Khamis, 25 Ogos 2011

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


7,307 kompaun dalam sebulan

Posted:

7,307 kompaun dalam sebulan

7,307 kompaun dalam sebulan


Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (depan, tengah) diiringi Ahmad Fuad Ismail melakukan lawatan ke bazar Ramadan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India, kelmarin.


KUALA LUMPUR 24 Ogos - Sebanyak 7,307 kompaun dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke atas kenderaan yang melakukan kesalahan trafik di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Masjid India sepanjang bulan Ramadan ini.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, kompaun itu yang membabitkan pelbagai kesalahan itu bernilai antara RM100 dan RM300.

Beliau berkata, selain saman, DBKL juga telah menunda sebanyak 114 kenderaan kerana menganggu lalu-lintas manakala 10 gerai disita kerana melanggar syarat.

Menurutnya, dari sudut yang positif, jumlah kompaun yang besar itu menunjukkan perniagaan di sekitar Jalan TAR dan Masjid India semakin mendapat sambutan.

"Dari maklum balas yang diterima, sambutan bazar Ramadan pada tahun ini bagi semua kawasan di ibu negara mendapat sambutan yang baik dengan jumlah pengunjung yang semakin bertambah.

"Kebanjiran pengunjung ini menunjukkan ekonomi kita sudah mulai pulih dan orang ramai memang suka berkunjung ke bazar untuk membeli barang pada bulan Ramadan ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan ke Bazar Ramadan Jalan TAR dan Jalan Masjid India di sini, semalam.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz.

Sementara itu, Raja Nong Chik berkata, sistem zoning yang diperkenalkan oleh DBKL di bazar tersebut pada tahun ini dilihat tidak membawa sebarang masalah kepada pengunjung, malah ia lebih memudahkan mereka.

"Sistem ini diperkenalkan untuk memberi suasana yang lebih baik di bazar ini tetapi atas permintaan peniaga yang masih tidak biasa dengan sistem itu, kelonggaran telah diberikan kepada mereka sejak dua minggu lalu," jelasnya.

Mengikut sistem zoning itu, kawasan perniagaan di bazar itu dibahagikan mengikut jenis perniagaan bagi memudahkan orang ramai terutama untuk membuat perbandingan.

Gabungan NGO kukuhkan semangat 1Malaysia

Posted:

Gabungan NGO kukuhkan semangat 1Malaysia

Gabungan NGO kukuhkan semangat 1Malaysia

AMPANG 24 Ogos - Penubuhan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (GPBKSWPKL) bertujuan menjadi pemangkin bagi memperkukuhkan lagi semangat 1Malaysia.

Yang Dipertuanya, Datuk Mad Aris Mad Yusuf berkata, penubuhan GPBKSWPKL memang tepat dengan masa dalam usaha untuk memastikan perpaduan rakyat berbilang kaum terus kukuh di bawah satu payung induk persatuan sedemikian.

"Sesuai dengan pepatah bersatu teguh, maka pelbagai aktiviti kemasyarakatan dapat digerakkan secara bersepadu dalam suasana aman dan harmoni menerusi GPBKSWPKL.

"Usaha persatuan ini juga adalah satu langkah yang lebih praktikal untuk menterjemah konsep 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka itu pada sidang akhbar Mesyuarat Agung Pertama GPBKSWPKL di Taman Ampang Utama, di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat selaku Penaung GPBKSWPKL.

Mad Aris berkata, keahlian daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) terus dibuka untuk menganggotai GPBKSWPKL.

Menurutnya, setakat ini, terdapat sembilan pertubuhan bernaung di bawah GPBKSWPKL yang baharu mendapat kelulusan pendaftaran pertubuhan secara sah dengan keahlian seramai 2,340 orang.

Sementara itu, Tee Keat pada sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut mengumumkan pihaknya menyediakan peruntukan keseluruhan sebanyak RM5,000 kepada GPBKSWPKL untuk diagih-agihkan kepada keluarga yang baru menerima kelahiran bayi.

Ditanya mengenai potensi gabungan itu, beliau berkata, penubuhannya sangat releven dengan situasi semasa supaya masyarakat dapat bergerak secara bersepadu dan berkesan sekali gus mengukuhkan integrasi kaum.

Dua sindiket ah long dikesan

Posted:

Dua sindiket ah long dikesan

Dua sindiket ah long dikesan

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
kota@utusan.com.my

PETALING JAYA 24 Ogos – Polis daerah ini berjaya mengesan dua sindiket pemberi pinjaman wang yang beroperasi secara haram atau ah long yang turut aktif menampal pelbagai jenis iklan di bandar raya ini.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah, Deputi Supritendan Mazelan Paijan berkata, kedua-dua sindiket itu dikesan selepas polis menyiasat 77 nombor telefon yang tertera pada iklan itu.

Menurut beliau, nombor-nombor telefon itu dikenal pasti oleh polis ketika menjalankan operasi menurunkan iklan-iklan haram di bandar raya ini sejak awal tahun ini.

"Hasilnya, dua sindiket ah long yang beroperasi di Pandan Indah, Ampang Jaya dan Klang telah dikesan sebagai pihak yang bertanggungjawab melekat iklan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjalankan operasi menurunkan iklan haram ah long yang diadakan secara bersepadu bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sekitar Sungai Way di sini hari ini.

Mazelan menambah, ketika ini, pihak polis masih melakukan siasatan terperinci tentang aktiviti pinjaman wang yang dijalankan dua sindiket itu.

"Kita akan menjejaki sindiket itu sehingga dapat menangkap ketua mereka atau pihak yang bertanggungjawab menyalurkan wang," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mazelan berkata, operasi menurunkan iklan haram ah long adalah operasi mingguan yang dijalankan polis mengikut kawasan.

Menurutnya, penduduk sekitar Petaling Jaya juga dialu-alukan untuk membantu menanggalkan iklan haram tersebut jika menemuinya sebagai usaha mewujudkan bandar raya selamat dan bersih.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


15 warga emas diselamatkan

Posted:

15 warga emas diselamatkan

15 warga emas diselamatkan

Oleh NURUL HUDA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 24 Ogos - Seramai 15 warga emas termasuk pesakit mental di sebuah pusat jagaan di Kampung Baru, Plentong di sini diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana dipercayai terdapat unsur pengabaian oleh penjaga pusat berkenaan.

Operasi itu dijalankan beberapa jam selepas JKM menyerbu pusat jagaan kanak-kanak di Taman Johor Jaya pukul 3.30 petang semalam dan menyelamatkan 21 kanak-kanak termasuk remaja berusia antara dua hingga 17 tahun.

Pegawai JKM Johor Bahru, Mohd. Faizal Abu Bakar berkata, hasil siasatan awal mendapati, premis yang tidak berdaftar dengan JKM itu dimiliki oleh pemilik sama yang ditahan polis sebelum ini kerana disyaki terlibat dalam kes jenayah.

"Hasil serbuan mendapati, semua warga emas dan pesakit mental ini tinggal dalam keadaan yang tidak selesa dan premis tersebut juga tidak sesuai untuk dijadikan pusat jagaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, semua warga emas dan pesakit mental yang diselamatkan itu berusia dalam lingkungan 40 dan 60 tahun itu ditempatkan di Rumah Seri Kenangan Johor Bahru buat sementara waktu.

"Kita masih lagi meneruskan siasatan dan pada masa ini bekerjasama dengan pihak yang berkenaan untuk mengenal pasti mengapa mereka ini ditempatkan di situ dan sama ada masih mempunyai keluarga atau tidak," katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan seramai 21 kanak-kanak dan remaja berusia antara dua hingga 17 tahun dipercayai mangsa aktiviti pemerdagangan manusia diselamatkan JKM negeri dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Johor Jaya di sini.

Semasa serbuan dilakukan, semua mangsa termasuk dua penjaga bawah umur masing-masing berusia 16 dan 17 tahun sedang nyenyak tidur secara berhimpit-himpit di premis di Jalan Teratai yang dijadikan pusat jagaan sejak enam bulan lalu.

Sultan Johor kurnia RM200,000 untuk kebersihan Johor Bahru

Posted:

Sultan Johor kurnia RM200,000 untuk kebersihan Johor Bahru

Sultan Johor kurnia RM200,000 untuk kebersihan Johor Bahru


SULTAN Ibrahim menyerahkan replika cek sumbangan terhadap usaha menceriakan bandar raya Johor Bahru kepada Shahrir Samad di Masjid At-Taqwa di Johor Bahru, kelmarin.


JOHOR BAHRU 24 Ogos - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan peruntukan berjumlah RM200,000 kepada Parlimen Johor Bahru dalam usaha untuk mengekalkan kebersihan dan keceriaan di kawasan sekitar ibu negeri di sini semalam.

Baginda sendiri menyampaikan peruntukan tersebut kepada Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Samad pada Majlis Berbuka Puasa dan Pengurniaan Sumbangan yang diadakan di Masjid At-Taqwa, Taman Pelangi di sini.

Majlis dihadiri Mufti Johor, Datuk Tahrir Samsuddin; Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Negeri Johor, Datuk Zainal Abidin Osman; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil

Turut hadir, Datuk Bandar Johor Bahru, Burhan Amin; Pegawai Daerah Johor Bahru, Mislan Karmani dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Mok Chek Hau.

Shahrir pada bulan lalu mendapat perkenan daripada Sultan Ibrahim untuk menggunakan tema program Kembara Mahkota Johor (KMJ) sebelum ini, 'Penjagaan Alam Sekitar Tanggungjawab Kita' untuk program gotong-royong berterusan sehingga KMJ tahun depan berlangsung.

Peruntukan yang dikurniakan oleh Sultan Ibrahim akan diagih-agihkan kepada Jawatankuasa Penduduk (JKP) di sekitar ibu negeri dengan masing-masing menerima RM5,000 dalam usaha menggalakkan kerja pembersihan sendiri tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada pihak berkuasa tempatan.

"Sumbangan yang diberikan Tuanku datang daripada Tabung Kembara Mahkota, yang mana baginda berkenan menyumbangkannya kepada Parlimen Johor Bahru dalam usaha memastikan Johor Bahru dalam keadaan bersih.

"Pelaksanaan akan dibuat di peringkat akar umbi yang mana penduduk melalui JKP di kawasan masing-masing akan bertanggungjawab terhadap kebersihan taman atau kawasan lapang di taman perumahan masing-masing," katanya ketika dihubungi.

Menurut Shahrir, usaha gotong-royong secara bersama dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru juga akan diusahakan dalam memastikan tema yang diambil dari KMJ itu dapati direalisasikan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Signifikannya Hari Wanita

Posted:

Signifikannya Hari Wanita

Signifikannya Hari Wanita


Keperluan wanita hari ini semakin diutamakan. - Gambar hiasan


Sebagai salah seorang tokoh wanita negara yang menyaksikan perjuangan wanita dahulu, mungkin Tan Sri boleh ceritakan apa signifikannya kita wujudkan sambutan Hari Wanita

ZALEHA: Sebenarnya sambutan Hari Wanita pertama berlangsung pada 25 Ogos 1962 iaitu diinisiatifkan oleh Allahyarhamah Tun Fatimah Hashim dan dengan persetujuan Perdana Menteri yang pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Pada saya, satu-satu sambutan hari yang berkaitan dengan kumpulan-kumpulan tertentu seperti Hari Wanita, Hari Kanak-Kanak, Hari Buruh dan sebagainya masing-masing ada relevan dan signifikan tersendiri.

Selain untuk meraikan ia juga bagi mengingatkan setiap orang terhadap kumpulan-kumpulan terbabit.

Apabila kita ada satu-satu sambutan maka orang akan ingat. Sedangkan sekarang ini pun kita adakan sambutan masih ada golongan muda yang tidak tahu adanya Hari Wanita, apatah lagi jika tidak ada sambutan.

Hari Wanita biasanya kita sambut dengan ada tema atau fokus pada satu-satu bidang atau aspek tertentu yang kita rasakan kita masih lemah. Dengan adanya tema ini, sepatutnya selepas itu ada usaha-usaha untuk mencipta pencapaian yang lebih baik.

Pada hemat saya, Hari Wanita wajib diteruskan meskipun ada golongan muda merasakan ia tidak perlu. Waktu inilah kita berpeluang merenung perjuangan dan pencapaian kita.

Kalau kita lihat pencapaian wanita hari ini belum pada tahap 100 peratus kerana begitu banyak aspek dalam kehidupan kita dari segi keluarga, kedudukan wanita, keganasan rumah tangga masih belum ditahap yang kita mahukan.

Kalau boleh kita ingin hapuskan semua yang tidak elok dan yang positif kita tingkatkan. Usaha ini mesti berterusan dan salah satu caranya melalui sambutan Hari Wanita di mana adakan seminar, persidangan, lawatan ke luar negara dan sebagainya. Apa akan jadi pada kita kalau kita duduk diam saja?

MAZNAH: Memang diakui generasi muda hari ini kurang menghayati perjuangan orang dulu. Namun dengan adanya sambutan Hari Wanita ini kita dapat mengimbau kembali melihat sejarah siapakah ikon-ikon yang terdahulu.

Apabila ada sambutan sebegini atau wawancara seperti ini kita boleh mengimbau balik sejarah masa lampau dan juga sekarang.

Untuk memupuk penghayatan orang muda terhadap perjuangan wanita mungkin kerajaan boleh melakukan program seperti road tour membawa ikon-ikon negara mendekati masyarakat.

Dengan cara ini kita dapat mendengar atau berbual sendiri dengan tokoh-tokoh ini, sekali gus memberi satu aura yang berbeza dan inspirasi untuk bergerak ke hadapan.

Mungkin tak semua orang tahu siapa itu Tan Seri Zety Akhtar Aziz (Gabenor Bank Negara), ada juga yang nak jumpa Tun Siti Hasmah (Mohd. Ali).

Pada satu ketika saya sendiri teringin berjumpa Tun Siti Hasmah. Alhamdulillah kerana dapat anugerah Duta Belia Negara dapat juga berjumpa dengan ikon negara ini dan kata-kata beliau menjadi perangsang untuk saya hingga ke hari ini.

AZLIN: Memang Hari Wanita amat relevan, hari ini kalau tidak kerana Hari Wanita saya pun tidak dijemput di sini. Kita perlukan hari-hari seperti ini supaya kesedaran itu ada sebagai hari yang perlu untuk mengingat apa yang kita telah capai dan apa lagi yang kita perlu buat.

Pada 2007 kami di Peniagawati telah memperkenalkan anugerah untuk usahawan wanita mengikut dekad sejak merdeka.

Daripada anugerah seperti itu kita dapat belajar tentang ramai wanita kita sudah berjaya. Sebab itulah kita perlukan hari seperti ini sebagai peringatan kepada generasi muda.

Setiap tahun kita menyambut Hari Wanita dengan menghitung pencapaian demi pencapaian. Namun apakah ukuran sebenar kepada kejayaan ini?

Zaleha: Sebenarnya rasa saya pencapaian kita begitu banyak. Kalau dibandingkan dengan zaman saya, ketika mula sekolah dulu wanita Melayu cuma ada berapa kerat sahaja tetapi pada hari ini di universiti, wanita dah melebihi kaum lelaki.

Pada pendapat saya itu menunjukkan pencapaian dari segi pendidikan. Kalau memegang jawatan-jawatan penting dan tertinggi itu boleh dijadikan ukuran, bandingkan dengan zaman sebelum merdeka dengan hari ini rasa saya satu pencapaian yang besar.

Bagi saya satu ukuran yang penting ialah peningkatan taraf hidup. Meningkat taraf hidup dari segi keadaan ekonomi, tidak semesti orang bandar sahaja kaya, kadang-kadang orang di desa juga kaya dengan tanah berpuluh-puluh ekar.

Berbanding negara luar, saya rasa kita perlu berbangga sebab saya lihat bahawa negara kita telah mencapai lebih daripada negara-negara yang saya pernah lawati itu.

Jadi kalau ada pihak mengecil-ngecilkan usaha kita dan kerajaan serta NGO (badan bukan kerajaan), rasa saya tidak patut sebab kita sudah capai banyak. Namun keadaan ini boleh berubah, dari merdeka mungkin jadi tidak merdeka, negara yang maju boleh jadi muflis. jadi kita perlu berusaha dalam segala aspek supaya kita terus meningkat dan terus meningkat, paling tidak pun kita boleh kekalkan keadaan ini.

Masihkah ada jurang yang luas antara wanita bandar dan luar bandar khususnya dari segi ekonomi.

AZLIN: Memang ada persepsi bahawa masyarakat di bandar lebih kaya dan senang berbanding luar bandar. Tetapi kalau kita lihat orang di bandar kadang kala lebih miskin atau dipanggil urban poor atas faktor kos sara hidup sampai kadang kala untuk hantar anak ke sekolah pun tidak mampu.

Program kerajaan sebenarnya sangat adil, ada program untuk di bandar dan ada juga program di luar bandar.

Bermacam-macam program yang telah diadakan bukan setakat di Kuala Lumpur, sebaliknya semua ada untuk meningkatkan kemajuan wanita.

MAZNAH: Pengalaman konvoi bermotosikal memang banyak membawa saya ke merata tempat melihat kehidupan, kemajuan ataupun kekurangan di luar bandar dan juga di bandar

Di bandar memang kita tahu semuanya maju dan mewah, tapi tidak bermakna luar bandar tidak maju, kalau ada yang kurang pun mungkin dari segi pemikiran, kemudahan, infrastruktur dan sebagainya.

Program ekonomi yang memfokus kepada wanita memang banyak contohnya kerja-kerja kraf tangan, tapi sebagai orang muda ini kita lihat balik-balik kerja yang sama.

Mungkin ada langkah atau program lain yang boleh kita tarik minat mereka untuk mereka melakukan perkara yang baru atau memberi pendedahan yang baru. Kita perlu lihat apakah peluang-peluang lain yang boleh mereka bawa dari bandar dan mulakan di kampung.

Keganasan domestik dan keganasan ke atas wanita masih membelenggu seolah-olah satu tamparan kepada segala bentuk kejayaan yang wanita telah capai.

AZLIN: Bab keganasan rumah tangga, saya sebagai peguam berpendapat ia sebagai satu isu yang tidak mudah untuk ditangani.

Kita tidak tahu siapa yang hendak disalahkan. Kadang-kadang kita nasihatkan isteri tapi dia pergi balik ke suami, selepas itu dia cakap peguam pula yang suruh cerai, kita pula yang jadi orang salah.

Kadang-kadang wanita sendiri yang benarkan semua ini berlaku.

Saya rasa apa yang patut yang kita patut buat ialah dengan tingkatkan keyakinan diri wanita tersebut supaya kalau dia dah yakin dia tidak akan kena tipu, dianiaya mahupun dipukul.

Wanita perlu tingkatkan pengetahuan, jangan terlalu takut sebaliknya kena berani. Sebenarnya dengan pengetahuan keyakinan diri kita bertambah. Keyakinan diri perlu ada.

MAZNAH: Kesedaran untuk menghargai dan menghormati wanita harus bermula daripada ibu bapa dan turunkan kepada adik beradik yang paling muda.

Dalam pada itu wanita juga haruslah lebih berkeyakinan. Bagaimana kita hendak membina keyakinan itu. Ia haruslah membina sikap yang positif, minda yang sihat dan banyak kali kita dengar anjakan paradigma

Bila lagi hendak mulakan semua ini kalau tidak dari rumah dan diri kita sendiri. Jangan harapkan orang keliling.

Bagaimana caranya? Rajin-rajinlah dengar syarahan, motivasi, membaca, membuat latihan sendiri serta letakkan harapan kepada diri sendiri untuk membina keyakinan dan kemajuan diri.

Dan balik kepada keganasan tadi, maaf sekali lagi saya katakan hari ini saya tengok senang sangat orang berkahwin dan senang sangat orang bercerai.

Mungkin kita sentuh sedikit isu sensitif, mungkin tentang penggunaan dadah di kalangan belia-belia yang banyak mengambil syabu dan sebagainya.

Kahwin sekejap terus bergaduh kerana dadah tersebut merangsang tindakan-tindakan ganas.

Balik pada wanita, kita haruslah berhati-hati, bina keyakinan, menjaga diri, keselamatan bermula daripada rumah, pakaian kita, itu semua faktor yang perlu ambil berat supaya benda ini tidak datang pada diri kita.

Jangan kita mengganas dengan tak tentu hala, kita boleh buat sukan lasak tapi jangan jadi ganas.

Zaleha: Saya tidak pasti statistik yang tepat, cuma pada hemat saya ada sedikit kekurangan. Tetapi apa yang penting bukan kita nak yang pengganas itu sahaja dihukum, sebaliknya kesedaran di kalangan masyarakat.

Sebab itu setiap kali saya berucap saya kata kepada lelaki, wanita adalah ibu, wanita itu adalah isteri dia, wanita itu adalah adik dia dan wanita juga adalah kakak dia , wanita itu anak dia. Adakah mereka tidak sayang wanita itu, itukan semua itu ahli keluarga kita, kalau semua itu kita sayang dan saling menyayangi.

Untuk membina keyakinan diri , mesti ada ilmu pengetahuan dan kemahiran. Kalau kita tidak ada duit sekali pun tetapi ada kemahiran kita boleh bercakap.

Yang kedua kuasa ekonomi, bila dah ada duit kita boleh buat apa sahaja. Di dalam rumah mesti ada petua-petua sikit dari ibu bapa, seterusnya kita sendiri kena cari dan usaha dan menambahkan keyakinan dan selain itu kita boleh tambah melalui ceramah motivasi , keadaan itu menambahkan lagi keyakinan diri kita.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Berusaha kurangkan beban rakyat

Posted:

Berusaha kurangkan beban rakyat

Berusaha kurangkan beban rakyat

TEMERLOH 24 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan berusaha mengurangkan bebanan rakyat walaupun pada dasarnya ekonomi dunia termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Eropah tidak menentu.

Perdana Menteri berkata, kebanyakan negara di dunia kini tidak dapat membendung inflasi dan kenaikan harga barang kerana ia ditentukan mengikut pasaran dunia.

Namun begitu, jelas beliau, kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) akan terus mencari pelbagai kaedah untuk memastikan rakyat tidak terus hidup tertekan.

''Memang benar pasaran dunia yang menentukan harga barangan tetapi kerajaan tidak berpeluk tubuh bagi memastikan kebajikan rakyat terjamin.

''Kita masih mencari jalan dengan memerah otak mencari idea-idea baru, antaranya ialah rancangan menjual barangan jenama 1Malaysia yang kini dikendalikan oleh pasar raya Mydin," katanya semasa berucap pada majlis berbuka bersama penduduk Temerloh di Dataran Tok Gajah malam ini.

Dalam perkembangan lain, beliau menyindir pihak pembangkang yang melaung-laungkan pemberian RM100 setahun kepada penduduk di negeri mereka sedangkan kerajaan memperuntukkan RM1.4 bilion bagi program kebajikan rakyat.

Sementara itu, Najib mengumumkan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi membina masjid dan dewan baru di sini.

Perdana Menteri berkata, sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi membina sebuah masjid memandangkan masjid sedia ada telah berusia 43 tahun.

Bagi pembinaan dewan yang dikenali sebagai Dewan Tun Razak, kata beliau, sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi membolehkan penduduk daerah ini menjalankan pelbagai aktiviti melalui kemudahan itu.

"Rakyat Temerloh bakal menikmati kemudahan baru dan ia menandakan kerajaan sentiasa prihatin dengan kebajikan mereka," katanya.

Eksplorasi gunung para nabi sumber inspirasi

Posted:

Eksplorasi gunung para nabi sumber inspirasi

Eksplorasi gunung para nabi sumber inspirasi

PUTRAJAYA 24 Ogos - Perdana Menteri menyifatkan program dokumentari Eksplorasi Gunung-gunung Para Nabi yang akan dihasilkan oleh Pendaki Gunung Everest, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin sebagai sumber inspirasi dan ilmu pengetahuan yang amat berguna kepada umat Islam.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga penaung program itu berkata, dokumentari berkenaan yang membabitkan penggambaran di lapan buah negara itu bertujuan mengangkat kisah-kisah nabi dan rasul, di samping memartabatkan kitab suci yang diturunkan oleh Allah.

''Siri eksplorasi itu akan merakamkan gunung-gunung atau bukit-bukit yang pernah menjadi tempat para nabi serta rasul bermunajat kepada Allah.

''Lokasi itu juga menjadi tempat perlindungan baginda dari musuh atau menjadi lokasi peristiwa-peristiwa pertabalan kenabian selain tempat turunnya wahyu Allah bermula dari zaman Nabi Adam hingga Nabi Muhammad SAW," katanya ketika berucap melancarkan program Eksplorasi Gunung-gunung Para Nabi di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Muhamad Muqharabbin yang juga Presiden Kelab Tujuh Benua Malaysia turut menghadiri majlis berkenaan.

Program yang dijangka disiarkan pada bulan puasa tahun depan itu akan membabitkan beberapa buah gunung di tujuh buah negara iaitu Syria, Turki, Palestin, Caucasia, Sri Lanka, Arab Saudi, Mesir dan Jordan.

Penggambaran akan bermula Oktober ini di Sri Lanka sebelum disambung semula di enam lagi negara bermula bulan Januari hingga Mac tahun depan.

Najib percaya usaha untuk mengikuti jejak para nabi dan rasul itu akan mendapat ganjaran pahala yang amat besar di sisi Allah.

Ini kerana, beliau menambah, ekspedisi itu bukan sahaja membolehkan orang ramai menyaksikan kebesaran Allah tetapi ia juga boleh menjadi sumber inspirasi kepada manusia yang lain.

Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri di Permatang Pauh

Posted:

Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri di Permatang Pauh

Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri di Permatang Pauh

KUALA LUMPUR, 24 Ogos — Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri tahun ini akan diadakan di kawasan Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 11 September ini, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Majlis anjuran kementerian itu akan berlangsung di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, bermula dari 11.30 pagi sehingga 1 tengah hari, katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menghadiri majlis rumah terbuka itu yang dijangka dihadiri 10,000 tetamu, katanya.

Beliau berkata, masyarakat setempat termasuk mereka yang tinggal berdekatan seperti dari kawasan utara Perak dan selatan Kedah dijemput untuk memeriahkan majlis tersebut.

"Di situ kita akan lihat senario berhari raya dalam suasana kampung yang meriah dengan harapan majlis itu akan mencerminkan sesungguhnya gagasan 1Malaysia itu terbukti dapat mengukuhkan perpaduan sesama rakyat," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet di pejabatnya di Kompleks Sultan Abdul Samad di sini hari ini.

Rais turut menyarankan agar masyarakat membuang segala bentuk perbalahan, persengketaan dan sifat saling melagakan antara satu sama lain sebagai menghargai kedatangan perayaan berkembar, 1 Syawal dan Hari Kemerdekaan hujung bulan ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Bapa 14 anak rayu bantuan

Posted:

Bapa 14 anak rayu bantuan

Bapa 14 anak rayu bantuan

Oleh ABDUL RAZAK DIN
utusanperak@utusan.com.my


ASIAH Manan bersama empat anaknya di rumah mereka di Kampung Makmor, Sungai Siput, baru-baru ini.


SUNGAI SIPUT 24 Ogos - Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini hambar buat sekeluarga 16 orang apabila bakal kehilangan tempat berteduh untuk meneruskan penghidupan.

Ini kerana tuan tanah tempat Mohd. Razi Mat, 62, menetap bersama isteri, Asiah Manan, 61, dan 14 anaknya di Kampung Makmor di sini sejak 1983 berhasrat mengambil kembali tanah yang disewakan itu.

Kata Mohd. Razi, perasaannya untuk menyambut Aidilfitri kali ini berkecamuk memikirkan nasib keluarganya selepas ini.

"Tak tahulah apa nasib kami selepas ini. Hidup kami ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' kerana kemiskinan yang tidak berkesudahan.

''Kini masalah tempat tinggal menghantuinya dan oleh itu saya memohon Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Lintang membantunya menyelesaikan masalah yang dihadapainya," katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Menurut Mohd. Razi, empat anaknya sudah mendirikan rumahtangga manakala 10 lagi masih dalam tanggungannya dengan dua lagi masih bersekolah.

Katanya, anak sulungnya, Mohd. Fuzilan, 31, kini dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) setelah kehilangan sebahagian kaki dan tangan akibat kemalangan.

"Saya mohon bantuan kerajaan negeri untuk memberikan rumah di bawah Program Perumahan Mesra Rakyat bagi membolehkan 10 anak saya berteduh termasuk memohon bantuan dari Yayasan Bina Upaya Perak, sehingga kini masih belum mendapat jawapan," katanya.

Difahamkan, sebidang tanah telah disediakan di kawasan berhampiran namun Pejabat Daerah dan Tanah Sungai Siput belum meluluskannya. Menurutnya, dengan hanya bekerja kampung dia terpaksa menyara kehidupan mereka sekeluarga.

"Saya membuat kerja-kerja kampung seperti meracun dengan pendapatan RM40 sehari. Sepanjang Ramadhan ini kami makan sekadar termampu sahaja," katanya.

Jelasnya, akibat pendapatan yang tidak mencukupi, rumah yang didudukinya sekarang terlalu uzur dan terlalu sempit untuk diduduki walaupun sebelum ini pernah mendapat bantuan pembinaan rumah.

"Akibat rumah yang sempit juga anak-anak terpaksa tidur berhimpit- himpit dan kadang-kadang mereka yang sudah besar terpaksa menumpang tidur di rumah jiran," katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati sebahagian besar daripada dapur rumah Mohd. Razi sudah berlubang akibat dimakan anai-anai manakala atapnya hanya ditutupi dengan plastik untuk mengelak ditimpa hujan.

Akibat kemiskinan juga, dia terpaksa mendapatkan bekalan air dari rumah jiran.

Sementara itu, Mohd. Fuzilan turut merayu kepada pihak berkuasa supaya memberikannya bantuan kaki dan tangan palsu supaya boleh berdikari.

"Kaki palsu yang digunakannya sekarang sudah rosak. Saya merayu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal memberi bantuan untuk mendapatkan kaki dan tangan palsu bagi meneruskan kehidupan," katanya yang kini menjadi pembantu kedai.

Kepada sesiapa yang berhasrat membantu keluarga Mohd. Razi boleh mengunjungi mereka di No. 10D, Kampung Makmor, Sungai Siput Utara, Perak atau menghulurkan bantuan ke akaun Maybank 166010044077 atau boleh menghubunginya di talian 013-4140170.

ADUN meriahkan Aidilfitri anak yatim

Posted:

ADUN meriahkan Aidilfitri anak yatim

ADUN meriahkan Aidilfitri anak yatim

ALOR SETAR 24 Ogos – Seorang ibu tunggal yang memelihara enam anak dan tiga cucu dalam keadaan serba kekurangan berasa hiba apabila mengenangkan persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Ini kerana, Fatimah Abdullah, 48, berkata, persiapan menyambut perayaan itu disambut secara ala kadar sahaja ekoran kesempitan hidup.

"Perasaan saya bertambah sebak bila teringatkan anak keempat, Mohd. Lutfi Mohd. Nazri, 18, yang meninggal dunia pada 27 Julai lalu akibat kemalangan jalan raya," katanya kepada pemberita ketika dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Suraya Yaacob untuk membeli baju raya anak-anaknya di gedung beli-belah Kamdar di sini semalam.

Seramai 14 anak yatim dari Pendang dan Sungai Tiang turut dibawa membeli baju raya oleh Suraya di gedung berkenaan.

Fatimah berkata, sejak kematian suaminya, Mohd. Nazri Manaf, 45, pada Ogos 2008, anak sulung mereka, Mohd. Aziz, 28, yang bekerja sebagai juruteknik menjadi tempat bergantung untuk menyara keluarga.

Menurut Fatimah, anak-anaknya yang tinggal bersamanya di rumahnya di Kampung Baru Pendang, adalah Saifullah, 24, Mohd. Taufik, 20, Shuhada, 16, Sofi, 11, dan Nor Zaida.

Selain itu, dia turut memelihara tiga cucu berusia dua hingga lima tahun selepas anak sulungnya itu berpisah dengan isterinya.

"Saya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan selain dibantu oleh anak sulung tetapi persiapan hari raya memang ala kadar sahaja," katanya.

Sementara itu, lima beradik berusia lapan hingga 16 tahun yang kehilangan bapa pada 4 Ramadan lalu pula berasa sebak ketika hendak membuat persiapan Syawal kali ini bersama ibunya, Normadiah Mahmud.

Ini kerana Fakhrul Radzi Ismail, 16, berkata, dia bersama adiknya, Mohd. Tajul Arifin, 14, Umi Barokah, 12, Fathul Daulah, 10, dan Mursyidah, 8, kali pertama menyambut perayaan itu tanpa bapa tersayang, Ismail Eating, 51, yang meninggal dunia akibat penyakit bengkak hati.

"Kami rasa sedih kerana ayah meninggal dunia secara mengejut.

"Cuma pesan ayah yang terus segar dalam ingatan iaitu arwah mahu kami menjadi orang yang soleh dan solehah," katanya yang menambah bapanya adalah seorang guru Pendidikan Islam di sebuah sekolah kebangsaan dekat sini.

PPDNKK pantau harga ayam

Posted:

PPDNKK pantau harga ayam

PPDNKK pantau harga ayam

Oleh MARZITA ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my


Khairul Amin Talib melihat ayam yang dijual di pasar ketika operasi tanda harga menjelang musim perayaan di Pasar Awam Sena, Kangar, kelmarin.


KANGAR 24 Ogos - Pejabat Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perlis berpuas hati dengan sikap peniaga yang mematuhi arahan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2011 yang bermula semalam.

Namun, kata Pengarahnya, Khairul Amin Talib, pihaknya akan memantau harga di pihak pemborong ayam yang dikatakan menjual bahan mentah itu melebihi daripada harga yang ditetapkan.

"Kita menerima aduan daripada para peruncit mengenai sikap pemborong yang tidak mematuhi harga yang ditetapkan dan di Perlis hanya ada tiga pemborong ayam," katanya kepada para pemberita selepas mengadakan tinjauan harga barang di Pasar Awam Sena di sini semalam.

Menurut beliau, harga jualan bagi ayam hidup adalah RM6.10 dan RM7.20 bagi ayam standard di pihak peruncit manakala harga yang ditetapkan di pihak pemborong adalah RM5.40 bagi ayam hidup dan RM6.35 bagi harga ayam standard.

Mengenai isu kekurangan minyak masak, beliau berkata, isu itu tidak timbul di negeri ini namun, yang berlaku adalah pembelian luar biasa dalam kalangan pengguna menjelang musim perayaan.

"Stok di pihak pemborong dan peruncit memang ada namun, bahan mentah ini habis dibeli oleh pengguna dalam tempoh singkat justeru, ada peniaga yang mengehadkan pembelian bahan mentah ini kepada para pengguna," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menghalang tindakan peniaga itu kerana ia dapat membantu daripada berlakunya penyelewengan bahan mentah bersubsidi itu dalam kalangan pengguna.

Dalam pada itu, Khairul Amin berkata, semua bekalan bahan mentah di negeri ini mencukupi untuk para pengguna menjelang Aidilfitri ini.

"Begitupun anggota PPDNKK akan menjalankan pemantauan setiap hari ke semua premis perniagaan bagi memastikan para peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, melalui Ops Raya yang bermula 1 Ogos lalu sehingga hari ini, pihaknya telah memeriksa sebanyak 7,968 premis perniagaan.

Menurut beliau, daripada pemeriksaan itu sebanyak lima kes dikesan melakukan kesalahan iaitu tiga kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dengan nilai rampasan sebanyak RM1,756 dan dua kes di bawah Akta Perihal Dagangan dengan nilai rampasan RM3,500.

Katanya, bermula Januari sehingga Ogos tahun ini pihaknya telah merampas pelbagai barangan bernilai RM883,572 yang membabitkan pelbagai akta.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Isi borang sebelum balik kampung

Posted:

Isi borang sebelum balik kampung

Isi borang sebelum balik kampung

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 24 Ogos – Orang ramai yang ingin pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi dinasihatkan supaya mengisi borang balik kampung di mana-mana balai polis berdekatan di negeri ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, langkah itu penting bagi memaklumkan mengenai ketiadaan mereka di rumah supaya rondaan cegah jenayah dapat dilakukan di kawasan kediaman mereka.

Menurutnya, ia adalah antara usaha berkesan pihak polis untuk membanteras kes-kes kecurian serta pecah rumah sepanjang musim cuti ini.

"Bagaimanapun, mulai tahun ini, orang ramai tidak perlu lagi bersusah payah mendapatkan borang ini di balai polis, sebaliknya mereka boleh memuat turun borang di laman web rasmi Polis Diraja Malaysia iaitu www://rmp.gov.my.

"Borang yang lengkap diisi itu kemudian perlu diserahkan di balai polis berhampiran tempat tinggal bagi memudahkan pihak polis mengenal pasti rumah-rumah yang tidak berpenghuni untuk melakukan rondaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ops Sikap Ke-24 dan Kempen Balik Kampung, Rumah Selamat di Melaka Mall, di sini, hari ini.

Tambah Ghee Lye, pihaknya akan membuat rondaan dan pemantauan secara lebih kerap sepanjang ketiadaan mereka dan diharapkan kempen kali ini mencapai rekod cemerlang seperti kempen-kempen terdahulu.

"Program ini ternyata memudahkan perancangan dan penugasan polis untuk membanteras jenayah sekiranya kerjasama erat antara masyarakat dan polis kekal terjalin," katanya lagi.

Bekalan kelapa di Melaka ditambah

Posted:

Bekalan kelapa di Melaka ditambah

Bekalan kelapa di Melaka ditambah


Ghazale Mohamad (tengah) memeriksa stok kelapa untuk Aidilfitri di Ayer Keroh, Melaka, semalam.


MELAKA 24 Ogos - Kira-kira 60,000 biji bekalan kelapa akan ditambah di negeri ini bagi memastikan bekalannya mencukupi sepanjang Ramadan dan Aidilfitri akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Ghazale Mohamad berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan berusaha mendapatkan bekalan tersebut melalui negeri-negeri berhampiran bagi menampung keperluan bahan tersebut.

Menurutnya, dengan penambahan bekalan itu, pihaknya yakin tidak akan berlaku kekurangan bekalan kelapa menjelang Aidilfitri ini.

''Kita mengambil usaha ini ekoran meningkatnya permintaan bahan terbabit berbanding bulan biasa khususnya daripada peniaga pasar Ramadan dan pasar mentah di seluruh negeri," katanya pada sidang akhbar mengenai bekalan kelapa di pejabat FAMA negeri di sini, hari ini.

Menurut beliau, bekalan kelapa pada hari biasa hanya sekitar 30,000 biji sebulan namun, bilangannya meningkat kepada kira-kira 300,000 biji sejak awal Ogos lalu.

Bagi menampung pertambahan bahan itu, katanya, kira-kira 360,000 biji kelapa telah diimport dari Indonesia secara berperingkat bermula dua minggu lalu.

''Kelapa yang diimport ini akan dijual kepada orang ramai melalui pasar tani FAMA yang dibuka diseluruh negeri seperti di Klebang, Masjid Tanah dan Merlimau.

''Peniaga yang berminat membeli kelapa boleh menghubungi FAMA bagi mendapatkan bekalan terbabit bagi menampung keperluan pengguna di tempat mereka," katanya.

Selain itu, kata Ghazale, FAMA turut mengambil langkah proaktif dengan melancarkan pusat jualan Aidilfitri pada 28 Ogos ini di Alor Gajah bagi memastikan pengguna memperoleh bekalan makanan yang mencukupi pada harga berpatutan.

Bomba sedia pertingkat rondaan musim perayaan

Posted:

Bomba sedia pertingkat rondaan musim perayaan

Bomba sedia pertingkat rondaan musim perayaan

SEREMBAN 24 Ogos - Beberapa lokasi yang dianggap panas dan dikenal pasti kerap berlaku kemalangan di negeri ini akan dipantau oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan menerusi rondaan sepanjang musim perayaan ini.

Pengarahnya, Saadon Mohktar menjelaskan, langkah itu merupakan salah satu pendekatan pihaknya untuk mempercepatkan pemberian bantuan kepada mangsa kemalangan.

Jelas beliau, rondaan tersebut akan melibatkan beberapa kenderaan bomba termasuk unit bermotosikal.

"Rondaan ini merupakan sebahagian daripada Ops Raya yang dilancarkan pada 22 Ogos lalu dan akan berakhir pada 6 September ini," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan simulasi menyelamat mangsa kemalangan di Kilometer 249.8, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan kelmarin.

Saadon turut menjelaskan, seramai 400 anggota dari 13 balai bomba di seluruh negeri ini sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan semasa musim perayaan ini.

"Selain melakukan rondaan, kita juga menempatkan anggota dan peralatan di Plaza Tol Senawang dan Hentian Rehat dan Rawat Nilai sebagai persediaan menghadapi sebarang kejadian tidak diingini.

"Kita berharap dengan langkah-langkah yang diambil ini akan mempercepatkan tindakan kita membantu mangsa kemalangan selain dapat mengurangkan jumlah kematian," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Bantuan sara hidup diperluas

Posted:

Bantuan sara hidup diperluas

Bantuan sara hidup diperluas

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
dan THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bersama kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), warga emas serta balu tentera dan polis menghadiri program Kebajikan 1Malaysia (Kar1sma) bagi membela golongan kurang bernasib baik pada majlis pelancarannya di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN


PUTRAJAYA 24 Ogos – Kerajaan hari ini mengumumkan penerima bantuan sara hidup untuk golongan yang memerlukan akan diperluaskan jaringannya kepada balu-balu anggota polis dan tentera yang layak.

Serentak itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM1.4 bilion iaitu pertambahan RM200 juta menerusi program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Kar1sma).

Menurutnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus menegakkan keadilan sosial untuk meningkatkan kualiti hidup golongan yang memerlukan seperti orang kurang upaya (OKU), warga emas dan balu anggota polis dan tentera.

''Hari ini apabila kita mengubah hala tuju dan fokus kerajaan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP), kita mengenal pasti kelompok masyarakat yang agak terpinggir dan memerlukan bantuan kerana ia merupakan prinsip dalam Gagasan 1Malaysia.

''Dalam kemelut ekonomi dunia sekarang, ada negara tertentu yang ekonominya menguncup sehingga pencen terpaksa dipotong dan bantuan kebajikan dikurangkan, tetapi alhamdulillah kita bukan sahaja boleh meneruskannya tetapi menambahkan lagi peruntukan," katanya ketika berucap semasa melancarkan Kar1sma di pejabatnya di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fa Kui dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Justeru, beliau berharap dengan peruntukan yang lebih besar itu, ia mampu menaikkan semangat dan ilmu baru kepada penerima untuk menyumbang kepada masa depan mereka dan keluarga.

Perdana Menteri berkata, perubahan akronim Kar1sma akan menjadikan kerja-kerja kebajikan yang tidak glamor kepada glamor.

Dalam nada sinis, Najib berkata, kerajaan BN memberikan bantuan untuk hampir 500,000 orang atas prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan berbanding pembangkang yang menghulurkan bantuan untuk satu bulan tetapi riuh sekampung.

Warga emas terima peruntukan terbesar RM455 juta

Posted:

Warga emas terima peruntukan terbesar RM455 juta

Warga emas terima peruntukan terbesar RM455 juta

PUTRAJAYA 24 Ogos - Lebih 30 peratus daripada peruntukan RM1.4 bilion dalam program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Kar1sma) akan disalurkan untuk membantu golongan warga emas.

Daripada kira-kira 500,000 penerima bantuan yang disasarkan, warga emas menerima peruntukan terbesar iaitu RM455 juta diikuti orang kurang upaya (RM332 juta), program-program kemasyarakatan komuniti (RM303 juta), kanak-kanak (RM290 juta) dan balu polis dan tentera (RM4.1 juta).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kementeriannya akan memberi bantuan secara berterusan untuk memastikan kumpulan sasaran tersebut keluar daripada kemelut kesusahan.

''Mereka yang memerlukan akan diberi bantuan sara hidup antara RM100 hingga RM450 setiap bulan, jumlah ini merupakan tanda keprihatinan kerajaan terhadap golongan berpendapatan rendah," katanya selepas menghadiri majlis pelancaran Kar1sma yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Di bawah Kar1sma, pelbagai perkhidmatan seperti bantuan kewangan bulanan, pusat jagaan harian, program ziarah dan bantu, insentif OKU produktif, latihan kepada ibu tunggal, pemeriksaan kesihatan dan mamogram serta pusat aktiviti kanak-kanak ditawarkan kepada kumpulan sasaran.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata, kementeriannya memandang berat soal pengagihan bantuan sara hidup secara tepat kepada semua kumpulan sasaran.

''Pengagihan bantuan yang tepat waktunya kepada semua kumpulan sasar turut menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang baru Hadzir Md. Zain," katanya.

Pembangkang tidak hormat raja

Posted:

Pembangkang tidak hormat raja

Pembangkang tidak hormat raja

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Pakatan pembangkang, PKR, DAP dan Pas dilihat semakin tidak menghormati institusi diraja sebagai payung perlembagaan negara berikutan tindak-tanduk mereka membelakangi entiti tersebut kebelakangan ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ini terbukti apabila kerajaan PKR Selangor berbohong dengan mendakwa Sultan Selangor berkenan meluluskan penubuhan sebuah majlis syura berikutan isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja awal bulan ini.

"Saya fikir kita patut mencari kebenaran isu ini, tetapi saya percaya Sultan Selangor kalau baginda kata baginda tidak bagi (luluskan penubuhan), itu yang patut kita percaya dan tentang orang politik ini, dia politiklah.

"Saya dapati parti pembangkang tidak menghormati institusi beraja, mereka lihat raja sebagai penghalang juga," katanya selepas sidang akhbar pelancaran Kejohanan Cabaran Basikal Bukit Langkawi (LIMBC) 2011 di sini hari ini.

Kelmarin, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan meluluskan penubuhan Majlis Penasihat Syura bagi menyelesaikan isu pemeriksaan JAIS ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) yang dipercayai telah menyebarkan agama Kristian kepada penganut Islam.

Bagaimanapun semalam, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani mengeluarkan kenyataan akhbar bagi membetulkan keadaan bahawa baginda tidak pernah menitahkan atau menasihatkan penubuhan majlis sebegitu kepada kerajaan negeri.

Selain insiden terbaru itu, pembangkang sebelum ini turut menyokong kenyataan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan membenarkan badan haram itu menganjurkan demonstrasi jalanan di ibu negara pada 9 Julai lalu.

Mengulas perkara itu, Dr. Mahathir memberitahu, pihak pembangkang jelas gemar memanipulasi pertemuan mereka dengan sultan dan raja-raja Melayu yang menjadi simbol perpaduan negara.

"Mereka kalau boleh hendak gunakan raja untuk kepentingan mereka dan ini nampak jelas sekali," tegasnya.

Kepada satu soalan, jelas beliau, rakyat serta para pemimpin diingatkan supaya tidak memberi ruang kepada kuasa asing yang sentiasa cuba menyerap masuk demi mencari kekayaan seperti hasil minyak dan sumber lain.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved