
Wan Khairul Efendi Wan Mustapa diiringi anggota polis hadir ke Mahkamah Majistret di Bentong, Pahang, semalam. - BERNAMA
BENTONG 21 April - Pemandu bas ekspres dua tingkat yang terlibat dalam kemalangan maut mengorbankan tiga penumpang di Jalan Bentong-Raub, sembilan hari lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian.
Wan Khairul Efendi Wan Mustapa, 35, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, tidak sampai seminggu selepas dia didakwa atas tuduhan positif dadah di mahkamah yang sama.
Mengikut pertuduhan, kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 12 April 2014 di Kilometer 11 Jalan Bentong-Raub, lelaki itu didakwa memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian terhadap Saeed Mohamad Moahamud Abdalla, 31, Zarifah Alias, 26, dan Suhaisam Che Abdulla,33.
Di bawah Seksyen 44(1)(a) akta tersebut, tertuduh yang berasal dari Bachok, Kelantan itu boleh dihukum penjara minimum tiga tahun dan maksimum 10 tahun serta denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan.
Majistret Mohd. Isa Md. Nor membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan lesen memandunya digantung serta-merta sehingga kes tersebut selesai.
Mahkamah menetapkan 19 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Wan Khairul Efendi sebelum itu tiba di mahkamah pada pukul 9.30 pagi dengan ditemani isteri serta ahli keluarganya.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Anuar Afindi yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 ke atas tertuduh.
Peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff yang mewakili tertuduh pula memohon jumlah tersebut dikurangkan kepada RM4,000 dengan seorang penjamin.
Menurutnya, tertuduh menanggung lima orang anak yang berumur dalam lingkungan 7 hingga 17 tahun dan masih bersekolah selain anak guamnya itu memerlukan wang untuk rawatan selepas turut tercedera dalam kemalangan tersebut.
Kata beliau, tertuduh juga telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang dalam tahanan reman dan menyatakan mahkamah mempunyai kuasa menaikkan jaminan sekiranya terdapat sebarang masalah selepas ini.
"Jumlah jaminan RM10,000 terlalu tinggi untuk penjamin yang merupakan bapa tertuduh berumur 64 tahun yang merupakan pesara dengan pendapatan RM1,000 sebulan selain terpaksa menanggung seorang anak yang masih bersekolah," katanya.
Rabu lalu, Wan Khairul Efendi dibebaskan dengan jaminan RM2,000 selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan positif dadah jenis morfin di mahkamah sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan diwajibkan pengawasan selama tiga tahun.