daripada Menteri Besar ketika itu.

Pergerakan kumpulan penyokong tersebut turut diawasi anggota polis bagi mengawal keadaan.

Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sebelum kumpulan penyokong berkenaan bersurai, kira-kira pukul 6 petang.

Dalam pada itu, wakil penyokong tersebut, Khairul Amri Salah Pikri, 23, sewaktu ditemui pemberita berkata, sudah tiba masa bagi Che Mat meletakkan jawatan setelah beliau memikul tanggungjawab itu selama 13 tahun dengan memberi laluan kepada muka baru.

"Kami tak kisah siapa saja jadi presiden PBSNT, yang penting dia adalah seorang yang berwibawa serta komitmen tinggi untuk membawa kemajuan dalam sukan bola sepak di Terengganu.

"Kita nak tengok sukan bola sepak di Terengganu maju, jadi kita harap Menteri Besar (Ahmad) campur tangan dengan membuat perubahan dalam PBSNT," ujarnya.

Menurut Khairul Amri, para penyokong bola sepak Terengganu ingin tahu apa masalah sebenar yang melanda persatuan berkenaan sehingga mendorong jurulatih, Irfan Bakti meninggalkan skuad Penyu untuk berhijrah ke Selangor.

Tambahnya, mereka juga mendakwa berlaku penyelewengan dalam persatuan tersebut termasuk pengagihan wang imbuhan secara tidak adil kepada para pemain Terengganu setelah menjuarai Piala FA.

"Kenapa perlu ada diskriminasi, sedangkan mereka (para pemain) berjuang bermati-matian untuk mengharumkan nama negeri sehingga berjaya merangkul Piala FA lalu," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved