Selasa, 24 Disember 2013

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Rogol: Warga Bangladesh dipenjara 20 tahun, 16 sebatan

Posted: 24 Dec 2013 03:20 AM PST

PETALING JAYA 24 Dis. - Seorang pekerja restoran warga Bangladesh dihukum penjara 20 tahun dan 16 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana merogol dan menyamun seorang wanita, dua tahun lepas.

Hakim Rozina Ayob memerintahkan Buttu, 42, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 15 Oktober lepas.

Bagi kesalahan merogol, Buttu dihukum penjara 20 tahun dan 10 sebatan manakala untuk pertuduhan menyamun, dia dihukum penjara sembilan tahun dan enam sebatan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak.

Dalam penghakimannya, Rozina berkata beliau mengambil kira fakta bahawa ketika kejadian, mangsa hanya berada ditemani dua anak yang masih kecil.

"Selain itu, tertuduh juga menggunakan senjata iaitu parang ketika kejadian dan mengacukannya ke perut mangsa," katanya.

Buttu didakwa merogol wanita berusia 31 tahun itu di rumah mangsa pada 5.10 pagi 19 April tahun lepas mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa menyamun telefon bimbit milik mangsa bersenjatakan parang pada masa dan tempat sama.

Terdahulu, Buttu, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman ringan kerana mempunyai keluarga di Bangladesh.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa yang sedang tidur di dalam bilik bersama dua anaknya dikejutkan dengan kehadiran tertuduh di dalam rumahnya.

Tertuduh kemudian mengarahkan mangsa berdiam diri dan mengambil telefon milik wanita itu sebelum merogolnya di ruang tamu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dalira Din. - BERNAMA

Majoriti rakyat mahu kalimah Allah untuk Islam sahaja

Posted: 24 Dec 2013 03:03 AM PST

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Majoriti rakyat berbilang kaum di negara ini menolak kalimah Allah digunakan dalam kalangan bukan Islam, menurut satu tinjauan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (Umcedel).

Tinjauan yang dilakukan kepada 1,676 responden di seluruh Semenanjung dalam tempoh 6 hingga 8 Disember lalu menunjukkan sebanyak 58 peratus daripada mereka menyatakan kalimah suci itu milik eksklusif umat Islam manakala 26 peratus responden memberitahu mereka tidak pasti.

Apa yang menarik, daripada jumlah itu, sebanyak 21 peratus responden dari kaum Cina juga menolak penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam.

Pecahan status mengundi pula menunjukkan pengundi kali pertama adalah kumpulan yang paling banyak menolak penggunaan kalimah tersebut dalam kalangan bukan Islam dengan 64 peratus berbanding tidak pasti, 25 peratus.

Jelas tinjauan itu, masyarakat luar bandar merupakan pecahan terbesar yang bertegas dalam penggunaan kalimah berkenaan dengan 73 peratus berbanding 51 peratus di bandar. - UTUSAN ONLINE

Perkahwinan antara Sunah dan Syiah haram - JAIS

Posted: 24 Dec 2013 03:01 AM PST

SHAH ALAM 24 Dis. - Perkahwinan antara pengikut Sunnah dan Syiah adalah haram kerana ajaran Syiah di negara ini telah difatwakan sebagai bertentangan dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ahmad Zaki Arsad berkata, perkahwinan itu dilarang kerana ajaran Syiah jauh berbeza dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Selangor telah mengeluarkan fatwa pengharaman Syiah pada 14 Februari 1998.

Beliau berkata, pengharaman itu selari dengan keputusan yang dibuat oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 5 Mei 1996 yang menetapkan umat Islam di negara ini harus mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Menurutnya, perkahwinan antara Sunnah dan Syiah sangat bahaya kerana boleh merosakkan akidah, cara hidup dan keturunan selain menimbulkan masalah pembahagian harta pusaka.

"Oleh sebab itu, umat Islam di negara ini perlu diberikan penjelasan tentang bahaya Syiah kerana implikasi daripada penyebaran ajaran itu boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

"Kita boleh mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di negara lain seperti di Syria atau Pakistan bahawa permusuhan, persengketaan dan pertumpahan darah adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan jika fahaman Syiah dibiarkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri menghadiri Muzakarah Pakar Isu Perkahwinan Syiah dan Sunni Peringkat Negeri Selangor di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


1TNB Kilat Bikers hulur bantuan

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

Mohd. Sufian Mohd. Yusoff (tujuh dari kiri) menyerahkan bantuan kepada seorang penduduk dalam misi bantuan kemasyarakatan TNB ke kawasan banjir di Kemaman, Terengganu, baru-baru ini.

JEMPOL 23 Dis. - Suara kemanusiaan berkumandang di pantai timur mengajak segenap lapisan masyarakat tampil membantu menghulurkan bantuan meringankan beban mangsa selepas dilanda banjir baru-baru ini.

Penampilan menerusi Kelab 1TNB Kilat Bikers bersama Kelab Kilat Kuala Lumpur baru-baru ini telah melaksanakan program turun padang ke daerah Kemaman, Terengganu, dilihat antara usaha yang perlu diberikan pujian.

Menurut Presiden Kelab 1TNB Kilat Bikers, Mohd. Sufian Mohd. Yusoff, pihaknya rasa terpanggil untuk menghulurkan bantuan apabila melihat kesengsaraan mangsa banjir dipaparkan di akhbar dan media elektronik.

"Di dalam TNB kita mempunyai kelab kilat Bikers iaitu sebuah kelab sukan motosikal berkuasa tinggi yang dianggotai oleh warga TNB dari pelbagai negeri yang meminati sukan tersebut.

"Hampir 20 warga TNB dari kelab ini termasuk dua wakil media dari negeri ini berpeluang mengikuti misi bantuan kemasyarakatan TNB ke kawasan banjir di daerah Kemaman, Terengganu.

"Kita hulurkan bantuan kewangan serta barang keperluan harian seperti pakaian, makanan, selimut serta memberikan kata-kata semangat kepada mereka," jelasnya.

Kata Mohd. Sufian, pihaknya mendapati kebanyakan mangsa banjir telah menerima pelbagai bantuan keperluan harian sejak dari hari pertama berlaku banjir, namun, bekalan tambahan diperlukan kerana kebanyakan mangsa tidak dapat keluar membeli barang keperluan.

"Ada mangsa yang tidak mampu pergi ke kedai yang jauh kerana kenderaan rosak akibat banjir. Kedai yang dekat pula kebanyakan ditutup kerana turut menjadi mangsa banjir.

"Kami bersyukur ketika kami sampai, keadaan banjir mula surut dan penduduk boleh membersihkan kediaman mereka. Dengan bantuan yang dihulurkan kami berharap ia mampu melegakan mereka," terangnya lagi.

Mohd. Sufian memberitahu, misi bantuan telah tiba di beberapa buah perkampungan di daerah Kemaman, Terengganu termasuklah Kampung Serbang Tayor, Kampung Air Puteh, Kampung Sungai Lalang serta Kampung Bukit Teruna.

"Kami juga berkesempatan melawat tiga buah rumah yang musnah di Kampung Air Putih. Kami akan cuba mencari jalan penyelesaian agar dapat membantu mangsa-mangsa tersebut dari sudut yang berbeza," terangnya lagi.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan, Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi TNB, Datuk Mohd. Aminuddin Mohd. Amin berkata, pihaknya akan mempertimbangkan pembinaan lima buah rumah baharu di bawah Projek Baiti Jannati di Terengganu.

"Kita dapati banjir pada kali ini turut memusnahkan kediaman penduduk. TNB sedang mengumpulkan data-data penduduk yang difikirkan layak untuk menerima kediaman baharu. Penerima perlu menepati syarat-syarat yang ditetapkan di bawah projek perumahan tersebut.

"Jika layak, lima penduduk di Terengganu akan menerima rumah baharu yang segala kosnya di tanggung oleh TNB. Rumah yang akan dibina pada awal tahun hadapan ini dianggarkan bernilai RM40,000 ke RM50,000 seunit," jelasnya.

Penduduk cerita pengalaman dahsyat musibah banjir

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

Mohamad Mahmud (tiga dari kanan) menunjukkan keadaan rumahnya dekat Kampung Pasir Gajah yang terbelah dua kepada warga TNB yang menyertai misi bantuan kemasyarakatan di Kemaman, Terengganu, baru-baru ini.

JEMPOL 23 Dis. - Tragedi banjir di beberapa negeri terutama di Pahang dan Terengganu ternyata mengejutkan banyak pihak, malah turut melahirkan rasa simpati masyarakat.

Mangsa banjir bukan sahaja terpaksa 'menginap' di pusat pemindahan tetapi yang lebih malang, ada kalangan mereka hilang tempat tinggal.

Menceritakan detik-detik cemas itu , Abdul Rahman Velu Abdullah 49, dari Kampung Air Putih, Kemaman, Terengganu memberitahu, dia hanya mampu tergamam selepas rumah yang didiami hampir 30 tahun musnah akibat banjir.

"Saya mula berpindah ke Sekolah Kebangsaan Kampung Air Putih pada 4 Disember lalu lebih kurang pukul dua pagi apabila hujan lebat dan tidak berhenti sejak dua hari lalu.

"Keesokan harinya ada penduduk beritahu rumah saya musnah. Sebahagian rumah saya termasuk peralatan rumah ditemui di seberang jalan," katanya ketika ditemui sempena lawatan Kelab 1TNB Kilat Bikers ke kampung itu baru-baru ini.

Dia tidak menyangka satu-satunya harta yang dimilikinya itu musnah dalam sekelip mata.

Sementara itu, Mohamad Mahmud, 41, dari Kampung Pasir Gajah, Terengganu menceritakan, dia amat sedih melihat rumah pusaka miliknya 'terbelah' dipukul arus.

Jelasnya dia berpindah ke pusat khidmat masyarakat pada minggu lalu sebelum pulang semula ke kediamannya beberapa hari kemudian untuk membersihkan rumah sebelum terkejut melihat sebuah rumah lain berada di situ.

"Rupanya ia adalah rumah saya sendiri yang telah 'terbelah atau terbahagi' kepada dua bahagian. Bahagian dapur dan bilik utama terpisah. Keadaan ini menyebabkan kami sekeluarga terpaksa terus menumpang di pusat pemindahan banjir walaupun banjir sudah surut," terangnya lagi.

Dalam masa sama, bapa kepada tiga cahaya mata ini menjelaskan, dia amat terharu apabila menerima pelbagai bantuan berupa wang tunai, makanan serta pakaian daripada pelbagai pihak.

"Hari ini TNB datang melawat dan sempat meluangkan masa melihat keadaan rumah saya. Saya berbesar hati menerima kedatangan mereka yang sanggup menyalurkan bantuan," terangnya.

Sayed Abdul Fatah, 48, dari Kampung Pasir Minal, Cukai pula memberitahu, dia sukar melupakan pengalaman terpaksa menginap bersama 111 penduduk kampung lain di dalam masjid.

"Syukur masjid ini mempunyai tiga tingkat dan kami 'berkampung' selama tiga hari. Dari urusan masak sehingga tidur semuanya dilakukan di dalam masjid ini. Air masuk ke tingkat satu masjid menyukarkan pergerakan kami sekeluarga.

"Penduduk alami kerugian yang sangat besar apabila kenderaan mereka turut musnah. Bayangkan air naik sehingga menenggelamkan kenderaan. Ini merupakan banjir terburuk yang pernah dialami penduduk sejak berpuluh-puluh tahun perkampungan ini dibuka," ujarnya lagi.

203 peniaga diambil tindakan

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

Latiff Tamby Chik memeriksa harga barangan selepas majlis pelancaran Skim Kawalan Harga sempena sambutan Krismas di AEON Bandaraya, Melaka, semalam.

MELAKA 23 Dis. - Sebanyak 203 peniaga diambil tindakan kerana melakukan pelbagai kesalahan seperti gagal meletakkan tanda harga ke atas barangan jualan dan kesalahan menggunakan alat timbang tamat tempoh sepanjang tempoh 6 Julai hingga 20 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Latiff Tamby Chik berkata, sepanjang tempoh lima bulan itu sebanyak 10,916 premis telah diperiksa.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut ia melibatkan nilai rampasan berjumlah RM103,201.96 dan kompaun sebanyak RM25,130.

''Sebanyak 113 kes melibatkan peniaga gagal meletakkan tanda harga, 33 kes lagi adalah kerana gagal meletakkan tanda harga khas (merah jambu) iaitu sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri.

''Sebanyak empat kes kerana gagal meletakkan tanda harga khas pada perayaan Deepavali, satu kes melibatkan peniaga menjual harga terkawal melebihi harga yang telah ditetapkan dan satu kes lagi kerana tidak meletakkan label pengeluar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Skim Kawalan Harga sempena sambutan Krismas di AEON Bandaraya di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK), Muhabir Ibrahim dan Timbalan Pengarah, Jamil Buang.

Sebanyak 13 jenis barangan harga terkawal di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2013 akan mula dikuatkuasakan selama lima hari bermula hari ini hingga Jumaat.

Skim itu akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 membabitkan ayam hidup, ayam (standard dan super), ayam belanda import, daging kambing dan biri-biri import bertulang, telur ayam (gred A,B dan C), tomato serta lada benggala hijau.

Latiff berkata, sebanyak 51 kes pula adalah di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 bagi kesalahan menggunakan alat timbang yang telah tamat tempoh.

Justeru, beliau mengingatkan kepada peniaga di seluruh negeri ini agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan jika mereka ingkar PPDNKK tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan.

Ujarnya, peniaga wajib menjual barangan harga terkawal mengikut harga maksimum yang ditetapkan kerajaan dan mereka juga perlu meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu.

''Bagi skim kawalan harga musim perayaan Krismas bermula hari ini, saya harap peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya ke atas 13 jenis barangan yang telah ditetapkan," katanya.

Sementara itu Muhabir berkata, bekalan barangan bagi musim perayaan Krismas adalah mencukupi dan masyarakat yang menyambut perayaan itu tidak perlu risau.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Cacat anggota bukan halangan

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

Oleh FAJAR NUR SURIA
utusanpenang@utusan.com.my

Pelumba paralimpik yang menggunakan basikal tandem (kiri) tetap memberi saingan kepada peserta normal dalam Kejohanan Berbasikal Terbuka sempena Pesta Pulau Pinang di Georgetown, baru-baru ini.

PULAU PINANG 23 Dis. - Status orang kurang upaya (OKU) ternyata bukan penghalang kepada sekumpulan anak muda untuk bergiat aktif dalam sukan berbasikal.

Kesungguhan mereka jelas terbukti apabila mereka bersama peserta normal lain menyertai Kejohanan Berbasikal Terbuka Pulau Pinang Ke-45 di sini baru-baru ini.

Mereka juga tidak kekok untuk bersaing dengan peserta normal dalam kategori terbuka meskipun penganjurnya, Persatuan Berbasikal Pulau Pinang mewujudkan kategori khas, paracycling.

Jurulatih paracycling, Johari Mohd. Nayan berkata, kesemua 15 pelumba itu bernaung di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai persediaan menghadapi Sukan Paralimpik 2016.

Menurutnya, kehadiran mereka dalam kejohanan tersebut adalah kali kedua selepas mencuba nasib kali pertama pada tahun lalu.

"Pasukan ini banyak mengambil bahagian dalam kejohanan luar negara kerana perlumbaan basikal di Malaysia tidak memperkenalkan kategori khas untuk mereka.

"Atlet yang berada dalam pasukan ini ialah mereka yang mengalami pelbagai kecacatan seperti kudung kaki, kaki lumpuh, cacat tangan dan cacat penglihatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Jelasnya, MSN amat berbesar hati kerana dapat memperkenalkan acara tersebut kepada orang ramai dan memberi galakan kepada golongan OKU untuk tampil aktif bersukan.

Beliau menambah, MSN sedia membantu golongan OKU untuk turut sama terlibat dalam sukan dan akan diberi pendedahan lebih meluas dalam acara yang diminati mereka.

"Sebelum menyertai kejohanan ini, kami memperkemaskan latihan bukan sahaja di jalan raya malah persediaan fizikal di gimnasium untuk memberi mereka pendedahan termasuk mampu bersaing dengan pelumba normal.

"Saya berharap lebih banyak penganjur mewujudkan kategori khas untuk pelumba paracycling bagi memberi peluang kepada golongan OKU bersama-sama masyarakat dalam sukan," ujarnya.

Bagi seorang pelumba OKU, Yusaini Mohd. Yusop, 30, kekurangan penglihatan yang dialaminya tidak menghalang untuk menyertai perlumbaan basikal yang amat diminatinya.

Katanya, biarpun bersaing dalam kategori OKU, skil dan kemahiran berlumba yang dimilikinya setanding dengan pelumba lain biarpun terpaksa menggunakan basikal tandem.

"Dulu saya ialah insan normal namun kecacatan yang dialami tidak menghalang saya untuk meneruskan minat dalam lumba basikal.

"Selain itu, saya sedia bersaing bersama pelumba normal lain biarpun terpaksa berlumba menggunakan basikal tandem yang dibantu seorang rakan," katanya.

Pendapat sama diakui rakannya, Mohd. Najib Turano 26, yang cacat di bahagian kaki akibat kemalangan, empat tahun lalu.

Menurut beliau, sasarannya dalam lumba basikal adalah mengharumkan nama negara di Sukan Paralimpik 2016 dan membawa pulang pingat.

"Penyertaan dalam kejohanan ini membuka ruang kepada saya menajamkan skil dan memperbaiki rentak kayuhan untuk bersaing dengan pelumba asing nanti," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Berbasikal Pulau Pinang, Mohd. Ibrahim M. B. Merican memberitahu, kejohanan berkenaan merupakan yang tertua di negeri ini sejak diperkenalkan 45 tahun lalu.

Jelasnya, penyertaan pada tahun ini mencecah 300 pelumba dari 12 negeri yang turut menarik minat golongan muda.

"Pada tahun ini juga kita perkenalkan kategori paracycling yang memberi pendedahan kepada pelumba OKU untuk bersaing bersama pelumba normal lain.

"Saya berharap penganjur perlumbaan basikal dapat memberi ruang kepada golongan OKU untuk turut serta sama ada dalam kategori khas atau bersaing bersama pelumba lain," ujarnya.

Kejohanan tersebut diadakan di dua lokasi iaitu perlumbaan lebuh raya sejauh 82 kilometer bermula dari Persiaran Gurney dan berakhir di Anjung Indah, Balik Pulau melalui Batu Feringghi, Teluk Bahang dan Balik Pulau selain acara kriterium di Padang Kota Lama sebanyak 40 pusingan.

200 murid miskin terima bantuan

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

Oleh SAYED HESHAM IDRIS
utusanperak@utusan.com.my

KANAK-KANAK sekolah beratur untuk menerima beg sekolah sumbangan Menteri Besar Incorporated dengan kerjasama Pejabat Khidmat Pembangunan Masyarakat Ayer Kuning, Kampar, Perak, semalam. - UTUSAN/ Zulkarnain Mohd. Saidin

TAPAH 23 Dis. - Sesi persekolahan 2014 tidak lama lagi lebih bermakna buat 200 murid sekolah rendah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di sini apabila mereka menerima sumbangan baucar buku dan beg hari ini.

Sumbangan itu merupakan bantuan daripada Menteri Besar Incorporated (MB Inc.) di bawah Program Balik Sekolah dengan kerjasama Pejabat Khidmat Pembangunan DUN Ayer Kuning.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Muhammad Amin Zakaria yang menyampaikan sumbangan tersebut berkata, bantuan itu diharapkan dapat meringankan beban ibu bapa yang berpendapatan rendah membeli keperluan persekolahan anak-anak mereka.

Menurutnya, menerusi sumbangan itu, murid boleh menukar baucar untuk mendapat buku di koperasi sekolah masing-masing, selain menerima sumbangan beg sekolah.

"Program hari ini merupakan antara usaha kerajaan negeri untuk meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah.

"Selain MB Inc., agensi lain di bawah kerajaan negeri turut memberi bantuan yang sama seperti Yayasan Perak menerusi program mereka di tempat lain.

"Bantuan dalam bentuk baucar buku ini bertujuan mengelak daripada sumbangan yang diberikan disalah guna untuk membeli barang lain," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Strategik dan Perhubungan MB Inc., Farouq Sahibjan berkata, pelajar yang menerima sumbangan terdiri daripada murid tahun satu hingga enam yang merupakan golongan miskin dan anak-anak yatim dari sekitar kawasan DUN Ayer Kuning.

Menurutnya, mereka dikenal pasti oleh Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang.

"Program ini bertujuan memberi bantuan dan berkongsi sebahagian daripada hasil yang kami peroleh melalui aktiviti pembangunan oleh MB Inc. di kawasan ini.

"Sumbangan ini diharap dapat membantu murid membuat persiapan untuk kembali ke sekolah," katanya.

Guan Eng diminta bela juga penjaja Melayu

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

KEPALA BATAS 23 Dis. - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diminta turut peka dengan nasib peniaga dan penjaja kecil Melayu di Pasar Kepala Batas di sini, bukannya membela peniaga daripada satu kaum sahaja.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ini ekoran tindakan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menyaman peniaga dan penjaja kecil di pasar tersebut yang dianggap sebagai keterlaluan.

Beliau berkata, langkah mengenakan kompaun sehingga RM250 kepada setiap seorang peniaga dan penjaja berkenaan adalah tidak adil kerana pendapatan mereka berniaga di pasar berkenaan bukanlah begitu lumayan.

Mereka hanya berniaga di kaki lima pasar dan tidak mengganggu lalu lintas tetapi dikena kompaun yang amat berat.

"Ada peniaga disaman lebih 10 kali tetapi terpaksa meneruskan perniagaan kerana mahu menampung kehidupan keluarga," katanya kepada pemberita selepas meninjau masalah yang dihadapi peniaga di Pasar Kepala Batas di Permatang Manggis di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Datin Seri Ismalina Ismail.

Reezal Merican berkata, peniaga dan penjaja kecil di sini perlu dibela kerana mereka tidak mempunyai tempat untuk menjalankan perniagaan selain berniaga di situ sejak beberapa tahun lalu.

Guan Eng hendaklah mendengar rintihan rakyat dan bersikap adil dengan memberi peluang kepada peniaga dan penjaja Melayu berniaga di sini, janganlah bela satu kaum sahaja," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap MPSP dapat mempertimbangkan peniaga dan penjaja di pasar ini terbabit dikecuali daripada tindakan kerana kehadiran mereka tidak mengganggu lalu lintas dan bertindak terhadap rungutan orang ramai yang menghadapi masalah kekurangan tempat meletak kereta.

Kalau terus mengambil tindakan kompaun, pendapatan mereka sudah pasti akan terjejas teruk," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Orang ramai marah, bantah

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Helikopter Nuri mendarat cemas

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

RKK dalangi insiden letupan?

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my

Isnin, 23 Disember 2013

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Kanak-kanak empat tahun mati disyaki didera

Posted: 23 Dec 2013 11:07 PM PST

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Seorang kanak-kanak berusia empat tahun mati disyaki akibat didera di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini pagi ini.

Mangsa sebelum itu dihantar ke hospital berkenaan oleh ibunya kerana tidak sedarkan diri sehinggalah menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan pada pukul 9 pagi ini.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang dikatakan menghidap penyakit sawan tinggal bersama ibunya di Sungai Besi di sini bersama tiga lagi adik beradiknya.

Polis masih menunggu laporan bedah siasat untuk memastikan sekiranya terdapat unsur penderaan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001," katanya. - UTUSAN

Kediaman Timbalan Menteri Dalam Negeri nyaris disamun

Posted: 23 Dec 2013 10:34 PM PST

KUCHING 24 Dis. - Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar nyaris menjadi sebahagian statistik jenayah apabila kediamannya di Green Road di sini cuba dipecah masuk dalam kejadian awal hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad, dalam kejadian 3.15 pagi itu, perbuatan penjenayah mengumpil tingkap menyebabkan penggera keselamatan di kediaman tersebut berbunyi.

"Sebaik mendengar bunyi penggera, dua anggota polis dan tiga anggota Rela yang sedang meronda di kawasan berhampiran bergegas ke lokasi dan ternampak dua suspek melarikan diri," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata suspek berjaya meloloskan diri ketika dikejar oleh anggota pasukan peronda berkenaan.

Menurutnya siasatan awal polis mendapati penjenayah membuat lubang pada pagar untuk masuk ke kawasan pekarangan rumah.

Sementara itu, Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri itu, Wan Hamzah Wan Paee berkata Wan Junaidi sekeluarga tiada di rumah kerana sedang bercuti.

Saya akan berjumpa dengan pihak polis bagi mendapat laporan lengkap mengenai kejadian, katanya. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


MSN perlu buat

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

Olahraga sering jadi penyumbang emas terbesar negara pada Sukan SEA, namun pada temasya di Myanmar hanya empat emas berjaya diraih. - BERNAMA

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta Majlis Sukan Negara (MSN) melakukan post-mortem terhadap kemerosotan sukan yang sewajarnya menjadi lubuk emas buat kontinjen negara seperti olahraga dan renang pada Sukan SEA 2013.

Kata Khairy, sungguhpun gembira melihat Malaysia berjaya mencapai sasaran pingat emas ditetapkan, namun masih ada beberapa sukan yang mempamerkan prestasi mengecewakan.

Tambah Khairy, post-mortem itu perlu bagi membangunkan semula sukan tersebut, selain perlu merancang lebih banyak program pada masa akan datang.

"Contohnya, MSN perlu bekerjasama rapat dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) untuk melaksanakan program pembangunan khas bagi olahraga dan renang.

"Program pembangunan di peringat daerah dan negeri akan diperbanyakkan untuk mencari lebih ramai lagi bakat baru.

"Barisan jurulatih akan ditambah dan diperkasa melalui Akademi Kejurulatihan Kebangsaan dan kepakaran luar negara juga akan ditambah untuk acara-acara tertentu," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Pada Sukan SEA 2013 di Myanmar yang melabuhkan tirainya, Ahad lalu olahraga gagal mencapai sasaran lima emas sebaliknya hanya membawa pulang empat emas.

Malah, acara yang sentiasa didominasi Malaysia seperti 20 kilometer jalan kaki, baling tukul besi wanita, 400 meter lari berpagar wanita dan lompat bergalah wanita gagal menyumbang sebarang pingat ekoran ramai jaguh yang mengambil keputusan bersara.

Sementara renang juga sukar untuk menjelmakan lebih banyak pingat emas seperti temasya dua tahun lalu yang menyaksikan Malaysia meraih lima emas, 10 perak dan tiga gangsa.

Bagaimanapun, kali ini renang hanya mampu menyumbang empat pingat emas.

Dalam pada itu, Khairy turut menegur aksi hambar sukan yang sering dikaitkan dengan Malaysia seperti badminton dan sepak takraw.

Kata Khairy, sebagai menteri, beliau mahu memandang ke hadapan dan memberi tumpuan kepada apa yang termampu untuk mengubah tren kemerosotan sukan tersebut bagi membolehkan Malaysia menjadi sekurang-kurangnya kuasa besar di rantau ini.

"Saya juga telah mengumumkan kesediaan MSN untuk membantu Persatuan Sepaktakraw Malaysia bagi menyelamatkan sukan itu dan harap mereka akan berkerjasama dalam program khas untuk mencapai sasaran emas pada Sukan SEA 2017 di mana Malaysia akan menjadi tuan rumah.

"Sekali lagi, tahniah pada kontinjen Malaysia, ketua kontinjen, para pegawai, jurulatih dan atlet. Semoga tahun 2014 membawa banyak lagi kejayaan sukan untuk negara," kata Khairy.

Atlet IPT dapat durian runtuh

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

Menteri Pendidikan II, Idris Jusoh mengangkat Trofi SUKIPT 2014 semasa Majlis Pelancaran SUKIPT 2014 di Dewan Za'ba Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA - Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang menyumbangkan 24 daripada 43 pingat emas atau 56 peratus yang dimenangi Malaysia dalam Sukan SEA XXVII di Nay Pyi Taw, bakal mendapat 'durian runtuh' sebanyak RM5,000 setiap satunya, daripada skim insentif Kementerian Pendidikan.

Mereka ialah Muhammad Irfan Shamsuddin, Nauraj Singh Randhawa dan Pandelela Rinong Pamg dari Universiti Malaya bagi olahraga dan terjun; Lim Chee Wei dari Universiti Sains Malaysia bagi dua emas karate, Cheong Jun Hoong (Universiti Putra Malaysia - UPM) dengan dua emas terjun serta sebahagian besar pemain skuad hoki wanita (UPM dan Universiti Teknologi Mara).

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pencapaian itu cukup membanggakan apatah lagi 32 peratus atau 186 daripada 582 atlet negara pada temasya dwitahunan itu datangnya dari IPT, berbanding sasaran awal kementerian, hanya 30 peratus.

"Mereka membuktikan tetap mampu cemerlang dalam sukan antarabangsa biarpun sebagai penuntut IPT. Daripada 32 peratus atlet negara dari IPT ini, mereka berjaya menyumbangkan 53 peratus pingat Malaysia dalam Sukan SEA," katanya pada majlis pelancaran Sukan IPT (SukIPT) Kedua di sini, semalam.

Kata beliau, atlet IPT turut menyumbangkan 19 daripada 38 pingat perak atau 50 peratus dan 40 daripada 76 gangsa atau 53 peratus dengan secara keseluruhannya, 83 daripada 157 pingat kontinjen negara yang mewakili 53 peratus di Nay Pyi Taw.

"Insentif bagi Sukan Asia dan Komanwel tahun depan pula ditetapkan sebanyak RM15,000 bagi emas, RM10,000 perak dan RM7,000 gangsa, sementara bagi Sukan Olimpik RM25,000 (emas), RM15,000 (perak) dan RM10,000 (gangsa)," katanya.

Sementara itu, SukIPT yang dilancarkan semalam dengan kos penganjuran RM3 juta, bakal berlangsung dari 3 hingga 16 Februari tahun depan di UiTM, Shah Alam dan akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"SukIPT kali kedua ini akan melibatkan 110 kontinjen (20 IPT awam, 50 IPT swasta, 12 politeknik negeri, 10 kolej komuniti negeri, 14 institusi pendidikan guru dan satu matrikulasi), disertai 8,000 atlet, 2,500 pegawai, 1,500 sukarelawan di 20 gelanggang pertandingan yang mempertandingkan 251 pingat emas," katanya.

Dua puluh empat jenis sukan pada SukIPT 2014 ini ialah bola tampar pantai, catur, hoki, boling padang, memanah, menembak, renang, sepaktakraw, pencak silat, tenis, boling, woodball, badminton, bola jaring, bola tampar, judo, karate, lawan pedang, olahraga, petanque, ragbi, sofbol, skuasy dan taekwondo.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Sukarelawan PMO bantu mangsa banjir

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

Sukarelawan dari Pejabat Perdana Menteri membersihkan peralatan dapur yang berlumpur di rumah penduduk yang dilanda banjir di Kampung Mengkarak, Bera, baru-baru ini.

KUANTAN 23 Dis. - Prihatin dengan nasib penduduk yang terjejas akibat banjir di negeri itu, sukarelawan Pejabat Perdana Menteri (PMO) juga tidak mahu ketinggalan bagi sama-sama membantu mangsa yang terlibat.

Bantuan yang diberikan bukan sahaja dalam bentuk barangan keperluan seperti beras, gula dan makanan ringan malah sukarelawan terbabit turut membersihkan kediaman penduduk.

Diketuai Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Mohd. Poad Jelani, pasukan tersebut telah pergi ke beberapa kawasan di Pekan dan juga Bera bagi membantu mangsa yang terlibat di kawasan tersebut.

Kehadiran sukarelawan PMO di kawasan terlibat nyata memberikan semangat kepada setiap mangsa seterusnya membantu mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung mereka ekoran bencana banjir.

Pasukan itu telah mula menjalankan kerja sukarela pada 8 Disember lalu dengan mengunjungi pusat pemindahan banjir di Kampung Lamir, Pekan, dekat sini bagi memberikan sumbangan.

Dalam program tersebut, antara sumbangan yang disampaikan adalah air mineral, bekalan makanan kering seperti biskut dan 50 ekor ayam.

Mohd. Poad berkata, program tersebut adalah program pertama sukarelawan PMO turun membantu mangsa yang terjejas akibat banjir.

"Seramai 25 sukarelawan terlibat dalam program ini dan kita bermula di Kampung Lamir. Selepas ini kita akan bergerak ke kawasan lain bagi memberikan sumbangan," katanya.

Seorang mangsa banjir yang ditemui di Kampung Lamir, Mohd. Saudi Mohd. Ali, 57, begitu berterima kasih atas sumbangan yang diberikan pelbagai pihak termasuk daripada sukarelawan PMO.

"Saya dan keluarga amat bersyukur kepada Allah SWT apabila musibah yang menimpa mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan.

"Syukur sangat dengan bantuan yang diterima, bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami sekeluarga," katanya.

Selepas melaksanakan kerja sukarelawan di Pekan, pasukan itu pada 14 Disember lalu telah ke Kampung Mengkarak, Bera dekat sini.

Di situ, sukarelawan PMO bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi membersihkan rumah penduduk yang terjejas akibat bencana tersebut.

Seramai 20 sukarelawan PMO terlibat dalam program tersebut manakala 15 daripada UPM termasuk empat mahasiswa antarabangsa universiti berkenaan yang berasal dari Nigeria.

Sukarelawan PMO diketuai Mohd. Poad dan UPM diketuai oleh Pengarah Urusan UPM Holdings yang merupakan anak syarikat universiti terbabit, Prof. Dr. Husaini Omar.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai.

Wakil sukarelawan PMO, Husnita Hussien, 37, berkata, selepas di Pekan, mereka kini di Bera pula bagi membantu mangsa banjir di situ.

Beliau berkata, selain membersihkan rumah, mereka juga turut menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan asas kepada mangsa yang terlibat.

"Kami dari PMO sepatutnya ada program lain minggu ini, tetapi atas dasar prihatin dan simpati kami batalkan dan turun ke sini bagi memberikan bantuan membersihkan rumah," katanya.

Sementara itu, Norol Azali berkata, program yang dilaksanakan antara sukarelawan PMO dan UPM itu adalah amat baik kerana dapat membantu meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir.

"Setelah dilanda banjir, sudah tentu kita tidak dapat mengembalikan keadaan seperti sedia kala tetapi apa yang kita lakukan adalah membantu bagi mengurangkan beban mereka (mangsa banjir)," katanya.

Dalam pada itu, Husaini berkata, UPM sentiasa menyertai program tanggungjawab sosial korporat dalam membantu mereka yang memerlukan.

"Pada program ini, kita juga bawa pelajar antarabangsa kita supaya mereka dapat melihat budaya di negara ini dalam membantu mereka ditimpa sesuatu bencana," katanya.

1,110 sukarelawan cuci sekolah

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

Khairuddin Mahmud melepaskan peserta program Jom Cuci-Cuci Sekolah anjuran Jabatan Pendidikan Pahang di Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 23 Dis. - Kira-kira 1,110 sukarelawan menyertai program Jom Cuci-Cuci Sekolah anjuran Jabatan Pendidikan negeri bagi membersihkan kawasan sekolah yang terjejas akibat bencana banjir yang berlaku awal bulan lalu.

Sukarelawan terlibat membabitkan penuntut daripada institusi pengajian tinggi (IPT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan orang perseorangan.

Lapan buah sekolah di Pekan dipilih untuk dibersihkan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Temai, SK Ganchong, SK Pulau Rusa, SK Pulau Manis, SK Padang Rumbia, SK Kampung Acheh, SK Mambang dan Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah.

Majlis pelepasan sukarelawan berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Khairuddin Mahmud di hadapan bangunan Kompleks Yayasan Pahang di sini kelmarin.

Khairuddin berkata, banjir yang berlaku kali ini begitu luar biasa sehingga banyak sekolah di negeri ini yang terjejas akibat musibah berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, program sedemikian adalah amat baik dilaksanakan bagi membantu guru membersihkan kawasan sekolah sebelum sesi persekolahan baharu dibuka awal tahun depan.

"Saya sendiri mempunyai pengalaman dalam membersihkan beberapa sekolah di dalam kawasan saya di Pulau Manis yang turut dinaiki air banjir, ada yang terjejas teruk sehingga dewan sekolah dipenuhi dengan lumpur.

"Jadi, inilah yang memerlukan kerjasama kita semua untuk membantu bagi memastikan apabila sesi persekolahan dibuka nanti adik-adik kita tidak akan menghadapi sebarang kesukaran," katanya.

Beliau berharap dengan adanya program sedemikian, semangat kesukarelaan akan terus berkembang dalam kalangan rakyat di negara ini, khasnya golongan belia.

"Juga diharapkan program membersihkan sekolah pada musim cuti sekolah akan dijadikan amalan bagi memastikan persekitaran sekolah sentiasa bersih dan teratur sebelum sesi persekolahan baharu bermula," katanya.

Produk herba sumber pendapatan utama keluarga Ishak

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

Ishak Yatim menunjukkan bungkusan pelbagai jenis herba bagi tujuan perubatan dan minuman kesihatan yang dijual di Kampung Pagi, Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 23 Dis. - Bermula dengan minat yang mendalam terhadap tumbuhan herba mendorong seorang penduduk menjadikan perniagaan produk herba sebagai pendapatan utama bagi keluarganya.

Ishak Yatim, 53, dari Kampung Pagi, Hulu Tembeling dekat sini yang diperkenalkan menerusi ruangan Keringatku minggu ini begitu obses dengan pelbagai jenis herba yang kaya dengan khasiat tertentu bagi tujuan perubatan.

Tanyalah apa sahaja jenis tumbuhan herba dan khasiatnya, Ishak pasti boleh memberi jawapan berasaskan pengetahuan dan pengalaman mengenai bidang berkenaan.

Antara tumbuhan herba yang diperoleh dan disimpan di rumahnya ialah mahkota dewa, cekur, pokok tunjuk langit, pokok tutup bumi, kunyit putih, kunyit hitam, halia bara dan sebagainya.

Kesemua herba berkenaan diproses secara tradisional untuk tujuan minuman kesihatan dan perubatan penyakit tertentu.

Menurutnya, pengetahuan dan kemahiran memproses herba yang diperoleh daripada bapanya kerana sering mencari herba bagi mengubati penduduk yang sakit, menyuntik minatnya untuk mengkomersialkan bahan berkenaan.

Tumbuhan herba berkenaan, katanya, mudah diperoleh di Hutan Simpanan Pengau berdekatan Kampung Pagi yang banyak menyimpan pelbagai khazanah tumbuhan tropika.

Ishak berkata, ada juga tumbuhan herba seperti pokok tunjuk langit dan pokok tutup bumi yang tumbuh meliar mudah diperoleh di kebun getah dan dusun kampung itu.

"Bahagian daun, batang dan akar tumbuhan (herba) berkenaan akan diracik halus-halus lalu dijemur selama beberapa hari sebelum dibungkus menggunakan plastik," katanya di Kampung Pagi, Hulu Tembeling baru-baru ini.

Menurutnya, cara pembungkusan itu memudahkan pengguna 'merebus' bahan berkenaan sebelum diminum bagi meredakan penyakit selain tujuan menyihatkan badan.

Dia berkata, tumbuhan herba berpotensi luas di pasaran dan kini dia hanya menumpukan kaedah tradisional dan belum mampu melaksanakan proses pengeluaran herba secara moden kerana tidak mempunyai kemahiran dan peralatan.

"Ramai orang datang ke kampung ini mengambil tumbuhan herba untuk diproses bagi tujuan perubatan dan minuman kesihatan secara komersial di pasaran tempatan dan luar," ujarnya.

Katanya, herba yang siap dibungkus boleh dikomersialkan terus kepada pelanggan di sekitar kampung ini, Kuala Tahan dan bandar Jerantut.

Ishak berkata, dia menjual campuran pelbagai jenis herba seberat 500 gram dengan nilai RM15 sebungkus dan setiap hari memperoleh antara RM75 hingga RM150.

Tambahnya, hasil jualan herba berkenaan untuk keperluan dapur selain dapat menampung pendapatan hasil menoreh getah yang tidak menentu ketika musim hujan.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved