Rabu, 11 Disember 2013

Utusan Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Proton hibrid 2015

Posted: 11 Dec 2013 09:57 AM PST

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN
ekonomi@utusan.com.my

PROTON eMAS merupakan antara kenderaan prototaip yang dikatakan mampu dibangunkan untuk kereta hibrid atau elektrik sepenuhnya. - GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA 11 Dis. - Proton Holdings Berhad (Proton) menyasarkan untuk mengeluarkan kereta hibrid sendiri bagi pasaran Malaysia pada penghujung 2015.

Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil berkata, sehingga kini, Proton masih lagi menguji kemampuan kenderaan prototaip sedia ada dan cara-cara yang inovatif untuk mengeluarkan kereta hibrid bagi pasaran negara ini.

"Projek kereta hibrid ini masih 'on-track' dan kita pasti akan dapat melengkapkan teknologi untuk kereta itu pada penghujung 2015," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Proton Perdana berwajah baharu untuk kegunaan rasmi kerajaan Malaysia kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan menteri-menteri Kabinet di Perdana Putra di sini hari ini.

Pada tahun 2011, Proton telah menghasilkan dua varian prototaip berasaskan elektrik, Proton Saga EV (Electric Vehicle) dan Proton Exora REEV (Range Extender Electric Vehicle) hasil kerjasama dengan Frazer-Nash Research Limited yang berpusat di London.

Malah, prototaip Proton Exora REEV berjaya mencipta sejarah selepas memenangi Cabaran Masa Depan Brighton ke London untuk kategori Kenderaan Elektrik Terbaik Jarak Tambahan pada tahun 2010. (Lihat video di sini http://bit.ly/pro tonreev).

Kedua-dua varian itu juga telah diserahkan kepada empat kementerian bagi membolehkan laporan terperinci bagi penambah baikan untuk pengeluaran kereta-kereta EV dan REEV itu dimuktamadkan.

Mengulas lanjut, Khamil turut berkata, pihaknya perlu memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) yang diberikan kerajaan, selain kehendak dan peraturan yang diperlukan oleh pihak berkuasa tempatan sebelum ia dapat dipasarkan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Seorang maut, lima cedera kren jatuh hempap pasar raya

Posted: 11 Dec 2013 10:03 AM PST

BERLIN 12 Dis. - Seorang maut manakala lima lagi parah apabila sebuah kren runtuh menimpa sebuah pasar raya di Bad Homburg, Frankfurt di sini semalam.

Pemandu kren tersebut turut dilaporkan cedera parah dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Operasi menyelamat masih diteruskan untuk mengesan dan mengeluarkan mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan itu. - AFP

Pemberontak disyaki bunuh anggota tentera India

Posted: 11 Dec 2013 10:01 AM PST

SRINAGAR 12 Dis. - Seorang anggota tentera yang sedang bertugas mengawal lebuh raya di Kashmir di sini maut manakala seorang lagi cedera setelah ditembak oleh pemberontak, semalam.

Jurucakap tentera, Kishore Prasad berkata, suspek terus melarikan diri sejurus melepaskan tembakan ke arah anggota tentera berkenaan.

Berikutan kejadian itu, polis dan tentera telah mengepung kawasan tersebut dan melancarkan operasi memburu kumpulan pemberontak yang melancarkan serangan itu. - AP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Jalan mendap sukarkan Orang Asli

Posted: 11 Dec 2013 09:57 AM PST

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

Ahmad Zubair (tiga dari depan) bersama penduduk Orang Asli menunjukkan jalan yang mendap dan rosak di Pos Pantos, Kuala Lipis, semalam.

KUALA LIPIS 11 Dis. - Sebanyak 1,500 Orang Asli di Kampung Pantos dan Projek Pemajuan Kawasan (PPK), Hulu Jelai dekat sini hampir terputus hubungan berikutan masalah mendapan dan kerosakan jalan raya antara Kuala Medang ke Pos Pantos, kelmarin.

Kejadian itu berpunca daripada hujan lebat sejak beberapa hari lalu yang menyebabkan berlakunya hakisan di laluan tersebut.

Berikutan mendapan itu, penduduk Orang Asli etnik Semai kini sukar keluar ke pekan Sungai Koyan dan bandar Kuala Lipis kecuali menggunakan laluan alternatif di ladang sawit berdekatan.

Ketua PPK Pos Pantos, Ahmad Zubair, 46, berkata, mendapan tanah kini semakin besar dan dikhuatiri boleh mengakibatkan runtuhan lebih serius sekali gus mengundang risiko keselamatan.

"Kawasan jalan yang berturap terus mendap kerana cerun dihakis oleh air hujan dengan cepat dan tanah mulai runtuh menyebabkan laluan ini tidak boleh digunakan oleh kenderaan," katanya.

Menurutnya, usaha membaik pulih jalan itu perlu dilaksanakan segera memandangkan penduduk Orang Asli sering berulang alik ke tempat kerja dan berbelanja di bandar berdekatan khususnya untuk membuat persiapan persekolahan tidak lama lagi.

Seorang penduduk Pos Pantos, Shahrim Abdullah, 36, berkata, mendapan di kawasan jalan itu agak besar dan dikesan pada pukul 6.30 petang kelmarin.

"Mendapan ini membabitkan jarak sepanjang 50 meter manakala terdapat kawasan yang berlaku mendapan sedalam 10 meter.

"Sebagai alternatif, penduduk terpaksa menggunakan laluan di ladang sawit berdekatan tetapi menghadapi kesukaran kerana mengharungi jalan berlumpur dan licin sebelum sampai ke Kuala Medang," katanya.

Cakna Anak Pahang hantar bekalan makanan

Posted: 11 Dec 2013 09:57 AM PST

Raja Borhan Raja Jaafar (kiri) menunjukkan bekalan makanan yang dikumpulkan di Arked Mara Temerloh untuk diedarkan kepada mangsa banjir di Temerloh, semalam.

TEMERLOH 11 Dis. - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Cakna Anak Pahang (CAP) telah menghantar lebih 20 tan bekalan makanan dan pakaian kepada mangsa banjir di beberapa daerah di negeri ini sejak minggu lalu.

Timbalan Pengerusinya, Raja Borhan Raja Jaafar berkata, pihaknya mula menggerakkan tenaga sukarelawan bagi menghantar bantuan sejak hari pertama banjir melanda Kuantan seterusnya meliputi beberapa daerah lain termasuk Bera, Maran, Jengka, Jerantut dan Temerloh.

Katanya, usaha ini menepati tujuan penubuhan CAP pada tahun lalu iaitu untuk membantu penduduk di negeri ini yang memerlukan pertolongan akibat bencana di samping membantu kebajikan penghuni rumah anak yatim.

"Sejak banjir melanda, kami menerima lebih 20 tan sumbangan barangan keperluan asas seperti makanan, susu bayi serta kanak-kanak, pakaian, lampin pakai buang dan tuala wanita sama ada daripada penduduk di negeri ini mahu pun orang luar termasuk dari Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak dan Negeri Sembilan.

"Kita membuat iklan untuk sumbangan menerusi laman sosial Facebook Cakna Anak Pahang dan orang ramai boleh mendapatkan pelbagai maklumat di situ," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pusat pengumpulan barangan CAP di Bangunan Arked Majlis Amanah Rakyat (Mara) Temerloh di sini hari ini.

Menurutnya, selain bantuan dalam bentuk makanan dan pakaian, pihaknya turut menerima sumbangan wang tunai daripada orang ramai yang digunakan untuk membeli barangan sebelum diagihkan kepada mangsa banjir.

Sementara itu, Raja Borhan berkata, pihaknya memberi tumpuan kepada mangsa banjir yang terputus hubungan kerana mereka kekurangan bekalan berbanding di pusat pemindahan yang mendapat bantuan segera daripada agensi terlibat.

"Kami akan redah ke mana sahaja sama ada menggunakan bot atau kenderaan pacuan empat roda (4WD) demi membantu mangsa banjir yang terputus hubungan agar mereka mendapat bekalan makanan bagi meneruskan hidup sehingga air surut," katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya turut mendapat bantuan daripada agensi pelancongan, kelab bermotor dan Pusat Belia Antarabangsa di Cheras bagi mendapatkan sumbangan terutama daripada pihak di luar negeri ini.

Tambahnya, CAP memerlukan lebih banyak bekalan makanan, susu untuk bayi serta kanak-kanak dan lampin pakai buang bagi diedarkan kerana masih ramai mangsa banjir yang terputus hubungan.

"Kita juga mengalu-alukan khidmat sukarelawan serta pengangkutan seperti lori dan bot untuk memudahkan kerja-kerja menghantar bantuan kepada mangsa banjir," jelasnya.

Raja Borhan berkata, Temerloh menjadi pusat pengumpulan bantuan dari semua tempat kerana bandar ini terletak di tengah negeri Pahang dan pihaknya akan menghubungi wakil di setiap daerah untuk mengambil bekalan sebelum dihantar kepada mangsa banjir.

"Pusat pengumpulan di Arked Mara Temerloh ini beroperasi daripada pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam dan mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh datang terus ke sini atau menghubungi saya di 019-9623410," katanya.

Yadim sumbang makanan

Posted: 11 Dec 2013 09:57 AM PST

KUANTAN 11 Dis. - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyumbangkan sebanyak 300 bungkusan makanan dan barangan keperluan kepada penduduk di tiga buah kampung di daerah ini yang terlibat dengan banjir.

Pengurus Besar Yadim, Dr. Shamsuddin Moner berkata, bungkusan berkenaan diedarkan dari rumah ke rumah oleh sukarelawan Al-Fatah Yadim dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang.

"Tiga kampung itu adalah Kampung Belukar, Kampung Razali dan Kampung Chendering yang terjejas teruk akibat bencana banjir ini.

"Secara keseluruhan sebanyak 300 buah rumah dapat dikunjungi oleh sukarelawan yang terlibat untuk disampaikan sumbangan ini," katanya di sini semalam.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


'Mak Engku' direman

Posted: 11 Dec 2013 09:57 AM PST

Oleh FAZRINA AYU RADUIAN
pengarang@utusan.com.my

WANITA dikenali sebagai 'Mak Engku' dibawa keluar dari Mahkamah Majistret setelah mendapat perintah reman ke atasnya di Kuala Selangor, semalam.

KUALA SELANGOR 11 Dis. - Seorang nenek berusia 60 tahun yang mempunyai 16 rekod jenayah dan dikenali sebagai 'Mak Engku' direman selama 14 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes pembunuhan penjaga cicak tokek yang berlaku di lombong Jalan Rantau Panjang, Bestari Jaya pada 30 Ogos lalu.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Kuala Selangor, Shah Wira Abdul Halim dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 bersama Seksyen 12 akta yang sama.

Warga emas itu merupakan wanita pertama yang ditahan mengikut akta berkenaan di negara ini sejak rang undang-undang bagi meminda PCA 1959 diluluskan di Dewan Rakyat pada Oktober lalu.

Akta tersebut digubal untuk mencegah aktiviti jenayah berat dan jenayah terancang yang semakin meningkat di negara ini.

Warga emas yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor itu tiba di mahkamah pada pukul 10.50 pagi sebelum dibawa keluar pada pukul 11.30 pagi.

Suspek ditahan polis di satu lokasi di Kuala Selangor pada pukul 2 pagi, 11 September lalu bagi membantu siasatan kes pembunuhan penjaga cicak tokek tersebut.

Selain wanita terbabit, polis turut menahan 16 lelaki berusia 21 hingga 48 tahun secara berperingkat di sekitar Selangor dan Hilir Perak.

Kesemua yang ditahan adalah ekoran kematian mangsa, Syairul Helmy Azhar, 24, dipercayai dibunuh dan mayatnya ditemui di dalam sebuah kereta yang separuh tenggelam di sebuah lombong.

Mangsa yang juga seorang ahli perniagaan dikatakan orang yang diamanahkan oleh wanita itu untuk memelihara cicak tokek yang dikatakan bernilai RM 1 juta dan mencari pembeli yang berpotensi.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan telah menghilangkan diri bersama reptilia itu sehingga menyebabkan wanita terbabit meminta sekumpulan lelaki untuk menjejaknya dan mangsa akhirnya ditemui mati dibunuh.

Sementara itu, hasil siasatan mendapati wanita warga emas terbabit mempunyai 16 rekod jenayah berkaitan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam kes penipuan urusan perniagaan di Perak dan Pahang.

Susulan itu, suspek kemudian turut disiasat berkaitan kes penipuan di Perak dan Pahang sebelum diserahkan semula kepada polis Selangor untuk meneruskan siasatan kes pembunuhan penjaga cicak tokek mengikut PCA.

Permohonan kedua gugur Muhammad Shafee 19 Disember

Posted: 11 Dec 2013 09:57 AM PST

PUTRAJAYA 11 Dis. - Mahkamah Rayuan menetapkan 19 Disember ini bagi mendengar permohonan kali kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes liwat melibatkan Ketua Pembangkang itu.

Pada tarikh itu juga, mahkamah akan menetapkan tarikh rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Aziah Ali menangguhkan rayuan yang dijadualkan selama dua hari hingga esok bagi membolehkan barisan peguam bela diketuai oleh peguam Tommy Thomas membalas afidavit jawapan yang difailkan oleh Muhammad Shafee hari ini.

Muhammad Shafee memfailkan afidavit balasan berhubung permohonan kedua pihak pembelaan untuk menyingkirkan beliau daripada mengetuai pendakwaan dalam rayuan pendakwa raya terhadap pembebasan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu daripada tuduhan liwat tersebut.

Notis usul terhadap permohonan itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan Karpal Singh & Co., pada 6 Disember lalu berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 21 November lalu yang memutuskan pelantikan Muhammad Shafee adalah sah di sisi undang-undang.

Permohonan terbaharu ini berpandukan kepada akuan berkanun (SD) bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim yang dibuat pada 7 Oktober lalu.

Sementara itu, Muhammad Shafee dalam afidavit jawapannya menyatakan, permohonan baharu yang bersandarkan kepada akuan berkanun Mat Zain, hanya bertujuan untuk melengah-lengahkan rayuan pendakwa raya.

Muhammad Shafee berkata, permohonan kali kedua berturut-turut Anwar yang berasaskan kepada alasan yang remeh-temeh, merupakan penyalahgunaan proses mahkamah dan seharusnya ditolak kerana akan menjurus kepada penangguhan demi penangguhan.

Dalam afidavitnya, Muhammad Shafee turut menafikan dakwaan dalam akuan berkanun Mat Zain yang menyentuh penglibatan beliau dengan pelbagai pihak yang mengaitkan plot dan konspirasi untuk memecat Peguam Negara berhubung beberapa isu sensitif.

Sehubungan itu, beliau memohon agar permohonan Anwar ditolak kerana kehadirannya selaku pendakwa raya semata-mata bertujuan berhujah dalam rayuan itu berdasarkan kepada rekod rayuan dan sama sekali tidak akan menyebabkan prejudis ke atas Ketua Pembangkang itu.

Hakim Aziah yang turut bersidang bersama Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh sepatutnya mendengar rayuan pendakwa raya yang tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah pada 9 Januari tahun lalu yang melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan liwat.

Anwar, 66, didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Terdahulu, seorang lagi peguam bela, Ramkarpal Singh memohon agar pendengaran rayuan tersebut ditangguhkan ke satu tarikh baharu ekoran peguam utama Anwar, Karpal Singh sedang menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berikutan jangkitan paru-paru.

Tambahnya, Karpal dimasukkan ke hospital sejak 7 Disember lalu dan dijangka menjalani rawatan sehingga hujung minggu ini.

Sementara itu, Muhammad Shafee memaklumkan kepada pihak media selepas selesai prosiding berhubung rasa tidak puas hatinya ekoran ketidakhadiran Anwar yang difahamkan kini berada di Washington bagi menghadiri satu seminar.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Adi Putra jawab isu skandal dengan isteri orang esok

Posted: 11 Dec 2013 03:40 AM PST

ADI PUTRA

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Persoalan selama ini yang masih menjadi tanda tanya berhubung isu skandal antara pelakon Adi Putra bersama seorang wanita berstatus isteri orang akan terjawab esok.

Bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra pada pukul 8 malam, pelakon ini akan mengadakan sidang media khas bagi memjelaskan perkembangan terkini isu tersebut yang sudah pun menjadi kes polis.

Pada 5 September lalu, Adi dikatakan saling berbalas mesej dan bertukar gambar lucah dengan seorang wanita berusia 30 tahun selepas seminggu berkenalan menerusi laman sosial.

Hubungan tersebut telah dikesan oleh suami wanita berkenaan dan telah diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE

Rebecca derma duit saman untuk mangsa banjir

Posted: 10 Dec 2013 10:45 PM PST

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Pelakon Rebecca Nur Al-Islam akan mendermakan keseluruhan wang berjumlah RM11,200 yang diterima hasil memenangi saman terhadap pengarah dan penerbit, Erma Fatima kepada mangsa banjir di Kuantan, Pahang dan pihak lain yang memerlukan.

Ujar Rebecca, pihak peguamnya memberitahu, pihak Erma telah pun membayar baki bayaran lakonan seperti yang diperintahkan pihak mahkamah sebelum ini, semalam.

Erma sekali lagi mencetuskan rasa kecewa Rebecca apabila menjelaskan saman berkenaan dengan wang bernilai RM1.

"Saya tidak tahu mengapa dia berbuat demikian, mungkin ini membuktikan dia masih tidak ikhlas mahu melakukan pembayaran mengikut arahan mahkamah. Bagaimanapun untuk tidak memanjangkan lagi kes ini, saya terima.

"Kini saya dalam perjalanan ke Kuantan untuk membantu mangsa-mangsa tragedi banjir di sana dengan menggunakan duit tersebut," ujarnya yang telah membeli barang-barang seperti makanan dan keperluan harian asas.

Pada 8 November lalu, Mahkamah Majistret memerintahkan Erma membayar sebanyak RM11,200 sebagai baki bayaran lakonan Rebecca dalam drama arahan pengarah itu, Dejavu di Kinabalu.

Terdahulu, Erma telah membuat bayaran tersebut dengan wang syiling lima sen yang disertakan dengan senaskhah al-Quran tetapi ditolak Rebecca setelah mendapatkan nasihat daripada pihak peguamnya. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Pengajaran dari Singapura

Posted: 11 Dec 2013 09:57 AM PST

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

BERATUS pekerja dari Asia Selatan merusuh di kawasan Little India, Singapura pada Ahad lalu. - AFP

KIRA-KIRA 12 tahun lalu di Singapura apabila anak seorang Amerika, Michael Faye menyembur cat pada sebuah kereta secara main-main, dia dijatuhi hukuman berat - didenda setimpal dengan perbuatannya.

Waktu itu Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton terus angkat telefon menghubungi Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong. Tetapi dijawab Chok Tong: "Jika Amerika Syarikat ada undang-undangnya, Singapura juga ada undang-undangnya."

Faye tetap didenda, sekali gus memperlihatkan ketegasan Singapura terhadap jenayah-jenayah berat, waima yang ringan sekali pun.

Namun, Ahad lalu di Singapura berlaku kejadian tidak disangka-sangka. Kira-kira 400 pekerja dari Asia Selatan terlibat dalam rusuhan yang menyaksikan 25 kenderaan termasuk bas serta 16 kereta polis musnah serta dibakar manakala 39 anggota polis dan petugas keselamatan awam cedera. Kumpulan perusuh mengganas setelah tersebar berita kematian seorang rakyat India dilanggar sebuah bas.

Jika selama ini Singapura dianggap negara paling efisien - bersih dari sudut anti-jenayah, kemajuan tiada tolok banding serta penguatkuasaan undang-undang antara tersohor di dunia - rusuhan Ahad lalu merobek segala-gala imej republik itu.

Sama ada kerajaan Singapura 'terlepas pandang' bibit-bibit sebelum insiden ini, itu persoalkan kemudian.

Cuma daripada peristiwa ganas pekerja asing India dan Bangladesh di Little India, dekat Serangoon Road dan Race Course Road, Singapura itu, Malaysia sepatutnya beroleh satu perbandingan yang perlu diambil berat dari sudut-sudut perundangan, kesan ekonomi dan badan-badan antara kaum.

"Apa yang berlaku di Litte India, Singapura itu satu pengajaran berguna kepada negara-negara jiran bagaimana majunya negara itu, masih ada ancaman terhadap sosio budaya dan politik. Dengan keadaan di Singapura, sekali gus tampak pekerja-pekerja asing ini apabila besar bilangannya tetap mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

"Masa bilangannya kecil, mereka hormat dan beradab tetapi bila bilangannya besar seperti di Singapura, Malaysia juga tidak mustahil mendepani masalah ini," kata Penasihat Kerajaan bagi Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim kepada penulis semalam.

Rais memberitahu, ancaman pekerja-pekerja asing di negara punca pencarian rezeki mereka bertambah berat dan serius apabila dibenarkan kelompok-kelompok kumpulan mereka 'mengadakan dunia mereka sendiri' seperti berhimpun.

"Kalau di Singapura, selain Little India, ribuan warga Filipina juga berhimpun setiap Ahad di Lucky Plaza dekat Orchard Road, sampaikan anda sendiri kalau ke sana 'sesak nafas' dibuatnya," katanya.

Dan apabila mereka ini mempunyai 'perpekanan' atau kawasan berhimpun secara sosial seperti di Serangoon Road dan Orchard Road, pihak berkuasa harus berwaspada dengan keadaan ini.

"Di Ampang contohnya, seperti mana Ampang Point dan Ampang Park, apa yang nampak kelibat besar warga Nigeria dan (benua) Afrika pada hujung minggu sehinggakan negara ini nampak negara Afrika.

"Bilangan mereka, apabila besar seperti mana di Singapura tempoh hari, mereka tak takut dah, sanggup buat apa sahaja, sekali pun bertempur dengan polis.

"Senario ini perlu dielakkan. Kaedah pencegahan perlu dicari dari sekarang. Juga, perlu berwaspada khabar-khabar angin bahawa sebahagian warga Bangladesh sudah dapat MyKad, selain ada laporan menunjukkan beberapa kumpulan pendatang dari Afrika memiliki dokumen-dokumen palsu," kata beliau.

Mengambil teladan daripada rusuhan di Singapura, kata Rais, isu di Malaysia adalah berkaitan soal ketenteraman awam dan langkah-langkah pencegahannya.

"Ini harus diwujudkan segera. Jika di Singapura pun yang sentiasa bersiap-siaga dengan penguatkuasaan anti-jenayah dan anti-rusuhannya yang cekap, apatah lagi dengan sistem kita," katanya.

Justeru, bagaimana penyelesaiannya? Rais antara lain menggariskan langkah-langkah berikut:

1. Di bawah tajuk pencegahan, wajar dilihat sudut penguatkuasaan, pemilikan kad pengenalan dan kad sah kerja di Malaysia. Setakat ini 'check point' mengejut jarang dilakukan. Dalam konteks ini juga, Rais ada mengemukakan kepada kerajaan mengenai keperluan undang-undang pekerja asing dibuat secara menyeluruh.

Yang tersedia ada, masing-masing penguatkuasaan 'berpecah' di Kementerian Dalam Negeri, pihak kerajaan tempatan serta Kementerian Kesihatan (kesihatan pekerja). Tidak ada sistem menyeluruh bagi pendatang asing.

2. Tidak membenarkan mana-mana warga asing mengadakan perhimpunan besar-besaran secara riadah atau berkaitan urusan kerja. Bila berhimpun terlalu ramai, akan wujudlah kumpulan gengster dan 'triad' (Cina).

3. Operasi pencegahan ini wajar diumum dan dilaksanakan supaya tampak oleh masyarakat.

Apa yang dikongsi oleh Rais amat berguna untuk direnung bersama oleh pihak berkuasa dan kerajaan negara ini. Dengan bilangan berjuta pekerja asing selain bilangan yang haram pun belum dimuktamadkan angkanya, nisbah ini cukup besar.

Dianggarkan terdapat 2.5 juta pekerja asing di Malaysia. Juga, harus dibuat sesuatu dengan meneliti niat warga asing berkahwin dengan warganegara Malaysia. Bila beranak-pinak, mereka kelak akan minta pula mahu menjadi penduduk kekal atau terus memperoleh taraf warganegara di bawah proses pendaftaran. Jika beribu-ribu warga asing buat begini, macam mana?

Akibatnya, mereka akan bersaing pula dengan rakyat Malaysia dalam berebut faedah/kemudahan kesihatan, persekolahan, perumahan dan peluang pekerjaan.

Rais mengakhiri perbualannya: "Di Malaysia, kita mesti curiga terhadap pekerja asing. Kecurigaan ini perlu diterjemahkan dengan penguatkuasaan imigresen yang cekap. Bukan perkara memalukan jika rondaan dibuat setiap hari.

"Di KLCC misalnya, perlu dikerapkan rondaan semasa musim perayaan setiap tahun.

"Dan dalam konteks ini tidak salah dicadang diwujudkan latihan nasional supaya warga Malaysia sendiri berupaya mengambil peranan pekerja asing dalam sektor tertentu seperti pembantu rumah.

"Ini dapat mengurangkan beban yang ditanggung kerajaan terhadap warga asing."

Strategi pengkaderan suatu langkah bijak

Posted: 11 Dec 2013 09:57 AM PST

SALAH satu strategi memperkasa UMNO yang disebut oleh Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak ialah program pengkaderan. Pengkaderan atau lazim disebut tarbiyah dalam kalangan sesetengah pihak adalah sesuatu yang amat dituntut.

UMNO sejak ditubuhkan mempunyai idealisme memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara. Idealisme ini perlu sentiasa hidup dan dipupuk dalam kalangan ahli terutama Pemuda dan Puteri supaya perjuangan UMNO dilihat relevan dengan tuntutan zaman.

Ahli UMNO boleh lupa dengan idealisme perjuangan ini sekiranya pengkaderan tidak berlaku kerana realiti yang dihadapi oleh UMNO kini berbanding dengan realiti yang dihadapi oleh pejuang-pejuang UMNO sebelum dan selepas mereka adalah tidak sama.

Pejuang-pejuang UMNO pada masa lalu sanggup berkorban memperjuangkan cita-cita UMNO dan bersusah payah menghidupkannya sehingga asas yang mereka bina menyebabkan UMNO berkembang sehingga menjadi teras politik negara kini.

Pengkaderan pada hemat penulis ialah suatu proses menggilap semula kesedaran, keinsafan, pemahaman mengenai sejarah perjuangan, jatuh bangun parti, melihat cabaran kini dan masa depan dan membangun tekad bahawa idealisme perjuangan perlu hidup kerana tanpanya UMNO boleh hilang dukungan generasi muda.

Umpamanya dukungan terhadap memperkasa umat Melayu dengan menjadikan Islam sebagai tunjangannya adalah sesuatu yang amat relevan dengan perkembangan zaman. Islam yang sifatnya ketamadunan harus menjadi asas transformasi kepada parti UMNO dan orang UMNO.

Telah banyak pendekatan yang dilakukan oleh UMNO dan kerajaan untuk memperkasa Islam dalam institusi ilmu dan pendidikan, muamalah, tijarah dan ekonomi, menyantuni kelompok miskin dan terpinggir, syariat dan media yang seharusnya diperkukuhkan lagi dalam bidang-bidang yang lain.

Ia memerlukan proses pengkaderan kepada ahli-ahli UMNO supaya idealisme perjuangan sentiasa segar dalam ingatan, pemahaman terhadap cabaran terkini harus semasa dan persiapan untuk meneruskan perjuangan sentiasa berada di landasan yang strategik dan maslahah yang bijaksana.

Sejarah mengenai kemerdekaan, pendekatan menggubal Perlembagaan, kepentingan institusi Raja dan Sultan, Islam sebagai Agama Persekutuan, Hak Istimewa orang Melayu, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan banyak lagi adalah asas-asas fundamental yang perlu difahami benar hikmah ia diperuntukkan supaya generasi muda tidak lupa atau terjebak dengan perangkap memperkasa umat Melayu itu adalah asabiyah atau rasis.

Perjuangan UMNO dan umat Melayu adalah suatu simbiosis. Memperkasa umat Melayu adalah memperkasa Islam sekali gus. Konsep umat yang membawa maksud Islam apabila ditindikkan dengan potensi bangsa Melayu merupakan sinergi yang bertenaga untuk mencetuskan perubahan atau transformasi.

Keadaan ini akan menjadi lebih bermakna sekiranya ahli UMNO memahami tentang gagasan besar dan utama dalam haluan perjuangan supaya idealisme UMNO terus segar dan hidup dalam memberi respons terhadap realiti.

Dunia Islam kini sedang melihat suatu model yang mampu menampilkan wahdah atau kesatuan sesama warga umat, model alternatif yang Islami, keupayaan warga umat menyantuni situasi majmuk dan globalisasi yang menghimpit.

Yakinlah dengan strategi pengkaderan yang berterusan dalam kalangan seluruh warga UMNO, ia bakal mengukuhkan lagi tekad perjuangan untuk memartabat Islam sebagai asas perubahan dan kemajuan di Malaysia.

Ia adalah suatu taklif atau amanah bagi setiap warga UMNO bahawa perjuangan untuk memperkasa umat Melayu masih belum selesai. Ia menuntut iltizam atau komitmen yang tinggi supaya strategi UMNO dan pendekatan kerajaan mampu menjadikan umat Melayu disegani dan dihormati lantaran pada diri setiap ahli UMNO terutama kepimpinannya memiliki tekad tinggi untuk terus maju dan berubah dalam acuan kita sendiri.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Bau segar pine semula jadi

Posted: 10 Dec 2013 09:17 PM PST

Sesetengah orang menyukai bau klasik yang terdapat dalam sabun anti bakteria tetapi masalahnya pada masa sama ia mengeringkan kulit.

Sebagai penyelesaian, mungkin sudah tiba masa untuk menukar sabun kepada Antabax Pure Pine Antibakteria yang mengandungi kombinasi bau kayu yang segar dan kebaikan kesihatan daripada ekstrak asli pine.

Kandungan serum mikro kelembapan serta vitamin memastikan kulit mempunyai bau segar di samping mengembalikan tahap kelembapan kulit.

Antabax Pure Pine mungkin ideal untuk mereka yang menjalani gaya hidup aktif yang memerlukan jaminan perlindungan antibakteria.

Lebih penting ia tidak mengeringkan kulit dengan bau pine semula jadi bagi jangka masa yang panjang.

Minyak pine diperoleh daripada proses penyulingan ranting dan juga daripada pokok pinus sylvestri.

Ia telah digunakan dalam bidang perubatan Timur dan Barat kerana mempunyai khasiat perlindungan antibakteria, memberi tenaga, antiseptik, penyahbauan dan juga mempunyai bau aroma terapi.

Minyak tersebut juga digunakan bagi memberi kelegaan otot dan sendi yang sakit kerana sifatnya yang memberi kepanasan melegakan.

Pati pine yang mengandungi kualiti antispetik memberi faedah dalam mengubati luka, dan jangkitan fungus.

Ia juga telah digunakan secara meluas dalam aroma terapi dan pengurutan kerana sifatnya yang memberi rasa bersih dan mengembalikan tenaga

Rangkaian The Antabax Pure Pine Shower Cream boleh diperoleh pada harga daripada RM6.20 hingga RM14.50.

Derita angkara dengki manusia

Posted: 10 Dec 2013 09:17 PM PST

GADIS ini sememangnya periang, ramah, ceria. Bibirnya sentiasa menguntum senyuman. Setiap kanak-kanak asuhannya juga kelihatan mesra dan senang bersamanya.

Itulah Fira (bukan nama sebenar) yang usianya baru mencecah 18 tahun, namun sudah bekerja sebagai pengasuh di sebuah taska yang terletak di ibu kota sejak setahun lalu.

"Fira tak sekolah sebab sakit," ujarnya perlahan bagai tahu apa tersirat di hati saya.

Sebagai remaja berusia 18 tahun dia sepatutnya berada di kolej meneruskan pelajaran atau bekerja sementara dan bukannya mengasuh kanak-kanak.

Kalau begitu keadaannya bagaimana orang yang dikatakan sakit mempunyai kudrat menjaga anak-anak kecil yang jumlahnya melebihi 10 orang, soal saya.

Saya sendiri sebagai ibu tiga anak adakalanya berasa tidak mampu menguruskan anak sendiri.

Cerita Fira pun bermula, sebenarnya dia sakit sejak berusia 13 tahun. Setahun bercuti sekolah kerana langsung tidak mampu ke sekolah. Dia menderita penyakit dalam perut di mana saluran pembuangan air kecil dan besarnya seolah-olah ditutup tidak boleh berfungsi sendiri.

"Hospital memang rumah saya. Tiada istilah rumah kedua kerana memang kebanyakan masa saya di hospital. Adakalanya tiada siapa menemani saya kerana ibu juga mempunyai tanggungjawab lain di rumah.

"Saya memang dah biasa dengan keadaan tersebut dan akhirnya Allah berikan saya kesembuhan.

" Alhamdulillah saya dapat bersekolah semula. Namun, takdir menentukan saya diuji sekali lagi dengan penyakit lain di bahagian perut ketika habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," ujar gadis kelahiran utara tanah air ini.

Pendarahan sepanjang masa

Kalau gadis normal, pendarahan haid biasanya mengambil masa selama tujuh atau paling lama 15 hari. Tetapi bagi Fira dia mengalaminya sepanjang tahun.

Malah ada ketika darah yang keluar berketul-ketul seperti hati ayam.

"Ibu terus bawa saya ke hospital dan pemeriksaan dibuat. Doktor mengesyaki saya menghidap kanser. Pun begitu pemeriksaan lanjut dibuat tapi saya tidak pula menghidap penyakit lain seperti simptom kekurangan darah atau anemia.

"Saya terus mencari rawatan dan doktor mendapati bahagian rahim saya memang mempunyai masalah. Doktor memaklumkan satu pembedahan segera bagi mengeluarkan seluruh rahim saya perlu dibuat.

"Saya hanya akur dengan keputusan doktor kerana masih mentah dan tidak tahu apa-apa selain berharap dapat sembuh seperti biasa," cerita Fira.

Akhirnya, Fira bersedia untuk dibedah dan rahimnya telah dikeluarkan pada usia 17 tahun.

"Doktor menunjukkan kepada ahli keluarga keadaan rahim saya yang sudah rosak. Peliknya rahim tersebut seakan mengalami luka-luka dan kesan luka itu agak jelas. Ibu ada juga terfikir bahawa keadaan tersebut luar daripada kebiasaan. Namun saya memaksa ibu agar reda dengan apa yang telah ditentukan," katanya.

Walau telah dibedah, keadaan Fira tidaklah secergas gadis seusianya kerana masih bergantung pada ubat dan rawatan susulan setiap bulan agar penyakitnya sentiasa terkawal.

Fira hanya menghabiskan masa berehat di rumah dan bermain dengan kucing kesayangan.

Dia juga sering menguncikan diri dalam bilik dan tidak sukakan cahaya. Dia sanggup duduk bergelap dari pagi hingga ke malam dan tidak menjamah apa-apa makanan.

Keadaan Fira berterusan begitu dan sangka ibu bapa Fira itu satu yang normal bagi gadis yang menghidapi penyakit sepertinya.

Sehinggalah pada satu hari ibu dan bapa Fira memutuskan untuk meluaskan lagi keadaan rumah mereka di kampung dan proses ubah suai bermula.

"Ibu terjumpa satu bungkusan dibalut seperti mayat dikapan dalam saiz sebesar tapak tangan ketika sedang mencangkul semak di belakang rumah.

"Hanya selepas bapa pulang barulah mereka berani membuka bungkusan tersebut. Di dalamnya ada kain kuning, ada gumpalan rambut dan beberapa peralatan tajam seperti pisau cukur dan jarum.

"Sesungguhnya keluarga saya memang tabu dengan perkara begitu dan kami memang tidak pernah mengalaminya kecuali mendengar cerita orang sahaja," cerita Fira lagi.

Lantas 'benda' tersebut dibawa ke rumah seorang ustaz di hujung kampung.

Benar seperti sangkaan ibu Fira, ada sesuatu yang aneh mengganggu kesihatan anak perempuan bongsu kesayangannya itu.

Fira terus dibawa berubat dengan ustaz tersebut dan semasa proses rawatan Fira memang berubah menjadi individu lain sehingga boleh berbahasa Siam.

"Semua terkejut dengan apa yang saya alami. Tahulah mereka bahawa selama ini sakit yang saya alami memang ada berpunca daripada gangguan mistik.

"Ustaz berusaha mengubati saya. Ada ketika saya muntah pelbagai benda asing yang tidak sepatutnya berada dalam perut saya," ujar Fira lagi.

Fira meneruskan sesi berubat dengan ustaz tersebut dan perwatakannya dari seorang yang pemurung sedikit demi sedikit berubah menjadi seorang yang ceria.

Dia sudah mula ke dapur, bersembang dengan rakan sekampung dan mempunyai cita-citanya sendiri.

Jodoh tetap ada

Benarlah janji Allah SWT, tiap-tiap ujian pasti disertai dengan hikmah yang besar. Bagi Fira walaupun dia tidak akan boleh mengandung dan mempunyai zuriat, Allah telah pertemukan dia dengan seorang lelaki yang menerima dirinya seadanya.

Zahid (bukan nama sebenar) bagai 'hadiah' daripada Allah untuk Fira kerana kemuliaan hatinya.

Mereka berkenalan melalui seorang rakan. Awalnya Fira tidak berminat dengan perkenalan yang dihulur kerana menyedari kekurangan diri. Tetapi Zahir begitu beriya-iya untuk berkawan sehingga tidak sampai hati ditolak.

Sebulan berkawan, tanpa diminta Zahid bertemu dengan ibu bapa Fira memohon untuk menyunting gadis idaman. Biarpun sudah dimaklumkan tentang keadaan Fira, lelaki itu masih mahu menjadikanya sebagai isteri.

Fira kini juga amat gembira bersama anak-anak asuhannya yang dianggap seperti anak sendiri. Dia tidak peduli lagi dengan kata-kata orang tentang kekurangannya. Malah semakin menghargai kehidupannya yang semakin sihat dan tidak sebar menamatkan zaman bujangnya pada Februari tahun depan.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved