Rabu, 5 Februari 2014

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Alasan 'malas, hendak cepat'

Posted: 05 Feb 2014 10:48 AM PST

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusangroup.com.my

Beberapa aksi pejalan kaki yang sanggup menempuh bahaya semasa melintas jalan sempat dirakamkan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, berhampiran Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Pembinaan jejantas baharu dan laluan berbumbung yang menghubungkan beberapa bangunan di ibu kota membuktikan usaha kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak pernah terhenti bagi keselamatan warga kota.

Kemudahan itu membolehkan orang ramai terutama pejalan kaki bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain tanpa terdedah risiko bahaya kemalangan.

Pembinaan jejantas di Jalan Raja Laut yang menghubungkan bangunan di ibu kota dari stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Jalan Sultan Ismail ke stesen Monorel Medan Tuanku, misalnya dilihat benar-benar memudahkan orang ramai berurusan di bangunan berhampiran.

Pembinaan jejantas sepanjang 680 meter itu dilaksanakan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) dengan peruntukan sebanyak 14.2 juta.

Selain itu cadangan pembinaan jejantas antara pusat beli-belah Sogo dan Kompleks Pertama, Maju Junction, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Kompleks Pertama, bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan menara DBKL sendiri secara berperingkat tidak lain bertujuan memudahkan pergerakan orang ramai.

Tetapi adakah usaha itu memadai sekiranya sikap warga kota sendiri masih enggan memanfaatkan kemudahan itu.

Tindakan mereka bukan sahaja sahaja mengundang bahaya bahkan gambaran kepada sikap degil terhadap undang-undang serta tidak menghargai kemudahan disediakan.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa laluan tumpuan sekitar ibu negara terutama di Jalan Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Pudu dan Jalan Tun Razak mendapati masih ramai yang tidak menggunakan jejantas disediakan.

Jejantas di persimpangan Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur yang menghubungkan pusat membeli-belah Ampang Park dan bangunan berhampiran dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk tangga bergerak bagi kemudahan orang ramai. - UTUSAN/AZLIZA HAILANI

Lebih mengecewakan ada antaranya dilihat membimbing dan mendukung anak kecil untuk melintas jalan.

Rata-rata pejalan kaki yang ditemui berkata 'malas' dan 'hendak cepat' sebagai alasan mereka tidak menggunakan jejantas disediakan.

Selain itukeadaan jejantas yang kotor, tidak selamat dan dicemari pengemis turut dijadikan alasan.

Berdasarkan pemerhatian, kemudahan jejantas di sekitar ibu kota berada pada tahap memuaskan.

Misalnya, jejantas berbumbung yang menghubungkan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan Hotel Impiana, dilengkapi kemudahan mesra pengguna.

Selain sebuah jejantas pejalan kaki tertutup, ia dilengkapi penyaman udara, kamera litar tertutup (CCTV), tangga bergerak dan lif di hujung kedua-dua bangunan.

Namun ada beberapa perkara yang perlu beri perhatian, antaranya mempertingkatkan rondaan oleh pihak berkuasa bagi membendung masalah kerosakan dan aktiviti vandalisme, jenayah ragut dan sebagainya.

Selain itu usaha memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan menggunakan jejantas juga perlu diteruskan.

Tahap kesedaran masih kurang - DBKL

Posted: 05 Feb 2014 10:48 AM PST

Warga kota harus memanfaatkan kemudahan jejantas disediakan untuk keselamatan mereka.

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menasihatkan orang ramai memanfaatkan jejantas disediakan bagi tujuan keselamatan dan kemudahan mereka.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz berkata, kurang kesedaran sivik merupakan faktor keengganan mereka menggunakan kemudahan itu.

Menurutnya, sebahagian pejalan kaki gemar membiarkan diri mereka terdedah kepada risiko berbahaya kerana tidak menggunakan jejantas untuk melintas biarpun kemudahan itu disediakan.

"Tidak rugi memanfaatkan kemudahan ini kerana ia untuk keselamatan dan memudahkan pergerakan ke satu tempat ke tempat lain,"katanya.

Beliau berkata, sikap segelintir warga ibu kota memang sukar diubah walaupun beberapa operasi dijalankan.

"Operasi bagi tujuan menyedarkan orang ramai mengenai penggunaan jejantas dan lintas pejalan kaki inidijalankan DBKL dengan kerjasama pihak polis dan Jabatan Keselamatan Jalan raya (JKJR) .

"Bagaimanapun operasi ini tidak dijalankan setiap hari memandangkan tenaga anggota penguat kuasa digunakan untuk menjaga persimpangan bagi mengurangkan kesesakan di ibu kota pada waktu puncak.

"Antaranya, persimpangan Jalan Raja Laut dan Jalan Sultan Ismail,"katanya.

Warga kota serbu kaunter saman

Posted: 05 Feb 2014 10:48 AM PST

Warga kota tidak melepaskan peluang memanfaatkan tawaran pembayaran diskaun trafik sebanyak RM30 di kaunter DBKL, semalam.. - utusan/Wahidin Salim

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Warga kota yang mempunyai saman trafik tertunggak mula membanjiri kaunter Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini sempena tawaran kompaun trafik pada kadar rata sebanyak RM30.

Pemberian 'goodies' yang ditawarkan oleh DBKL kepada orang ramai itu sempena Hari Wilayah Persekutuan 2014 dan tawaran tersebut hanya sah bermula pada bulan ini hingga 8 Mac.

Sebelum ini, semua pesalah trafik yang dikenakan saman oleh DBKL perlu membayar kompaun antara RM50 hingga RM300 bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan dan pembayaran boleh dibuat di semua kaunter DBKL dengan membawa bersama-sama notis kompaun.

Tinjauan Utusan Malaysia di Menara DBKL, Jalan Raja Laut dekat sini hari ini mendapati, kaunter pembayaran kompaun trafik mula sesak dikunjungi orang ramai yang beratur menunggu nombor giliran masing-masing untuk membayar saman trafik selain pembayaran cukai pintu dan sebagainya.

Selain itu, DBKL juga turut menyediakan perkhidmatan kaunter pandu lalu bayaran pelbagai bagi memudahkan orang ramai dan mengelakkan kesesakan di kaunter.

Seorang pelajar, Ras Azeila Rezduan, 22, berkata, tawaran itu membuktikan keprihatinan DBKL kepada warga kota.

"Hari ini saya datang sebagai wakil kepada ayah dan ibu saya yang mempunyai kompaun trafik DBKL pada April dan November lalu. Saya pun baru mengetahui tawaran diskaun ini hari ini dan saya tidak melepaskan peluang terbaik sebegini," katanya.

Pemandu teksi, Mohd. Ridzuan Sumiri, 60, pula berkata, dia terkejut kerana mempunyai sejumlah 15 kompaun selepas menyemak semula rekod lampau samannya sebelum ini.

Menurutnya, ia merupakan kompaun motosikal dan kereta sejak 10 tahun lalu.

"Saya tidak mahu melepaskan peluang ini, walaupun menghadapi masalah mencari tempat letak kereta ketika ke sini,"katanya.

Pekerja swasta, Kamaruzaman Ashrof Hafiz, 27, pula menyifatkan perkhidmatan kaunter pandu lalu yang disediakan oleh DBKL untuk pelbagai pembayaran amat dialu-alukan.

Menurutnya, ia memberi kemudahan kepada warga kota sibuk.

"Kita tak perlu bersesak untuk membayar saman di kaunter dalam pejabat.

"Hari ini saya baru sahaja dikenakan kompaun bagi kesalahan tempat letak kereta.

"Tanpa berfikir panjang, saya terus datang ke sini untuk membayar saman itu selepas mendapat tahu daripada rakan berhubung diskaun tersebut," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Kumpul pengalaman sebanyak mungkin

Posted: 04 Feb 2014 10:27 PM PST

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar SHEFRY MONIZ

SENTIASA mencari pengalaman baharu.

PENGALAMAN kadang kala mengajar seseorang tentang erti sebenar kehidupan. Sebab itu disebut orang, semakin lama hidup semakin banyak pengalaman dan bijak membuat pertimbangan.

Percaya dengan ungkapan itu, Hanum Dzuliasreen Dzulkiply juga ingin mengumpul sebanyak mungkin pengalaman sebagai bekalan untuknya mengharungi kehidupan yang serba mencabar.

Menurut hos Selamat Pagi Malaysia (SPM) di TVI sejak setahun lalu ini, sebagai cara mengumpul pengalaman dia akan menerima apa sahaja tugasan yang diberikan tidak kira senang atau susah.

Baginya, semakin sukar sesuatu tugasan yang diserahkan semakin banyak pengalaman berharga kan diperolehnya.

Setiap tugasan yang diberi, memberi pengalaman berbeza. Ada yang manis tidak kurang juga yang pahit dan sedih. Semua itu bukan sahaja mematangkan saya, malah membantu dalam membuat keputusan sama berkaitan kerjaya mahupu kehidupan peribadi," katanya memulakan bicara.

Sejak ditugaskan sebagai pengacara SPM, Hanum telah melaksanakan lebih 70 segmen yang memerlukan dia melakukan tugasan di luar studio.

Mengimbau tugasan yang paling menyentuh perasaan katanya, pada tahun 2013, dia telah ditugaskan sebagai wakil media memberikan sumbangan kepada anak-anak yatim sempena Ramadan.

Sepanjang perjalanan ke utara itu, kesemua rombongan media bersembahyang berjemaah, berpuasa, berbuka puasa dan bersahur dalam keretapi.

Itu merupakan pengalaman yang paling berharga dan sukar dilupakan. Selain itu, kami juga berpeluang membantu dan menggembirakan mereka yang kurang bernasib baik," katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Tambah anak sulung daripada tiga beradik ini lagi, walaupun pernah bekerja sebagai pegawai pembangunan perniagaan serta terbabit dalam bidang pemasaran dan jualan selama lima tahun, kerjaya tersebut tidak pernah menggembirakannya.

Ini kerana katanya, bidang tersebut seperti mengikat dan tidak memberikan sepenuh kebebasan kepadanya untuk berkecimpung dalam bidang seni lain yang diminati.

Mahu mencuba semua bidang

Hanum mengakui sejak zaman persekolahannya di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Kulim, Kedah, dia amat aktif dengan aktiviti luaran dan menggemari sukan lasak.

Semasa di MRSM, saya aktif dengan sukan lasak seperti roller coaster, water rafting, berkayak dan go cart. Saya juga aktif dalam kadet polis dan memegang jawatan sebagai koperal dan biasa dengan aktiviti seperti menembak, masuk hutan keluar hutan, berkhemah dan sebagainya.

Selain itu, saya turut aktif dengan aktiviti kesenian dan menjadi wakil MRSM dalam teater peringkat zon utara dan mendapat juara, sebelum menjadi wakil maktab sekali lagi ke pertandingan teater peringkat seluruh MRSM seluruh negara dan terpilih sebagai tiga terbaik," katanya yang berdarah campuran Melayu, Cina dan Pakistan.

Anak kepada pasangan guru (ayah) dan pegawai tadbir di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kelantan (ibu), Hanum beruntung memiliki wajah kacukan kerana menjadi aset baginya untuk melangkah lebih jauh dan mencuba nasib dalam bidang peragaan.

Kini telah empat tahun dia menjadi model dan terlibat dalam banyak pertunjukan fesyen di pentas dan menjadi model iklan.

Sementara dalam pertandingan peragaan pula, dia terpilih sebagai juara Hero dan Ratu 2013 dan juara Nikah dan Sanding di Festival Pengantin Malaysia 2013, juara Nikah dan Sanding 2013, bakat terbaik dan tempat ketiga bagi pakaian nikah terbaik dan juara Pertandingan Catwalk Terbaik Hijabista yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Bukan itu sahaja, Hanum mencuba pula bidang pengacaraan dan sering dijemput sebagai pengacara pada acara-acara korporat, pertunjukan fesyen dan majlis perkahwinan.

Sebagai pengacara SPM, saya rasa masih banyak yang perlu saya lakukan bagi memperbaiki diri terutama dari segi pertuturan serta pengetahuan dan meningkatkan tahap keyakinan diri.

Saya sentiasa berfikir bagaimana hendak ke depan, mengatasi perasaan gemuruh, bercakap dengan orang, lebih berkeyakinan dan mahu mencabar diri.

Mula-mula dulu memang rasa seperti tidak yakin tetapi lama-kelamaan perasaan itu dapat dihakis. Mungkin ramai yang tak tahu bahawa bukan senang hendak bercakap dengan kamera, kata Hanum yang teringin untuk mempunyai rancangan bual bicara sendiri seperti Oprah.

Kolabrasi dua kembar

Posted: 04 Feb 2014 10:27 PM PST

REKAAN sebati dengan jiwa remaja yang mahukan santai.

Walaupun pasangan kembar, mereka memiliki personaliti yang sungguh bertentangan.

PU3 dikenali dengan nilai edgy dan sofistikated dalam rekaan mereka.

Wanita yang kuat, yakin dan selesa dalam gaya yang berbeza adalah inspirasi saya. Berani dan berperibadi tinggi, saya menganggap diri saya bertuah kerana berpeluang bertemu ramai wanita yang menakjubkan. Mereka selalu memberi inspirasi kepada rekaan saya.

Pertemuan seperti itu adalah ibarat kunci imaginasi dalam setiap rekaan saya," kata salah seorang pemilik PU3, Putri Azalea Ramli.

Menurut Putri Azalea, PU3 mempunyai pengikut sendiri untuk rekaan berkonsepkan edgy dan garisan sillhouet yang menarik.

Rekaan mereka sentiasa kelihatan dipakai selebriti tempatan di majlis karpet merah.

Terbaharu, gedung dalam talian Malaysia, FashionValet (FV) mengumumkan keluaran terbaharu mereka yang diberi nama Koleksi PU3

Melalui koleksi ini PU3 mengambil inisiatif mereka khas untuk pencinta fesyen. Semua ini bakal menemui pelanggan pada 6 Februari ini.

Koleksi khas ini adalah kerjasama kali ke empat antara gedung dalam talian itu dengan pereka tempatan yang mempertaruhkan koleksi sedia pakai secara eksklusif.

PU3 antara label pertama yang menyertai kami sewaktu perniagaan ini baru bermula pada tahun 2010. Ini satu kerjasama yang kami amat nanti-nantikan," ujar Vivy Sofinas Yusoff selaku Pengarah Urusan Fashion Valet.

Katanya, koleksi terbaharu ini menampilkan kekuatan rekaan dan gaya PU3. Gabungan palet warna yang gelap dan berani dengan nada lembut dan berdebu mengimbangi kekuatan dan kelembutan wanita.

Koleksi ini juga boleh dipakai sebagai pakaian seharian namun masih mempunyai kekuatan untuk ditampilkan pada majlis rasmi dan formal.

Koleksi PU3

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Empat projek pelupusan tahun ini

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 4 Feb. - Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) akan melaksanakan empat projek tapak pelupusan sanitari mesra alam dan berwajah baharu di negeri ini pada tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Sanusi Awi berkata, pembinaan tapak itu mengambil kira aspek keselamatan, pencemaran dan prasarana lengkap bagi meningkatkan tahap pengurusan sisa pepejal.

"Tapak pelupusan sanitari ini dilengkapi pembinaan sistem rangkaian dan kerja rawatan air larut resap, lapisan bawah tanah, kemudahan jambatan timbang serta kawalan air bawah tanah, gas metana dan pencemaran alam sekitar.

"Dengan adanya tapak pelupusan sanitari berteknologi tinggi yang baharu diharap dapat mengatasi masalah pencemaran dan kelewatan operasi kutipan sampah yang sering terganggu akibat keadaan tapak pelupusan yang tidak sempurna," katanya semasa merasmikan Bengkel Tindakan Pembersihan Negeri Johor di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah PPSPPA negeri, Asri Amat dan bekas Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Naim Nasir.

Program selama dua hari yang disertai oleh 108 peserta itu melibatkan kakitangan kerajaan dan agensi swasta bagi berkongsi idea serta menyediakan Pelan Pembersihan Negeri Johor Bagi Tahun 2014 untuk memastikan negeri ini semakin bersih.

Sementara itu Asri berkata, PPSPPA akan melaksanakan program mengurang, mengguna semula dan mengitar semula (3R) di peringkat sekolah, komuniti, institusi pengajian tinggi, jabatan kerajaan dan swasta sepanjang tahun ini.

"Program ini sangat penting bagi mengurangkan penjanaan sampah harian di negeri ini yang dianggarkan sebanyak 3,600 tan setiap hari dan terus bertambah sebanyak lima peratus setiap tahun," katanya.

Keadaan itu amat membimbangkan kerana kos pengurusan sisa pepejal sentiasa meningkat dan negeri ini telah kekurangan tanah untuk dijadikan tapak pelupusan, katanya.

Pasukan URB berjaya kurangkan jenayah

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff (kiri) melepaskan sebahagian daripada 51 buah motosikal Unit Rondaan Bermotosikal di IPK, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 4 Feb. - Kewujudan Unit Ronda Bermotosikal (URB) di kawasan perumahan di negeri ini berjaya mengurangkan kadar jenayah dengan sebanyak 236 tangkapan dibuat sejak pasukan itu mula beroperasi dua tahun lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, selain tangkapan, pasukan URB turut merampas sebanyak 608 barangan kes sejak 19 Disember 2012 hingga 31 Januari lalu.

"Pelaburan kerajaan bagi meningkatkan aspek keselamatan termasuk di negeri ini ternyata membuahkan hasil menerusi tangkapan dan rampasan yang dilakukan oleh pasukan URB.

"Justeru, penambahan motosikal bagi pasukan URB di negeri ini diharap dapat membantu polis memerangi dan mengurangkan kadar jenayah pada masa depan," katanya pada Majlis Penyerahan 51 Buah Motosikal URB di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua 51 buah motosikal jenis Kawasaki Ninja 250 bernilai lebih RM1.2 juta itu yang diterima kontinjen berkenaan pada 23 Januari lalu akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, IPD Seri Alam dan IPD Nusajaya.

Menurutnya, hingga kini sebanyak 270 buah motosikal bagi kegunaan pasukan URB telah diagihkan ke 13 taman perumahan di seluruh daerah di negeri ini bagi menjalankan tugas rondaan dan pencegahan jenayah.

"Kita ada membuat permohonan untuk menambah jumlah motosikal untuk kegunaan URB kerana ramai yang mahu pasukan tersebut ditempatkan di kawasan perumahan mereka.

"Bagaimanapun, bagi kawasan perumahan yang tiada URB, kita berharap pihak Skim Ronda Sukarela (SRS), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan lain-lain dapat memainkan peranan masing-masing dalam membantu polis memerangi jenayah," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Melaka Sentral selamat diguna

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 4 Feb. - Bangunan Melaka Sentral yang menempatkan terminal bas dan pusat perniagaan dijamin selamat digunakan walaupun berlaku mendapan di ruang dalam bangunan tersebut yang dikesan berlaku sejak dua tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) telah membuat analisis dan kajian berhubung masalah mendapan tersebut dan mendapati tidak berlaku kerosakan pada struktur bangunan tersebut.

Malah, kata beliau, Ikram tidak mengesan sebarang aktiviti mendapan yang serius dan bangunan itu selamat untuk digunakan.

"Saya minta orang ramai khususnya peniaga di dalam bangunan tersebut tidak perlu panik berhubung mendapan yang berlaku.

"Ikram telah membuat kajian terperinci dan mendapati mendapan yang berlaku tidak menjejaskan sebarang struktur bangunan ini, ia masih utuh walaupun ada berlaku mendapan," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan singkat di Melaka Sentral di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Abdul Ghaafar Atan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Datuk Ir. Baharam Mohd. dan Pengurus Besar Panorama Sdn. Bhd., Mohd. Saleh Jusman.

Idris berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM4 juta bagi mengatasi masalah mendapan di ruang dalam bangunan Melaka Sentral.

Menurutnya, kerja-kerja membaik pulih dijangka bermula tidak lama lagi selepas selesai berbincang dengan peniaga untuk berpindah ke lokasi lain sebelum kerja-kerja dimulakan.

Beliau berkata, kajian Ikram mendapati mendapan tersebut berlaku akibat masalah struktur tanah kerana bangunan itu dibina di kawasan sawah padi.

Dalam pada itu Idris meminta pihak pengurusan Melaka Sentral meningkatkan tahap kebersihan di seluruh kawasan tersebut.

"Setakat ini soal kebersihan nampak bagus cuma tindakan orang ramai membuat sampah merata-rata dan mereka yang menghisap rokok perlu dipantau," katanya.

Justeru beliau mahu peraturan di bangunan itu diperketatkan dengan mengenakan denda kepada mereka yang didapati membuang sampah dan menghisap rokok di sekitar bangunan itu.

Masjid Seremban Jaya mampu muatkan 1,500 jemaah

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

Mohamad Hasan (dua dari kiri) ketika melakukan lawatan ke tapak projek Masjid Seremban Jaya, Senawang, kelmarin.

SEREMBAN 4 Feb. - Masjid Seremban Jaya dekat sini yang kini 90 peratus siap dijangka boleh digunakan sepenuhnya hujung Mac ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, masjid yang dibina dengan kos RM4.2 juta itu dimulakan sejak Mei 2012 dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.

"Saya berpuas hati dengan perkembangan projek pembinaan masjid yang berkeluasan 1,850 meter persegi ini.

"Dengan konsep pembinaan yang moden, masjid ini dilengkapi tiga ruang solat, tempat wuduk, tandas serta mesra orang kurang upaya (OKU).

"Masjid ini juga menempatkan kedai wakaf bagi pihak pengurusan masjid menjalankan perniagaan koperasi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak projek masjid itu di Senawang dekat sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah JKR Negeri Sembilan, Abdul Karim Mohd. Tahir dan Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Selamat Paigo.

Menurut Mohamad, masjid itu mampu menampung 1,500 jemaah pada satu-satu masa.

"Ketika ini jemaah sekitar kawasan ini dibenarkan untuk mengerjakan solat Jumaat di surau berhampiran selain masjid di Taman Tuanku Jaafar.

"Apabila masjid ini siap kelak, penduduk sekitar kawasan ini boleh mendirikan solat Jumaat di masjid baharu ini," ujarnya.

Tambahnya lagi, masjid baharu ini akan berperanan lebih daripada sekadar tempat bersolat iaitu menjalankan aktiviti komuniti serta sambutan acara dalam kalendar Islam, sekali gus mengukuhkan perpaduan ummah.

MPAG mansuh beg plastik, bekas polisterin mulai tahun ini

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

Murad Husin (kiri) ketika melancarkan Kempen Sifar Beg Plastik dan Polisterin peringkat Majlis Perbandaran Alor Gajah di Melaka, semalam.

ALOR GAJAH 4 Feb. - Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) bakal menguatkuasakan pemansuhan beg plastik dan bekas polisterin di seluruh kawasan pentadbirannya secara berperingkat-peringkat mulai tahun ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Murad Husin berkata, usaha itu dimulakan di peringkat ibu pejabat MPAG sendiri dan akan diperluas secara berperingkat ke pejabat kerajaan, premis perniagaan dan sekolah dalam daerah itu.

Menurutnya, tindakan berkenaan akan menjadi titik permulaan kepada usaha merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan negeri itu sebagai sebuah negeri berteraskan teknologi hijau selain membantu menjaga kelestarian alam sekitar.

"Usaha ini tidak lagi boleh ditangguhkan kerana tindakan menggunakan beg plastik dan polisterin secara berleluasa akan mendatangkan impak negatif terhadap alam sekitar pada masa hadapan.

"Bahan polisterin dan plastik sukar dilupuskan dan memakan masa lebih 100 tahun untuk diuraikan, jadi saya amat berharap usaha ini dapat menjadi titik tolak kepada usaha melestarikan alam sekitar yang lebih mapan di masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Sifar Beg Plastik dan Polisterin peringkat MPAG, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Telic Paper Sdn. Bhd., Jack Chin Nam Yee.

Murad berkata, mulai hari ini, pengurusan kafetaria MPAG diminta tidak lagi menggunakan bekas polisterin untuk membungkus makanan sebaliknya menggunakan bekas makanan kertas kitar semula yang mesra alam sebagai ganti.

Menurutnya, bagi kempen sifar beg plastik pula, MPAG menetapkan Jumaat sebagai hari tanpa beg plastik untuk tempoh tempoh tiga bulan pertama bermula bulan ini.

"Setiap tiga bulan akan ditambah sehari menjadikan hari tanpa beg plastik menjadi dua kali seminggu serta seterusnya dan sehingga Februari tahun hadapan, kita sasarkan MPAG bebas beg plastik sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata, matlamat program itu adalah mendidik dan membudayakan amalan penjagaan alam sekitar di kalangan warga MPAG terlebih dahulu agar apabila inisiatif itu dibawa ke dalam masyarakat setempat ia menjadi lebih mudah dan berkesan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Hari Bertemu Pelanggan diteruskan

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

Azhar Ahmad (kanan) mendengar masalah yang dikemukakan oleh seorang pelanggan Hari Bertemu Pelanggan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Ipoh, semalam.

IPOH 4 Feb. - Program Hari Bertemu Pelanggan yang dicetuskan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sejak lebih empat tahun lalu akan tetap diteruskan walaupun bilangan kehadiran rakyat berkurangan pada sesetengah sesi.

Pegawai Khas kepada Menteri Besar, Datuk Azhar Ahmad berkata, kekurangan kehadiran rakyat pada sesi hari ini sebagai contohnya mungkin disebabkan oleh sesetengah mereka masih merayakan sambutan Tahun Baharu Cina.

Beliau memberitahu, akibatnya kehadiran minggu ini hanya sekitar 30 dan 35 orang berbanding minggu-minggu biasa seramai 100 hingga 150 orang.

"Sama ada ramai atau tidak, kita sebagai orang yang diberi amanah untuk menjaga hal-hal rakyat akan terus membuka kaunter setiap hari Selasa untuk bertemu rakyat di sini.

"Bagaimanapun, saya jangkakan keadaan ini hanya sementara, kehadiran rakyat minggu hadapan dan seterusnya akan kembali seperti biasa," katanya selepas sesi Hari Bertemu Pelanggan di Dewan Serbaguna SUK di sini hari ini.

Azhar memberitahu, antara masalah rakyat yang diajukan hari ini adalah hal-hal berkaitan tanah dan bantuan-bantuan seperti persekolahan, Majlis Agama Islam Perak dan Jabatan Kemajuan Masyarakat, di samping permohonan mendapatkan kemudahan dialisis dan taraf penduduk tetap (PR).

"Inilah antara masalah rakyat yang sentiasa kita hadapi setiap minggu. Kita selesaikan masalah ini secara bersemuka, yang mana boleh kita selesaikan segera, kita selesaikan. Bagaimanapun yang melibatkan hal-hal tanah, ada proses-proses tertentu yang perlu diikuti," katanya.

Tegas beliau, program berkenaan akan diteruskan sampai bila-bila, selagi kerajaan Barisan Nasional terus diberi mandat oleh rakyat.

Kesedaran orang ramai mengenai bahaya denggi masih rendah

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

PULAU PINANG 4 Feb. - Kesedaran orang ramai untuk turut serta dalam operasi mencegah wabak denggi dan membanteras nyamuk aedes di negeri ini masih rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri, Dr. Afif Bahardin berkata, penglibatan masyarakat dalam aktiviti gotong-royong yang dianjurkan bagi mencegah wabak berbahaya itu tidak memberansangkan.

Beliau berkata, biar pun beberapa siri gotong-royong diadakan namun hanya disertai kakitangan Jabatan Kesihatan negeri serta petugas pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Untuk itu saya menggesa orang ramai lebih banyak melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong yang diadakan selain mengambil masa sendiri kira-kira 10 minit seminggu untuk membersihkan kawasan persekitaran rumah masing-masing.

"Perlu diketahui nyamuk aedes mampu bergerak sehingga 200 meter jadi tiada makna jika rumah kita bersih tetapi rumah jiran masih kotor kerana denggi masih boleh merebak," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Tambah Afif, kadar kematian akibat denggi di negeri ini sepanjang Januari lalu meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu apabila dua kematian dicatatkan berbanding tiada kematian tahun lalu.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan negeri dan PBT sentiasa proaktif menjalankan pelbagai operasi termasuk penyemburan asap setiap minggu serta mengadakan gotong-royong di kawasan terpilih.

"Bagi menangani masalah ini beberapa poster serta iklan juga disebarkan melalui media, malah kita turut menggerakkan kempen melalui media sosial bagi memberi kesedaran kepada masyarakat," katanya.

20 lokasi di Kuala Kangsar dipasang CCTV

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

KUALA KANGSAR 4 Feb. - Sebanyak 20 lokasi dikenalpasti untuk dipasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi membanteras kegiatan jenayah di sekitar bandar diraja ini.

Ketua Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Muhamad berkata, peruntukan memasang CCTV tersebut adalah dari kerajaan dan kerja pemasangan akan dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK).

Menurut beliau, antara kawasan yang akan dipasang dengan kemudahan itu termasuklah pusat beli-belah, bank dan tempat meletak motosikal kerana berpotensi berlaku kegiatan jenayah ragut atau kecurian motosikal.

"Kawasan dipilih merupakan kawasan tumpuan dan berpotensi untuk jenayah berlaku.

"Pemasangan CCTV ini merupakan sebahagian daripada usaha kita untuk mencegah jenayah di daerah ini," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar di sini hari ini.

Majlis turut disaksikan Ketua Jabatan Pengurusan Polis Perak, Datuk Zulkifli Mohamad.

Abdul Ghafar yang akan bersara menyerahkan tugas berkenaan kepada Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Guan Beng Kang sebagai Pemangku Ketua Polis Daerah yang baharu.

Menjelaskan lebih lanjut katanya, statistik jenayah di daerah ini tahun lalu meningkat dua kes iaitu 298 kes berbanding 296 kes pada tahun sebelumnya manakala jenayah jalanan, menurun kepada 26 kes daripada 37 kes pada 2012.

"Walaupun terdapat penurunan indeks jenayah jalanan, tetapi kita perlu teruskan usaha-usaha membanteras jenayah lebih-lebih lagi dengan pindaan Undang-undang Pencegahan Jenayah yang baharu iaitu Akta Pencegahan Jenayah 1958 dan Akta Pertubuhan 1960 yang akan memberi impak aktiviti membanteras jenayah.

"Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh warga daerah ini supaya terus mempertingkatkan lagi usaha-usaha pencegahan terutama ke arah mengurangkan jenayah jalanan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


logo halal tidak diiktiraf, kilang bebola ikan di Juru diserbu

Posted: 05 Feb 2014 03:02 AM PST

BUKIT MERTAJAM 5 Feb. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Seberang Perai Tengah (SPT) hari ini menyerbu sebuah kilang memproses bebola ikan di Juru di sini kerana menggunakan logo halal tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pegawai Penguat Kuasanya, Md Nasir Mohamad berkata, hasil maklumat awam dan risikan sejak seminggu lepas, pihaknya menyerbu kilang yang terletak di kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Juru pada pukul 11.30 pagi.

"Hasil pemeriksaan, kita mendapati pihak kilang berkenaan masih menggunakan logo halal yang dikeluarkan pihak swasta dan pemiliknya memberi alasan tidak tahu logo berkenaan tidak boleh digunakan.

"Pemilik itu juga maklumkan tidak pernah tahu perlu memohon daripada Jakim untuk mendapatkan sijil dan logo halal yang sah serta diiktiraf," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya, pihaknya mengarahkan pemilik kilang itu menarik balik semua produk yang menggunakan logo halal daripada syarikat swasta berkenaan serta merta dan merampas sejumlah bungkusan bebola ikan terbabit.

"Kita turut memberi penerangan kepada pemilik kilang berkenaan bahawa hanya Jakim, agensi yang dilantik sebagai badan berwibawa bagi perakuan pengesahan status halal menurut peraturan Akta Perihal Dagangan (APD) 2011," katanya.

Md. Nasir turut menasihatkan pemilik kilang yang memproses makanan dan pengusaha produk makanan supaya memperbaharui logo lama kepada logo halal yang baharu.

Katanya, jika gagal berbuat demikian mereka boleh didenda tidak melebihi RM200,000. - BERNAMA

Tol tidak naik-TPM

Posted: 05 Feb 2014 02:45 AM PST

PUTRAJAYA 5 Feb. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan kadar tol di seluruh negara tidak akan dinaikkan tahun ini.

Beliau berkata, langkah tersebut diambil supaya rakyat tidak dibebani dengan kadar tol baharu. - UTUSAN ONLINE

Keluar parti: Speaker DUN Perak bidas penyebar surat palsu

Posted: 05 Feb 2014 02:42 AM PST

IPOH 5 Feb. - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Seri S.K. Devamany hari ini membidas tindakan pihak yang cuba mencetuskan situasi huru-hara dengan menghantar surat palsu ke pejabatnya kononnya daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai mencabar kemuliaan Dewan Undangan Negeri dan sistem demokrasi yang selama ini didukung rakyat.

"Tindakan itu mencabar kemuliaan Dewan Undangan Negeri yang sepatutnya tidak boleh dipermainkan. Badan Eksekutif, Kehakiman dan Dewan Undangan Negeri merupakan tiga elemen kerajaan yang penting, tindakan tidak bertanggungjawab itu jelas mencabar sistem demokrasi yang kita dukung," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, ADUN Hutan Melintang daripada PKR, S.Kesavan menafikan beliau keluar parti itu seperti yang didakwa melalui sepucuk surat yang dialamatkan kepada Speaker DUN Perak.

Menurut surat yang kononnya ditandatangani Kesavan, tindakan itu dilakukan selepas hilang kepercayaan dan tidak berpuas hati terhadap kepimpinan parti berkenaan. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Penarafan Kedai Harga Patut

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Nalla tawar diri lawan Anwar

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kompaun peniaga cecah RM84,800 sejak 1 Januari

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved