Isnin, 27 Januari 2014

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Fabio, Jones sertai Cardiff City

Posted: 27 Jan 2014 11:00 PM PST

LONDON 28 Jan. - Cardiff City berjaya membawa masuk pertahanan kiri Brazil dari Manchester United, Fabio dan penyerang Stoke City, Kenwyne Jones, kata pengurus pasukan, Ole Gunnar Solskjaer, semalam.

Kelab yang dimiliki jutawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan itu turut berharap untuk membawa masuk pemain sayap United, Wilfried Zaha secara pinjaman sebelum pasaran perpindahan ditutup, Jumaat ini.

"Fabio dan Kenwyne akan menyertai sesi latihan hari ini (semalam). Saya telah bertemu dengan mereka," kata Solskjaer dalam sidang akhbar di Manchester, semalam. - REUTERS

Pirlo Pemain Terbaik Serie A 2012/2013

Posted: 27 Jan 2014 10:56 PM PST

ROME 28 Jan. - Bintang tengah veteran Itali, Andrea Pirlo diundi sebagai Pemain Terbaik Serie A musim 2012/2013 oleh rakan-rakan sepasukannya, semalam.

Perancang utama Juventus berusia 34 tahun itu merupakan nadi Itali ketika menjulang trofi Piala Dunia 2006 dan dijangka beraksi pada Piala Dunia 2014 di Brazil. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Polis buru kumpulan penjenayah bersenjata api di Behrang

Posted: 27 Jan 2014 11:05 PM PST

TANJUNG MALIM 28 Jan. - Polis memburu sekumpulan dipercayai lebih daripada tiga penjenayah yang bersembunyi di dalam kawasan hutan berdekatan Plaza Tol Behrang dekat sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, kumpulan berkenaan yang memiliki senjata api, melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan mewah jenis Audi Q7 di Kilometer 379.1 Lebuhraya Utara Selatan setelah dikejar polis dalam kejadian 7.40 malam, semalam.

Menurutnya, kumpulan berkenaan turut melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis ketika dikejar semalam dan mereka dipercayai terlibat dalam kes samun di Rawang, Selangor. - UTUSAN ONLINE

Pemuda terselamat sempat elak tembakan jarak dekat

Posted: 27 Jan 2014 06:23 PM PST

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Seorang pemuda nyaris maut selepas berdepan detik-detik cemas cuba ditembak oleh seorang lelaki dikenali dari jarak dekat di Hentian Komuter Kuang, Sungai Buloh di sini semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 26 tahun terselamat daripada terkena satu das tembakan kerana sempat mengelak dan melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supritendan Junaidi Bujang berkata, mangsa ditembak dalam jarak tiga meter dan sempat melarikan diri ke balai polis berdekatan.

"Siasatan awal mendapati kejadian disebabkan perasaan tidak puas hati dan ingin membalas dendam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya ketika dihubungi. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Serangan di wilayah bergolak bunuh 15

Posted: 27 Jan 2014 10:21 AM PST

MAIDUGURI, Nigeria 28 Jan. - Seramai 15 orang dilaporkan terkorban dan 20 yang lain cedera dalam satu serangan di wilayah bergolak di timur laut, kawasan kumpulan militan Boko Haram beroperasi.

Kami menemui 15 mayat mangsa dalam serangan tersebut," kata Fantara Madugu yang menyaksikan serangan tersebut di kawasan Konduga di negeri Borni kira-kira 37 kilometer tenggara Maiduguri.

Katanya, pihaknya juga turut membantu 20 mangsa yang cedera ke hospital yang berdekatan. - AFP

Perancis: Perarakan berakhir dengan pertempuran

Posted: 27 Jan 2014 10:19 AM PST

PARIS 28 Jan. - Beribu-ribu penduduk Perancis berarak di sekitar Paris semalam sempena sambutan Hari Kemarahan terhadap Presidennya, Francois Hollande yang kemudian berakhir dengan pertempuran di antara penunjuk perasaan dan pihak polis.

Pasukan keselamatan kemudian bertindak menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan para penunjuk perasaan yang membaling botol, mercun, batang besi dan tong sampah ke arah pasukan polis.

Pasukan polis berkata, sekurang-kurangnya 150 orang telah ditangkap selepas pertempuran tersebut manakala 12 pegawai keselamatan dipercayai cedera.- AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


LPT dijangka sesak minggu ini

Posted: 27 Jan 2014 10:56 AM PST

Oleh Abdul Rashid Abdul Rahman
utusanpahang@utusan.com.my

Kakitangan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), Isroeyah Mustar (dua kanan) dan Mohd. Wira Sahri mengagihkan cenderamata kepada pengguna lebuh raya dalam Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Bentong, Pahang, semalam. - UTUSAN/ Ahmad Zakki Jilan

BENTONG 27 Jan. - Jumlah kenderaan yang melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada musim perayaan Tahun Baharu Cina kali ini dijangka meningkat kepada 200,000 buah sehari berbanding purata 140,000 buah yang menggunakan lebuh raya itu pada hari biasa.

Pengarah ANIH Berhad, Ir. Wan Razali Wan Muda berkata, peningkatan mendadak kira-kira 50 peratus aliran trafik itu akan menyebabkan kesesakan di lebuh raya berkenaan.

"Bagaimanapun kita sentiasa bersedia bagi memastikan seluruh aliran trafik di LPT berjalan lancar dengan menggariskan beberapa strategi seperti menyediakan jadual perjalanan dan menghentikan aktiviti penyelenggaraan di sepanjang lebuh raya selama dua minggu.

"Kita juga akan menambah jumlah juru tol sebanyak 15 peratus seterusnya membuka lorong-lorong tunai tambahan khususnya di waktu peningkatan trafik yang drastik," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Bentong di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi MCA Pahang, Datuk Hoh Khai Mun dan Ketua Polis Daerah Bentong Supritendan Mohamad Mansor Mohamad Nor.

Lebuh raya sepanjang 240 kilometer itu bermula dari Gombak, Selangor hingga ke Jabor, Terengganu diuruskan oleh ANIH Berhad yang bertindak sebagai pemegang konsesi lebuh raya berkenaan.

Katanya, bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna, pihaknya juga akan menambah pasukan ronda lebuh raya yang akan melakukan rondaan selama 24 jam.

Selain itu Wan Razali berkata, pihaknya akan melanjutkan waktu operasi kaunter jualan kad Touch 'N Go dari pukul 8.30 pagi hingga 10.30 malam bermula dari 27 Januari hingga 3 Februari ini.

Sementara itu, Khai Mun berkata, kempen dan strategi yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi itu sepanjang musim perayaan ini amat baik demi keselesaan pengguna lebuh raya tersebut.

"Kita berharap kemudahan di sepanjang lebuh raya akan dipertingkatkan seperti penambahan lampu-lampu jalan dan juga pembinaan lebih banyak tandas," ujarnya.

Hati-hati berbelanja pada musim perayaan

Posted: 27 Jan 2014 10:56 AM PST

Ahmad Nazlan Idris (tiga dari kiri) memeriksa harga sayur kubis yang dijual di Pasar Raya Thong Fatt selepas pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di Bandar Baru Inderapura, Jerantut,Pahang, semalam.

JERANTUT 27 Jan. - Penduduk diminta lebih berhati-hati berbelanja dalam memilih premis atau pasar raya di bandar itu yang menawarkan harga barangan mengikut Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina yang ditetapkan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, pengguna perlu peka perkara itu kerana kegiatan mengeksploitasi pengambilan untung berlebihan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab masih berlaku terutama pada musim perayaan.

Menurutnya, kerajaan melaksanakan skim tersebut bertujuan mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat dengan menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah.

"PPDNKK negeri dan cawangan tidak akan berkompromi dengan peniaga yang didapati gagal mematuhi peraturan berkenaan kerana boleh menjejaskan kepentingan pengguna.

"Menerusi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, peniaga wajib menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan serta meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi membezakan dengan barangan lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan skim tersebut di Pasar Raya Thong Fatt Bandar Baru Inderapura di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Jerantut, Tan Siew Lin.

Menurut beliau, sempena pelancaran skim itu, berkuat kuasa mulai 26 Januari hingga 9 Februari ini, sebanyak 12 jenis barangan telah ditetapkan dalam skim berkenaan.

"Peniaga diminta mematuhi peraturan kedua-dua akta ini dan jangan memanipulasikan harga sewenang-wenangnya sehingga menyusahkan orang ramai berbelanja menyediakan keperluan harian bagi menyambut perayaan itu," katanya.

Ahmad Nazlan berkata, pegawai penguat kuasa PPDNKK dan pemantau harga akan berada di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk melaksanakan pemeriksaan di bawah peraturan akta berkenaan.

Tambahnya, para peniaga perlu lebih bertanggungjawab dengan menyokong usaha kerajaan menerusi pelaksanaan skim itu supaya jaminan keselesaan penduduk sebagai kuasa pembeli yang juga memberi pulangan pendapatan pemilik premis berkenaan.

"Pengguna juga seharusnya melaporkan kepada penguat kuasa PPDNKK mengenai wujudnya manipulasi harga, barang keperluan yang tidak sempurna daripada segi timbang dan sukat supaya keperluan terpelihara di samping hak sebagai pengguna," katanya.

Bomba berjaya kurangkan kerugian kebakaran

Posted: 27 Jan 2014 10:56 AM PST

KUANTAN 27 Jan. - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berjaya mengurangkan sebanyak RM28 juta tafsiran kerugian akibat kebakaran kepada RM63 juta pada 2013 berbanding RM91 juta tahun sebelumnya.

Pengarahnya, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, jumlah panggilan kebakaran yang meningkat kepada 1,683 kes tahun lepas berbanding 1,233 kes pada 2012 itu membolehkan tindakan pantas diambil pihaknya bagi operasi pemadaman kebakaran.

Menurutnya, tindakan pantas itu telah menyumbang kepada pengurangan tafsiran kerugian sebanyak 17.86 peratus.

"Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan merupakan penyumbang tertinggi jumlah panggilan kebakaran yang direkodkan iaitu sebanyak 294 kes tahun lepas berbanding 212 kes tahun sebelumnya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, agensi itu juga berjaya menyelamatkan pelbagai harta dengan tafsiran sebanyak RM237 juta tahun lepas berbanding RM148 juta tahun sebelumnya.

Jumlah itu katanya, disebabkan kejayaan bomba memadam kebakaran di kawasan kilang daripada terus merebak dan merupakan faktor penyumbang terbesar tafsiran penyelamatan yang tinggi pada 2012.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Terpaksa balas tembakan penceroboh

Posted: 27 Jan 2014 10:56 AM PST

KOTA KINABALU 27 Jan. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa pasukan Komando VAT69, yang ditugaskan melaksanakan operasi tinjau rapat di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 1 Mac tahun lalu, terpaksa membalas tembakan penceroboh setelah mereka terlebih dahulu ditembak pihak berkenaan.

Koperal Azman Ampong, 39, yang ditugaskan di Sektor C memutuskan untuk membalas tembakan itu selepas dia dan rakan-rakannya ditembak oleh penceroboh, walaupun ketua pasukannya tidak memberi arahan.

Ketika ditanya peguam Datuk N. Sivananthan sama ada dia membuat keputusan sendiri untuk membalas tembakan itu, saksi keempat itu menjawab: "Ya".

Semasa tembakan itu, katanya, dia dan rakannya, Koperal Mohd. Tarmizi Hashim yang berada di hadapan pasukan tersebut, telah memulakan tembakan itu di Kampung Tanduo pada 1 Mac tahun lalu.

Azman berkata, tembakan itu berlaku kira-kira dua minit dan mereka bukan sahaja ditembak oleh dua orang penceroboh, malah beberapa penceroboh lain dari semua arah.

"Sejurus itu, kami terus meminta bantuan dan kami menerimanya daripada anggota Sektor D yang tiba di tempat itu kira-kira 10 hingga 15 minit kemudian," katanya sambil menambah tembakan itu berterusan sehingga pasukan D tiba.

Semasa memberi keterangan di hadapan Hakim Stephen Chung, Azman berkata, keseluruhan pasukan itu berada kira-kira 9.14 meter hingga 18.3 meter di belakangnya dan Mohd. Tarmizi.

Menurutnya, dua letupan juga berlaku kira-kira dua minit di hadapannya dan Mohd. Tarmizi.

Ketika ditanya Sivananthan sama ada dia menerima sebarang arahan daripada ketua pasukannya Deputi Supritendan (DSP) Anwar Rosli menerusi walkie-talkie semasa tembakan itu bermula, Azman berkata "ya, arahannya ialah supaya berundur".

Sivananthan: Tidak ada arahan langsung untuk membalas tembakan penceroboh sebaliknya hanya berundur. Adakah arahan supaya berundur nampak pelik bagi anda?

Azman: Tidak.

Sivananthan: Adakah anda melapor kepada ketua pasukan bahawa anda telah ditembak?

Azman: Saya tidak sempat membuat laporan (itu).

Azman menjelaskan bahawa arahan itu juga bertujuan mengelakkan pertempuran dalam semua bentuk pada tahap yang maksimum selain untuk memantau dan menilai situasi itu.

Menurutnya, Anwar langsung tidak memberi sebarang arahan untuk memulakan tembakan terhadap para penceroboh itu.

Ketika diasak oleh Sivananthan mengenai maksud seorang lelaki (penceroboh) yang memegang sebatang kayu berserta kertas putih bersaiz A4, adakah dalam peperangan ia membawa maksud sebagai mewakili bendera putih, saksi itu menjawab "tidak".

Sivananthan: Apa yang anda faham apabila seorang penceroboh membawa sebatang kayu yang dilekatkan kertas putih A4?

Azman: Saya tidak tahu niat dia.

Azman berkata ini kerana, seorang daripada penceroboh itu membawa sebilah parang yang diselitkan di pinggangnya manakala dua lagi rakannya membawa senjata api dan menghalakannya ke arah beliau dan Tarmizi.

Azman juga tidak bersetuju dengan cadangan Sivananthan bahawa para penceroboh itu sebenarnya mahu menyerah diri kerana seorang daripada mereka memegang sebatang kayu yang dilekatkan kertas putih A4 dan mereka tidak memulakan sebarang tembakan pada hari itu.

Semasa menjawab soalan Sivananthan, saksi itu juga berkata, dia tidak tahu bahawa sepanjang tempoh pasukannya berada di Kampung Tanduo, pihak berkuasa Malaysia dan pihak penceroboh sedang berunding untuk menyelesaikan isu itu secara aman.

Azman juga tidak bersetuju bahawa arahan yang diberikan oleh Anwar pada 18 Februari tahun lepas adalah untuk mencari penceroboh dan memulakan serangan ke atas mereka.

Saksi itu turut memberitahu bahawa pasukannya telah dibekalkan dengan peluru 5.56 mm manakala pasukan sokongan diberikan peluru 7.62 mm semasa tembakan itu, dan beliau dan Mohd. Tarmizi membawa 'M16'.

Sebanyak 27 tertuduh warganegara Filipina dan tiga lagi rakyat Malaysia dituduh melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong yang jika sabit kesalahan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan menjadi anggota kumpulan pengganas, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda.

Perbicaraan itu, yang dikendalikan di Jabatan Penjara Sabah, bersambung esok. — BERNAMA

3 lelaki dipenjara seumur hidup

Posted: 27 Jan 2014 10:56 AM PST

Oleh FADZLY IZAB
pengarang@utusan.com.my

Sahri Tahe (depan, tengah), Didik Setiawan (depan, kanan) dan Purwanto (belakang, dua dari kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi, Melaka, semalam, selepas dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 15 sebatan kerana menculik seorang kontraktor tiga tahun lalu.

MELAKA 27 Jan. - Tiga lelaki warga Indonesia masing-masing dihukum penjara seumur hidup dan sebatan 15 kali oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah menculik seorang kontraktor, empat tahun lalu.

Seorang daripada mereka yang hanya dikenali sebagai Purwanto, 31, dan Didik Setiawan, 29, dari Jawa serta Sahri Tahe, 31, dari Madura dijatuhi hukuman itu selepas pembelaan mereka gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh yang bekerja sebagai buruh didakwa menculik kontraktor berusia 48 tahun itu dengan niat mendapatkan wang tebusan RM300,000 daripada isteri mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka pada pukul 4.45 petang, 12 April 2010 di sebuah pangsapuri di Taman Mutiara, Melaka Baru, Batu Berendam di sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Haslinda Abu Bakar manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam bela, Nurrul Nadia Norrizan.

Sepanjang perbicaraan, sebanyak 29 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan manakala tiga saksi tampil di peringkat pembelaan.

Dalam penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menyatakan, mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa kes tersebut adalah serius kerana kesalahan itu dilakukan oleh warga asing yang bekerja di negara ini.

"Saya juga mengambil kira kenyataan impak kesalahan terhadap mangsa (VIS) yang diberikan oleh mangsa yang mahu ketiga-tiga tertuduh dikenakan hukuman maksimum.

"Walaupun tidak mengalami kecederaan teruk, mangsa telah mengalami trauma selepas kejadian itu," kata Abdul Karim.

Terdahulu dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Nurrul Nadia memberitahu, ketiga-tiga tertuduh telah insaf dengan kesalahan yang dilakukan.

"Ketiga-tiga mereka telah salah membuat keputusan dengan mempercayai orang lain. Memang diakui mangsa dalam kes ini telah dipukul oleh tertuduh dan diikat, namun mangsa tidak mengalami kecederaan yang teruk atau mati.

"Selain itu, tertuduh-tertuduh hanya memperoleh RM40,000 yang diberikan mangsa," kata Nurrul Nadia.

Haslinda bagaimanapun menegaskan, kes tersebut adalah serius kerana tertuduh telah menggunakan kekerasan terhadap mangsa dengan menggunakan kayu selain penculikan itu dirancang rapi oleh ketiga-tiga tertuduh terbabit.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


PFM hulur sumbangan kepada Julie Dahlan

Posted: 27 Jan 2014 04:45 AM PST

Oleh ABD. AZIZ ITAR

YUSOF Haslam (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Julie Dahlan sambil diperhatikan Freddie Fernandez (kiri) di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) turun padang menghulurkan sumbangan wang tunai berjumlah RM5,000 kepada ahlinya yang juga penerbit serta pelakon filem era 1980-an, Julie Dahlan yang menghidap penyakit buah pinggang, kencing manis dan kataraks mata di kediamannya di Bukit Antarabangsa di sini.

Menurut Presiden PFM, Datuk Yusof Haslam, 60, sumbangan itu bagi meringankan beban Julie termasuk bagi membeli ubat-ubatan serta rawatan buah pinggang menggunakan mesin dialisis sebanyak tiga kali seminggu yang dijalani oleh pelakon filem Si Badul dan Wira Angkasa berusia 61 tahun berasal dari Batu Pahat, Johor itu.

"Ini adalah sumbangan PFM bagi meringankan beban Julie yang telah menjadi ahli persatuan ini sejak tahun 1987. Sebelum ini, saya sendiri juga telah menyumbangkan sumbangan peribadi saya sebanyak RM2,000 kepada Julie. Kami di PFM sentiasa cuba membantu sedaya upaya artis yang pernah menyumbangkan bakat mereka dalam bidang lakonan di negara ini.

Sebelum ini, PFM pernah menyumbangkan bantuan berbentuk wang tunai kepada Allahyarham Azean Irdawaty sewaktu menderita penyakit barah walaupun arwah bukannya ahli PFM. Kami bersimpati dengan Julie kerana menerbit dan berlakon filem adalah kerjaya tetapnya," katanya kepada para wartawan selepas majlis penyerahan sumbangan itu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PFM, Pancha Nalliah atau Pansha dan Ahli Jawatankuasa PFM, Datuk Freddie Fernandez yang sudah lama mahu menghulurkan bantuan itu kepada pelakon terbabit sejak dia disahkan menghidap penyakit buah pinggang dan kencing manis pada April tahun lalu.

Sementera itu Freddie berkata, selain PFM, dia yang juga Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) tidak ketinggalan menyalurkan bantuan kewangan kepada Julie atau nama sebenarnya Junaidah Dahlan sebanyak RM5,000 pada majlis Malam Amal Karyawan Seni anjuran persatuan itu pada 24 November lalu.

Sementara itu, Julie yang juga merupakan pemilik syarikat produksi Julie Dahlan Production berkata, dia terharu dengan ingatan serta sumbangan daripada PFM dan Karyawan itu.

Sungguhpun begitu ibu tunggal kepada tiga anak ini berkata, dia tidak mahu mengharapkan simpati orang lain sebaliknya tetap mahu bekerja bagi meneruskan kehidupannya seharian.

Saya masih ada bakat dan kepakaran dalam bidang penerbitan filem dan lakonan. Sebab itu saya cuma memohon kepada RTM supaya diberikan slot rancangan di TV1 atau TV2 agar saya dapat menerbit serta membekalkan rancangan seperti drama televisyen kepada stesen itu.

"Saya sudah pun menghantar permohonan itu pada September tahun lepas tetapi sehingga kini belum ada jawapan. Saya harap pihak-pihak yang berkenaan boleh membantu saya dalam hal ini.

Selain itu, saya juga telah menghantar surat rayuan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bagi memberi saya ruang slot penerbitan rancangan-rancangan televisyen di stesen itu. Walaupun mata saya sudah tidak berapa nampak tetapi saya masih boleh bekerja dengan bantuan orang lain seperti anak saya, Hani," katanya. - UTUSAN ONLINE

Bob Lokman masih menerima rawatan di hospital

Posted: 27 Jan 2014 12:22 AM PST

Oleh ABD. AZIZ ITAR

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Penulis lirik, pelakon, pelawak dan pengacara Bob Lokman yang menghidap penyakit jantung dan paru-paru berair masih berada dalam wad untuk pemeriksaan rapi doktor di Hospital Sungai Buloh di sini sejak dua bulan lalu.

Bob atau nama sebenarnya Mohd. Hakim Lokman, 49, berkata, keadaannnya buat masa ini adalah lebih baik berbanding beberapa bulan sebelum ini biar pun dia masih dalam pengawasan rapi doktor ekoran dua penyakit yang dihidapinya itu. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Megabait

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


PI1M bawa internet ke desa

Posted: 27 Jan 2014 06:02 AM PST

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad@utusan.com.my
Gambar FAUZI BAHARUDDIN

JIKA disorot kembali era 1980an, penggunaan telefon mungkin sesuatu yang sukar. Kemudahan tersebut hanya disediakan di rumah-rumah pemimpin masyarakat seperti wakil rakyat.

Melihat kepada kesusahan rakyat untuk berhubung pada waktu itu, kerajaan mengadakan projek telefon awam sebagai pelan jangka pendek sebelum penggunaan telefon dapat diperluaskan ke seluruh negara.

Namun, penggunaan telefon awam tidak lagi relevan apabila munculnya telefon sendiri di setiap rumah.

Sehingga pada suatu saat penggunaan telefon di rumah pula dilihat tidak lagi sesuai dengan aktiviti masyarakat yang mahukan sistem komunikasi yang lebih pantas dan boleh di bawa ke mana-mana iaitu telefon bimbit.

Kini, perkembangan teknologi menyaksikan peralihan keperluan masyarakat hari ini daripada kaedah sistem komunikasi yang mudah kepada capaian internet di segenap pelosok negara.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, kerajaan peka dengan keperluan rakyat untuk mendapatkan capaian internet secara meluas terutamanya di kawasan luar bandar.

Justeru, katanya, bagi memenuhi keperluan tersebut, program Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) telah dilaksanakan pada tahun lepas.

"Program ini bersifat sementara sebelum capaian internet dapat diperluaskan ke seluruh negara pada masa akan datang," katanya pada Majlis Bersama Komuniti dan pelancaran PI1M di Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor, Selangor baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Abd. Rahim Mohd. Radzi dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.

Tambahnya, kemudahan pusat internet di Felda Sungai Tengi dapat memberi manfaat kepada masyarakat Felda melonjakkan aktiviti ekonomi mereka.

"Saya berharap penduduk di Felda ini menggunakan kemudahan tersebut dengan sebaik-baiknya sama ada untuk meningkatkan tahap akademik mahu pun pendapatan keluarga," katanya.

Pusat tersebut dibangunkan dengan kerjasama kementerian terbabit, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan beberapa syarikat syarikat telekomunikasi.

Pusat itu kini berjumlah 424 buah di seluruh negara dengan kos pembinaan dan kelengkapan bagi setiap satu mencecah RM300,000.

PI1M di bawah Bajet 2013 akan menyediakan capaian internet jalur lebar secara kolektif di seluruh negara dibiayai daripada dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat selama tiga tahun.

Sementara itu, kewujudan PI1M di Felda Sungai Tengi mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat.

Pengurus PI1M Felda Sungai Tengi, Afizah Mat Ali berkata, pihaknya tidak menang tangan melayan kehadiran penduduk setempat.

"PI1M Felda Sungai Tengi mula dibuka pada bulan September tahun lalu menggunakan bangunan yang pada asalnya adalah sebuah tadika yang tidak lagi digunakan.

"Pusat ini telah dipohon oleh pengurus Felda Sungai Tengi dan kerajaan telah bersetuju untuk membinanya di sini," katanya.

Jelas Afizah, PI1M bukan semata-mata sebuah pusat untuk melayari internet dengan kadar yang amat rendah persis sebuah pusat internet seperti kebiasaan yang ditemui.

"Di sini selain menawarkan kemudahan melayari internet, kami turut menyediakan perkhidmatan mengajar cara-cara yang betul menggunakan peralatan komputer dan latihan ICT.

"Perkhidmatan tersebut dimulakan daripada seawal kanak-kanak prasekolah sehingga kepada warga emas dan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan fasa," katanya.

Kini, PI1M Felda Sungai Tengi memiliki 289 ahli dengan bayaran RM5 untuk seumur hidup.

Di pusat tersebut, latihan diberikan kepada hampir 87 ahli pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Antara latihan ICT yang diberikan adalah cara untuk mewujudkan laman dan pembangunan laman media baharu yang mana modul latihan tersebut disediakan oleh SKMM.

Malah, ada sesetengah ahli PI1M turut dilatih untuk mengendalikan blog bagi tujuan perniagaan dan penjanaan ekonomi dan diberikan sijil setelah tamat latihan.

Sejak dibuka, PI1M Felda Sungai Tengi menerima hampir 60 orang pengguna pada setiap hari dan kemudahan yang disediakan dipusat tersebut telah banyak membantu golongan yang benar-benar memerlukan terutamanya daripada keluarga yang kurang berkemampuan untuk menyediakan capaian internet di rumah.

Banteras sijil ijazah palsu

Posted: 27 Jan 2014 06:02 AM PST

PENERAJU sistem maklumat dan keselamatan komunikasi, Thales mengumumkan modul keselamatan perkakasan nShield (HSMs) dan Time Stamp Server keluarannya kini digunakan oleh Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, untuk menjana ijazah digital yang dapat mengurangkan kes-kes penipuan dan pemalsuan.

Isu institusi akademik di seluruh dunia menghadapi masalah sijil ijazah palsu bukan perkata baharu.

Oleh itu UM mengambil keputusan mengatasinya dengan mengeluarkan e-skrol atau sijil ijazah digital yang menggunakan tandatangan digital dengan cap masa yang boleh disahkan secara atas talian.

Setiap e-Skrol ditandatangani oleh Pendaftar dan Naib Canselor universiti dengan menggunakan GlobalSign®ID digital.

Perisian HSMS dijamin oleh Thales untuk memberi perlindungan yang kukuh dengan menghasilkan identiti digital bagi dua penandatangan, menyimpan kod kekunci mereka dengan selamat dan menghalang akses tanpa kebenaran.

Lanjutan proses ini, setiap e-Skrol diberi cap masa oleh Thales Time Stamp Server mengikut Jam Kebangsaan Malaysia yang terletak di SIRIM.

Selain memaparkan masa dan tarikh yang tepat, sijil tersebut turut mendapat perlindungan tambahan.

Pengarah Urusan, APAC, Thales e-Security, Richard Mallet berkata, semakin banyak organisasi bertukar daripada penggunaan dokumen kertas kepada dokumen elektronik untuk mengurangkan kos dan meningkatkan produktiviti.

Akan tetapi, tahap jaminan yang tinggi diperlukan untuk memastikan kesahihan dan integriti dokumen yang dikeluarkan.

"Thales mempunyai pengalaman luas dalam pengeluaran sistem canggih dengan alat kriptografi berkuasa tinggi untuk tandatangan digital dan cap masa yang amat praktikal bagi institusi pengajian.

"Kami berasa bangga kerana Universiti Malaya telah memilih Thales untuk menyampaikan teknologi e-Skrol yang inovatif lagi selamat," katanya

Kata beliau, UM mengeluarkan lebih 7,000 mahasiswa setiap tahun dan pihaknya memikul tanggungjawab untuk menyampaikan sijil yang mempunyai kredibiliti dan integriti yang tinggi kepada mereka.

Thales menyediakan teknologi canggih untuk penyelesaian yang cepat dan mudah bagi mengeluarkan e-Skrol yang ditandatangani secara digital dan disertakan cap masa.

e-Skrol bukan sahaja dapat mengatasi isu ijazah palsu, tetapi turut membantu siswazah memohon pekerjaan secara online.

Dengan itu bakal majikan boleh mengesahkan kesahihan sijil mereka dengan cepat dan mudah.

Sementara itu menurut Pengarah Pusat Teknologi Maklumat (IT), Universiti Malaya, Dr David Asirvatham, semua pelajar yang menamatkan pengajian di Universiti Malaya menerima e-Skrol di samping sijil bercetak pada majlis pengijazahan, bermula tahun lepas.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved