Jumaat, 9 Mei 2014

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Sedia berubah sebelum diubah

Posted: 09 May 2014 12:00 PM PDT

USIA UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 genap 68 tahun, esok. Parti yang lahir di Istana Besar, Johor Bahru, Johor kini menghadapi pelbagai cabaran getir dalam menarik sokongan orang Melayu khususnya generasi muda yang bakal menjadi penentu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan jurugambar, SAIFUL BAHARI ASHARI baru-baru ini, Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), MOHD. SHAHAR ABDULLAH menegaskan, transformasi politik UMNO perlu ditambah baik bagi memastikan ia benar-benar berkesan dalam menarik sokongan padu orang muda.

UTUSAN: Sejauh manakah kejayaan transformasi politik UMNO?

MOHD. SHAHAR: Kita akui dan gembira dengan transformasi yang dilakukan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah berjaya menarik dan membuka peluang yang seluas-luasnya kepada golongan muda pelbagai peringkat untuk bergiat aktif dalam parti, termasuklah anak muda yang berpendidikan tinggi serta lulusan universiti yang turut berpeluang memberi sumbangan kepada parti.

Jika dahulu sistem UMNO agak menyukarkan anak-anak muda untuk menyertai dan memegang jawatan. Tetapi menerusi transformasi yang dilaksanakan, nampaknya sudah ada sedikit pencerahan.

Maknanya sudah ada ramai anak muda lulusan universiti yang memegang jawatan ketua Pemuda bahagian, jawatan-jawatan dalam Pemuda, Puteri dan pentadbiran bahagian. Situasi ini cukup baik sebagai latihan kepada peneraju UMNO di masa hadapan.

Terdapat juga transformasi dalam segmen-segmen lain. Perubahan oleh UMNO sudah ada, tetapi yang perlu kita semak kembali adakah perubahan ini dirasai, difahami dan berkesan sehingga ke akar umbi iaitu di peringkat bahagian dan cawangan?

Apakah transformasi lain yang perlu dilakukan?

Untuk menentukan apakah bentuk transformasi lain, kita perlu melihat sejauh mana kebenaran dakwaan sesetengah pihak bahawa hari ini anak muda jauh daripada UMNO, mereka tidak suka kepada parti ini dan anak muda agak sinis apabila disebut nama UMNO?

Saya akui ada kebenaran sebahagian daripada cerita-cerita ini disebabkan wujudnya sebilangan kecil anak muda yang sudah mula mempertikaikan siasah perjuangan UMNO kerana mereka melihat parti ini seperti sebuah kenderaan yang tidak bersifat sepanjang zaman.

Ia diburukkan lagi dengan pelbagai propaganda licik pembangkang yang saban hari menggunakan media sosial untuk mencipta persepsi yang telah mengaburi kebenaran akan kemampuan UMNO menjadi parti pembela orang Melayu.

Untuk menarik sokongan orang muda, kita perlu membuat mereka melihat UMNO ini seperti sebuah kenderaan yang mampu dan akan membawa mereka ke destinasi yang lebih baik, sesuai dengan perubahan zaman dan kehendak semasa.

Ketika mula-mula ditubuhkan, parti telah berjaya membawa rakyat termasuk anak muda ketika itu keluar daripada zaman penjajahan ke zaman kemerdekaan. Ketika itu sokongan anak muda sangat tinggi dan UMNO adalah segala-galanya.

Sekarang, walaupun UMNO masih sebuah kenderaan yang mempunyai empat tayar, satu enjin dan satu stereng, ia perlu mengubah nilai perjuangannya supaya bersifat relevan, kontemporari dan dikehendaki oleh orang Melayu.

Apakah nilai-nilai perjuangan kontemporari?

Untuk menentukan nilai-nilai ini, UMNO kena membuka pintu seluas-luasnya untuk menerima pandangan anak muda melalui pendekatan berbeza mengikut kepelbagaian latar belakang mereka. Kita kena sedar bahawa anak muda suka bercakap dan menyuarakan pendapat dalam apa sahaja lapangan dalam sebilang masa. Sebab itu, mereka menggunakan platform Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain untuk meluah dan berkongsi perasaan, idea dan pandangan.

Apa sahaja yang berlaku di depan mata, mereka cepat hendak menyatakan komen. Komen ini kadangkala agak kritikal, agresif dan ada juga yang hanya bersifat persepsi semata-mata. Jangan nampak agak kritikal sedikit, kita sisihkan dan tuduh mereka mempunyai pemikiran pembangkang. Walhal mereka menyokong kita, cuma mereka mahukan Malaysia menjadi lebih baik daripada hari semalam.

Selain itu, adakah ramai pemimpin UMNO sudah kerap kali turun secara tidak formal ke syarikat besar, syarikat milik kerajaan (GLC) dan universiti untuk mendekati, bertemu dengan golongan pekerja termasuklah kelompok tenaga profesional, pensyarah dan teknokrat bagi mendengar serta menyelami apa masalah mereka?

Pemimpin peringkat bahagian juga perlu memainkan peranan bertemu masyarakat termasuk pergi ke sekolah-sekolah setiap minggu bagi mendengar apa sebenarnya rungutan ibu bapa, guru dan pelajar. Setelah dapat menyenaraikan semua masalah dan rungutan berkenaan, kita kena jadikan langkah untuk menyelesaikannya sebagai satu siasah perjuangan UMNO dan barulah perjuangan kita bersifat kontemporari.

Apakah kehendak orang Melayu sekarang?

Orang Melayu hendak pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak. Mereka juga mahukan pemimpin yang mengutamakan pendekatan agama.

Oleh itu, pemimpin UMNO perlulah terus memperkasakan nilai-nilai agama dalam gerak kerja masyarakatnya seperti mengimarahkan surau dan masjid serta berupaya membaca doa, mengimamkan solat dan memberi tazkirah selepas sembahyang.

Dari segi pembangunan ekonomi dan keperluan hidup, orang Melayu mahukan rumah dan tempat berniaga selesa. Janganlah apabila orang Melayu buka gerai tepi jalan, datang majlis perbandaran, roboh gerai berkenaan, sedangkan tiada arked perniagaan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan setempat.

UMNO juga perlu membantu orang Melayu bersaing dan membuka perniagaan di kompleks beli-belah dan memperkasakan orang Melayu bagi meningkatkan keupayaan mereka untuk membuka kedai-kedai besar.

Kita kena fokus kepada industri kecil dan sederhana untuk diangkat ke pasaran terbuka. Perkasakan kedai-kedai, restoran dan kilang skala sederhana, sebagaimana kita berjaya mengangkat industri batik dan tenunan songket yang dahulunya diusahakan secara kecil-kecilan oleh orang Melayu. Kini industri tersebut berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Inilah yang kita kena angkat dan majukan, kerana ia adalah nadi sebenar kepada ekonomi orang Melayu.

Orang Melayu juga bimbang dengan masalah gejala sosial yang melanda remaja. Oleh itu, UMNO perlu mewujudkan makmal-makmal di peringkat bahagian bagi mencari penyelesaian terhadap masalah ini kerana permasalahan itu di setiap tempat adalah berbeza dan bersifat tempatan.

Bukankah usaha menyelesaikan masalah rakyat telah dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO?

Kita kena faham, UMNO itu bukan kerajaan. UMNO tidak boleh disamakan dengan kerajaan. UMNO adalah parti politik orang Melayu, yang siasah perjuangannya adalah untuk membela nasib kaum itu.

Adalah silap apabila kita mengaitkan kerajaan dengan UMNO, seolah-olah UMNO yang mendominasi kerajaan. Kita mesti memberi kefahaman kepada rakyat bahawa UMNO adalah parti politik yang sama seperti mana-mana parti politik termasuklah parti pembangkang. Kerajaan hari ini adalah kerajaan BN yang dibentuk daripada berlainan parti yang berada dalam komponen BN.

Sebagai kerajaan yang dibentuk berdasarkan konsep perkongsian kuasa, kerajaan BN harus memberi tumpuan kepada semua kaum secara menyeluruh dan bukan tertumpu kepada orang Melayu sahaja.

Pihak pembangkang sejak 1970-an lagi cuba sedaya upaya mengaitkan UMNO dengan kerajaan BN dengan harapan agar apabila disebut BN, dalam fikiran rakyat, BN adalah kerajaan UMNO. Inilah propaganda pembangkang untuk menjadikan kaum lain membenci UMNO dan BN.

Selain itu, jika UMNO mengharapkan jentera kerajaan BN menyelesaikan masalah kaum Melayu, orang tidak akan merasakan itu adalah perjuangan UMNO. Nanti timbul ungkapan seperti yang selalu disebut sebilangan kecil pegawai tinggi kerajaan iaitu kami sokong kerajaan yang memerintah, tetapi kami tidak sokong UMNO.

Apakah ciri pemimpin yang disukai orang Melayu?

Mereka mahukan pemimpin yang mempunyai imej begitu bersih dan dilihat sebagai seorang bijak pandai serta mampu membela kebajikan mereka ke arah kehidupan yang lebih baik.

Mereka tidak mahu pemimpin yang menggunakan parti untuk mencari makan sebaliknya sukakan pemimpin yang buat kerja dan boleh membawa suara rakyat akar umbi ke peringkat atasan. Mereka juga mahukan pemimpin merendah diri yang tidak malu untuk makan nasi bungkus bersama-sama dan boleh menumpang tidur di rumah penduduk serta sanggup menghadapi dugaan dan bencana bersama.

Satu lagi yang perlu ada adalah ciri 3M iaitu untuk mendengar dan merasai masalah rakyat serta berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu menyelesaikannya. Pemimpin juga mesti cepat bertindak memberi maklum balas dalam menyelesaikan masalah rakyat. Itu barulah, kita boleh katakan pemimpin sepanjang zaman dan juara rakyat! Kembali kepada asas!

UMNO tidak boleh terlalu bernostalgia

Posted: 09 May 2014 12:00 PM PDT

Oleh Zulkiflee Bakar

ESOK genaplah usia UMNO 68 tahun, satu usia yang cukup matang jika ia disamakan dengan tubuh manusia. Tetapi pemimpin dan ahli parti itu tidak boleh melayan UMNO seperti manusia kerana dalam golongan manusia yang berusia sedemikian ada yang sihat dan masih kuat, ada pula yang sakit dan kemudiannya meninggal dunia.

UMNO juga tidak harus dilayan seperti manusia yang berjasa. Mungkin jasanya harus diingati tetapi untuk terus bernostalgia dengan jasa-jasa yang ditaburkan oleh sebuah parti dalam senario politik yang semakin berubah dan pemikiran rakyat yang semakin berkembang, boleh diibaratkan tindakan untuk menempah tempat di kuburan politik.

Justeru apa yang harus dilakukan oleh UMNO dalam usia 68 tahun ialah melakukan tindakan yang terus relevan dengan perkembangan semasa khususnya sebagai benteng utama memperjuangkan nasib orang Melayu dan umat Islam.

Memang benar, kalau mahu dibandingkan pencapaian UMNO dengan parti-parti lain dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), UMNO masih mendapat sokongan rakyat apabila menguasai 89 kerusi Parlimen dan ia sekali gus menunjukkan parti induk orang Melayu tetap menjadi pilihan rakyat khususnya orang Melayu.

Tetapi UMNO tidak boleh selama-lamanya bernostalgia dengan kejayaan itu kerana jumlah kerusi tersebut masih memaksa UMNO meminta bantuan komponen Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan kerajaan. Malah apa yang perlu difahami, UMNO juga gagal mempertahankan beberapa kerusi sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tradisinya milik parti tersebut.

Mungkin jika kerusi tersebut tidak terlepas ke tangan pembangkang, UMNO mungkin sudah menawan Selangor dan BN boleh memerintah dalam kedudukan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun situasi itu tidak berlaku kerana dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO masih lagi tidak berubah sikap, biar pun mereka mengetahui betapa gigih pucuk pimpinan parti berusaha memastikan UMNO diterima rakyat.

Penulis yakin orang Melayu masih bergantung harap kepada UMNO untuk memperjuangkan hak mereka, orang Melayu masih melihat UMNO sebagai benteng mempertahankan Islam dan orang Melayu juga percaya UMNO biar pun menjadi tonggak utama dalam BN namun kesejahteraan kaum lain sentiasa terpelihara.

Keyakinan dan kepercayaan yang dinyatakan itu ada dalam kalangan orang Melayu tetapi ini tidak bermakna UMNO boleh berasa selesa dengan bergantung dengan nostalgia apatah lagi retorik politik untuk menarik dan mengekalkan sokongan orang Melayu kepada parti itu.

UMNO perlu dilihat yakin dan tegas dalam perjuangannya, tidak boleh bersikap apologetik apatah lagi mengamalkan politik bak kata, bangga tidak bertempat, seronok tidak tentu hala. Ini memandangkan senario politik sudah berbeza.

Pemimpin dan ahli UMNO tidak boleh bergantung segala-galanya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memastikan UMNO terus mendapat kepercayaan rakyat.

Kita harus akui, melalui dasar dan langkah yang dilakukan oleh kerajaan melalui gandingan dua pemimpin itu ia mampu memberikan manfaat politik yang besar kepada UMNO dan BN. Tetapi malangnya, ada ketikanya atau mungkin seringkali juga berlaku, harapan kedua-dua pemimpin itu tidak sampai ke akar umbi bagi membolehkan rakyat yakin dengan UMNO dan BN.

Sebaliknya sehingga ke hari ini, masih ramai pemimpin dan ahli UMNO di peringkat cawangan, bahagian mahupun negeri bertelagah sesama sendiri. Perbuatan berebut jawatan dan bertelagah sesama sendiri masih wujud sehingga melemahkan UMNO dalam pilihan raya.

Dalam bahasa mudahnya, masih ramai pemimpin dan ahli UMNO yang tidak sedar diri dengan mengamalkan perbuatan-perbuatan yang boleh menimbulkan perasaan muak rakyat kepada parti itu, biar pun mereka amat memahami ketelusan dan keikhlasan kerajaan yang dipimpin oleh Najib dalam membela nasib orang Melayu dan umat Islam.

Bagaimanapun, sama ada UMNO akan terus kukuh dan unggul seperti mana dihasratkan oleh Najib, bergantung kepada sejauh manakah pemimpin dan ahli UMNO bersedia bermuhasabah dan melakukan pembaharuan demi memastikan parti itu terus relevan pada setiap zaman.

UMNO harus mengakui bahawa cabaran politik terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) cukup getir. Atas sebab itulah mereka harus membuat persediaan dari sekarang untuk meranapkan impian pakatan pembangkang menawan Putrajaya.

Salah satunya memastikan tiada konflik dalaman yang kita harus akui sering menjadi duri dalam daging kepada usaha UMNO.

Selain itu, demi survival politik UMNO juga, parti itu harus memperkukuhkan lagi usaha menarik sokongan orang Melayu dan bukannya dilihat parti yang semakin meminggirkan mereka biarpun mengetahui orang Melayulah yang menjadi faktor kemenangan UMNO dalam pilihan raya.

Meneruskan dasar memperjuangkan hak orang Melayu tanpa rasa apologetik mampu menyakinkan orang Melayu bahawa UMNO sejak dulu, kini dan selamanya masih tidak berubah iaitu mendahulukan bangsa, agama dan negara.

Semoga ulang tahun ke-68 ini akan dijadikan momentum terbaik kepada UMNO di semua peringkat memperkukuhkan parti kerana UMNO sama sekali tidak boleh berada dalam kedudukan Pas yang diibaratkan seperti lebai malang, menang sorak kampung tergadai.

Oleh itu UMNO terus kekal menjadi tonggak perjuangan dan payung orang Melayu biar pun ia mungkin akan menyebabkan ada pihak yang tidak selesa. Tetapi pihak yang bersikap demikian perlu menerima hakikat bahawa apabila UMNO kuat dan kukuh semua kaum merasai nikmatnya, tidak seperti pakatan pembangkang, apabila ada parti di dalam pakatan itu berasa kuat dan memerintah sesebuah negeri, ada kaum berasa dipinggirkan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Sikap peniaga tempatan sendiri jadi punca?

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

Beberapa warga asing sibuk melayan pelanggan di Pasar Pudu, Kuala Lumpur sekaligus menimbulkan persoalan adakah mereka berstatus pekerja atau pemilik gerai yang disewakan daripada peniaga tempatan. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN

KUALA LUMPUR 8 Mei - Isu kebanjiran penjaja asing di pasar-pasar borong dan pasar basah di ibu kota bukanlah baharu.

Selain memasang khemah di tepi-tepi jalan, mereka juga menjadi `pemilik kepada gerai yang disewa daripada peniaga tempatan yang seolah-olah menggalakkan aktiviti penjaja terlibat.

Lihat sahaja di kawasan Pasar Borong Selayang, penjaja warga asing yang menggunakan bahu-bahu jalan sebagai tempat berniaga bukan lagi pemandangan luar biasa. Mereka bebas menjalankan urusan jual beli bahan-bahan mentah seperti sayur-sayuran dan buah-buahan kitar semula.

Lagak mereka seolah-olah kebal daripada tindakan undang-undang itu bukan sahaja menimbulkan rasa kurang senang, bahkan memberi tekanan kepada penduduk tempatan.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, kegiatan penjaja warga asing itu turut dikesan di Pasar Pudu.

Berdasarkan pemerhatian, pasar berkenaan dibanjiri warga asing terutama warga Bangladesh.

Agak mengejutkan lebih 50 peratus gerai di pasar berkenaan urusan jual beli dilakukan oleh warga asing. Timbul persoalan dihati penulis, apakah mereka ini berstatus pekerja atau pemilik gerai yang disewa daripada peniaga tempatan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak dinafikan sentiasa berusaha mengekang kebanjiran penjaja asing ini, termasuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen.Selain pemantauan dan tindakan tegas turut diambil termasuk menggantung lesen peniaga tempatan yang dikesan menyewa gerai mereka kepada warga asing.

Namun entah dimana silapnya, masalah itu sehingga kini masih berlarutan.

Adakah ia berpunca daripada sikap peniaga tempatan sendiri yang mahu meraih pendapatan mudah atau kurangnya pemantauan dan penguatkuasaan pihak bertanggungjawab? Selain masalah kebanjiran penjaja warga asing, tahap kebersihan pasar berkenaan juga tidak memuaskan.

Selepas operasi penutupan dan pembersihan secara besar-besaran dilakukan di pasar berkenaan pada 16 dan 17 Disember tahun lalu, persekitaran pasar berkenaan tidak jauh berubah.

Timbul persoalan apakah kebanjiran warga asing di situ turut mempengaruhi tahap kebersihan di pasar berkenaan.

Penulis percaya, usaha DBKL memastikan pasar pasar itu bersih dan bebas tikus sia-sia sahaja, selagi kesedaran mengenai kebersihan masih rendah.

Tindakan lebih agresif perlu diambil - Pengunjung

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

TONG sampah yang disediakan tidak dapat menampung jumlah sampah di Pasar Pudu, Kuala Lumpur sehingga sampah melimpah keluar. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN

KUALA LUMPUR 8 Mei - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa mengambil tindakan lebih agresif mengesan penjaja warga asing di pasar berkenaan.

Presiden Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga Kecil Pudu, Jeff Tan berkata, ini terutamanya terhadap peniaga tempatan yang menyewakan gerai mereka kepada warga asing demi mengaut keuntungan berlipat ganda.

Menurutnya, tindakan tidak beretika itu sudah beberapa kali sampai kepada pengetahuan persatuan, tetapi ia di luar bidang kuasa mereka.

"Penjaja asing yang menjual sayur-sayuran kitar semula ini kebanyakannya merupakan pekerja di pasar ini.

"Ada antara mereka mengambil kesempatan menjual semula bahan-bahan mentah ini kepada pengunjung.

"Sayur yang dijual jauh lebih murah dan sasaran mereka tentunya pengunjung yang mahu membeli sayur-sayuran yang lebih murah tanpa memikirkan soal kebersihan atau kualiti," katanya.

Mengulas mengenai tahap kebersihan yang belum memuaskan di pasar berkenaan, beliau mengakui perkara itu.

Katanya, sebagai menyokong usaha DBKL memastikan kebersihan pasar itu, persatuan turut menganjurkan program gotong-royong sekali sebulan.

"Peniaga dan penjaja seharusnya lebih bertanggungjawab terhadap keadaan sekeliling mereka dan bukannya mengharapkan pihak berkuasa tempatan sahaja," katanya.

Seorang pengunjung, Amran Ibrahim, 57, berkata pengalaman yang tidak dilupakan apabila menyaksikan sendiri penjaja warga asing menjalankan urusan jual beli sayur-sayuran kitar semula di depan matanya.

Katanya, selepas insiden itu dia tidak lagi membeli bahan mentah itu di pasar berkenaan.

"Kunjungan ke pasar ini hanya untuk membeli barangan basah dan kering kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding kedai runcit mahupun pasaraya.

"Saya berharap cadangan naik taraf pasar ini dapat disegerakan. Ini kerana keadaan kotor dan gerai tidak tersusun membuatkan pengunjung berasa tidak selesa," katanya.

Pandangan Amran turut dipersetujui Ruziah Mansor, 42,.

Katanya, kerja-kerja naik taraf pasar berkenaan bukan sahaja untuk tujuan keselesaan peniaga, tetapi juga pengunjung.

DBKL teruskan operasi bersepadu kekang penjaja asing

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

KUALA LUMPUR 8 Mei - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan meneruskan operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen dalam usaha mengekang penjaja warga asing di pasar-pasar borong dan basah sekitar ibu kota.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, selain Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan dan Pengurusan Penjaja di bawah pihak berkuasa tempatan itu akan digerakkan bagi menangani masalah berkaitan.

"Tindakan lebih tegas akan diambil DBKL termasuk membatalkan lesen peniaga tempatan yang didapati menyewakan gerai kepada warga asing, manakala pemeriksaan dan penahanan dilakukan pihak Imigresen jika mereka didapati bersalah mempunyai dokumen perjalanan tidak sah atau tamat tempoh," katanya ketika dihubungi bagi mengulas mengenai isu kebanjiran penjaja asing di Pasar Pudu di sini hari ini.

Ditanya mengenai tahap kebersihan pasar Pudu yang masih tidak memuaskan, beliau berkata, operasi penutupan dan pembersihan pasar berkenaan dengan kerjasama Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) dan peniaga akan diteruskan.

Tambahnya, keadaan struktur pembinaan, lokasi dan jumlah peniaga turut menjadi punca pasar berkenaan masih kotor.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Bekalan pisang merosot

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Mohd. Fahmi Idris membuang pelepah pisang yang kering di kebun pisangnya di Pekan Air Panas, Labis Johor, baru-baru ini.

LABIS 8 Mei - Kekurangan bekalan pisang dan kenaikan harga secara mendadak melebihi 100 peratus sejak lebih sebulan lalu menjejaskan pendapatan para peniaga pisang goreng di daerah ini.

Seorang peniaga, Mohd. Salleh Misnan, 50, mendakwa, pendapatannya menyusut hampir 50 peratus berbanding sebelum ini akibat tidak dapat menjual pisang goreng kerana tidak mampu mendapatkan bekalan komoditi itu.

"Sejak berniaga lebih 10 tahun lalu, pisang goreng merupakan jualan utama dan kesukaran mendapatkan bekalan pisang sekarang menyebabkan pendapatan saya terjejas teruk kerana terpaksa bertukar kepada jualan keledek goreng dan keropok lekor buat sementara waktu.

"Saya terpaksa mencari pisang di Muar, Batu Pahat dan Pontian, namun bekalan yang diperoleh sedikit dan tidak mampu menampung bekalan setiap hari," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Akibat kekurangan bekalan, harga pisang dalam pasaran turut melambung bagi beberapa jenis se-perti pisang tanduk, nangka dan awak berbanding sebelum ini.

Seorang lagi peniaga, Topari Kuani, 50, turut mengakui harga pisang tanduk sebelum ini antara RM2.50 hingga RM3 sekilogram (kg), tetapi kini melonjak hingga RM6 kg, manakala pisang nangka dan awak pula kira-kira RM3.50 berbanding hanya RM1.50.

"Saya berharap masalah ini mendapat perhatian daripada pihak yang berkenaan untuk mencari punca yang menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan, seterusnya masalah itu diatasi segera," katanya yang telah menjual pisang goreng sejak lebih 20 tahun lalu.

Sementara itu, seorang pekebun, Mohd. Fahmi Idris, 58, berkata, banyak faktor yang menyebabkan bekalan pisang berkurangan dalam pasaran termasuk tanaman itu dimusnahkan oleh monyet dan babi hutan serta pe-nyakit pisang.

Selain itu, tidak ramai yang berminat menanam pisang di-sebabkan gangguan musuh tanaman dan musim kemarau yang melanda negara ini baru-baru ini. "Saya sendiri serik untuk menanam pisang disebabkan tidak mampu mengawal monyet dan babi hutan yang memusnahkan tanaman seawal anak benih sehinggalah menuai hasil.

"Pagar dawai duri digunakan tidak mampu menghalang babi hutan yang sering datang pada waktu malam memusnahkan tanaman," katanya.

Tanam pokok bertemakan Johor

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Oleh Haniza Hassan
utusanjohor@utusan.com.my

Jeanne Abdullah

JOHOR BAHRU 8 Mei - Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini disaran menanam lebih banyak pokok atau tumbuhan hijau terutama yang mempunyai kaitan dengan negeri ini supaya identitinya tidak ditelan zaman.

Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah berkata, banyak kawasan di luar negeri ini mempunyai pokok atau tumbuhan yang melambangkan asal usul daerah tersebut.

Beliau berkata, pokok-pokok tersebut juga sepatutnya tidak ditanam di dalam satu kawasan sahaja, malah diperluaskan ke kawasan tumpuan dan strategik seperti sekolah, taman atau tepi jalan.

"Seperti Ipoh, kita ada pokok ipoh, di Pulau Pinang kita ada pokok pinang. Jadi negeri Johor kita ada pokok pulai, kempas dan tampoi, maka kita perbanyakkan pokok-pokok sebegini.

"Pokok berkenaan bukan sahaja membantu dalam mengurangkan intensiti karbon di udara tetapi turut membantu dalam mencantikkan landskap sesebuah kawasan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Hutan Kita@Pasir Gudang di sini hari ini.

Yang turut hadir bekas Perdana Menteri yang juga Penasihat Landskap Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.

Hutan Kita@Pasir Gudang merupakan program penanaman pokok hutan yang dijayakan oleh Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan IRDA dengan kerjasama Landskap Malaysia.

Sebanyak 1,000 pokok hutan di taman di beberapa lokasi seperti Laman Rekreasi Sungai Buluh dan kawasan sudut padang bola sepak Pasir Gudang.

Pokok-pokok yang ditanam seperti merbau, balau pasir, pupor, peling licin, keriat, kelam gelam, rampai istana dan mentega itu akan menjadi hak milik MPPG serta diselenggara dengan sebaiknya.

Dalam pada itu, Jeanne turut menyeru semua pihak bekerjasama dalam meningkatkan kesedaran kepada masyarakat berhubung kepentingan menanam pokok dan menghijaukan bumi.

"Pokok-pokok ini akan membantu dalam memerangkap karbon dan membersihkan udara. Jadi kita boleh membantu mengelak masalah jerebu, yang penting kita kena sayangi pokok," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Jalur lebar Perak terendah

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

Zambry

IPOH 8 Mei - Kerajaan negeri memandang serius mengenai masalah infrastruktur telekomunikasi serta penembusan jalur lebar di negeri ini yang hanya mencatat kadar penembusan 51.4 peratus iaitu antara yang terendah di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, meskipun pelbagai perancangan telah dilakukan melalui KPERAK Implemention and Coordination Corporation (KPerak) beberapa tahun lalu, namun kadar penembusan yang dicatatkan masih rendah berbanding peringkat kebangsaan iaitu 67 peratus.

Tegas Zambry, pihaknya bertambah musykil apabila usaha tersebut yang turut mendapat kerjasama daripada Kerajaan Persekutuan serta dilakukan secara sistematik masih gagal merapatkan jurang digital berkenaan.

"Berdasarkan laporan yang ada, kita mendapati dari segi penembusan jalur lebar, Perak antara yang terendah meskipun pelbagai perancangan telah dibuat. Perkara ini menimbulkan tanda tanya kepada kita.

"Oleh itu, saya telah arahkan KPERAK untuk membuat siasatan dan audit secara terperinci bagi mengetahui sebab sebenar kenapa kita masih berada antara negeri terendah (penembusan jalur lebar)," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Zambry berkata, pada masa sama, pihaknya mendapati wujud kegiatan kecurian yang sangat serius melibatkan infrastruktur telekomunikasi di negeri ini dengan 70 kes dilaporkan dalam tempoh beberapa bulan lalu.

Tegas Zambry, berdasarkan laporan yang ada, pihaknya mendapati kegiatan tersebut dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan cukup mahir dalam bidang berkenaan.

"Kita tidak menolak sebarang kebarangkalian akan berlakunya kegiatan sabotaj yang dilakukan oleh golongan itu. Maka dalam mesyuarat hari ini, kita meletak kes ini dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pastikan ia dapat disiasat ke peringkat akar umbi dan mereka yang melakukannya tidak terlepas," katanya.

Sementara itu, Zambry memberitahu, beliau telah meminta syarikat telekomunikasi untuk memperbanyakkan lagi aktiviti penerangan dalam menarik minat rakyat di negeri ini menggunakan perkhidmatan mereka.

Selain itu, kata beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga telah berjanji untuk menubuh 12 pusat internet 1Malaysia di negeri ini pada tahun ini selain 13 kawasan internet berkelajuan tinggi.

"Kita amat berharap melalui pelbagai langkah yang diambil ini, Perak mampu mencatatkan kadar penembusan jalur lebar yang lebih baik pada masa akan datang," katanya.

Waspada penjenayah menyamar pegawai kerajaan

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Mazlan Kesah (kiri) bersama pegawainya melawat Aminah Mohamad yang menjadi mangsa samun dua lelaki menyamar sebagai kakitangan Pejabat Tanah dan Galian di rumahnya di Kubang Semang, Pulau Pinang, semalam.

PERMATANG PAUH 8 Mei - Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan sekumpulan dua hingga tiga individu yang menyamar sebagai pegawai kerajaan untuk menyamun mangsa, khususnya golongan wanita dan warga emas yang tinggal bersendirian di dalam rumah di kawasan perkampungan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, sehingga kini pihaknya menerima 10 kes samun barang kemas dan wang tunai berjumlah puluhan ribu ringgit, berdasarkan modus operandi (MO) itu sejak dua bulan lalu.

"Suspek dikesan menyamar sebagai kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Berhad, kakitangan pejabat daerah serta polis dan pergi ke rumah mangsa kononnya untuk urusan rasmi," katanya selepas menghadiri Program High Policing, di sini hari ini.

Berdasarkan keterangan mangsa, Mazlan berkata, anggota kumpulan berkenaan terdiri daripada lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun yang menaiki motosikal dan memperkenalkan diri sebelum bertindak agresif memasuki ke dalam rumah mangsa.

Terdahulu, Mazlan bersama anggotanya melawat warga emas, Aminah Mohamad, 60, yang menjadi mangsa samun dua lelaki menyamar sebagai kakitangan Pejabat Tanah dan Galian di rumahnya di Kubang Semang dekat sini, 15 April lalu.

Akibat kejadian itu, Aminah yang tinggal seorang diri mengalami kerugian RM3,000 selepas gelang tangannya dilarikan suspek.

Dalam pada itu, Aminah berkata, sehingga hari ini dia masih trauma kerana dicekik, dikasari dan diugut bunuh oleh dua penjenayah dalam kejadian tersebut.

5 penduduk dapat rumah bantuan ZPP

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Mohd. Salleh Man (dua kiri) menyerahkan replika kunci rumah semasa program Penyerahan Bantuan Rumah Asnaf Fakir Miskin daripada Zakat Pulau Pinang kepada Azizan Ibrahim (kiri) di Kampung Paya Keladi, Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.

KEPALA BATAS 8 Mei - "Saya bersyukur dengan bantuan rumah yang diterima daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) ini dan diharap memberi keselesaan kepada anak-anak saya yang semakin meningkat dewasa.

"Kini, kami sekeluarga juga tidak lagi rasa bimbang tatkala hujan atau risau rumah yang didiami rebah menyembah bumi akibat dimakan anai-anai sebab dapat rumah yang amat selesa," kata Azizan Ibrahim yang menetap di Kampung Paya Keladi Masjid di sini.

Azizan, 50, menerima sebuah rumah tiga bilik hasil sumbangan ZPP yang dibina dengan kos RM36,000 daripada Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd. Salleh Man hari ini.

Sebanyak lima individu di sekitar Seberang Perai Utara dekat sini, menerima bantuan rumah seluas 63 meter persegi itu yang dilengkapi dengan pemasangan bekalan elektrik.

Menurut Azizan, dia menghidap sakit jantung sejak dua tahun lalu dan tidak mampu melakukan kerja-kerja berat sehingga terpaksa bergantung harap kepada isterinya, Noor Azizah Md. Salleh, 44, untuk mencari rezeki buat keluarga.

Jelasnya, tiga anaknya masih lagi belajar termasuk seorang di institusi pengajian tinggi manakala anak sulungnya telah bekerja.

"Kalau dulu saya tinggal di rumah milik adik yang amat uzur kerana beberapa bahagian rumah dimakan anai-anai tetapi kini lega apabila menerima bantuan rumah daripada ZPP ini," ujarnya.

Penerima lain yang mendapat bantuan itu ialah Md. Jamil Wahab dari Kampung Permatang Durian, Rosli Yaacob dari Permatang Berangan, Osman Saad dari Pasir Gebu, Penaga dan Roslan Cha dari Permatang Durian, Pinang Tunggal.

Sementara itu, Mohd. Salleh berkata, sepanjang tahun 2014, ZPP telah membina 10 buah rumah di seluruh negeri dengan nilai agihan sebanyak RM356,900.

Selain itu katanya, sebanyak RM196,644.20 juga telah dikeluarkan untuk membaik pulih 20 buah rumah di seluruh negeri yang dilaksanakan mengikut asnaf tertentu seperti fakir miskin dan mualaf.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Kafe siber tanpa lesen disita

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM
utusanmelaka@utusan.com.my

Anggota penguat kuasa MPAG merampas komputer daripada sebuah siber kafe yang beroperasi tanpa lesen di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, Melaka, baru-baru ini.

ALOR GAJAH 8 Mei - Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) menyita sebuah premis kafe siber di Kuala Sungai Baru dekat sini serta merampas 13 unit komputer kerana didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Yang Dipertuanya, Murad Husin berkata, serbuan yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan MPAG pada Isnin lalu itu turut mengeluarkan kompaun terhadap pemiliknya kerana mempamerkan iklan tanpa kebenaran MPAG.

Menurutnya, hasil maklumat orang ramai dan risikan yang dijalankan, premis terbabit telah beberapa bulan menjalankan perniagaan tanpa lesen.

"Premis itu disita di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Tred (MPAG) 2010 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang dikeluarkan oleh MPAG dan boleh dikenakan denda sehingga RM2,000.

"Bagi kesalahan mempamerkan iklan tanpa mendapat kebenaran daripada MPAG boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Iklan (MPAG) 2010," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, serbuan yang diketuai Pengarah Penguat kuasa MPAG, Radzyma Mahat bersama tujuh anggota itu mendapat kerjasama daripada pemilik premis terbabit.

Katanya, usaha mengesan premis perniagaan yang beroperasi tanpa lesen di sekitar daerah ini akan terus dipergiatkan dan MPAG tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk menyita premis terbabit.

Justeru katanya, pemilik premis dinasihatkan memohon lesen atau permit perniagaan terlebih dahulu dari MPAG sebelum menjalankan sebarang operasi perniagaan bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Terap ilmu keselamatan jalan raya seawal mungkin

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Sebahagian daripada pelajar bersama hadiah kemenangan selepas menyertai Pertandingan Lalu lintas Jalan Raya MKJR/Shell peringkat negeri Melaka 2014 di Bukit Serindit, Melaka, semalam. - UTUSAN/azli ahad

MELAKA 8 Mei - Penerapan ilmu dari peringkat awal mengenai isu keselamatan serta undang-undang jalan raya dilihat mampu membantu melahirkan golongan pengguna beretika seiring harapan kerajaan untuk mengurangkan kadar kematian di jalan raya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, inisiatif melalui program pendidikan lalu lintas dalam kalangan pelajar sekolah merupakan salah satu usaha terbaik ke arah mencapai hasrat tersebut.

Menurutnya, penganjuran program seumpama itu merupakan proses untuk mendidik para pelajar dari peringkat awal usia kerana mereka akan membesar menjadi pengguna jalan raya.

"Saya percaya dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi mengenai peraturan dan undang-undang di jalan raya, kita akan dapat mengubah masyarakat menjadi lebih berhemah dan beretika," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Pertandingan Lalu lintas Jalan Raya Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR)/Shell peringkat negeri 2014 di Dewan Bola Keranjang Bukit Serindit di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Zaidi Attan.

Yang hadir sama Pengurus Besar Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd, Au Tong Sing dan Setiausaha MKJR negeri, Ong Tai Chu.

Pertandingan yang diadakan dari 6 Mei hingga hari ini melibatkan penyertaan pelajar tahun empat hingga tingkatan dua dari 55 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri.

Jelas Idris, melalui program yang dianjurkan juga, negeri ini berjaya mencatatkan penurunan kes kemalangan jalan raya melibatkan kematian dari 263 kes pada 2012 kepada 258 kes tahun lalu.

"Ini menunjukkan bahawa para pengguna di negeri ini sudah mula mematuhi peraturan jalan raya dan menghormati pengguna lain ekoran pelbagai kempen dan program kesedaran dianjurkan MKJR," katanya.

Program yang telah meletakkan negeri ini sebagai juara peringkat kebangsaan pada tahun lalu turut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pada majlis penutup itu, Pasukan Terbaik Keseluruhan dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Daun (kategori sekolah menengah) dan Sekolah Kebangsaan Seri Bemban (kategori sekolah rendah).

Pesta Buku NS 2014 dapat sambutan

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

Orang ramai berpeluang memilih pelbagai jenis buku dalam Pesta Buku Negeri Sembilan 2014 di Seremban. - UTUSAN/ ASWAD YAHYA

SEREMBAN 8 Mei - Apabila anda membeli sebuah buku, tentulah anda akan membacanya dari kulit depan, isinya dan kulit belakang.

Jarang orang yang membeli buku, kemudian terus menyimpannya dalam rak di rumah, tanpa membacanya dan penulis berharap, anda tidak tergolong dalam kumpulan yang membeli buku tetapi tidak membacanya.

Maka dalam hal ini, membaca tulisan penulis ini juga dianggap sebagai satu daripada kejayaan dalam kempen membaca.

Bagaimanapun, jika bahan bacaan ini tidak cukup, penulis syorkan anda segera ke Pesta Buku Negeri Sembilan 2014 yang kini berlangsung di Mydin Mall Seremban 2 untuk mendapatkan pelbagai bahan bacaan serta menyertai pelbagai aktiviti menarik yang dianjurkan Perbadanan Perpustakan Awam Negeri Sembilan (PPANS).

Pengerusi Jawatankuasa Gerakan Membaca negeri, Datuk Mohammad Razi Kail, penganjuran program ini dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Negeri Sembilan bukan sekadar pengisian program.

Akan tetapi katanya, ia bermatlamat untuk menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Katanya, aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan ini bertujuan memberi maklumat dan pendedahan kepada semua lapisan masyarakat di samping mendekatkan serta memesrakan mereka dengan perpustakaan di negeri ini.

"Program ini turut menyaksikan 36 buah gerai jualan buku selain pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan sepanjang program yang bermula 6 Mei lalu sehingga Ahad ini.

"Dari segi sambutannya ia cukup menggalakkan dan kita merancang untuk menambah jumlah gerai jualan pada tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Buku Negeri Sembilan 2014 di sini di Mydin Mall Seremban 2 di sini kelmarin.

Program berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan, Abd. Razak Ab. Said.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Negeri, Jamilah Katis dan Pengurus Mydin Mall Seremban 2, Sajahan Salman Baris.

Mohammad Razi berkata, antara program yang dilaksanakan sepanjang pesta berkenaan termasuklah Bicara Bersama Angkasawan Negara, Bicara Tokoh, Persembahan Qasidah, Pertandingan Tarian Rakyat, Deklamasi Sajak dan Bercerita yang diadakan di lokasi yang sama.

Dalam pada itu Abd. Razak ketika berucap pada majlis tersebut berkata, tahap membaca dalam kalangan masyarakat merupakan salah satu indikator dalam menentukan kualiti pendidikan sebuah negara.

Katanya, ukuran ini menentukan kemajuan dalam bidang pendidikan kerana dalam era globalisasi yang bersifat terbuka, menuntut masyarakat untuk mencari ilmu sebanyak mungkin.

"Biarpun dunia kini berada di hujung jari menerusi telefon pintar namun buku masih memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Buku adalah wadah pengetahuan kepada manusia yang sentiasa dahagakan pelbagai ilmu.

"Mengambil contoh di negara Jepun mereka sangat maju. Pembangunan fizikal dan mental adalah seimbang kerana masyarakat di siana menjadikan amalan membaca itu sebati dengan jiwa mereka," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Kementerian Kesihatan minta Selangor henti guna air lombong

Posted: 09 May 2014 02:42 AM PDT

SEGAMAT 9 Mei - Kementerian Kesihatan sudah meminta kerajaan negeri Selangor menghentikan penggunaan air dari kolam bekas lombong sebagai sumber bekalan air kepada rakyat negeri itu walaupun ia disahkan selamat.

Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, langkah itu adalah untuk sementara waktu sahaja berikutan rakyat Selangor masih bimbang dan sangsi setelah tersebarnya khabar angin kandungan air dari sumber itu tidak selamat.

"Walaupun air dari sumber kolam itu disahkan selamat, tetapi disebabkan persepsi masyarakat bahawa ia tercemar dengan pelbagai toksik berbahaya, adalah lebih baik cari pilihan lain untuk menampung keperluan rakyat di negeri itu.

"Saya akan bincang dengan Lembaga Urus Air Selangor dan kerajaan negeri, kalau boleh jangan gunakan air kolam bekas lombong untuk sementara waktu ini," katanya dalam sidang akhbar selepas Lawatan Pemantauan Projek Bangunan Gantian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hwa Nan, Batu Anam di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

El Nino: Kerajaan akan pastikan bekalan makanan mencukupi

Posted: 09 May 2014 02:21 AM PDT

KUALA LUMPUR 9 Mei - Usaha sedang dilakukan bagi memastikan negara tidak diancam dengan kekurangan bekalan makanan jika kemarau melanda berikutan fenomena El Nino yang dijangka bermula Jun hingga Disember.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementerian itu sedang berbincang dengan agensi-agensi berkaitan pengeluaran makanan negara termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memastikan bekalan makanan dan bekalan air untuk kegunaan sektor pertanian, terutama sawah padi, mencukupi.

Selain itu kementerian juga merangka strategi lain bagi menghadapi kemarau yang bakal berlaku, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Tekun Nasional (Suktem) 2014 di sini hari ini.

Beliau berkata selain memastikan bekalan air mencukupi, kementerian itu juga akan mengambil langkah seperti mengimport bekalan makanan asas seperti beras dari negara luar sekiranya berlaku kekurangan bekalan di pasaran tempatan. - BERNAMA

Usaha kesan anggota kumpulan al-Syabab diteruskan

Posted: 09 May 2014 02:21 AM PDT

Oleh SYUKRI SHAARI

TAIPING 9 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melakukan intipan untuk menghidu dan mengesan saki-baki anggota kumpulan militan al-Syabab yang dipercayai mula menyusup masuk ke negara ini sejak dua tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kumpulan yang berpangkalan di Afrika itu dikesan memasuki negara ini menggunakan pas pelajar, pas pekerja dagang dan pas sosial.

Katanya, rata-rata ahli kumpulan itu menggaburi mata pihak berkuasa apabila mendaftar sebagai pelajar di kolej-kolej swasta khususnya akademi bahasa.

"Setakat ini hanya seorang ahli kumpulan itu telah berjaya ditahan hasil intipan Unit Anti Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman. Kami akan terus menjejaki saki-baki kumpulan ini yang dipercayai masih berada di Malaysia bagi memastikan negara ini tidak menjadi sarang latihan kumpulan pengganas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pengisytiharan Pusat Koreksional Kamunting dekat sini hari ini.- UTUSAN ONLINE.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Ruangan kaum kekal - PM

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Lelaki disyaki pengganas ditahan

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Aset keselamatan ditambah

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved