Rabu, 25 Disember 2013

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Tsunami bukan sekadar bencana

Posted: 25 Dec 2013 10:02 AM PST

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

Anggota penyelamat mengalihkan mayat-mayat mangsa tsunami di kawasan perkarangan Masjid Baiturrahman di Banda Aceh, pada 29 Disember 2004. - Reuters

''Dari jauh aku melihat seperti ada asap hitam yang tinggi dan tebal. Asap itu rasanya berjalan ke arah kami, makin lama asapnya makin tinggi sampai pohon kelapa. Tidak lama setelah itu asapnya turun dan merobohkan semua bangunan di depannya. Setelah itu aku baru sedar kalau itu bukan asap, itu gelombang air laut besar, TSUNAMI namanya."

Demikianlah yang dicoretkan oleh Nelva Amelia, seorang gadis Aceh berhubung peristiwa Tsunami yang melanda wilayah itu pada 26 Disember 2004.

Hari ini, genaplah sembilan tahun bencana alam yang melanda Asia Tenggara itu berlaku, bukan sahaja Aceh malah beberapa negara lain turut menerima hempasan ombak besar sehingga meragut ribuan nyawa.

Aceh paling teruk menerima kesannya apabila bukan sahaja ribuan rumah dan bangunan ranap, malah dianggarkan sekitar 220,000 rakyat wilayah itu terkorban.

Bagi penulis sendiri, yang merupakan antara wartawan pertama tiba di Aceh selepas tsunami melanda, masih terbayang bagaimana pemandangan kami dihiasi dengan runtuhan bangunan dan rumah. Sesetengah kawasan bagaikan padang jarak padang tekukur.

Ia belum lagi mengambil kira bagaimana mayat bergelimpangan di mana-mana sahaja bagaikan ikan dituba.

Untuk rekod, tsunami terburuk sebelum ini berlaku di Jepun pada 15 Jun 1896 yang menyaksikan 21,000 orang terbunuh.

Walaupun kini Aceh dan beberapa negara yang dilanda tsunami sudah hampir pulih dari segi infrastruktur, namun dari segi kesan psikologi ia masih lagi menghantui mangsa-mangsa yang terlibat khususnya di Aceh.

Bayangkanlah ada antara mereka hanya mengunjungi kubur-kubur besar yang menempatkan mangsa-mangsa yang terkorban tanpa mengetahui sama ada di dalam liang lahad itu ahli keluarga mereka berada di situ atau tidak.

Tetapi itu sahaja yang mampu mereka lakukan kerana tsunami menghanyutkan apa sahaja yang berada di hadapan arus deras yang mengalir.

Penulis masih ingat bagaimana penduduk Aceh menggambarkan, tsunami itu adalah ombak besar setinggi bangunan lima tingkat dan mengalir dalam kelajuan 500 kilometer hingga 600 kilometer sejam. Arus tersebut dikatakan hanya mengalir perlahan apabila melintasi perkarangan Masjid Baiturrahman di Banda Aceh.

Ketika mengunjungi sebuah kawasan penduduk di Kaju, penulis dimaklumkan di situ sahaja lebih 50,000 orang terkorban dan ribuan rumah hancur berkecai dihempas tsunami.

Bagaimanapun apa yang menarik dan menjadi ingatan penulis sehingga ke hari ini ialah hujah alim ulama Aceh terhadap kejadian tsunami itu. Sementara pakar sains dan geologi menganggap ia berpunca fenomena alam dengan memaparkan pelbagai teori, alim ulama dan penduduk Aceh mempunyai pandangan mereka sendiri.

Ada antara mereka menyatakan ia pembalasan Allah SWT terhadap satu kemungkaran yang berlaku sehari sebelum tsunami melanda. Ia dikaitkan dengan pesta mungkar yang dianjurkan oleh sekumpulan anggota keselamatan di pantai berhampiran makam ulama terkenal Aceh, Syiah Kuala.

Ada pula ia sebagai pembalasan Allah terhadap kegagalan pemerintah Aceh melaksanakan syariat Islam seperti mana mereka uar-uarkan sebelum ini.

Tidak kiralah apa pun hujahnya yang pasti bencana tsunami tidak harus dilupakan begitu sahaja dan bukan sekadar dicatatkan dalam sejarah bencana dunia semata-mata.

Sebaliknya, sebagai manusia khususnya umat Islam, tragedi sembilan tahun lalu perlu dijadikan peringatan tentang kekuasaan Allah dengan sentiasa mengikut perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya serta jangan sesekali melakukan kerosakan di muka bumi Allah ini.

Allah SWT berfirman dalam surah Ar-Rum ayat 41 bermaksud:

''Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).''.

Tetapi mungkin ada yang akan bertanya tidakkah bencana besar seperti tsunami itu turut mengorbankan mereka yang tidak berdosa.

Dalam soal ini Allah SWT telah memberi peringatan melalui firman-Nya dalam surah Al-Anfal ayat 25 yang bermaksud:

''Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras seksaan-Nya.''

Atas sebab itulah, sebagai hamba-Nya dan bersempena peringatan bencana tsunami yang berlaku sembilan tahun lalu, marilah kita menginsafi dan menyedari siapakah diri kita sebenar.

Sentiasa menjadi insan yang tahu bersyukur dengan segala nikmat yang diperolehi dan bukannya sering sahaja mahu memuaskan kehendak sendiri dengan melakukan pelbagai tindakan yang boleh mendatangkan kerosakan.

Bagaimanapun puak seperti ini sering sahaja menafikan dakwaan itu dan menggambarkan seolah-olah merekalah kelompok terbaik di muka bumi Allah ini.

Kelompok seperti ini sudah dinyatakan oleh Allah SWT melalu firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 11 dan 12 yang bermaksud:

''Dan bila dikatakan kepada mereka, janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, mereka menjawab,''Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan perbaikan.'' Ingatlah sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan tetapi mereka tidak sedar.''

Tsunami Aceh adalah peringatan Allah kepada seluruh umat manusia. Mungkin selama ini, ada antara kita lalai dan merasakan kita boleh melakukan apa sahaja di alam fana ini.

Dalam al-Quran telah dinyatakan dengan jelas bahawa bencana itu merupakan teguran atau bala' (malapetaka) yang diberikan Allah SWT kepada kita yang ingkar akan petunjuk-Nya.

Sememangnya, kita bersyukur biarpun tempias tsunami turut melanda negara ini, namun kesannya tidaklah seteruk Aceh atau beberapa negara lain. Namun ini tidak bermakna kita harus melihat ia dari sudut bencana alam semata-mata tetapi kaji juga dari sudut Islam.

Atas sebab itulah, sementara Allah mengurniakan pelbagai rahmat dan nikmat kepada negara ini sehingga memungkinkan kita hidup aman dan damai, maka belajarlah mensyukuri semua itu dan bukannya melakukan tindakan sehingga kita termasuk dalam golongan yang tidak tahu bersyukur.

Berikutan itulah, dalam apa pun kita lakukan, laksanakan ia secara sederhana atau wassatiyah dan jangan sesekali kita melampaui batas. Kalau mahu berpolitik, berpolitik secara berhemah dan bukannya dengan pendekatan maki hamun dan cacian serta disulami dengan fitnah dan tohmahan.

Mungkin ada antara kita merasakan 'terselamat' dengan taktik politik yang diamalkan dengan berbuat demikian tetapi percayalah Allah maha mengetahui.

Mereka yang melakukan kemungkaran, sentiasa bergelumang dengan kepalsuan dan bersedia membuat apa sahaja demi memenuhi tuntutan nafsu diri sendiri, pasti akan menempah kebinasaan.

Apa yang berlaku dalam peristiwa tsunami sepatutnya memberikan pengajaran bahawa muka bumi ini bukan milik kita, ia adalah persinggahan sebelum kita melangkah ke alam lebih kekal iaitu akhirat.

Justeru jadikan peringatan tsunami kali ini sebagai titik permulaan agar kita tidak menjadi kelompok yang mengundang kemurkaan Allah.

Semoga dengan cara itu bumi bernama Malaysia ini jauh daripada segala bencana dan mala petaka akibat perbuatan kita sendiri.

Jong pecah, yu kenyang

Posted: 25 Dec 2013 10:02 AM PST

Oleh Dr. Siva

ANTARA gelagat perayu undi kedua-dua parti di Sekolah Kebangsaan Sedaka, Yan, Kedah, pada Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau, November lalu. - utusan/NOORADZRENE MOHD. NOOR

TEMPOH 365 hari sudah hampir sampai ke penghujungnya untuk tahun 2013. Ketika diawal tahun 2013, cakap-cakap ketika itu adalah 2013 merupakan tahun Pilihan Raya Umum (PRU). Sepanjang empat bulan pertama 2013, kita melihat ia lebih bersifat usaha berterusan untuk memenangi hati rakyat dengan kad laporan mentadbir sejak PRU Ke-12 2008 sehingga ke April 2013.

Kedua-duanya, baik Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang menggunakan perubahan lanskap politik arus perdana untuk memerangi persepsi pengundi agar berkecenderungan untuk sama ada kekal atau berubah tampuk pemerintahan di Putrajaya. Ini Kalilah dan Lain Kali Lah menjadi sebutan ramai. Akhirnya, pada 5 Mei 2013, PRU Ke-13 diadakan. BN kekal memerintah dengan 133 kerusi yang dimenangi berbanding gabungan parti pembangkang sebanyak 89 kerusi.

Dua Pilihan Raya Kecil (PRK) juga telah diadakan sejak Mei 2013; kekosongan kerana kematian dan keputusannya bersifat status-quo baik di Kuala Besut (BN-Terengganu) mahupun Sungai Limau (Pas-Kedah).

Dengan berakhirnya PRU Ke-13, pasca PRU Ke-13 pula memaparkan senario untuk meneruskan warisan kepimpinan dan bagi gabungan parti pembangkang, sudah pasti rancangan disusun untuk tidak menggagalkan usaha menawan Putrajaya lagi walaupun sekitar tiga bulan pertama parti-parti politik di peringkat nasional agak kepenatan, lesu, panik dan cemas melihat kewajaran keputusan PRU tersebut walaupun cergas berhadapan dengan pemilihan dalam parti.

Pemilihan berlaku dalam parti UMNO, Gerakan, MIC, Pas, DAP dan MCA. Ia melengkapkan cakap-cakap politik tanah air di penghujung tahun walaupun tidak sehangat di awal tahun 2013.

Bagi BN, apakah langkah seterusnya apabila melihat cabaran yang perlu ditangani. Adakah keputusan 133 kerusi akan kekal, naik atau menurun jika PRU diadakan esok, misalnya?

Beberapa persoalan dasar boleh dinilai semula oleh BN dalam mengatur perancangan strategik untuk tahun akan datang. Antaranya, BN untuk siapa merupakan persoalan yang perlu dirungkai dan adakah kesemua parti komponen mempunyai jawapannya selepas berakhirnya pemilihan parti?

Kedua, adakah parti menguasai kerajaan atau kerajaan kuasai parti yang kini seolah-olah sering terlepas pandang walaupun saga politik berbeza. Ketiga, di manakah BN lima tahun akan datang; bersifat futuristik bukan bermakna melenyapkan sejarah parti tetapi membayangkan kedudukan masa depan dan bergerak 1,500 hari (anggaran kasar sebelum PRU Ke-14) ke belakang dalam menetapkan perancangan untuk menguasai sokongan dengan mengambil-kira senario terkini.

Peranan sebagai kerajaan dan pertubuhan politik adalah unik dan berbeza malahan barangkali ini akan membantu mencerna keadaan lesu pembabitan golongan belia dan beliawanis dalam parti hari ini. Proses imbang dan periksa amat diperlukan supaya suara-suara kritikal tidak dilihat membangkang tetapi merupakan suara keramat yang mahu pembaharuan berterusan dari dalam parti. Jika ini dihalusi, ia boleh membawa lonjakan drastik pembabitan golongan muda belia.

Yang penting untuk dijadikan sebagai asas untuk bergerak ke hadapan adalah proses mengurus kejayaan keputusan yang diperolehi dalam PRU lalu yang mungkin diidamkan oleh parti seperti Parti Kongres di India dan LDP di Jepun. Mengatur pengurusan negara yang sedang membangun berbanding yang sedang pesat membangun dan mahu merealisasikan Wawasan 2020 adalah berbeza pendekatannya.

Perubahan kadar celik huruf, perbandaran, prasarana, kemudahan dan infrastruktur menunjukkan pencapaian Malaysia dalam isu ekonomi dan sosial sudah berbeza. Ia juga menjadi faktor penarik dan penolak ke atas pemetaan pemikiran politik semasa kerana peka kepada perubahan cita rasa persekitaran yang dihuni.

Ini bermakna, setiap pergerakan diteliti akibat pencapaian kejayaan tetapi kegagalan mengurus kejayaan akan membawa kepada pertembungan bukan di antara kerajaan dan pihak lawan tetapi kerajaan dan massa yang mana dalam Malaysia ia masih stabil. Namun, adakah ia akan bersifat kekal mengikut tilikan pihak berwajib terutama dalam kalangan kelompok pertengahan atau atas pagar.

BN juga mesti melihat persoalan siapa jauhi siapa? Adakah ini lahir dari pengurusan kejayaan sehingga wujud kelompok yang sama ada bersama dalam proses mempertahankan kecemerlangan ataupun di sebaliknya. Ada yang ketika bersama pemimpin menyatakan semuanya baik belaka tetapi bila balik ke kawasan masing-masing memulakan perang saraf menentang kepimpinan tersebut mempengaruhi penyokong mereka kerana gagal dalam konteks perolehan peribadi dan bukan untuk parti.

Sokong bawa rebah amat berbahaya kepada parti kerana retorik ini akan sentiasa diingati oleh pengundi lima tahun lagi. Adakah sudah tiba masanya pendekatan kepimpinan perlu diubah tanpa bergantung kepada pihak tertentu tetapi melakukannya sendiri. Adakah pemimpin perlu menjadi pemandu teksi, pengunting rambut, pelayan kedai kopi atau wartawan mahupun penjual di pasar untuk memahami apa yang sedang dilalui oleh masyarakat agar tidak dilihat selesa dengan apa yang ada. Rondaan di waktu malam pernah dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab untuk mengenal denyut nadi rakyatnya.

Adakah isu muktahir seperti ungkapan petrol naik, elektrik naik, tol naik, gula naik, tambang bas naik, cukai pintu naik, tambang LRT naik, air naik, astro naik dan GST dibisik kepada kepimpinan atasan oleh pembesar politik akar umbi akan kesannya sebagaimana yang disenyapkan oleh sesetengah pihak untuk digunakan selepas 1500 hari lagi sebaik sahaja bermula kempen PRU Ke-14?

Apakah remedi yang terbaik atau kaedah alternatif untuk mengatasi kemelut ini bilamana akujanji PRU turut dipersoal oleh penyokong tegar sendiri yakni gurkha parti yang bertanggungjawab memastikan jong tidak pecah, yu kelaparan?

Barangkali, isu seperti ini memerlukan kompromi dan pengorbanan melangkaui ideologi politik agar kedua-duanya baik parti pemerintah mahupun pembangkang dapat duduk semeja melihat kepada masa depan kesejahteraan rakyat.

Politik berbakti@berhemah tidak boleh dipinggirkan kerana kelak Jong pecah, Yu kencang. Manifesto PRU sudah dijadikan kitab rujukan oleh pelbagai pihak dan jika ia dirungkai dalam jangkamasa 12 bulan akan datang, maka hasilnya akan memanfaatkan bukan sahaja massa tetapi parti sendiri.

Menilik semula apa yang sudah dilakukan sepanjang tujuh bulan lalu penting dalam mengorak langkah tahun 2014. Muhasabah dan perbetulkan kekhilafan sebagaimana yang pernah diungkap oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu dijadikan nota kaki agar kekuatan untuk melakukan transformasi bersifat konsisten dan bukan lagi memikirkan cara untuk berubah.

Pasukan sudah dibina, pasukan ini juga harus pastikan perpaduan, mantapkan barisan, perkemaskan strategi agar bilamana taufan atau halilintar melanda sekalipun, jong belayar deras dan kental bersandarkan kebijakan keseluruhan mereka yang berada dalam jong tersebut; ia sukar digugat hanya kerana keazaman menyusun secara kreatif dan tidak lalai dalam kegusaran persekitarannya kerana yang menanti jong akan dikemudi kembali di pesisiran laut dengan selamat adalah mereka yang berharapan besar, menanti suluhan masa depan yang jauh lebih baik dari tahun 2013.

PROFESOR MADYA

DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan

Universiti Sains Malaysia

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Ibu tiri buli ayah

Posted: 04 Aug 2013 05:32 AM PDT

A YAH saya bapa tunggal, tetapi dia lebih pentingkan kerjayanya daripada kebajikan anak-anaknya.'' Itu cerita Norizzaty dalam e-melnya.

''Namun saya tidak marahkan ayah kerana pentingkan tugasnya, maklumlah orang berpangkat, mesti kerja keras sesuai dengan beban yang dipikul dan pendapatan yang diterima.

''Oleh kerana kesibukannya yang selalu bermesyuarat dan balik lewat, saya diserahkan di bawah jagaan nenek iaitu ibunya di kampung bersama adik yang masih kecil ketika kematian ibu. Jarak usia kami memang jauh, saya sudah tahun enam, adik belum pun setahun.

''Setelah naik tingkatan satu, ayah bawa saya tinggal di bandar. Kata ayah ketika itu saya sudah boleh berdikari dan ayah beli rumah dekat dengan sekolah untuk memudahkan saya berjalan kaki ke sekolah. Tinggallah saya dengan ayah tetapi saya menjalani hidup sendirian di rumah. Makan tengah hari di sekolah, makan malam ikut senang ayah, adakala nasi bungkus, mi ataupun nasi goreng. Tapi saya tak kisah.

''Masuk tingkatan empat, saya dihantar ke sekolah berasrama. Kata ayah senang untuk saya belajar dan makan minum terjaga, saya ikut saja. Nasihat nenek jangan melawan cakap ayah, dia bekerja keras untuk membesarkan kami dua beradik.

''Ketika dalam tingkatan lima, ayah beritahu dia hendak kahwin. Nenek pun nasihatkan ayah kahwin supaya hidup ayah lebih terjamin. Ayah memang baik dan sayangkan keluarga terutama kami dan nenek di kampung. Kata nenek bila dah kahwin bolehlah ambil adik kerana nenek dah tua. Kami memang sayangkan ayah sebab ayah masih bertanggungjawab kepada keluarga walaupun sering sibuk.

''Ayah kahwin dengan Cik Ton ibu tunggal anak dua, 15 tahun muda daripada. Cik Ton bukan pilihan nenek kerana ayah mahukan isteri yang memahami tugasnya, bertanggungjawab kepada anak-anak dan sayang nenek, malangnya hajat ayah tak kesampaian.

''Ketika mula dikenalkan dengan Cik Ton, hati saya mula rasa ada yang tak kena. Saya beritahu nenek tapi nenek nasihatkan itu pilihan ayah, jangan melawan jadilah anak yang baik. Saya tidak membantah atau tunjuk muka masam, apa lagi melawan ibu tiri .

''Namun saya tak berkenan dengan perangai dia dan anak-anaknya. Masa nak kahwin dulu kata ayah, Cik Ton hidup susah selepas bercerai dengan suaminya, dia bukan sahaja tak dapat nafkah, malah hidupnya terumbang-ambing, sering berpindah rumah kerana tak mampu bayar sewa rumah. Jadi saya pun simpatilah ketika itu.

''Tetapi setelah serumah, saya melihat perangai Cik Ton anak-beranak langsung tak menggambarkan hidup orang susah. Mereka berlagak macam orang banyak duit. Perabot rumah mesti serba baru, pakaian mesti up to date. Baju kurung bukan pilihan mereka kecuali ke majis rasmi atau kenduri kahwin, begitu juga penampilan anak-anaknya tidak langsung menampakkan pakaian orang Islam. Di rumah pakai seluar pendek. Berbeza dengan saya berbaju kurung atau berseluar panjang.

''Bila cuti sekolah, saya lihat pakaian dan penampilan ayah juga sudah berbeza. Saya tak nampak ayah berkain pelikat lagi, tetapi mesti formal berseluar panjang. Bila tidur mesti ada baju tidur lengkap dengan house coat. Memang nampak asing.

'' Lebih pelik ayah banyak habiskan masa dengan isteri dan anak-anak tirinya. Ayah tak berbual dengan saya seperti dulu. Lebih menyakitkan hati, susun atur bilik saya juga sudah berubah.

''Oleh kerana sakit hati saya ubah kembali susun atur bilik mengikut selera saya. Cik Ton tak suka, katanya penat dia buat perubahan. Cik Ton merajuk terus mengadu pada ayah. Malam itu panjang nasihat ayah pada saya. Saya tak jawab tapi berfikir apa sudah jadi dengan ayah saya ni?

''Saya juga melihat segala urusan dalam rumah kami termasuk peribadi ayah juga dikawal oleh Cik Ton. Hasil siasatan dengan kawan yang kenal Cik Ton, saya dapat tahu Cik Ton diceraikan kerana perangainya yang bebas dan suka berbomoh. Bekas suaminya tak beri nafkah kerana keburukan perangainya. Bekas suaminya dapat hak penjagaan anak, tapi Cik Ton tak mahu bagi kerana itulah sumber dia menagih simpati orang.

''Cik Ton memang kasar bila bercakap, nada suaranya memang tinggi dan suka menengking terutama bila menegur anaknya kerana menyindir saya. Dia tak hormat ayah sebagai suami.

''Saya bersyukur tidak tinggal di rumah itu lagi kerana menyambung pelajaran di politeknik. Jadi mudahlah Cik Ton buat apa juga yang dia suka di rumah kami termasuk mengawal kehidupan dan pergerakan ayah.

''Satu lagi yang saya hairan, rumah kami sentiasa didatangi oleh adik-beradik Cik Ton untuk menumpang tidur. Tak kurang juga datang minta bantuan duit daripada Cik Ton. Sebab saya pernah dengar Cik Ton marahkan adiknya selalu minta duit. Lebih teruk abang Cik Ton suruh ayah jadi penjamin nak buat bisnes. Terkejut saya. Tapi ayah mengikut saja.

''Kalau boleh saya tak mahu lagi duduk di rumah ayah, sebab saya kasihan tengok ayah yang bukan ayah yang saya kenal dulu. Ayah banyak berubah, dia jadi pak turut dan takut pada Cik Ton. Hinggakan ayah sanggup marah saya jika 'berlaga angin' dengan Cik Ton.

''Saya bernasib baik habis belajar terus dapat kerja. Biarlah gaji kecil asalkan tak duduk rumah ayah. Sebab mata saya sakit melihat kerenah Cik Ton dan anak-anaknya. Saya juga nasihatkan adik rajin belajar dan masuk asrama, tak payah duduk rumah ayah. Saya tak mahu dia kecewa melihat perangai Cik Ton, sebab adik budak baik.

''Saya sambung belajar sambil bekerja dan di situlah saya berkenalan dengan Ehsan kerana sama-sama belajar. Kerana ada jodoh kami merancang hendak kahwin. Cik Ton orang yang paling gembira. Dia suruh ayah buah kenduri di hotel besar. Saya tahu hajatnya kerana dia nak kutip duit dan hadiah daripada tetamu yang datang. Tetapi saya bantah. Saya mahu ayah buat kenduri di rumah. Itu pun kutipan duit masuk poket Cik Ton.

''Saya sedih niat ayah kahwin dulu nak tolong Cik Ton, tapi sekarang ayah pulak kena buli dan wang ayah habis dikikis oleh Cik Ton dan adik-beradiknya. Bila ayah bersara, dia buat bisnes tapi penuh dengan saudara-mara Cik Ton. Akibatnya, bisnes tak jalan dan duit ayah habis termasuk simpanannya. Semuanya kerana ayah terlalu ikut cakap Cik Ton.

"Saya berdoa agar ayah boleh pulihkan bisnesnya atau jual sahaja bisnesnya sebelum jatuh lebih teruk.'' Itu cerita Norizzaty tentang nasibnya beribu tiri.

Berbuka ala kampung di Cerana

Posted: 04 Aug 2013 05:32 AM PDT

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Foto SHIDDIEQIIN ZON

Chef Rohamiza Harun menunjukkan hidangan yang terdapat di Restoran Cerana.

SUDAH jemu menjamu selera berbuka puasa di hotel, apa kata ke Restoran Cerana di Batu 7, Lebuhraya Cheras Kajang dengan pemandangan tasik serta air terjun buatan. Pengunjung juga boleh merasai juadah masakan kampung khas dihidangkan sempena bulan Ramadan.

Pemandangan tenang ditambah dengan aroma ayam goreng berempah yang sedang digoreng segar memang membuka selera semasa berbuka puasa.

Pengurusnya Mohd Khairul Azwal Hasan berkata, pihaknya juga menyediakan beberapa gerai bagi pelanggan menikmati jemput-jemput udang, ikan bilis dan pisang yang segar dari kuali.

"Kami juga menyediakan gerai bagi ikan, sotong, ayam dan daging bakar selain gerai roti john, soto malindo, air batu campur, nasi beriani dan nasi dagang," katanya.

Dengan tema 'Ala Kampung Melayu', pengunjung juga memilih kerabu mangga, pecal, tempoyak, sambal belacan dan pelbagai ulaman seperti jering, petai, bendi, ulam raja dan timun.

Bagi bufet Ramadan, Restoran Cerana menawarkan harga RM53.90 bagi dewasa dan RM31.90 bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun.

Untuk tempahan, hubungi 03-90803715 atau Mohd Khairul Azwal 019-6171840.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


8 kedai makan diarah tutup

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
utusanjohor@utusan.com.my

PENGUAT kuasa Kesihatan Daerah Batu Pahat (kanan) memeriksa peti sejuk sebuah kedai makan di Taman Universiti, Parit Raja, semalam.

BATU PAHAT 24 Dis. - Sebanyak lapan kedai makan di sekitar Taman Universiti, Parit Raja di sini diberikan notis tutup selama tujuh hingga 14 hari oleh Pejabat Kesihatan daerah kerana didapati kotor dan membahayakan pengguna.

Lapan kedai makan yang didapati kotor di bahagian memasak dan mencuci itu merupakan antara 12 premis yang diperiksa dalam operasi yang turut melibatkan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) malam semalam.

Pegawai Kesihatan Daerah Batu Pahat, Dr. Noorhaida Ujang berkata, operasi yang bermula pukul 8.30 malam itu merupakan pemeriksaan berterusan yang dilakukan pihaknya terhadap kedai makan di daerah ini.

"Dalam pemeriksaan itu, kita dapati terdapat kedai makanan yang pernah dikompaun sebanyak dua kali sebelum ini, tetapi masih ingkar dan tidak mengamalkan kebersihan khususnya di kawasan dapur dan tempat mencuci pinggan-mangkuk.

"Berikutan itu, kedai-kedai makanan yang tidak bersih ini diberikan notis penutupan selama tujuh hingga 14 hari bagi membolehkan pengusaha membersihkan premis mereka sebelum dibuka semula setelah mendapat pemeriksaan balas," katanya di sini.

Noorhaida berkata, dalam operasi tersebut sebuah kedai makan turut dikompaun kerana menjual rokok di bawah harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Operasi seperti ini akan dilakukan sepanjang masa di setiap lokasi di daerah ini bagi memastikan para peniaga makanan mengamalkan kebersihan seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

"Tindakan tegas ini penting kerana kekotoran dalam pengendalian makanan merupakan penyebab kepada sebarang jangkitan atau kuman yang boleh memudaratkan kesihatan pelanggan," katanya.

Taman Rekreasi Kesang terbiar, kemudahan rosak

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

LEDANG 24 Dis. - Taman Rekreasi Kesang, dekat sini yang bersempadan dengan Sungai Rambai, Melaka dan dibina sejak lebih sedekad lalu dengan kos lebih RM1 juta kini terbiar dan tidak terurus sejak beberapa tahun lalu.

Kawasan tersebut yang suatu masa dahulu 'hidup' dengan pelbagai aktiviti dan popular kerana menempatkan deretan kedai makan, gelanggang futsal dan replika beca gergasi sekarang ini seakan-akan sudah 'mati'.

Lebih menyedihkan, tinjauan Utusan Malaysia mendapati taman tersebut dijadikan tempat pembuangan sampah serta tandasnya tidak boleh digunakan kerana rosak.

Seorang peniaga, Kimbong Osman, 60, berkata, sejak lapan tahun lalu dia menjadi peniaga tunggal gerai makanan di situ selepas 10 peniaga lain mengambil keputusan menutup perniagaan masing-masing kerana tidak mendapat sambutan.

"Dahulu kawasan ini meriah dan ceria dengan kehadiran ramai pengunjung untuk beriadah pada petang hujung minggu dan cuti umum. Banyak kedai diusahakan termasuk kemudahan untuk karaoke.

"Namun, situasi itu hanya bertahan selama setahun dan lama kelamaan pusat ini terbiar tidak terurus serta berlaku banyak kerosakan pada kemudahan yang disediakan," katanya ketika ditemui di kedainya di taman tersebut, di sini semalam.

Setiap hari dia bersama suami berniaga nasi lemak bermula pukul 2 petang hingga 12 malam dan kebanyakan yang singgah ke gerainya adalah pelanggan tetap terdiri daripada penduduk berhampiran dan remaja yang bermain futsal di taman rekreasi itu.

"Saya pun hairan tempat ini susah nak membangun jika dibandingkan dengan medan selera di Sungai Rambai, Melaka yang terletak berhampiran dengan taman rekreasi ini, memang jauh bezanya kerana ramai pengunjung," katanya sambil mengakui sejak adanya gelanggang futsal setahun lalu bilangan pengunjung bertambah terutamanya golongan muda untuk beriadah pada waktu petang.

Seorang pengunjung, Mohd. Afiq Jaafar, 21, berkata, dia ke taman rekreasi tersebut setiap petang untuk bermain futsal bersama rakan-rakannya.

"Kawasan ini perlu dibangunkan kerana penduduk sekitar tidak mempunyai tempat sesuai membawa anak-anak beriadah. Ada antara mereka terpaksa ke Taman Rekreasi Tanjung Emas, Muar kerana tiada pilihan lain," katanya.

Kakitangan swasta, Fauziah Rashid, 30, mengakui tidak menyangka keadaan Taman Rekreasi Kesang semakin teruk terutama berlaku banyak kerosakan terhadap kemudahan yang disediakan.

Justeru, dia berharap pihak yang berkaitan mencari jalan terbaik memajukan semula tempat riadah itu supaya dapat menarik semula kedatangan pengunjung.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Peluk Islam selepas bermimpi

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my

Usdayantiana Uda

TAPAH 24 Dis. - Sejak beberapa bulan lalu, seorang wanita Orang Asli, Usdayantiana Uda, 25, kerap bermimpi melihat senaskhah al-Quran dengan dirinya mengenakan telekung dan mengerjakan solat.

Mimpi yang hadir hampir setiap malam itu memberi satu perasaan tenang kepada kakitangan di Depot Tahanan Imigresen Langkap berusia 25 tahun ini sehingga mendorongnya mempelajari tentang Islam dan akhirnya menganut agama tersebut.

"Saya dibesarkan dalam persekitaran di mana ramai rakan beragama Islam. Mereka banyak membantu dengan memberi bahan bacaan bagi mendalami agama ini.

"Sejak saya mula membaca tentang Islam dan Nabi Muhammad SAW, saya kerap bermimpi dan mimpi itu memberi rasa tenang dan bahagia. Berdasarkan petunjuk itu, saya membuat keputusan untuk memeluk agama Islam sekali gus mengikut jejak dua kakak saya sebelum ini," katanya.

Usdayantiana yang merupakan Orang Asli dari suku kaum Semai-Jakun dari Pekan, Pahang itu berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Keraian Pengislaman Peringkat Negeri Perak yang disempurnakan Orang Besar Jajahan (OBJ) Batang Padang, Dato Seri Yeop Junior Yeop Adlan di Cameron Agro Resort, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin dan Yang Dipertua Majlis Daerah Tapah, Razali Bakar.

Dalam majlis tersebut, seramai 52 saudara baru yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli termasuk kaum Cina dan India dari daerah Tapah memeluk Islam dengan melafazkan kalimah syahadah.

Bagi saudara baru, Abdul Rahman Abdullah, 74, pada mulanya dia memeluk agama Islam kerana tidak mahu berasa terpinggir berada dalam kalangan keluarga selepas anaknya memeluk agama itu untuk mengahwini lelaki Melayu.

Bagaimanapun katanya, sebaik kalimah syahadah dilafazkan, dia mula menyedari bahawa tindakannya itu adalah tepat dan dilakukan dengan rela tanpa paksaan mana-mana pihak.

"Sebaik sahaja saya memeluk Islam, semua kebiasaan lama telah ditinggalkan. Islam ini tidak sukar dan saya gembira dengan anutan baru ini," katanya.

Sementara itu, Mohd. Yusop berkata, saudara baru yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli diseru agar mengambil kesempatan mempelajari tentang agama Islam melalui kelas agama yang diadakan di surau yang terletak di mana-mana perkampungan Orang Asli.

Katanya, di negeri Perak terdapat sebanyak 300 perkampungan Orang Asli yang mempunyai penganut beragama Islam di mana setiap kampung akan menjalankan kelas agama dan mengaji al-Quran selama 16 jam bagi setiap bulan.

"Purata setiap tahun mereka yang memeluk agama Islam di negeri ini adalah sebanyak 600 orang. Saudara baru ini terdiri dalam kalangan orang Asli, kaum Cina dan India," ujarnya.

'Duit banyak pun tak guna'

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh OTHMAN YAHAYA
utusanpenang@utusan.com.my

MANSOR Abdul Manaf (kiri) menyampaikan cek Skim Faedah Pengurusan Mayat kepada Mazni Mansor di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, semalam. - BERNAMA

TASEK GELUGOR 24 Dis. - "Duit banyak pun tiada guna jika dibandingkan kehilangan orang tersayang."

Demikian kata Mazni Mansor, 28, balu Allahyarham Shahidi Asyraf Zainal Abidin, 27, yang maut dihempap kontena yang terjatuh ketika sedang bekerja di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di Butterworth pada Isnin lalu.

"Kami bercinta selama tiga tahun sebelum berkahwin dan rumah tangga yang dibina selama ini cukup bahagia.

"Dia seorang suami yang bertanggungjawab, bersikap baik dan cukup menyayangi saya dan anak kami, Syazrina Awatif yang berumur setahun," katanya yang ditemui selepas menerima sumbangan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Kampung Permatang Berangan, di sini hari ini.

Sumbangan cek RM1,500 bagi Skim Faedah Pengurusan Mayat itu disampaikan oleh Pengurus Perkeso Pulau Pinang, Mansor Abdul Manaf.

Mazni yang merupakan jururawat di Hospital Kulim berkata, walaupun reda dengan takdir, dia masih trauma kehilangan suami tersayang yang menjadi tempat bermanja selama ini.

Menurut Mazni, dia tidak menolak keperluan mempunyai wang tetapi kesedihan akibat kehilangan insan tercinta menyebabkannya tidak terlalu memikirkan soal itu.

"Banyak kenangan manis sepanjang hidup dengannya menyebabkan saya sukar melupakannya," kata Mazni yang mencurahkan perasaannya.

Sementara itu, Mansor berkata, bantuan RM1,500 yang diserahkan kepada balu allahyarham merupakan bantuan awal meringankan beban keluarga si mati.

"Pihak kami juga akan menyalurkan pencen bulanan yang akan diterima Mazni pada awal Januari 2014 selepas tempoh matang caruman suaminya itu berkuat kuasa," katanya.

Penderitaan pesakit kanser payu dara dapat perhatian Econsave

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

ZAMZURI Mansor (TIGA DARI kiri) menyerahkan sumbangan berupa lampin pakai buang kepada Hadzir Saad untuk keperluan Che Ashah Hussein di rumahnya di Taman Desa Aman, Sungai Lalang, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

SUNGAI PETANI 24 Dis. - Penderitaan seorang pesakit kanser payu dara, Che Ashah Hussein, 54, dari Taman Desa Aman, Sungai Lalang di sini mendapat perhatian Econsave Cash and Carry Sdn. Bhd. (Econsave) Bandar Puteri Jaya, baru-baru ini.

Syarikat itu melalui Program Dana Prihatin Econsave bermurah hati menghulur pelbagai barang makanan bernilai RM1,000 kepadanya.

Suaminya, Hadzir Saad, 58, berkata, Che Ashah menghidap penyakit itu sejak tiga tahun lalu dan tahap kesihatannya semakin merosot hingga tiada selera menjamah makanan hampir sebulan lalu.

"Keadaan kesihatannya amat menyedihkan, dia hanya minum susu, tangan kanan terus bengkak dan tangan kiri pula bertambah kecil," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sebelum menghidap penyakit itu, menurutnya, Che Ashah bekerja kilang di Taman Ria Sungai Petani dan di waktu lapang pula mengambil upah menjahit pakaian di rumah.

"Sekarang dia tidak berdaya lagi membuat kerja-kerja itu kerana terlantar sebab mengidap penyakit berkenaan," katanya lagi.

Hadzir mengucapkan terima kasih kepada Econsave Sungai Petani kerana prihatin dan menghulur bantuan berkenaan.

Menurutnya, dia sendiri sudah tidak bekerja sejak enam bulan lalu berikutan keadaan isterinya itu manakala segala makan minum dan lain- lain diurus oleh anak perempuannya, Nur Hashimah, 24, yang juga menghadapi masalah penyakit asma.

Orang ramai yang ingin menghulur sumbangan kepada Che Ashah boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 102102013323.

Pengurus Operasi Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, pihaknya akan menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan seumpama itu melalui dana yang dilancarkan kira-kira dua tahun lalu.

Menurutnya, setakat ini lebih 10 orang pesakit kronik menerima bantuan itu.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Gelombang kedua banjir: Tingkat kerjasama penduduk, agensi - PM

Posted: 25 Dec 2013 03:17 AM PST

KUALA LUMPUR 25 Dis. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap semua penduduk dan agensi keselamatan bekerjasama secara lebih sistematik dalam menghadapi gelombang kedua banjir yang diramal melanda hujung bulan ini.

Beliau juga meminta penduduk mengutamakan keselamatan diri serta keluarga dan berdoa agar kejadian banjir segera berakhir.

"Saya difahamkan gelombang kedua banjir diramal melanda sekali lagi di beberapa buah negeri hujung bulan ini.

"Untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini, saya berharap penduduk dan agensi keselamatan dapat berganding bahu dengan lebih sistematik," kata Najib dalam catatan terbaharu di laman Facebook beliau hari ini.

Semalam, Jabatan Meteorologi memberi amaran kemungkinan berlaku gelombang kedua banjir di Pahang bermula 30 Dis.

Banjir buruk di Pahang baru-baru ini mengakibatkan lebih 40,000 mangsa dipindah ke pusat pemindahan. - BERNAMA

Jaga sensitiviti beragama - PM

Posted: 25 Dec 2013 02:09 AM PST

Oleh ANI AWANG dan AZELI ALI

PULAU PINANG 25 Dis. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua pihak supaya menjaga sensitiviti beragama dan tidak menyakiti hati satu sama lain termasuk antara Islam dan Kristian.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Rumah Terbuka Malaysia Hari Krismas 2013 di Padang Kota Lama, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

PM tiba di Pulau Pinang hadiri Rumah Terbuka Krismas

Posted: 25 Dec 2013 12:00 AM PST

GEORGE TOWN 25 Dis. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini hari ini untuk menghadiri sambutan Majlis Rumah Terbuka Krismas 2013 di Padang Kota Lama, di sini.

Ketibaan beliau disambut Setiausaha Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya dan pemimpin Barisan Nasional negeri.

Najib akan merasmikan majlis rumah terbuka itu yang turut dihadiri Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Antara aktiviti yang memeriahkan majlis itu adalah persembahan kebudayaan dan hiburan oleh artis tanah air, pameran kraf warisan, pameran Tahun Melawat Malaysia 2014, demonstrasi hiasan pokok Krismas, pembuatan kad ucapan dan biskut halia.

Lebih 20,000 pengunjung dijangka menghadiri majlis sambutan Krismas yang pertama kali diadakan di negeri ini. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Ambang 2014 dijangka meriah

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 24 Dis. - Sambutan ambang tahun baharu 2014 yang akan diadakan di Dataran Pahlawan dijangka meriah apabila pelbagai acara menarik diatur pada malam tersebut.

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BBP), pejabat Ketua Menteri, Abd. Kadir Md. Idris berkata, sambutan kali ini dijangka lebih meriah kerana turut melancarkan sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM 2014) peringkat negeri yang akan disempurnakan Yang Dipertua negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Menurutnya, konsep sambutan kali ini akan menyerlahkan lagi produk-produk pelancongan terkini, persembahan kebudayaan pelbagai etnik, pertunjukkan bunga api dan persembahan artis yang dicungkil menerusi Bintang Melaka FM.

"Sambutan kali ini akan melibatkan orang ramai dan pelancong dari dalam serta luar negara untuk membanjiri Dataran Pahlawan sekali gus menyerlahkan kehebatan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama di dunia," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Abd. Kadir berkata, dua kumpulan pemuzik dari Kombo Briged Seni dan Kombo Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan memeriahkan persembahan hiburan mengiringi artis-artis anak kelahiran negeri ini.

Menurutnya, majlis tersebut akan bermula pukul 9 malam hingga detik 12 malam tahun baharu yang akan dimeriahkan pertunjukkan bunga api selama lebih 20 minit.

Katanya, kerajaan negeri akan turut melancarkan Kalendar Acara Pelancongan 2014 sempena TMM 2014 menampilkan 96 acara sepanjang tahun depan, pelancaran Cuti-Cuti 1Malaysia Countrysite Melaka Bike Ride dan Pertandingan Fotografi Melaka.

Justeru katanya, pelancaran TMM 2014 peringkat negeri menyasarkan kedatangan 14 juta pelancong ke negeri ini tahun depan dapat direalisasikan dengan 96 acara diatur melibatkan pelbagai pihak yang terlibat dalam industri pelancongan di negeri ini.

Menurutnya, sambutan tahun baharu 2014 akan menjadi titik tolak mengajak rakyat daripada pelbagai kaum dan etnik di negeri ini bersama-sama membantu kerajaan negeri sepanjang TMM 2014.

Sehubungan itu, Abd. Kadir mengajak orang ramai datang memeriahkan sambutan ambang tahun baharu 2014 di Dataran Pahlawan nanti.

Pemandu penting diri punca jalan sesak

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Sikap tidak bertanggungjawab pemandu meletakkan kereta di garisan kuning sambil bersembang dengan rakan adalah antara punca kesesakan di Jalan Bunga Raya, Melaka, semalam.

MELAKA 24 Dis. - Sikap mementingkan diri sendiri kalangan pengguna jalan raya terutama pemandu kereta yang meletakkan kenderaan mereka di tepi-tepi jalan merupakan antara punca berlakunya kesesakan teruk di bandar raya ini.

Pemandu yang mengambil langkah mudah meletakkan kenderaan mereka sesuka hati untuk berurusan di bank, pejabat pos mahupun pusat beli-belah itu jelas memberi kesan buruk kepada para pengguna jalan raya lain.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Jalan Laksamana, Jalan Bunga Raya, Jalan Temenggong dan Jalan Banda Kaaba di sini mendapati ramai pemandu memberhenti dan meletakkan kenderaan mereka di sisi jalan yang mengundang kesesakan di kawasan tersebut.

Seorang pengguna jalan raya, Hafis Helmi, 42, berkata, keadaan sesak di kawasan itu sering terjadi terutama pada waktu tengah hari dan petang.

"Kebanyakan pemandu sengaja memberhentikan kereta mereka untuk singgah di mana-mana tempat tanpa memikirkan kesan kesesakan yang boleh berlaku.

"Oleh itu, saya harap pihak berkuasa dapat sentiasa memantau kawasan ini terutamanya pada waktu puncak bagi menghalang orang ramai terus mengamalkan sikap buruk tersebut. Ini penting bagi menjaga nama baik Melaka dalam kalangan pelancong," katanya yang menetap di Alor Gajah.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Negeri Sembilan, Noor Azura Mohd. Amri, 29, memberitahu, dia dan keluarga sering berkunjung ke negeri ini walaupun keadaan jalan semakin sesak dari hari ke hari.

Jelasnya, kesesakan itu berlaku disebabkan sikap pengguna sendiri yang gemar memberhentikan kenderaan mereka terutamanya di kawasan sibuk dan dikunjungi ramai orang walaupun terdapat kawasan tempat letak kereta disediakan.

"Jadi, sikap pengguna itu sendiri perlu diubah demi kebaikan bersama seterusnya dapat mengelak masalah kesesakan ini daripada terus berlarutan," ujarnya.

Seorang peniaga di Jalan Temenggong, J. Kumar, 63, berkata, kesesakan di kawasan itu sering berlaku sejak lebih 20 tahun lalu.

"Masalah kesesakan jalan ini semakin teruk disebabkan pertambahan pengguna jalan raya serta pengunjung dari luar yang suka melawat tempat bersejarah di sekitar kawasan ini.

"Namun, ia menjadi lebih teruk apabila ada pengguna yang mementingkan diri berhenti untuk membeli-belah atau singgah di bank di kawasan tumpuan pengunjung ini.

"Walaupun tindakan diambil pihak berkuasa, orang ramai tetap terus melakukan kesalahan tersebut," jelasnya.

MyLesen bantu golongan muda dapatkan lesen motosikal

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Mohd. Fadhil Hassan

MELAKA 24 Dis. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri akan menganjurkan program MyLesen bermula tahun hadapan dalam usaha membantu pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal untuk mendapatkan lesen.

Pengarahnya, Mohd. Fadhil Hassan berkata, program yang memfokuskan golongan muda itu bakal diadakan pihak JPJ dengan kerjasama sekolah memandu bagi menggalakkan golongan tersebut mendapatkan lesen motosikal.

Menurutnya, melalui program yang turut diadakan di seluruh negara itu, para pengguna berpeluang untuk mendapatkan lesen motosikal kelas B2 dengan bayaran sebanyak RM198 seorang, jauh lebih murah berbanding biasa.

"MyLesen diharap dapat menarik serta menggalakkan lagi golongan muda yang masih tidak mempunyai lesen untuk mendapatkannya di samping turut memperoleh khidmat tunjuk ajar dan nasihat daripada pihak JPJ.

"Program ini juga secara tidak langsung diharap dapat menghindarkan golongan muda daripada terus melakukan kesalahan menunggang tanpa lesen yang membahayakan keselamatan," katanya dalam sidang akhbar selepas Operasi Motosikal di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) arah selatan dekat Bukit Piatu, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ negeri, Jaafar Yaakob dan Penolong Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, Abdullah Kechut.

Jelas Mohd. Fadhil, walaupun program MyLesen memfokuskan golongan muda, ia turut dibuka kepada setiap peringkat umur pengguna yang masih belum mendapatkan lesen motosikal.

"Program ini akan dilakukan berterusan pada 2014 dalam usaha sasaran yang diletakkan JPJ Pusat untuk mencapai matlamat 1Rakyat 1Lesen," ujarnya.

Sementara itu katanya lagi, JPJ negeri turut akan memperkenalkan Skuad Muda 1JPJ bermula tahun hadapan yang akan memberi tumpuan bagi mengumpul seramai mungkin pengguna jalan raya terutamanya golongan muda sebagai ahli.

"Penubuhan skuad ini bertujuan membantu JPJ memberi kesedaran tentang keselamatan jalan raya kepada pengguna jalan raya lain.

"Skuad ini akan terlibat sama dengan pelbagai program yang akan dilaksanakan JPJ bagi melibatkan orang ramai dalam memastikan kesedaran terhadap keselamatan jalan raya dapat diserap kepada semua golongan tidak hanya oleh pihak penguat kuasa sahaja," tambahnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Bangga kejayaan anak bangsa

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Rafizi sengaja putar belit laporan ekonomi

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kos amah ikut pasaran melampau

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved