Isnin, 10 Februari 2014

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Saya bukan janda - Misha Omar

Posted: 10 Feb 2014 02:06 AM PST

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

KUALA LUMPUR 10 Feb. - "Saya tidak pernah bernikah. Saya tidak pernah menjadi isteri ketiga seorang jutawan. Maka dengan rasmi saya juga tidak pernah memegang status janda!."

Itulah luahan hati penyanyi Misha Omar, 32, dalam surat terbuka yang di emelkan kepada pihak media hari ini, sebagai menjawab tuduhan seorang wanita yang memuat naik statusnya dengan mendakwa penyanyi itu pernah berkahwin sebelum ini.

Status itu dimuat naik Ahad lalu, ekoran daripada cerita Misha yang disiarkan dalam akhbar sisipan Pancaindera, akhbar Mingguan Malaysia.

Dalam emelnya itu, Misha mohon si penulis Facebook agar tampil mengemukakan bukti yang dia pernah mendirikan rumah tangga jika sangsi dengan statusnya sebelum ini.

"Apa dosa saya apabila saya ingin mendirikan rumah tangga dengan tunangan saya, Firos Ezzwan Rosly pada bulan Mei ini, saya dihukum dengan fitnah seperti ini?

"Pasti anda (penulis Facebook) pasti tersenyum bangga sekarang ini apabila status puan menjadi bualan hangat dan saya berharap agar tercapailah keinginan puan untuk menjatuhkan maruah diri saya dan keluarga saya," katanya.

Misha yang telah 12 tahun berkecimpung dalam bidang seni berkata, ini adalah fitnah dan tohmahan terbesar yang dilontarkan kepadanya sepanjang bergelar artis. - UTUSAN ONLINE

Bidasari uji Aiman, Fathia

Posted: 09 Feb 2014 10:32 PM PST

Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
Gambar WAHIDIN SALIM

MENJALIN hubungan cinta sejak setahun lalu, memudahkan Fathia dan Aiman untuk bekerjasama dalam teater Bidasari.

Badan saya banyak yang lebam-lebam, ini semua kerana latihan keras mendalami ilmu persilatan bagi membawa watak Tengku Indra dalam teater Bidasari."

Itulah cabaran yang paling getir dialami oleh teraju teater itu, Aiman Hakim Ridza yang merupakan antara muka baharu di pentas teater berbentuk bangsawan.

Bagi Aiman, apa yang paling dirisaukan ialah untuk bersilat kerana dia tidak mempunyai asas yang cukup dalam ilmu persilatan.

Hendak bersilat itu yang merisaukan saya sebenarnya. Saya seorang yang tinggi, jadi saya kena pastikan postur badan dalam keadaan yang betul untuk memastikan langkah bunga silat saya cantik.

Memang sukar sebenarnya sebab saya tiada asas. Itu yang saya berlatih bersungguh-sungguh dengan guru silat selama dua minggu sampai terbawa-bawa dalam mimpi," katanya.

Memandangkan teater ini adalam naskhah yang diambil daripada filem, Aiman turut memberitahu bahawa dia menjadikan Tan Sri Jins Shamsuddin sebagai rujukannya untuk membawa watak itu.

Sebelum mengambil keputusan untuk menerima tawaran ini, saya terlebih dahulu menyaksikan filem Bidasari dan memahami cara pembawakan watak oleh Jins Shamsuddin ketika itu," jelasnya.

Selama dua minggu berlatih dan cuba menghayati watak dengan lenggok bahasa klasik bukan sesuatu yang mudah. Apatah lagi bagi seseorang yang baharu melangkah ke dalam dunia teater.

Bagi Aiman, masa yang singkat memang memberi tekanan kepada dirinya, tetapi dia tidak mahu menjadikan itu sebagai satu halangan untuk dirinya memberikan yang terbaik.

Saya tahu masa singkat, tapi saya tidak mahu terlalu memikirkan tentang perkara itu, sebaliknya mahu kekal positif.

Macam saya, teater merupakan bidang baharu, jadi tempoh yang singkat itu saya perlu gunakan sepenuhnya untuk memberi yang terbaik," jelasnya yang berlatih hampir setiap masa bila mempunyai masa terluang.

Aiman menerima tawaran untuk berlakon teater ini ketika kali kedua ditawarkan. Bagi pelakon tinggi lampai ini, dia pada mulanya kurang yakin untuk melibatkan diri dalam teater itu.

Mula-mula memang kurang yakin apatah lagi saya memang tidak ada pengalaman berlakon teater.

Tetapi selepas mendapat tawaran kedua, saya yakinkan diri untuk menerima tawaran ini. Saya anggap ia satu kepercayaan daripada Istana Budaya dan saya perlu membuktikan kepercayaan itu," jelasnya.

Teater Bidasari arahan Lokman Ghani yang dipentaskan di Istana Budaya, (IB) Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 17 Februari ini, menampilkan Fathia sebagai watak utama selain Raja Azura, Aiman Hakim Ridza, Jalaluddin Hassan dan Radhi Khalid.

Serasi bersama Fathia

Sudah setahun bercinta baharulah Aiman berani mengaku yang Fathia adalah teman istimewanya. Sebelum ini dia sering mengelak apabila diaju soal peribadi, kerana baginya adalah lebih manis kalau wartawan melaporkan perihal kerjayanya.

Mungkin kini Aiman sudah tidak mahu berahsia lagi dan sebab itulah sewaktu sidang akhbar teater Bidasari, pelakon utama drama Projek Memikat Suami itu mengaku yang dia serius menjalin hubungan dengan pasangan lakonannya dalam drama Diandra itu.

Jelas Aiman, dia bukanlah jenis yang suka menguar-uarkan cerita peribadi kerana tidak semua perkara boleh dikongsi dengan peminat.

Pada saya kisah peribadi bukanlah untuk dikongsi secara berlebihan, cukuplah kalau saya beritahu yang saya memang serius dengan Fathia. Memandangkan kami sudah biasa berlakon bersama dari segi keserasian tidak menjadi masalah.

Namun mengenangkan kami pertama kali berlakon teater, masing-masing ada perasaan gentar. Saya harap penampilan pertama dalam teater Bidasari ini menjadi perintis untuk saya terus aktif dalam persembahan pentas," katanya.

Rasa gugup atas pentas

Melihat kepada gandingan antara Aiman dan Nur Fathia Abdul Latiff atau lebih dikenali sebagai Fathia, sudah pasti tiada masalah besar apatah lagi mereka sudah banyak kali bergandingan bersama menerusi drama.

Tetapi, jangkaan itu meleset apabila Fathia mengaku yang dia sebenarnya gugup berdiri di atas pentas teater apatah lagi berlakon di hadapan orang ramai.

Berlakon di hadapan kamera dan di hadapan penonton adalah sesuatu yang sangat berbeza apatah lagi saya sebenarnya mempunyai masalah gugup di pentas (stage fright) yang sangat teruk.

Di hadapan kamera, tidak ramai orang yang melihat. Tetapi di pentas pementasan, mata penonton hanya akan tertumpu kepada watak-watak yang berlakon," jelasnya.

Tambahnya lagi, perkara itu yang sangat merisaukan dirinya dan dia berusaha sedaya upaya untuk mengatasinya.

Selalunya, kami akan berlatih di ruang latihan berbentuk bilik sahaja. Tetapi saya harap tiada apa-apa yang berlaku pada hari pementasan dan semuanya berjalan lancar," jelasnya.

Bagi Fathia, dia mengambil peluang untuk beraksi dalam teater adalah untuk menampilkan sisi dirinya yang berbeza daripada apa yang ditonjolkan kepada peminatnya sebelum ini.

Saya sebenarnya suka mencuba sesuatu yang baharu. Jadi bila ditawarkan untuk terlibat dalam teater bangsawan, saya berminat.

Dulu masa bersekolah, saya ada juga menyertai kumpulan tarian tradisional jadi saya rasa dengan sedikit pengalaman yang ada, saya dapat kembangkan dan belajar lagi menerusi teater ini," ujarnya.

Tambah Fathia lagi, dia juga mahu menunjukkan kepada orang ramai bakatnya di pentas teater dan tidak hanya tertumpu kepada dunia lakonan di layar kaca sahaja.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


KL contohi kejayaan Copenhagen

Posted: 10 Feb 2014 10:44 AM PST

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

Ahmad Phesal Talib (kanan) dan Nicolai Ruge melihat pameran Copenhagen Solutions - Making Cities More Liveable Menara 1 Dewan Bandaraya di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/HAFIZ JOHARI

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Kuala Lumpur akan mencontohi ibu negara Denmark, Copenhagen dalam usaha untuk menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya dan kesan alam sekitar ibu kota.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, sebelum ini bandar raya di negara tersebut juga mengalami masalah kesesakan trafik yang teruk akibat perkembangan ekonominya yang pesat.

Katanya, bagaimanapun, pada hari ini ia bukan sahaja bebas daripada masalah itu malah menjadi bandar raya paling hijau sehingga mendapat Anugerah European Green Capital 2014.

"Rahsia kejayaan itu apabila mereka mengamalkan aktiviti berjalan kaki, berbasikal dan menaiki kenderaan awam sebagai satu budaya yang juga berjaya meningkatkan tahap kesihatan warga Copenhagen.

"Jumlah kenderaan yang memasuki bandar raya itu berjaya dikurangkan iaitu daripada 284,000 buah pada tahun 2012 berbanding 350,000 buah pada 1970. Di Kuala Lumpur pula, setiap tahun hampir 30,000 hingga 40,000 kenderaan persendirian baharu memasuki ibu negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pameran Copenhagen Solutions - Making Cities More Liveable di Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Duta Denmark ke Malaysia, Nicolai Ruge dan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz.

Ahmad Phesal memberitahu, sehingga tahun 2020 sebanyak 100,000 pokok akan ditanam di seluruh Kuala Lumpur dan Lembah Klang bagi memberi keselesaan dan teduhan kepada para penunggang basikal serta pejalan kaki.

"Selain itu, kita telah mempunyai laluan berjalan kaki berbumbung sejauh 42 kilometer di sekitar ibu negara dan ia akan ditambah dari semasa ke semasa.

"Kita juga memperkenalkan Penilaian Kesan Lalu Lintas bagi menentukan laluan-laluan untuk pejalan kaki dan berbasikal dalam setiap pembangunan dan pembinaan premis dan kawasan pada masa depan," ujarnya.

Jelasnya lagi, apabila projek transit aliran massa (MRT) siap sepenuhnya pada tahun 2017, warga kota boleh menunggang basikal ke stesen MRT dan kemudian menaiki kemudahan itu untuk ke tempat kerja.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ruge berkata, Copenhagen kini meletakkan sasaran untuk menjadi bandar terbaik dunia bagi penunggang basikal.

"Kita menjangkakan hampir 55 peratus warga bandar raya itu menunggang basikal untuk ke tempat kerja atau ke sekolah pada 2015, sekali gus dapat mencapai matlamat menjadikan Copenhagen bebas daripada pencemaran karbon dioksida pada tahun 2025," katanya.

RM12 juta atasi tanah mendap

Posted: 10 Feb 2014 10:44 AM PST

Oleh MOHAMAD HARITH
MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

PENDUDUK menunjukkan keadaan sebuah rumah yang retak ekoran tanah mendap di Kampung Pindah di Kampung Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Kebimbangan penduduk Kampung Pindah di Kampung Baru di sini berhubung tanah mendap bakal berakhir apabila kerajaan memperuntukkan RM12 juta bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih kawasan berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya dan Perbadanan Kampung Baru (PKB) mengambil serius masalah yang dihadapi kira-kira 22 keluarga terlibat.

Kita akan selidik masalah yang berlaku di kawasan itu kerana tanah mendap itu dipercayai disebabkan oleh keadaan di bawah tanah rumah penduduk.

Bajet untuk kerja-kerja menaik taraf serta pembaikan kawasan itu juga telah diluluskan dan sekarang kita perlu meneliti beberapa perkara sahaja lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri majlis Kenduri 1Wilayah Persekutuan bagi Parlimen Titiwangsa di Dewan Komuniti Bestari Wirawati 6, di sini semalam.

Yang turut hadir isterinya, Datin Seri Anggraini Sentiyaki; Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani; Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Naharuddin Abdullah.

Sementara itu, Johari memberitahu, terdapat beberapa konflik timbul dalam usaha menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk kampung berkenaan.

Menurutnya, penduduk meminta pampasan dibayar kepada mereka sebelum sebarang kerja-kerja pembaikan dimulakan di kawasan itu, namun jenis pampasan yang dimaksudkan tidak dijelaskan secara terperinci.

Kita akan berbincang semula dengan penduduk terlibat untuk mengetahui pampasan yang dimaksudkan supaya kerajaan tahu apa yang boleh diberi kepada penduduk," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak mempunyai sebarang niat untuk mengambil tanah penduduk di situ selain memajukan perkampungan Melayu itu.

Dalam pada itu, Naharuddin memberitahu, dalam tempoh dua minggu lagi, pihak PKB akan mengatur pertemuan dengan penduduk terlibat bagi membincangkan perkara itu.

Sebelum ini pada 24 Januari lalu Utusan Malaysia melaporkan mengenai kebimbangan kira-kira 22 keluarga di Kampung Pindah berhubung masalah tanah mendap sejak beberapa tahun lalu dan mahukan pembelaan pihak bertanggungjawab.

Masalah itu menyebabkan rumah mereka retak dan beberapa penduduk terpaksa mengosongkan kediaman masing-masing.

Susulan itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan balasnya memaklumkan bahawa kerja-kerja membaik pulih kawasan itu dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2015.

Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Banjir JPS, Wan Mohd. Sulaiman Wan Ismail berkata, pihaknya dalam proses membuka tender bagi kerja-kerja tersebut.

Penduduk bantah bina jalan di tanah lapang

Posted: 10 Feb 2014 10:44 AM PST

PENDUDUK mendakwa pembinaan jalan di atas tanah simpanan kerajaan menyebabkan mereka sukar untuk menjalankan aktiviti harian.

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Penduduk Kampung Pasir Hulu Kelang, dekat sini membantah pembinaan jalan di tanah lapang di Jalan Haji Mokhtar berikutan kawasan tersebut menempatkan empat buah gerai, taman permainan dan gelanggang sukan.

Utusan Malaysia difahamkan, projek itu merupakan susulan pembinaan sebuah blok pangsapuri yang terbengkalai dan dua lagi yang masih belum dibina.

Pengerusi Persatuan Belia Kampung Pasir Hulu Kelang, Bukhari Mohd. Thani berkata, sejak tanah milik kerajaan seluas 40 kaki itu di pagar pada 2012, penduduk menghadapi kesukaran untuk menjalankan aktiviti harian mereka.

Penduduk melakukan demonstrasi membantah pembinaan jalan di atas tanah lapang oleh syarikat pemaju di Kampung Pasir Hulu Kelang, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/FAIRUZ IZYANA AYUB

Kami kecewa kerana pengambilan tanah dan pembangunan tapak itu tidak dibincangkan bersama penduduk terlebih dahulu.

Pembangunan di sini terlalu padat sehingga tiada tanah lapang untuk penduduk berkumpul manakala kanak-kanak terpaksa bermain di atas jalan ekoran taman permainan mereka diambil," katanya selepas mengetuai bantahan bersama penduduk di Kampung Pasir, dekat sini hari ini.

Katanya, kawasan lapang yang merupakan tanah simpanan kerajaan itu sebelum ini dimanfaatkan bagi mengadakan pelbagai program kemasyarakatan seperti sambutan hari raya, Hari Kemerdekaan dan majlis perkahwinan.

Perkara ini telah dibawa kepada pengetahuan banyak pihak termasuk pejabat Menteri Besar Selangor, wakil rakyat dan juga Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

Kami tidak menolak sebarang pembangunan di kawasan ini tetapi janganlah bersifat berat sebelah sehingga memberikan kelebihan kepada pemaju dan menafikan keperluan masyarakat kampung," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi JKKKP Kampung Pasir, Mohd. Razi Ayop berkata, sebelum ini pelan asal pembinaan jalan tersebut tidak melibatkan tanah lapang namun ia ditukar kepada pelan baharu tanpa persetujuan penduduk.

Kita hairan pindaan pelan dibuat sedangkan pelan asal lebih baik kerana keluasannya lebih besar berbanding tanah simpanan kerajaan. Kita mahukan penjelasan terutamanya daripada MPAJ," tegasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Demam denggi melonjak di Johor Bahru

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

Rahim Tumin (kanan) turut serta membersih sampah dalam Program Gotong-Royong Kebersihan Pencegahan Denggi di Taman Sinaran Kempas, Johor Baharu, semalam.

JOHOR BAHRU 9 Feb. - Jumlah kes demam denggi yang dicatatkan di daerah ini dalam bulan pertama tahun ini melonjak kepada 400 kes berbanding 182 bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Dr. Rahim Tumin berkata, daripada jumlah berkenaan, 171 kes direkodkan berlaku di kawasan seliaan MBJB, berbanding 99 kes pada tahun lalu.

Beliau berkata, jumlah kes tersebut agak tinggi, apatah lagi baharu bulan pertama tahun 2014.

"Kerja-kerja memerangi denggi dan menghapuskan nyamuk aedes ini bukan sahaja terletak di bahu pihak berkuasa, malah memerlukan kerjasama daripada semua pihak terutamanya penduduk setempat.

"Pelbagai aktiviti pencegahan telah dilakukan MBJB termasuk menjalankan aktiviti tinjauan aedes di premis dan kawasan wabak serta semburan kabus," katanya selepas sesi taklimat Program Gotong-Royong Kebersihan Pencegahan Denggi di sini hari ini.

Program yang diadakan di Taman Sinaran Kempas di sini itu turut dihadiri Penolong Pengarah Sosial Kebudayaan dan Pelancongan Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan MBJB, Dzulfakarali Mohd. Junos.

Selain aktiviti gotong-royong, program anjuran bersama dengan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sinaran Kempas turut dimeriahkan dengan pameran oleh beberapa agensi di bawah program Local Agenda21 MBJB.

Berdasarkan statistik, sebanyak 2,851 kes demam denggi direkodkan berlaku di daerah Johor Bahru sepanjang tahun lalu dengan 1,435 kes adalah di kawasan seliaan MBJB.

Rahim berkata, antara kawasan yang mencatat kes demam denggi adalah Taman Dahlia, Taman Sinaran Kempas, Taman Kenanga, Taman Skudai Kanan, Bandar Baru Permas Jaya, Taman Tampoi Indah dan Kampung Pasir.

Pembangunan pesat Johor sedia peluang pekerjaan

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

R. Vidyananthan (depan, tiga dari kiri) bersama Chua Tee Yong (empat dari kanan), ketika menghadiri Pesta Pongal Parlimen Labis di Labis, Johor, kelmarin.

LABIS 9 Feb. - Pembangunan pesat di Iskandar Malaysia, Penggerang dan Desaru menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk negeri ini, sekali gus mampu mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R. Vidyananthan berkata, selain pembangunan di tiga kawasan tersebut, kerajaan juga memperluaskan pelbagai program pembangunan di seluruh negeri yang turut menyediakan banyak peluang pekerjaan.

"Kerajaan menyediakan peluang kepada semua golongan dan kaum tanpa mengira kedudukan sama ada di bandar atau luar bandar secara adil untuk memperoleh peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor menerusi pembangunan yang dilakukan.

"Selebihnya terpulang kepada individu tersebut untuk merebut peluang yang terhidang. Mereka tidak harus memilih kerja berdasarkan minat, tetapi mengikut permintaan pasaran kerja," katanya selepas merasmikan Pesta Ponggal anjuran MIC Labis di Dewan Pasamanickam dekat sini semalam.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim dan ADUN Tenggaroh, Raven Kumar Krishnasamy.

Vidyananthan berkata, sikap masyarakat yang lebih suka makan gaji juga antara penyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran apabila bilangan pemohon melebihi jumlah jawatan kosong yang ditawarkan.

"Masyarakat harus bersedia untuk menceburi bidang baharu sebagai kerjaya seperti keusahawanan yang bukan hanya menyediakan kerja kepada diri, malah turut membuka peluang pekerjaan kepada orang lain," katanya sambil menasihatkan golongan penuntut membuat kajian tentang permintaan pasaran kerja sebelum memilih untuk menceburi sesuatu bidang.

"Ibu bapa boleh memainkan peranan dalam memandu arah mereka untuk memilih bidang pengajian berdasarkan pasaran kerja agar anak-anak tidak membazirkan masa dan wang mengikuti pengajian yang tidak menyediakan peluang pekerjaan.

"Sekiranya menceburi bidang yang tidak mempunyai pasaran kerja, kita bukan sahaja sukar mendapat peluang pekerjaan, malah tidak dapat membantu kerajaan menangani masalah pengangguran," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Kementerian Pertanian ambil pegawai SPRM secara rahsia

Posted: 09 Feb 2014 11:53 PM PST

PUTRAJAYA 10 Feb.- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menempatkan seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerja secara tetap di kementerian itu secara rahsia bagi mengelak berlakunya gejala rasuah dalam kalangan kakitangan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pegawai tersebut berperanan menyampaikan polisi dan hasrat kerajaan berkaitan kepentingan integriti, pencegahan rasuah, penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan dalam perkhidmatan agensi kerajaan.

Katanya, tindakan drastik itu diambil bagi menunjukkan bahawa kementerian begitu serius dan komited menangani isu berkaitan rasuah khususnya dalam kalangan kakitangan, sekaligus memberi keyakinan kepada rakyat untuk berurusan dengan agensi kerajaan.

"Saya telah membuat permohonan dengan SPRM dan kita akan minta pegawainya bekerja secara tetap dengan kita, mungkin sebagai kakitangan biasa untuk menyiasat salah guna kuasa, gejala rasuah dan pelbagai lagi berkaitan integriti mengikut skop kerja yang telah ditetapkan oleh suruhanjaya itu.

"Kita tidak akan letak pegawai SPRM ini secara terang-terangan, jika tidak usaha ini sia-sia sahaja. Mungkin saya dengan Ketua Setiausaha kementerian bersama-sama pihak SPRM sahaja yang tahu dengan lebih lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Integriti dan Keutuhan Tadbir Urus Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan menyaksikan majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat dengan SPRM di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Pengayuh solo gembira jumpa Tun Mahathir hari ini

Posted: 09 Feb 2014 11:27 PM PST

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melihat keadaan basikal pengayuh basikal, Wan Hashim Wan Mahmood, 68, ( tiga kiri ) yang berhasrat mencipta rekod berbasikal mengelilingi Semenanjung secara solo. Kekehadiran beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, turut ditemani ahli keluarga. -UTUSAN/RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 10 Feb. - Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menerima kunjungan pengayuh basikal solo, Wan Hashim Wan Mahmood, 68, di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Wan Hashim, warga emas yang memulakan misi mencipta rekod berbasikal mengelilingi Semenanjung Malaysia pada 26 Januari lalu, ketika ditemui selepas pertemuan itu jelas gembira dapat bertemu dengan pemimpin idolanya.

Datuk kepada 18 cucu yang kelihatan cukup teruja itu berkata, beliau memang berhasrat untuk menemui Dr. Mahathir sejak memulakan kayuhannya, dan menurutnya dalam pertemuan itu Dr. Mahathir tidak menghampakan beliau apabila memberikan kata-kata semangat kepadanya untuk terus gigih dalam menjayakan misinya.

Misi kayuhannya dengan jarak keseluruhan kira-kira 2,000 km, bermula dari Kota Bharu dijangka mengambil masa sebulan dan ia bertujuan memberi mesej berkaitan kesihatan dan kebaikan riadah kepada orang ramai. - UTUSAN ONLINE

100 soalan dari rakyat untuk DUN Kelantan

Posted: 09 Feb 2014 09:17 PM PST

KOTA BAHARU 10 Feb. - Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Barisan Darul Naim (Badar) hari ini menyerahkan 100 soalan kepada Barisan Nasional (BN) untuk dikemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bersidang selama tiga hari mulai 4 Mac ini.

Ia diserahkan oleh Pengerusi Badar, Kamarudin Mohd Kasim kepada ketua pembangkang di DUN, Datuk Nozula Mat Diah di Pejabat Perhubungan Umno Kelantan di sini.

Kamarudin berkata, soalan itu diperoleh daripada pelbagai lapisan rakyat seperti kakitangan kerajaan, NGO, mahasiswa, usahawan kecil dan belia.

"100 soalan rakyat Kelantan ini meliputi segenap permasalahan dan isu semasa yang membelenggu rakyat Kelantan seperti pembalakan, lebuh raya rakyat, stadium di Bukit Merbau, air dan Taman Negara Kuala Koh," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu menjawab semua soalan itu sama ada secara lisan atau bertulis semasa persidangan yang jika tidak, pihaknya akan berhimpun semasa persidangan DUN dan menuntut semua soalan itu dijawab.

Nozula yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Paloh berkata soalan itu akan dipanjangkan kepada kerajaan negeri hari ini.

"Kita tidak mahu soalan rakyat ini tidak diberi perhatian oleh kerajaan negeri kerana rakyat dahagakan penerangan setiap isu yang dibangkitkan.

"Semua jawapan secara bertulis nanti akan kami edarkan kepada media untuk dijelaskan kepada rakyat selepas ini," katanya. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Jimat berbelanja di pasar tani

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

Oleh Hashim P. Mamat
utusanperak@utusan.com.my

MAZLIN Sham Razman (tengah) dan Syamsul Amri Mohd. Salleh (kiri) menunjukkan isyarat bagus kerana harga barangan murah di Pasar Tani Kuala Kangsar, Perak, semalam.

KUALA KANGSAR 9 Feb. - Pasar tani boleh dijadikan pilihan kepada mereka yang mahu menjimatkan perbelanjaan seharian kerana barangan yang dijual jauh lebih rendah berbanding tempat lain, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, Mazlin Sham Razman.

Sebagai contoh, kata beliau, ada peniaga pasar tani yang menjual sayur-sayuran pada harga yang lebih rendah berbanding harga siling atau harga yang ditetapkan oleh Lembaga Pertanian Persekutuan (FAMA) seperti timun pada harga RM1.50 sekilogram berbandingan harga siling RM3.

"Harga jualan yang murah di pasar tani dapat membantu pengguna berjimat dan meringankan beban perbelanjaan seharian mereka.

"Pasar tani merupakan pesaing kepada sektor perniagaan yang lain kerana ia menawarkan harga jualan yang lebih murah.

"Kepada mereka yang mahu berjimat, pasar tani adalah pilihan terbaik," katanya selepas membuat tinjuan di Pasar Tani Kuala Kangsar bersama Timbalan Pengarah FAMA negeri, Syamsul Amri Mohd. Salleh di sini hari ini.

Mazlin Sham juga memberitahu beliau telah mengutarakan cadangan kepada FAMA negeri supaya menambah hari operasi pasar tani di Kuala Kangsar dan tidak lagi hanya seminggu sekali sahaja.

Menurutnya, langkah ini bagi membantu memerangi kegiatan kenaikan harga barangan keperluan harian.

"Saya amat berbesar hati dan mengucapkan terimakasih kepada peniaga pasar tani kerana menyambut saranan FAMA dengan menawarkan harga jualan yang begitu rendah," katanya.

Mazlin Sham turut berbangga kerana semakin ramai golongan belia di kawasan Kuala Kangsar yang menceburi sektor pernigaan dengan berniaga di pasar tani.

Menurutnya, ia merupakan satu fenomena yang positif dan golongan belia ini perlu diberikan galakan untuk menceburi sektor perniagaan.

"Saya berharap lebih ramai golongan belia menceburi perniagaan atau sektor pertanian kerana banyak kawasan tanah yang terbiar di kawasan ini yang boleh dimajukan," katanya.

Gunakan air secara bijak ketika kemarau

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

BADRUL Hisham Hashim (dua dari kiri) bersama Mat Noh Ahmad (kiri) meninjau keadaan jalan yang perlu dibaiki di Terminal Bas Shahab Perdana, Mergong, Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 9 Feb. - Pengguna diingatkan agar berjimat cermat menggunakan air sepanjang tempoh musim kemarau yang melanda negeri Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrul Hisham Hashim berkata, tempoh musim kemarau pada tahun ini dijangka panjang, namun bekalan air masih terkawal di negeri ini.

"Saya nasihatkan pengguna agar berjimat cermat menggunakan air dan amalan pembaziran sangat tidak digalakkan sepanjang musim kemarau ini.

"Setakat ini, saya boleh pastikan keadaan masih terkawal dan kita sentiasa bersedia untuk membekalkan air ke kawasan-kawasan yang menghadapi masalah gangguan air," katanya selepas mengadakan lawatan mengejut ke Terminal Bas Shahab Perdana di Lebuh Raya Sultanah Bahiyah di sini hari ini.

Yang turut hadir Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad.

Badrol Hisham memberitahu, beliau juga mengarahkan Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk menyewa lori tangki serta menempatkan lori tersebut di setiap daerah di negeri ini sebagai persediaan menghadapi gangguan bekalan air.

"Bagi kawasan di kampung-kampung yang sering terjadi gangguan air pula, saya arahkan SADA supaya menyediakan tong besar untuk mengisi air di situ," ujarnya.

Dalam pada itu, ketika mengulas tentang masalah gangguan air yang sering berlaku di kawasan Pokok Sena dan Kuala Nerang, Badrol Hisham berkata, masalah tersebut berpunca daripada masalah tekanan air rendah di kawasan tersebut.

"Kawasan yang menghadapi gangguan air terletak di tempat yang tinggi dan mereka hanya dapat bekalan air apabila waktu malam sahaja.

"Saya telah memohon peruntukan dari kerajaan Pusat untuk membina loji air di kawasan terlibat dan masih menunggu kelulusan peruntukan daripada kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini," jelasnya.

RM3.7 juta baiki jalan terminal bas shahab

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

ALOR SETAR 9 Feb. - Sebanyak RM3.7 juta diperlukan untuk menaiktaraf jaringan jalan utama, jalan dalaman dan jalan lingkaran Terminal Bas Shahab Perdana, Lebuhraya Sultanah Bahiyah di sini untuk memberi keselesaan kepada pengguna pengangkutan awam di situ.

Pengerusi Jawatan Kuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrul Hisham Hashim berkata, beliau telah memohon peruntukan tersebut daripada Kerajaan Pusat tahun lalu dan masih menunggu kelulusan tersebut sebelum kerja-kerja menaiktaraf boleh dijalankan.

"Kita dapati kawasan Terminal Bas Shahab Perdana ini dibina di atas tanah sawah dan tanahnya tidak kukuh disebabkan itu selalu terjadi jalan mendap serta berlubang.

"Pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) memperuntukkan RM100,000 untuk membaiki jalan tersebut setiap tahun namun masalah ini sering berulang.

"Disebabkan itu projek menaiktaraf jaringan jalan di sini perlu dibuat dengan mengguna simen kerana ia dapat mengatasi masalah jalan mendap untuk tempoh jangka masa panjang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan mengejut ke Terminal Bas Shahab Perdana di sini hari ini.

Menurut Badrol Hisham, Terminal Bas Shahab Perdana yang memulakan operasi pada tahun 1996 adalah antara pintu masuk utama ke negeri ini dan semua pihak perlu bekerjasama untuk menjaga imej terminal tersebut.

"Saya dapati tahap kebersihan di sini berada pada tahap memuaskan dan banyak ruang yang masih boleh dibaiki untuk meningkatkan tahap kebersihan di sini.

"Peniaga perlu mematuhi peraturan dan saya harap mereka tidak membuang sampah merata-rata ke dalam longkang untuk mengelakkan masalah longkang tersumbat berlaku," jelasnya.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad yang turut serta dalam lawatan mengejut itu memberitahu, sebuah tandas awam baharu akan dibina di Terminal Bas Shahab Perdana dengan kos RM250,000.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Promosi pelancongan diperhebat

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

GELAGAT sebahagian daripada peserta mengambil bahagian dalam Pesta Ponggal 2014 di tempat letak kereta Pasar raya Mydin di Ayer Keroh, Melaka, semalam.

MELAKA 9 Feb. - Dalam usaha memperkenalkan keunikan budaya dan kepelbagaian kaum di negeri ini kepada masyarakat luar, Melaka terus meningkatkan usaha memperhebatkan promosi pelancongan terutamanya melibatkan sub sektor budaya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, sub sektor budaya yang merupakan salah satu daripada 12 sub sektor pelancongan negeri amat penting untuk diketengahkan memandangkan negeri ini terkenal dengan kepelbagaian budaya masyarakat setempat.

Menurutnya, usaha berterusan dalam memperkenalkan sub sektor budaya ini juga secara tidak langsung akan membantu kerajaan negeri dalam memastikan pengunjung dalam dan luar negara terus meningkat saban tahun.

"Melaka akan terus mengangkat warisan budaya sebagai salah satu tarikan pelancongan yang dapat menghidupkan identiti kebudayaan serta etnik negeri ini.

"Justeru, dalam usaha itu, kepelbagaian jenis budaya dan warisan masyarakat terdahulu wajar ditonjolkan secara berterusan kepada khalayak bagi mengenali sejarah negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Ponggal 2014 di pasar raya Mydin Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Muhamad; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Naim Abu Bakar dan Pengerusi MIC negeri, Datuk M.S. Mahadevan.

Sambutan perayaan itu turut dimeriahkan dengan acara Memasak Nasi Susu melibatkan peserta berbilang kaum paling ramai mencecah hampir 2,000 orang.

Jelas Idris, Pesta Ponggal yang dianjurkan itu jelas menjurus kepada perpaduan dan kerjasama pelbagai kaum yang bekerjasama memastikan adat budaya tradisional warisan turun temurun ini terus terpelihara.

Katanya, perayaan yang diraikan masyarakat beragama Hindu sebagai tanda kesyukuran selepas menuai hasil pertanian ini perlu terus dijadikan sebagai budaya dalam kalangan rakyat.

"Pesta Ponggal kini dijadikan acara kebudayaan untuk memupuk semangat kekeluargaan dan permuafakatan di dalam masyarakat, selain memelihara kebudayaan sesebuah kaum agar tidak hilang ditelan zaman," ujarnya.

Pengindahan Sungai Melaka tingkat kehadiran pelancong

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

MELAKA 9 Feb. - Projek pembersihan dan pengindahan Sungai Melaka yang kini memasuki fasa kedua dijangka akan meningkatkan nilai hartanah sepanjang sungai dan jumlah pelancong ke negeri ini sehingga 50 peratus.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel berkata, projek yang menelan belanja RM285 juta itu adalah lanjutan daripada projek fasa satu antara muara Sungai Melaka hingga ke Jambatan Hang Jebat.

Menurutnya, selain pembersihan dan pengindahan, sungai tersebut perlu dipergiatkan dengan aktiviti pelancongan, selain menaik taraf bot-bot sedia ada.

"Kita perlu galakkan aktiviti pelancongan di sepanjang sungai ini dan bot-bot sedia ada perlu diubah suai dan tidak boleh menggunakan bot yang lama lagi.

"Bukan itu sahaja, kalau kawasan ini boleh dihijaukan saya yakin akan menjadi kawasan yang baik untuk pelancong.

"Sepanjang lawatan, saya melihat tiada pencemaran di sungai ini manakala tempat-tempat beribadat juga dikekalkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat kawasan projek sepanjang 5.7 kilometer (km) di Sungai Melaka di sini kelmarin.

Projek fasa kedua itu terbahagi kepada tiga pakej yang melibatkan kerja pembersihan sepanjang 13.6km antara muara sungai sehingga Malim Weir manakala kerja pengindahan sepanjang 5.2km (Jambatan Hang Tuah sehingga Tidal Control Gate Batu Hampar).

Fasa kedua itu turut merangkumi pembinaan laluan pejalan kaki sepanjang tebing sungai, perlindungan tebing sungai, stesen teksi air, jeti dan jejambat Melaka Sentral.

Kata Palanivel, beliau amat berpuas hati dengan projek yang sedang dilaksanakan dan berharap dapat disiapkan pada Jun ini.

Projek itu secara tidak langsung dapat membantu sasaran kerajaan negeri bagi memperoleh kedatangan pelancong sebanyak 15 juta tahun ini berikutan kejayaan memperoleh 14 juta pelancong dari dalam dan luar negara ke Melaka tahun lalu.

Gangguan air di Seremban, Rembau dan PD esok

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

SEREMBAN 9 Feb. - Penduduk di sekitar bandar ini, Rembau dan Port Dickson bakal mengalami gangguan bekalan air sementara berikutan kerja-kerja penggantian, pemasangan injap dan pengalihan paip di beberapa lokasi.

Pegawai Bahagian Perkhidmatan Korporat Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), Norzita Ismail berkata, pihaknya akan menjalankan penutupan sementara bekalan air yang akan mengakibatkan gangguan di sekitar kawasan terbabit, bermula antara pukul 8 pagi (11 Februari) sehingga 8 pagi keesokan (12 Februari).

Katanya, bagi bandar ini, kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air ekoran penggantian injap di Kolam Bukit Tunggal melibatkan Taman Cempaka, Kampung Linsum, Bandar Eka, Taman Delima, Siliau, Kampung Sri Sendayan, Kampung Sega, Taman Kristal, Taman. Seri Damai, Rumah Rakyat Kuala Sawah dan pekan Rantau.

Kawasan lain yang terlibat Kampung Ulu Lalang, Rumah Rakyat Ulu Lalang, Kampung Kanchong, Taman Pinggiran Senawang, Batu 11 Ladang Tampin, Rumah Rakyat Linsum, Kampung Solok, Kampung Landas Kombok, Kampung Baru Ulu Lalang serta sekitar kawasan Rantau.

''Sementara di Rembau pula kawasan yang terlibat meliputi Jalan Tok Samad, Jalan Tanjung Semut, Lebuh Raya Pedas, Merbau 9, Minching B, Hentian Lebuh Raya Seremban, Estet Hentian Tinggi, Chembong Utama, Balai Polis Chembong.

''Turut mengalami gangguan Sekolah Teknik Chembong, Taman Pedas Perdana, Jalan Mungkal, Jalan Tok Naa, Jalan Ampang Batu, Jalan Mungkal Tobek, Jalan Tok Menteri, Taman Pinggiran Pedas," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Norzita juga berkata, ini melibatkan kawasan Port Dickson melibatkan Air Kuning, seluruh kawasan Linggi, Kampung Tampin Linggi, Kampung Takau, Ladang Tampin Linggi, Masjid Qariah Tampin Linggi, Rumah Rakyat Pengkalan Durian, Masjid Qariah Pengkalan Durian, Rumah Rakyat Pengkalan Kempas dan Kampung Permatang.

Sementara itu, beliau turut memberitahu pihaknya juga akan menjalankan kerja-kerja pemasangan injap di Kolam Kendong, Rembau dekat sini yang akan menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan sekitar bermula pukul 8 pagi (11 Februari) sehingga keesokan harinya (12 Februari).

''Kawasan yang terlibat seluruh kawasan Kendong, seluruh kawasan Kota, Kampung Chik Tamby, Gadong, Legung Ulu, Legung Hilir, Kampung Bukit Keledang, Kampung Baru Chengkau, Chengkau Ulu, Penajis, Astana Raja, Air Melintang, Kampung Kuala Dadih, Semerbok dan Kampung Batang Nyamor," katanya.

Norzita juga menjelaskan kerja-kerja pengalihan paip di Simpang Rasah Kemayan juga akan dilakukan bermula pukul 9 pagi hingga 9 malam 11 Februari ini, sekali gus menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa buah kawasan.

Lokasi yang terlibat meliputi Rasah Kemayan, Taman Arowana Indah, Taman Arowana Impian, Taman Sri Carcosa, Garden Home, Taman Mantau Indah, seluruh Seremban 2.

''Pada masa sama, pihak Sains juga akan melakukan kerja-kerja pemasangan injap dan tee paip di Bulatan Taman Nusari Bayu dekat sini bermula pada tarikh dan waktu yang sama mengakibatkan gangguan bekalan air di seluruh taman berkenaan," katanya.

Beliau menjelaskan, bekalan air akan disambung semula selepas waktu yang dinyatakan dan dijangka pulih secara berperingkat, namun beberapa kawasan tinggi dijangka mengalami gangguan lebih panjang memandangkan pemulihan bekalan air sepenuhnya akan mengambil masa.

Beliau meminta pengguna yang memerlukan perkhidmatan pada hari berkenaan supaya menghubungi talian bebas tol 1-800-88-6982.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Jihad perangi orang tengah

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

15 maut kebakaran hotel

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

4 beradik dari Sweden mula bersekolah

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved