Ahad, 8 Disember 2013

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Perkasakan agenda Islam UMNO

Posted: 08 Dec 2013 10:33 AM PST

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

DATUK Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2013 secara berterus terang meminta ahli-ahli parti itu supaya tidak lupa untuk memakmurkan masjid dan surau.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi membolehkan ahli-ahli UMNO mendekati ramai golongan muda dan yang berpencen yang kini beralih arah untuk kembali mendalami ajaran agama dan beribadat.

"Sekarang ini kita dapati gelombang di mana orang-orang muda dekat kepada agama. Ia juga berlaku kepada orang yang dah pencen, yang mula berjinak-jinak dengan surau dan masjid.

"Justeru, ahli-ahli UMNO rajin-rajinlah mendekati golongan ini. Eloklah juga ramai-ramai memakmurkan masjid dan surau," kata Najib dalam ucapan dasar berkenaan.

Segala saranan Najib itu adalah sebahagian daripada transformasi yang perlu dilaksanakan oleh ahli-ahli UMNO bagi memastikan parti itu terus relevan dan menjadi peneraju kepada hala tuju negara.

Saranan yang dibuat memang kena pada masanya, kerana pada masa kini hanya Pas yang dilihat menjadi juara untuk menarik para jemaah di masjid dan surau supaya menyokong parti itu. Masjid besar dan cantik yang dibina kerajaan UMNO digunakan Pas sepenuhnya untuk menyebarkan dakyah supaya jemaah membenci kerajaan.

Isu utama yang sering digunakan oleh penceramah Pas sama ada ketika khutbah Jumaat atau kuliah-kuliah agama yang diadakan di situ adalah kerajaan UMNO tidak melaksanakan undang-undang Islam.

Bagi mereka UMNO telah menentang Allah SWT apabila mengambil undang-undang ciptaan manusia yang digubal oleh Suruhanjaya Lord Reid. Segala dakyah itu ternyata berjaya menarik sokongan sehingga membuatkan sebahagian umat Islam tidak lagi mengiktiraf sumbangan UMNO dalam menegakkan syiar Islam yang berasaskan kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini.

Mereka menidakkan segala apa yang disebut Najib dalam ucapan dasarnya itu, iaitu hasil jasa UMNO, Islam di Malaysia kini termaktub sebagai Agama Persekutuan dalam Perlembagaan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

Atas inisiatif UMNO jugalah pengamalan Islam di negara ini bersifat meluas merangkumi bukan sahaja bidang ibadah tetapi juga munakahat, muamalah dan jinayah.

Kata Najib, dari sudut iktisas, 24 institusi kewangan Islam di negara ini berada dalam kelompok 100 yang terbesar di dunia.

Walaupun banyak jasa UMNO dalam menegakkan syiar Islam, peranan itu ditidakkan oleh Pas semata-mata kerana tidak melaksanakan undang-undang Islam.

Ironinya Pas sendiri melengah-lengahkan pelaksanaan undang-undang Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 iaitu hukum hudud walaupun ia mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian.

Mengulas saranan Najib berkenaan, bekas Felo Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mohd. Roslan Mohd. Saludin berkata, langkah itu akan menyekat Pas daripada meneruskan propaganda mereka di masjid dan surau.

Menurut beliau, langkah memakmurkan masjid dan surau berkenaan tidak harus dibuat semata-mata kerana bagi memenuhi tuntutan transformasi dalam UMNO.

"Ia dibuat kerana itu adalah tuntutan dalam ajaran Islam sendiri yang selama ini mungkin telah terlepas pandang oleh ahli-ahli UMNO. Dengan kembalinya ahli UMNO secara beramai-ramai ke masjid dan surau ia akan dapat menghalang institusi berkenaan digunakan oleh Pas untuk menyebarkan dakyah mereka," katanya yang juga seorang penganalisis politik.

Tambah Mohd. Roslan, beliau bersetuju dengan kenyataan Najib bahawa UMNO yang banyak memperjuangkan syiar Islam di negara ini.

"Pas minta UMNO ditolak kerana tidak melaksanakan hukum Islam seperti hudud, tetapi akhirnya dia sendiri tidak melaksanakan walaupun telah memerintah Kelantan selama puluhan tahun. Ini kerana Pas akhirnya sedar sebelum undang-undang Islam dilaksanakan, rakyat perlu diberi pendidikan dan kefahaman terlebih dahulu untuk menerimanya," ujar beliau.

Dalam pada itu, Mohd. Roslan turut menyambut baik cadangan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2013 supaya Pendidikan Islam Sepanjang Hayat dijadikan dasar utama negara.

Dasar baharu itu akan membolehkan gerakan dakwah dan tarbiyah diperhebatkan dan institusi-institusi agama Islam seperti sekolah pondok dan maahad tahfiz diperkukuhkan.

"Saya melihat usaha ini akan dapat memastikan hanya ajaran Islam yang sebenar yang diajar di sekolah pondok dan maahad tahfiz. Saya lihat UMNO sebelum ini tidak terlalu memberi penekanan kepada institusi berkenaan, sebab itu Pas mudah untuk menyebarkan dakyah mereka di sana.

"Perkara sama berlaku di luar negara apabila institusi berkenaan menjadi lubuk kepada fahaman ekstremis dan pengganas kerana kerajaan tidak membawanya masuk ke aliran pendidikan arus perdana," katanya.

Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Tan Sri Abdul Kader Talib menyambut baik langkah UMNO untuk menarik penceramah agama, Mohammad Kazim Elias dan bekas Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Dr. Asyraf Wajdi Dasuki untuk bersama parti itu.

"Walaupun Ustaz Kazim menolaknya, kita berharap akan ada penceramah lain yang akan dilantik untuk bersama-sama dalam Majlis Tertinggi (MT) UMNO," katanya.

Beliau berkata, tradisi UMNO yang mesra dengan orang agama bukanlah sesuatu yang baharu kerana sejak zamannya lagi perkara tersebut telah dilaksanakan.

"Tugas para ahli agama ini adalah memberi nasihat dan idea-idea baharu bagi membolehkan syiar Islam terus dimantapkan di negara ini," ujarnya.

Nampaknya Najib telah menggaris secara jelas transformasi yang perlu dilakukan oleh ahli-ahli UMNO dalam meningkatkan syiar Islam. Sudah sampai masanya parti itu berada di barisan depan dalam program-program yang bercorak Islam. Jangan beri ruang kepada Pas terus menyebarkan dakyah songsang dan fahaman Islam liberal mereka.

Penyatuan orang Melayu demi Islam

Posted: 08 Dec 2013 10:33 AM PST

PENYATUAN Melayu dan berjuang demi Islam menjadi agenda paling utama kepada parti selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO 2013 Sabtu lalu. Selagi orang Melayu bersatu, selama itu UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan menang. Kepada wartawan Utusan Malaysia, Faizah Izzani, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkongsi rahsia bagaimana penyatuan orang Melayu dan Islam melalui UMNO akan memastikan kaum majoriti itu terus kuat dan utuh di bumi sendiri.

UTUSAN : Apakah hasil dan harapan yang boleh diperoleh pada Perhimpunan Agung UMNO 2013 untuk syiar Islam di negara ini?

IDRIS: Dalam ucapan dasar, Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan dengan jelas bahawa Islam bukan sahaja akan dipelihara, malah akan sentiasa memperkasa maruah dan martabatnya. Usaha akan dibuat secara berterusan tanpa apa-apa had atau sekatan. Ringkasnya, UMNO berani dan nekad untuk meletakkan Islam di persada setinggi-tingginya di Malaysia dengan sokongan kaum lain yang tidak pernah kita larang daripada mengamalkan agama masing-masing. Seorang Islam yang baik adalah seorang jiran atau rakan yang lebih baik untuk penganut agama lain.

Untuk Melayu pula, apakah kemajuan atau pembangunan yang boleh dinanti-nantikan oleh kaum majoriti ini?

Tidak ada cara terbaik untuk menolong orang Melayu melainkan dengan menguatkuasakan seluas-luasnya ajaran dan nilai Islam. Islam menyeru kepada ibadah sambil menyuruh kepada ekonomi iaitu sembilan daripada sepuluh rezeki adalah dalam perniagaan dan kongsi keuntungan dengan orang lain selain berzakat dan sedekah kepada orang yang kurang bernasib baik. Islam juga menyuruh kepada peradaban sosial, menjadi ummah yang budiman dengan menghormati sesama bangsa sendiri dan terhadap kaum lain. Keperluan dunia dan bekalan akhirat wajib diseimbangkan.

Di peringkat parti pula, apakah yang perlu dilakukan supaya UMNO kembali kepada tujuan asal penubuhannya?

Yang paling penting, UMNO perlu sentiasa kuat bersatu hati dan pemikiran. Ahli UMNO akan digerakkan segera untuk menarik lebih ramai ahli terutama golongan muda supaya sebarang kebaikan yang kita dapatkan untuk orang Melayu, boleh diagihkan secara serta-merta dan kepada lebih ramai orang Melayu. Tidak perlu tunggu jabatan atau kementerian, parti akan membantu dan menyelesaikan sendiri masalah ahli-ahlinya. Bilangan ahli adalah lambang kekuatan sesebuah parti politik.

Sebelum ini, Datuk Seri menggemparkan seluruh negara apabila mengumumkan memaafkan orang Cina yang tidak mengundi calon BN sebangsa mereka sendiri pada PRU ke-13, sebaliknya mengundi calon parti pembangkang.

Rasullulah SAW pernah memaafkan orang yang cuba membunuhnya. Berkatnya ialah orang kafir itu terus memeluk Islam kerana melihat kemuliaan budi pekerti Baginda. Adakah kita tidak mahu memaafkan kaum Cina yang silap memilih parti? Atau adakah kita hanya akan berbuat demikian sehari sebelum hari mengundi dengan harapan mereka akan kembali mengundi BN pada PRU ke-14? Jika mereka mengaku telah melakukan kesilapan, kita maafkan. Jika mereka mengaku sengaja melakukan perkara itu, secara tidak langsung menunjukkan kemungkinan mereka mengulanginya, kita tidak perlu maafkan mereka. Dengan itu sekuranya-kurannya kita akan menjadi lebih arif hati budi kaum itu sekarang dan kita dapat merangka strategi yang lebih tepat untuk menang PRU ke-14.

Setakat perkembangan terkini selepas Pemilihan UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO, apakah peluang BN untuk kembali mencapai kemenangan besar?

BN menang besar atau sebaliknya, akan ditentukan oleh orang Melayu sendiri. Selagi Melayu bersatu, selama itulah UMNO dan BN akan menang. Kita menang dalam PRU ke-13 kerana ramai orang Melayu sudah mula kembali ke pangkuan UMNO. Menerusi pemilihan UMNO dimana sesiapa yang cukup syarat mudah, boleh bertanding sebarang jawatan hingga ke kerusi Presiden dan seramai lebih 140,000 ahli memilih, kita telah menunjukkan kepada semua kaum lain di Malaysia, malah di seluruh dunia bahawa UMNO adalah pengamal terbaik demokrasi tulen. Pada Perhimpunan Agung UMNO 2013 ini pula kita buktikan kejujuran berbahas mengenai Melayu dan kaum lain secara terbuka dan disiarkan oleh semua media tempatan dan asing tanpa suntingan atau sekatan oleh UMNO.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Ubat gigi serata dunia

Posted: 08 Dec 2013 05:01 AM PST

SEBAGAI doktor gigi, memang patutlah Dr. Val Kolpakov, dari Saginaw, Michigan, Amerika Syarikat cukup mencintai bidang itu sehinggakan hobinya pun berkaitan pergigian. Dia kini ialah pemegang rekod dunia sebagai penyimpan koleksi ubat gigi terbanyak iaitu sehingga 1,800 unit.

Daripada perisa bambu, coklat hinggalah kari, koleksi ubat giginya diperolehi dari seluruh dunia.

Dr. Kolpakov mula tergerak hati untuk mengumpul ubat gigi selepas membaca satu artikel mengenai Carsten Gutzeit dari German yang mengumpul 500 tiub ubat gigi.

Dia merasakan ia suatu hobi terbaik untuk seorang doktor gigi sepertinya lalu terus menghubungi rakan-rakan sejawatan yang berada di negara lain meminta mereka menghantar beberapa ubat gigi tempatan.

Dr. Kolpakov lalu membuka laman web toothpasteworld.com dan mula memburu ubat gigi di laman e-Bay.

Antara koleksi paling berharga miliknya adalah sebuah kotak serbuk ubat gigi antik zaman George iaitu sekitar 1801 yang berharga AS$1,500 (RM4,833).

Menurutnya, zaman itu, ubat gigi belum lagi dicipta.

Satu lagi koleksi menarik Dr. Kolpakov adalah ubat gigi Doramund iaitu sebatian beradioaktif dari zaman Perang Dunia Kedua. Agak pelik bunyinya namun masyarakat ketika itu mempercayai bahan radioaktif dapat membantu membina semula gusi.

Dia turut memiliki semua jenis ubat gigi dari syarikat Breath Pallette sebanyak 31 perisa termasuk teh hijau, puding labu dan kari India.

Dr. Kolpakov juga menyimpan ubat gigi yang menjadi peralatan dalam filem Primary Colors dan drama bersiri Prison Break.

Sebahagian koleksinya dipamerkan di klinik giginya di Michigan.

Setakat ini, Dr. Kolpakov sudah berbelanja AS$30,000 (RM96,700) sepanjang sembilan tahun mengumpul koleksinya dan dia tidak berniat untuk menjualnya.

Kasut klasik untuk lelaki

Posted: 08 Dec 2013 05:01 AM PST

Foto SHAHRIL AZMAN ZAIN

Material dan warna dari Itali.

KASUAL, tahan lasak dan menggoda pada masa sama tampil urban dalam klasik adalah gambaran jenama kasut baharu, Mango Mojito.

Ia semestinya menjadi aksesori wajib bagi lelaki yang inginkan penampilan bergaya.

Dengan potongan kemas dan berkualiti, pastinya penampilan jejaka yang menyarung kasut jenama ini akan lebih segak. Apatah lagi jahitan setiap barangan Mango Mojito juga cukup rapi.

Menyedari kelebihan dan keistimewaan kasut bagi lelaki, jenama ini menawarkan rangkaian sut yang istimewa.

Kasut santai dan but menampilkan kombinasi kulit dan warna grafik yang cukup luar biasa.

Jenama yang berasal dari Thailand ini turut menampilkan kasut pelbagai warna bagi meraikan minat mereka yang gemarkan seleksi warna segar.

Menurut Pengarah Mango Mojito, Silratth Sukwatthanasiri, koleksi istimewa ini menampilkan kasut dengan material berkualiti.

"Jenama ini mengetengahkan konsep klasik tetapi mendapat sentuhan moden. Inspirasi rekaan ini sebenarnya berasal dari Jepun.

"Kami juga menghasilkan rekaan kasut yang mendapat sentuhan Itali menggunakan kulit dengan warna klasik seperti hitam, kelabu dan coklat.

"Istimewanya jenama ini, setiap kasut dihasilkan sendiri oleh tukang kasut kami sendiri," katanya yang ditemui di butik Magazine, 3-1, Jalan Telawi 2, Bangsar Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Segera naik taraf - Ahmad Fauzi

Posted: 08 Dec 2013 10:33 AM PST

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Ahmad Fauzi Zahari melihat tangkapan yang diperoleh peserta Pertandingan Memancing Parlimen Setiawangsa di Tasik Taman Seri Rampai semalam.

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta supaya segera menaik taraf Tasik Taman Seri Rampai di Setiawangsa bagi menarik lebih ramai pengunjung beriadah di situ.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari berkata, beliau dimaklumkan DBKL bercadang menaik taraf tasik tersebut bermula pertengahan tahun depan, tetapi pihaknya meminta agar projek itu dipercepatkan.

"Saya rasa tempoh naik taraf pada pertengahan tahun depan itu agak lewat kerana jika kita lihat kini keadaan kawasan tasik ini agak suram dan tidak meriah seperti taman-taman awam yang lain. Penambahan seperti kawasan permainan kanak-kanak dan tempat senaman perlu diwujudkan segera.

"Difahamkan kos bagi menaik taraf keseluruhan kawasan tasik ini berjumlah RM4.5 juta. Saya harap jumlah tersebut dapat mengubah keadaan tasik ini kepada yang lebih baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Memancing Parlimen Setiawangsa di tasik itu hari ini.

Pertandingan itu dianjurkan dengan kerjasama Pasukan Pemantau Pencemaran Alam Sekitar dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurutnya, selain menaik taraf Tasik Taman Seri Rampai, lombong di Taman Kejiranan Air Panas juga perlu dinaik taraf bagi kemudahan penduduk di Parlimen Setiawangsa untuk beriadah bersama keluarga.

"Selain itu lampu-lampu jalan sedia ada di kawasan tasik ini yang tidak berfungsi juga perlu diberi perhatian oleh DBKL.

"Apabila lampu tidak berfungsi, kawasan menjadi gelap dan secara tidak langsung mengundang aktiviti yang tidak bermoral," ujarnya.

Mengulas mengenai pertandingan memancing, Ahmad Fauzi berkata, ini merupakan acara tahunan pihaknya dalam mengeratkan silaturahim antara masyarakat setempat selain sebagai satu pendekatan untuk mendekati rakyat.

Pertandingan memancing itu bermula pada pukul 7 pagi dan berakhir 1 petang.

Tempat pertama dimenangi oleh Iman Ahmat, 35, yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000, kedua Othman Ahmad, 55, untuk meraih RM1,000 dan ketiga, Mohd. Shaffiq Zainon, 18, yang menerima RM500. Ketiga-tiga pemenang turut menerima mesin memancing jenama Penn.

Sebanyak 10 peserta terbaik lain menerima hadiah saguhati berupa hamper. Hamper turut diberi kepada tiga peserta yang menangkap ikan paling kecil, ikan ternipis dan menangkap lain dari yang lain iaitu udang.

Sempena pertandingan itu, penganjur turut membuka gerai jualan barang-barang keluaran industri kecil dan sederhana (IKS) dan pameran serta keahlian Pasukan Pemantau Pencemaran Alam Sekitar.

Kadar cukai ditentu selepas bantahan diteliti

Posted: 08 Dec 2013 10:33 AM PST

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Kadar baharu cukai taksiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya akan ditentukan selepas panel yang dilantik DBKL selesai meneliti semua bantahan yang diterima.

Tempoh bantahan akan tamat pada 17 Disember ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (gambar) berkata, panel itu akan meneliti setiap bantahan dan sebarang keputusan yang akan dilakukan atas budi bicara DBKL sebelum dikuatkuasakan 1 Januari depan.

Katanya, kadar baharu itu pastinya tidak akan membebankan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah serta penghuni Projek Perumahan Rakyat.

"Tunggu saya buat keputusan selepas panel yang kita lantik meneliti semua bantahan yang diterima. Keputusan kita rasional yang tidak akan bebankan rakyat," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kembali ke Sekolah dan majlis pecah tanah Pejabat UMNO Bahagian Batu di sini, hari ini.

Sebanyak 450 pelajar menerima bantuan peralatan sekolah dan wang tunai sumbangan Yayasan Wilayah Persekutuan pada majlis yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Yahaya Mat Ghani.

Tengku Adnan berkata, selama 21 tahun kerajaan tidak menyemak kadar cukai taksiran namun kadar baharu yang akan ditentukan kelak tidak akan menindas rakyat kerana cadangan itu mengambil kira beberapa keperluan khusus bagi kemudahan penghuni kota.

Setakat 5 Disember lepas, DBKL telah menerima 10,000 surat bantahan berhubung kenaikan tersebut sejak mengeluarkan notis pada pertengahan November lepas kepada lebih 500,000 penghuni kota dengan 56 peratus membabitkan pemilik premis komersial.

LEP: Prasarana harap penyelesaian segera

Posted: 08 Dec 2013 10:33 AM PST

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Kurangnya kerjasama diberikan oleh pihak pengurusan sebuah sekolah di Puchong telah menyebabkan kerja-kerja dalam projek penyambungan jajaran transit aliran ringan (LEP) berdekatan premis itu tergendala sejak 2011.

Keengganan pihak pengurusan sekolah itu memberikan kerjasama menyebabkan pemilik projek LEP, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) menghadapi jalan buntu walaupun pelbagai usaha telah dilakukan termasuk persetujuan dari pelbagai pihak bagi meneruskan projek tersebut.

Naib Presiden Kanan Komunikasi Kumpulan Prasarana, Azhar Ghazali berkata, status projek tersebut disifatkan sebagai tergendala sedangkan perlu diteruskan kerana projek infrastruktur nasional ini bagi meningkatkan mobiliti di Lembah Klang dan negeri Selangor.

"Walaupun telah mendapat kebenaran untuk meneruskan projek tetapi sehingga kini pihak kontraktor kami dan para pekerja LEP masih terus menunggu di luar perkarangan kawasan Sekolah Rendah Kebangsaan (Tamil) Castlefield, Puchong (yang pihak pengurusannya) tidak membenarkan kami memasuki kawasan mereka untuk projek ini diteruskan," katanya dalam kenyataan akhbar.

Azhar berkata, sejak 14 Oktober 2011, Jabatan Pelajaran Selangor (JPS) sudah memberi kebenaran kepada LEP menjalan kerja di situ dengan mensyaratkan penyediaan alat penyaman udara dan penghadang bunyi dipasang bagi mengurangkan gangguan ke tahap paling minimum kepada perjalanan pembelajaran sekolah.

"Namun, apabila kontraktor sudah bersedia untuk memasuki kawasan kerja mereka, yang melibatkan satu jajaran sepanjang kira-kira 200 meter yang menyusur pinggir padang sekolah berkenaan, pihak Lembaga Sekolah mengubah pendirian dengan membuat satu permohonan baharu pada 14 Disember 2011 untuk (sekolah itu) dipindahkan ke kawasan baharu," katanya.

Tambah beliau, pihak sekolah turut menutup pintu masuk dan menghalang kontraktor daripada memulakan kerja.

Sejak itu projek LEP di situ tidak dapat diteruskan setelah pelbagai usaha lain selepas itu juga menemui jalan buntu, ujar beliau.

Katanya, antara usaha itu termasuklah Prasarana membuat keputusan pada 21 Februari 2012 untuk memindahkan sekolah berkenaan ke lokasi baharu.

"Sekolah berkenaan mahu dipindahkan ke kawasan seluas tiga ekar di sebelah tapak baharu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Cina Kheng Cheng di Lot 433, Taman Wawasan, Puchong namun SRK Tamil Castlefield enggan berkongsi tapak dengan sekolah berkenaan.

"Malah pihak sekolah itu meminta supaya SRK Cina Kheng Cheng dipindahkan ke kawasan lain dan keseluruhan tapak seluas enam ekar itu diperuntukkan secara eksklusif kepada mereka," katanya.

Sepanjang tempoh itu, kata Azhar, mereka tiada pilihan selain daripada terus menunggu, sekali gus menyebabkan pembaziran masa dan pertambahan kos kerana penangguhan kerja.

"Ini turut bermakna penantian yang lebih lama kepada penduduk termasuk di Putra Heights, Bandar Kinrara, Projek Perumahan Bukit Jalil dan di Puchong sendiri yang mahukan infrastruktur pengangkutan awam ini diwujudkan untuk kemudahan mereka secepat mungkin," katanya.

Berdasarkan perancangan, jelas beliau, projek LEP dijadualkan siap pada awal 2016 dengan perkhidmatan sistem transit aliran ringan (LRT) dimantapkan dengan menambah tren-tren baru enam gerabak untuk Laluan LRT Ampang dan empat gerabak untuk Laluan LRT Kelana Jaya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Pemuda Johor bantu mangsa banjir

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

Oleh MOHAMED SAARI
utusanjohor@utusan.com.my

HAHASRIN Hashim (tengah, topi putih) bertanyakan khabar mangsa banjir di pusat pemindahan mangsa banjir di Kampung Pogoh 2, Segamat, Johor, kelmarin. - BERNAMA

SEGAMAT 7 Dis. - Seramai 50 orang sukarelawan Sekretariat Bertindak Bencana Pemuda UMNO Johor turun padang melawat beberapa pusat pemindahan banjir yang masih dibuka di daerah ini semalam sambil menghulurkan sedikit bantuan berupa barangan keperluan harian.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Hahasrin Hashim berkata, usaha sukarelawan sekretariat yang baru ditubuhkan itu bertujuan membantu meringankan beban serta memberi semangat kepada mangsa yang sedang berdepan dengan musibah.

"Secara asasnya, gerakan ini merupakan pertama kali melibatkan setiap ahli Pemuda di peringkat cawangan, bahagian dan seterusnya negeri untuk turun membantu mangsa-mangsa banjir yang terdapat di pusat pemindahan seperti yang kami lakukan hari ini.

"Antara pusat pemindahan banjir yang kami kunjungi hari ini ialah di Balai Raya Gemereh 4, Kampung Batu Badak dan Balai Raya Kampung Pogoh 2 yang jumlah mangsa banjirnya masih mencatatkan jumlah yang ramai setakat hari ini," katanya kepada Utusan Malaysia.

Yang turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Segamat, Bastien Onn dan Ketua Pemuda UMNO Sekijang, Salleheen Mohamad serta beberapa lagi ketua pucuk pimpinan Pemuda UMNO negeri.

Menurut Hahasrin, sukarelawan sekretariat itu akan bertindak sebagai satu pasukan untuk memberi bantuan sekiranya terdapat sebarang kejadian bencana di negeri ini selaras dengan usaha Pemuda UMNO Pusat yang menubuhkan Briged Kesatria yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Selain itu sekretariat tersebut juga mendapat kerjasama daripada Yayasan Sukarelawan Siswa dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk membantu melaksanakan kerja-kerja sukarelawan.

"Harapan kami ialah apa yang kami lakukan ini dapat memberi semangat serta kekuatan kepada mangsa untuk menghadapi musibah yang menimpa dengan penuh kesabaran dan sumbangan yang kami hulurkan sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka.

"Kami juga telah mengadakan perbincangan dengan wakil pusat pemindahan bagi mengenal pasti barangan yang diperlukan dan seboleh-bolehnya tidak mahu sumbangan yang dihulurkan bertindih atau sama dengan sumbangan daripada agensi lain yang turut menghulurkan bantuan," katanya.

Unit khas kawal kebakaran bangunan bakal diwajibkan

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

JOHOR BAHRU 7 Dis. - Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan penubuhan Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) di semua bangunan dalam usaha mengurangkan kes kebakaran yang menyebabkan kerugian besar.

Pengarahnya, Datuk Ab. Ghani Daud berkata, pendekatan yang diusulkan tersebut kini diteliti kerana melihat kepentingan unit tersebut dalam tindakan awal memadamkan kebakaran apatah lagi bagi bangunan dalam kawasan perindustrian.

"Jika sebelum ini, pemilik hanya menepati syarat bagi mendapatkan sijil menduduki dengan penyediaan alat pemadam api dan salur bantu mula, tetapi kebanyakan mereka tidak tahu menggunakannya.

"Menyedari keadaan itu, penubuhan ERT harus dipandang serius kerana boleh memberi bantuan awal selain dapat mengawal kebakaran sekiranya terjadi dan boleh mengurangkan nilai kerugian," katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran dan Latihan Pemantapan ERT di sini semalam.

Menurut Ab. Ghani, buat masa ini sebanyak 1,103 kilang telah menyediakan ERT dan 102 di peringkat permohonan serta 36 dalam tindakan kelulusan.

Beliau berkata, unit tersebut sekurang-kurangnya terdiri daripada 10 orang yang disarankan agar bertugas mengikut syif selama 24 jam.

"Saya juga mencadangkan pekerja yang menyertai ERT diberikan insentif kerana selain menjalankan tugas hakiki sebagai pekerja mereka juga bertindak sebagai anggota penyelamat.

"Majikan juga dinasihatkan membeli kelengkapan, kemudahan dan pakaian sesuai bagi pasukan ERT," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


40,819 mangsa banjir di Pahang

Posted: 07 Dec 2013 09:35 PM PST

KUANTAN 8 Dis. - Jumlah mangsa banjir di negeri ini tidak menunjukkan sebarang perubahan apabila seramai 40,819 mangsa daripada 11,746 keluarga terlibat ditempatkan di 149 pusat pemindahan hari ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, sehingga pukul 11 pagi ini, Kuantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 34,426 orang yang kini ditempatkan di 42 pusat pemindahan.

Ini diikuti Pekan seramai 3,329 mangsa, Maran (1,034), Temerloh (1,002), Jerantut (520), Bera (189), Rompin (57), Lipis (53) dan Raub merupakan daerah terbaharu mangsa banjir mencatatkan 209 orang.

"Beberapa laluan masih ditutup iaitu Kilometer 28 Jalan Sungai Lembing-Kuantan, Kilometer 72 Jalan Kuantan-Segamat, Kilometer 62 Jalan Kuantan-Rompin dan Kilometer 14 Jalan Temerloh-Bahau," katanya ketika dihubungi di sini - UTUSAN

Banjir: Jumlah mangsa di Terengganu mencecah 22,311 orang

Posted: 07 Dec 2013 09:31 PM PST

KUALA TERENGGANU 8 Dis - Keadaan banjir di negeri ini tidak berubah dengan bilangan mangsa mencecah 22,319 orang yang berada di 64 pusat pemindahan.

Kebanyakan mangsa di Kemaman dan mereka ditempatkan di 45 pusat pemindahan manakala selebihnya di Dungun, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu.

Semua jalan utama antara Kuala Terengganu-Kota Bharu dan Kuala Terengganu-Kuantan boleh dilalui semua kenderaan.

Kebanyakan sungai utama kini di paras biasa kecuali Sungai Tebak dan Sungai Kemaman masih di paras amaran. - UTUSAN

Banjir: Jumlah mangsa di Johor menurun

Posted: 07 Dec 2013 09:29 PM PST

JOHOR BAHRU 7 Dis. - Jumlah mangsa banjir di Johor menurun kepada 1,160 orang hari ini berbanding 1,538 mangsa petang semalam.

Sehingga pukul 11.45 pagi ini, hanya tiga daerah masih terjejas iaitu Pontian, Batu Pahat dan Segamat dengan jumlah keseluruhan 14 pusat pemindahan banjir beroperasi manakala penduduk di Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang dan Ledang sudah dibenarkan pulang.

Segamat kekal daerah yang paling teruk terjejas dengan 526 mangsa di tujuh pusat pemindahan diikuti Batu Pahat seramai 220 mangsa di empat pusat pemindahan manakala Pontian mencatatkan 414 mangsa yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan. - UTUSAN

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


NS bersedia sambut Kempen TMM 2014

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

SEREMBAN 7 Dis. - Lebih 300 para penggiat industri pelancongan di negeri ini akan menghadiri Negeri Sembilan Tourism Conference 2014 kali kelima di Klana Resort dekat sini, Isnin ini.

Program anjuran Pejabat Tourism Malaysia Negeri Sembilan itu adalah sebahagian daripada persediaan menyambut Kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Menurut kenyataan pejabat berkenaan, objektif utama penganjuran persidangan itu adalah untuk menyampaikan hasrat kerajaan negeri dalam menggiatkan promosi yang akan dilaksanakan di negeri ini sepanjang Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Ini sejajar dengan usaha untuk mencapai peningkatan sasaran ketibaan pelancong sebanyak lima juta orang dan jumlah pendapatan daripada sektor pelancongan," kata kenyataan itu.

Majlis perasmian persidangan itu akan disempurnakan Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof yang akan turut menyampaikan taklimat pada sesi petang.

Taklimat juga akan disampaikan oleh beberapa agensi seperti Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2014 dan taklimat khas produk pelancongan Muzium Tentera Darat Port Dickson.

Beberapa produk pelancongan akan turut membuka gerai pameran sepanjang majlis berlangsung.

Antaranya Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan negeri; produk industri kecil dan sederhana seperti daging salai, gula enau, rendang pucuk ubi Maklong Timah; NS Galleria Chocolate World; Hospital KPJ Seremban dan Ladang Alam Warisan.

Kolokium sejarah Kampung Bangkahulu

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

SEREMBAN 7 Dis. - Kerajaan negeri melalui Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) akan mengadakan Kolokium Sejarah Kampung Bangkahulu pada Selasa ini bertempat di Balai Raya Kampung Bangkahulu, Gemas.

Pengarah LMNS, Shamsuddin Ahmad berkata, majlis perasmian program yang bermula pukul 9 pagi itu akan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Abd. Razak Ab. Said.

Menurutnya, Kampung Bangkahulu adalah sebuah kampung tradisional yang telah dijadikan projek perintis kepada LMNS bagi menjalankan kajian sejarah kampung dan mengumpulkan maklumat berdasarkan keunikan budaya masyarakat di situ.

Katanya, program keilmuan itu dapat memperkenalkan dan menyebarkan maklumat berkaitan sejarah serta budaya yang diamalkan oleh masyarakat kampung berkenaan di samping memupuk kesedaran kepada orang ramai terutama penduduk tempatan dan generasi muda hari ini mengenai kepentingan mengetahui sejarah tempatan dan menyayangi kampung tradisi.

"Kolokium ini juga adalah usaha murni LMNS untuk mendokumentasikan hasil kajian yang telah dijalankan sebagai bahan rujukan kepada para penyelidik dan pelajar institusi yang terlibat dalam bidang berkaitan dan mengetengahkan antara daya tarikan utama produk pelancongan di negeri ini yang amat sinonim dengan jolokan Negeri Beradat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penceramah kolokium itu ialah Penasihat Persatuan Bengkulu Malaysia, Mohd. Yusof Ghani Riduk dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bangkahulu, Mohamad Salleh manakala moderator adalah Pengerusi Persatuan Bangkahulu Malaysia Cawangan Gemas, Hassan Zuhri Abas.

Pada majlis itu juga akan diadakan pelancaran buku Siri Budaya Sejarah Kampung Bangkahulu iaitu hasil kajian yang telah dijalankan oleh LMNS pada 2008.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Persatuan kesal gerai diroboh MPPP

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

ZAHRAH Abd. Wahab Fenner (kiri) beramah mesra dengan para peserta Kursus Pemantapan Penjaja Dan Peniaga Kecil 2013 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.

PERMATANG PAUH 7 Dis. - Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Pulau Pinang kesal dengan tindakan kerajaan negeri mengarahkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) merobohkan gerai peniaga kecil di Persiaran Gurney di sini, Rabu lalu.

Yang Dipertuanya, Datuk Zainal Abidin Abd. Majid berkata, kerajaan negeri sepatutnya berbincang dahulu dengan persatuan untuk mencari jalan penyelesaian sebelum meroboh gerai yang kebanyakannya diusahakan oleh peniaga Melayu.

Menurutnya, pihak persatuan pernah menghantar bantahan kepada kerajaan negeri berhubung tindakan ke atas peniaga di negeri ini sejak 2009, tetapi tidak mendapat layanan sewajarnya.

"Kerajaan negeri sepatutnya memanggil persatuan untuk berbincang sebelum mengeluarkan notis meroboh gerai peniaga kecil di negeri ini," katanya selepas majlis perasmian Kursus Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil 2013 peringkat negeri di Politeknik Seberang Perai di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Zahrah Abd. Wahab Fenner.

Dalam kejadian Khamis lalu, dua peniaga kecil di Persiaran Gurney di sini berang apabila gerai makan mereka dirobohkan penguat kuasa MPPP tanpa sebarang notis pemberitahuan awal.

Mereka mendakwa, kira-kira pukul 10.30 pagi sekumpulan kakitangan MPPP datang dan merobohkan gerai tersebut yang beroperasi sejak 20 tahun lalu.

Zainal Abidin berkata, ini membuktikan sikap tidak prihatin kerajaan negeri terhadap peniaga terutama kalangan Melayu di negeri ini.

Katanya, walaupun tindakan merobohkan gerai merupakan bidang kuasa kerajaan negeri, tetapi masalah tersebut boleh diatasi dengan perbincangan.

"Kita sedia membantu peniaga terbabit iaitu menjadi perantara dengan kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah yang mereka hadapi itu," ujarnya.

Terdapat lebih 10,000 peniaga dan penjaja menjadi ahli persatuan itu di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau berharap mana-mana peniaga dan penjaja yang belum menjadi ahli persatuan dapat berbuat demikian supaya masalah yang mereka hadapi dapat dibantu.

Beri ganjaran atlet berhenti merokok

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
utusanperlis@utusan.com.my

ARAU 7 Dis. - Pemberian ganjaran kepada atlet yang berjaya menghentikan tabiat merokok merupakan antara cadangan terbaik dalam usaha membudayakan sukan dengan kehidupan lebih sihat di negara ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, cadangan itu boleh membuktikan bahawa atlet dapat mencapai prestasi cemerlang tanpa terlibat dengan aktiviti merokok.

"Begitu juga dengan menjadikan kawasan atau gelanggang sukan sebagai tempat larangan merokok bagi menggalakkan aktiviti bersukan yang bebas daripada rokok," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika majlis penutupan Forum Sukan Tanpa Rokok 2013 anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis dengan kerjasama Kelab Media Perlis (KEMPs) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Rektor UiTM Perlis, Prof. Datuk Dr. Ahmed Redzuan Abd. Rahman.

Faizuddin bertitah, kempen sukan tanpa rokok perlu ditingkatkan kerana statistik terkini amat membimbangkan apabila jumlah perokok meningkat sehingga mencapai 4.7 juta orang pada tahun lalu berbanding 3.1 juta orang (2007).

"Tinjauan Kementerian Kesihatan pada 2012 mendapati lebih 40 peratus atau 4.7 juta lelaki dewasa merupakan perokok manakala dalam kalangan wanita kurang daripada satu peratus.

"Sebanyak 35 peratus kematian di hospital turut dikaitkan dengan penggunaan tembakau berdasarkan anggaran 10,000 penduduk Malaysia meninggal dunia akibat menghisap tembakau setiap tahun," titah baginda.

Menurut baginda, terdapat pelbagai kesan yang mempengaruhi seseorang ahli sukan akibat amalan merokok, antaranya menjejaskan kecergasan serta metabolisme badan, memberikan kesan buruk kepada tubuh badan terutama yang berkaitan jantung dan paru-paru.

"Ini juga menimbulkan ketagihan dan mengurangkan konsentrasi semasa latihan mahupun perlawanan dan memberikan imej kurang baik kepada peminat sukan terutama dalam kalangan kanak-kanak," titah baginda.

Sehubungan itu, titah baginda, kempen sukan tanpa rokok perlu ditingkatkan melalui semua bentuk media sama ada cetak mahupun elektronik.

"Perlu juga diadakan lebih banyak bengkel kesedaran secara bersepadu dan bertali arus tentang sukan tanpa rokok kepada ahli sukan, pengurus pasukan, jurulatih dan pentadbiran yang berkaitan badan sukan," titah baginda.

SADC teruskan tradisi agih bantuan persekolahan

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

IPOH 7 Dis. - Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) meraikan 731 anak-anak kakitangannya dengan menaja kelengkapan sekolah menerusi Program Pemberian Bantuan Persekolahan SADC.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Rizal Abdul Rahman berkata, kesemua pelajar itu diperuntukkan RM250 setiap seorang bagi membeli barangan keperluan persekolahan masing-masing.

Katanya, program yang masuk tahun kedua itu bertujuan membantu mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa dalam menguruskan keperluan anak-anak mereka bagi memulakan sesi persekolahan akan datang.

''Pemberian bantuan persekolahan ini ternyata memberikan kelegaan dan keselesaan kepada ibu bapa khususnya kakitangan SADC kerana beban perbelanjaan mereka untuk menyediakan persiapan persekolahan anak-anak dapat diatasi.

''Program ini telah berjalan selama dua tahun dan kita akan meneruskan tradisi ini bagi tahun-tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyampaian bantuan tersebut di Pasar Raya Mydin di Meru Raya di sini kelmarin.

Sementara itu, mengulas mengenai perancangan SADC bagi tahun hadapan, beliau berkata, pihaknya akan lebih menumpukan kepada usaha menggembleng tenaga untuk produk-produk sedia ada.

Katanya, SADC juga akan turut memajukan sektor pelancongan dengan mewujudkan kolam memancing di Ladang Intergrasi Agro Tourism Sungai Galah untuk kemudahan pengunjung luar dan penduduk setempat.

''Ladang Intergrasi Agro Tourism Sungai Galah ini telah pun dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir namun belum bermula sepenuhnya.

''Kita berharap pada tahun hadapan, kawasan ini akan dijadikan sebagai pusat sehenti dengan penghasilan produk-produk segar yang dikeluarkan terus dari ladang," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved