Jumaat, 7 Februari 2014

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Rezeki nelayan terputus

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

Oleh UMU HANI ASSAIDAH ABDULLAH
kota@utusangroup .com.my

Sebahagian nelayan menunjukkan pukat mereka yang rosak dilanggar bot pukat tunda di kawasan nelayan pantai di Pantai Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor, semalam. - UTUSAN/UMU HANI ASSAIDAH ABDULLAH

SABAK BERNAM 6 Feb. - Nasib nelayan pantai di Sungai Haji Dorani di sini kini tidak menentu berikutan pencerobohan bot pukat tunda di kawasan berkenaan sejak kebelakangan ini.

Terbaharu, sebanyak empat nelayan terbabit mengalami kerugian apabila pukat mereka rosak dilanggar bot pukat tunda yang menceroboh pada kira-kira pukul 10.30 malam, Isnin lalu.

Salah seorang mangsa, Othman Harun, 33, berkata, kejadian seumpama itu bukan pertama kali berlaku.

Menurutnya yang menjadi nelayan sejak 15 tahun lalu, jumlah kerugian yang ditanggung oleh mereka dianggarkan RM12,000.

"Saya dan rakan-rakan tidak dapat turun ke laut kerana pukat kami telah dirosakkan

"Saya memang bergantung sepenuhnya kepada pencarian hasil laut untuk menampung dan menyara hidup sekeluarga namun selepas kejadian ini mungkin saya terpaksa mencatu perbelanjaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Berikutan kerosakan yang dialami, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam pada 4 Februari lalu.

Seorang lagi mangsa, Wahab Om, 53, memberitahu, berdasarkan pemerhatiannya, terdapat kira-kira 30 bot bukat tunda sering menceroboh di kawasan itu.

"Mereka memang bijak kerana ketika melakukan pencerobohan mereka akan menutup nombor pendaftaran bot dan memadamkan lampu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," ujarnya.

Rakannya, Abdul Talib Lambak, 55, pula berkata, dia pernah diugut oleh beberapa orang lelaki dipercayai pengusaha bot pukat tunda beberapa bulan lalu selepas pukatnya dilanggar.

"Mereka datang ke rumah saya pada pukul 4 pagi sambil mengugut akan melakukan sesuatu jika saya melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu, Setiausaha UMNO Bahagian Sungai Besar, Ahmad Samsuri Ahmad Mukri mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menceroboh itu.

Kata beliau, pihaknya akan memberikan bantuan yang sewajarnya kepada nelayan terlibat.

Beliau juga berharap permohonan nelayan di Pangkalan Nelayan Sungai Haji Dorani untuk mewujudkan 'Rakan Fish' (RF) dipertimbangkan oleh Jabatan Perikanan.

"Dengan adanya RF dapat memastikan keselamatan kira-kira 120 nelayan di pangkalan ini dilindungi sepenuhnya berikutan terdapat sukarelawan nelayan berdaftar yang boleh mengawal perairan," katanya.

Perkenal aplikasi perbaharui lesen

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

Ahmad Phesal Talib (tiga dari kiri) menyendukkan makanan kepada Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri) selepas melawat enam premis restoran terpilih untuk diletakkan papan tanda harga patut di Jalan Medan Tuanku, Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/ZAINI HUSIN

KUALA LUMPUR 6 Feb. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang memperkenalkan kaedah memperbaharui lesen premis perniagaan dan pemberitahuan tarikh tamat lesen kepada semua peniaga di ibu negara.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian usaha pihak berkuasa tempatan itu ke arah perkhidmatan yang lebih efisien.

Menurutnya, ini termasuklah memperkenalkan aplikasi menggunakan internet bagi memudahkan peniaga dan pihak berkuasa tempatan itu.

"Aplikasi ini akan memudahkan transaksi untuk peniaga memperbaharui lesen mereka dan boleh dicetak terus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas melawat ke enam premis restoran terpilih untuk diletakkan papan tanda harga patut di sekitar Jalan Medan Tuanku, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalannya, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata, kementeriannya juga bercadang memperkenalkan aplikasi telefon pintar bagi membolehkan orang ramai berkongsi maklumat mengenai harga barangan serta makanan di kedai dan restoran di Lembah Klang.

"Aplikasi yang sedang dibangunkan itu bagi membolehkan orang ramai berinteraksi sesama mereka dan berkongsi maklumat mengenai tempat-tempat yang sesuai untuk berbelanja," katanya.

Dalam pada itu, Mhd. Amin Nordin berkata, pihaknya memperuntukkan kira-kira 1,000 pelekat kedai harga patut kepada semua premis perniagaan di sekitar ibu kota yang menetapkan harga patut kepada pengguna.

"Pelekat tersebut terbahagi kepada beberapa jenis iaitu khas untuk restoran, gerai penjaja dan premis runcit.

"Pemantauan berterusan akan dilakukan dan sekiranya didapati kedai berkenaan meningkatkan harga mereka, pelekat itu akan ditarik semula oleh DBKL," katanya.

Kempen tingkat kesedaran jalan raya

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

Muhammad Heeza Hassan (kiri sekali) bersama Shahrul Azhar Mat Dali (kanan) menyarungkan jaket keselamatan dan topi keledar kepada seorang pembonceng kanak-kanak semasa Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya Mingguan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Gombak, Kuala Lumpur, semalam.

GOMBAK 6 Feb. - Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya yang dianjurkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKJRWP) dan pelbagai agensi kerajaan berjaya meningkatkan kesedaran pengguna mengenai keselamatan di jalan raya.

Pengarahnya, Muhammad Heeza Hassan berkata, kadar kemalangan dan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di sekitar ibu kota pada tahun lalu mencatatkan penurunan berbanding tahun sebelum itu.

Menurutnya, walaupun menurun, ia memberi cabaran besar kepada JKJRWP untuk terus memberi pendedahan dan kesedaran orang ramai mengenai keselamatan di jalan raya.

"JKJRWP juga mempunyai misi untuk dijayakan iaitu Sifar Kematian. Sekurang-kurangnya tidak berlaku kematian akibat kemalangan jalan raya walaupun kita tidak dapat mengelakkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pelancaran Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya Mingguan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Gombak, dekat sini hari ini.

Turut hadir Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan, Shahrul Azhar Mat Dali.

Kempen ini turut melibatkan pelbagai rakan kongsi jabatan iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJWKL), Skuad 1JPJ serta 1M4 Road Safety, Polis Trafik Kuala Lumpur dan Penguat kuasa Trafik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Muhammad Heeza berkata, kempen seumpama itu akan terus diadakan dari semasa ke semasa sehingga pengguna jalan raya terdidik untuk menjaga keselamatan diri dan keluarga.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Bermula dari dalam talian

Posted: 06 Feb 2014 09:33 PM PST

oleh mariatul qatiah zakaria
maria.zakaria@utusan.com.my

Erven Sarasendy Abd. Hadi bersama suaminya, Wan Zaki Wan Taib di butik JelitaSARA di Bangi Gateaway, Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Memulakan perniagaan secara maya sebelum disusuli dengan membuka premis kekal, merupakan langkah bijak dalam perniagaan hari ini terutama dalam kalangan usahawan wanita.

Rata-rata mahu melihat kejayaan pasaran melalui dalam talian (online) yang sudah pastinya membabitkan modal lebih rendah, sebelum berani meluaskan perniagaan dengan membuka kedai.

Strategi sama diambil oleh Erven Sarasendy Abd. Hadi, 31, ketika pertama kali mahu memperkenalkan jenama tudungnya, JelitaSARA.

Perniagaan yang diusahakan secara dalam talian ini telah bermula sejak tahun 2009 lagi. Sememangnya dari awal lagi kami ingin menjadikan internet sebagai medium pasaran produk keluaran kami.

Begitupun minat orang berbeza-beza, tidak semua suka membeli secara dalam talian sebaliknya lebih gemar melihat secara nyata terlebih dahulu produk ingin dibeli.

Setelah mendapat pelbagai reaksi serta maklum balas daripada para pelanggan, kami akhirnya membuat keputusan untuk membuka butik tudung demi kepuasan pelanggan kami," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaan terbaharunya yang terletak di pusat beli-belah Bangi Gateway, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Butik tersebut merupakan yang kedua selepas pembukaan butik pertama pada 2012 di Lagenda, Melaka.

Apabila ditanya mengapa Melaka menjadi pilihan sebagai lokasi pertama, ulas Erven atau lebih mesra disapa Aween berkata, ini kerana beliau sendiri beroperasi dari Melaka.

Beliau berkata, walaupun menyedari sebahagian besar pendapatan yang diperoleh daripada penjualan secara dalam talian, pembukaan kedai adalah untuk memenuhi permintaan daripada para pelanggan yang lebih selesa untuk melihat sendiri produk yang dihasilkan sebelum membelinya.

Baginya, tiada yang lebih menggembirakan melainkan dapat memenuhi permintaan pelanggan yang selama ini menjadi pemangkin kejayaan JelitaSARA.

Bercerita lebih lanjut mengenai perniagaan tersebut, Aween memberitahu, penglibatan dalam dunia perniagaan khususnya rekaan tudung berlaku secara tidak sengaja.

Seperti cerita usahawan-usahawan tudung yang lain, Aween memberitahu dia bermula apabila cuba menjual tudung yang dibawa balik oleh kakak iparnya melalui internter.

Tanpa disangka, selain mendapat sambutan ramai permintaan dari sehari ke sehari semakin banyak.

Ekoran daripada itu, Aween bersama suami akhirnya membuat keputusan menjadikan perniagaan sampingan tersebut sebagai perniagaan tetap hingga masing-masing berhenti kerja semata-mata untuk memberi tumpuan kepada perniagaan yang baharu sahaja bermula.

Perancangan demi perancangan dibuat untuk memastikan segala yang dirancang berjalan lancar.

Kini usahawan muda itu mempunyai kilang sendiri bagi menghasilkan tudung jenama tersebut.

Menggunakan tenaga kerja tempatan, Aween berkata, fabrik yang digunakan diimport dari luar negara dalam usaha memberi kepelbagaian corak serta cita rasa kepada para pelanggan.

Hingga kini walaupun sudah bergelar pengarah, Aween serta suami masih lagi memilih sendiri kain untuk dijahit dan tidak hanya mengharapkan pekerja bawahan untuk melakukan semuanya.

Saya serta suami akan pergi melihat dan memilih sendiri kain yang hendak dijahit, malah kalau tidak berkesempatan kami akan menghantar pekerja sebelum fabrik dibeli.

Pekerja tersebut akan menghantar gambar bagi mendapat persetujuan kami dan baharulah pembelian dilakukan.

Bukan tidak mempercayai para pekerja yang telah diamanahkan, tetapi kami lebih selesa untuk memilih sendiri kain-kain dalam usaha menjaga kepercayaan pelanggan terhadap jenama kami.

Apa yang pasti, segala produk di bawah label ini adalah berkualiti dan memuaskan hati pelanggan," ujarnya.

Terdapat pelbagai koleksi tudung termasuk selendang, tudung awning, tudung Syria dan sebagainya yang pastinya memikat hati wanita.

Didatangkan dalam pelbagai pilihan warna, corak, dan juga rekaan, koleksi yang ada sesuai untuk digayakan oleh semua peringkat umur wanita.

Harga yang ditawarkan juga cukup berbaloi dan boleh diperoleh antara RM39 hingga RM169.

Bagi memastikan para pelanggan sentiasa mendapat yang terbaik dari JelitaSARA, Aween menyatakan pihaknya akan mengeluarkan koleksi terbaharu setiap minggu.

Hiasan mangkuk Turki

Posted: 06 Feb 2014 09:33 PM PST

Elisa Tajuddin menunjukkan pelbagai warna dan saiz mangkuk Turki.

Daripada kraf kaca hingga kepada lampu-lampu perhiasan, permaidani dan 1,001 macam cenderamata yang memukau sesiapa sahaja yang melihat.

Rugi jika tidak membeli apa-apa kerana keunikan dan keindahan yang dapat dilihat pada barangan tersebut berbeza daripada negara-negara lain yang pernah dikunjungi.

Antara yang sering dibawa pulang ialah pinggan mangkuk hiasan dengan ukiran berwarna-warni yang cukup halus dan teliti buatannya.

Menariknya, setiap jenis kraf yang dihasilkan jelas memaparkan seni budaya negara tersebut.

Sememangnya Turki sejak zaman dahulu lagi terkenal dengan barangan perhiasan yang cantik dan seni bangunan yang melambangkan ketinggian tamadun manusia.

Jadi, tidak hairanlah negara ini tidak putus dikunjungi pelancong dari seluruh dunia.

Bagaimanapun, bagi yang tidak berpeluang melawat Turki tetapi minat menghias rumah dengan barangan perhiasan kaca dari negara tersebut, mungkin boleh menambah koleksi dengan mangkuk-mangkuk kaca yang terdapat di Saffron by TJ Fine Art, di Centrio Pantai Hillpark, Kuala Lumpur.

Sesuai dijadikan perhiasan sama ada di atas meja kopi, atas almari rendah, dalam almari atau untuk hiasan dinding, mangkuk kaca buatan tangan ini cukup cantik dengan warna-warna garang dan ukiran halus.

Pelbagai warna mangkuk boleh dipilih seperti jingga, merah, biru, hijau dan sebagainya. Setiap satu mempunyai ukiran yang berbeza kerana ia dibuat tangan dan bukan dikeluarkan oleh mesin.

Menurut pemilik Saffron, Elisa Tajuddin, mangkuk yang diimport dari Turki ini dibuat daripada tanah liat dan dilukis dengan motif-motif tertentu yang kesemuanya melambangkan negara tersebut.

Setiap satu mempunyai motif tertentu seperti tulip, iznik dan sebagainya. Warna-warna yang dipilih juga adalah daripada warna terang. Apa yang menarik, bahagian depan dan belakang mangkuk dilukis dengan motif berbeza, katanya.

Tambahnya, mangkuk-mangkuk kaca tersebut sememang cantik sebagai barangan perhiasan kerana nilai seninya yang unik dan tidak sama dengan yang lain.

Selain boleh diletakkan sebagai perhiasan, mangkuk ini juga boleh dibingkaikan dan digantung pada dinding.

Menurut Elisa, mangkuk ini juga boleh dijadikan sebagai cenderahati eksklusif untuk cenderhati perkahwinan atau hadiah hari jadi.

Bagi mereka yang ingin membeli untuk cenderahati perkahwinan, boleh mendapatkan mangkuk yang bersaiz kecil pada harga RM10 jika dibeli sebanyak 300 hingga 500 biji.

Pelanggan juga boleh menempah mengikut warna tema majlis perkahwinan mereka.

Di Malaysia, jelas Elisa, belum ada lagi kedai yang menjual mangkuk kaca Turki ini untuk jumlah yang banyak seperti yang boleh diperoleh di kedainya.

Mangkuk kaca tersebut boleh diperoleh dalam tiga saiz, iaitu lima, 10, 15 dan 20 sentimeter.

Mangkuk lima sentimeter dijual pada harga RM23, 10 sm RM28, 15 sm RM35 ke atas dan ada yang dijual hingga RM70 untuk mangkuk yang lebih besar. Mangkuk yang dilukis penuh keseluruhannya lebih mahal harganya, katanya yang turut merancang untuk membawa masuk barangan kraf dari negara-negara lain pada masa hadapan.

-MERAN ABU BAKAR

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Selami budaya masyarakat

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

Oleh FARIK SALLEH
utusan.johor@gmail.com

BADERI Dasuki (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada keluarga angkat sempena Operasi Khidmat Masyarakat 10 Penjuru Darul Takzim (Tenggara) 2014 di Dewan Terbuka Kampung Temenin Baru, Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini.

KOTA TINGGI 6 Feb. - Institusi pengajian tinggi (IPT) mengadakan program kemasyarakatan seperti aktiviti bergotong-royong bersama masyarakat setempat bagi memberi pendedahan kepada penuntutnya.

Namun, untuk membolehkan mereka dapat menyelami dengan lebih dekat budaya, adat resam dan kehidupan masyarakat, IPT sering menganjurkan program anak angkat yang mana para penuntut tinggal beberapa hari bersama keluarga angkat masing-masing.

Baru-baru ini, Persatuan Mahasiswa Anak Johor (Permaj) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di bawah Sekretariat Majlis Tertinggi mengadakan program anak angkat di Kampung Temenin Baru, dekat sini.

Program yang diberi nama Operasi Khidmat Masyarakat (Opkim) 10 Penjuru Darul Takzim (Tenggara) 2014 itu bagi memberi peluang kepada penuntut menimba pengalaman bersama penduduk serta mempraktikkan ilmu pengetahuan yang dipelajari di kampus.

Ketua Pengarah Opkim Tenggara, Mohd. Faizul Osman berkata, sepanjang lima hari program itu, pelbagai aktiviti diadakan untuk memupuk semangat perpaduan, kejiranan dan gotong-royong.

Menurutnya, sebanyak 51 siswazah pelbagai jurusan kebanyakannya anak jati Johor terlibat dengan program itu yang menekankan aspek beramal kepada masyarakat.

"Banyak perkara berjaya dikongsi sepanjang berada dalam komuniti yang boleh dijadikan bahan kajian terutama cara hidup, budaya dan ragam setempat, tahap pendidikan serta sosioekonomi bagi membantu pihak kerajaan mendapatkan maklumat tepat.

"Peserta turut berusaha membantu membangunkan akademik pelajar di kampung berkenaan dan bersama belia-belia untuk mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan," katanya dalam penutupan program itu.

Majlis penutupan program tersebut disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Datuk Baderi Dasuki yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Homestay Kampung Temenin Baru, Zainoh Musa dan Penolong Pendaftar UKM Bangi, Asyraf Radzwan.

Mohd. Faizul berkata, sambutan penduduk kampung terhadap program tersebut amat menggalakkan.

"Apa yang penting matlamat program untuk melahirkan kepimpinan siswazah yang mampu membawa wadah dan aspirasi negara untuk membangunkan masyarakat, khususnya golongan petani tercapai.

"Malah, ikatan kekeluargaan bersama ibu bapa angkat diharap akan terus berpanjangan selepas ini," kata anak sulung daripada empat beradik dari Kampung Lukut, Kota Tinggi di sini itu.

Opkim beri banyak manfaat - Peserta

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

SEBAHAGIAN daripada mahasiswa UKM yang menyertai Operasi Khidmat Masyarakat 10 Penjuru Darul Takzim (Tenggara) 2014 bergambar kenangan di Dewan Terbuka Kampung Temenin Baru, Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini.

KOTA TINGGI 6 Feb. - Peserta Operasi Khidmat Masyarakat (Opkim) 10 Penjuru Darul Takzim (Tenggara) 2014 menyifatkan program berkenaan amat bermanfaat dan memberi faedah kepada mereka khususnya bagi mengenali budaya, adat resam dan kehidupan penduduk kampung tersebut.

Seorang penuntut asing dari Miyazaki, Jepun, Shota Tohara, 25, yang fasih berbahasa Melayu mengakui teruja dengan layanan keluarga angkat dan berasa belum puas tinggal bersama mereka sepanjang mengikuti program berkenaan.

Shota berkata, pengalaman itu amat besar ertinya kerana dia memang menggemari suasana kampung di sini, malah budaya di sini jauh bezanya dan membuatkannya berasa seperti ingin terus meneroka keindahan di Malaysia.

"Rasanya program selama lima hari ini terlalu singkat dan padat sehingga masa untuk bersama keluarga angkat di rumah terbatas.

"Saya gemar masakan di sini walaupun agak pedas tetapi menyelerakan," kata anak sulung daripada tiga beradik yang baru tiga bulan mengikuti kursus Bahasa Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor.

Selain Shota, program itu turut disertai oleh 51 peserta lain, termasuk Maiizatul Akmar Noryusre, 20, yang turut teruja dan gembira kerana dapat menyumbangkan bakti kepada penduduk Kampung Temenin Baru di samping mengenali adat dan budaya masyarakat setempat.

"Kali pertama saya menyertai program ini dan berasa seronok mengenali penduduk di sini serta sedikit sebanyak dapat menghilangkan tekanan belajar," kata penuntut tahun satu Ijazah Pentadbiran Perniagaan yang berasal dari Klang, Selangor.

Bagi Yuslaini Azmi, 24, pula, program seperti itu perlu diwajibkan kepada semua penuntut di peringkat ijazah sarjana muda supaya mereka dapat didedahkan dengan realiti kehidupan sebenar.

"Pada masa yang sama program ini juga mampu mengasah kemahiran insaniah penuntut untuk berkomunikasi dengan masyarakat luar dengan lebih baik," kata pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Psikologi berasal dari Dungun, Terengganu.

Sementara itu seorang penduduk, Nur Hidayah Ahmad, 25, pula berharap lebih ramai penuntut universiti tempatan dan luar negara berkunjung dan mengadakan program lain di kampungnya selepas ini.

"Program seperti ini perlu diteruskan dan saya berharap hubungan ini tidak tamat di sini sahaja," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Sembunyi diri dalam peti sejuk

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

BUTTERWORTH 6 Feb. - Tiga lelaki warga Myanmar menyembunyikan diri di dalam peti penyimpanan ais di sebuah kilang memproses ais di kawasan Perindustrian Prai di sini hari ini bagi mengelak daripada ditahan pasukan penguat kuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang.

Mereka ditemui dalam keadaan kesejukan sedang bersembunyi di sebalik timbunan ais yang sudah siap dibungkus, kata Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Basri Othman.

Beliau berkata, dalam operasi bermula pukul 10 pagi itu, pihaknya menyerbu sebuah kilang memproses ais dan mendapati premis itu kosong walaupun risikan awal mendapati pemiliknya menggaji pekerja warga negara asing.

"Kami mengesyaki ada yang tidak kena kerana ketika sampai mesin memproses ais masih beroperasi tanpa sebarang pemantauan daripada operator namun kami berjaya menemui tiga lelaki terbabit hasil pemeriksaan lanjut," katanya kepada pemberita selepas operasi.

Selain tiga lelaki terbabit, pihaknya turut menahan 20 orang termasuk dua wanita warga Myammar dan Indonesia dalam pemeriksaan di kilang dobi dan kantin sekolah di kawasan Perindustrian Prai itu.

Basri berkata dalam serbuan di kilang dobi pihaknya menahan 18 lelaki dan seorang wanita warga Myammar kerana bekerja tanpa sebarang permit yang sah.

Beliau turut memberi amaran kepada majikan supaya tidak menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah kerana pihaknya tidak akan bertolak ansur serta mengenakan tindakan tegas sekiranya didapati melakukan kesalahan itu.

"Semua warga asing berusia 19 hingga 47 tahun itu dibawa ke Jabatan Imigresen Seberang Jaya untuk disiasat mengikut Seksyen 6 (1) © Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan Seskyen 15 (4) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh ditetapkan," katanya. — BERNAMA

Kebakaran lalang meningkat

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my

ALOR SETAR 6 Feb. - Hanya dalam tempoh 35 hari tahun ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah sudah menerima 510 panggilan daripada orang ramai mengenai kebakaran belukar dan lalang di seluruh negeri itu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Mohamad Hafiz Suhaimi berkata, jumlah itu jelas membimbangkan setelah keseluruhan panggilan melibatkan kes sama di sepanjang tahun lalu hanyalah berjumlah 806 sahaja.

Menurutnya, hasil siasatan pihak bomba mendapati, pertambahan kes-kes sedemikian adalah disebabkan kecuaian manusia.

"Lebih-lebih lagi ketika ini ada dalam kalangan petani yang melakukan pembakaran terbuka bagi membakar jerami padi. Kami harap, mereka dapat berhati-hati dan sentiasa mengawal api daripada marak ke tempat lain.

"Jika mereka melakukan pembakaran itu, jangan tinggalkan begitu saja. Bukan sekali dua terjadi api yang tidak langsung dikawal akhirnya menjadi terlampau besar sehingga mendatangkan kerugian pada diri sendiri mahu pun pihak lain," katanya.

Bersandarkan perundangan, pihak bomba tidak dapat melakukan apa-apa terhadap pihak yang melakukan kecuaian seperti itu memandangkan ia tertakluk kepada bidang kuasa agensi lain.

Bagaimanapun jelasnya, adalah menjadi tanggungjawab bersama semua pihak untuk salin menasihati agar setiap perbuatan terutamanya oleh para petani tidak membawa bencana kepada pihak lain.

Sebagai contoh tambahnya, pada 6 Januari lalu, seorang petani mengalami kerugian besar setelah sawahnya seluas 1.6 hektar terbakar apabila 'jirannya' membakar jerami tanpa membuat kawalan.

"Kejadian itu berlaku di Sedaka, Yan. Apa yang menyedihkan, padi itu sudah masak sepenuhnya dan hanya menanti masa untuk dituai.

"Malangnya akibat sikap tidak prihatin 'jiran' berkenaan, petani itu menanggung kerugian besar.

"Justeru saya menasihatkan agar semua pihak sentiasa berhati-hati dalam melakukan pekerjaan yang melibatkan pembakaran terbuka seperti itu," ujarnya.

Hati-hati undang penceramah - Raja Muda Perlis

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail menandatangani plak perasmian Masjid Al-Shakur sambil diperhatikan oleh Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (tiga dari kanan) dan Azlan Man (kiri) ketika menghadiri Majlis Program Celik Muamalah 2014 di Kampung Permatang Bongor, Arau, malam semalam.

ARAU 6 Feb. - Ahli jawatankuasa (AJK) masjid diingatkan supaya berhati-hati menerima penceramah agama undangan dalam usaha mengelakkan penyebaran ajaran sesat dan dakyah-dakyah palsu daripada berleluasa di negara ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penyebaran aktiviti seumpama itu bukan sahaja boleh mencetuskan ketidakselesaan kariah malah memecahbelahkan umat Islam secara tersirat mahupun terang-terangan.

"Rujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa dalam tempoh tertentu bagi memastikan penceramah-penceramah yang diundang mempunyai tauliah dan diiktiraf," titah baginda.

Baginda merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah demikian ketika merasmikan Masjid Al-Shakur di Kampung Permatang Bongor, Sanglang dekat sini malam tadi.

Yang turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Khalil Akashah dan turut hadir ialah Menteri Besar, Azlan Man.

Dalam pada itu, baginda bertitah, semua AJK masjid jangan sesekali mudah berputus asa atau kecewa sekiranya berlaku sebarang masalah atau perbezaan pandangan.

Sebaliknya, titah Tuanku Syed Faizuddin, hindarkan provokasi serta sentiasa bersifat tabah, sabar dan mahu berkompromi.

"Pelbagaikan usaha dan ikhtiar dalam membantu kehidupan bermasyarakat melalui institusi masjid, serta sedarilah bahawa menguruskan masjid adalah suatu tugas mulia warisan para nabi dan cukup besar ganjarannya," titah baginda.

Selain itu titah baginda, kalangan AJK mahupun warga masjid perlu mengelakkan sikap mengambil tindakan dan membuat keputusan secara individu yang boleh memudaratkan dan merosakkan imej institusi masjid itu sendiri.

"Buatlah keputusan secara kolektif dan bermusyawarah agar keputusan tersebut mendatangkan kebaikan kepada semua pihak," saran baginda.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Skuad Pari-Pari terbukti hebat

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

Oleh AINAA MARDHIAH MOHD. GHAZALI
utusanN9@utusan.com.my

SKUAD Pari-Pari sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan, khususnya daripada segi mental dan fizikal untuk melaksanakan tugas pada bila-bila masa.

SEREMBAN 6 Feb. - Apa yang anda tahu mengenai 'Skuad Pari-Pari'? Jika anda bayangkan seorang wanita yang lembut sebagaimana seekor ikan pari-pari berenang dalam lautan, maka anda mungkin tersilap.

Ini adalah gelaran yang diberikan kepada pasukan trafik wanita negeri ini yang kesemuanya tersenyum manis, tetapi tegas melaksanakan peraturan lalu lintas, apatah lagi sewaktu mereka menunggang motosikal Honda VFR800 yang cukup bergaya.

'Skuad Pari-Pari' ini ditubuhkan pada tahun 2012 yang dianggotai oleh seorang pegawai, seorang sarjan serta lima orang anggota trafik wanita.

Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Inspektor Faizrizarina Mohamad Fauzi berkata, skuad ini ditubuhkan antara lain bertujuan untuk menjadi pegawai pengiring dalam program konvoi bermotosikal melibatkan penunggang wanita.

"Ketika itu, terdapat 70 orang penunggang motosikal wanita dalam jelajah Srikandi 3 negeri (Negeri Sembilan-Melaka-Johor) sejauh 570 kilometer, di mana kami ditugaskan sebagai pengiring keselamatan.

"Kami kemudian diberi kepercayaan untuk tugas kawalan dan iringan pelbagai aktiviti seperti perbarisan Hari Merdeka peringkat negeri dan kebangsaan, Jelajah Basikal, Kembara 4X4 serta berpeluang membuat pertunjukan dalam Komuniti Polis di Tampin," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Ditanya mengenai pemilihan anggota, beliau menjelaskan, mereka yang mempunyai lesen B berpeluang menjalani kursus asas Menunggang Motosikal Berkuasa Tinggi selama sebulan.

"Dalam kursus tersebut anggota akan didedahkan dengan cara-cara menunggang motosikal, mengawal motosikal, kemahiran penggunaan brek dan gear, serta menunggang jarak dekat dan jauh.

"Kami juga diberi pengetahuan dalam teori asas menunggang motosikal, undang-undang serta ciri-ciri keselamatan," jelasnya.

Beliau berkata, anggota juga akan mengikuti Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) selama seminggu sebelum tugasan kawal dan iringan ini.

"Sebelum konvoi, biasanya kami akan melalui jalan tersebut terlebih dahulu, mengetahui cara untuk membuka laluan konvoi, memastikan kenderaan dapat dihalakan di tepi laluan, memperlahankan kenderaan serta menutup laluan," katanya.

Menurut Faizrizarina, walaupun tugas skuad ini hanya berkisar dalam aspek kawal dan iringan, namun pelbagai cabaran yang dihadapi semasa menjalankan tugas seperti perubahan cuaca di mana panas dan hujan, menempuhi banjir, jalan tidak rata, berliku, selekoh tajam serta jalan berpasir.

"Saya berharap pada masa akan datang, lebih ramai penglibatan wanita dalam polis trafik," katanya.

Keperkasaan trafik sasaran Skuad Pari-Pari

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

ZULHIJJAH Zulkifli (kanan) memberi taklimat kepada pasukan trafik wanita sebelum memulakan tugas agar berjalan lancar dan selamat.

SEREMBAN 6 Feb. - "Jangan pandang kami sebelah mata, walaupun kami wanita, keupayaan mengawal dan menunggang motosikal adalah sama seperti polis trafik lelaki."

Kenyataan itu adalah benar dan telah pun dibuktikan dalam banyak acara dan penyertaan pasukan polis trafik wanita dalam melaksanakan tugas kawalan dan iringan melibatkan penunggang motosikal wanita serta lainnya di negeri ini dan seluruh negara.

Dengan jolokan 'skuad pari-pari', Sarjan Zulhijjah Zulkifli berkata, mereka juga mampu mengendalikan motosikal Honda VFR800 dengan baik.

"Pada zahirnya, sememangnya kami dilihat sebagai seorang wanita namun kami mampu untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan polis trafik lelaki.

"Dalam mengendalikan motosikal besar ini, setiap anggota perlu bersedia dalam apa jua keadaan khususnya dari segi mental dan fizikal," katanya yang telah berkhidmat dalam pasukan polis selama 20 tahun.

Sementara itu Koperal Norzarila Dabok berkata, perlu ada minat yang mendalam untuk menunggang motosikal besar.

"Pada mulanya, kita akan merasa berat apabila mengendalikan motosikal ini, tetapi lama-kelamaan kenderaan ini menjadi mudah jika kita tahu menguruskannya selain mengetahui teknik mengawalnya," katanya.

Tambahnya, sepanjang pengalaman menunggang motosikal ini, ramai juga yang 'tidak kelip mata' apabila melihat 'skuad pari-pari' berada di atas jalan raya.

"Macam 'orang asing' pun ada. Kami tetap buktikan bahawa wanita juga mampu melakukan tugas kawalan dan iringan dengan baik," jelasnya.

Mengenai latihan pula Norzarila menambah, dia berhadapan situasi di mana pernah jatuh motosikal empat kali namun itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk menamatkan kursus ini.

"Sekarang seronok pula menunggang motosikal berkuasa tinggi ini," jelasnya.

Sementara itu, Koperal Norzi Mohd. Shariff berkata, banyak keseronokan dalam menjalankan tugas kawalan dan iringan ini kerana tugas ini memerlukan kecekapan dalam banyak aspek.

"Keutamaan peserta menjadi tanggungjawab kami dan pada masa yang sama, menjaga keselamatan pemandu lain juga perlu diberikan perhatian.

"Saya menganggap ini satu amanah dan akan melaksanakan tugas sebaik mungkin. Ini adalah cabaran baharu yang akan menaikkan lagi nama pasukan polis dan berharap lebih ramai wanita dapat menyertai pasukan polis khususnya trafik ini pada masa hadapan," katanya.

Kesejahteraan rakyat diutama

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

MOHAMAD Hasan (tengah) turut mengambil bahagian dalam perbincangan meja bulat selepas merasmikan sesi 'brainstorming' meja bulat pentadbiran kerajaan negeri di Klana Resort di Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

SEREMBAN 6 Feb. - Pentadbiran kewangan kerajaan negeri yang mantap membolehkan rizab yang ada diterjemahkan kembali untuk kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sehingga 31 Disember lalu, rizab kerajaan negeri adalah RM438 juta yang diperoleh daripada lebihan sejak lima tahun ini, walaupun menyaksikan pembentangan bajet berimbang setiap tahun.

"Hasil bukan cukai seperti premium jelas menampakkan peningkatan dalam rizab, di mana selepas akaun ditutup pertengahan Januari lalu dan bayaran balik hutang maka pada tahun 2013, kerajaan mendapat lebihan sebanyak RM86 juta.

"Walaupun kita membentangkan bajet berimbang, tidak bermakna pula kerajaan tidak berbelanja. Kita berbelanja untuk pembangunan dan hal berkepentingan rakyat untuk memastikan ekonomi tidak menguncup," katanya di sini hari ini.

Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sesi 'brainstorming' meja bulat pentadbiran kerajaan negeri di Klana Resort, di sini hari ini. Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Dr. Awaludin Said dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan.

Tambah Mohamad, lebihan ini disebabkan pembangunan yang berlaku terutama dalam aspek pembayaran premium bagi projek pembinaan kilang, perumahan dan sebagainya, di mana hasil ini tidak diletakkan dalam bajet tetapi dikumpulkan dalam pendapatan luar jangka.

"Sudah lima tahun kerajaan negeri berjaya mendapat lebihan dan lebihan ini dikumpulkan sehinggalah kita mempunyai rizab sebanyak RM438 juta," katanya.

Justeru kata beliau, bagi mengembalikan usaha itu, kerajaan mengguna pakai dengan bijak sebahagian rizab itu termasuk menggunakan RM20 juta daripada angka tersebut untuk diletakkan dalam Tabung Amanah Permasalahan Rakyat bagi menyejahterakan rakyat.

"Tiga pemegang amanah, di mana dua orang adalah tetap iaitu Setiausaha Kerajaan negeri dan Pegawai Kewangan negeri, manakala salah seorang daripada Pegawai Undang-Undang negeri atau pengarah agensi kerajaan akan menguruskannya," kata Mohamad.

Rezab berkenaan juga digunakan untuk Dasar Pencahayaan negeri serta melaksanakan Dasar Jaringan Keselamatan Sosial.

Pada masa yang sama juga kata Mohamad, hasil cukai tanah yang diperoleh menyaksikan pencapaian sehingga melebihi 90 peratus di kebanyakan daerah, malah ada satu daerah di negeri ini yang berjaya mengutip sehingga 99.8 peratus.

"Kita tidak boleh melihat ekonomi menguncup hanya kerana menghalang pembangunan. Ini mesti ada supaya ekonomi dapat dirancakkan dan saya optimis, pertumbuhan 5 peratus dalam ekonomi ini dapat dicapai, sekali gus menyaksikan kederasan gerakan dalam mencapai status negeri maju pada tahun 2020," tegas beliau.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Loji Batu 11 beroperasi semula, Bukit Tampoi masih ditutup

Posted: 07 Feb 2014 03:15 AM PST

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 beroperasi semula sejak pukul 12.15 tengah hari ini berikutan kandungan ammonia Sungai Langat di muka sauk air mentah loji tersebut menurun ke paras 0.90ppm.

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Priscilla Alfred berkata, beberapa kawasan di Hulu Langat yang mengalami gangguan bekalan air akibat penutupan loji tersebut akan pulih secara berperingkat.

Walau bagaimanapun, beberapa kawasan di Kuala Langat yang menerima bekalan air dari LRA Bukit Tampoi akan terus mengalami gangguan air dan tekanan rendah berikutan loji berkenaan masih ditutup," katanya dalam satu kenyataan di sini. - UTUSAN ONLINE

Penghuni pangsapuri kos sederhana, rendah berisiko demam denggi

Posted: 07 Feb 2014 12:42 AM PST

PETALING JAYA 7 Feb. - Penduduk yang tinggal di pangsapuri kos sederhana dan rendah lebih berisiko tinggi dijangkiti demam denggi berbanding penghuni kondominium mewah disebabkan masalah penyelenggaraan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.

Beliau berkata, masalah penyelenggaraan di kawasan pangsapuri kos sederhana dan rendah timbul kerana pihak pengurusan tidak mampu berfungsi dengan baik berikutan kekangan kewangan dan bergantung sepenuhnya kepada kutipan bulanan daripada penghuni.

"Kutipan di kawasan ini (pangsapuri kos sederhana dan rendah) tak berapa cukup, tak berapa menyeluruh sehingga mereka (pihak pengurusan) tak ada dana mencukupi untuk menyelenggara kawasan secara optimum termasuk memusnahkan kawasan pembiakan Aedes.

"....beza dengan kondominium mewah tak ada isu kerana kos penyelenggaraan yang dikutip mahal jadi pihak pengurusan ada dana yang cukup untuk menyelenggara bangunan dengan baik," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan bersama komuniti di Mentari Court di sini, hari ini.

Pangsapuri Mentari Court merupakan satu daripada kawasan 'tompokan panas' denggi di Selangor apabila 152 kes direkodkan di kawasan itu sejak 17 Jun 2013 hingga sekarang.

Dr. Subramaniam meminta setiap kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memainkan peranan masing-masing secara lebih aktif dengan membantu pengurusan pangsapuri kos sederhanan dan rendah memastikan kawasan kediaman itu bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes sekali gus mengurangkan kes demam denggi.

Katanya, menyedari denggi merupakan satu masalah besar yang telah lama dihadapi bukan sahaja oleh Malaysia, malah beberapa negara lain, pihak kementerian sentiasa mencari kaedah terbaik untuk mengurangkan kadar jangkitan dengan memberi tumpuan kepada menghapuskan nyamuk Aedes.

Terbaharu, beliau berkata kaedah semburan asap biologi akan digunakan untuk menghapuskan jentik-jentik dan nyamuk Aedes selain semburan asap menggunakan bahan kimia yang diamalkan ketika ini.

"Menerusi semburan asap biologi ini ia bukan sahaja tidak berbahaya kepada manusia, tapi juga sangat berkesan untuk membunuh nyamuk Aedes kerana sekali semburan tahan untuk tempoh sebulan.

"Apabila disembur ia akan mengeluarkan habuk yang mana bila dimakan oleh nyamuk ia akan jadi toksin dan lama-lama akan bunuh nyamuk itu," jelas Dr. Subramaniam.

Sementara itu, Dr. Subramaniam dalam satu kenyataan berkata 19 kes kematian demam denggi dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga semalam (6 Feb), meningkat 137 peratus atau 11 kematian berbanding hanya lapan kes untuk tempoh sama tahun lalu.

Katanya, bagi tempoh sama juga, 10,712 kes denggi dilaporkan di seluruh negara berbanding 2,836 kes bagi tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan 277 peratus atau 7,876 kes.

Mengenai kompaun, Menteri Kesihatan itu berkata bagi tempoh 1 hingga 18 Jan tahun ini, 859 kompaun dikeluarkan bernilai RM429,500 hasil pemeriksaan ke atas 164,167 premis.

Dr. Subramaniam berkata sepanjuang tahun lepas lebih 4 juta premis di seluruh negara diperiksa dan 15,359 kompaun bernilai RM7.7 juta dikeluarkan manakala 714 premis yang didapati mempunyai tempat pembiakan aedes telah dibawa ke mahkamah. - BERNAMA

Malaysia kenal pasti 4 trend mega tarik pelancong - PM

Posted: 07 Feb 2014 12:34 AM PST

MELAKA 7 Feb. - Malaysia mengenal pasti empat trend mega yang membawa ramai pelancong biasa dan elit berkunjung ke negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak.

Beliau berkata, trend itu ialah perwujudan elit global, rentak kehidupan yang lebih rancak, naik turun perdagangan dan kemunculan semakin banyak peneraju baharu pasaran.

Menurut beliau, perwujudan elit global merujuk kepada peningkatan jumlah pengguna berpendapatan atau bernilai tinggi di seluruh dunia.

"Oleh itu, kemampuan menawarkan produk mewah dan perkhidmatan bertahap tinggi kini menjadi lebih penting berbanding sebelumnya," kata beliau ketika merasmikan pelan induk Melaka Gateway di Pulau Melaka di sini hari ini.

Melaka Gateway, dengan anggaran nilai kasar pembangunan sebanyak RM40 bilion, mengandungi 15 projek istimewa, termasuk Malaysia Eye, International Designer Street, Sunset Beach, Melaka Cruise Shopping Gallery, Terminal Kapal Persiaran dan Feri Antarabangsa Melaka dan Melaka Gateway Marina.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan ketua pegawai eksekutif KAJ Development Sdn. Bhd., Datuk Michelle Ong.

Najib berkata, Melaka Gateway, yang dilengkapi jeti serba mewah untuk kegunaan kapal persiaran antarabangsa dan marina terbesar di Asia, diyakini akan menarik ramai pelancong.

Kata beliau, setelah melakar pencapaian cemerlang dalam pengendalian pelabuhan kargo dan kontena, kini tibalah masanya Malaysia memberi fokus terhadap pelabuhan kapal persiaran pula.

"Kita yakin, kejayaan jeti kapal persiaran antarabangsa Melaka yang merupakan sebahagian daripada projek Melaka Gateway, bukan sahaja akan menarik pengunjung kelas berada yang menggunakan kapal persiaran, tetapi juga merintis jalan ke arah pembukaan pelabuhan kapal persiaran lain di Pantai Timur Semenanjung serta di Sabah dan Sarawak," katanya.

Perdana Menteri berkata, rentak kehidupan yang lebih rancak pula merujuk kepada pengguna yang ingin menikmati percutian singkat dengan sebanyak mungkin sebagai cara untuk mengurangkan tekanan seperti mengunjungi tempat liburan, spa dan pusat kesihatan.

Trend mega ketiga pula, kata beliau, merujuk kepada perbelanjaan berpilih iaitu pengguna akan berbelanja besar untuk sesuatu perkara dan berjimat tentang perkara lain.

Sejajar dengan itu, tegas Perdana Menteri, Malaysia menawarkan pelbagai produk pelancongan dari kelas biasa, pertengahan dan tinggi.

Trend mega keempat, kata beliau, ialah memberi fokus untuk menembusi pendahulu baharu pasaran seperti China, India dan negara Timur Tengah.

Najib berkata sumbangan industri pelancongan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menunjukkan arah aliran menaik.

Bagi 2014, sektor ini dijangka menyumbang kira-kira 12.5 peratus kepada KDNK, meningkat berbanding hampir 12 peratus pada 2013.

"Secara tepat, hasil sebanyak 12.5 peratus daripada pelancongan adalah berjumlah lebih kurang RM125 bilion, dan ini berdasarkan KDNK negara kita pada 2013 yang dijangka mencapai lebih RM1 trilion," kata beliau. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Kaji terma, struktur semula kadar tol

Posted: 06 Feb 2014 11:07 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

3 juta terima rawatan di wad

Posted: 06 Feb 2014 11:07 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Tiada kompromi isu keselamatan KLIA2

Posted: 06 Feb 2014 11:07 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved