Isnin, 23 Disember 2013

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Siapa dalang serangan terbaru?

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

Anggota keselamatan Thai memeriksa lokasi serangan bom yang dipercayai dilakukan oleh puak militan Islam di wilayah Songkhla, selatan Bangkok, kelmarin. Dua penduduk kampung terbunuh dan sekurang-kurangnya 20 cedera selepas bom yang disembunyikan dalam sebuah motosikal meletup di wilayah Songkhla, kata polis. - REUTERS

MUNGKIN ramai yang tidak menyedari bahawa serangan bom di Danok, Sadao Thailand dan Padang Besar, kelmarin merupakan kali pertama berlaku dalam sejarah wilayah itu.

Selama ini serangan bom lebih banyak tertumpu di kawasan-kawasan lain di selatan Thailand seperti Narathiwat, Pattani, Tak Bai dan Hatyai. Tetapi serangan terbaru membuktikan bahawa puak pemisah tidak pernah menghentikan perjuangan sia-sia mereka.

Bagaimanapun serangan di Danok, Sadao dan Padang Besar dianggap oleh pasukan keselamatan sebagai satu kejutan dan di luar jangkaan sama sekali.

''Selama ini ketiga-tiga kawasan itu dianggap kawasan selamat dan apa yang lebih banyak dipaparkan di situ adalah berita-berita mengenai penyeludupan dan kemasukan warga asing.

''Tetapi kali ini, ia menunjukkan bahawa kegiatan puak pemisah semakin melebarkan sayap mereka dan ini agak membimbangkan kita," kata satu sumber kepada penulis ketika dihubungi.

Justeru serangan terbaru tersebut tidak harus dipandang ringan oleh pihak berkuasa kedua-dua negara khususnya Malaysia. Ia memandangkan Danok, Sadao dan Padang Besar adalah antara daerah yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia khususnya pada cuti hujung minggu.

''Saya berpendapat jika serangan itu dilakukan pada hari Sabtu dan pada waktu yang sama, mungkin ada rakyat Malaysia yang akan turut terkorban atau tercedera," kata satu sumber keselamatan ketika dihubungi.

Setakat semalam, dua orang rakyat Thai disahkan terbunuh manakala 25 lagi cedera.

Persoalannya, siapakah dalang di sebalik kejadian ini? Kenapakah mereka menjadikan sasaran kawasan yang selama ini dianggap kawasan selamat? Dan apakah kejadian tersebut ada kaitan dengan pergolakan politik yang melanda Thailand kini?

Sementara pihak berkuasa Thailand mungkin masih berusaha keras menyiasat motif dan dalang yang terlibat tetapi apa yang pasti serangan itu sekali lagi membuktikan ia sama sekali tidak akan menguntungkan masyarakat di selatan khususnya masyarakat Islam Thailand yang merupakan penduduk majoriti di wilayah tersebut.

Mungkin ada yang berpendapat terlalu awal untuk menuding jari kepada puak pemisah kerana siasatan sedang dijalankan, tetapi modus operandi dalam serangan itu ternyata tidak mampu menolak andaian bahawa puak berkenaan sememangnya terlibat.

Jika benar mereka terlibat, ini sudah pastilah satu petanda yang tidak baik bukan sahaja kepada Thailand tetapi juga Malaysia kerana kedua-dua negara bukan sahaja berjiran tetapi juga berkongsi sempadan yang sama.

Apa sahaja yang berlaku di kawasan sempadan sudah pasti akan memberi kesan kepada Malaysia. Oleh itu, Malaysia juga perlu mencari jalan bagaimanakah negara ini boleh memainkan peranan bagi memulihkan situasi di wilayah bergolak tersebut.

''Saya berpendapat, perjanjian damai yang sebelum ini ditandatangani oleh kumpulan yang mendakwa mewakili puak pemisah dan kerajaan Thailand di Kuala Lumpur tidak lama dulu harus dikaji semula.

''Ini penting memandangkan dalam situasi politik di Thailand yang menyaksikan kerajaan sedia ada bagaikan berada ibarat 'telur di hujung tanduk', apa yang termeterai dalam perjanjian itu sudah tidak membawa apa-apa erti lagi.

''Tambahan pula, sebelum ini pun selepas perjanjian yang dianggap 'perjanjian damai' itu ditandatangani, puak pemisah tidak pernah meredakan serangan mereka," kata satu sumber.

Kenyataan seumpama ini mungkin tidak akan menyenangi sesetengah pihak tetapi inilah hakikatnya, apatah lagi satu sumber memberitahu penulis, pihak berkuasa perlu mencari kumpulan yang benar-benar bertanggungjawab mencetuskan huru-hara di selatan Thailand.

''Dalang utama ini tidak berada di luar Thailand mereka berada di dalam Thailand. Oleh itu pihak berkuasa harus berusaha mencari mereka, bukan untuk dihukum tetapi mencari jalan penyelesaian demi masa depan umat Islam selatan Thailand.

''Orang yang dicari itu mestilah orang yang betul, bukannya individu yang bijak mendakwa mempunyai kekuatan atau kuasa mengawal puak pemisah sedangkan dia sendiri pun tidak dikenali oleh puak pemisah atau sudah tidak mempunyai apa-apa lagi kuasa," kata sumber itu lagi.

Mungkin keadaan inilah yang memungkinkan seorang bekas pemimpin puak pemisah baru-baru ini mendakwa, kerajaan Thailand telah berunding dengan pihak yang salah.

Soalnya, siapakah individu yang bertindak sebagai dalang tersebut? Kenapakah mereka tergamak melakukan serangan yang bukannya akan memberikan kesejahteraan kepada umat Islam Thailand tetapi mengundang kesengsaraan berterusan kepada golongan itu?

''Kalau benar mereka berjuang atas nama untuk membela nasib umat Islam maka carilah jalan yang boleh menguntungkan golongan itu, bukannya melakukan serangan bom sehingga membunuh insan-insan yang tidak berdosa," kata sumber itu lagi.

Kini berdasarkan serangan terbaru itu, sudah sampai masanya pihak berkuasa Thailand dengan dibantu oleh pihak berkuasa Malaysia mencari jalan bagaimana hendak menamatkan konflik di selatan Thailand tersebut. Penyertaan Malaysia bukanlah bertujuan campur tangan dalam urusan hal ehwal dalaman Thailand tetapi sebagai negara jiran yang turut akan merasakan tempiasnya jika pergolakan berterusan di wilayah itu, Malaysia mempunyai 'saham' untuk turut membantu.

Komitmen Malaysia dalam soal ini tidak harus diragui lagi. Satu ketika dahulu Malaysia menubuhkan Task Force 2010 yang diketuai oleh bekas Ketua Pengarah Bahagian Staf Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Wan Abu Bakar Omar.

Task Force ini banyak memainkan peranan dalam membantu masyarakat Islam Thailand sehinggakan ada ketika ia mampu meredakan ketegangan di wilayah bergolak itu.

Keadaan itu berlaku kerana melalui program-program yang dijalankan oleh Task Force 2010, ia turut berjaya menyerapkan pemahaman kepada masyarakat Islam Thailand untuk mencintai kedamaian dan menolak keganasan.

Oleh itu, mungkin dalam situasi sekarang kerajaan Malaysia boleh mempertimbangkan untuk mewujudkan kembali badan yang berperanan seperti Task Force 2010.

Penulis percaya dan yakin dengan disertai oleh bekas pegawai atau anggota keselamatan yang berpengalaman, ia sedikit sebanyak mampu untuk membantu Thailand menangani konflik di selatan negara itu.

Apa pun buat masa ini, pihak berkuasa Thailand harus mencari dalang di sebalik serangan terbaru tersebut. Ia memandangkan apa yang terjadi memberi isyarat yang jelas bahawa wilayah Thailand yang bersempadan dengan negara ini sudah lagi tidak selamat untuk dikunjungi.

Keadaan ini sudah tentulah akan merugikan masyarakat Islam di selatan Thailand yang mengharapkan sokongan rakyat Malaysia bagi menggerakkan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup mereka.

Namun semua itu akan terus menjadi mimpi indah yang mengasyikkan selagi dalang sebenar yang menggerakkan puak pemisah untuk melakukan keganasan tidak dibawa ke meja rundingan atau muka pengadilan.

Lunturkan semangat demonstrasi

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

Najib Tun Razak ketika berucap pada majlis penutup Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan pada November lalu . Seminar sehari itu bertujuan memberi kefahaman dan penerangan mengenai GST, intipati Bajet 2014 dan agenda pemerkasaan Bumiputera. - BERNAMA

DALAM kebimbangan orang ramai terpaksa menyambut tahun baharu di sebalik bayangan perhimpunan haram pada 31 Disember ini, rupanya secara 'senyap-senyap' telah berlalu satu perhimpunan lain di Kuala Lumpur minggu lalu.

Pelancaran kempen anti-GST (cukai barangan dan perkhidmatan) pakatan pembangkang minggu lalu dikatakan hanya menarik 200 orang 'pengunjung' sedangkan pemimpin-pemimpin tertinggi mereka sanggup hadir sama mengikut laporan sebuah portal propembangkang.

Bagi menutup malu, ada pemimpin pembangkang menyalahkan rakyat kurang memahami isu dan kerana belum merasai kesan GST sebagai punca kurangnya peserta hadir menyertai kempen tersebut, kononnya itu cuma pelancaran kempen dan bukan perhimpunan raksasa.

Agak melucukan bila ada juga yang berucap menyuruh rakyat yang menyokong GST berpindah ke negara yang mengamalkannya seperti Kemboja dan Laos sedangkan mereka sendiri sebelum ini 'meroyan' bila disuruh berpindah ke negara lain jika merasakan tertindas di Malaysia.

Seorang lagi pemimpin pada majlis tersebut mengaitkan kebankrapan dengan pelaksanaan GST seperti yang berlaku di Greece tetapi 'ketua pasukan' mereka pula bersetuju tiada masalah dalam sistem tersebut, kononnya sistem itu berkesan dan telus selagi tiada 'ketirisan'.

Sama ada laporan portal itu sedikit tersilap lapor atau mungkin beberapa pemimpin politik yang 'keliru' tentang alasan untuk mereka mengajak orang ramai berhimpun menolak GST, hakikatnya umum tidak ambil pusing kempen tersebut mungkin kerana penganjur sendiri seolah-olah tidak pasti apa yang mereka 'anti' sebenarnya.

Majoriti rakyat sebenarnya mengharapkan apa yang berlaku itu antara petanda demam demonstrasi jalanan sudah berlalu tetapi cukuplah jika sampai masanya lebih banyak akal rasional mengatasi darah panas membuak-buak yang mahu turun ke jalan raya atas apa jua alasan, asalkan 'meriah'.

Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr. Zainal Kling berpendapat sambutan dingin dalam kempen tersebut petanda orang ramai sudah jemu dengan pembohongan dan janji kosong pihak terbabit.

"Masing-masing mahu meniru Siam dan Arab (adakan demonstrasi jalanan). Mereka ini peniru-peniru kejahatan dan penjahat, tidak boleh berlembut lagi, kena gunakan kata-kata kasar. Mereka hanya tahu mengganggu kesenangan hidup kita, mereka tidak senang hati bila Perdana Menteri berjaya melakukan sesuatu untuk kebaikan rakyat maka perlu juga menipu, mahu berdemonstrasi konon nak guling kerajaan," katanya.

Beliau yakin orang ramai sudah faham dengan janji-janji kosong golongan tersebut dan sudah malas menunjukkan sokongan dalam agenda dan program yang mereka anjurkan.

Tambahnya, rakyat melihat dan nampak kerajaan tetap membantu dalam bermacam situasi dan tuduhan pembangkang, maka sudah tidak peduli bila diseru keluar berdemonstrasi.

"Orang Cina pun sudah ambil iktibar dan semakin kurang menyertai program sedemikian, begitu juga orang Melayu dalam PKR. Mereka cuba burukkan kerajaan tapi tidak berlaku demonstrasi, sampai masa kita buang sahaja manusia seperti ini (penganjur) yang cuba merosakkan hidup kita.

"Pada 31 Disember ini juga sama, nak tiru Siam dan Arab tapi tak ada sebab nak demonstrasi seperti rakyat di sana. Saya rasa ramai tidak keluar turut serta, tak tahu pula jika orang DAP di Pulau Pinang kerana dikatakan perhimpunan itu akan dianjur di sana," dakwanya.

Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan pula melihat kempen anti-GST gagal mendapat sambutan kerana rata-rata rakyat sudah memahami kenapa GST perlu dilaksanakan.

"Isu GST melangkaui politik kerana melibatkan kepentingan negara. Mereka yang boleh fikir secara rasional akan terima kenapa GST itu perlu dan kerajaan juga sudah mengambil iktibar daripada beberapa siri demonstrasi sebelum ini.

"Kerajaan telah menggerakkan usaha penerangan isu GST, jelaskan kenapa ia perlu dilaksanakan. Semangat berdemonstrasi boleh dilunturkan dengan fakta dan logik akal dan akhirnya seruan perhimpunan itu tidak akan mendapat sambutan yang diharapkan," katanya.

Beliau melihat trend sambutan demonstrasi yang semakin luntur momentumnya hasil usaha kerajaan menerangkan persoalan dan kekeliruan tentang isu-isu yang cuba dimainkan pembangkang untuk meraih sokongan politik.

Beliau juga yakin penganjur kempen anti-GST tahu dan memahami mengapa GST perlu dilaksanakan tetapi demi laba politik mereka tidak mahu memperakuinya, menentang dan menuduh ia tidak sesuai.

"Mereka bukannya terkeliru tetapi demi kepentingan politik tetap menentang dan membiarkan fakta bertindih dalam isu GST ini, malangnya ia tetap tidak mendapat sambutan.

"Perhimpunan yang dirancang pada 31 Disember ini juga mungkin menghadapi nasib sama. Untuk mengajak rakyat ke jalan raya bagi menggulingkan kerajaan, mereka perlukan pemangkin yang besar," ujarnya.

Tambahnya, di Thailand pemangkin untuk beramai-ramai ke jalan raya adalah rakyatnya membenci Thaksin sementara di Kiev, Ukraine pula kerana rakyatnya bencikan Rusia.

Beliau menegaskan amat sukar untuk pembangkang menarik ramai peserta kerana perlu ada salah laku yang besar dalam kerajaan di mata majoriti rakyat untuk menarik mereka ke jalan raya.

"Segelintir kecil mungkin akan hadir tetapi untuk satu jumlah besar sukar dicapai kerana tiada salah laku besar dalam kerajaan kita.

"Tentu sekali pembangkang boleh mainkan isu kenaikan harga pelbagai produk dan perkhidmatan, itu isu paling mudah tetapi jika kerajaan beri penerangan yang cukup, mereka yang rasional akan terima dan menolak untuk ke jalan raya," jelasnya.

Mengambil contoh kenaikan tarif elektrik, beliau mengulangi penjelasan kerajaan bahawa ia bukan untuk keuntungan TNB mahupun pihak swasta sebaliknya rasionalisasi kos bahan api yang digunakan bagi menjana elektrik.

"Kerajaan perlu teruskan penerangan berlandaskan fakta, saya yakin rakyat boleh terima. Langkah penerangan ini penting walaupun pembangkang mainkan isu habis-habisan agar rakyat tidak menjadi mangsa diheret ke jalanan," tegasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Kekotoran masih berulang

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

Beginilah keadaan longkang di Pasar Pudu, Kuala Lumpur yang masih dipenuh sampah sarap selepas seminggu operasi pembersihan dilaksanakan di pasar berkenaan.

KUALA LUMPUR 23 Dis. -Operasi penutupan dan pembersihan secara besar-besaran melibatkan tiga pasar basah utama di ibu negara kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyaksikan yang terakhir di Pasar Pudu, pada 16 dan 17 Disember lalu.

Sebelum ini operasi sama bagi tujuan keselesaan peniaga dan pengunjung itu dilaksanakan di Pasar Raja Bot atau lebih dikenali Pasar Chow Kit pada 12 dan 13 November lalu, diikuti Pasar Keramat pada 9 dan 10 Disember.

Penutupan sementara selama dua hari itu bagi membolehkan lokasi tumpuan ramai itu 'dipulihkan' semula selepas dikenal pasti sebagai lokasi pembiakan tikus tertinggi dan kotor.

Usaha DBKL dengan kerjasama Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) dan peniaga di pasar berkenaan wajar dipuji.

Bagaimanapun, usaha tersebut perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan tahap kebersihan di ketiga-tiga pasar berkenaan benar-benar terjamin.

Ini kerana selepas seminggu operasi pembersihan dilaksanakan masih terdapat segelintir peniaga bersikap pengotor dan menjadi punca longgokan sampah di kawasan pasar.

Tinjauan Utusan Malaysia ke tiga-tiga pasar berkenaan baru-baru ini mendapati tahap kebersihan masih belum memuaskan dan hanya layak diberi tiga daripada lima bintang.

Hasil tinjauan mendapati faktor yang menyebabkan masalah kebersihan di ketiga-tiga pasar berkenaan juga berbeza.

Ini termasuk dari segi struktur pembinaan, lokasi, jumlah peniaga dan sebagainya.

Tinjauan di Pasar Raja Bot mendapati keadaan di pasar itu dilihat semakin baik apabila para peniaga sudah mula menitik beratkan faktor kebersihan.

Berbanding dahulu, pasar berkenaan hanya mampu bertahan beberapa hari selepas dibersihkan, sebelum kembali kepada keadaan asal.

Tambahan pula, tong-tong sampah kecil yang disediakan di laluan berdekatan gerai buah-buahan banyak membantu peniaga dan pengunjung untuk tidak membuang sampah sesuka hati.

Di Pasar Keramat pula, keadaan pasar itu boleh diandaikan sekadar memuaskan dan hanya terdapat perbezaan kecil selepas kerja-kerja pembersihan.

Tiada apa yang boleh dibanggakan selain melihat keadaan lantai premis itu yang masih lecak dan berlopak.

Cuma apa yang boleh dipuji, susunan bakul-bakul milik peniaga di situ dilihat lebih teratur berbanding sebelum ini.

Jika sebelum ini, sampah seperti kertas, plastik membungkus buah dan kulit buah-buahan yang dibuang merata-rata 'menghiasi' pasar itu, keadaan kini sudah banyak berubah.

Berbeza pula di Pasar Pudu, keadaan kebersihan masih pada tahap kurang memuaskan, lebih-lebih lagi kelibat tikus masih bermaharajalela pada waktu siang tanpa menghiraukan pengunjung yang lalu-lalang.

Dalam tempoh kurang 10 minit berada di pasar berkenaan, sepuluh ekor haiwan perosak itu dilihat 'melintasi' kawasan gerai milik peniaga di situ.

Keadaan longkang tersumbat juga turut menggambarkan betapa teruknya keadaan pasar tersebut yang dikenal pasti paling kotor di ibu negara.

Sehubungan itu pihak DBKL perlu mencari mekanisme terbaik baik memastikan tahap kebersihan di ketiga-tiga pasar berkenaan terjamin.

Penutupan pasar secara berperingkat - DBKL

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Keadaan pasar yang terlampau kotor menyebabkan kerja-kerja pembersihan Pasar Pudu di sini tidak dapat dilaksanakan secara keseluruhan dalam tempoh dua hari.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, pihaknya akan melakukan penutupan semula secara berperingkat selepas ini untuk memulihkan kebersihan di pasar itu.

Menurutnya, operasi pembersihan baru-baru ini hanya boleh dilakukan untuk skop biasa memandangkan keadaan luar pasar tersebut juga kurang sempurna.

"DBKL bercadang untuk melakukan kerja-kerja menaik taraf pasar tersebut meliputi struktur longkang dan lantainya, namun kerja itu akan mengambil masa yang lama kerana melibatkan lebih 1,000 peniaga.

"Saya juga sudah meminta Jabatan Kejuruteraan menyediakan kertas kerja mengenai program menaik taraf di situ dan saya sendiri akan menelitinya termasuk mendapatkan kerjasama persatuan peniaga di situ," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia sebagai maklum balas terhadap keadaan pasar tersebut yang tidak banyak berubah biarpun operasi pembersihan dilakukan pada Isnin dan Selasa lalu.

Tambah Mhd. Amin Nordin, kegagalan sistem perparitan berfungsi dengan sempurna menyebabkan keadaan longkang di pasar terbabit sering tersumbat.

Dalam pada itu, Jurucakap Alam Flora Sdn. Bhd. memaklumkan, sebanyak 169 tan sampah pelbagai jenis dikutip pihaknya sepanjang kerja-kerja pembersihan itu dilaksanakan selama dua hari lalu.

"Mengenai sampah di tong sampah besar yang belum dibawa ke tempat pelupusan pula, kerja-kerja itu akan dilakukan segera sementara rumah sampah di kawasan itu disiapkan oleh DBKL," katanya.

Ujarnya lagi, Alam Flora berharap peniaga dapat memberi kerjasama untuk tidak meletakkan barang masing-masing di atas longkang kerana keadaan itu menyukarkan mereka untuk membersihkan longkang yang tersumbat.

Pengurusan sisa pepejal terkawal

Posted: 23 Dec 2013 10:40 AM PST

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Kerja-kerja pengurusan termasuk pembersihan di stesen pemindahan sisa pepejal Taman Beringin, Kepong, Kuala Lumpur diserahkan kepada Alam Flora Sdn. Bhd sehingga kontraktor baharu dilantik.

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin, Kepong dekat sini dijangka beroperasi semula pada 30 Disember ini selepas kerja-kerja baik pulih kerosakan mesin pemampat siap.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, operasi pengurusan sisa pepejal di seluruh ibu kota kini dalam keadaan terkawal setelah lumpuh sejak tidak diselenggarakan dengan baik oleh kontraktor asal.

Menurutnya, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyerahkan pengurusan stesen pemindahan tersebut kepada Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora).

Alam Flora diminta membersihkan stesen ini di samping membaiki kerosakan mekanikal pada kenderaan, kontena dan mesin pemampat. Kita sedang berusaha supaya stesen pemindahan ini beroperasi lebih awal dari jangkaan asal,"katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz, Timbalan Ketua Pengarah Perlaksanaan Projek dan Penyelenggaraan DBKL, Datuk Mohd. Najib Mohd. dan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Mohd. Zain Hassan.

Dalam kejadian pada Sabtu lalu, segelintir pemandu lori nekad melonggokkan sampah yang sepatutnya dihantar ke pusat pengumpulan di bahu jalan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (JLT2) dari Batu Caves menuju ke Kepong sehingga menyebabkan kesesakan luar biasa.

Tambah Ahmad Phesal, DBKL bersama-sama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) dan Alam Flora akan bekerjasama bagi memastikan tiada gangguan sepanjang tempoh tersebut.

Kerjasama ini turut melibatkan pemantauan bagi memastikan tiada longgokan sampah haram khususnya di kawasan-kawasan yang dikenalpasti sebagai lokasi pembuangan sampah haram,"katanya.

Katanya, pesalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 71 Akta PPSPPA (Akta 672) iaitu denda sekurang-kurangnya RM10,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau penjara sekurang-kurangnya enam bulan atau maksimum lima tahun.

Dalam perkembangan sama, Zain berkata, pihaknya bersama-sama PPSPPA akan melaksanakan penjadualan semula berhubung pengutipan sampah berikutan jadual asal sedikit terganggu.

Jadual pengutipan sampah di kawasan kediaman dan lain-lain akan mengalami sedikit kelewatan dalam tempoh tersebut, khususnya pada waktu petang.

Bagaimanapun pihak Alam Flora akan berusaha memastikan kerja-kerja pengutipan berjalan lancar,"katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Lima anak syarikat JCorp diiktiraf

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

Oleh AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my

Hamim Samuri (tengah) menyampaikan trofi Anugerah SME100 2013 kepada Pengarah Urusan Tiram Travel Sdn. Bhd., Md. Yusof Abd. Ghaffar (kanan) dalam majlis menghargai kejayaan syarikat industri kecil dan sederhana di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 22 Dis. - Lima anak syarikat Kumpulan Johor Corporation (JCorp) menerima pengiktirafan industri peringkat kebangsaan apabila tersenarai dalam 100 syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) paling berjaya sepanjang tahun ini.

Syarikat tersebut ialah Tiram Travel Sdn. Bhd., Healthcare IT Solution Sdn. Bhd., Microwell Bio Solutions Sdn. Bhd., Syarikat Pengangkutan Maju Berhad dan Tepak Marketing Sdn. Bhd.

Kesemua syarikat itu menerima trofi Anugerah SME100 2013 yang disampaikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, syarikat berkenaan menerima anugerah tersebut berdasarkan pertumbuhan perniagaan termasuk aspek modal, pendapatan dan keuntungan yang diraih serta kedudukan syarikat dalam pasaran.

"Kemenangan ini membuktikan pihak industri mengiktiraf skim keusahawanan yang dilaksanakan JCorp yang telah berjaya melahirkan banyak usahawan IKS yang hebat dan berjaya.

"Pengiktirafan ini juga diharap dapat memperkukuhkan imej syarikat selain meningkatkan lagi keyakinan pelanggan terhadap produk atau perkhidmatan yang ditawarkan," katanya dalam kenyataan di sini.

Majlis penganugerahan kali kelima anjuran sebuah majalah bisnes tempatan, SME & Entrepreneurship Magazine itu telah menganalisis hampir 1,000 syarikat daripada 20 kumpulan industri, namun hanya 100 yang terbaik layak memenangi anugerah tersebut.

UMLand hulur RM53,000 bantu mangsa banjir

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

Norshida Ibrahim (dua dari kiri) membantu seorang pelajar mencuba pakaian sekolah sambil diperhatikan oleh Chia Lui Meng (tiga dari kiri) di pasar raya Giant Segamat, Johor, baru-baru ini.

SEGAMAT 22 Dis. - Seramai 353 pelajar di daerah ini yang terjejas akibat banjir baru-baru ini mampu tersenyum lebar apabila pelbagai pihak sudi menghulurkan bantuan terutamanya menyumbang barang kelengkapan persekolahan.

Terbaru syarikat UMLand Berhad tampil menghulurkan bantuan berjumlah RM53,000 bagi membeli peralatan sekolah kepada para pelajar berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif UMLand, Chia Lui Meng berkata, sumbangan yang dihulurkan itu merupakan salah satu khidmat masyarakat bertujuan mengurangkan beban ibu bapa yang terlibat dengan bencana banjir menjelang musim persekolahan tidak lama lagi.

"Kami memberikan sumbangan kepada 353 pelajar dengan harapan dapat membantu mereka membeli keperluan untuk memulakan musim persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi.

"Kami berikan baucar kerana ingin memberi mereka peluang untuk memilih sendiri barangan yang disukai selain merasai nikmat membeli-belah barangan keperluan seperti pelajar lain yang tidak dilanda banjir," katanya ketika ditemui di pasar raya Giant di sini baru-baru ini.

Lui Meng berkata, pihaknya sentiasa sedar dan berusaha membantu serta berkongsi sebahagian keuntungan syarikat dengan golongan yang memerlukan termasuk mereka yang ditimpa musibah.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Norshida Ibrahim berkata, pelbagai bentuk bantuan telah dihulurkan oleh pelbagai pihak kepada mangsa banjir di Segamat dan membuktikan rakyat negara ini merupakan golongan yang pemurah dan prihatin.

"Mungkin ramai yang terlupa betapa beruntung menjadi rakyat Malaysia yang begitu mewah dan tidak mengharap bantuan dari luar walaupun negara dilanda bencana seperti yang berlaku di beberapa negara lain.

"Saya harap rakyat sentiasa peka dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka berbanding negara lain dan sentiasa bersyukur dengan apa yang dinikmati sambil berusaha mengekalkannya untuk generasi akan datang," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


RM1.459 juta laksana NBOS-7

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 22 Dis. - Sebanyak RM1.459 juta telah diperuntukkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi melaksanakan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan Ketujuh (NBOS-7)-'My Beautiful Neighbourhood' di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman berkata, kementerian juga telah memilih dua kawasan sebagai projek perintis di negeri ini iaitu Rumah Pangsa Ujong Pasir dan Rumah Awam Kos Rendah Pulau Gadong 1.

Menurutnya, program dua dalam satu itu adalah untuk mempertingkatkan sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat melalui projek-projek kerjasama antara kementerian, jabatan atau agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan swasta.

"Projek berimpak tinggi ini bertujuan untuk memastikan rakyat di sesuatu tempat merasai sendiri faedah dengan penggunaan perbelanjaan minimum dan dilaksanakan dalam tempoh masa singkat," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Rakan Taman dan Penyerahan Projek Strategi Lautan Biru Negara 7 (NBOS-7) di Rumah Awam Pulau Gadong, di sini semalam.

Yang hadir sama Timbalannya, Sazali Muhd. Din; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Lim Ban Hong dan Setiausaha Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mansor Sudin.

Jelas Ismail, jumlah peruntukan yang diperoleh itu dibahagi kepada dua kawasan tersebut dengan Rumah Pangsa Ujong Pasir menerima RM744,000 manakala selebihnya RM715,000 bagi Rumah Awam Kos Rendah Pulau Gadong 1.

"MBMB sebagai agensi pemantau telah memastikan beberapa projek di Rumah Awam Kos Rendah Pulau Gadong 1 dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan termasuk menaik taraf jalan masuk utama dengan kos RM25,000, menaik taraf longkang (RM190,000) dan membina sebuah dewan satu tingkat dengan gelanggang badminton bernilai RM500,000," ujarnya.

Menurut beliau, program seumpama itu juga telah diadakan di Rumah Pangsa Ujong Pasir beberapa bulan lepas yang dilihat memberi kemudahan dan keselesaan kepada penduduk di kawasan berkenaan terutama dalam mendapatkan kemudahan yang baik bagi menjalani kehidupan.

Katanya lagi, segala pelaksanaan projek ini dipantau sepenuhnya oleh MBMB dari segi pelaksanaan dan kualiti kerja.

''Justeru, orang ramai diharap agar dapat menjaga segala kemudahan yang disediakan dan tidak melakukan kegiatan tidak berfaedah seperti vandalisme pada bangunan serta dewan demi kemudahan orang ramai,'' katanya.

''Semangat kerjasama di kalangan penduduk juga harus sentiasa dilaksanakan termasuk mengadakan gotong royong dan program keramaian melibatkan pelbagai kaum bagi menyemarakkan suasana muhibah di kalangan masyarakat," tambahnya.

TMM 2014 : Melaka destinasi pelancongan berbasikal

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

GHAZALE Mohamad (dua dari kiri) melepaskan peserta Program Siri Kayuhan Basikal Pinggiran Bandar Melaka di Melaka, semalam. - UTUSAN/ Gaie Uchel

MELAKA 22 Dis. - Tourism Malaysia Melaka memilih Kayuhan Basikal Pinggiran Bandar Melaka - Melaka Bike Ride Series sebagai ikon pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM 2014) di negeri ini.

Pengarahnya, Jeffry Munir berkata, pemilihan basikal sebagai ikon pelancongan bertujuan membangkitkan nostalgia selain dapat mendorong rakyat mengamalkan gaya hidup sihat.

Menurutnya, program Kayuhan Basikal Pinggiran Bandar Melaka dijangka mampu menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara untuk berkunjung ke negeri ini dan melawati beberapa produk dengan hanya berbasikal.

''Aktiviti pelancongan berbasikal adalah satu produk baharu yang berpotensi dipasarkan dan mampu menjana keuntungan.

''Sehubungan itu Melaka dilihat mampu menjadi salah satu destinasi pelancongan berbasikal yang menjanjikan kelainan bukan sahaja berkayuh di kawasan bandar tetapi beberapa kawasan tarikan sejarah dan warisan.

''Laluan di sekitar bandar dan luar bandar akan memberi pengalaman menarik kerana dapat menikmati gaya hidup kampong, nelayan, pantai, laut, pertanian dan dusun serta penternakan," katanya kepada pemberita pada program Kayuhan Basikal Pinggiran Bandar Melaka - Melaka Bike Ride Series di Pantai Puteri sempena Pesta Pantai 2013 di Pantai Puteri di sini hari ini.

Program tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Ghazale Mohamad.

Sebanyak 1,400 peserta menyertai kayuhan basikal sejauh 14.1 kilometer dan disertai beberapa kelab berbasikal bukan sahaja dari negeri ini tetapi juga dari luar.

Antara peserta dari luar yang turut serta pada program tersebut ialah dari Shah Alam, Klang, Tampin, Seremban, Muar dan Segamat.

Jeffry berkata, bagi tujuan tersebut pihaknya menyediakan pakej tersebut dengan harga serendah RM159 ke atas merangkumi penginapan dan sebagainya.

Beliau menambah, program tersebut adalah usaha berterusan yang dilaksanakan Tourism Malaysia dalam mempelbagaikan aktiviti promosi dan pemasaran produk bagi tarikan pelancong di negeri ini.

Jelasnya, aktiviti pelancongan berbasikal mampu menarik ramai pelancong domestik dan antarabangsa.

Sehubungan itu katanya, bagi mereka yang berminat ingin menyertai pakej tersebut boleh mendapatkan maklumat melalui ejen pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Di samping itu ujarnya, mereka juga boleh melayari FaceBook, Tourism Malaysia Melaka bagi mendapat maklumat lanjut.

Suami isteri rayu bantuan kewangan biayai anak hidap ketumbuhan di kepala

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

N. Laakeshanash Kutty yang mengidap ketumbuhan di kepala kini dirawat di Hospital Melaka.

MELAKA 22 Dis. - Sepasang suami isteri di sini merayu bantuan orang ramai bagi mengurangkan bebanan menampung kos rawatan penyakit dihidapi bayi lelaki mereka yang menderita ketumbuhan di kepala.

Bapa kepada bayi itu, R. Nathan, 40, berkata, penyakit yang dihidapi anak bongsunya itu, N. Laakeshanash Kutty, berusia dua bulan, mula dikesan selepas tiga hari dilahirkan.

Bayi tersebut kemudian terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka selepas doktor mendapati dia turut mengalami masalah paru-paru, pernafasan dan darah.

"Pihak hospital akan membuat rawatan susulan biasa sekiranya keadaan anak saya bertambah baik namun jika keadaannya masih tidak berubah, doktor menasihatkan supaya dia menjalani pembedahan besar di bahagian otaknya.

"Pembedahan tersebut pasti memerlukan kos yang tinggi dan saya risau tidak dapat membiayainya disebabkan saya hanya bekerja sebagai tukang gunting manakala isteri tidak bekerja," katanya yang tinggal di Rumah Awam Sri Siantan, Durian Tunggal di sini.

Dia berkata demikian ketika ditemui dalam sidang akhbar di Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) di sini semalam.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Wahab Latif serta Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Ab. Aziz.

Sementara itu, Abdul Wahab berkata, pihaknya bersama Pembela BN telah mewujudkan satu tabung khas bagi membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga berkenaan.

"Kami memahami penderitaan yang ditanggung ibu bapa kepada bayi malang ini dan amat berharap agar orang ramai turut sama dapat membantu menghulurkan bantuan serta sumbangan ikhlas kepada mereka," katanya.

Sumbangan boleh dihulurkan terus kepada ibu bayi berkenaan, G. Santhi, 31, menerusi akaun Maybank miliknya 104022025001.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Rakyat Palestin sengsara berdepan musim sejuk luar biasa

Posted: 23 Dec 2013 02:04 AM PST

KOTA BHARU 23 Dis. - Rakyat Malaysia diminta terus menghulurkan bantuan kepada penduduk Palestin yang kini mengalami musim sejuk luar biasa, sekali gus menambah kesengsaraan mereka yang ditindas rejim Zionis.

Presiden Cakna Palestin, Wan Mohd. Sharafi Wan Mustaffa berkata, keadaan di Palestin yang sudah sedia kritikal terutamanya sejak kejatuhan bekas Presiden Mesir, Dr. Mohamed Mursi, kini semakin teruk dengan bekalan elektrik sering terputus, kekurangan bahan mentah, bahan bakar kenderaan yang dicatu serta bekalan ubat-ubatan yang terhad.

Jelasnya, penduduk amat terdesak untuk mendapat bantuan masyarakat antarabangsa lebih-lebih lagi di musim sejuk ini yang suhunya menurun sehingga -5 darjah Celcius.

"Situasi musim sejuk kali amat luar biasa bersama hujan yang turun dengan lebat mengakibatkan kebanyakan kawasan di Gaza, Palestin mengalami banjir.

"Kebanyakan penduduk tinggal di dalam khemah tanpa alat pemanas, selimut, air panas dan bekalan makanan yang sedikit dan ribuan menumpang di bawah pokok zaitun kerana kem pelarian tidak lagi mampu menampung kemasukan pelarian di mana sebahagiannya rosak akibat dipukul ribut.

"Inilah masanya untuk rakyat Malaysia yang prihatin untuk menunjukkan kebersamaan kita dengan perjuangan dan penderitaan rakyat Palestin. Walaupun kita tidak merasai apa yang dialami oleh mereka, setidak-tidaknya bantuan kita dapat meredakan suasana yang dialami oleh mereka," katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Krismas: Pengguna LSA dapat diskaun tol 20 peratus

Posted: 23 Dec 2013 12:43 AM PST

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Kesas Sdn Bhd, pemegang konsesi Lebuhraya Shah Alam (LSA) menawarkan diskaun tol sebanyak 20 peratus kepada pengguna sempena perayaan Hari Natal.

Diskaun ini adalah bagi kenderaan kelas satu dan akan berkuat kuasa pada 25 Disember dari pukul 12.01 tengah malam hingga 11.59 tengah malam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kesas berkata dalam tempoh diskaun itu, kadar tol bagi pengguna jalan raya LSA ialah sebanyak RM1.60 berbanding kasar biasa RM2.

"Diskaun ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat kepada pengguna jalan raya LSA dan juga untuk menyokong inisiatif kerajaan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kesas, Imran Gulcharan. - BERNAMA

PM, isteri tunai umrah sempena lawatan ke Arab Saudi

Posted: 22 Dec 2013 11:39 PM PST

NAJIB Razak (tengah) dan isteri, Rosmah Mansor (dua kiri) ketika bertawaf mengelilingi Kaabah bagi menyempurnakan ibadah umrah di Mekah, malam tadi. - BERNAMA

MEKAH 23 Dis. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menunaikan ibadah umrah di Masjidil Haram di sini pada Ahad malam.

Najib memulakan tuntutan ibadah itu dengan bertawaf mengelilingi Baitullah, sebanyak tujuh kali bersama Rosmah.

Selesai bertawaf, perdana menteri dan isteri mengerjakan solat sunat tawaf sebelum melakukan ibadah Saie dan bertahallul.

Dalam kesibukannya sebagai perdana menteri, Najib telah ke tanah suci menunaikan ibadah haji bersama Rosmah pada 2011.

Dan semalam, Najib diberi layanan berstatus tetamu negara di Madinah untuk lawatan kerja empat harinya di Arab Saudi.

Pada pagi Isnin, perdana menteri bertemu rakyat Malaysia di Restoran D'Saji dalam suasana santai sambil bersarapan. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Hasilkan produk jenama sendiri

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

Mohd. Nizar Zakaria (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen persefahaman antara Omar Ahmad (dua dari kanan) dan Ramli Abas di Dataran MBI, Ipoh, Perak, semalam.

IPOH 22 Dis. - Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Negeri Perak bakal mengeluarkan produk di bawah jenama sendiri tidak lama lagi apabila satu memorandum persefahaman dimeterai bersama syarikat Sidratul Corporation Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Pengurus Pemasaran Sidratul Corporation, Ramli Abas berkata, pihaknya yang merupakan syarikat pembuat, pemasar dan pemborong akan bertindak menyediakan kursus dan latihan projek francais kepada ahli persatuan berkenaan dengan mempraktikkan Amalan Pengilangan Islam (IMP).

"Ketika ini, kita membantu menghasil dan memasarkan produk melibatkan sebanyak 100 buah syarikat aktif di negara ini dan kilang kami terletak di Kuala Kangsar.

"Antara produk yang dihasilkan oleh syarikat kami ialah Jus Tok Guru serta Jus Qaseh Adinda dan Kekanda yang dipopularkan oleh penceramah terkenal, Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2013 peringkat negeri di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Nizar Zakaria dan turut dihadiri oleh Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Perak, Mohd. Hilmi Mohd. Noor.

Pada majlis tersebut, Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Perak, Datuk Omar Ahmad turut menandatangani memorandum persefahaman tersebut bersama Ramli sambil disaksikan oleh Mohd. Nizar.

Selain itu, Mohd. Nizar turut menyampaikan Anugerah Penjaja Terbaik kepada Restoran Mi Rebus Ramli yang berjaya memperkembangkan perniagaan daripada hanya sebuah kedai makan di Kampung Tawas sekitar 1970-an kepada tiga cawangan di Taman Tasek Jaya, Taman Bercham Raya dan Taman Pengkalan Utama di sini.

130 anak Orang Asli sertai khatan beramai-ramai

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

Sebahagian daripada anak Orang Asli menunggu giliran untuk dikhatankan dalam Program Jiwa Murni di Sekolah Kebangsaan Pos Legap, Lintang di Sungai Siput, Perak, kelmarin.

SUNGAI SIPUT 22 Dis. - Seramai 130 Orang Asli termasuk seorang lelaki berusia 47 tahun dikhatankan secara beramai-ramai di Sekolah Kebangsaan Pos Legap dekat sini semalam.

Program Jiwa Murni itu dianjurkan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang dengan kerjasama Kor Kesihatan Diraja (KKD) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak.

Selain berkhatan, perkhidmatan kesihatan lain turut diadakan termasuk pemeriksaan pergigian oleh Kor Kesihatan ATM.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Nizar Zakaria merasmikan program berkenaan.

"Jika ada keperluan, kerajaan negeri akan menyelaraskan program seumpama ini ke seluruh perkampungan Orang Asli di negeri ini," katanya dalam sidang akhbar selepas program berkenaan semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd. Zolkafly Harun; Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Razak Md. Yusoff dan Pengarah Jakoa Negeri Perak dan Kedah, Abdul Wahid Akmal Omar.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli dari Rancangan Penempatan Semula (RPS) Pos Legap, Ahab Sudin yang berusia 47 yang menyertai program berkhatan beramai-ramai itu berkata, dia mengetahui tentang amalan bersunat selepas menyertai pelbagai program motivasi termasuk kerjasama dengan jabatan agama.

"Saya tidak tahu mengenai amalan bersunat yang diamalkan oleh umat Islam di negara ini.

"Namun, setelah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menganjurkan pelbagai program motivasi termasuk kerjasama bersama jabatan agama, akhirnya timbul hasrat saya untuk bersunat," katanya.

Ahab yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Pos Legap berkata, keputusannya untuk bersunat itu diharapkan dapat menjadi ikutan kepada masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut yang sebahagian besarnya terdiri daripada suku Temiar beragama Islam.

Program Jiwa Murni adalah sebahagian daripada Strategi Lautan Biru Kebangsaan untuk merapatkan hubungan ATM bersama rakyat di kawasan pedalaman dan telah masuk tahun ketiga penganjurannya di kawasan berkenaan selepas Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berkenan merasmikan projek naik taraf jalan Pos Legap ke Pos Kuala Mu pada Mei tahun lalu.

Program khatan beramai-ramai yang turut mendapat sumbangan Yayasan Sultan Azlan Shah itu juga menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada kira-kira 1,300 masyarakat Orang Asli yang menetap di 10 buah perkampungan di sini.

Kutu rayau akibat kurang perhatian

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

KUALA KANGSAR 22 Dis. - Kurang perhatian daripada ahli keluarga dikenal pasti sebagai antara punca terutama golongan warga emas menjadi 'kutu rayau' di daerah ini.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah, Noor Syafazlin Aida Biadris berkata, hasil daripada operasi yang dijalankan, jabatan itu mendapati bukan semua kutu rayau disebabkan keluarga mereka miskin tetapi mereka menjadi kutu rayau disebabkan tiada pengawasan atau bimbingan daripada ahli keluarga.

Beliau menjelaskan, malahan ada kutu rayau yang didapati mempunyai kewangan yang mencukupi untuk hidup, namun mereka tidak ada ahli keluarga yang menyediakan keperluan seharian seperti makan minum.

"Mereka melarat dan merayau kerana tidak mendapat perhatian daripada ahli keluarga," katanya selepas operasi kutu rayau di pasar minggu di sini hari ini.

Operasi itu disertai pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat daerah yang diketuai Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat daerah, P.Pusparajah, pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dan Pejabat Anti Dadah daerah.

Mengenai operasi berkenaan, Noor Syafazlin Aida berkata, operasi hari ini melibatkan pemeriksaan terhadap orang kelainan upaya (OKU), kutu rayau, pengemis, pengutip derma dan gelandangan yang mencurigakan.

Katanya, ia merupakan yang ketiga selepas operasi pertama pada Ogos lalu di Sungai Siput dekat sini, disusuli operasi kedua pada September lalu.

Hasil tiga operasi berkenaan, katanya seramai 12 orang ditahan yang sebahagian besarnya merupakan warga emas yang berusia 60 tahun.

"Bagi kutu rayau yang berusia lebih 60 tahun, mereka akan dihantar ke Rumah Orang Tua Seri Kenangan Kinta dan mereka yang berusia di bawah 60 tahun, mungkin akan ditempatkan ke Desa Bina Diri, Pahang namun kita masih menyiasat latar belakang mereka," katanya.

Beliau juga mendedahkan, ada di antara kutu rayau yang ditahan mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan, selain bantuan daripada Baitul Maal tetapi tetap mengemis.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Danok sasaran baharu?

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Perkasa perjuang ekuiti 30%

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

MCA sedia sahut saranan PM

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved