Isnin, 17 Februari 2014

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Ayu Damit idam peladang jaya

Posted: 16 Feb 2014 08:17 PM PST

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar JEFFRI IRAN

Rezeki dalam dunia seni suara masih ada.

MENJADI seorang artis tidak bererti seseorang itu dijanjikan dengan pendapatan lumayan yang melimpah ruah sehingga mampu menyara hidup hingga ke hari tua.

Maka, tidak hairanlah terdapat segelintir artis yang mengambil inisiatif menambah pendapatan dengan menjalankan pelbagai jenis perniagaan.

Pun begitu, ketika ramai artis memilih perniagaan seperti membuka restoran atau mengeluarkan produk kecantikan dan kesihatan, Ayu Damit, 25, sebaliknya melibatkan diri dalam bidang pertanian dengan menanam kelapa dan nanas.

Juara program realiti One In A Million musim kedua (OIAM2) itu menjelaskan, perusahaan kelapa di ladang berkeluasan hampir empat ekar atau 1.6 hektar di Kuala Kangsar, Perak itu adalah hasil kerja keras suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin, 27.

Tanaman utama yang diusahakan sebenarnya adalah kelapa di tanah milik keluarga mentua saya.

"Bagaimanapun, baki ruang yang terdapat di antara pokok kelapa dimanfaatkan dengan menanam pokok nanas sebagai tanaman kontan.

Kami memulakan projek ini pada tahun lalu. Buat masa ini, ia belum lagi mendatangkan sebarang hasil kerana buah kelapa mengambil masa tiga tahun untuk matang.

Bagaimanapun, senarai pembeli telah diperolehi dan mereka akan menjalin kerjasama berterusan seandainya hasil tanaman kelapa ini berjaya menghasilkan buah yang bagus dan berkualiti.

"Ini kerana, perusahaan ini mendapat bantuan daripada FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan)," katanya ketika menjayakan sesi fotografi bersama Hits, baru-baru ini.

Mengulas mengenai tanaman nanas pula, Ayu memberitahu bahawa ia hanya boleh dituai pada Jun ini kerana memerlukan masa kira-kira 14 bulan untuk masak.

Disebabkan projek tersebut, Ayu dan suaminya sering berulang alik dari Kuala Lumpur ke Perak untuk menguruskannya dan optimis dengan pendirian mereka bahawa bidang pertanian mampu memberi pulangan yang lumayan andai ia dilaksanakan menerusi kaedah yang betul.

Orang tua-tua kata, berbakti kepada tanah akan mendapat pulangan yang berbaloi. Saya berpegang kepada pepatah itu dan berharap usaha kami berjaya," ujar Ayu sambil memberitahu bahawa perniagaan tersebut dijalankan di bawah syarikat miliknya, Ayu Damit Enterprise.

Ambil anak angkat

Berbicara mengenai kehidupan peribadinya, Ayu yang baharu sahaja mengambil seorang anak angkat, Nurqalisha Umaira yang kini berusia tiga bulan menyatakan bahawa keputusan tersebut diambil memandangkan dia tidak mahu hamil dalam masa terdekat.

Katanya, bayi yang diberi nama panggilan Isha itu merupakan anak saudara sebelah suami dan keluarganya hidup dalam keadaan serba sederhana.

Jadi, selepas berbincang dengan suami, kami bersetuju untuk meringankan beban keluarga Isha dengan mengambilnya sebagai anak angkat," katanya.

Ayu dan suami membuat keputusan tersebut kerana mahu memberi ruang dan peluang kepada penyanyi Inspirasi Abadi itu kekal fokus dalam membina namanya di persada muzik tempatan.

Menurut Ayu, sebelum ini proses kehamilan, melahir dan membesarkan dua anak kandungnya, Syed Nashrul Haikal, 5, dan Sharifah Alya Adriana, 3, telah membantutkan usahanya untuk melebarkan sayapnya sebagai penyanyi.

Sebab itulah saya mengambil keputusan untuk tidak hamil dalam masa terdekat. Sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga tahun akan datang supaya mempunyai cukup masa membina semula kerjaya nyanyian saya.

Tetapi, dalam masa yang sama, keluarga Isha pula berhadapan masalah ekonomi dan saya beranggapan ini peluang untuk saya menambah bilangan anak tanpa perlu hamil.

"Diharap, dengan kehadiran Isha ke dalam keluarga kami, ia mampu membawa rezeki yang berlipat ganda buat saya serta keluarga Isha sendiri," tambahnya.

Jual rumah untuk bayar hutang

Posted: 16 Feb 2014 08:17 PM PST

PREITY Zinta dikatakan dibebani dengan masalah hutang

ANTARA berita panas dalam dunia hiburan Bollywood kini adalah kononnya pelakon cantik Preity Zinta, 40, ketika ini dibebani hutang yang amat teruk. Dalam memastikan dia mampu membayar kesemua hutangnya itu, khabarnya Preity bakal berpindah keluar dari rumah mewahnya.

Rumah yang terletak di kawasan pilihan di Khar, Mumbai itu akan disewakan kepada mereka yang berminat. Memandangkan ia memang menjadi idaman ramai, tentunya tidak susah untuk pelakon cantik itu mendapatkan penyewa secepat mungkin dengan harga yang lumayan bagi membantu dia menyelesaikan masalah hutang.

Masalah hutang pelakon cantik itu bermula apabila dia memilih untuk menerbitkan sebuah filem dengan kos yang amat besar. Filem pertama terbitannya Ishkq In Paris menjalani penggambaran sepenuhnya di Perancis. Walaupun akhirnya filem itu dapat ditayangkan namun penangguhan filem itu banyak memberi kesan kepada kewangan Preity.

Menjawab soalan sama ada benar dia mempunyai masalah kewangan baru-baru ini, Preity nampaknya hanya ketawa.

Dia mengibaratkan khabar angin tersebut sebagai satu lagi drama dalam kehidupan glamor yang dimiliki dirinya, dia tidak lari daripada menjawab soalan berkenaan dengan cara tersendiri.

Banyak sangat drama dalam laporan tersebut, kononnya saya kini hidup dalam ketakutan kerana dikejar pemiutang.

Saya harap mereka di luar sana perlu mencari skrip drama yang lebih baik. Tiada apa yang berlaku dalam kehidupan saya kini," katanya sambil ketawa.

Pelakon jelita dengan imej berlesung pipit itu memulakan kariernya sebagai pelakon untuk filem Dil Se, hampir berbelas tahun dalam dunia lakonan Preity juga kini dikenali sebagai usahawan terkenal. Masih keliru bagaimana kisah dia kini terjebak dalam masalah hutang timbul, Preity bagaimanapun sempat menegaskan rumah mewahnya itu tidak akan disewakan.

Memang saya tiada niat untuk menyewakan rumah itu. Jujurnya , saya tidak mengalami sebarang masalah dalam kewangan. Dan buat masa ini, keadaan saya juga masih baik," katanya.

Tidak menolak untuk merasa menyampah dengan khabar angin tersebut, pelakon yang mempunyai Ijazah dalam Psikologi Jenayah ini juga mahu perkara ini di hentikan. Menurut Preity akibat dari kisah tidak benar ini banyak di antara rakan-rakanya mula risau akan keadaannya.

Mereka mula bertanyakan keadaan kewangan saya, mungkin risau dengan khabar angin tersebut," katanya marah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


RM11 juta bina dua HAB

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

Oleh ZULKIFLI SAINUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Noh Omar (tengah) mendengar penerangan daripada Pegawai perancang bandar MBSA, Noraznizam Alias (kiri) sewaktu melawat tapak projek HAB di seksyen 17 Shah Alam, semalam. Turut sama, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar MBSA, Aniza Osman (dua dari kiri) dan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari (kanan). - Utusan/Mohd. Shaharani Saibi

SHAH ALAM 17 Feb. - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM11 juta bagi membina dua Hentian Akhir Bandar (HAB) di Seksyen 17 dan Seksyen 19 di sini bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya.

Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, kedua-dua projek tersebut adalah di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Katanya, projek tersebut merupakan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan kerajaan menyediakan dana manakala pihak satu lagi memberikan tapak.

"Keputusan untuk membina kedua-dua HAB ini dibuat atas dasar keperluan ekoran stesen bas ekspres di Seksyen 17 yang telah berusia lebih 25 tahun sangat daif dan tidak tersusun.

"Kedua-dua projek ini akan mula dibina pada April ini dengan HAB di Seksyen 17 dijangka siap pada Mac tahun depan, manakala HAB di Seksyen 19 pada Januari tahun depan," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek di Seksyen 17 di sini hari ini.

Noh berkata, HAB Seksyen 17 yang melibatkan kos RM7 juta mengandungi terminal bas ekspres berhawa dingin yang menempatkan 24 kaunter tiket, ruang menunggu untuk lebih 300 orang, balai polis dan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan.

Menurutnya, HAB Seksyen 19 yang melibatkan kos pembinaan RM4 juta pula adalah terminal bas henti-henti berhawa dingin dan memuatkan ruang menunggu untuk 20 orang serta kedai.

"HAB Seksyen 17 akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna pengangkutan awam terutama penuntut di sekitar Shah Alam dan penduduk di Seksyen 2 hingga Seksyen 24 yang merangkumi kira-kira 140,000 orang.

"Untuk HAB Seksyen 19 yang diintegrasikan dengan stesen komuter sedia ada di kawasan berkenaan akan memudahkan penumpang komuter untuk mendapatkan perkhidmatan bas dan teksi," ujarnya.

Merana kerana tiada air

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN dan NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

CUACA panas sejak kebelakangan ini menyebabkan kemerosotan paras air di Empangan Air Selangor, Hulu Selangor.
Seorang suri rumah, Norliza Mohd. menunjukkan masalah tekanan air yang dihadapi di Taman Pinggiran Delima, Hulu Langat, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Sejumlah 110,087 buah rumah di sekitar ibu negara, Hulu Langat, Kuala Langat dan Hulu Petaling terjejas ekoran terputus bekalan air dan masalah tekanan air rendah sejak bulan lalu sehingga kini.

Ia disebabkan oleh penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi, Dengkil ekoran pencemaran kandungan ammonia yang tinggi di Sungai Langat.

Selain itu, punca gangguan bekalan air terhadap pengguna juga disebabkan oleh pertambahan permintaan air yang mendadak disebabkan cuaca panas dan kering serta ketiadaan hujan.

Situasi berkenaan menyebabkan beberapa kawasan yang menerima bekalan air dari kedua-dua loji terbabit dijangka terus mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Masalah bekalan air mengakibatkan urusan seharian orang ramai seperti mandi, membasuh dan memasak menjadi semakin sukar selain memberi tekanan terhadap mereka.

Situasi ini bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat di negara ini khususnya di ibu kota kerana hampir setiap tahun mengalami masalah sama yang disebabkan pencemaran air, faktor cuaca dan sebagainya.

Justeru, sudah tentu permintaan seperti baldi, tong air, pendingin hawa, kipas, air mineral dan sebagainya semakin meningkat selain harganya didakwa naik mendadak.

Pergi sahaja ke kedai-kedai yang menjual peralatan tersebut, ia laris seperti 'pisang goreng panas'.

Dalam pada itu, pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd., (Syabas) akan terus membantu para pengguna yang terjejas dengan menyediakan lori-lori tangki air ke kawasan yang mengalami gangguan.

Selain itu, pemantauan berterusan turut dilaksanakan oleh pihak berkenaan dengan menubuhkan pusat khidmat setempat yang dibuka 24 jam di kawasan-kawasan yang terlibat.

Dalam masa yang sama, pengguna yang tidak terlibat perlu menggunakan air secara berhemah dan mengelak pembaziran kerana ia merupakan sumber khazanah penting untuk semua kehidupan di muka bumi ini.

Ammonia masih tinggi di loji Cheras, Bukit Tampoi - Syabas

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 yang terlibat dalam pencemaran ammonia dan tidak beroperasi lagi.

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd., (Syabas) hari ini memaklumkan kandungan ammonia di Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi di Sungai Langat masih tinggi iaitu masing-masing pada paras 2.85ppm dan 5.80ppm.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) Priscilla Alfred berkata, ekoran itu, kedua-dua LRA itu masih ditutup sehingga hari ini.

"Beberapa kawasan yang menerima bekalan air daripada kedua-dua loji tersebut dijangka terus mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun menurut Priscilla, pihaknya telah pun menubuhkan pusat khidmat setempat yang dibuka 24 jam di kawasan-kawasan yang terjejas teruk.

"Ini bagi membolehkan penduduk yang memerlukan bekalan air tambahan untuk kenduri dan sebagainya mendapat bekalan air secukupnya," ujarnya.

Untuk maklumat lanjut, diminta menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas (Puspel) di talian bebas tol 1-800-88-5252 atau melalui SMS dengan menaip PUSPEL aduan atau pertanyaan dan hantar ke 39222.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


RM1.6j bina laluan basikal IM

Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
utusanjohor@utusan.com.my

Mohamed Khaled Nordin (kanan) mengayuh basikal sebagai simbolik memulakan Program Bandar dan Komuniti Bestari dan Pintar Iskandar Malaysia di Johor Bahru, kelmarin.

JOHOR BAHRU 16 Feb. - Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan Kerajaan Pusat untuk menambah baik dan menyediakan laluan basikal serta pejalan kaki di Iskandar Malaysia (IM) seiring dengan galakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri turut mengambil langkah menyalurkan dana tambahan sebanyak RM100,000 dalam usaha menjayakan inisiatif tersebut dalam tempoh terdekat.

"Ia akan dikelolakan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan. Peruntukan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri ini adalah satu daripada beberapa aktiviti di bawah Program Bandar dan Komuniti Bestari dan Sihat.

"Apa yang ingin ditekankan adalah soal keseimbangan dalam pembangunan termasuk faktor kesihatan masyarakat untuk tinggal dalam satu kawasan yang mengamalkan kehidupan yang sihat," katanya dalam sidang akhbar selepas hadir pada Program Bandar dan Komuniti Bestari dan Pintar Iskandar Malaysia di sini semalam.

Turut disaksikan adalah pelancaran laluan pejalan kaki dan basikal serta dua taman permainan yang diwartakan sebagai taman bebas asap rokok.

Yang turut hadir, Pengerusi UM Land, Tun Musa Hitam dan Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim.

Mohamed Khaled berkata, galakan promosi gaya hidup sihat memerlukan sokongan semua pihak bagi memastikan keberkesanannya.

"Terutama pemaju perumahan perlu mengambil inisiatif yang sewajarnya kerana kerajaan akan terus komited dalam soal pembangunan khususnya di Johor Bahru, dengan peranan yang dimainkan IRDA dan masyarakat dalam menjadikan Johor Bahru sebagai metropolis.

"Tetapi pada masa sama berlandaskan konsep gaya hidup sihat. Sebab itu semua pihak perlu memainkan peranan, bukan semata-mata fokus terhadap pembangunan fizikal serta infrastruktur yang baik tetapi juga menekankan keseimbangan secara holistik," katanya lagi.

Empat pencuri dicekup penduduk kampung

Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST

SEGAMAT 16 Feb. - Empat pencuri termasuk dua wanita yang menyamar sebagai pegawai kesihatan diberkas ketika cuba melarikan rantai milik seorang warga emas di Kampung Gelang Chinchin dekat sini Rabu lalu.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.30 petang ketika mangsa yang hanya dikenali sebagai Rokiah, 63, berseorangan di rumahnya.

Menurut Rokiah, empat suspek terbabit mengetuk pintu rumahnya dan sebaik dibuka tiga daripada mereka terus meluru masuk dan berpura-pura ingin memeriksa kesihatannya.

"Dua wanita menyuruh saya pergi ke bilik untuk menjalankan pemeriksaan sebelum meminta saya membuka pakaian dan menanggalkan rantai emas yang dipakai.

"Saya kemudian meletakkan rantai itu di bawah bantal sebelum mereka melakukan pemeriksaan," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Kata Rokiah, selesai melakukan pemeriksaan kesihatan, kesemua suspek tergesa-gesa untuk beredar dan ketika itulah dia menyedari rantainya telah hilang.

"Saya terus mengejar mereka sambil menjerit dan orang kampung yang mendengar jeritan saya membantu menangkap mereka. Rantai tersebut juga dijumpai di bawah kereta Proton Wira milik mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd. Kamil Sukarmi ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

"Kesemua suspek yang berusia 25 tahun hingga 34 tahun kini ditahan reman mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


UMNO lancar Wisma Transformasi

Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
utusanpenang@utusan.com.my

ISMAIL Sabri Yaakob (duduk, empat dari kiri) bergambar kenangan bersama Jawatankuasa UMNO Permatang Pauh selepas majlis pelancaran Wisma Transformasi UMNO Permatang Pauh di Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/AZMAN ASMAYATIM

PERMATANG PAUH 16 Feb. - UMNO Bahagian Permatang Pauh mengorak langkah baharu dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat di kawasan berkenaan dengan penjenamaan semula 'markas operasinya'.

Dinamakan Wisma Transformasi, penjenamaan itu merupakan sebahagian daripada langkah awal untuk menyuntik imej segar kepada parti seterusnya menyusun gerak kerja yang mantap di bawah kepimpinan baharu.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said berkata, tanpa melupakan jasa pemimpin terdahulu, penjenamaan semula berkenaan tepat pada masanya dan seiring dengan pengubahsuaian bangunan dan penyusunan semula jentera parti untuk menawan kembali kawasan Parlimen berkenaan.

"Mulai saat ini, UMNO Bahagian Permatang Pauh akan menjadikan Wisma Transformasi sebagai medan terbaik bagi penduduk di sini mendapatkan bantuan.

"Bantuan yang kita hulurkan bukan terhad pada perkara tertentu sahaja tetapi secara menyeluruh. Kita akan memberi khidmat nasihat dan menjadi pemudah cara kepada rakyat.

"Dalam soal ini, kita turut fokus kepada pendidikan, kebajikan, ekonomi dan pembangunan belia setempat yang merupakan cabang penting," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Wisma Transformasi UMNO Permatang Pauh yang disempurnakan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini hari ini.

Mohd. Zaidi bersama barisan kepimpinannya telah mengorak langkah mendekati rakyat kawasan berkenaan apabila dilihat kerap turun padang membantu mereka yang berada dalam kesusahan termasuk ketika beberapa buah kampung dalam kawasan berkenaan dilanda banjir hujung tahun lalu.

Selain itu, mereka juga merupakan antara pasukan paling awal tiba di lokasi ketika berlaku kebakaran dan baru-baru ini turut membantu 11 buah keluarga di Kampung Penanti yang tidak mendapat bekalan elektrik sejak puluhan tahun lalu.

Sementara itu melalui Program Minda Transformasi, pelbagai program turut dijalankan dalam usaha mendekati penduduk dan memahami denyut nadi rakyat kawasan berkenaan yang seolah-olah terpinggir kerana 'kesibukan' ahli Parlimen yang dipilih mereka.

Memasuki tahun 2014, satu majlis makan malam dan penyampaian bantuan di bawah peruntukan khas Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah berlangsung dengan jayanya apabila dihadiri lebih 1,000 orang.

Sehingga kini, puluhan program lain telah dan bakal menyusul antaranya gotong royong, pertandingan memasak bubur asyura, sambutan Maulidur Rasul dan bacaan Yasin, majlis penyampaian bantuan awal persekolahan, majlis sumbangan kepada pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), majlis sumbangan untuk sektor pertanian selain tegas dalam mempertahankan kesucian agama Islam dan hak orang Melayu.

Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan) bersama Mohd. Zaidi Mohd. Said menunjukkan Wisma Transformasi UMNO Bahagian Permatang Pauh yang telah dijenamakan semula di Permatang Pauh, Pulau Pinang, semalam.

Bulan lalu, ahli-ahli UMNO Permatang Pauh turut menyertai perhimpunan besar-besaran bagi mengecam seorang wakil rakyat pembangkang yang menghina pemimpin negara.

Mohd. Zaidi berkata, kelancaran pasukan transformasi yang dipimpinnya ketika berkhidmat kepada rakyat adalah bertitik tolak daripada imej elegan, segar dan semangat perjuangan yang sesuai dengan aspirasi rakyat.

"Pelancaran Wisma Transformasi dan Minda Transformasi ini diharap dapat membawa suara dan perubahan serta roh baharu dalam nafas perjuangan UMNO di bumi bertuah ini," katanya.

Ismail Sabri pula melahirkan keyakinan usaha gigih UMNO bahagian berkenaan akan membawa hasil positif lebih-lebih lagi dalam landskap politik semasa.

"Saya percaya banyak pembaharuan yang akan dilaksanakan dari segi pendekatan membantu rakyat. UMNO Permatang Pauh mempunyai peranan kerana ahli Parlimennya jarang berada di kawasan disebabkan sibuk di tempat lain," katanya.

Sementara itu Mohd. Zaidi berkata, Wisma Transformasi UMNO Permatang Pauh yang terletak di Jalan Kubang Semang sentiasa terbuka kepada orang awam yang ingin mendapat pelbagai nasihat dan bantuan.

Mereka juga boleh menghantar aduan dan cadangan kepada e-mel umnoptgpauh@gmail.com atau menghubungi 04-5394514.

Polis Marin rampas 4,000 liter diesel subsidi

Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST

ALOR SETAR 16 Feb. - Polis Marin berjaya menumpaskan satu lagi kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi selepas menahan dua lelaki bersama 4,000 liter diesel bernilai RM8,000 di Kampung Sematang Pinang, Kuala Kedah, di sini kelmarin.

Kedua-dua lelaki berumur 27 tahun dan 31 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3.40 petang semalam ketika mereka sedang memindahkan minyak diesel dari bot nelayan kelas B ke sebuah lori bermuatan enam tan yang telah diubahsuai.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Kedah/Perlis, Asistan Komisioner Rozi Abu Hassan berkata, beliau bersama tiga anggota melakukan serbuan setelah menerima maklumat daripada orang awam dan melakukan risikan selama tiga hari.

"Hasil siasatan kita mendapati kedua-dua lelaki ini telah menjalankan kegiatan tersebut selama dua tahun dan dianggarkan mereka mampu meraih pendapatan kira-kira RM4,000 hingga RM5,000 sehari.

"Bekalan diesel yang diperoleh daripada nelayan sekitar Kuala Kedah ini disyaki untuk diedarkan bagi pasaran sekitar daerah ini," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Rozi berkata, pihaknya turut merampas lori, bot nelayan dan empat unit peralatan mengepam minyak yang digunakan untuk kegiatan tersebut.

Katanya, kegiatan yang dilakukan dua lelaki itu berkemungkinan didalangi oleh sindiket.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri untuk tindakan lanjut," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Permintaan untuk Taska masih tinggi

Posted: 17 Feb 2014 03:34 AM PST

PUTRAJAYA 17 Feb. - Masih banyak Taman Asuhan Kanak-kanak (Taksa) perlu dibina bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah ketika ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata, sejumlah 3,172 Taska yang berdaftar dalam negara ketika ini didapati tidak mencukupi, akibatnya masih ada Taska tidak berdaftar yang tetap menjadi pilihan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka.

Katanya, dalam perkara ini, para ibu bapa diminta memainkan peranan dengan bersikap lebih prihatin dan mengambil tahu lebih lanjut tentang Taska yang menjadi pilihan.

Ini kerana terdapat banyak perbezaan ketara antara Taska yang berdaftar dan tidak berdaftar terutama dari segi pemantauan dan pemeriksaan berkala oleh pihak kementerian, katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan mengejut di tiga Taska di sekitar Putrajaya. - BERNAMA

Perak taja akhbar pendidikan Tutor SPM Utusan

Posted: 17 Feb 2014 03:10 AM PST

IPOH 17 Feb. - Kerajaan negeri Perak menaja akhbar pendidikan Tutor SPM Utusan Malaysia kepada 164 buah sekolah di seluruh Perak sepanjang tahun ini.

Tajaan itu bertujuan membolehkan sekolah-sekolah terpilih memanfaatkan Tutor SPM sebagai bahan bantu pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Exco Pelajaran Perak, Dr. Muhammad Amin Zakaria berkata, penajaan itu adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri menyasarkan kecemerlangan pelajar di bawah program Perak Menuju Top 5.

"Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada pendidikan anak-anak negeri ini dan sedia menyalurkan pelbagai peruntukkan dalam membantu pelajar terutama yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014.

"Oleh itu, para pelajar diharap akan menggunakan setiap bantuan yang diberikan untuk bergelar insan yang cemerlang dan terbilang kelak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Taklimat dengan Utusan Malaysia di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

300 pam air untuk petani Kelantan hadapi kemarau - Ismail Sabri

Posted: 17 Feb 2014 01:48 AM PST

Oleh SITI NURAZLINA JAMALUDIN

KOTA BHARU 17 Feb. - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini mengumumkan kelulusan peruntukan segera RM400,000 untuk membeli lebih 300 pam mudah alih bagi membantu petani di Kelantan mengepam air ke sawah yang kekeringan akibat musim kemarau.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pam yang diagihkan kepada unit-unit Persatuan Peladang Kawasan (PPK) itu akan digunakan untuk mengepam air dari tali air ke parit jejari sebelum memasuki sawah bagi mengelakkan padi yang ditanam musnah.

"Pada peringkat awal ini, kementerian telah meluluskan pembelian 300 pam air tersebut untuk digunakan di unit-unit PPK yang mempunyai masalah.

"Bagaimanapun, bantuan ini tidak terhad kepada pesawah-pesawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) sahaja tetapi juga kepada pesawah lain di negeri ini yang mengalami masalah penyaluran air ke kawasan bendang," katanya. - UTUSAN ONLINE

Habis///

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


40 hektar belukar, hutan terbakar

Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

Beberapa kawasan hutan belukar di Kampung Belangkan dijilat api dalam siri kebakaran di sekitar Rantau, Negeri Sembilan sebelum berjaya di kawal pihak Bomba dan Penyelamat, kelmarin.

SEREMBAN 16 Feb. - Sebanyak 40 hektar kawasan hutan dan belukar di sekitar negeri ini dijilat api dalam tempoh 24 jam, dilaporkan dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka sehingga pukul 7 petang kelmarin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Norazam Khamis menjelaskan, dalam tempoh yang sama juga pihaknya telah menerima sebanyak 32 panggilan kecemasan berhubung aduan kebakaran di seluruh negeri ini.

"Sehingga lewat petang semalam sahaja pasukan kita tidak berhenti bertungkus-lumus memadam kebakaran di beberapa lokasi di sekitar negeri ini.

"Ekoran itu, kesemua cuti anggota dibekukan berkuat kuasa serta-merta bagi membantu operasi memadam kebakaran terbuka. Terkini melibatkan kawasan belukar dan hutan seluas 20 ekar di kawasan sempadan Rembau-Tampin," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas operasi memadam kebakaran di Kampung Belangkan di Batu 6 1/2 dan 4 1/2 Jalan Kuala Sawah di sini.

Menurutnya, kejadian berkenaan melibatkan kawasan seluas 10 hektar yang turut memusnahkan lapan unit chalet dan dua kabin (pejabat) di kawasan peranginan (resort) yang telah lama ditinggalkan di kawasan itu.

Sementara di Batu 4 1/2, Jalan Kuala Sawah pula, kawasan seluas lima hektar turut terbakar.

"Kami menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.20 petang dan sampai di lokasi 12 minit kemudian.

"Sebanyak lima jentera dikerah memadam kebakaran membabitkan lebih 30 anggota dan pegawai di dua lokasi tersebut melibatkan Balai Bomba Seremban 2, Senawang, Port Dickson dan Telok Kemang," katanya.

Norazam berkata, kebakaran berkenaan pada awalnya dikesan bermula di kawasan hutan dan belukar berhampiran sebelum merebak ke kawasan chalet tersebut.

Katanya, biarpun pihaknya menghadapi kesukaran ekoran cuaca panas serta berangin berjaya menyelamatkan tiga unit chalet terbabit dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Pihak kami telah berjaya mengawal kebakaran dari terus merebak ke kawasan lain kira-kira pukul 7 petang," katanya.

Tubuh platun galak penjawat awam sertai Wataniah - MB

Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST

Mohamad Hasan memakaikan topi askar kepada anggota Platun Perkhidmatan Awam Negeri Sembilan sambil diperhatikan Khairy Jamaluddin (dua dari kiri) semasa Majlis Perasmian Pelancaran Latihan Askar Wataniah 2014 Rejimen 508 Askar Wataniah di Kem Rasah, Seremban, semalam. - UTUSAN/Abd. Razak Aid

SEREMBAN 16 Feb. - Rejimen 508 Askar Wataniah hari ini mengambil inisiatif melancarkan Platun Perkhidmatan Awam Negeri Sembilan yang dibentuk khusus bagi menarik penyertaan kakitangan awam untuk menganggotai perkhidmatan askar wataniah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, inisiatif itu selari dengan hasrat untuk menambah bilangan anggotanya sekali gus memperkasakan pasukan wataniah di negeri ini.

"Penubuhan platun ini diharapkan dapat menaikkan semangat golongan muda khususnya dalam kalangan kakitangan perkhidmatan awam di negeri ini untuk bersama-sama menyumbang bakti mempertahankan negara tercinta ini.

"Saya juga akan mewujudkan platun ini di setiap daerah secara berperingkat dari semasa ke semasa dalam memperluaskan pasukan askar wataniah ini di kalangan penjawat awam," katanya.

Mohamad yang juga Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) negeri berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pelancaran Latihan Askar Wataniah 2014 Rejimen 508 Askar Wataniah di Kem Rasah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Komander Rejimen 508 Askar Wataniah, Kolonel Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Belia dan Sukan.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan memberikan sokongan padu terhadap sebarang bentuk latihan yang terasnya untuk mempertahankan negara dalam memelihara keamanan dan kesejahteraan semua.

"Kerajaan negeri sentiasa menyokong segala aktiviti dan pelaksanaan latihan yang dikendalikan Rejimen 508 Askar Wataniah dalam usaha menarik lebih ramai anak watan menyertainya," katanya.

Sementara itu, Khairy yang baru dilantik menjadi Komander pada 1 Januari lalu memberitahu, beliau akan berusaha untuk menarik lebih ramai golongan belia untuk menyertai pasukan Wataniah melalui pelbagai perancangan yang ditetapkan.

"Salah satu usahanya adalah kita akan merangka aktiviti latihan yang lebih menarik selain memberikan kepelbagaian program dalam usaha menarik minat penyertaan dalam golongan muda.

"Saya juga akan mencuba untuk menarik seberapa ramai anggota baru terutamanya penuntut kolej termasuk institusi pengajian tinggi untuk menyertai pasukan ini," katanya.

Pusat Penjaja Jalan Lama sarang 'kaki botol'

Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST

LONGGOKAN botol arak yang dibuang oleh kaki botol setelah melepaskan gian di Jalan Lama, Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam.

TELOK KEMANG 16 Feb. - Sebuah kawasan lapang berhampiran Pusat Penjaja Jalan Lama, Port Dickson di sini menjadi tumpuan 'kaki botol' meminum arak sejak lima tahun lalu.

Senario itu mencacatkan pemandangan kawasan tersebut apabila kumpulan terbabit bertindak membuang botol dan tin minuman keras di sekitar lokasi berkenaan termasuk dalam longkang berhampiran.

Tinjauan Utusan Malaysia turut mendapati, serpihan kaca bersepah di lokasi itu dipercayai dipecahkan oleh kaki botol yang mabuk selepas minum arak.

Menurut seorang penduduk yang hanya mahu dikenali dengan Sami, 37, keadaan itu telah lama berlanjutan dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sewajarnya.

"Pihak berkuasa tidak sepatutnya membiarkan kawasan tersebut terus menjadi sarang bagi golongan tersebut meminum arak sesuka hati mereka.

"Mereka mengotorkan kawasan kerana membuang botol dan tin sesuka hati selepas selesai melepak dan minum arak," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang pekerja pembersihan berhampiran kawasan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Maya, 33, berkata, perkara ini telah lama berlaku dan kawasan itu terpaksa dibersihkan setiap hari kerana mereka yang melepak di situ pasti membuang botol dan tin minuman keras dengan sesuka hati.

"Lebih merumitkan keadaan apabila botol kaca serta tin arak dibuang ke dalam longkang sehingga mengakibatkan saluran longkang tersumbat.

"Kumpulan ini sering berkumpul lima hingga 10 orang dalam satu masa tanpa mengira waktu," katanya.

Tambahnya, mereka turut membuat bangku bagi memudahkan berehat di bawah pokok sambil minum arak.

"Pihak berkuasa seharusnya memainkan peranan dengan mengadakan serbuan bagi membasmi kegiatan tidak bermoral ini," katanya.

Dalam pada itu, bagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Chong berkata, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan kebersihan kawasan tumpuan pelancong malah menyusahkan penjaja yang ingin berniaga di kawasan tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


1.07 juta belum tukar MyKad

Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

KWSP umum dividen 6.35 peratus

Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kepelbagaian masyarakat bukti kekuatan negara - Joseph Kurup

Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved