Khamis, 30 Januari 2014

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Sebar maklumat peniaga tamak

Posted: 30 Jan 2014 10:36 AM PST

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan memperkenalkan aplikasi telefon pintar bagi membolehkan orang ramai berkongsi maklumat mengenai harga barangan serta makanan di kedai dan restoran di Lembah Klang.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, aplikasi tersebut dapat membantu pengguna dalam memilih kedai atau restoran yang menawarkan harga berpatutan.

"Masyarakat perlu mencegah peniaga yang meletakkan harga barangan yang tidak berpatutan dengan cara menyebarkan maklumat yang mereka miliki kepada pengguna lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penutup Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional Wilayah Persekutuan yang dianjurkan UMNO Wilayah Persekutuan bersama Kementerian Kewangan di Dewan Tan Sri Mahfuz Khalid di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan; Pengarah Kastam Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Isa Endot; Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yusoff dan Pengarah Kanan Unit Peneraju Ekonomi Bumiputera, Norizan Sharif.

Sementara itu, Tengku Adnan memberi saranan supaya rakyat negara ini menggunakan pendekatan yang diamalkan di Taiwan dalam memerangi pihak yang menjual pada harga mahal.

"Di negara itu, rakyatnya menyebarkan kepada satu sama lain mengenai kedai mahupun restoran yang menjual makanan dengan harga tidak berpatutan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa dirinya sendiri pernah berdepan dengan situasi harga makanan yang terlalu mahal di negara ini.

"Terdapat sebuah restoran yang yang menjual segelas teh tarik dengan harga RM2.80," katanya.

Peniaga Melayu dakwa bekas ADUN Kajang tidak bertanggungjawab

Posted: 30 Jan 2014 10:36 AM PST

KAIN rentang ucapan Tahun Baharu Cina oleh Lee Chin Cheh yang dipasang di Kajang, namun beliau meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat baru-baru ini.

HULU LANGAT 30 Jan. - Golongan peniaga kecil Melayu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang mendakwa bekas wakil rakyat kawasan itu tidak bertanggungjawab kerana mengabaikan kebajikan mereka walaupun tidak sampai setahun dipilih oleh majoriti penduduk.

Menurut mereka, sikap tidak bertanggungjawab itu diperlihatkan lagi oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbabit, Lee Chin Cheh apabila mengumumkan peletakan jawatan baru-baru ini dengan alasan yang tidak masuk akal iaitu gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Sebaliknya kata mereka, peniaga Melayu di kawasan itu sedar tujuan bekas ADUN itu meletakkan jawatan adalah bagi memberi peluang kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menutup kemelut yang melanda kerajaan negeri Selangor ketika ini.

Pengerusi Persatuan Pertubuhan Kios Melayu Hulu Langat, Mohammad Hanfiah, 52, mendakwa, bekas wakil rakyat tersebut jelas sekali tidak bertanggungjawab walaupun telah dipilih kerana mengabaikan kebajikan peniaga Melayu di kawasan DUN tersebut.

"Tidak pernah beliau turun padang untuk melihat keadaan kami. Bertambah buruk lagi apabila beberapa gerai kecil yang diusahakan peniaga Melayu diberi notis amaran malah sudah ada yang dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

"Perkara itu sepatutnya tidak terjadi, para peniaga terlibat mempunyai lesen perniagaan yang sah dan sudah beroperasi melebihi lima tahun, malah terdapat beberapa kedai kereta terpakai yang diusahakan kaum Cina yang diragui status lesennya tidak pula dirobohkan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Mohammad, hampir 200 peniaga Melayu sekitar kawasan Kajang terpaksa meneruskan perniagaan dalam keadaan tidak selesa tanpa perhatian daripada wakil rakyat mereka.

"Setakat ini, sebanyak 31 gerai dirobohkan manakala 50 peniaga lain telah diberi notis amaran oleh MPKj dan selebihnya hanya menunggu nasib yang sama," katanya.

Sementara itu Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya bersedia menjalankan kempen habis-habisan dalam pilihan raya kecil di DUN tersebut bagi mengembalikan kesejahteraan penduduk dan peniaga.

"Pihak kami sudah lama menerima aduan kurang memuaskan berhubung khidmat yang diberikan oleh Chin Cheh.

"Dalam pilihan raya kecil akan datang, Ikhlas bersama peniaga-peniaga yang ditindas akan berkempen dan memberi sokongan penuh kepada Barisan Nasional untuk menawan semula kerusi DUN ini daripada pakatan pembangkang," katanya.

JPS cadang bina palung baharu

Posted: 30 Jan 2014 10:36 AM PST

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

TANAH mendap yang membimbangkan penduduk di hadapan sebuah rumah di Kampung Pindah, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Kerja-kerja membaik pulih kawasan Kampung Pindah, Kampung Baru yang dilanda tanah mendap dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2015.

Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Wan Mohd. Sulaiman Wan Ismail berkata, pihaknya dalam proses membuka tender bagi kerja-kerja tersebut.

"Setakat ini, kita sedang merancang reka bentuk baharu untuk saluran air atau palung serta laluan terowong yang kini dilihat menyusahkan penduduk di kawasan itu.

SEORANG penduduk menunjukkan sebuah rumah di Kampung Pindah, Kampung Baru, Kuala Lumpur yang retak ekoran tanah mendap sejak tiga tahun lalu. - UTUSAN/QAMARUL RIZAL

"Kita akan bina laluan baharu yang tidak melibatkan penempatan penduduk bagi menggantikan laluan sebelum ini yang rosak," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia pada 23 Januari lalu berhubung kejadian tanah mendap ekoran kerosakan saluran air di bawah tanah di Kampung Pindah yang semakin serius.

Masalah yang berlarutan sejak tiga tahun lalu itu menyebabkan beberapa buah rumah penduduk retak dan hampir runtuh sekali gus memaksa mereka mengosongkan kediaman terbabit.

Dalam pada itu, Wan Mohd. Sulaiman memberitahu, kerja membaik pulih kawasan itu dijangka bermula pada Julai tahun ini.

"Semasa proses membaik pulih kawasan itu, penduduk mungkin perlu dipindahkan kerana kami akan menimbus semula laluan saluran air yang lama dan ini mungkin mengundang risiko kepada keselamatan mereka," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, tanggungjawab membaik pulih kawasan tersebut dijalankan oleh JPS.

"Kita sudah minta JPS melaksanakan projek tersebut sejak lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di situ kira-kira tiga tahun lalu.

"Dalam perbincangan itu, kita sudah putuskan untuk memindahkan penduduk ke kawasan yang lebih selamat serta dipindahkan semula setelah projek siap sepenuhnya," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Ain jiwai kanak-kanak

Posted: 30 Jan 2014 06:07 AM PST

AIN Maisarah mendapat sokongan kuat daripada suaminya, Syaizul Amal Zulkaffly.

Di satu sudut lagi, kelihatan rak buku yang dipenuhi dengan hasil karya yang telah diterbitkan dan sentiasa mendapat permintaan serta sambutan menggalakkan dari peminatnya.

Nama Ain Maisarah semakin meniti di bibir kanak-kanak yang menggemari tulisan-tulisanya yang santai tetapi penuh dengan ilmiah dan bermanfaat.

Menyoroti kisahnya sebagai seorang penulis buku remaja dan kanak-kanak yang bermula sejak tahun 2005, Ain Maisarah mengaku tidak pernah terfikir untuk sampai ke tahap sekarang memandangkan zaman remajanya dia tidak pernah berminat jauh sekali bercita-cita menjadi penulis.

"Ketika remaja, saya tidak pernah menulis tetapi saya gemar menghabiskan masa lapang dengan membaca buku cerita dan novel Inggeris.

"Sampai satu peringkat disebabkan tidak boleh berenggang, ketika mengulangkai pelajaran saya sanggup selitkan novel di tengah-tengah buku rujukan bagi mengelak diketahui oleh ibu.

"Saya rasa idea dan kreativiti untuk menulis datang dari minat membaca yang dipupuk oleh ibu bapa saya sejak kecil lagi. Kemudian idea tersebut berkembang seiring dengan pertambahan ilmu dan peredaran masa," katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam pengajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (Tesl) dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Menariknya kata Ain Maisarah lagi, bakat dalam bidang penulisan dikesan oleh tunangnya (kini suaminya) pada tahun 2005 ketika masih bergelar mahasiswi lagi.

"Dia meminta saya menulis cerpen untuk dimasukkan dalam mobile book untuk sebuah syarikat telekomunikasi.

"Diam tak diam saya berjaya menghasilkan 36 cerpen dalam pelbagai genre seperti seram, komedi, remaja dan sebagainya.

"Setahun kemudian cerpen tersebut diterbitkan dalam bentuk buku dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pembaca.

"Melihat kepada perkembangan itu, saya terfikir untuk lebih serius mencuba nasib dalam bidang penulisan. Saya mula mencari penerbit dan laman sesawang yang mungkin berminat dengan karya saya," katanya.

Langkah Ain Maisarah semakin panjang apabila sebuah syarikat penerbitan tempatan berminat untuk menerbitkan dua novel pertamanya bertajuk Impiana dan Aku Mahu Popular.

Sehingga sekarang dia telah berjaya menghasilkan 46 novel dan tiga lagi bakal menyusul tidak lama lagi yang kesemuanya menumpu kepada penulisan untuk kanak-kanak dan remaja.

Anak kelahiran Johor Bahru, berkata, karyanya kebanyakan berkisar mengenai pengalamannya sendiri menjalani kehidupan sebagai remaja suatu ketika dahulu .

"Setiap penulis pasti tidak lari daripada memasukkan sedikit elemen pengalaman sendiri dalam karyanya. Untuk kekal relevan dengan pembaca remaja saya gemar berkunjung ke kedai buku untuk mencari buku dan komik yang baik sebagai input.

"Untuk menulis dan memastikan idea sentiasa berkembang dan tidak putus, sejak tujuh tahun lalu saya telah menggunakan konsep yang dikaji bersama-sama suami iatu konsep tiruvasi.

"Konsep ini adalah membaca, meniru dan inovasi idea tersebut sama ada bahan bacaan dari Eropah mahupun cerita popular yang sesuai untuk pembaca remaja Malaysia.

"Konsep tiruvasi adalah satu inovasi dalam penceritaan yang diambil melalui penceritaan terbaik dalam cerita dan drama," ujar isteri kepada Syaizul Amal Zulkaffly.

Ketika berkongsi rahsia kejayaan masih bertahan dalam bidang penulisan buku remaja dan kanak-kanak kata Ain, seorang penulis harus tahu rantaian dalam dunia penulisan supaya kita tahu untuk menjaga hubungan antara penerbit, kedai buku dan pembaca.

Baginya, untuk bertahan sehingga hari ini, apa yang penting sebagai seorang penulis, sentiasa berusaha menjaga hubungan rapat antara pembaca, penerbit dan penjual.

"Tanpa sokongan dan kerjasama daripada mereka mustahil untuk saya sampai ke tahap ini. Walaupun sudah dikenali ramai hubungan baik itu perlu berterusan dan sentiasa berhubung dengan pembaca.

"Dalam setiap penulisan juga beberapa nilai murni yang diterapkan adalah mengikut prosedur penerbit seperti menggunakan bahasa Melayu tinggi dan plot penceritaan yang mengikut syariat Islam," katanya.

Ain Maisarah berpendapat ketika ini cabaran terbesar bagi kanak-kanak dan remaja adalah dari segi bahasa.

Ini kerana golongan tersebut mudah terpengarauh dengan penggunaan bahasa bahasa rojak dan bahasa kasar yang diguna meluas di laman-laman sosial mahupun filem tempatan.

"Di sinilah pentingnya penulisan menggunakan bahasa Melayu yang tinggi. Kalau tidak ada buku bacaan yang betul untuk mereka, ditakuti kesan penggunaan bahasa Melayu semakin merosot.

"Begitu pun bagi tidak menimbulkan kebosanan tulisan saya memasukan elemen santai dan kelakar. Mereka akan berasa seronok membaca dan dalam masa yang sama membaiki serta mendidik penggunaan bahasa Melayu yang betul," ujarnya.

Ditanya cabaran sebagai penulis seiring denagn kemunculan banyak penulis kanak-kanak ketika ini, Ain Maisarah melihat ia sebagai persaingan yang positif kerana inilah masanya penerbit dan penulis begabung dalam usaha merancakkan dunia penulisan.

"Saya melihat hari ini status penulis sudah semakin tinggi dan dipandang oleh ramai orang. Sebagai penulis kita ada tanggungjawab moral yang perlu disampaikan kepada pembaca. Penulisan akan kekal selagi buku dibaca dan dicetak.

"Menjadi tanggungjawab kita untuk menulis bahan bacaan yang baik dan bermanfaat. Semoga apabila kita meninggal kita tinggalkan sesuatu yang baik," katanya. – Siti Aishah Yusoff

Hab beli-belah Muslimah

Posted: 30 Jan 2014 06:07 AM PST

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar FAIRUZ IZYANA AYUB

Che Jamilah Che Muhammad (tiga dari kanan) bersama sebahagian daripada pengusaha yang memeriahkan Sohhor Street.

KERANCAKAN industri fesyen Muslimah yang menjadikan kawasan komersial Seksyen 7 Shah Alam, Selangor, sebagai 'hab fesyen Muslimah Lembah Klang' memberi inspirasi kepada Che Jamilah Che Muhammad untuk mengembangkan perniagaannya di Bandar Baru Bangi.

Berbekalkan keberanian dan semangat bersama rakan-rakan niaga yang lain, wanita berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu memberanikan diri cuba meneroka pasaran baharu di bandar akademik itu.

"Sebelum ini ramai pelanggan saya dari Bangi datang ke Shah Alam semata-mata untuk membeli pakaian Muslimah terkini yang memenuhi keperluan syariat.

"Memang diakui terdapat banyak himpunan pakaian yang mendakwa busana uslimah di luar sana, namun tidak menepati sepenuhnya tuntutan syariah dan fesyennya tidak menepati cita rasa ramai," katanya yang mula menjalankan perniagaan butik di Shah Alam sejak empat tahun lalu.

Menurut Che Jamilah, keistimewaan lokasi baharu itu terletak pada kepelbagaian pilihan fesyen Muslimah terkini kerana memiliki lebih 15 butik di dalamnya.

Selain jenama Sohhor, butik itu juga menempatkan jenama Cinta Hawa Couture, Ummi Tinie, Mex's Collection, byBintu, Zuhaa, al-wani, Joee Shawls, Fazalia dan banyak lagi.

Kebanyakan himpunan katanya, ditempah khas mengikut kesesuaian serta fesyen semasa namun ditawarkan pada harga yang berpatutan.

Selain pakaian wanita, ia juga menawarkan jubah lelaki, koleksi kanak-kanak dan yang menyediakan perkhidmatan tempahan pakaian serta jahitan selendang.

Konsep santai

Membeli-belah di situ pastinya tidak membuatkan anda berasa penat kerana setiap butik yang ada di dalamnya begitu selesa dan berhawa dingin.

Untuk memastikan pakaian yang anda pilih benar-benar bersesuaian dengan, dua bilik persalinan disediakan. Bukan itu sahaja, pembeli tidak perlu risau kerana surau turut disediakan. Kemudahan wifi dan internet menambah keterujaan anda membeli belah di Sohhor Street.

"Di sini pengunjung bukan sahaja boleh membeli pakaian siap malah turut boleh menempah dengan tukang jahit khas kami. Bersempena musim Hari Raya Aidilfitri akan datang, kami juga akan menyediakan jualan seperti kuih raya, persiapan raya yang lebih meriah dan pelbagai untuk dipilih pelanggan.

"Insya-Allah, sekiranya dipermudahkan Allah, kami akan membuka satu lagi blok di sebelah dua blok ini untuk memberi pelanggan lebih banyak pilihan dan kemeriahan membeli belah," kata Che Jamilah.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Atasi segera masalah banjir

Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

ISMAIL Mohamed (tengah) bersama para penerima bantuan pada Program Pengagihan Wang Ihsan bagi Mangsa Banjir Negeri Johor Peringkat Daerah Muar Tahun 2013 di Dewan Orang Ramai, Gugusan Felda Maokil, Pagoh, Johor, semalam.

PAGOH 29 Jan. - Sistem perparitan yang bermasalah di kawasan Bukit Serampang sehingga mengakibatkan banjir terutama di Felda Moakil dekat sini Disember lalu akan diperbaiki.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed berkata, kerja menaik taraf tersebut akan dilakukan secepat mungkin menerusi kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pengurusan Felda.

"Kita mahu pastikan parit dan saluran air dari daerah ini yang masuk ke Sungai Muar mengalir lancar dan tidak tersekat atau disebabkan salurannya kecil serta cetek.

"Antara tindakan segera akan diambil adalah membersihkan laluan air daripada sampah-sarap serta tumbuhan yang menghalang aliran air hingga mengakibatkannya tersumbat dan melimpah," katanya selepas program Pengagihan Wang Ihsan Mangsa Peringkat Daerah Muar 2013 di Dewan Orang Ramai, Gugusan Felda Maokil semalam.

Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri memaklumkan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi bantuan sebanyak RM28,000 kepada 56 keluarga yang menjadi mangsa banjir dengan setiap keluarga menerima RM500.

Beliau berharap sumbangan berkenaan mampu meringankan beban keluarga terbabit untuk membeli barangan keperluan termasuk peralatan elektrik dan perabot yang musnah akibat banjir.

Sementara itu, seorang penerima, Mohd. Salleh Ibrahim, 57, berkata, banjir yang berlaku itu mengakibatkan banyak binatang ternakannya mati selain sebahagian perabot rumahnya rosak.

"Kedudukan rumah saya rendah dan hampir setiap tahun ditenggelami air. Namun, Alhamdulillah bantuan yang diterima ini sedikit-sebanyak meringankan beban keluarga saya untuk membeli barang keperluan harian," katanya.

Mohd. Azman Manap, 29, yang merupakan generasi kedua di Felda pula berkata, masalah banjir di kawasan itu perlu diatasi segera.

Menurut bapa kepada seorang anak ini, banjir setinggi paras lutut mengakibatkan tikar getah, perabot serta perkakas rumahnya rosak.

Pendapatan MPM naik RM36.7 juta, tertinggi pernah dicapai

Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST

MUAR 29 Jan. - Hasil pendapatan Majlis Perbandaran Muar (MPM) tahun lalu terutamanya kutipan cukai meningkat kepada RM36.7 juta berbanding RM32 juta pada tahun sebelumnya.

Yang Dipertua MPM, Ramlee A. Rahman berkata, perolehan pendapatan tersebut melepasi sasaran ditetapkan sebanyak RM35.7 juta, sekali gus merupakan pencapaian terbaik yang pernah direkodkan.

"Sebanyak 90 peratus hasil kutipan itu disumbangkan oleh kutipan cukai pintu. Pendapatan kita meningkat kerana kesedaran untuk membayar cukai, lesen dan permit semakin tinggi selain keberkesanan penguatkuasaan yang dijalankan.

"Turut menyumbang cukai hasil pembukaan kawasan-kawasan perumahan kebelakangan ini," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MPM, di sini hari ini.

Beliau berkata, Belanjawan MPM tahun lalu berjumlah RM35 juta dan tahun ini dana sebanyak RM27 juta diperoleh, antaranya untuk membina dan membaiki infrastruktur selain kerja-kerja mencantikkan kawasan, landskap serta pencahayaan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM10 juta disumbangkan kerajaan negeri, manakala selebihnya oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan dana MPM sendiri.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Pelantikan, pemecatan tidak sah

Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

Mohamad Hasan

SEREMBAN 29 Jan. - Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin terhadap pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) yang melantik mahupun melucutkan ahli jawatankuasa masjid di daerah- daerah sebelum penghujung Mac ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya telah menerima beberapa aduan berlakunya pemecatan dan pelantikan baharu imam, bilal dan siak yang dilakukan oleh pegawai agama daerah.

''Kita amat memandang serius terhadap perkara ini kerana saya telah keluarkan arahan bahawa semua ahli jawatankuasa masjid sedia ada sudah dilanjutkan perkhidmatannya sehingga hujung Mac.

''Tetapi malang sekali ada pegawai agama daerah yang bertindak mengeluarkan surat melucutkan jawatan imam, bilal dan siak di beberapa daerah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad menegaskan, sebarang pelantikan mahupun pemecatan yang dilakukan oleh pegawai agama terbabit adalah tidak sah.

''Jika ada kekeliruan tentang definisi jawatankuasa masjid kerana ada yang mengatakan mereka hanya terdiri daripada nazir, setiausaha dan bendahari, ia tidak tepat.

''Saya ingin mengingatkan bahawa imam, bilal dan siak turut tergolong dalam jawatankuasa masjid, maka semua pelantikan baharu yang dilakukan oleh pegawai agama Islam daerah adalah tidak sah," ujarnya.

Tambahnya, perkara tersebut wajar diperbetulkan atau pihak berkuasa kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang bertanggungjawab memecat mahupun melakukan pelantikan baharu sebelum tempoh terbabit.

''Semua pelantikan baharu yang dilakukan sebelum hujung Mac adalah bertentangan dengan polisi kerajaan negeri.

''Mereka yang melakukan perkara ini tidak menghiraukan polisi sedia ada dan boleh dikenakan tindakan kerana mencabuli peraturan kerajaan negeri," katanya.

Melaka sasar bina 10,000 rumah mampu milik 2015

Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST

Idris Haron (dua dari kanan) menerima replika cek bayaran yuran komitmen daripada Pengarah Urusan Mega Three Sdn. Bhd., Tan Suan Ching (dua dari kiri) sambil disaksikan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka, Saleh Mohd. Dom (kanan) di Ayer Keroh, Melaka, semalam.

MELAKA 29 Jan. - Kerajaan negeri menyasarkan untuk membina 10,000 rumah mampu milik dalam tempoh dua tahun bagi menggalakkan rakyat negeri ini memiliki kediaman sendiri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, peningkatan jumlah penduduk negeri ini juga antara faktor usaha berkenaan dilakukan.

Menurutnya, pada masa ini, kerajaan negeri kurang memberi tumpuan kepada projek perumahan elit tetapi lebih memfokuskan kepada pembangunan perumahan mampu milik.

"Projek perumahan mampu milik ini adalah salah satu usaha kerajaan negeri menjaga kebajikan rakyat terutamanya yang berpendapat rendah supaya semuanya mampu memiliki rumah.

"Projek ini akan dilaksanakan secara berterusan dan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan dan permintaan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan upacara menandatangani perjanjian antara Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Mega Three Sdn. Bhd. (Mega Three) di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Dalam perjanjian itu, Mega Three bersetuju membina 388 unit rumah mampu milik di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah.

Projek pembinaan di tanah berkeluasan 12.14 hektar itu dijangka siap sepenuhnya pada 2016.

Idris menyeru lebih banyak pemaju bekerjasama dengan kerajaan negeri melalui LPM bagi membangunkan projek yang dapat memberikan manfaat besar kepada rakyat keseluruhannya.

Op Selamat turut libatkan aktiviti cegah jenayah

Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST

Ismail Lasim melepaskan Skuad Peronda Polis pada majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya sempena Tahun Baharu Cina di Tol Setul, Lebuhraya Kajang-Seremban, semalam

SEREMBAN 29 Jan. - Pengawasan kenderaan pada musim perayaan melalui Op Selamat 4/2014 yang dilaksanakan tidak hanya tertumpu di jalan raya, malah melibatkan keseluruhan aspek berkaitan keselamatan dan cegah jenayah.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abd. Manan Mohd. Hassan berkata, tumpuan Op Selamat adalah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, mendidik pengguna serta memastikan mereka selamat ke destinasi masing-masing.

"Selain itu, aspek cegah jenayah dengan memastikan keselamatan kejiranan terjaga apabila mereka pulang ke kampung," katanya di Tol Setul, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), dekat sini hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya sempena Tahun Baharu China di Lekas yang dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Datuk Ismail Lasim.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Abu Ubaidah Redza dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Saiful Azzri Hamzah.

Kata Abd. Manan, buat masa ini statistik kemalangan dalam Op Selamat sejak dilancarkan pada 24 Januari sehingga hari ini menunjukkan sebanyak 289 kemalangan dengan lima kematian.

"Kita berharap angka ini dapat dikawal melalui Op Selamat dan esok, adalah kemuncak apabila ramai akan balik kampung. Nasihat saya, berhati-hati memandu dan sentiasa utamakan keselamatan," jelasnya.

Sementara itu, Ismail memberitahu, lokasi Lekas dipilih kerana terdapat peningkatan kenderaan yang memerlukan kempen kesedaran ini dilaksanakan.

"Pada hari ini pelbagai agensi terlibat termasuklah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak hotel. Ini menunjukkan NGO mahu bersama-sama dalam kempen keselamatan jalan raya ini," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Kaunter aduan khas dibuka

Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

KU Rahman Ku Ismail (kanan) menunjukkan ayam segar selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Kedah di Pasar Besar Awam di Kulim, Kedah, baru-baru ini. - BERNAMA

KULIM 29 Jan. - Orang ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan peniaga menaikkan harga barangan sesuka hati, terutamanya menjelang perayaan Tahun Baharu Cina boleh membuat aduan di kaunter khas yang disediakan di pasar- pasar awam utama negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi Kedah, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, kaunter tersebut diwujudkan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) sebagai langkah membolehkan orang ramai membuat aduan terus kepada pegawai yang bertugas.

Katanya, langkah tersebut juga memudahkan pihak berkuasa memantau kenaikan harga barangan secara melampau hingga membebankan pengguna.

"Dengan adanya kaunter ini, aduan disalurkan terus kepada pegawai PDNKK dan mereka boleh mengambil tindakan serta-merta," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina peringkat negeri di Pasar Besar Awam Kulim, di sini baru-baru ini.

Yang hadir bersama ialah Pengarah PPDNKK Kedah, Mohd. Sakri Saleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Chua Thiong Ghee dan Pengerusi Persatuan Pengguna Daerah Kulim, Datuk Mohd. Hadzir Ismail.

Ku Abdul Rahman berkata, secara umumnya, harga bahan makanan di pasar-pasar utama negeri ini masih terkawal meskipun berlakunya sedikit peningkatan terhadap ikan dan hasil laut.

"Sayur-sayuran tempatan juga berlaku sedikit kenaikan. Contohnya kobis Cameron Highlands. Namun begitu, para pengguna mempunyai pilihan dan saya melihat ramai daripada pengguna memilih kobis import dari Thailand yang harganya rendah sekitar 50 sen berbanding kobis tempatan," katanya.

Sementara itu, Mohd. Sakri berkata, pihaknya telah membekukan cuti rehat semua 150 kakitangan pejabat itu di negeri ini sepanjang tempoh berlangsungnya kempen kawalan harga mulai 26 Januari lalu hingga 9 Februari ini.

Rakyat perlu hargai keamanan di Malaysia

Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST

SUNGAI SIPUT 29 Jan. - Rakyat diminta supaya bersyukur dan menghargai keamanan yang dinikmati hari ini sehingga membolehkan semua kaum meraikan dan menyambut hari kebesaran masing-masing dalam suasana yang meriah dan harmoni.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, keadaan di Malaysia tidak sama di sesetengah negara yang bergolak sehingga ada yang menyebabkan rakyatnya terpaksa melarikan diri.

Menurutnya, pergolakan di negara luar bukan lakonan tetapi kenyataan sebenar kehidupan yang terpaksa dilalui oleh rakyatnya kerana ketidakstabilan politik dan ketidakmampuan kerajaan mentadbir dengan baik.

"Walaupun Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, suasananya aman sehingga rakyat dapat meraikan dan bebas merayakan hari kebesaran masing-masing tanpa diganggu gugat oleh kaum lain.

"Untuk itu rakyat haruslah menghargai keamanan, ekonomi dan politik yang stabil yang kita nikmati hari ini," katanya ketika penyampaian angpau sempena Tahun Baharu Cina di Wisma UMNO Bahagian Sungai Siput di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 200 orang kaum Cina yang terdiri daripada golongan kurang upaya, warga emas, ibu tunggal dan miskin di kawasan Parlimen Sungai Siput menerima angpau sempena Tahun Baharu Cina.

Mohd. Zolkafly menegaskan, kerajaan tidak pernah melupakan rakyat dengan memberikan pelbagai bantuan dan berharap rakyat menilai sendiri apa sumbangan kerajaan terhadap mereka.

Katanya, terlalu banyak memberikan bantuan kepada rakyat termasuklah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), bantuan persekolahan, bantuan orang kurang upaya dan orang miskin untuk meringankan beban hidup mereka.

"Kerajaan juga memberikan bantuan menjelang sambutan hari kebesaran setiap kaum, contohnya pemberian angpau sempena ketibaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi," katanya.

Tapak binaan diarah tutup

Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST

Oleh FAJAR NUR SURIA AZMAN
utusanutara@utusan.com.my

PULAU PINANG 29 Jan. - Jabatan Kesihatan negeri mengarahkan supaya sebuah tapak pembinaan di Seberang Perai Tengah ditutup ekoran gagal mematuhi arahan dan membiarkan kawasan itu menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Lailanor Ibrahim berkata, arahan penutupan itu dibuat mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1957.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan menerusi Ops Gempur Aedes semalam, kita dapati kawasan tapak pembinaan berkenaan mempunyai beberapa tempat pembiakan nyamuk aedes yang menjadi punca demam denggi.

"Untuk itu kita mengarahkan tapak pembinaan itu ditutup sehingga pihak pengurusannya selesai menjalankan kerja-kerja pembersihan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu ditanya mengenai statistik denggi di negeri ini Lailanor berkata, kes demam denggi meningkat sebanyak 208 kes bagi tempoh 25 hari pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, daerah Timur Laut dan Seberang Perai Tengah merupakan daerah yang mencatatkan peningkatan ketara kes demam denggi di negeri ini.

"Dua kematian disebabkan denggi dicatatkan di daerah Timur Laut dan satu kematian di daerah Seberang Perai Tengah.

"Antara punca peningkatan kes demam denggi ini adalah terdapat banyak tempat pembiakan nyamuk aedes sama ada di dalam kawasan rumah atau di kawasan-kawasan perumahan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat sama-sama bertanggungjawab dalam memastikan kawasan persekitaran rumah bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes.

"Bagi mereka yang mempunyai tanda-tanda demam denggi seperti demam panas dengan tiba-tiba yang disertai dengan sakit kepala dan badan, mereka perlu segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan.

Sebarang aduan mengenai denggi atau kawasan pembiakan nyamuk aedes boleh terus disalurkan kepada Pejabat Kesihatan negeri melalui talian 04-2828500 atau e-mel kepada kesihatan@ppg.moh.gov.my, katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Aplikasi telefon pintar sebar maklumat kedai harga mahal

Posted: 30 Jan 2014 01:49 AM PST

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Kerajaan akan mencipta sebuah aplikasi untuk telefon pintar bagi membolehkan rakyat negara ini berkomunikasi antara satu sama lain berhubung harga barangan serta makanan di tempat tertentu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, aplikasi tersebut mampu membantu pengguna dalam memilih untuk membeli di kedai atau restoran tertentu.

Masyarakat perlu melawan pihak yang tidak bertanggungjawab dalam meletakkan harga tidak berpatutan terhadap barangan mereka dengan cara menyebarkan maklumat yang mereka ada.

Rakyat kini semakin bijak dan tidak akan diperbodohkan lagi oleh pihak-pihak tertentu dalam usaha mereka menyemarakkan semangat benci kepada kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberi dalam satu sidang akhbar selepas majlis penutup Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (Pena) Wilayah Persekutuan yang dianjurkan UMNO Wilayah Persekutuan bersama Kementerian Kewangan di Dewan Tan Sri Mahfuz Khalid di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

120 murid keracunan makanan

Posted: 29 Jan 2014 11:07 PM PST

BUKIT MERTAJAM 30 Jan. - Seramai 120 murid tahun tiga, empat dan lima Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Liat di sini, mengalami cirit-birit dan muntah kerana dipercayai memakan lauk ayam masak kicap semasa waktu rehat di kantin sekolah itu semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 69 murid dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) di sini semalam kerana mengalami cirit-birit dan muntah, manakala bakinya menerima rawatan di klinik berdekatan hari ini setelah mengalami simptom yang sama.

Seramai sembilan murid terpaksa terpaksa ditahan di wad HBM pada semalam untuk rawatan lanjut tetapi dibenarkan keluar pada lewat malam tadi sementara yang lain sebagai pesakit luar.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said yang ditemui ketika melawat sekolah itu pagi ini berkata, kejadian disedari guru selepas beberapa murid tahun tiga memaklumkan mengalami muntah dan cirit-birit. - UTUSAN ONLINE

Tabung Haji bayar bonus 8 peratus

Posted: 29 Jan 2014 10:55 PM PST

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH dan FADZIL ZAINOL

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan pembayaran bonus sebanyak lapan peratus kepada 8.3 juta pendepositnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013.

Pembayaran bonus itu dengan kadar enam peratus sebagai bonus tahunan dan tambahan bonus haji sebanyak dua peratus.

TH sekali lagi mencatat sejarah dari segi prestasi kewangan dengan merekodkan pendapatan melebihi RM3 bilion buat julung kali dan keuntungan selepas zakat pula melebihi RM2 bilion kali kedua berturut-turut. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Kempen turun harga 70 peratus

Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Muslihat Anwar elak dihukum?

Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Amaran pencetus ketegangan kaum

Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved