Jumaat, 14 Februari 2014

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Cinta sejati Iron Lady

Posted: 14 Feb 2014 11:13 AM PST

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

KELUARGA besar pasangan Maznah Abdul Hamid dan Shaheen Mirza Habib.

KISAH cinta Iron Lady, Datuk Maznah Abdul Hamid dan suaminya, Datuk Shaheen Mirza Habib, paling sesuai dijadikan contoh serta iktibar buat pasangan suami isteri zaman kini.

Pasangan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan Securiforce itu mendirikan rumah tangga ketika Maznah berusia 23 tahun, manakala Shaheen, 26 tahun.

Mereka bertemu secara kebetulan apabila Shaheen mencari sahabatnya di sebuah pangsapuri di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Pertemuan itu tidak berlalu begitu sahaja kerana tunang rakan baik Shaheen, rupa-rupanya tinggal serumah dengan Maznah.

"Saya seorang gadis desa dari Kampung Ayer Hitam, Jerlun, Kedah, yang memulakan kerjaya sebagai guru bahasa dan penterjemah di Kuala Lumpur.

"Pada sebelah malam, saya mengikuti kelas perniagaan kerana cita-cita saya untuk menjadi usahawan.

"Pada masa yang sama, suami juga mengikuti kelas malam di bangunan yang sama. Dia ambil jurusan perakaunan. Sejak perkenalan tersebut, ada masanya beliau menemani saya balik ke rumah dengan berjalan kaki," imbas Maznah tentang perkenalan pertama dengan suami yang juga rakan kongsi perniagaannya.

Dibesarkan dalam keluarga yang dilanda perceraian seawal usianya lima tahun lagi, Maznah mengakui memang pada awalnya, dia berasa takut untuk membina rumah tangga.

Namun setelah berkenalan dengan Shaheen, persepsi beliau berubah, apatah lagi melihat kebaikan, kesungguhan, keikhlasan dan sikap bertanggungjawab yang sungguh tinggi ada dalam diri lelaki itu.

"Paling tidak boleh dilupakan adalah ketika Kampung Baru dilanda banjir. Saya langsung tidak boleh keluar dari rumah sewa.

"Shaheen sanggup mendayung sampan semata-mata untuk menghantar makanan kepada saya setiap hari.

"Itu antara yang membuatkan saya jatuh hati dan setuju untuk mengahwininya setelah empat tahun berkenalan," kata Maznah.

Mungkin ramai yang menyangka pasangan itu dilahirkan dalam keluarga senang dan kaya sehingga dia berupaya menjadi seorang usahawan berjaya.

Sangkaan tersebut salah sama sekali, sebaliknya beliau dan suami mula membina perniagaan pada hujung tahun 1980 iaitu kira-kira setahun selepas perkahwinan mereka yang bertarikh 11 Mac 1979.

Bermodalkan RM5,000 hasil tabungan sebagai guru bahasa, pasangan sejoli itu memulakan perniagaan membekalkan pengawal keselamatan dengan hanya lima anggota.

"Masa itu hidup kami susah betul, tidak dapat apa-apa pinjaman dari bank dan tiada siapa mahu bantu. Daripada rumah batu, kami pindah ke rumah setinggan di Kampung Tengah, Bukit Belacan, Ampang.

"Di situ tiada kemudahan air dan elektrik, memang penuh kedaifan yang menduga kesabaran kami yang baru berumah tangga.

"Saya bersyukur ditemukan jodoh yang baik sebagai sahabat dan rakan niaga. Bayangkan sudah 35 tahun, kami bekerja dalam syarikat yang sama, namun masih dapat mengekalkan persahabatan dan keharmonian rumah tangga," sampuk Shaheen yang lebih banyak mendiamkan diri sebaliknya membiarkan isteri menjawab segala soalan.

Dalam pada itu, Maznah mengakui tiada satu perkahwinan pun yang sempurna, namun mereka berusaha menjadi insan yang terbaik demi kerukunan rumah tangga.

"Kalau bergaduh..., biasanya seorang bersuara, seorang lagi akan senyap mendengar. Tidak perlu menjawab walaupun kita tahu, itu bukan salah kita terutama ketika dia sedang marah.

"Apabila sudah 'tenang' barulah berbincang. Suami akan hormat kepada isteri apabila isteri berdiam diri dan memahami kelemahan serta kemarahannya.

"Suatu 'rahmat' yang kami berdua belajar ketika hidup susah adalah semangat dan usaha keras, tanpa putus asa. Kebal emosi dan minda menjadi begitu kreatif, inovatif untuk mencipta kejayaan dan kebahagiaan bersama.

"Kami menjadi pasangan yang lebih sabar, saling memahami, menghormati dan saling mempercayai," katanya.

Sebelum berkahwin lagi, menurut Maznah, mereka cuba mengikat perjanjian, iaitu 'berkahwin hanya sekali seumur hidup. Inilah jodoh yang telah ditentukan Ilahi, maka harus menjayakan ikatan perkahwinan ini sedaya upaya dan sepenuh hati.

Bagi pasangan itu, tiada ungkapan 'cerai' dalam kamus perkahwinan. Ini kerana perceraian adalah sesuatu yang amat 'mendukacitakan' dan 'bala' bagi anak-anak.

"Antara kami tiada siapa yang lebih hebat dan bijak dalam rumah tangga kerana masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan.

"Kekuatan suami, kelemahan isteri..., kelemahan suami, kekuatan isteri. Untuk itu, kita harus menggemblengkan dua kekuatan itu untuk mencipta kejayaan dan kebahagiaan, bukan 'bersaing' sesama sendiri," tegasnya.

Pasangan bahagia ini dikurniakan lima cahaya mata iaitu Nur Sharmila, 34, Shahril Reza, 33, Nurul Shaheem, 29, Mohd Shafiq Azim dan Mazreen Shanim, 22.

Mengahwini lelaki yang dibesarkan dengan budaya berbeza, Maznah mengakui ada cabarannya yang tersendiri.

"Shaheen memang rapat dengan ahli keluarganya yang merupakan segala-gala baginya. Setelah kami memiliki rumah sendiri, semua ahli keluarga mertua duduk bersama kami. Ibu bapa, adik beradik dan ibu bapa saudara tinggal di bawah satu bumbung.

"Memang berbeza rasanya bila rumah dihuni bersama ibu bapa kerana terasa akan keberkatannya. Anak-anak saya juga membesar dikelilingi saudara mara. Bagi saya, itu satu pengorbanan.

"Untungnya apabila orang tua duduk sama, setiap kali saya ke luar negara untuk belajar, berkursus atau berniaga, saya tidak risau akan anak-anak kerana diawasi oleh keluarga walaupun ada orang gaji. Akhirnya anak kita akan membesar dan terdidik dengan agama dan budaya yang sihat," katanya.

Dalam pada itu, Maznah melahirkan rasa dukacita melihat rumah tangga sekarang yang 'rapuh' dengan pasangan menyerah kepada takdir dan mengambil 'mudah' terhadap alam perkahwinan.

Katanya, sepatutnya setiap perkahwinan itu perlu sentiasa dibajai dan dilaksanakan mengikut syariat Islam, bukan sebaliknya.

Tambahnya, pasangan suami isteri juga perlu mengharmonikan dan mengekalkan sesebuah perkahwinan kerana mereka adalah role model kepada anak-anak.

"Berkahwin adalah sesuatu yang mudah, tetapi untuk mengekalkan perkahwinan itu adalah sesuatu yang amat sukar, tetapi bukan mustahil," ujar beliau mengakhiri bicara.

'Suami bagi saya barang kemas palsu'

Posted: 14 Feb 2014 11:13 AM PST

TIDAK semua wanita bernasib baik mendapat suami yang baik, berjawatan tinggi dan boleh bergantung hidup sampai ke hujung nyawa.

Ada yang bahagia, ada yang derita. Namun dalam mencari pasangan hidup, setiap orang mesti berhati-hati, bimbang menjadi mangsa lelaki penipu.

Apa yang berlaku kepada wanita yang menghadapi situasi ini? Berpisah atau teruskan hidup berumah tangga dengan lelaki yang tidak bertanggungjawab itu?

Aza (bukan nama sebenar) ada cerita yang ingin dikongsi dengan pembaca setelah suami yang dinikahi rupanya seorang penipu.

Begini kisahnya:

"Saya berusia 27 tahun, bekerja di sebuah bank dan baru mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki bernama Mirul (bukan nama sebenar) yang mendakwa dia seorang pengurus sebuah syarikat insurans.

"Perkenalan kami bermula semasa saya menghadiri satu majlis keraian anjuran tempat kerja saya bersama kawan-kawan. Melihat kejujurannya untuk berkawan, saya terima dengan hati terbuka.

"Alhamdulillah, dia serasi dengan saya. Hubungan kami berjalan selama enam bulan sebelum dia melamar saya. Kerana sudah jatuh cinta dan yakin dia lelaki terbaik untuk melindungi saya hingga ke akhir hayat, saya menerimanya untuk menjadi teman hidup saya.

"Saya tidak pernah bertanya lanjut tentang pekerjaannya, di mana dia tinggal dan latar belakang keluarganya. Malah, keluarga saya juga suka kepada Mirul kerana kebaikannya.

"Lamarannya diterima oleh keluarga. Persiapan kahwin berjalan lancar. Cincin pertunangan, hantaran dan gelang sebagai hadiah membatalkan air sembahyang juga dibeli oleh Mirul sendiri tanpa membawa saya.

"Seminggu sebelum majlis pernikahan dan setelah kad jemputan diedarkan, Mirul memberitahu saya wang hantaran untuk saya terpaksa digunakan untuk urusan perniagaannya yang sedang mengalami masalah.

"Masih lagi mempercayainya, saya akur dengan segala alasan yang dia beri, mujur ibu bapa juga faham. Saya terus berdoa dan berharap selepas ini tidak ada lagi masalah yang timbul sebelum kami disatukan.

"Pada hari bahagia kami, keluarga Mirul juga datang dari kampung tanpa ibu bapanya yang dia beritahu saya sedang uzur. Majlis menyambut menantu tidak diadakan kerana kata Mirul, mahu selesaikan semuanya di rumah saya.

"Saya faham, mungkin faktor kewangan dan kesihatan ibu bapanya menghalang dia buat kenduri di kampungnya. Majlis berjalan seperti dirancang. Alhamdulillah.

"Seminggu selepas kahwin, saya mula bekerja. Mirul masih di rumah kerana katanya dia masih bercuti. Saya gembira dia masih cuti sebab sekurang-kurangnya dia boleh menyesuaikan diri dengan keluarga saya kerana kami tinggal bersama ibu bapa saya atas permintaan mereka.

"Seminggu kemudian, Mirul masih tidak pergi bekerja, saya juga pelik sebab tak kan dia cuti kahwin sampai dua minggu, sedangkan kami tidak merancang untuk pergi berbulan madu. Apabila saya tanya, katanya dia telah berhenti kerja di tempat lama kerana tidak tahan dengan tekanan kerja. Dia berjanji akan mencari kerja lain.

"Hampir sebulan Mirul tidak bekerja. Sepanjang masa itu, Mirul hanya menghantar dan mengambil saya dari pejabat. Dalam kereta, dia tidak banyak cakap. Saya mula perasan ada yang tidak kena.

"Bila saya tanya kenapa tidak keluar mencari kerja, dia marah-marah dan berkata saya berkira dengannya. Saya juga cuba mengujinya dengan meminta wang belanja dengan alasan, saya kehabisan wang semasa kenduri sementara menunggu gaji.

"Dia mula mengamuk dan mengugut akan keluar dari rumah. Saya tidak mahu kecoh-kecoh dan mahu selesaikan masalah ini dengan baik. Lalu saya ajak dia berbincang tetapi dia enggan dan meminta saya jangan lagi mengungkit tentang pekerjaannya.

"Esoknya, saya mendapat idea. Saya hubungi salah seorang kenalan lamanya di pejabat. Saya kenal kawannya itu. Kami berjumpa dan saya terus ceritakan apa yang berlaku selepas kami kahwin.

"Alangkah terkejutnya saya apabila dimaklumkan, Mirul tidak bekerja di tempat tersebut. Dia hanya buat kerja sambilan yang disuruh majikannya di sebuah syarikat penghantar surat.

"Kawannya itu menceritakan segala-galanya kepada saya. Katanya, Mirul sebenarnya tidak ada kerja tetap, dia buat semua kerja bergantung pada ihsan kawan-kawan yang dia kenal. Dia minta maaf sebab terpaksa bersubahat dengan Mirul masa kami kahwin dahulu.

"Amirul juga suka bercakap bohong dan mereka-reka cerita. Dia suka pinjam duit orang tetapi tidak dibayar. Dia juga tidak ada keluarga dan semasa majlis pernikahan saya dahulu, yang datang semuanya kawan-kawan dia yang ada di Kuala Lumpur.

"Kawan itu juga mencadangkan saya ke kedai emas untuk mengesahkan sama ada cincin dan rantai tangan yang diberinya kepada saya semasa majlis pernikahan dahulu tulen atau palsu.

"Sekali lagi saya terkejut, sebak dan sedih dengan apa yang Mirul lakukan. Memang sah barang kemas yang diberikan kepada saya adalah palsu, padanlah dia tidak mahu membawa saya bersama.

"Saya menangis sepanjang hari mengenangkan apa yang Mirul buat kepada saya, tergamak dia menipu saya sampai macam ini sekali. Saya harus melakukan sesuatu. Saya perlu selesaikan hal ini segera.

"Dalam perjalanan balik ke rumah, saya hanya mendiamkan diri. Mirul nampak resah dan bertanya saya kenapa. Saya tidak menjawab tetapi meminta dia bersabar sehingga sampai di rumah.

"Malam itu, saya bongkar segala rahsia Mirul kepada ibu bapa saya. Mirul terkejut dengan apa yang saya ceritakan kepada ibu bapa saya. Bapa saya hilang sabar dan menghalau dia dari rumah sebab saya bercakap dengan bukti.

"Ibu turut menangis dan meraung mengenangkan apa yang menimpa saya. Ibu sangat sedih kerana anak sulungnya diperlakukan sedemikian rupa. Mana lagi nak tanggung malu dengan saudara mara dan kawan-kawan. Namun saya pasrah, saya katakan kepada ibu bapa saya, ini ujian Allah untuk saya, saya reda.

"Sejak itu, Mirul tidak muncul lagi. Saya ke pejabat kadi untuk memfailkan perceraian dengan alasan saya ditipu dan Mirul tidak memberi nafkah zahir dan batin kepada saya selama kami bernikah selama enam bulan. Dengan bantuan seorang sepupu, saya berjaya dalam kes tersebut.

"Alhamdulillah, segala-galanya telah selesai tetapi saya masih trauma dengan kejadian itu. Walaupun reda dengan ketentuan Ilahi, jauh di sudut hati, masih ada parut lukanya.

"Mujur ibu bapa dan keluarga menyokong saya. Sedih duka saya mereka sama-sama rasa. Saya pasrah dengan kejadian ini dan berharap wanita dan gadis di luar sana supaya berhati-hati apabila mencari calon suami.

"Siasat latar belakang mereka terlebih dahulu, jangan main yakin dengan berdasarkan cinta sahaja. Ini pengajaran berguna untuk saya. Walaupun malu dengan saudara mara dan keluarga, saya kena kuat dan tabah.

"Saya mohon ditukarkan ke tempat lain selepas kejadian itu. Saya mahu mencari ketenangan untuk meneruskan kehidupan saya. Doa saya agar Allah mudahkan hidup saya dan temukan jodoh yang baik-baik yang boleh membimbing saya di dunia dan akhirat," begitu kata-kata akhir Aza sebelum menamatkan ceritanya.

Aduh, sedih saya dengar cerita Aza. Saya turut bersimpati dengan apa yang Aza alami.

Alhamdulillah, Aza seorang yang tabah dan kuat semangat. Calang-calang wanita pasti akan menjadi murung dengan tragedi ini.

Ingatlah, lelaki yang hendak dijadikan teman ke akhir hayat adalah mereka yang boleh menerima kekurangan dan kelebihan anda di samping membimbing anda ke jalan yang diredai Allah SWT.

Mengakhiri catatan, pesanan telus daripada saya, dunia ini berpusing mengikut masa dan ketika. Satu masa anda berada di dalam kesedihan, akan tiba masanya putaran itu singgah untuk memberi anda kesenangan dan kebahagiaan.

Salam

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Kerajaan bantu mangsa kebakaran

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

ASIAH Md. Ariff (kiri) dan Hahasrin Hashim (dua dari kiri) bertanyakan sesuatu kepada mangsa kebakaran selepas menyampaikan bantuan di Balai Raya, Pekan Nanas, Pontian, Johor, kelmarin. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN

PONTIAN 13 Feb. - Kerajaan negeri akan membantu 59 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Wak Musa, Pekan Nanas, di sini Selasa lalu supaya kebajikan mereka terjamin.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Asiah Md. Ariff berkata, bantuan tersebut melibatkan sumbangan awal, sederhana dan jangka panjang dengan harapan mereka dapat ditempatkan di kawasan perumahan yang wajar.

"Bantuan awal kita beri RM40 bagi setiap orang iaitu jika keluarga terbabit mempunyai lima orang, maka mereka akan menerima RM200 di samping bungkusan berupa barangan keperluan harian.

"Bantuan jangka sederhana pula selain makan minum, mangsa yang kini ditempatkan di Balai Raya Pekan Nanas akan menerima barangan keperluan harian," katanya selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi Selasa lalu, sebanyak 22 buah rumah, lima buah motosikal dan sebuah van musnah dalam kebakaran itu.

Asiah berkata, bantuan jangka panjang pula setiap keluarga akan menerima bantuan wang tidak kurang RM5,000 dan wang tersebut akan diserahkan dalam tempoh dua minggu lagi.

Sementara itu, Pemuda UMNO negeri dengan kerjasama Sekretariat Bertindak Sukarelawan Pemuda Johor serta agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan memberikan bantuan berdasarkan keperluan mangsa.

Ketuanya, Hahasrin Hashim memberitahu, pihaknya akan menghantar sukarelawan untuk membantu menguruskan keperluan harian mangsa sepanjang mereka menetap di balai raya tersebut.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara turut memaklumkan pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latif Bandi untuk menyediakan rumah transit kepada mangsa.

MDP cipta sejarah lantik wanita jadi Ketua Whip

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

NORZITA A. Kahar (tengah) mengetuai majlis angkat sumpah sebagai Ahli Majlis, Majlis Daerah Pontian bagi tempoh 1 Februari 2014 hingga 31 Disember 2015 di Dewan Persidangan MDP di Pontian, Johor, semalam. - UTUSAN/MUHD. ZIKRI

PONTIAN 13 Feb. - Majlis Daerah Pontian (MDP) mencatat sejarah tersendiri apabila seorang wanita dipilih sebagai Ketua Whip yang baharu bagi tempoh 1 Februari 2014 hingga 31 Disember 2015.

Pemilihan seorang peguam, Norzita A. Kahar, 40, bagi menggantikan Ketua Whip sebelum ini, Abd. Malik Ibrahim merupakan yang pertama sejak MDP ditubuhkan pada 1976.

Ketika ditemui selepas majlis angkat sumpah Ahli Majlis MDP di hadapan Yang Dipertua MDP, Miswan Yunos, Norzita melahirkan perasaan terharu kerana diberikan tanggungjawab bagi mengetuai Ahli Majlis.

Beliau berharap akan mendapat kerjasama daripada ahli majlis serta ketua-ketua jabatan bagi merealisasikan peranan mereka untuk sama-sama menjayakan agenda serta perancangan MDP.

Dalam masa yang sama, beliau berjanji untuk menjaga suara pembayar cukai serta menyelesaikan masalah berbangkit dengan bijaksana mengikut peraturan sedia ada.

"Dengan kepercayaan yang diberikan ini, saya akan berusaha meningkatkan prestasi serta peranan ahli majlis sebagai penghubung antara MDP dengan pembayar cukai supaya mereka mendapat perkhidmatan yang memuaskan," katanya yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Pontian.

Selain Norzita, turut mengangkat sumpah ialah Zarina Mohd. Bain, Noor Shuhada Sulaiman, Nasrihat Turiman, Mohd. Don Abdullah, G.D.T. Sarvendaraja, Ang Lin In, Khalid Ibrahim, Hairulanuar Tukijo, L. Krishnanan, Mohd. Helmi Buang, Mohd. Nasrol Hassan Md. Amin, Roselee Mohd. Tahir dan Md. Israk Abdullah.

Sembilan tempat yang sepatutnya diisi oleh wakil MCA dari Bahagian Tanjung Piai dan Pontian dijangka akan dipenuhi selewat-lewatnya bulan depan.

Sementara itu, Miswan Yunos dalam ucapannya menyasarkan MDP mampu mengutip hasil cukai sebanyak RM20 juta pada tahun ini berbanding RM19 juta pada tahun lalu.

"Selain kutipan cukai pintu sama ada kediaman dan industri, hasil turut disumbangkan oleh pembangunan industri yang dijalankan di kawasan pembangunan Tanjung Bin, Serkat dan Pekan Nanas," katanya sambil berharap ahli majlis yang baharu dapat menyumbang idea dan membantu menjayakan semua agenda pembangunan yang dirancang pihaknya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Pilihan JNR

Posted: 13 Feb 2014 11:05 PM PST

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar ZAKARIA IDRIS

TUDUNG awning ditambah dengan selendang panjang nampak eksklusif.

SEPERTI pakaian, fesyen tudung juga turut mengalami perubahan. Perubahan ini pula berlaku begitu pantas sehingga dalam tempoh dua minggu sudah ada fesyen terbaharu. Ini adakalanya menimbulkan masalah kepada peniaga kerana mereka harus peka dengan perubahan fesyen semasa dan tidak mengeluarkan sesuatu rekaan itu dalam jumlah yang banyak.

Pun begitu, masih terdapat rekaan yang tetap digemari dan selesa dipakai seperti tudung awning atau tudung pasang siap yang walaupun telah lama berada di pasaran namun masih dijual sehingga hari ini.

Bagaimanapun, bagi peniaga tudung sendiri mereka harus sentiasa kreatif menghasilkan rekaan-rekaan terbaharu bagi bersaing dengan peniaga tudung yang terlalu ramai pada masa sekarang.

Bukan setakat peniaga tempatan malah ditambah dengan peniaga tudung daripada negara jiran juga peniaga Pakistan.

Jasni N Rozi atau JNR Collection yang telah lima tahun menghasilkan pelbagai rekaan tudung kini turut menyemarakkan dunia fesyen tudung dengan menghasilkan rekaan-rekaan terbaharu yang menjadi pilihan ramai.

Selain tudung pasang siap atau tudung berawning yang masih menjadi pilihan ramai kini, JNR juga menghasilkan pelbagai rekaan selendang daripada syifon dan kapas lycra.

Di antara rekaan tudungnya ialah tudung half moon, kupu-kupu, hoody paras sederhana dan hoody labuh menutupi dada.

Bagi memberikan kelainan, Jasni Termizi Abdullah selaku pereka, berani mencuba rekaan yang pada mulanya nampak kurang sesuai namun tidak lama selepas itu, tudung rekaan beliau mudah menarik perhatian pelanggan.

Mempunyai pelanggan tetap yang mahukan tudung eksklusif baik bagi pelanggan yang mahukan tudung labuh atau tudung saiz biasa, beliau akan mencari fabrik-fabrik terbaharu dengan corak terkini bagi menghasilkan permintaan pelanggan.

Selain mempunyai pelanggan yang membeli tudung untuk pemakaian harian, Jasni turut mempunyai pelanggan yang menempah tudung atau pakaian pengantin.

Tudung pengantin yang ditempah adalah lebih eksklusif kerana dihiasi dengan perincian seperti renda dan manik mengikut warna tema bakal pengantin.

Beliau turut membuat selendang kelingkan yang rumit cara pembuatannya kerana terdapat pengantin yang mahu memakai selendang tersebut yang diketahui amat istimewa, berciri tradisional dan mahal harganya hingga mencecah ribuan ringgit.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Malaysia tidak terjejas kerana debu Gunung Berapi Kelud

Posted: 13 Feb 2014 11:58 PM PST

KUALA LUMPUR 14 Feb. - Malaysia tidak akan terjejas dengan letusan Gunung Berapi Kelud, Indonesia kerana debu dan habuk luahan letusan itu ditolak keluar oleh angin timur laut, kata Jabatan Meteorologi.

Gunung Kelud di daerah Magelang, Jawa Timur lewat malam tadi mengeluarkan lahar serta menyebabkan debu berterbangan sehingga ke bandar Surabaya yang terletak sejauh 130 kilometer.

Sehubungan itu lapangan terbang yang terletak berhampiran kawasan itu seperti Surabaya, Solo dan Jogyakarta ditutup hari ini kerana dikhuatiri debu-debu berterbangan itu boleh meyebabkan kerosakan kepada enjin pesawat.

Selain itu, kira-kira 200,000 penduduk berhampiran diarah berpindah apabila gunung berapi aktif itu turut menghujani beberapa bandar berhampiran dengan debu setebal empat sentimeter.

Gunung Berapi Kelud setinggi 1,731 meter sebelum ini pernah menyebabkan lebih 15,000 orang terbunuh sejak mula meletus pada tahun 1500, termasuk 10,000 kematian dalam letusan terbesar pada tahun 1568. - Agensi

2,500 pengguna terputus bekalan elektrik

Posted: 13 Feb 2014 11:56 PM PST

KOTA KINABALU 14 Feb. - Hampir 2,500 penduduk di Beaufort dan Tenom terputus bekalan elektrik sejak semalam ekoran banjir yang melanda kawasan itu.

Menurut Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB), Muhamad Nazri Pazil, bekalan elektrik ke dua kawasan itu terpaksa ditutup sementara berikutan pencawang mula ditenggelami air. - UTUSAN ONLINE

600 sekolah daif akan dibaik pulih

Posted: 13 Feb 2014 10:28 PM PST

LUNDU 14 Feb. - Kerajaan sudah mengenal pasti 600 buah sekolah daif di seluruh negara yang perlu dibaik pulih.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kebanyakan sekolah tersebut terletak di Sabah dan Sarawak.

"Sehubungan itu, kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan RM1 bilion kepada dua negeri ini untuk membaik pulih sekolah-sekolah berkenaan pada tahun ini," katanya pada sidang akhbar di Masjid Darul Taqwa di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Lagi seleweng diesel tumpas

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

Oleh AIN SAFRE BIDIN
utusanperak@utusan.com.my

MOHD. Khalis Kasim menunjukkan lori tangki yang mengandungi minyak diesel yang dirampas di Hutan Melintang selepas sidang akhbar di pejabat PPDNKK Teluk Intan, semalam.

TELUK INTAN 13 Feb. - Bahagian Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perak berjaya mematahkan cubaan penyelewengan diesel bersubsidi yang aktif di daerah Hilir Perak apabila merampas hampir 14,000 liter bahan bakar itu dalam satu serbuan di Hutan Melintang, dekat sini pagi semalam.

Timbalan Pengarah Pejabat PPDNKK Perak, Mohd. Khalis Kasim berkata, diesel berkenaan dirampas dari sebuah lori tangki dalam serbuan di pelantar ikan di Bagan Sungai Tiang, Selekoh dan seorang lelaki berusia 50 tahun yang memandu lori tangki berkenaan turut ditahan.

Katanya, serbuan oleh empat pegawai dari pejabat PPDNKK Ipoh dan lapan anggota Bahagian Penguatkuasa PPDNKK Teluk Intan yang diketuai Pegawai Penguatkuasa Mohd. Helmi Ali Sham dilakukan setelah intipan selama seminggu hasil maklumat orang ramai.

Katanya, dalam intipan mulai pukul 8 pagi hingga 11 malam semalam, pihaknya mengesan sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan pelantar ikan berdekatan sebuah restoran makanan laut di Bagan Sungai Tiang, Selekoh.

"Serbuan dan pemeriksaan ke atas lori terbabit kemudiannya menemui 12,400 liter diesel di dalam tangki lori berkenaan.

"Selain itu kami turut menemui 1,500 liter diesel di dalam sebuah tangki plastik yang dipercayai untuk disedut ke dalam tangki di atas lori berkenaan dan nilai rampasan berjumlah RM56,835," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Khalis berkata, lori yang ditahan turut dirampas manakala pemandunya ditahan untuk siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan secara tidak sah.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kebakaran hutan Gunung Raba berjaya dikawal

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

Zambry Abd. Kadir (kiri) meninjau keadaan kawasan kebakaran hutan di Bukit Raba di Bersia, Gerik semalam.

GERIK 13 Feb. - Kawasan hutan seluas 80 hektar di Gunung Raba berhampiran Empangan Bersia dekat sini yang terbakar sejak kelmarin berjaya dikawal daripada merebak ke Hutan Simpan Air Chepam.

Pengarah Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri, Yahaya Madis berkata, pihaknya kini memantau perkembangan itu dan yakin dapat memadamkan sepenuhnya api pada esok.

Menurutnya, pihaknya telah menambah keanggotaan kepada 180 orang berbanding 159 orang semalam bagi menjalankan kerja pemadaman.

"Operasi dihentikan pada pukul 6 petang ini dan akan disambung esok bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran," ujarnya.

Kebakaran di situ mula dikesan pada pukul 1 tengah hari Selasa lalu.

Sebelum ini Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Zainuddin Abdul Rahim yang mengetuai Ops Kebakaran Hutan Gunung Raba memberitahu kebakaran dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka.

Kawasan yang terbakar merupakan hutan bekas pembalakan.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang membuat tinjauan udara di kawasan kebakaran pada pukul 2 petang ini mengesahkan ia berpunca daripada aktiviti penerokaan tanah secara haram untuk pertanian.

Menurutnya, mereka dipercayai melakukan aktiviti pembakaran di tepi Tasik Bersia dan api merebak sehingga ke kawasan hutan berkenaan ekoran cuaca panas.

Perlis catat 33 kes denggi

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

KANGAR 13 Feb. - Perlis merekodkan peningkatan kes denggi lebih sekali ganda bagi tempoh Januari hingga 8 Feb lalu, iaitu 33 kes berbanding hanya 13 bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Perlis, Datuk Dr. Ghazali Othman berkata, kes dilaporkan di tiga lokasi dengan dua masih aktif iaitu Taman Hijrah dan Kampung Guar Syed Alwi.

Peningkatan kes ini berpunca daripada sikap orang ramai yang masih kurang prihatin terhadap pembiakan nyamuk Aedes, katanya di sini.

Dr. Ghazali turut menasihati penduduk memastikan kawasan premis bersih, bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes. Jika didapati ada pembiakan Aedes akan dihadapkan ke mahkamah.

Menurut Dr. Ghazali, pihaknya sudah melancarkan Operasi Gempur Aedes siri 2/2014 pada 8 Feb lepas yang menyaksikan 228 premis diperiksa. — BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Laluan bahayakan pengguna

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

Oleh KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

JALAN Springhill 1/22 Fasa Satu di Port Dickson, Negeri Sembilan yang rosak ternyata membahayakan para pengguna jalan berkenaan, terutama pada waktu malam. - UTUSAN/KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN

TELOK KEMANG 13 Feb. - Lubang yang semakin membesar dan bahaya di Jalan Springhill 1/22 Fasa Satu, Port Dickson dekat sini memerlukan perhatian pihak kerajaan untuk dibaiki segera.

Menurut penduduk, jalan tersebut telah dua kali diturap tetapi tidak bertahan lama kerana berlaku rekahan dan mendapan, malah saiznya semakin membesar.

Tambah membimbangkan, penduduk mendakwa, di bawah jalan berkenaan merupakan laluan air, yang boleh menyebabkan keadaan lebih teruk jika terus dibiarkan.

Seorang penduduk, Mohamad Mohd. Yusop, 44, berkata, kali terakhir jalan tersebut mendap adalah sejak Oktober lalu.

''Bermula dengan rekahan kecil, lama kelamaan lubang membesar dan mula mendap. Bayangkan pada waktu itu, jika ada kenderaan yang melaluinya tentulah akan membahayakan keselamatan.

''Lagipun, kawasan itu juga bahaya kepada kanak-kanak dan kami meminta kerajaan membaiki segera kerosakan yang berlaku," tegasnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

G. Mahenthirian, 44, pula mendakwa, dengan hanya meletakkan palang keselamatan tanpa dibaiki semula oleh pihak bertanggungjawab, keadaan itu tidak mendatangkan perubahan.

''Kita telah membuat aduan sejak beberapa bulan lalu dan belum ada tindakan yang menggembirakan. Kita tidak mahu apabila berlaku tragedi, barulah ramai yang datang memulihkannya," katanya.

Seorang lagi penduduk, Suzana Amir Hussain, 46, berkata, jalan tersebut adalah laluan utama dan digunakan lebih 500 penduduk setiap hari.

''Selepas sebahagian ditutup, laluan ini hanya boleh dilalui dengan sebuah kenderaan pada satu-satu masa. Laluan ini dibimbangi terus merekah lebih-lebih lagi jika dilalui oleh kenderaan berat terutama bas-bas sekolah," ujarnya.

Katanya, penduduk bersedia untuk menggunakan laluan alternatif walaupun jauh jika kerajaan bersedia untuk membaikinya segera.

MBMB roboh kotak tanaman halang laluan

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

PASUKAN Penguat Kuasa Bahagian Kejuruteraan dan Alam Sekitar MBMB menggunakan jentolak untuk merobohkan kotak tanaman yang menghalang laluan kaki lima di salah sebuah premis di Melaka Raya Banda Hilir, Melaka, semalam.

MELAKA 13 Feb. - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bertindak tegas mengingatkan pemilik premis perniagaan di sekitar bandar raya supaya merobohkan kotak tanaman (planter box) di hadapan dan tepi premis dalam memastikan kaki lima tidak menghalang laluan orang awam.

Pengarah Kejuruteraan dan Alam Sekitar MBMB, Rokman Mohd. Dayan berkata, sebanyak 2,000 premis yang membina struktur kekal termasuk kotak tanaman telah diberikan notis supaya membersihkan kaki lima premis masing-masing daripada halangan berkenaan.

Menurutnya, bermula tahun ini, MBMB akan memberi tumpuan terhadap kerja-kerja meroboh kotak tanaman di hadapan premis perniagaan dengan menggunakan pendekatan lembut melalui notis peringatan di bawah Seksyen 46(1)(b) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

"Kita memberi peluang kepada penyewa premis atau pemilik bangunan untuk merobohkan sendiri kotak-kotak tanaman yang menghalang laluan kaki lima tersebut dalam tempoh hari sebelum kompaun dikeluarkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menjalankan Operasi Halangan Planter Box di sekitar Taman Melaka Raya, Banda Hilir di sini hari ini.

Dalam operasi tersebut, sebanyak dua premis telah diberikan notis peringatan sejak Disember tahun lalu tetapi masih gagal diambil sebarang tindakan tegas, namun hari ini, struktur kotak tanaman itu akan dirobohkan dengan menggunakan jentolak.

Jelasnya, kedua-dua premis ini telah membina struktur kotak tanaman di kaki lima hadapan dan tepi premis tanpa kebenaran MBMB yang didapati menghalang parit terbuka.

"Pembinaan struktur itu bukan sahaja menghalang laluan pejalan kaki dan golongan orang kurang upaya (OKU), malah membawa masalah bagi pihak pembersihan untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan parit di premis berkenaan," ujarnya.

Selain pembinaan kotak tanaman itu katanya, terdapat juga beberapa masalah lain yang dikenal pasti mendatangkan kesan buruk terhadap alam sekitar termasuk pelepasan air secara terus ke longkang.

Ujar Rokman, pelepasan air secara terus ke longkang tanpa perangkap minyak merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 55(3) akta sama dan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM500 jika didapati bersalah.

Justeru katanya, penguatkuasaan tersebut diharap dapat menjadi permulaan dan memberi kesedaran kepada pemilik premis terutamanya di sekitar bandar raya untuk lebih peka terhadap kepentingan serta keselesaan orang ramai, selain menyokong usaha kerajaan negeri ke arah Melaka Maju Negeriku Sayang.

Perkukuh kekuatan, persaudaraan Islam

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

MUSA Wahab (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Ustaz Don Daniyal Don Biyajid di Dewan D'Sury Kuala Klawang pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Jelebu, Negeri Sembilan, semalam.

JELEBU 13 Feb. - Lebih 1,500 orang hadir dalam majlis sambutan Maulidur Rasul yang dianjurkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Jelebu bersama Pejabat Agama Islam Daerah Jelebu di Dewan D'Sury, Kuala Klawang dekat sini hari ini.

Pegawai Daerah Jelebu, Mohamed Roduan Ujang berkata, sambutan berkenaan diadakan untuk umat Islam menghayati kisah dan keperibadian junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

''Keperibadian dan akhlak baginda Rasulullah wajib dicontohi dalam mengharungi kehidupan harian sebagai seorang umat Islam," katanya dekat sini hari ini.

Yang turut hadir menyempurnakan sambutan ialah Undang Luak Jelebu, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman, Datuk Musa Wahab dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Lui, Mohd. Razi Mohd Ali.

Katanya lagi, umat Islam perlu mengekalkan kesatuan agar tidak berpecah belah sehingga menampakkan agama Islam yang suci itu sebagai ekstrem dan bahaya.

''Bina kekuatan, saling memahami antara satu sama lain dan pelajari ilmu dan ajaran Islam supaya kita tidak mudah dipesongkan dengan fahaman yang tidak betul sehingga membawa kepada perkara yang tidak baik," ujarnya.

Tegasnya, pada saat umat Islam berhadapan pelbagai cabaran daripada musuhnya yang sentiasa iri hati dengan persaudaraan ini, adalah baik umat Islam itu sendiri menjaganya dari dalam supaya ia tidak meledak menjadi lebih parah.

''Marilah kita bersama-sama berusaha untuk menjaga hubungan umat Islam ini dengan baik serta tidak membiarkan agama suci ini dipermainkan anasir luar.

''Belajarlah ilmu dengan betul supaya ia menjadi rujukan dalam kehidupan. Sentiasalah berpandukan kepada al-Quran dan sunah supaya kehidupan kita menjadi lebih selamat," ujarnya.

Pada sambutan berkenaan, ceramah telah disampaikan pendakwah terkenal, Don Daniyal Don Biyajid.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

2 juta warga kota bakal berdepan krisis air

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Terus beri kerjasama - Muhyiddin

Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved