Rabu, 11 Disember 2013

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Polis Kelantan rampas pil kuda bernilai RM3 juta

Posted: 10 Dec 2013 10:47 PM PST

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

KOTA BHARU 11 Dis. - Polis Kelantan berjaya menumpaskan sindiket penjualan pil kuda selepas menahan empat orang lelaki serta merampas 60,200 pil berkenaan dianggarkan bernilai RM1.5 juta di sebuah rumah di Jalan Sultan Yahya Petra di sini, Khamis lalu.

Tangkapan itu susulan kejayaan polis menumpaskan sindiket sama didalangi oleh tujuh keluarga serta merampas sebanyak 62,400 biji pil kuda bernilai RM1.56 juta di Kampung Pulau Panjang, Pengkalan Chepa dekat sini 2 Disember lalu.

Kes terbaharu itu menjadikan dalam tempoh empat hari, Polis Kelantan melalui Op Cantas Khas Narkotik yang dilaksanakan di sekitar negeri ini, berjaya merampas sebanyak 122,614 pil kuda dianggarkan bernilai lebih RM3 juta.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Mit Embong memberitahu, empat lelaki tersebut yang berumur dalam lingkungan 26 sehingga 29 tahun, ditahan di sebuah kedai tayar di Jalan Cherang, Kampung Bayam Lundang di sini.

Katanya, hasil maklumat, polis telah menyerbu kedai berkenaan sebelum menahan suspek terbabit yang juga penggangur dan merampas sebanyak 200 biji pil kuda yang disembunyikan di dalam timbunan tayar di kedai tersebut.

Ujarnya, selepas melakukan soal-siasat terhadap suspek, polis kemudiannya menyerbu rumah sewa mereka di Jalan Sultan Yahya Petra di sini dan melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Honda Jazz yang diletakkan di hadapan rumah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan, telah menemukan sebanyak 30 bungkusan yang dibalut dengan surat khabar diikat dengan gelang getah di atas alas kaki bahagian belakang sebelah kanan kereta itu.

"Di dalam 30 bungkusan tersebut mengandungi sebanyak 60,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM1.5 juta. Polis juga telah menyita lima buah kereta pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM200,000.

"Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sejak Khamis lalu dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori serta Seksyen 32 akta sama," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

18 buah rumah kedai terbakar

Posted: 10 Dec 2013 10:26 AM PST

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

Orang ramai menyaksikan kebakaran yang memusnahkan deretan 18 buah rumah kedai di Batu 1 (Kilometer 1.6), Jalan Lintang, Sungai Siput, Perak, semalam. - BERNAMA

SUNGAI SIPUT 10 Dis. - Sederet 18 buah rumah kedai musnah dalam kebakaran mengakibatkan kerugian sebanyak RM1.5 juta di Batu 1 (Kilometer 1.6), Jalan Lintang, di sini awal pagi ini.

Antara kedai yang terlibat dalam kejadian pukul 12.20 tengah malam itu adalah kedai perabot, kedai runcit, kedai menjual motosikal, bengkel motosikal, kedai makan serta kedai bunga.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba 1 Wan Azmi Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pukul 12.30 tengah malam dan jentera pertama tiba di lokasi dalam tempoh tiga minit.

"Enam buah jentera bersama 34 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Kuala Kangsar, Ipoh dan Meru Raya terlibat memadamkan kebakaran tersebut.

"Pihak kami berjaya mengawal api daripada merebak ke premis bersebelahan dan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh hampir tiga jam. Kebanyakan premis terbakar diperbuat daripada kayu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut Wan Azmi, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penghuni premis berkenaan sempat menyelamatkan diri ketika kejadian berlaku.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Unit Forensik jabatan itu sedang menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian dianggarkan RM1.5 juta.

"Pihak bomba terpaksa mendapatkan bekalan air dari sungai berdekatan kerana bekalan air yang disalurkan ke kawasan itu berada pada tekanan rendah," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Selasa, 10 Disember 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Malaysia raih dua lagi pingat emas melalui ekuestrian

Posted: 10 Dec 2013 06:14 PM PST

NAY PYI TAW 11 Dis. - Pasukan ekuestrian negara meraih dua pingat emas di Sukan SEA Myanmar 2013 dalam acara endurance individu melalui Mohd. Sulaiman Muda, dan berpasukan awal pagi ini.

Kejayaan itu meletakkan Malaysia kini meraih lima pingat emas secara keseluruhan dalam temasya itu. - UTUSAN

Kim Swee geram

Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST

Rozaimi (depan) meraikan gol pertama negara menentang Brunei di Stadium Zayar Thiri, Nay Pyi Taw, semalam.

NAY PYI TAW - Jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee boleh disifatkan sebagai individu paling tidak gembira selepas melihat skuad kendaliannya sekadar menang 2-0 ke atas Brunei pada perlawanan pertama Kumpulan A Sukan SEA Myanmar.

Perkara yang paling membuatkan Kim Swee berasa geram adalah melihatkan ketumpulan penyudah anak-anak buahnya yang bagaikan gementar setiap kali berada di hadapan pintu gol.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih boleh menarik nafas lega kerana tiga mata berjaya digenggam pada perlawanan pertama sekali gus memastikan kempen negara pada acara bola sepak masih berjalan dengan lancar.

''Terus-terang saya memang tidak gembira dengan persembahan kita, walaupun berjaya mencipta banyak peluang namun gagal menyempurnakannya.

''Kegagalan kita memanfaatkan peluang secara tidak langsung memberikan keyakinan kepada lawan untuk melancarkan serangan.

''Kita perlu memperbaiki kelemahan kita pada perlawanan akan datang terutama di bahagian sayap dan serangan.

''Bukan sekadar Izzaq Faris (Ramlan), tetapi beberapa pemain lain seperti Thamil Arasu, Rozaimi dan Irfan Fazail juga gagal menyudahkan peluang," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan, semalam.

Tambah Kim Swee, Brunei juga beraksi sebagai satu pasukan yang bagus, malahan beberapa serangan balas yang mereka lakukan hampir memerangkap pasukannya.

''Semasa mereka bertahan dan berpeluang melakukan serangan balas, mereka memang sebuah pasukan yang nampak berbahaya.

''Mujur kita mampu bertahan dengan baik di samping lawan gagal menyempurnakan peluang yang ada," katanya.

Sementara itu, jurulatih Brunei, Kwon Oh Soon, mengakui sedikit terkejut melihat cara permainan pasukan Malaysia.

''Setahu saya Malaysia adalah sebuah pasukan yang bagus dan pernah menyaksikan cara anda bermain.

''Cuma pada hari ini saya nampak persembahan mereka tidak begitu menjadi dan kesempatan itu diambil oleh para pemain saya," katanya.

Jangkaan awal untuk Malaysia menang dengan jaringan besar ternyata meleset apabila hanya dua gol mampu dicipta melalui Mohd. Rozaimi Abd. Rahman, pada minit ke-30 dan Ashri Chucu pada minit ke-70. - Utusan

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Nuri hantar bekalan makanan

Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST

Oleh M.RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com

SEBAHAGIAN daripada penduduk memunggah bekalan makanan yang dihantar menggunakan helikopter Nuri TUDM di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang, kelmarin.

JERANTUT 10 Dis. - Sebanyak 29 tan bekalan makanan telah dihantar ke beberapa kampung yang terjejas dengan banjir di kawasan Ulu Tembeling dengan menggunakan helikopter Nuri SK61 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, penduduk di Kampung Bantal, Kampung Pagi, Kampung Gusai, Kampung Kuala Sat, Kuala Tahan dan Kampung Mat Daling kini boleh menarik nafas lega kerana bekalan makanan sudah sampai di sana.

"Kita terpaksa menggunakan khidmat helikopter Nuri milik TUDM untuk menghantar bekalan makanan kerana kawasan pedalaman tersebut telah terputus hubungan sejak beberapa hari lalu.

"Saya harap bekalan ini mencukupi dan kita akan menghantar stok tambahan sekiranya banjir berterusan," katanya kepada pemberita ketika menyertai misi menghantar bekalan makanan sebanyak 1.3 tan ke Kampung Bantal dan Kuala Tahan dekat sini semalam.

Menurutnya, penduduk di kawasan Ulu Tembeling dan Kuala Tahan terputus hubungan apabila air Sungai Tembeling naik mendadak sehingga membahayakan mereka untuk keluar ke bandar.

"Laluan utama Jerantut ke Kuala Tahan pula ditutup kepada semua jenis kenderaan apabila air sungai Jerantut di Kampung Paya Garuk melimpahi jalan sehingga 2.5 meter jadi mereka tidak dapat keluar untuk mendapatkan bekalan," ujarnya.

Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Bantal, Japrun Ali, 56, berkata, beliau amat bersyukur apabila bekalan makanan dihantar tepat pada masanya.

"Kami hanya mempunyai sedikit bekalan dan bantuan yang baru tiba ini membolehkan kami bertahan untuk beberapa hari lagi sementara menunggu banjir surut.

"Kami tidak dapat keluar kerana air terlalu deras dan amat bahaya kepada bot-bot penumpang, lagipun perjalanan ke Kuala Tahan mengambil masa kira-kira tiga jam," jelasnya.

Mangsa banjir terus dibantu

Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST

ISMAIL Mohamed Said (dua dari kanan) dan Wan Salman Wan Ismail (kiri) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Felda Jengka 14, Pahang, semalam. - utusan/SALEHUDIN MAT RASAD

KUALA KRAU 10 Dis. - Bantuan kerajaan kepada mangsa banjir termasuk bayaran RM500 membuktikan keprihatinan pemimpin negara bagi meringankan beban rakyat yang terlibat dengan bencana ini.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, bantuan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu amat melegakan mangsa banjir setelah banyak harta benda mereka rosak akibat bencana itu.

Katanya, pengecualian bayaran bil air di negeri ini dan penangguhan bayaran pinjaman di bawah kelolaan agensi kerajaan kepada mangsa banjir tanpa mengira fahaman politik satu lagi keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat.

''Bantuan-bantuan ini membuktikan kerajaan kita bersedia tanpa berlengah dalam mencari inisiatif bagi meringankan beban rakyat yang ditimpa musibah.

''Sehubungan itu, jika ada lagi bantuan yang diperlukan, mangsa banjir boleh tampil berbincang dengan agensi terlibat kerana dasar kita jelas untuk meringankan beban rakyat terlibat.

''Pada masa sama, mangsa banjir perlu banyak bersabar dengan musibah di samping mengutamakan keselamatan dan kesihatan ahli keluarga,'' katanya.

Ismail bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail ditemui selepas menyampaikan bantuan banjir kepada peneroka Felda Jengka 11, Jengka 14, Jengka 15 dan Jengka 16 di sini hari ini.

Bantuan tersebut meliputi barangan keperluan harian seperti beras, gula, minyak masak, kopi, susu, tepung dan lain-lain.

Sementara itu, Ismail yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau bersyukur kerana pelbagai pihak tampil membantu mangsa termasuk sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekali gus menunjukkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Ketua Kampung Felda Jengka 15, Adnan Darus berkata, penerima bantuan berasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada kedua-dua wakil rakyat atas bantuan yang diberikan.

''Walaupun ada penduduk yang yang terjejas banjir, namun kami tetap bersyukur kerana banyak pihak prihatin menghulurkan sumbangan sekali gus dapat meringankan beban penduduk terlibat,"

Jana sosioekonomi Pahang

Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
utusanktn@gmail.com

ADNAN Yaakob (kiri) melancarkan Trans-B yang dilaksanakan oleh UMP dan PKNP di Kampung Pagi, Jerantut, Pahang, baru-baru ini.

KUANTAN 10 Dis. - Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) membangunkan Modul Program Transformasi Belia (Trans-B) yang menampilkan program kemasyarakatan bagi memenuhi tanggungjawab sosial khususnya dalam melaksanakan agenda pembangunan sosioekonomi di negeri ini.

Pelancaran program itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob di Kampung Pagi, Mukim Ulu Tembeling, Jerantut dan dihadiri oleh Ketua Eksekutif PKNP, Datuk Alias Mohd. Noor, baru-baru ini.

Menurut pengarah program, Imaduddin Abidin, modul itu merupakan salah satu program untuk dijadikan platform bagi golongan belia berinteraksi dan berkongsi pengalaman daripada segi aspek pengurusan persatuan belia.

"Sebanyak enam modul kemahiran dirangka bagi melancarkan program tersebut antaranya kemahiran menulis kertas kerja, pengurusan aktiviti atau projek, pengurusan kewangan, mengendalikan mesyuarat, komunikasi dan berfikir," katanya dalam kenyataan di sini.

Imaduddin berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 40 pemimpin belia kampung dari 11 kampung yang dikenal pasti PKNP bagi menyertai program ini.

Menurutnya, antara kampung tersebut ialah Kampung Pagi di Jerantut, Kampung Sungai Temau (Lipis) dan Kampung Cherok Paloh di daerah ini.

Tambahnya, bagi kawasan Pekan pula, kampung yang menyertai program itu ialah Kampung Tanjung Agas, Kampung Pasir Panjang, Kampung Lubuk Paku, Kampung Ganchong Hulu, Kampung Ganchong Tengah, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Kiambang.

"Peserta akan memperoleh ilmu dan kemahiran organisasi serta mengaplikasikannya dalam persatuan belia di setiap kampung," ujarnya.

Selain itu, katanya, usaha itu akan membentuk barisan belia yang mempunyai nilai kepimpinan tinggi, berdaya maju, lebih produktif dan berdaya saing.

Beliau berharap program itu bakal menjadikan persatuan belia sebagai organisasi yang sentiasa relevan, signifikan dan menjadi peneraju terhadap kemajuan sesebuah kampung.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


24 suspek rusuhan dibicara

Posted: 10 Dec 2013 10:26 AM PST

Sebahagian suspek yang terlibat dalam rusuhan di Little India tiba di mahkamah di Singapura, semalam. - Agensi

SINGAPURA 10 Dis. - Sebanyak 24 daripada 27 pekerja asing dari Asia Selatan yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam rusuhan di republik ini kelmarin, didakwa di sebuah mahkamah di sini hari ini.

Polis Singapura dalam kenyataannya memaklumkan, kesemua suspek berusia antara 22 hingga 40 tahun berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan sebatan jika didapati bersalah atas tuduhan terlibat dalam rusuhan serta menggunakan senjata berbahaya.

Mahkamah mengarahkan kesemua suspek terbabit direman di pusat tahanan polis selama seminggu bagi siasatan lanjut.

Kementerian Luar Singapura turut bekerjasama dengan Pesuruhjaya Tinggi India di sini bagi memudahkan proses bantuan termasuk penyediaan khidmat peguam untuk membantu suspek yang terlibat.

Tiga lagi pekerja asing terbabit iaitu dua dari Bangladesh, seorang rakyat India dan seorang rakyat Malaysia dibebaskan selepas siasatan polis mendapati mereka tidak terlibat dalam rusuhan itu.

Dalam kejadian malam kelmarin, kira 400 pekerja dari Asia Selatan yang terlibat dalam rusuhan yang menyaksikan 39 anggota polis dan petugas keselamatan awam mengalami kecederaan dan 25 kenderaan, termasuk 16 kereta polis musnah selepas kumpulan perusuh itu bertindak ganas selepas kematian seorang rakyat India, Sakthivel Kumaravelu yang dilanggar sebuah bas.

Sementara itu, seramai lima anggota polis bantuan warga Malaysia yang memiliki status penduduk tetap di Singapura, cedera ringan semasa membantu polis Singapura menangani rusuhan yang berlaku di Little India itu.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan menjelaskan, perkara itu telah dimaklumkan secara tidak rasmi oleh Polis Singapura kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.

"Lima rakyat Malaysia itu yang bekerja di tiga firma keselamatan utama diambil bertugas oleh kerajaan Singapura untuk membantu polis Singapura dalam operasi berkenaan," menurut kenyataan itu.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia akan menghulurkan bantuan yang perlu kepada rakyat Malaysia yang terjejas dengan insiden itu, dan akan diselaraskan bersama pihak berkuasa Singapura.

Insiden itu adalah urusan dalaman Singapura.

Wisma Putra sering mengingatkan rakyat Malaysia yang berkunjung, bekerja atau tinggal di luar negara supaya menghormati undang-undang negara tuan rumah, sama seperti Malaysia mengharapkan warga asing yang tinggal di negara ini supaya mematuhi undang-undang di sini, menurut kenyataan itu. - AFP/BERNAMA

Yingluck enggan letak jawatan

Posted: 10 Dec 2013 10:26 AM PST

Yingluck Shinawatra menjawab soalan pemberita semasa satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Bangkok, semalam. - REUTERS

BANGKOK 10 Dis. - Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra berkeras tidak akan meletak jawatan walaupun didesak penunjuk perasaan antikerajaan, sebaliknya beliau menggesa kumpulan itu agar melupakan 'revolusi rakyat' yang kononnya berjuang untuk menggulingkan kerajaan.

Yingluck menyatakan pendiriannya itu, sehari selepas beliau mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum baru yang dijangka berlangsung pada Februari ini.

Katanya, barisan Kabinet ketika ini bertindak mengikut undang-undang dan akan berperanan sebagai kerajaan sementara sehingga pilihan raya baru diadakan.

"Saya menggesa penunjuk perasaan menghentikan bantahan dan menggunakan sistem pilihan raya untuk memilih kerajaan seterusnya," katanya penuh emosi selepas mengadakan mesyuarat Kabinet awal hari ini.

Yingluck, bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada beliau akan bertanding pada pilihan raya tersebut atau tidak.

Perdana Menteri wanita pertama Thailand itu turut menyuarakan kemarahan terhadap tuntutan penunjuk perasaan yang mahu keluarganya diusir dari negara ini.

"Saya telah berundur sejauh yang boleh dan tolong beri keadilan yang sama kepada saya," katanya.

Sementara itu, kira-kira 140,000 penunjuk perasaan antikerajaan terus mengadakan bantahan sejak semalam bagi menggesa kerajaan sementara pimpinan Yingluck berundur.

Ketua penganjur bantahan, Suthep Thaugsuban berkata, beliau menolak pilihan raya seperti yang diumumkan Yingluck dan berikrar untuk menubuhkan kerajaan baharu yang akan menggantung sistem demokrasi di Thailand serta menggubal Perlembagaan baharu.

Tegasnya, bantahan akan terus diadakan sehingga Yingluck dan barisan kepemimpinannya meletak jawatan daripada kerajaan sementara. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Pendakwaan bantah permohonan penangguhan rayuan kes liwat

Posted: 10 Dec 2013 10:26 AM PST

PUTRAJAYA 10 Dis. - Pihak pendakwaan dalam rayuan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes liwat melibatkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan akan mengemukakan bantahan di Mahkamah Rayuan esok terhadap sebarang permohonan pembelaan untuk menangguhkan rayuan tersebut.

Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah memberitahu, beliau menerima surat pemberitahuan daripada firma guaman, Tetuan Karpal Singh & Co. yang memaklumkan bahawa pihak pembelaan memohon penangguhan terhadap rayuan itu.

Muhammad Shafee yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata, surat itu menyertakan alasan bahawa peguam utama yang mengetuai pembelaan, Karpal Singh dimasukkan ke hospital bermula 7 hingga 12 Disember ini.

Beliau turut dimaklumkan berhubung permohonan baharu yang akan dikemukakan pihak pembelaan untuk menggugurkannya daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan tersebut.

"Pendakwaan akan membantah sebarang permohonan untuk menangguhkan rayuan,'' ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia petang ini bagi mengetahui perkembangan rayuan yang sepatutnya didengar selama dua hari bermula esok.

Muhammad Shafee menyatakan demikian berikutan laporan beberapa portal berita hari ini bahawa rayuan pendakwa raya esok akan ditangguhkan kerana Karpal kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana jangkitan paru-paru.

Laporan portal berita itu menyatakan, barisan peguam bela yang mewakili Anwar akan mengemukakan permohonan kedua bagi menggugurkan Muhammad Shafee daripada mengetuai pasukan pendakwaan.

Bekas pengarah NFC akan dipanggil semula

Posted: 10 Dec 2013 10:26 AM PST

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Bekas Pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail akan dipanggil semula untuk disoal balas dalam kes ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail yang didakwa menipu Mohamad Salleh membabitkan RM1.75 juta, dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Rozilah Salleh menetapkan 20 Februari tahun depan untuk soal balas terhadap Mohamad Salleh selepas membenarkan permohonan peguam Kamarul Hisham Kamarudin yang mewakili Shamsubahrin untuk memanggil saksi itu mengikut Seksyen 162 Kanun Tatacara Jenayah.

Terdahulu, Kamarul Hisham memohon untuk menyoal balas saksi pendakwaan ke-42 itu berhubung penglibatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam lima pertuduhan pindaan terhadap anak guamnya itu.

Mahkamah pada 26 November lalu memerintahkan Shamsubahrin, 47, membela diri atas lima tuduhan menipu Mohamad Salleh melibatkan RM1.7 juta serta 17 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah sama.

Rozilah memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Shamsubahrin di akhir pendakwaan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Agih hasil cari gali tanpa pertikaian

Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST

Oleh Borhan Abu Samah

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas (kiri) menandatangani persefahaman dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II Brunei, Pehin Datuk Lim Jock Seng di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Ahad lalu. - BERNAMA

MALAYSIA memang tidak boleh memilih jirannya kerana ia memang telah ditakdirkan secara geografi. Tetapi Malaysia beruntung kerana mempunyai negara-negara berjiran yang baik, dan lebih beruntung apabila mempunyai jiran seperti Brunei yang begitu akrab, hingga memboleh pelbagai isu rumit diselesaikan dengan mudah.

Media di Brunei pula tidak bersikap provokatif atau memperbesarkan isu remeh hingga boleh menjejaskan hubungan kedua-dua negara. Membaca akhbar Brunei ketika menikmati sarapan pagi tidak akan menyebabkan tekanan darah naik tiba-tiba. Begitu juga jika menonton televisyen tempatan pada lewat malam juga tidak akan menyebabkan kepala sakit sehingga sukar hendak tidur.

Begitu jugalah hubungan Malaysia-Brunei. Bayangkan hasil kerjasama Petronas dengan syarikat petroleum nasional Brunei, PetroleumBRUNEI tidak sampai seminggu lepas berjaya menemui satu kawasan simpanan minyak dan gas di sekitar perairan utara Sarawak, Brunei dan Sabah. Ia dapat diselesaikan dengan segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan berita baik itu, menyifatkan ia sebagai sesuatu yang sangat menarik kerana kawasan yang terletak merentasi sempadan maritim Malaysia-Brunei itu diselesaikan dengan segera apabila kedua-dua negara bersetuju dengan pembahagian hasil cari gali tanpa sebarang pertikaian yang berlarutan.

Kepantasan penyelesaian isu berbangkit di antara Malaysia dan Brunei ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua negara secara sosial, ekonomi dan hubungan dua hala, tetapi merupakan satu semangat yang harus dijadikan contoh oleh negara-negara lain.

Aktiviti cari gali di kawasan baharu itu sekali gus dapat meningkatkan pengeluaran minyak Malaysia yang tentunya memberikan pendapatan yang lumayan dan pada masa yang sama dapat memenuhi peningkatan keperluan gas di Brunei.

Bayangkan jika isu pembahagian hasil cari gali itu tidak dapat diselesaikan dan berlarutan bertahun-tahun lamanya. Kedua-dua buah negara akan mengalami kerugian kerana sumber asli yang ada tidak dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

Simbolik kepada hubungan akrab itu, Malaysia dan Brunei telah berjaya membina sebuah jambatan diberi nama Jambatan Persahabatan yang menghubungkan Limbang di Sarawak dan Temburong di Brunei. Kos pembinaan jambatan itu RM21.9 juta dikongsi secara saksama dan kerjasama sedemikian sukar dicapai tanpa hubungan yang akrab.

Jika selama ini penduduk kedua-dua buah negara terpaksa menunggu berjam-jam untuk menaiki feri, tetapi kini mereka boleh memandu terus dan pastinya ia menjimatkan masa serta meningkatkan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.

Bahkan jika sebelum ini penduduk yang mahu melalui kawasan berkenaan perlu menempuhi empat check point dan terpaksa dicop lapan kali pasport, kini mekanisme sedang difikirkan untuk menyelesaikan masalah itu. Jambatan itu juga melengkapkan jaluran Lebuh Raya Pan Borneo.

Rundingan tahunan yang ke-17 berlangsung di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan dan disusuli pertemuan empat mata Najib dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah membuahkan hasil yang cukup luar biasa. Pertemuan yang singkat itu bukan sahaja menyelesaikan pelbagai masalah yang tertunggak, tetapi juga membuka pelbagai peluang baharu yang akan melonjakkan ekonomi kedua-dua buah negara.

Dalam semangat kerjasama dua hala lebih erat, pihak berkuasa relevan di kedua-dua negara digesa untuk memuktamadkan dokumen-dokumen yang berkaitan dengan bidang teknologi maklumat dan komunikasi, pertanian, perikanan dan percukaian.

Kedua-dua pemimpin melahirkan keyakinan untuk meneruskan langkah itu dan mengulangi komitmen mereka untuk memanfaatkan peluang yang ada untuk menjalin lebih banyak kerjasama di masa depan demi faedah kedua-dua negara.

Najib dan Sultan Hassanal Bolkiah menggalakkan pegawai dari kedua-dua negara untuk menerokai peluang ekonomi baharu yang berteraskan komersial, serta meningkatkan usaha menggalakkan penyertaan usahawan muda kedua-dua negara menerusi projek usahasama, penyelidikan, latihan dan kegiatan pembangunan kapasiti.

Kedua-dua pemimpin juga melahirkan rasa puas hati dengan kemajuan cemerlang dalam hubungan dua hala bidang pertahanan, menerusi pertukaran lawatan secara tetap, latihan, kursus dan latihan ketenteraan antara Angkatan Tentera Diraja Brunei dan Angkatan Tentera Malaysia.

Kerjasama institusi pengajian tinggi kedua-dua negara dipertingkat dengan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan, latihan kepimpinan, pendidikan teknikal dan vokasional dan lawatan berkala.

Beberapa perjanjian ditandatangani dengan pihak berkuasa petroleum Brunei bagi meningkatkan lagi kerjasama saling menguntungkan kedua-dua pihak dalam industri minyak dan gas. PetroleumBRUNEI bersetuju membeli tiga peratus kepentingan dalam anak syarikatnya di Kanada - aset gas asli Progress Energy Canada Ltd yang dibeli Petronas dan kemudahan eksport yang dicadangkan Pacific NorthWest LNG Ltd. PetroleumBRUNEI juga bersetuju membeli tiga peratus pengeluaran Petronas sekurang-kurangnya selama 20 tahun.

Perjanjian lain yang dipersetujui ialah Perjanjian Dasar Induk (HOA) antara Petronas dan Sekretariat Unitasi Nasional Brunei Darussalam bagi memuktamadkan persetujuan unitasi untuk medan minyak Kinabalu West NAG Malaysia dan medan Maharajalela North Panel Brunei, yang akan membuka jalan ke arah menyelesaikan beberapa isu berkaitannya.

Kedua-dua pihak juga menandatangani satu lagi HOA bertujuan mewujudkan persetujuan bersyarat untuk membangunkan bersama medan minyak Gumusut/Kakap milik Malaysia dan medan minyak Geronggong/Jagus-East milik Brunei berdasarkan persetujuan bersyarat pengeluaran dan perkongsian kos sehingga satu perjanjian susulan dicapai mengenai status medan-medan berkenaan.

Syarikat minyak nasional Brunei itu meluluskan dua perjanjian berkongsi pengeluaran untuk dua medan, Blok N dan Blok Q Brunei, kepada Petronas Carigali Brunei Ltd dan Shell Deepwater Borneo Ltd, dengan kepentingan ekuiti seimbang saksama dalam pembahagian hasil cari gali.

Satu memorandum persefahaman juga ditandatangani antara Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd, sebuah unit anak syarikat Petronas, MISC Bhd, dengan PB Services Sdn Bhd, sebuah anak syarikat PetroleumBRUNEI, bagi menjalin usaha sama berkemungkinan 30:70 untuk menyediakan perkhidmatan kejuruteraan dan fabrikasi.

Tidak pernah berlaku pertemuan begitu singkat dapat menyelesaikan pelbagai isu besar yang tertunggak, bahkan membuka lembaran baharu untuk kerjasama yang lebih luas di antara kedua-dua negara. Jika semangat ini dihayati dan diamalkan oleh seluruh negara ASEAN, inisiatif Komuniti ASEAN akan dapat dicapaikan dengan jayanya sebagaimana yang dilaksanakan oleh Kesatuan Eropah.

Keazaman pelihara Islam, Melayu, perpaduan kaum

Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST

Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersalaman dengan para jemaah solat Jumaat selepas berkenan merasmikan Masjid Kampung Raja Uda dan Majlis Bacaan Yassin, Tahlil dan Doa Selamat Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor Ke-68 di Pelabuhan Klang pada 6 Disember lalu.

HARI ini Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah sempurna 12 tahun menaiki takhta sebagai Sultan dan hari ini juga diadakan sambutan Hari Keputeraan baginda yang ke-68.

Sultan Selangor adalah seorang insan yang peka dalam perkembangan semasa. Baginda selalu memberi idea yang bernas dalam mengatasi masalah-masalah kemanusiaan.

Dalam bidang agama pula baginda sering bertitah di masjid-masjid menasihatkan rakyat agar benar-benar mengikut ajaran Islam dengan penuh keyakinan.

Baginda adalah seorang Raja yang berjiwa rakyat dan menitikberatkan kemajuan rakyat dalam semua bidang termasuklah ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Gesaan Sultan Selangor agar kaum bukan Islam tidak merujuk kalimah Allah sebagai Tuhan adalah mesej yang jelas dan terang.

Bagi seorang Raja Melayu yang mempunyai hak mutlak ke atas agama Islam (menurut Perlembagaan Persekutuan dan Negeri) berpendirian tegas dalam hal ini. Baginda melihat keadaan kaum bukan Islam masih tegar untuk membincangkan isu kalimah Allah secara terbuka atau peribadi, tanpa mempeduli sensitiviti orang Melayu.

Islam digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai 'Agama Persekutuan Malaysia' dan perbuatan mencabar sensitiviti orang Melayu wajar dilihat sebagai menentang peruntukan Perlembagaan.

Pendirian baginda konsisten dan komitednya baginda dalam memelihara kesucian agama Islam.

Terbaharu, Sultan Selangor setelah berunding dengan Dewan Diraja Selangor yang bersidang pada 11 November 2013 telah membuat ketetapan tegas bahawa semua rakyat di negeri Selangor khasnya, tanpa mengira agama dan keturunan perlu akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam.

Baginda turut bertegas bahawa keputusan ini dibuat bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam dengan penganut agama lain serta mengelakkan pertelingkahan kaum yang boleh membawa kemudaratan kepada semua.

Sebagai Ketua Agama negeri, Sultan Sharafuddin juga menasihati umat Islam khususnya orang Melayu di Selangor supaya berwaspada dan menilai semula kedudukan mereka supaya tidak terpengaruh dengan hasutan dan dakyah oleh pemikiran bebas, liberalisme atau pluralisme yang boleh merosakkan akidah seseorang dan seterusnya boleh menjadi syirik terhadap Allah.

Baginda turut menyuarakan kekesalan mengenai tindakan segelintir individu yang menggunakan masjid sebagai pentas ceramah politik di negeri itu.

"Jangan berpolitik di masjid, kerana ia boleh mengakibatkan perpecahan orang Melayu kita. Kalau pergi masjid, buat cara kita di masjid, dan kalau nak bercakap politik, keluar dari kawasan masjid, cakaplah semahunya. Lepas itu balik semula ke masjid dan sembahyanglah," titah baginda.

Ketika merasmikan Masjid Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang pada 6 Disember 2013, baginda amat dukacita dengan kemunculan ekstremis agama yang sanggup membunuh dan melakukan kezaliman terhadap umat seagama dan penganut agama lain.

Ektremis-ekstremis ini timbul kerana adanya ajaran-ajaran sesat seperti Syiah, Al-Arqam, Kadiani, Tuhan Harun dan banyak lagi ajaran yang menyeleweng daripada fahaman Islam yang diamalkan di negara ini.

"Seperkara lagi yang sangat mendukacitakan beta adalah terdapat segelintir golongan bijak pandai dan cendekiawan Melayu yang tidak segan silu mencaci dan menghina serta menjatuhkan martabat bangsa Melayu dan agama Islam.

"Mereka ini dianggap seperti pepatah Melayu 'membuka pekung di dada' dan menunjukkan betapa mundurnya orang Melayu di zaman globalisasi ini.

"Beta berharap rakyat negeri Selangor sekalian janganlah terpengaruh dengan janji-janji manis pihak yang mahu menyesatkan umat Islam di negeri ini ke arah yang tidak diredai Allah SWT," titah baginda.

Sultan Selangor bertitah, golongan itu seharusnya memberi pendapat atau nasihat yang boleh membawa masyarakat Melayu ke arah perpaduan dan kemajuan, mematuhi undang-undang dan berbudi bahasa serta memelihara adat resam yang diamalkan sejak turun-temurun.

"Mereka yang bijak pandai ini juga sepatutnya memberi keyakinan kepada bangsa Melayu supaya jangan gentar dan sanggup berjuang untuk menaikkan imej dan martabat bangsa Melayu agar turut bersama-sama maju dalam abad ke-21 ini."

Keazaman yang ditunjukkan oleh Sultan Selangor ini kerana baginda telah mengangkat sumpah pada saat dilantik sebagai sultan. "Saya juga berjanji dengan Almarhum Ayahanda, sebelum beliau mangkat dan memberi wasiat kepada saya supaya memelihara Islam, Melayu, jaga perpaduan antara kaum di negeri ini serta jangan ketepikan bangsa Melayu.

"Itu amanah daripada Almarhum Ayahanda, dan saya berpegang kepada janji itu. Almarhum Ayahanda menangis dan bimbang semasa memberi wasiat tersebut kepada saya. Beliau tidak mahu saya jadi sultan yang berkhayal saja, main-main. Beliau mahu saya serius melakukan tugas, dan saya beritahu akan lakukan yang terbaik."

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Komitmen untuk OKU

Posted: 09 Dec 2013 10:11 PM PST

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

Rohani Abdul Karim (depan empat dari kiri) bergambar bersama para penerima Anugerah Khas Orang Kurang Upaya (OKU) sempena sambutan Hari OKU Peringkat Kebagsaaan 2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Tahap aksesibiliti dalam pelbagai aspek keperluan yang disediakan kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) di negara ini semakin baik melalui sokongan kerajaan mahupun sektor swasta.

Malah pihak pemaju dan penyedia perkhidmatan kini dilihat semakin peka dengan keperluan golongan tersebut dalam setiap pembangunan yang dijalankan.

Ini diakui sendiri oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Sri Rohani Abdul Karim, yang melihat aksesibiliti kepada OKU bukan sahaja daripada aspek persekitaran dan kemudahan, malah melibatkan pengangkutan, pendidikan, pekerjaan, perumahan, perbankan dan sebagainy.

Rohani berkata, melalui jawatankuasa yang dibentuk dalam Majlis Kebangsaan Bagi OKU, kerajaan melalui kementeriannya akan sentiasa memantau pelaksanaan penambahbaikan terhadap keperluan semasa OKU supaya dapat menghapuskan halangan terhadap golongan tersebut.

"Saya berharap agar semua pihak berwajib memperbaiki serta meningkatkan tahap aksesibiliti kepada OKU khususnya kepada bangunan, kemudahan awam dan persekitaran agar semua pihak dapat menikmati pembangunan negara secara inklusif," katanya pada Majlis Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan 2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Rohani, ia dibuktikan menerusi komitmen kerajaan dalam memastikan golongan OKU di negara ini dapat menjalani kehidupan dengan selesa adalah dengan menyediakan persekitaran yang bebas halangan dan kemudahan yang mesra OKU.

Sementara itu lebih 2,000 OKU dari seluruh negara 'berkampung' di UPM untuk bersama-sama menjayakan sambutan yang Bertemakan Hapuskan Halangan, Berikan Peluang: Ke Arah Kesaksamaan Dalam Masyarakat,

Pada majlis tersebut juga, satu memorandum persefahaman telah ditandatangani antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi pelaksanaan Projek Sistem Al-Quran Braille Elektronik kepada OKU masalah penglihatan mempelajari al-Quran.

Rohani turut menyampaikan anugerah kepada lapan orang pelajar cemerlang OKU kategori akademik, tiga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam kategori Penghargaan Kemudahan

Reka Bentuk Sejagat dan Alam Bina serta tiga syarikat bagi kategori Penghargaan Majikan Prihatin.

Keprihatinan kerajaan terhadap golongan ini terbukti dengan pemberian peruntukansebanyak RM441juta di bawah Bajet 2014 bagi menyediakan pelbagai kemudahan danperkhidmatan kepada OKU.

Sehingga kini, seramai 464, 967 OKU telah berdaftar dengan JKM.

Turut hadir di majlis adalah Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Sri Noorul Ainur Mohd Nur, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Norani Mohd Hashim dan Naib Cencelor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan.

Intan hasilkan uniform sekolah

Posted: 09 Dec 2013 10:11 PM PST

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar AZLIZA HAILANI

Intan Zaweera Ali menunjukkan uniform sekolah yang siap untuk dipasarkan.

BOSAN dengan masalah yang sama setiap tahun apabila uniform sekolah anak-anaknya cepat koyak, Intan Zaweera Ali mengambil keputusan membuat dan menjahit sendiri pakaian tersebut menggunakan kemahiran yang dimiliki.

Namun, alang-alang menyiapkan uniform sekolah anak, pada fikiranya, tidak rugi jika diluaskan untuk jualan apatah lagi pasaran untuk pakaian tersebut sentiasa ada.

Sebagai seorang yang mahir dalam bidang jahitan dan mempunyai butik sendiri, iaitu Tasbeeh yang menjual pakaian siap dan menerima tempahan menjahit pakaian, tiada masalah baginya menjahit uniform sekolah dalam jumlah yang banyak.

"Semuanya bermula dengan pengalaman sendiri apabila uniform sekolah anak saya cepat sangat terkoyak terutama pada bahagian siku pada hal baru tiga bulan memakainya. Setiap tiga bulan sahaja, saya terpaksa membeli baharu sedangkan baju sekolah yang saya beli itu daripada jenama terkenal dan harganya pun bukan murah.

"Sekurang-kurangnya dalam setahun, tiga kali saya perlu menggantikan uniform yang koyak. Apabila dikira jumlahnya ratusan ringgit juga. Itu baru seorang, kalau tiga orang jumlahnya sudah tentu berganda.

"Keadaan ini sedikit sebanyak pasti menyukarkam bagi ibu bapa yang mempunyai ramai anak bersekolah. Itu belum lagi dengan baju sekolah agama, kasut, stokin dan tudung. Saya memang faham sangat dengan masalah yang dihadapi oleh para ibu," kata Intan yang ditemui di butiknya di Ampang, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya lagi, harga uniform sekolah yang terdapat di pasaran sekarang rata-rata agak tinggi dan kurang mampu dibeli oleh sesetengah golongan.

Manakala uniform yang murah terpaksa pula berhadapan dengan masalah baju mudah nampak kusam dan buruk atau terkoyak walaupun baru dua atau tiga bulan dipakai.

Menurut ibu kepada tiga orang anak berumur 14 hingga tiga tahun itu lagi, projek membuat uniform sekolah, baharu dimulakan tahun ini setelah mendapat sokongan daripada suami dan kawan-kawan.

Buat permulaan, dia hanya hanya menghasilkan baju kurung untuk pelajar perempuan sekolah rendah dan menengah.

Intan memilih beberapa jenis fabrik yang berkualiti yang turut menjadi pilihan pengeluar-pengeluar uniform sekolah berjenama di negara ini. Sebagai contoh, fabrik kapas koshibo yang merupakan antara jenama fabrik kapas yang menjadi pilihan kerana keselesaan dan tahan lasak serta sesuai kanak-kanak.

Bagi baju kurung sekolah menengah pula, jelas Intan lagi, dia menggunakan fabrik kapas satin yang lembut kerana menyedari pelajar sekolah menengah sekarang sudah pandai memilih jenis fabrik yang cantik dan selesa walaupun sebagai pakaian sekolah.

Intan amat menjaga dan mementingkan kualiti jahitan dalam setiap helai baju sekolah yang dihasilkan.

Dia akan memeriksa sendiri setiap helai baju yang telah dijahit oleh pekerja yang seramai lima orang. Buat masa ini dia telah pun menyiapkan sebanyak 1,000 pasang baju sekolah.

Kata Intan, bagi sekolah rendah, dia membuat baju untuk pelajar dari darjah satu hingga darjah enam. Saiz yang disediakan paling kecil 22 dan paling besar 36, sementara saiz untuk pelajar sekolah menengah adalah antara S hingga 3XL (jika ada permintaan khusus).

"Harga untuk sepasang baju sekolah rendah ialah RM59 namun jika dibeli berasingan, harga sehelai baju ialah RM35 dan kain RM29. Manakala untuk baju sekolah menengah pula ialah RM38.90 sehelai dan kain RM32.90.

"Bagaimanapun saya memberikan harga istimewa sempena hujung tahun dan kepada mangsa-mangsa banjir, iaitu bagi tiga pasang baju sekolah sekolah rendah dan menengah hanya berharga RM120 sahaja.

"Saya merancang untuk menghantar sebanyak 200 pasang baju sekolah ke kampung saya di Felda Seberang Tayoh, Kemaman, Terengganu.

"Saya juga menerima banyak permintaan dari butik dan kedai-kedai baju sekitar Terengganu yang mahu menjual baju sekolah saya," kata Intan.

Ditanya adakah dia turut menyediakan tudung, kata Intan, buat masa ini belum lagi membuatnya secara pukal namun jika terdapat permintaan bersedia membuatnya mengikut ukuran yang dikehendaki.

Intan turut menerima tempahan daripada badan-badan bukan kerajaan dan persatuan-persatuan wanita bagi membuat baju sekolah bagi tujuan kebajikan dan didermakan kapada rumah-rumah anak yatim.

Bagi tujuan sedemikian, dia cuma mengenakan harga kos sahaja. Ini juga sebagai salah satu daripada amal jariah beliau kepada anak-anak yatim.

Tambahnya, bagi pelanggan yang tinggal di sekitar Ampang, Setiawangsa dan Melawati, yang mahu membeli baju sekolah anak namun tidak berkesempatan datang ke butik, dia sanggup datang ke rumah pelanggan dengan membawa beberapa saiz baju.

Sementara bagi yang membeli melalui atas talian beliau, facebook.com/tasbeeh, dia akan membuat penghantaran secepat mungkin.

"Sambutan yang saya terima buat masa ini amat memuaskan. Terdapat juga pelanggan saya yang mahu menempah baju sekolah anak mengikut fabrik yang mereka inginkan. Mungkin mereka mahukan lebih keselesaan daripada segi fabrik dan potongan," jelasnya.

Menurut Intan yang akan terus membuat baju sekolah pada masa-masa hadapan dan mahu butiknya dikenali sebagai pemborong baju sekolah, dia mempunyai perancangan untuk membuat baju sekolah pelajar lelaki, baju sekolah swasta dan baju sekolah agama pada tahun hadapan jika terdapat permintaan daripada pihak-pihak tertentu.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved