Ahad, 30 Mac 2014

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Maafkanlah Nik Aziz

Posted: 30 Mar 2014 11:55 AM PDT

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika di Muktamar Tahunan Pas kali ke-59 di Stadium Malawati, Shah Alam, November tahun lalu.

APABILA Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengemukakan permohonan maaf secara terbuka di atas segala kesilapannya sepanjang 23 tahun mentadbir Kelantan sebagai Menteri Besar, kita memahami ia dilakukan secara ikhlas dari lubuk hatinya.

Dalam keadaan kesihatan yang semakin merosot dan menganggap ia sebagai kifarat atas dosa yang dilakukan selama memimpin negeri ini, sudah tentulah tiada siapa pun berhak mempertikaikan keikhlasan beliau berbuat demikian.

Sememangnya, sejarah politik negara pasti akan mencatatkan perjalanan hebat Nik Abdul Aziz yang sejak 1967 mengabdikan dirinya dalam perjuangan Pas. Beliau bukan sahaja menjadi Menteri Besar Kelantan paling lama dalam sejarah iaitu bermula 1990 hingga 2013 tetapi juga Mursyidul Am Pas paling kontroversi.

Nik Abdul Aziz satu ketika dianggap simbol kekuatan Pas bukan sahaja di Kelantan malah seluruh negara. Walaupun sering mengalami masalah kesihatan namun demi perjuangan Pas, Nik Abdul Aziz menguatkan diri untuk terus bertanding dalam pilihan raya sehingga beliau membuat keputusan berundur dari kerusi Menteri Besar Kelantan biar pun memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Chempaka.

Mungkin dalam kesempatan berehat tanpa diganggu dengan bebanan tugas memimpin negeri dan parti, Nik Abdul Aziz mempunyai lebih banyak lagi ruang untuk bermuhasabah sehinggalah beliau muncul kelmarin pada majlis kuliah subuh di Kota Bharu untuk menzahirkan permohonan maafnya.

Justeru kita tidak perlu mempolitikkan apatah lagi memandang serong keikhlasan Nik Abdul Aziz berbuat demikian. Sebagai hamba Allah bukan hak kita untuk menghakimi apatah lagi menilai niat seseorang sebaliknya terimalah permohonan maaf Nik Abdul Aziz dengan hati dan fikiran terbuka. Apa pun kita kata kepada Nik Abdul Aziz, beliau tetap mempunyai jasa kepada negara ini.

Kita tidak harus mengikut jejak sesetengah pengikut-pengikut pembangkang yang taksub sehinggakan apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan hatta permohonan maaf daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pun dipandang serong.

Kelompok seumpama ini sudah ditutup mata dan pemikiran mereka dengan politik kebencian dan kepartian melampau sehinggakan apa juga yang dilakukan oleh musuh politik mereka biar pun benar tetap ditolak.

Janganlah kita tergolong dalam kelompok seumpama itu kerana perbuatan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam dan hanya akan menyebabkan umat Islam menjadi semakin lemah akibat berpecah belah kerana politik.

Memanglah kalau hendak diikuti pemikiran dan hati yang digoda oleh nafsu politik boleh sahaja kita menolak atau mempertikaikan permohonan maaf Nik Abdul Aziz. Apatah lagi, sepanjang karier politiknya terlalu banyak kenyataan kontroversi yang beliau buat sehingga kadang kala cukup menyinggung perasaan.

Nik Abdul Aziz pernah menolak usaha untuk mewujudkan perpaduan antara UMNO dan Pas, Nik Abdul Aziz pernah memohon doa pecah perut untuk Perdana Menteri, Nik Abdul Aziz pernah menyifatkan Islam yang dibawa oleh UMNO adalah Islam plastik, Nik Abdul Aziz pernah berkata, Pas bersedia berkawan dengan syaitan dan Nik Abdul Aziz juga pernah berkata, tidak bangga menjadi orang Melayu.

Tetapi semua itu beliau kata atau lafazkan ketika berada di kemuncak karier politiknya, biar pun dilihat bertentangan dengan ajaran Islam tetapi kadang kala pertimbangan politik boleh menyebabkan seseorang itu melakukan kesilapan.

Begitulah juga Nik Abdul Aziz, sebagai orang politik dan menjadi pemimpin dalam sebuah parti yang bertentangan dengan parti memerintah sudah tentulah beliau mempunyai pendirian sendiri.

Penulis yang berkesempatan bertemu dengan beliau beberapa kali amat memahami kadang kala, Nik Abdul Aziz berhujah sebagai orang politik bukan `tok guru mahupun ulama.

Namun kini semua itu sudah menjadi sejarah politik negara, Nik Abdul Aziz sekarang bukanlah Nik Abdul Aziz dahulu, Nik Abdul Aziz sekarang sedang mengalami keuzuran kerana masalah kesihatan, berulang alik ke hospital setiap masa dan sudah tidak ada masa lagi untuk memikirkan soal politik.

Berikutan keadaan itu adalah tidak wajar sama sekali jika ada mana-mana pihak masih mahu terus membenci beliau dengan mengungkit kesilapan yang beliau lakukan sepanjang menjadi Menteri Besar Kelantan atau Mursyidul Am Pas.

Persoalannya, siapakah ahli politik yang tidak melakukan kesilapan? Siapakah ahli politik yang tidak melakukan dosa?

Sepatutnya, apa yang dilakukan oleh Nik Abdul Aziz harus dipuji dan dicontohi kerana tidak ramai ahli politik seperti beliau bersedia memohon maaf secara terbuka.

Apa yang kerap kita saksikan ialah ada ahli politik terus mahu bersandiwara, menafikan segala perbuatannya biar pun ada bukti dan terus melakukan tohmahan kepada kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) dan UMNO terhadap apa jua yang berlaku kepada dirinya.

Tetapi Nik Abdul Aziz mengambil kesempatan daripada ruang yang masih diberikan oleh Allah SWT bukan sahaja untuk mengemukakan permohonan maaf tetapi juga menganggap sakit yang dialami "mungkin Allah nak kifarat dosa saya atas apa kesalahan saya buat selama saya pimpin Kelantan.

Soalnya, adakah selepas ini akan wujud ahli politik yang akan mencontohi apa yang Nik Abdul Aziz lakukan khususnya daripada Pas sendiri? Sukar untuk dipastikan tetapi apa yang nyata Nik Abdul Aziz melakukannya dengan ikhlas dan penuh keinsafan.

Justeru adalah tidak wajar jika niat ikhlas beliau dipandang serong apatah lagi disusuli dengan kecaman kerana selagi kita bernama manusia dan selagi kita bergelar hamba Allah selagi itulah kita sentiasa terdedah untuk melakukan kesilapan dan kesalahan sama ada kita sedar atau tidak.

Apa yang penting ialah sejauh manakah kita berkemampuan atau berkesempatan untuk memohon maaf atas apa yang kita lakukan.

Oleh itu, semua pihak khususnya lawan politik beliau perlu berjiwa besar untuk memaafkan Nik Abdul Aziz. Ini bersesuaian dengan perintah Allah SWT seperti mana firman-Nya dalam surah asy-Syura ayat 40 yang bermaksud;

"Maka barang siapa yang memaafkan dan berbuat baik, pahalanya atas tanggungan Allah."

Dan Allah SWT juga berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 263 yang bermaksud:

"Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyabar."

Mahu tidak mahu, siapa pun Nik Abdul Aziz, sehebat mana pun beliau sebelum ini dalam dunia politik dan sejauh manapun berlaku pertembungan dengan musuh politiknya daripada UMNO, akhirnya kita tetap saudara sesama Islam.

Sebagai Islam, kita harus berdoa agar Allah akan memberi ketabahan kepada Nik Abdul Aziz dalam menghadapi ujian-Nya berikutan sakit yang dialami dan semoga Allah memberikan kesejahteraan kepada beliau di dunia dan akhirat.

Jangan biarkan perbezaan politik menjadi virus yang menghapuskan dan melunturkan semangat persaudaraan Islam sesama kita. Oleh itu, terimalah permohonan maaf Nik Abdul Aziz.

Pemilihan PKR: Pi mai pi mai duk tang tu juga

Posted: 30 Mar 2014 11:55 AM PDT

Oleh HASSAN MOHD. NOOR

LANJUTAN drama Langkah Kajang arahan PKR. Kali ini kisah perebutan jawatan. Melihat senarai yang akan bertanding, maka akan kelihatan hebatnya demokrasi dalam parti itu. PKR, asalnya ditubuhkan atas nama reformasi bagi membela Anwar Ibrahim selepas pemecatannya daripada kerajaan dan UMNO pada September 1998. Sehingga kini, Anwar dan keluarga terus berkuasa dalam PKR. Kuasa itu akan terus dipertahankan melalui pertandingan kali ini. Anwar akan mencabar isterinya, Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk jawatan presiden. Menyelak kembali sejarah, PKR adalah gabungan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) yang ditubuhkan pada April 1999 (selepas reformasi yang digerakkan Anwar) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang ketika itu dipimpin oleh Dr. Syed Husin Ali. PRM sebelum itu dikenali sebagai Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM).

Hasil gabungan itu pada Ogos 2003, jawatan presiden disandang oleh Wan Azizah (Keadilan) dan timbalannya disandang oleh Syed Husin. Tidak pasti sama ada komposisi dua parti itu masih wujud dalam PKR atau dimonopoli sepenuhnya oleh bekas pemimpin Keadilan. Apa yang pasti, keluarga Anwar dan sahabat-sahabat terdekat menguasai PKR. Ketika beberapa kerat pemimpin PRM selesa dalam PKR, sekumpulan anggota parti mendaftarkan semula PRM pada tahun 2005. Itu cerita PKR.

Kelmarin, berlangsung pencalonan bagi jawatan-jawatan dalam PKR yang jelas menampakkan sekali lagi episod menarik sepanjang proses pemilihan ini. Bayangkan suami lawan isteri di pentas politik. Satu perkara lagi apabila Tian Chua bertanding dua jawatan - Timbalan Presiden dan mempertahankan Naib Presiden. Tian Chua sebenarnya mahu jawatan apa? Timbalan atau Naib Presiden? Apakah kebarangkalian beliau menang kedua-dua jawatan?

Ketika Karpal Singh yang masih menunggu rayuan kes hasutan mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Pengerusi DAP Kebangsaan, Anwar yang juga sedang menunggu rayuan hukuman kes liwat menawarkan diri bertanding. Kenapa Karpal sanggup berbuat demikian tetapi tidak bagi Anwar? Pelik tetapi inilah drama politik yang sedang dipentaskan. Mungkin lebih hebat daripada Langkah Kajang. Gimik politik ini walaupun nampak seperti satu jenaka tetapi pi mai pi mai tang tu juga. Pi mai pi mai, keluarga Anwar menerajui PKR. Bayangkan jika ada parti politik di pihak Barisan Nasional (BN) yang mempunyai kepemimpinan keluarga seperti ini, sudah pasti `dibelasah habis-habisan. Anwar tidak berani menawarkan diri untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang tetapi bersedia mencalonkan diri untuk pemilihan parti. Mungkin risiko calon PRK lebih besar berbanding calon untuk pertandingan dalam PKR. Apabila Anwar dicalonkan, sudah tentu tidak ada orang lain yang berani menawarkan diri. Azmin yang dikatakan akan mencabar Wan Azizah tidak mungkin melanggar mentornya. Akhirnya, Azmin hanya mempertahankan jawatan No.2. Sekiranya, dalam tempoh ke arah pemilihan nanti, Anwar hilang kelayakan bertanding, maka sudah tentu Wan Azizah akan mengekalkan jawatannya tanpa bertanding. Atau Wan Azizah akan memberi laluan kepada pemimpin anugerah Tuhan ini?

Masihkah ingat pemilihan 2007? Cuba selak kembali kongres yang berlangsung di Seremban. Ketika itu, pertandingan sepatutnya melibatkan tiga penjuru - Anwar, Azizah dan Rahman Othman. Anwar menarik diri. Selepas Anwar memberi penjelasan hampir satu jam pada kongres, Abdul Rahman pula menarik diri. Akhirnya Wan Azizah menang tanpa bertanding. Hasrat Anwar untuk bertanding terhalang setelah Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengesahkan Anwar tidak layak bertanding kerana tempoh sekatan politik yang dikenakan ke atasnya masih berjalan hingga April 2008. Alasan penarikan diri juga adalah kerana rata-rata perwakilan mahu memberi laluan kepada Wan Azizah memimpin parti bagi menghadapi pilihan raya umum. Adakah peristiwa yang sama akan berulang? Anwar tentu sedar risiko hilang kelayakan jika menang jawatan itu ekoran hukuman penjara lima tahun yang dihadapinya. Kenapa Anwar tetap menghantar borang pencalonan? Ada yang beranggapan, tindakan itu sebagai usaha memastikan tiada calon lain akan bertanding jawatan No.1 yang disandang isterinya sejak 1998. Ada juga yang bertanya, bagaimana kalau Anwar tetap bertanding dan menang? Mungkin itu rezekinya. Apa pula berlaku jika jawatan itu `gugur dengan sendirinya apabila rayuannya ditolak atau hukuman yang diterima akan tetap menghilangkan kelayakannya?

Sudah tentu, Azmin sekiranya ditakdirkan berjaya mempertahankan jawatan No.2 akan dilantik sebagai Pemangku Presiden PKR. Sejauh mana pula peluang Azmin? Selain Azmin, turut menawarkan diri bagi jawatan timbalan presiden ialah Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang @ Tian Chua, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, bekas calon DUN Batang Kali, K.Ramachandram dan Murali Subramaniam. Kenapa ramai yang menawarkan diri untuk jawatan ini? Jangkaan awal melibatkan Azmin dan Khalid. Adakah calon-calon ini sudah mendapat `lampu hijau untuk `melanggar orang kuat Anwar? Sekali lagi, mungkinkah untuk jawatan No.2 ini akan berlaku episod tarik diri?

Pada pemilihan 2010, Zaid Ibrahim yang disebut-sebut sebagai calon paling layak mencabar Azmin menarik diri, menjadikan pertandingan melibatkan Azmin dan Mustaffa Ayub. Zaid juga meletakkan semua jawatannya dalam PKR. Zaid mengakui tersilap apabila menawarkan diri bertanding kerana menganggap PKR boleh membawa politik yang progresif, mengembangkan demokrasi dan meningkatkan ketelusan. Zaid mendakwa, sepanjang pemilihan PKR, kepemimpinan parti itu secara aktif membiarkan salah laku dan penipuan berleluasa dengan tujuan mencapai objektif tertentu.

"Akhir sekali, saya berharap peminat Anwar Ibrahim tidak lagi menganggap saya sebagai spoiler yang akan menghalang perarakan mereka ke Putrajaya. Saya ucapkan maju jaya kepada mereka," kata Zaid. Adakah pemilihan yang ditetapkan mulai 25 April hingga 11 Mei depan mampu berjalan lancar? Kita tunggu dan lihat kehebatan parti politik ini dalam tempoh tiga minggu pengundian dan keputusannya yang bakal diumumkan selewat-lewatnya pada 13 Mei.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


'Nikmat' hidup bermadu

Posted: 30 Mar 2014 12:19 PM PDT

SAYA sedih melihat perangai kaum lelaki dan wanita Melayu kita (bukan semua), nama sahaja beragama Islam, tetapi perangai langsung tak menunjukkan mereka Muslim sebenar. Saya tak mahu sentuh bab lain yang lebih teruk, tetapi memadai untuk saya memperkatakan soal nikah kahwin dan tanggungjawab sebagai suami dan isteri.

Si wanita, bila nak kahwin suami orang, sanggup buat apa saja, macam tak ada maruah, sementara si lelaki berjanji sanggup beri bulan dan bintang. Tapi setelah hajat tercapai atau si wanita sudah dikorbankan, baru kita tahu dia takut bini, bini terkentot langsung tak berani keluar rumah. Itu cerita NorIzzaty dalam e-melnya.

Saya tak cakap pasal orang lain, tetapi inilah perangai kakak saya. Daripada awal lagi kami sekeluarga larang dia kahwin suami orang, dia senyap-senyap kahwin lari ke Siam. Masa rahsia belum terbongkar segalanya manis. Bila bom dah meletup, dan dah dapat anak, suami takut balik rumah, mulalah menangis macam orang meroyan.

Bila dah sakit, emak mesti tak sampai hati, ambil kakak bawa balik rumah, jaga dua anaknya. Bila dah sihat, mulalah cari suami lagi. Bab ni yang saya tak boleh tahan. Dia boleh tinggalkan anaknya suruh emak jaga dan dia ikut suaminya lagi? Kita tahu suaminya bukan suka sangat kat dia, cuma nak seronok dan kakak boleh bagi duit belanja lagi.

Tiga tahun emak jaga anak-anaknya sampai masuk tadika. Bila dia balik sebulan sekali emak nasihatkan suruh ambil anak-anaknya sebab emak dah tua, sebaliknya dia boleh pujuk emak jaga anak dia yang baru berusia tujuh bulan. Emak mulanya marah, tetapi tak sampai hati nak suruh dia ambil anak-anaknya. Waktu itu kami semua bersuara. Maka berlakulah pertengkaran.

Kalau dulu kakak fikirkan cuma keseronokan dapat kahwin dengan lelaki yang dicintai, sekarang baru dia terkedu. Cinta tak boleh beri dia makan, apa lagi tanggung nafkah anak-anaknya. Itu belum masuk bab kena serang dengan isteri pertama dengan anak-anak tiri yang mulut laser. Kerana masalah rumah tangga yang tak pernah aman, kerja pun terganggu. Waktu itu baru kakak balik jumpa emak nak minta nasihat.

Kakak cuma tahu menangis kerana kakak jenis cepat lemah bila suaminya datang pujuk, dia pasti mengelupur pulang ikut suaminya. Kami nasihatkan emak jangan campur urusan kakak kerana kami tahu bila suaminya datang, kakak pasti ikut.

Seperti yang diramalkan lepas tiga hari suaminya datang pujuk, dia kembali ikut suaminya. Tapi dia sempat minta bantuan duit pada emak. Kerana kasihan emak hulur RM300. Saya nasihatkan emak, cara emak salah. Emak bukan mengajar kakak jadi wanita tegas dan kuat semangat, tetapi akan merosakkan lagi hidupnya.

Tepat seperti ramalan kami, dua bulan kemudian kakak datang lagi. Kerana emak mudah kasihan, emak bantu kakak setiap bulan selama lebih setahun. Bila kami dapat tahu, kami beri ceramah panjang pada kakak. Memang nampak kurang ajar, tapi inilah sahaja cara untuk sedarkan kakak yang cepat lentuk dan mengalah pada suami.

Kami tak marah kalau hidup kakak gembira, terjaga makan minumnya, hidup anak-anak sempurna dan hidup kakak tidak terseksa. Sekali lagi kakak merajuk tak balik ke rumah emak setengah tahun, tambahan kalau dia tahu kami ada di rumah emak. Pendek kata, selama lapan tahun kakak hidup bermadu, dia tak pernah balik berhari raya bersama kami.

Banyak sebab kakak tak balik, pertama kerana malu kahwin lari, kedua malu kami tahu dia selalu minta duit emak. Ketiga kakak marah kami larang emak jaga anak-anaknya.

Terseksa

Kami sayangkan kakak dan anak-anaknya, tapi kami tak mahu hidup kakak terseksa lebih teruk lagi sebab tanggung suaminya yang tidak bertanggung jawab itu. Dan kami tak mahu kakak dicerca dan dimalukan depan jiran, dituduh perampas suami orang.

Kami marah apabila suaminya tidak pernah pertahankan kakak bila madunya datang menyerang, sedangkan dia yang menggoda hingga kakak sanggup kahwin lari dan melukakan hati emak dan kami tiga beradik. Kami malu dengan perangai kakak, sepatutnya kakak tunjukkan contoh yang baik kepada kami.

Saya pernah nasihatkan kakak, emak ayah dah beri kita pelajaran dan kita bekerja, kalau tak kahwin pun tak apa, kerana jodoh kita belum sampai. Tak payahlah rebut suami orang. Kata kakak, dia tak mahu digelar andartu, di pejabatnya dia saja yang belum kahwin sedangkan budak perempuan lain baru bekerja dah berkahwin.

Dipendekkan cerita, tahun lepas kakak balik ke rumah emak bersama tiga orang anaknya. Kakak mengaku kalah bahawa dia tidak akan kembali dengan suaminya, dan dia dalam proses minta cerai. Apa yang pelik, suaminya tak mahu ceraikan dia, sedangkan depan isteri dan anak-anaknya sudah berulang kali dia beritahu telah ceraikan kakak.

Kata kakak dia dah bertanya kepada ustaz dan dia disuruh merujuk kesnya ke mahkamah syariah. Kata kakak, dia takut berdosa selagi tinggal bersama suamiya. Sebab sudah berulang kali suaminya mengaku sudah ceraikan kakak depan anak dan isteri pertamanya. Malangnya suaminya tak pernah datang ke mahkamah ketika dipanggil.

Akhirnya, awal tahun ini kakak diceraikan, setelah kami pastikan isterinya terima surat memanggil suaminya ke mahkamah syariah. Masalah kakak kini jadi masalah kami bersama, saya dan adik belum terfikir nak kahwin, kecuali adik bongsu yang akan berkahwin tahun depan. Doa kami, nasibnya tidak seperti kakak kerana dia tidak kahwin lari. Namun perkahwinan direstui ibu dan ayah pun bukan jaminan kebahagiaan dan kekal hingga ke akhir hayat.

Kesimpulannya seperti yang saya katakan, orang lelaki kalau cakap pasal berpoligami kalahkan alim ulama (bukan semua), tetapi bab tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak hampeh!" Itu cerita NorIzzaty melihat kehidupan kakaknya.

Karipap premium di Pavilion

Posted: 30 Mar 2014 12:19 PM PDT

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
dianna.azaham@utusan.com.my

KAMPONG Kravers sesuai untuk pelbagai bangsa.

WALAUPUN semakin banyak pastri dan kek resipi dari luar negara yang menjengah ke Malaysia, tetapi rasanya tiada yang dapat dibandingkan dengan hidangan kuih tradisional kita, karipap yang menjadi pilihan pelbagai bangsa dan usia.

Minum petang anda pasti terasa lengkap apabila dapat menikmati keenakan karipap yang masih panas bersama air kopi atau teh o panas. Malah, tidak keterlaluan untuk menyatakan kuih karipap juga merupakan kuih rasmi dalam mesyuarat kerajaan ataupun swasta.

Namun, bukan mudah sebenarnya untuk menemui karipap yang benar-benar sedap dan berkualiti kerana ramai peniaga yang seolah-olah tidak ikhlas menyediakan hidangan karipap dengan isinya yang sedikit dan kulitnya yang tidak menyelerakan.

Bagi pemburu kuih karipap tegar, apa kata singgah ke Kampong Kravers yang baru saja membuka kiosk di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur. Menyediakan karipap premium pelbagai inti, rasanya yang lengkap segala rempah-ratus pasti tidak akan mengecewakan selera Malaysia anda.

Selain inti biasa seperti ayam, daging sardin dan kentang, mereka turut menyediakan pelbagai perisa inti iaitu daging masala, tuna pedas, sambal ikan bilis, durian, cempedak, cendawan mayonis, kaya, kastard epal, nanas dan mentega kacang. Paling menariknya ia turut disediakan dalam bentuk sejuk beku untuk mereka yang mahu mengulangi rasa enak karipap ketika di rumah.

Karipap didatangi dalam tiga saiz berbeza. Bagusnya lagi karipap pusing digoreng menggunakan teknologi terkini yang menyihatkan iaitu penggoreng tekanan udara yang tidak menggunakan minyak, membuatkan anda dapat menikmatinya tanpa rasa bersalah dek minyak yang tidak elok untuk kesihatan.

Menurut Pengarah komersial Kampong Kravers , Monarr F. Basarrah, kiosk Karipap Kravers yang baru dibuka bulan lalu itu kerana memenuhi permintaan ramai terhadap produk mereka yang sebelum ini dijual di kafe yang terletak di Damansara Kim, Petaling Jaya dan beberapa pasar raya sekitar Lembah Klang.

Kiosk yang baru dibuka ini bertujuan untuk memuaskan keinginan mereka yang datang ke pusat beli-belah ini terhadap snek tradisi Malaysia yang disediakan dalam cara yang kreatif, terkini dan inovasi penyediaan yang menyihatkan.

Ia merupakan yang pertama dan kami bercadang untuk membuka lebih banyak kiosk sebegini pada masa akan datang," ujarnya ketika ditemui di kiosk Kampong Kravers, Pavilion Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain rasanya yang enak, ia juga tidak mengandungi bahan pengawet, perisa dan pewarna tambahan, tiada MSG, rendah kolestrol dan pastinya dijamin halal.

Ujar Monarr, mereka menggunakan teknik blast freeze iaitu karipap yang telah selesai diadun dimasukkan ke dalam penyejuk beku khas yang mencecah suhu serendah -20 darjah Celcius bagi mematikan mikro organisma lalu membuatkan ia tidak memerlukan bahan pengawet untuk tahan lama.

Di kiosk Kampong Kravers, anda juga dapat menikmati pelbagai hidangan tempatan yang menyelerakan di samping menyihatkan seperti nasi lemak kukus yang menggunakan beras Basmathi yang terbukti bagus untuk kesihatan yang kemudian dibalut dengan daun pisang bagi menaikkan bau dan rasanya.

Atau nikmati roti canai yang dihidang dengan pelbagai pilihan bahan untuk dicicah iaitu masala daging, ayam, dal, nutella, durian dan cempedak.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


27 lokasi sampah haram ditutup

Posted: 29 Mar 2014 11:28 AM PDT

Oleh SHOLINA OSMAN
utusanperlis@utusan.com.my

KANGAR 29 Mac - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) Perlis telah menutup sebanyak 27 lokasi sampah haram sepanjang tahun lalu dalam usaha meningkatkan lagi tahap kebersihan di negeri ini.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainul Abidin Abdullah berkata, kawasan tersebut akan terus dipantau bagi menggelakkan kejadian serupa berulang.

''Lokasi yang dikenal pasti ini akan dipantau menerusi unit rondaan oleh penguat kuasa PPSPPA dari semasa ke semasa bagi memastikan larangan ini dipatuhi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PPSPPA dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang melibatkan tujuh taman perumahan di sini hari ini.

Taman perumahan terlibat adalah Taman Datuk Setia, Taman Datuk Setia 2, Taman Suriani, Taman Repoh, Taman Repoh Indah, Taman Ceria dan Taman Kampung Guru.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Mat Hassan dan Penolong Pengarah PPSPPA Perlis, Zaidi Tuah.

Zainul Abidin berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika mendapati ada pihak masih berdegil dengan larangan membuang sampah di kawasan yang tidak dibenarkan.

''Sesiapa yang didapati sengaja membuang sisa pepejal atau sampah haram di kawasan larangan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 71, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Selain itu, katanya, MoU tersebut diharap akan menjadi platform untuk penduduk mengubah dan meningkatkan kesedaran terhadap tanggungjawab dalam mengekalkan kebersihan.

Pelajar terbaik STPM luar bandar terima sijil penghargaan

Posted: 29 Mar 2014 11:28 AM PDT

Nurul Syuhadah Yakath (tengah) dan ibu bapanya menunjukkan sijil penghargaan yang diperoleh sebagai pelajar terbaik STPM 2013 kategori luar bandar di rumahnya di Kampung Padang Kulim, Kuala Ketil, Kedah, semalam. - MINGGUAN/NORLIA RAMLI

BALING 29 Mac - Seorang calon pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 di sini tidak menyangka akan muncul pelajar terbaik negara bagi kategori sekolah luar bandar.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Ketil, Nurul Syuhadah Yakath, 19, dari Kampung Padang Kulim berkata, dia sebenarnya amat terkejut apabila dimaklumkan tentang berita gembira tersebut.

"Saya terkejut apabila diberitahu menjadi pelajar terbaik untuk STPM ini dan syukur kepada Allah kerana penat lelah selama ini berbaloi.

"Kejayaan ini secara tidak langsung membuktikan pelajar luar bandar juga mampu bersaing hebat dengan pelajar di kawasan bandar sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh," katanya.

Nurul Syuhadah berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang menyampaikan sumbangan dan sijil penghargaan di kediamannya di Kampung Padang Kulim, di sini semalam.

Pelajar cemerlang yang merupakan anak kepada pasangan guru, Yakath Ali SM Habib Mohamad, 52, dan Mahani Abd. Jaafar, 49, itu mencatat keputusan A bagi semua mata pelajaran diambil.

Sementara itu, Abdul Azeez berharap, kejayaan dicapai Nurul Syuhadah itu menjadi ikutan pelajar lain di daerah ini.

"Syabas diucapkan kepada Nurul Syuhadah kerana dia telah membuktikan kepada negara bahawa pelajar cemerlang tidak semestinya datang dari kawasan bandar.

"Pelajar luar bandar juga mampu meraih kejayaan besar sekiranya mereka bertekad dan berazam untuk memperolehnya," kata beliau.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


202 pelajar terima diploma

Posted: 29 Mar 2014 11:28 AM PDT

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada 202 graduan bergambar kenangan selepas majlis konvokesyen di Dewan Politeknik Nilai, Seremban, Negeri Sembilan semalam. - MINGGUan/MOHD. NOOR MAT AMIN

SEREMBAN 29 Mac - Seramai 202 pelajar dari tiga buah politeknik dianugerahkan diploma dalam Majlis Konvokesyen 2014 di Dewan Politeknik Nilai, Bandar Enstek di sini hari ini.

Kesemua mereka dari Politeknik Nilai (Negeri Sembilan), Politeknik Banting (Selangor) dan Politeknik METrO (Kuala Lumpur) menerima diploma Pengajian Perniagaan, Kewangan dan Perbankan Islam, Penyenggaraan Pesawat serta Peruncitan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar berkata, pelajar berkenaan merupakan pengambilan bagi sesi Disember 2012 dan Jun 2013.

"Penerima diploma terdiri daripada pelajar Pengajian Perniagaan (e-Dagang) (67 orang), Kewangan dan Perbankan Islam (70) daripada Politeknik Nilai.

"Turut menerima diploma ialah 30 graduan Penyenggaraan Pesawat dari Politeknik Banting dan Pengurusan Peruncitan seramai 35 orang," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum dan Latihan Kerja Jabatan Pengajian Politeknik, Mohd. Ghaus Ab. Kadir.

Menurutnya, politeknik kini giat melaksanakan Pelan Transformasi Politeknik 2010 hingga 2020 yang dijalankan dalam tiga fasa.

"Pelan ini menumpukan usaha mempertingkatkan keupayaan inovasi dan kreativiti, penghasilan graduan yang menepati kehendak pasaran selain memperkasakan jenama dan reputasi politeknik.

"Untuk tahun ini, politeknik akan terus menggalas usaha transformasi dengan menawarkan kursus baharu peringkat diploma, lepasan diploma dan ijazah melibatkan bidang tujahan dan teknologi," jelasnya.

Sementara itu, penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum, Abdul Muhaimin Salleh berharap keputusan cemerlang yang diperoleh akan membantunya melanjutkan pengajian di universiti tempatan.

"Saya akan berusaha lebih gigih pada masa akan datang untuk mengecap kejayaan yang lebih manis," kata graduan jurusan Penyenggaraan Pesawat itu yang menamatkan pengajian dengan keputusan purata nilai gred keseluruhan (CGPA) 4.0.

Graduan Kewangan dan Perbankan Islam, Sharifah Nur Jannah Yussof yang turut terpilih menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum pula berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak terutamanya ibu bapa, pensyarah dan rakan-rakan yang banyak membantu dalam pengajiannya.

"Saya akan terus menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dan berharap diterima masuk ke Universiti Sains Islam Malaysia ke arah mencapai cita-cita untuk berjaya dalam industri perbankan Islam," katanya.

66 anak angkat Bistari Melaka terima anugerah

Posted: 29 Mar 2014 11:28 AM PDT

MELAKA 29 Mac - Seramai 66 orang pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 di negeri ini yang juga merupakan anak angkat Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional (Bistari) Melaka menerima anugerah masing-masing.

Yang Dipertuanya, Datin Seri Fadilah Abdullah berkata, anugerah tersebut diberikan sebagai suntikan semangat kepada para pelajar terbabit untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.

"Kesemua pelajar yang menerima anugerah ini datang dari 23 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) diwakili Barisan Nasional (BN).

"Daripada 66 pelajar itu, seramai 27 orang memperoleh semua A merangkumi lima pelajar mendapat 9A dan 22 pelajar, 8A.

"Seramai 21 pelajar pula memperoleh 6A atau lebih manakala 18 orang lagi mencatat keputusan yang memuaskan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian anugerah itu di Seri Bendahara, Ayer Keroh, semalam.

Yang turut hadir, Penasihat Bistari, Datuk Seri Idris Haron yang juga merupakan Ketua Menteri.

Fadilah berkata, pelajar yang memperoleh 9A menerima sumbangan RM120, 8A (RM100) manakala 6A ke bawah mendapat RM50.

Dalam pada itu katanya, Bistari Melaka tidak akan berhenti untuk terus membimbing anak-anak angkat mereka yang disifatkan sebagai harapan bangsa, agama dan negara.

"Apa yang diharapkan pelajar-pelajar ini tidak leka dengan keputusan cemerlang yang diperoleh sekarang kerana perjuangan hidup sebenarnya baru bermula," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


MH370: Jangan dengar maklumat tidak sah

Posted: 30 Mar 2014 01:41 AM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD

BATU PAHAT 30 Mac - Orang ramai diminta hanya mendengar laporan rasmi yang dikeluarkan kerajaan dan pihak berkuasa berhubung tragedi menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, taklimat media yang disampaikan Pemangku Menteri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein adalah maklumat tepat tanpa menyembunyikan sebarang fakta.

Menurutnya, laporan di media sosial termasuk laman-laman blog yang bukannya kenyataan rasmi oleh kerajaan adalah maklumat yang tidak disahkan.

"Taklimat menteri yang disampaikan setiap hari adalah maklumat terkini dan sebarang andaian hanya akan menambahkan kesengsaraan keluarga penumpang dan anak kapal," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pasar Tani baharu di Dataran Kompleks Niaga, Parit Raja di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

PM lancar projek pembangunan baharu Langkawi

Posted: 29 Mar 2014 08:31 PM PDT

LANGKAWI 30 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan projek pembangunan terbaharu Langkawi membabitkan pelan induk Perdana Quay di Teluk Burau di sini dalam usaha merancakkan lagi industri pelancongan negara ini.

Projek yang membabitkan nilai kasar pembangunan RM4 bilion itu julung kali melibatkan pembangunan bersepadu seperti pusat komersial, hotel, perumahan dan pusat membeli belah dalam usaha menjadikan pulau ini destinasi pelancongan terkemuka antarabangsa setaraf Phuket dan Bali.

Pada majlis sama Perdana Menteri turut melakukan upacara pecah tanah bagi resort mewah The Burau Langkawi yang menjadi sebahagian daripada projek ini.

Projek dibangunkan oleh pemilik terbesar rangkaian hotel negara ini, Tradewind Corporation Bhd. (TCB) di atas tanah seluas 97.12 hektar di Pantai Kok dan Teluk Burau.

Hadir sama pada majlis, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Projek pembangunan tersebut akan melalui enam fasa dan dijangka siap pada 2015 sementara The Burau pula pada 2017. - UTUSAN ONLINE

Insiden MH370 tidak jejas industri pelancongan negara - PM

Posted: 29 Mar 2014 08:30 PM PDT

LANGKAWI 30 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 tidak akan menjejaskan industri pelancongan negara.

Perdana Menteri berkata demikian di majlis pelancaran projek pembangunan terbaharu Langkawi membabitkan pelan induk Perdana Quay di Teluk Burau di sini dalam usaha merancakkan lagi industri pelancongan negara.

Kata beliau, kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai pelan pembangunan pelancongan di negara ini termasuk di Langkawi yang dianggap permata negara. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Malaysia menaruh harapan ada yang masih hidup

Posted: 29 Mar 2014 11:28 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Lima prinsip bangunkan negara

Posted: 29 Mar 2014 11:28 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Program Tube peruntuk RM10 juta

Posted: 29 Mar 2014 11:28 AM PDT

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rekreasi

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Berpakaian sekolah di puncak Tahan

Posted: 29 Mar 2014 05:48 AM PDT

Pendaki berpakaian sekolah di puncak gunung Tahan.

Berketinggian 2187 meter dari paras laut (dpl), Gunung Tahan yang terletak di Taman Negara Pahang dan di bawah pengurusan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menjadi tumpuan pendaki khususnya pada cuti perayaan yang panjang.

Pada cuti perayaan Tahun Baru Cina yang lalu, sekumpulan pendaki dari Kelab Pendaki Budak Chap Ayam (BCA) telah menganjurkan ekspedisi mendaki gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia itu. Pendakian itu disertai oleh 24 orang dan diiringi dua penunjuk arah dari Perhilitan, Zulkifli Daud, 41, dan Zainal Abidin Mohd Zin,31.

Bertemakan Nostalgia Zaman Sekolah, para pendaki dikehendaki membawa pakaian seragam sekolah untuk dipakai ketika sesi bergambar di puncak gunung tersebut. Berikut catatan pendakian kami.

Hari Pertama

Rombongan kami tiba di pejabat Perhilitan di Sungai Relau,Merapoh,Pahang pada pukul 8 pagi.Selepas pemeriksaan barangan dilakukan, kami mendengar taklimat yang disampaikan oleh penunjuk arah. Kemudian kami menaiki kenderaan pacuan empat roda (4x4) menuju ke Santuari Ikan Kelah Kuala Juram.

Selepas solat Zohor, langkah mula diatur menuju ke Kem Kor sejauh 13.5 kilometer. Kami melalui beberapa kawasan seperti Lata Bunian, Kem Kuala Luis dan Lata Luis. Dalam perjalanan itu, kami menyeberangi sungai yang paras airnya mencecah pinggang.

Perjalanan ke Kem Kor memang mengasyikkan. Tidak hairanlah Gunung Tahan sentiasa menerima kunjungan pendaki dari dalam dan luar negara. Tepat pukul 7 malam, kami tiba di Kem Kor. Selepas solat Maghrib, para peserta termasuk ketua ekspedisi, Mohd Nazri Mohd Nazair, 32,bergotong-royong menyediakan makan malam dengan menu tom yam yang cukup istimewa.

Hari Kedua

Selepas mendengar taklimat, kami bergerak menuju ke Kem Botak. Kami melalui tapak perkhemahan Kem Permatang, Kem Kubang, Kem Belumut dan Kem Bonsai. Pendakian lebih sukar dengan jarak perjalanan 16 kilometer. Trek yang dilalui amat mencabar dan kebanyakannya curam.Beberapa pendaki mula mengalami masalah kekejangan dan kecederaan otot.Mereka terpakasa berehat seketika di Kem Bonsai yang dikelilingi pepohon rendah yang cantik.

Penulis sempat bergambar di sebatang pohon yang agak rendang dekat situ.Pemandangan gunung-ganang sekitar Taman Negara dapat dilihat dari kawasan ini. Hari semakin menuju senja.Panorama matahari terbenam dapat dilihat semasa kami hampir sampai di Kem Botak.Dalam kegelapan malam, beberapa pendaki yang mengalami kekejangan otot dan terseliuh terpaksa memerah kudrat menuju ke Kem Botak. Tepat pukul 9 malam, barulah mereka tiba. Kem Botak sentiasa terdedah pada tiupan angin sejuk. Walaupun musim kering, suhu mencecah 10 darjah celcius, membuatkan kami menggigil kesejukan. Begitupun, kami masih gagah menyediakan hidangan makan malam. Sumber air agak terhad memandangkan musim kering dan tiada hujan sejak dua bulan lalu. Ini membuatkan kolam air berhampiran Kem Botak mempunyai air yang mengalir sangat perlahan. Justeru, kami hanya menggunakan air tersebut untuk memasak sahaja.

Hari Ketiga

Mengikut perancangan asal, kami akan bergerak ke puncak Gunung Tahan dan bermalam di Kem Gedung. Namun disebabkan beberapa pendaki mengalami kecederaan otot, maka kami menukar rancangan iaitu bermalam di tempat yang sama iaitu Kem Botak. Disebabkan itu, perjalanan ke puncak Gunung Tahan dan Kem Gedung serta berpatah balik ke Kem Botak agak mudah. Ini kerana kami hanya memikul beg galas kecil yang ringan. Akhirnya selepas dua jam mendaki, kami tiba di puncak Tahan.

Pemandangan yang indah dan menghijau dapat dilihat dengan jelas dari puncak. Riak wajah kegembiraan jelas terpancar pada wajah setiap pendaki. Kami kemudian menukar pakaian dengan mengenakan pakaian seragam sekolah. Tema pakaian sekolah sengaja dipilih sebagai tanda kenangan zaman persekolahan dahulu. Pakaian seragam sekolah seperti baju ketua pengawas,pengawas sekolah dan pengawas pusat sumber serta pakaian guru disiplin turut ditonjolkan bagi menceriakan lagi suasana dalam sesi bergambar di puncak.

Selepas tamat sesi fotografi bertemakan pakaian sekolah,kami menyarung semula pakaian mendaki untuk menyambung perjalanan ke Kem Gedong.Tidak semua pendaki ke sana kerana mereka ingin menemani rakan pendaki yang masih belum pulih daripada kecederaan otot di Kem Botak. Hanya 15 pendaki termasuk seorang penunjuk arah membawa kami ke Kem Gedong. Kem itu terletak di banjaran yang bersambung dari puncak Gunung Tahan dan mempunyai sisi pemandangan yang cukup indah di kiri dan kanan denai.

Selain itu,daya tarikan lain yang membawa kami ke sana adalah bangkai pesawat tentera British yang masih terdapat di lereng berhampiran puncak gunung.Setelah hampir tiga jam berjalan sejauh tujuh kilometer dari puncak Tahan, akhirnya kami sampai di kawasan pesawat tersebut. Kami merakamkan foto berlatarbelakangkan bangkai pasawat dan pemandangan berhampiran untuk kenang-kenangan sebelum berpatah balik ke Kem Botak untuk bermalam.

Hari Keempat

Seawal pagi dan setelah selesai berkemas, kami bergerak turun menuju ke Kem Kor. Seperti sebelum ini, kami menempuh Kem Bonsai,Kem Belumut,Kem Kubang dan Kem Permatang. Perjalanan banyak menurun dan kami diminta berhati-hati semasa menempuh laluan yang agak curam.Suasana bermalam di Kem Kor agak meriah kerana ini adalah malam terakhir kami di dalam hutan. Sesi suai kenal dikendalikan oleh Mohd Nazri bersama semua pendaki sambil beramah mesra dan berkongsi pengalaman dalam aktiviti rekreasi.

Hari Kelima

Setelah berkemas, kami bergerak keluar menuju ke Santuari Ikan Kelah Kuala Juram. Setibanya di situ, sesi berjinak-jinak dengan ikan kelah pun bermula. Kami turun ke sungai dan seorang penunjuk arah membuat demonstrasi memanggil ikan kelah dari lubuk berdekatan.Dari kejauhan, kami ternampak kelibat sekumpulan ikan kelah keluar dari lubuk dan melawan arus menuju ke arah kami. Seronoknya dapat memberi ikan kelah makan. Penulis dan beberapa rakan pendaki sempat menangkap beberapa ekor ikan kelah untuk bergambar dan kemudian melepaskannya semula ke dalam sungai. Setelah puas bermain air, kami menaiki semula kenderaan 4x4 menuju ke Pejabat Taman Negara Pahang, Sungai Relau dan kemudian menaiki bas pesiaran untuk pulang ke Kuala Lumpur. Ekspedisi ini telah meninggalkan banyak kenangan suka dan duka kepada kami yang pastinya tidak akan dilupakan. - FAIZAL SAMAT

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved