Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

DUA orang kanak-kanak melihat keadaan dewan serba guna yang sudah uzur dan tidak lagi digunakan oleh penduduk di rumah panjang Jinjang Utara, Kepong, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR 13 Mei - Lebih 1,000 penduduk di tiga buah rumah panjang di Jinjang Utara, Kepong di sini masih menunggu kediaman baharu yang dijanjikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak hampir 22 tahun lalu.
Sebelum ini, mereka ditempatkan buat sementara waktu di rumah panjang itu selepas dipindahkan dari kawasan landasan kereta api di Segambut, Sentul, Pudu, Sungai Besi dan Kepong pada tahun 1990 untuk memberi laluan kepada pembinaan lebuh raya dan beberapa projek lain.
Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi terbabit mendapati, rumah panjang tersebut kini sudah uzur dan tidak terurus selain berdepan masalah sistem perparitan dan terletak berdekatan dengan tapak pembuangan sampah haram.
Beberapa buah rumah turut menjadi mangsa vandalisme manakala beberapa strukturnya seperti atap dan besi paip dipercayai dicuri.
Selain itu, perumahan tersebut kekurangan kemudahan untuk penduduk mengadakan aktiviti kemasyarakatan dan satu-satunya dewan serba guna di situ turut terbiar dan uzur.
Rata-rata penduduk masih bingung, tertanya-tanya dan kecewa dengan janji yang dibuat sebelum ini untuk memindahkan mereka ke kediaman baharu.
Walaupun sudah puluhan tahun menanti, mereka masih berharap dapat mendiami rumah baharu dengan kemudahan asas yang lebih baik serta dapat menampung jumlah ahli keluarga yang kian bertambah.
Wakil penduduk, M. Arumugam, 52, berkata, masalah tersebut pernah diadukan kepada empat Datuk Bandar Kuala Lumpur sebelum ini, namun impian untuk mendapat kediaman baharu masih belum tertunai.
Sebaliknya, katanya, penduduk terpaksa bersabar dan terus tinggal dalam keadaan kurang selesa di rumah panjang itu.
Kami tidak akan berputus asa dalam menuntut hak untuk dipindahkan ke penempatan baharu yang dijanjikan kerana kami benar-benar mahu menikmati kehidupan lebih baik selepas sekian lama menanti," jelasnya.
Katanya, ketika dipindahkan ke kawasan itu, pihak DBKL telah berjanji kepada penduduk bahawa mereka akan tinggal antara enam bulan hingga dua tahun di rumah panjang itu sebelum berpindah ke rumah yang disediakan.
Kami mahukan kediaman sendiri. Bayangkan dalam tempoh 20 tahun, kami terpaksa membayar sewa rumah panjang ini.
Jika membeli rumah, sudah tentu bayarannya sudah habis dijelaskan," katanya ditemui ketika lawatan Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Wilayah Persekutuan, Datuk A Chandrakumanan ke kawasan tersebut di sini baru-baru ini.
Dalam lawatan itu, penduduk juga menyerahkan memorandum kepada Chandrakumanan yang menuntut penjelasan mengenai nasib mereka.
Dalam pada itu, Arumugam turut mempersoalkan projek pembinaan perumahan berhampiran kediaman mereka dan meminta penjelasan sama ada ia adalah untuk dijual kepada mereka.
Jika ia dibina untuk kami sudah tentu kami berharap pihak DBKL dapat memberi tawaran harga istimewa dengan kadar yang lebih rendah.
Kami tidak mengharapkan pampasan, cukuplah jika diberikan harga istimewa untuk warga emas, orang kurang upaya dan ibu tunggal untuk membeli rumah itu.
Selain itu, kami juga ingin tahu cara penyelesaian bagi penduduk yang tidak menyelesaikan bil-bil sewa, air dan elektrik di rumah panjang ini," katanya.
Menurutnya, masalah itu timbul kerana sebelum ini penduduk sepatutnya berpindah selepas dua tahun namun masih menjadi penghuni kekal di rumah panjang itu.