Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM
utusanmelaka@utusan.com.my

Sebahagian peserta yang mengikuti program Kunang-Kunang Nite Ride memulakan kayuhan bermula dari Dataran Keris, Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini.
ALOR GAJAH 12 Dis. - Aktiviti menunggang basikal bukan lagi asing di negara ini, malah telah wujud sejak dahulu lagi.
Sekitar tahun 1950-an, biarpun kereta telah digunakan secara meluas di jalan raya, namun kebanyakan penduduk memilih basikal sebagai kenderaan utama untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat.
Memiliki kelebihan seperti mudah dikendalikan, tiada kos bahan api dan dapat digunakan di atas pelbagai bentuk muka bumi menjadikan basikal sangat popular ketika itu.
Sehinggakan tentera Jepun juga menggunakan basikal melalui jalan darat dari Kota Bharu hingga ke Singapura untuk menjajah Malaya pada Perang Dunia Kedua.
Pada masa itu, basikal jenis Raleigh, Hercules, BSA dan Hopper buatan England sangat terkenal dan boleh dikatakan setiap keluarga memiliki sebuah basikal sama ada untuk digunakan untuk ke tempat kerja, sekolah ataupun bersiar-siar.
Kini, basikal yang pernah gah suatu masa dahulu itu hanya layak digelar basikal tua apabila masyarakat mula meminggirkannya akibat ledakan kemajuan sains dan teknologi yang berkembang saban hari.
Namun, arus kemodenan telah memberi sinar baharu kepada aktiviti berbasikal ini sehingga berjaya memikat hati pelbagai lapisan umur sama ada melalui sukan, hobi atau riadah.
Jenama terkemuka seperti Element, Kona, Specialize, Merida, Scot dan Schwinn muncul di pasaran dan sudah pastinya tidak asing kepada peminat basikal lasak yang mana ada di antaranya mencecah puluhan ribu ringgit.
Basikal ini bukan hanya digunakan untuk kegunaan harian malah dicipta untuk aktiviti lasak seperti mendaki dan menuruni bukit serta aktiviti merentas desa.
Aktiviti berbasikal juga kini mula berkembang dan pelbagai program dan sukan mula dianjurkan antaranya ialah Kunang-Kunang Nite Ride yang berlangsung di bandar Alor Gajah di sini baru-baru ini.
Program kayuhan gabungan offroad dan onroad waktu malam itu merupakan program tahunan anjuran Kelab Basikal Lasak Alor Gajah dengan kerjasama Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).
Program yang melibatkan lebih 600 peserta itu turut disertai peserta dari Singapura, Indonesia dan Thailand.
Menurut Pengarah Program, Nazlulfarid Ramlan, program itu memasuki siri ketiga penganjurannya bersama MPAG sebagai menyokong usaha kerajaan negeri mempromosikan sukan berbasikal sebagai salah satu produk pelancongan.
Namun, katanya, pada tahun ini, program berkenaan mencetuskan kelainan apabila peserta bukan sahaja melalui laluan berturap, malah diuji kemahiran menunggang di laluan kampung, hutan dan kebun getah di sekitar Alor Gajah sejauh 35 kilometer (km).
"Kunang-Kunang Nite Ride ada kelainannya kerana setiap peserta perlu melalui lima check-point yang sebahagiannya berada di laluan sukar seperti di dalam hutan dan kebun getah yang memberikan cabaran kepada peserta," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurutnya, program berkenaan bukan berkonsepkan pertandingan tetapi lebih kepada perhimpunan peminat basikal lasak dari dalam dan luar negara.
"Tiada hadiah istimewa yang diberikan kepada peserta paling awal melengkapkan kayuhan sejauh 35km kerana aktiviti ini adalah untuk mengisi masa lapang dan mengeratkan hubungan antara peminat basikal lasak dan merupakan perhimpunan tahunan kelab basikal," katanya.
Beliau menambah, antara objektif penganjuran program itu adalah untuk mengeratkan hubungan antara kelab basikal lasak sama ada dari dalam atau luar negara, mendedahkan pengalaman kayuhan waktu malam serta membina semangat setia kawan.
Menurutnya, kayuhan waktu malam merupakan cabaran paling getir dalam program berkenaan yang menguji kemahiran menunggang selain peserta perlu mengoptimumkan penggunaan deria penglihatan, pendengaran dan sentuhan bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.
Nazlulfarid berkata, bagi program berkenaan, setiap peserta diwajibkan memenuhi beberapa syarat antaranya memastikan basikal berada dalam keadaan baik, memakai helmet, memiliki lampu picit dengan bateri tambahan, lampu belakang basikal dan memakai baju pantul cahaya.
Selain itu, katanya, peralatan seperti tiub gantian, pam mini dan alat bertukang juga perlu dibawa peserta sepanjang kayuhan sebagai persediaan sekiranya berlaku kerosakan.