Rabu, 11 Disember 2013

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Bau segar pine semula jadi

Posted: 10 Dec 2013 09:17 PM PST

Sesetengah orang menyukai bau klasik yang terdapat dalam sabun anti bakteria tetapi masalahnya pada masa sama ia mengeringkan kulit.

Sebagai penyelesaian, mungkin sudah tiba masa untuk menukar sabun kepada Antabax Pure Pine Antibakteria yang mengandungi kombinasi bau kayu yang segar dan kebaikan kesihatan daripada ekstrak asli pine.

Kandungan serum mikro kelembapan serta vitamin memastikan kulit mempunyai bau segar di samping mengembalikan tahap kelembapan kulit.

Antabax Pure Pine mungkin ideal untuk mereka yang menjalani gaya hidup aktif yang memerlukan jaminan perlindungan antibakteria.

Lebih penting ia tidak mengeringkan kulit dengan bau pine semula jadi bagi jangka masa yang panjang.

Minyak pine diperoleh daripada proses penyulingan ranting dan juga daripada pokok pinus sylvestri.

Ia telah digunakan dalam bidang perubatan Timur dan Barat kerana mempunyai khasiat perlindungan antibakteria, memberi tenaga, antiseptik, penyahbauan dan juga mempunyai bau aroma terapi.

Minyak tersebut juga digunakan bagi memberi kelegaan otot dan sendi yang sakit kerana sifatnya yang memberi kepanasan melegakan.

Pati pine yang mengandungi kualiti antispetik memberi faedah dalam mengubati luka, dan jangkitan fungus.

Ia juga telah digunakan secara meluas dalam aroma terapi dan pengurutan kerana sifatnya yang memberi rasa bersih dan mengembalikan tenaga

Rangkaian The Antabax Pure Pine Shower Cream boleh diperoleh pada harga daripada RM6.20 hingga RM14.50.

Derita angkara dengki manusia

Posted: 10 Dec 2013 09:17 PM PST

GADIS ini sememangnya periang, ramah, ceria. Bibirnya sentiasa menguntum senyuman. Setiap kanak-kanak asuhannya juga kelihatan mesra dan senang bersamanya.

Itulah Fira (bukan nama sebenar) yang usianya baru mencecah 18 tahun, namun sudah bekerja sebagai pengasuh di sebuah taska yang terletak di ibu kota sejak setahun lalu.

"Fira tak sekolah sebab sakit," ujarnya perlahan bagai tahu apa tersirat di hati saya.

Sebagai remaja berusia 18 tahun dia sepatutnya berada di kolej meneruskan pelajaran atau bekerja sementara dan bukannya mengasuh kanak-kanak.

Kalau begitu keadaannya bagaimana orang yang dikatakan sakit mempunyai kudrat menjaga anak-anak kecil yang jumlahnya melebihi 10 orang, soal saya.

Saya sendiri sebagai ibu tiga anak adakalanya berasa tidak mampu menguruskan anak sendiri.

Cerita Fira pun bermula, sebenarnya dia sakit sejak berusia 13 tahun. Setahun bercuti sekolah kerana langsung tidak mampu ke sekolah. Dia menderita penyakit dalam perut di mana saluran pembuangan air kecil dan besarnya seolah-olah ditutup tidak boleh berfungsi sendiri.

"Hospital memang rumah saya. Tiada istilah rumah kedua kerana memang kebanyakan masa saya di hospital. Adakalanya tiada siapa menemani saya kerana ibu juga mempunyai tanggungjawab lain di rumah.

"Saya memang dah biasa dengan keadaan tersebut dan akhirnya Allah berikan saya kesembuhan.

" Alhamdulillah saya dapat bersekolah semula. Namun, takdir menentukan saya diuji sekali lagi dengan penyakit lain di bahagian perut ketika habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," ujar gadis kelahiran utara tanah air ini.

Pendarahan sepanjang masa

Kalau gadis normal, pendarahan haid biasanya mengambil masa selama tujuh atau paling lama 15 hari. Tetapi bagi Fira dia mengalaminya sepanjang tahun.

Malah ada ketika darah yang keluar berketul-ketul seperti hati ayam.

"Ibu terus bawa saya ke hospital dan pemeriksaan dibuat. Doktor mengesyaki saya menghidap kanser. Pun begitu pemeriksaan lanjut dibuat tapi saya tidak pula menghidap penyakit lain seperti simptom kekurangan darah atau anemia.

"Saya terus mencari rawatan dan doktor mendapati bahagian rahim saya memang mempunyai masalah. Doktor memaklumkan satu pembedahan segera bagi mengeluarkan seluruh rahim saya perlu dibuat.

"Saya hanya akur dengan keputusan doktor kerana masih mentah dan tidak tahu apa-apa selain berharap dapat sembuh seperti biasa," cerita Fira.

Akhirnya, Fira bersedia untuk dibedah dan rahimnya telah dikeluarkan pada usia 17 tahun.

"Doktor menunjukkan kepada ahli keluarga keadaan rahim saya yang sudah rosak. Peliknya rahim tersebut seakan mengalami luka-luka dan kesan luka itu agak jelas. Ibu ada juga terfikir bahawa keadaan tersebut luar daripada kebiasaan. Namun saya memaksa ibu agar reda dengan apa yang telah ditentukan," katanya.

Walau telah dibedah, keadaan Fira tidaklah secergas gadis seusianya kerana masih bergantung pada ubat dan rawatan susulan setiap bulan agar penyakitnya sentiasa terkawal.

Fira hanya menghabiskan masa berehat di rumah dan bermain dengan kucing kesayangan.

Dia juga sering menguncikan diri dalam bilik dan tidak sukakan cahaya. Dia sanggup duduk bergelap dari pagi hingga ke malam dan tidak menjamah apa-apa makanan.

Keadaan Fira berterusan begitu dan sangka ibu bapa Fira itu satu yang normal bagi gadis yang menghidapi penyakit sepertinya.

Sehinggalah pada satu hari ibu dan bapa Fira memutuskan untuk meluaskan lagi keadaan rumah mereka di kampung dan proses ubah suai bermula.

"Ibu terjumpa satu bungkusan dibalut seperti mayat dikapan dalam saiz sebesar tapak tangan ketika sedang mencangkul semak di belakang rumah.

"Hanya selepas bapa pulang barulah mereka berani membuka bungkusan tersebut. Di dalamnya ada kain kuning, ada gumpalan rambut dan beberapa peralatan tajam seperti pisau cukur dan jarum.

"Sesungguhnya keluarga saya memang tabu dengan perkara begitu dan kami memang tidak pernah mengalaminya kecuali mendengar cerita orang sahaja," cerita Fira lagi.

Lantas 'benda' tersebut dibawa ke rumah seorang ustaz di hujung kampung.

Benar seperti sangkaan ibu Fira, ada sesuatu yang aneh mengganggu kesihatan anak perempuan bongsu kesayangannya itu.

Fira terus dibawa berubat dengan ustaz tersebut dan semasa proses rawatan Fira memang berubah menjadi individu lain sehingga boleh berbahasa Siam.

"Semua terkejut dengan apa yang saya alami. Tahulah mereka bahawa selama ini sakit yang saya alami memang ada berpunca daripada gangguan mistik.

"Ustaz berusaha mengubati saya. Ada ketika saya muntah pelbagai benda asing yang tidak sepatutnya berada dalam perut saya," ujar Fira lagi.

Fira meneruskan sesi berubat dengan ustaz tersebut dan perwatakannya dari seorang yang pemurung sedikit demi sedikit berubah menjadi seorang yang ceria.

Dia sudah mula ke dapur, bersembang dengan rakan sekampung dan mempunyai cita-citanya sendiri.

Jodoh tetap ada

Benarlah janji Allah SWT, tiap-tiap ujian pasti disertai dengan hikmah yang besar. Bagi Fira walaupun dia tidak akan boleh mengandung dan mempunyai zuriat, Allah telah pertemukan dia dengan seorang lelaki yang menerima dirinya seadanya.

Zahid (bukan nama sebenar) bagai 'hadiah' daripada Allah untuk Fira kerana kemuliaan hatinya.

Mereka berkenalan melalui seorang rakan. Awalnya Fira tidak berminat dengan perkenalan yang dihulur kerana menyedari kekurangan diri. Tetapi Zahir begitu beriya-iya untuk berkawan sehingga tidak sampai hati ditolak.

Sebulan berkawan, tanpa diminta Zahid bertemu dengan ibu bapa Fira memohon untuk menyunting gadis idaman. Biarpun sudah dimaklumkan tentang keadaan Fira, lelaki itu masih mahu menjadikanya sebagai isteri.

Fira kini juga amat gembira bersama anak-anak asuhannya yang dianggap seperti anak sendiri. Dia tidak peduli lagi dengan kata-kata orang tentang kekurangannya. Malah semakin menghargai kehidupannya yang semakin sihat dan tidak sebar menamatkan zaman bujangnya pada Februari tahun depan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


RM5j atasi 'banjir termenung'

Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

PONTIAN 10 Dis. -Kerajaan Pusat perlu memperuntukkan sekitar RM5 juta bagi pembinaan pintu air baharu bagi mengatasi masalah banjir termenung iaitu air tidak mengalir di beberapa kawasan termasuk di Parit Stan dan Benut.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, pintu air sedia ada pada tidak lagi mampu menampung aliran air dari kawasan lain termasuk Parit Kerimon dan Parit Hassan khususnya pada waktu hujan lebat.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengemukakan surat kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bagi mendapatkan peruntukan bagi pembinaan pintu air yang lebih besar bagi mempercepatkan aliran air.

"Walaupun peruntukan ini nampak besar, namun ia mampu mengatasi masalah banjir yang melanda setiap tahun disebabkan kegagalan pintu air berfungsi dengan baik.

"Masalah pintu air ini juga merupakan punca utama berlakunya banjir di kawasan Parit Stan yang menyebabkan 24 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir," katanya selepas melawat pemindahan banjir di sini, kelmarin.

Bagaimanapun kesemua mangsa berkenaan sudah dibenarkan pulang semalam selepas keadaan banjir di daerah itu semakin pulih.

Ahmad turut menasihatkan penduduk untuk bersedia mengahadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir gelombang kedua ekoran keadaan cuaca tidak menentu pada waktu ini selain fenomena air pasang besar sehingga hujung bulan ini.

Beliau berkata, semua yang dilakukan perlu mngikut garis panduan yang ditetapkan Jawatankuasa Bencana Daerah khususnya dari aspek menyelamat, pemindahan mangsa serta bekalan di keperluan di pusat pemindahan

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan memberitahu, bantuan RM500 kepada mangsa banjir hanya akan diberikan kepada ketua keluarga yang terlibat sahaja.

Beliau berkata, pengesahan status mangsa banjir itu yang berdaftar di pusat pemindahan banjir itu akan dilakukan Ketua Kampung, Penghulu Mukim dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

SME Bank rasmi Pusat Enterpris Batu Pahat, Pusat Wilayah Selatan

Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST

Hamim Samuri (tengah) menandatangani plak perasmian SME Bank sambil disaksikan Mohd. Radzif Mohd. Yunus (kiri) dan Noraini Ahmad di Batu Pahat, Johor, semalam.

BATU PAHAT 10 Dis. - SME Bank hari ini merasmikan pembukaan Pusat Enterpris Batu Pahat di sini sebagai usaha memberikan perkhidmatan lebih menyeluruh kepada usahawan dan bakal usahawan di negeri ini khususnya bagi menyediakan pembiayaan.

Pembukaan Pusat Enterpris ke-17 itu dilakukan serentak bersama perasmian Pusat Wilayah Selatan yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Hamim berkata, pembukaan pusat tersebut didaerah ini merupakan keputusan tepat kerana Batu Pahat adalah daerah kedua yang mempunyai ramai usahawan kecil dan sederhana di negeri ini selepas Johor Bahru.

Beliau berkata, selain itu daerah ini juga terkenal sebagai pusat pembuatan barangan eletronik, pemprosesan makan, makan segera, makanan tradisional segera, pembuatan proselin dan pengeksport utama tekstil negara.

"Dengan pembukaan Pusat Enterpris dan Pusat Wilayah Selatan SME Bank ini, saya yakin ia dapat membantu usahawan baharu dan kecil dalam mendapatkan pembiayaan termasuk bagi mengembangkan peniagaan.

"Selain itu, PKS juga diseru agar peka dengan perkhidmatan yang disediakan SME Bank kerana ia membuktikan sokongan kuat daripada kerajaan dalam membantu mewujudkan lebih ramai usahawan serta membantu PKS yang ada," katanya di sini,

Yang turut hadir, Pengarah Urusan SME Bank Datuk Mohd. Radzif Mohd. Yunus; Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Noraini Ahmad dan ahli lembaga pengarah SME Bank.

Dalam majlis tersebut, SME Bank turut menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM10,000 kepada 100 penerima selain bantuan beg sekolah dan baucer buku kepada 100 pelajar kurang berkemampuan daripada seluruh daerah ini.

Hamim memberitahu, sehingga kini, seramai 23 usahawan di daerah ini telah menerima pembiayaan sebanyak RM41 juta bagi mengembangkan dan memulakan perusahaan masing-masing.

Katanya, jumlah tersebut akan bertambah apabila terdapat Pusat Wilayah Selatan yang dapat memberikan lebih banyak bimbingan dan bantuan kepada usahawan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Pesona kebaya Nyonya Melaka

Posted: 10 Dec 2013 09:16 PM PST

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN

Keunikan sulaman kerawang yang unik antara keistimewaan kebaya nyonya.

BAJU kebaya nyonya asli Melaka walaupun sudah lebih 100 tahun tetap kekal elok sehingga ke hari ini. Keindahan dan keunikan baju kebaya Nyonya tidak boleh disangkal kerana ia dibuat dengan begitu teliti sehingga menghasilkan seni sulaman kerawang yang amat sukar diperoleh pada hari ini.

Nur Amirah Zainudin wakil dari butik DMDI Shoppe berkata, baju tersebut dinamakan kebaya Nyonya kerana dibuat oleh keturunan Baba dan Nyonya Melaka.

Katanya, ia pakai sebagai baju harian golongan wanitanya. Baju kebaya pendek paras punggung ini dibuat sendiri di rumah dan dipakai bersama kain batik sarung.

"Pada masa dahulu, kebaya Nyonya hanya dipakai oleh mereka yang berusia 30 tahun ke atas kerana sudah menjadi adat mereka, selain penghormatan kepada mereka yang sudah berusia.

"Di sinilah terciptanya nama kebaya Nyonya yang kini dipakai oleh semua lapisan masyarakat tidak kira kaum mahupun usia kerana keunikannya yang tersendiri," katanya.

Malah, menurut Nur Amirah, ia menjadi kebanggaan kepada si pemakai kerana mempunyai nilai yang tersendiri selain harganya yang agak mahal bersesuaian dengan kualiti dan kerawang yang disulam.

Harga sehelai kebaya Nyonya terletak pada kualiti kain yang digunakan kerana sekiranya kain tidak berkualiti, ia akan mudah koyak jika dijahit sulaman di atasnya.

"Kebanyakan corak sulaman berunsurkan flora dan fauna selain binatang seperti burung dan ikan emas.

"Kebaya Nyonya juga sesuai dipakai ke majlis perkahwinan, kenduri serta makan malam. Sekarang, pemakaian kebaya Nyonya lebih meluas apabila ramai yang memakai ke pejabat dan sebagainya," katanya.

Berdasarkan pengalamannya, menurut Nur Amirah, kebaya Nyonya bukan sahaja dihargai oleh wanita tempatan, malah turut dibeli oleh wanita dari negara jiran seperti Singapura dan Brunei yang sanggup menghabiskan ribuan ringgit bagi memiliki sehelai kebaya Nyonya.

Alah membeli menang memakai. Walaupun harganya mahal namun amat berbaloi kerana sulaman kerawang dibuat dengan tangan, halus dan boleh dijadikan warisan kepada anak cucu.

Baju kebaya nyonya DMDI SHOPPE (DIMILIKI OLEH DMDI GLOBAL SDN BHD), DATARAN PAHLAWAN MEGAMALL, BANDA HILIR, MELAKA (06-2816941). Solekan BAIZURA MUHAMMAD (019-3648846) www.facebook.com/baizuraMUA Model ELLY

Wajah secantik Rozita

Posted: 10 Dec 2013 09:16 PM PST

Oleh NATASHA FARAH MOHAMAD JOHAR

Wanita mana yang tidak mahu nampak cantik dan berseri-seri saat melangkah ke jenjang pelamin, apatah lagi jika si ratu sehari itu merupakan artis tersohor yang perkahwinannya sudah diangkat sebagai wedding of the year.

Tanpa aral melintang dia bakal kembali menjadi isteri orang semula pada hari ini.

Pelakon jelita, Rozita Che Wan, memulakan perjalanan perkahwinannya dengan 'mempersiapkan' tubuh dari hujung rambut ke hujung kaki sementelah dia sendiri merupakan duta produk kecantikan Safi Rania Gold.

Mencuri masa dalam kelelahan membuat persiapan perkahwinan, Rozita sempat berkongsi rahsia rutin penjagaan wajah, yang katanya bukan baru bermula setahun dua sebaliknya dilakukan penuh displin sejak usia menginjak belasan tahun lagi.

Rejim penjagaan wajahnya semakin ketat sering peningkatan usia kerana baginya, memiliki kulit wajah yang sihat, halus dan licin satu kemestian.

"Solekan sekadar penambah seri bukan topeng untuk sentiasa menutup cela. Saya percaya struktur kulit yang sihat pasti mampu menjadi kanvas yang baik untuk berkarya dengan pelbagai gaya solekan.

"Sebagai wanita tidak kira artis mahupun orang biasa, kecantikan sangat penting kerana bila kita cantik, keyakinan akan lebih tinggi," katanya pada majlis Pupur Emas Seri Ratu Sehari Ratu Safi Rania Gold di Jentayu Spa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Rozita, disiplin adalah kunci kepada usaha kecantikan kerana tanpanya apa juga teknologi dan formula dalam produk kecantikan tidak akan berguna.

Dia mengakui, usaha mengekalkan keremajaan kulit wajah tambah mencabar apabila usia meningkat serta ancaman faktor persekitaran dan tekanan seharian.

Faktor tersebut boleh membuatkan kulit wajah mengalami proses penuaan dengan lebih cepat.

"Syukurlah saya bertemu dengan Safi Rania Gold dengan manfaat Nano emas 24k dan diperkaya amino peptida yang mengurangkan kedutan dan garisan halus sehingga 55 peratus.

"Produk ini turut mengembalikan keanjalan kulit dan membaiki tona kulit saya agar lebih sekata dari dalam sebanyak dua kali ganda lebih pantas dalam masa tiga minggu," katanya.

Rozita percaya rahsia kecantikannya sedikit sebanyak terletak kepada tiga asas pupur kecantikan Pembersih Wajah Lembapan Mendalam, Serum dan Krim BB SPF30PA daripada rangkaian Safi Rania Gold.

Katanya, pembersih wajah tersebut menghapus kotoran pada muka terutamanya solekan dengan amat berkesan, manakala serum merupakan rejim kecantikan yang penting yang mesti ada.

"Krim BB ini pula begitu ringan amat sesuai untuk solekan natural. Krim ini yang hadir dengan manfaat pelindung kulit dari sinar lembayung ungu membuatkan kita yakin untuk keluar dengan gaya bersahaja," kata Rozita mencuit hati ramai dengan personaliti ceria dan bersahaja.

Hadir sama melengkapkan 'temujanji' cantik sehari itu ialah Pengurus Kumpulan Produk Safi, Mahsuri Sulaiman.

"Temujanji cantik ini merupakan cara mudah dan tersendiri untuk Safi membisikan mesej cantik kepada wanita.

"Bagi saya setiap wanita perlu mencari masa untuk memanjakan diri. Ambil masa sehari bersama teman atau sendirian untuk merawat jiwa dan mengembalikan seri pada wajah," kata Mahsuri.

Katanya, Safi Rania Gold adalah produk antipenuaan yang diperkaya dengan formulasi teknologi Nano Emas 24K.

Ia berfungsi mengurangkan kedalaman kedutan dan garis halus serta membaiki keanjalan kulit sekaligus melambatkan penuaan.

Rangkaian produk penjagaan kulit eksklusif daripada SAFI ini turut diperkaya dengan protein mutiara serta Vitamin B3 untuk mencerah, memulihkan kesegaran dan seri wajah sambil memperkuat struktur kulit.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Hargai peranan sungai

Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST

Mohamad Hasan (empat dari kanan) melawat Pintu Kawalan Pasang Surut selepas Perasmian Pintu Kawalan Pasang Surut (Tidal Gate J), Chuah, Port Dickson, Negeri Sembilan, kelmarin.

TELOK KEMANG 10 Dis. - Tanggungjawab untuk memelihara sungai yang menjadi nadi kehidupan serta penggerak kepada ekonomi sesebuah negara tidak hanya terletak pada agensi kerajaan dan badan yang bertanggungjawab.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tanggungjawab itu harus dipikul secara bersama oleh setiap individu selain kerjasama syarikat swasta bagi memastikan sungai yang ada di negeri ini terus menyumbang kepada keperluan rakyat.

Jelasnya, kejadian banjir yang berlaku secara tiba-tiba bukan hanya disebabkan kerana sungai menjadi cetek dan tidak mampu untuk menampung jumlah air yang banyak tetapi disebabkan sikap tidak ambil peduli masyarakat dan segelintir syarikat swasta terhadap kepentingan sumber berharga itu.

''Saya selalu sebut walaupun kita mahu jaringan jalan raya yang baik tetapi kita juga perlu ambil berat mengenai sungai kerana sungai juga menjadi nadi kepada masyarakat.

''Itu sebabnya apabila kita tidak ambil peduli, sikap tidak ambil kisah yang menebal tidak mahu menjaga sungai, maka alam akan bertindak kembali kepada kita dengan membawa bencana termasuklah banjir kilat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Pintu Kawalan Pasang Surut (Tidal Gate J), Chuah, Port Dickson dekat sini semalam.

Malah, kata Mohamad, sikap tidak ambil peduli masyarakat dapat dilihat apabila ada segelintir masyarakat yang mengambil mudah dengan membuang sampah ke dalam sungai memburukkan lagi keadaan, menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos bagi mendalamkannya.

Pada masa sama juga, kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak khususnya dari syarikat-syarikat swasta dalam memastikan alam terpelihara terutamanya dalam menjaga kepentingan penyelenggaraan, menaik-taraf serta memelihara sungai di negeri ini.

Malah, beliau turut menyeru pihak swasta mengambil inisiatif dan tanggungjawab dalam segala kegiatan industri yang dijalankan khususnya penjagaan sungai yang menjadi kepentingan utama dalam kehidupan kita.

''Sehubungan itu, kerjasama swasta seperti apa yang kita lihat hari ini, amat kita alu-alukan kerana pihak swasta juga memerlukan sebuah negara yang aman dan sebuah tempat yang boleh beroperasi dengan baik tanpa sebarang kesulitan seperti banjir dan sebagainya," katanya.

Negeri Sembilan sedia hadapi kemungkinan banjir rancang strategi cara agihan barangan

Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST

SEREMBAN 10 Dis. - Kerajaan negeri membuat persiapan untuk menghadapi banjir serta merancang strategi berhubung cara penyampaian barangan keperluan kepada mangsa agar ia dapat disalurkan dengan cepat dan lancar.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perancangan perlu supaya tidak timbul sebarang masalah berkaitan penyaluran barangan bantuan kepada penduduk terjejas banjir seperti yang berlaku sebelum ini.

''Tahap kesiapsiagaan amat baik dan kita banyak belajar musim banjir lalu berkenaan sistem penyampaian bantuan. Dahulu JKM kena bawa macam-macam, tapi di negeri ini kita sudah kenal pasti sesetengah kedai di Gemas dan Bahau yang mangsa boleh terus ambil barang.

''Daripada kita mengharapkan bantuan dari Seremban, berlori-lori datang tapi akhirnya bila nak sampai di tempat tersebut banjir berlaku dan bekalan makanan, pakaian dan sebagainya terputus," katanya selepas pelancaran konvoi 'Ops Banjir' Pemuda UMNO Negeri Sembilan di pekarangan Wisma Negeri, di sini hari ini.

Jelasnya, kedai runcit panel telah dilantik bagi memastikan penduduk terjejas banjir menerima barangan keperluan dengan cepat dan tidak menunggu saluran makanan daripada kerajaan negeri.

Mengulas mengenai bantuan banjir, Mohamad menjelaskan, seramai 120 ahli Pemuda UMNO negeri menyertai konvoi selama sehari itu yang melibatkan 12 buah kenderaan pacuan empat roda dalam misi bantuan kemanusiaan ke Kuantan, Pahang.

Menurutnya, Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) juga menyalurkan bantuan 14,400 botol air dengan menggunakan 5 buah lori yang akan menghantar bantuan ke Kuantan dan Kemaman, Terengganu.

''Di peringkat kerajaan negeri pun kita akan hantar beberapa kakitangan kerajaan untuk membantu mangsa-mangsa banjir secara berperingkat selain bantuan yang dihulurkan oleh beberapa buah badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Tampin, Ridzuan Ahmad berkata, Negeri Sembilan merupakan negeri pertama yang menghantar bantuan kerahan tenaga kepada rakyat di Kuantan bagi membersihkan rumah-rumah yang dilanda banjir.

''Program ini tercetus apabila Pemuda UMNO merasakan ini adalah misi kemanusiaan dan kita lupakan seketika tentang parti UMNO atau Pas. Kita mengambil inisiatif membantu rakyat di Pahang yang dilanda bencana banjir untuk membersihkan rumah mangsa dan kita mensasarkan 20 hingga 30 rumah untuk dibersihkan," katanya.

FoNS mampu ketengahkan sektor pelancongan

Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST

Tun Hairudin Abu Bakar (tiga dari kiri), Musa Yusof (tiga dari kanan), Mohammad Razi Kail (kiri) dan Zaidi Kassim (dua dari kanan) bersama melancarkan Kempen 'Friends of Negeri Sembilan' di Seremban, kelmarin.

SEREMBAN 10 Dis. - Tourism Malaysia Negeri Sembilan mengambil inisiatif baru dengan memperkenalkan Kempen 'Friends of Negeri Sembilan' (FoNS) bagi membawa industri pelancongan negeri ini ke tahap yang lebih tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan Negeri, Tun Hairudin Abu Bakar berkata, FoNS dilihat mempunyai potensi yang tinggi dalam membantu mempromosikan negeri ini sebagai salah satu destinasi pilihan.

''Ini merupakan salah satu usaha untuk mewujudkan satu rangkaian pelancongan di laman sosial media sekali gus membolehkan penggiat industri pelancongan dan masyarakat umum berhubung secara terus," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran FoNS dalam Persidangan Pelancongan Negeri Sembilan 2014 di Klana Resort di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof serta Pengerusi Lembaga Pelancongan Negeri, Datuk Mohammad Razi Kail.

Kata Tun Hairudin, keunikan adat dan budaya negeri ini serta keindahan alam semulajadi pantai peranginan Port Dickson merupakan ikon pelancongan utama negeri yang perlu diketengahkan kepada khalayak menerusi FoNS.

''Oleh yang demikian, penggiat industri perlu bersiap sedia untuk menyambut Tahun Melawat Malaysia 2014 dengan menarik minat pelancong domestik mahupun luar negara agar berkunjung di negeri ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Tourism Malaysia Negeri, Zaidi Kassim berkata, penyertaan FoNS terbahagi kepada dua kategori iaitu orang awam dan penggiat industri pelancongan yang peserta hanya perlu like Facebook rasmi Tourism Malaysia Negeri Sembilan sebelum mengisi borang secara online.

''Kemudian, mereka yang sudah melengkapkan dan menghantar pendaftaran akan diminta menyertai grup FoNS di Facebook. Selesai kesemua langkah berikut, kita akan hubungi individu terbabit," katanya.

Beliau berkata, selain diberikan sijil keahlian, pelbagai intensif menarik ditawarkan kepada mereka yang mendaftar dan berpeluang memenangi cabutan bertuah dan menyertai pertandingan tertentu yang bakal diadakan setiap bulan, mulai Januari tahun depan.

''Berbeza pula bagi penggiat industri pelancongan kerana mereka akan dapat menyertai program promosi pelancongan yang dianjurkan Tourism Malaysia di peringkat tempatan mahupun antarabangsa seperti Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Pameran Matta)," katanya.

Dalam program tersebut, Tun Hairudin telah menyerahkan banner Kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 kepada sembilan pengusaha homestay.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


BN selar kerajaan Pulau Pinang

Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST

PULAU PINANG 10 Dis. - Sikap tidak sensitif pihak berkuasa tempatan (PBT) meluluskan kain rentang ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha yang mempunyai lambang seperti salib pada gambar Kaabah diselar wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Datuk Mahmud Zakaria (BN- Sungai Acheh) berkata, beliau kesal dengan perkara itu yang seolah- olah menunjukkan kerajaan DAP Pulau Pinang tidak peka dengan isu-isu yang boleh mencalarkan kesucian dan imej Islam.

Baru-baru ini ketika hendak menyambut Hari Raya Aidiladha ramai pemimpin pembangkang membuat ucapan menerusi kain rentang dan saya hairan apabila gambar pemimpin berkenaan asli serta langsung tiada perubahan namun ada sikit kelainan pada gambar Kaabah yang digunakan.

Gambar itu bukan gambar asli dan ada simbol seolah-olah salib pada Kaabah itu yang telah mendatangkan perasaan kurang selesa kepada umat Islam," katanya ketika membahaskan bajet kerajaan negeri di sini hari ini.

Tindakan Mahmud itu bagaimanapun mendapat reaksi kurang senang Datuk Rashid Hasnon (PKR- Pantai Jerejak) yang bangun mempersoalkan dan memintanya membezakan antara lambang salib dan simbol campur.

Yang Berhormat boleh membezakan antara salib dan simbol tambah, bukankah simbol salib panjang sedikit?" soalnya.

Namun, kenyataan Rashid itu ditempelak Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) yang melahirkan rasa pelik terhadap sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) terbabit dan mempersoalkan mengapa gambar Kaabah asli tidak digunakan.

Saya pelik dengan Pantai Jerejak, mengapa isu panjang pendek simbol salib yang dipersoalkan tetapi tidak mahu melihat gambar Kaabah itu? Macam mana penguat kuasa agama di Pulau Pinang tidak perasan dan membiarkan kain rentang terbabit digantung sebegitu lama sehingga orang Islam marah ?

Bagaimana pihak yang meluluskan kain rentang berkenaan tidak perasan tentang gambar Kaabah tersebut dan meluluskan kain rentang terbabit?," soalnya.

Namun, isu kain rentang berkenaan akhirnya selesai apabila Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kassim (PKR-Batu Maung) menjelaskan, pihaknya telah mengambil langkah segera dengan menurunkan kain rentang berkenaan selepas menerima laporan.

Perkara ini sudah selesai dan saya selaku Exco Agama memohon maaf kepada semua umat Islam di negeri ini dan bagi memastikan perkara ini tidak berulang lagi, setiap rekaan berkaitan kesucian Islam hendaklah dirujuk dan diluluskan pihak berkuasa agama negeri terlebih dahulu," ujarnya.

ADUN DAP cuba mengelak isu rumah mampu milik

Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST

Shah Headan Ayoob

PULAU PINANG 10 Dis. - Ketiadaan rumah mampu milik yang dibina oleh kerajaan DAP Pulau Pinang seperti dibangkitkan oleh Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (BN- Teluk Bahang) tidak mendapat jawapan konkrit apabila penyokong kerajaan dilihat lebih gemar mengalihkan isu berkenaan daripada menjawab.

Shah Headan Ayoob mempersoalkan kaedah pelaksanaan projek perumahan mampu milik yang dirancang oleh kerajaan negeri dan meminta jaminan bagaimana program berkenaan dapat memanfaatkan rakyat.

"Fikirlah satu kaedah supaya orang tempatan dapat membeli rumah berkenaan, bukannya membiarkan harga rumah melonjak menjadi jutaan ringgit dan dibina dengan banyaknya.

"Tindakan meluluskan projek perumahan mewah hanya akan menyebabkan rumah di negeri ini berada pada pasaran terbuka dan harganya melambung tinggi. Sudah pasti rakyat negeri ini tidak mampu beli," katanya di sini hari ini.

R.S.N Rayer (DAP-Seri Delima) kemudiannya mencelah dan membangkitkan perkara lain seperti pengurangan subsidi gula dan minyak serta cadangan kenaikan tarif elektrik dan tidak menjawab soalan asal yang diajukan serta meminta Shah Headan Ayoob menjelaskan perkara berkenaan.

Shah Headan Ayoob membidas Rayer dengan mengatakan soalan itu tidak kena pada tempatnya memandangkan beliau adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), bukannya ahli Parlimen.

"Saya boleh jawab tetapi mungkin tidak begitu tepat kerana berada di DUN, bukannya di Dewan Negara (Dewan Rakyat). Jika saya di sana, sudah pasti isu ini akan dibangkitkan kepada menteri yang bertanggungjawab.

"Seperti yang kita semua sedia maklum, untuk bergerak ke arah negara maju berpendapatan tinggi, pengurangan subsidi adalah sesuatu yang wajar.

"Begitu juga saya percaya keputusan kerajaan negeri menaikkan bil air pastinya dibuat selepas mengadakan beberapa kajian," ujarnya.

Rayer yang tidak berpuas hati kemudian bertanya kepada Shah Headan sama ada beliau menghadiri Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini dan ada membangkitkan isu berkenaan dalam ucapan.

Shah Headan Ayoob menjawab, beliau tidak berucap dalam Perhimpunan Agung UMN0 selaku wakil dari negeri ini kerana tanggungjawab itu diserahkan kepada orang lain di samping perlu mengikuti beberapa prosedur parti yang telah ditetapkan.

Rayer yang masih tidak berpuas hati kemudiannya berkata: "Kalau macam itu, kenapa tidak bisik kepada Perdana Menteri sewaktu bersalam?"

Shah Headan Ayob kemudian menjawab, beliau tidak sempat berbuat demikian kerana jumlah perwakilan yang hadir terlalu ramai dan 'mengajak' Rayer mengikutnya ke Perhimpunan Agung UMNO pada tahun depan supaya dapat berbisik kepada Perdana Menteri.

DAP Pulau Pinang disindir pertahan 'tong sampah'

Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST

PULAU PINANG 10 Dis. - Ketiadaan tindakan tegas dalam memastikan aset-aset semula jadi negeri ini sentiasa terpelihara menarik perhatian Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila Shariful Azhar Othman (BN-Bertam) membangkitkan isu Sungai Juru di Perai yang terus tersenarai sebagai sungai paling tercemar di Asia Tenggara.

Tegasnya, pencemaran teruk di sungai berkenaan menyebabkannya dianggap sebagai 'tong sampah' oleh penduduk tempatan.

"Sungai ini mendapat perhatian ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mahukannya dibersihkan dan tidak menjadi sungai mati.

"Tahap pencemaran di situ bukan sahaja memberi kesan kepada hidupan air tetapi juga mampu menyebabkan kematian manusia berdasarkan kandungan toksik, sisa minyak dan sisa kumbahan.

"Jadi adalah menjadi harapan sekiranya peruntukan tambahan disalurkan oleh kerajaan negeri sebagai usaha untuk membersihkan sungai berkenaan dan sungai- sungai lain di negeri ini," katanya di sini hari ini.

Selain itu, beliau juga mahukan kerajaan negeri mengambil tindakan lebih tegas bagi memastikan pemaju yang membangunkan puncak Bukit Relau di sini menjalankan kerja-kerja penanaman semula pokok di atas bukit berkenaan yang telah ditebang sebelum ini.

"Tindakan mengeluarkan arahan memberhentikan kerja tanah dan denda belum cukup bagi menghukum pemaju terbabit supaya lebih peka dengan alam sekitar pada masa depan," katanya.

Cadangan Shariful itu ternyata mendapat reaksi positif daripada R.S.N. Rayer (DAP-Seri Delima) yang sebelum ini sering mengkritik 'pedas' cadangan atau pandangan wakil rakyat BN.

Rayer turut mencadangkan supaya pemaju berkenaan disenaraihitamkan sehingga kerja penanaman pokok di puncak bukit itu dilaksanakan.

"Teguran oleh Bertam adalah bernas dan setujukah Yang Berhormat sekiranya saya cadangkan agar pemaju terlibat disenaraihitamkan daripada kelulusan mana-mana projek lain sehingga pokok yang ditanam semula itu mulai tumbuh?

"Kerajaan negeri perlu mengambil tindakan yang lebih tegas dalam usaha memulihara alam sekitar kita," ujarnya.

Reaksi sama turut disuarakan Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) yang menyatakan beliau amat setuju dengan cadangan Rayer supaya pemaju berkenaan disenaraihitamkan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


13 pelatih dan jurulatih komando diberi pingat PGB

Posted: 11 Dec 2013 02:13 AM PST

MELAKA 11 Dis. - Kerajaan negeri akan menganugerahkan Pingat Gagah Berani (PGB) kepada dua jurulatih dan 11 pelatih komando dari Kem Sungai Udang yang terselamat selepas bot yang mereka naiki terbalik dipukul ribut dan ombak sewaktu menjalani latihan di perairan Selat Melaka dekat Pulau Upih di Klebang, malam Sabtu lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, pingat tersebut juga turut diberikan kepada seorang juruterbang dan dua pembantu juruterbang yang turut terselamat dalam kejadian pesawat ringan milik Akademi Penerbangan Malaysia yang terhempas di perairan Selat Melaka berhampiran Masjid Selat di Pulau Melaka, 23 Julai lalu. - UTUSAN ONLINE

Pegawai PDRM meninggal dunia bukan akibat H1N1

Posted: 11 Dec 2013 01:04 AM PST

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Pegawai awam wanita dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah disahkan meninggal dunia kerana komplikasi daripada penyakit Tiroid dan bukannya dijangkiti Influenza A (H1N1).

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr S. Jeyaindran berkata perkara itu disahkan selepas semakan dan kajian semula dibuat oleh pakar dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap rekod perubatan hospital swasta yang merawat mangsa berusia 48 tahun itu.

Beliau berkata mangsa sebelum itu sakit dan demam sebelum dihantar ke sebuah hospital swasta untuk menjalani rawatan.

Ketika dirawat di hospital itu, dalam proses kajian darah yang dibuat, title H1N1 ditemui pada pesakit berkenaan positif, oleh itu pesakit terbabit disyaki mengalami jangkitan H1N1.

"Bagaimanapun, KKM telah menghantar pakar bagi mengkaji dan menyemak semula laporan perubatan mangsa dan selepas meneliti rekod berkenaan sehingga hari ini, pakar mengesahkan mangsa mati akibat Tiroid dan bukan disebabkan H1N1," katanya kepada Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Jeyaindran berkata disebabkan wabak H1N1 pernah berlaku di negara ini, potensi untuk rakyat terdedah kepada virus itu adalah tinggi.

"Bagaimanapun dari semasa ke semasa, sekiranya wabak itu menjadi agresif, barulah ia mungkin menyebabkan kematian," jelasnya.

Pegawai awam wanita berusia 48 tahun itu meninggal dunia kira-kira 11.10 pagi semalam di hospital swasta itu setelah menghadiri majlis Perjumpaan Pegawai Awam PDRM bersama KPN di Melaka, Khamis lepas. - BERNAMA

UNICEF akui usaha bangunkan kanak-kanak di Malaysia

Posted: 11 Dec 2013 12:55 AM PST

PUTRAJAYA 11 Dis. - Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memperakui komitmen jangka panjang kerajaan dalam mewujudkan persekitaran yang mampu mengembangkan potensi setiap kanak-kanak di negara ini.

Wakil UNICEF Malaysia, Wivina Belmonte berkata, perakuan itu berasaskan laporan Profil Statistik Kanak-kanak di Malaysia: Perlaksanaan Hak Kanak-kanak dengan Kesamarataan oleh UNICEFF dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata, laporan itu menunjukkan keberkesanan program yang dirangka untuk kesejahteraan kanak-kanak dan juga usaha mengenal pasti jurang yang mungkin masih wujud di peringkat negeri, kaum dan jantina.

Katanya, Malaysia telah mencurahkan banyak usaha untuk memastikan hak kanak-kanak di negara ini sentiasa selaras dengan Konvensyen Hak Kanak-Kanak 1995 dan dua Protokol Pilihan 2012 di bawah enakmen Akta Kanak-Kanak 2001.

Malah, pendekatan yang turut mengutamakan kanak-kanak dalam perancangan pembangunan negara telah membolehkan golongan itu menikmati faedah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran laporan yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah EPU, Datuk Dr. Rahamat Bivi Yusoff di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Hilang MyKad wajib lapor polis

Posted: 10 Dec 2013 10:26 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Banjir tiga negeri semakin baik

Posted: 10 Dec 2013 10:26 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

NGO diminta bantu mangsa banjir - Najib

Posted: 10 Dec 2013 10:26 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved