Sabtu, 7 Disember 2013

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Gaya skaters untuk bersantai

Posted: 06 Dec 2013 11:03 AM PST

LELAKI tidak sukar untuk mencari pakaian yang sesuai terutamanya jika mahu bersantai bersama rakan-rakan, tidak kira di pusat beli-belah mahupun perjumpaan bersama teman rapat.

Cukup dengan berseluar jeans dan kemeja-T, ia sudah memberikan gaya tersendiri dan terkini kepada lelaki.

Kemeja-T merupakan elemen terpenting bagi lelaki yang mementingkan imej ringkas kerana mudah dipakai, tidak memerlukan aksesori serta mempunyai pelbagai corak untuk digayakan.

Minggu ini ruangan Trend menampilkan pakaian yang sering dipakai oleh pemain papan selaju atau skaters untuk digayakan ketika keluar bertemu rakan-rakan.

Koleksi pakaian PK Apparel, satu jenama tempatan yang kian meningkat naik kerana rekaan dan corak kemeja-T mereka yang dekat dengan anak muda pada waktu ini.

PK Apparel bukan sahaja mengeluarkan kemeja-T, bahkan baju sejuk 'hoodie', topi snapback dan beberapa aksesori lain.

Jom kita lihat gaya ringkas untuk lelaki yang sesuai dipadankan dengan apa jua aktiviti seharian mereka. - AMIRUL/NOORADZRENE MOHD. NOOR

Jaga keselamatan ketika banjir

Posted: 07 Dec 2013 04:35 AM PST

Soal keselamatan perlu dititikberatkan ketika dilanda bencana banjir, buat persediaan awal dan ikut arahan pihak berkuasa demi kebaikan masing-masing. - GAMBAR HIASAN

SEBAHAGIAN besar masyarakat kita sudah pasti terasa sedih apabila menerima khabar beberapa negeri sudah dilanda banjir besar dan memerlukan bantuan dari seluruh negara.

Di negeri yang sudah dilanda banjir, bantuan sedang disalurkan. Tetapi soal yang tidak kurang penting adalah negeri-negeri lain perlu membuat persediaan awal sekiranya tempat tinggal anda pula dilanda banjir.

Bencana berkenaan tidak boleh dielakkan tetapi persediaan awal yang dilaksanakan boleh menjamin keselamatan harta benda serta nyawa ahli keluarga.

Pelbagai kesan buruk yang perlu kita ketahui agar mudah untuk kita mengelak bahaya yang mungkin terkena kepada kita. Antaranya adalah pencemaran bekalan air bersih yang sememangnya sumber terpenting yang kita perlukan.

Pastikan anda mempunyai bekalan yang mencukupi serta elakkan untuk minum air yang tidak bersih. Hal ini termasuk bekalan makanan yang turut menjadi keperluan utama.

Anda tidak digalakkan makan sayur-sayuran kerana dikhuatiri sudah tercemar dengan banjir. Pelbagai kesan buruk boleh dihidapi oleh mereka yang makan sayuran yang rosak seperti keracunan.

Selain itu, banjir juga akan mengakibatkan kerosakan fizikal dan struktur bangunan serta bukit berdekatan kawasan tempat tinggal anda. Elakkan pergi ke kawasan berkenaan kerana kejadian struktur atau tanah runtuh boleh berlaku.

Perkara terpenting adalah lakukan persediaan awal, selamatkan dokumen penting dan terus mengikut arahan pihak berkuasa untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara bagi mengelakkan perkara buruk berlaku.

AZRIN MUHAMMAD

Kuala Lumpur

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Promosi makanan tepi jalan

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Little India di Brickfields disaran supaya mempromosi jualan makanan tepi jalan bagi menarik pelancong.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohd. Nazri Abdul Aziz berkata, terdapat banyak restoran dan gerai makanan untuk dipilih di Brickfields dari nasi daun pisang, briyani, tosai dan lain-lain makanan yang berasal dari India selatan.

Melalui makanan, kita merayakan pelbagai kebudayaan dan perpaduan di kalangan kita yang menggambarkan makna sebenar tagline Perpaduan dalam Kepelbagaian.

Malah menerusi pelbagai makanan India, Little India boleh dipromosi sebagai tarikan pelancongan yang ikonik yang mempamerkan budaya unik masyarakat India yang tinggal secara harmoni dengan kaum lain di Malaysia," katanya pada majlis pelancaran Festival Makanan Jalanan 2013 sempena Festival Makanan 1Malaysia di Little India Brickfields di sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Ong Yong Peng.

Mohd. Nazri berkata, pelbagai makanan yang disediakan boleh membantu menambah hasil pelancongan makanan selain menarik lebih banyak pelancong ke dalam negara.

Beliau berkata, festival itu yang diadakan serentak di 13 buah negeri di 18 lokasi di 250 pusat penjaja dan medan selera yang mengandungi 15,000 gerai di seluruh negara.

Kempen Makanan 1Malaysia yang dilancarkan sejak 2009, kali ini diadakan selama tiga bulan sejak Oktober lalu. Makanan yang dipromosi tahun ini ialah Nasi Goreng, Sup Tulang dan Popiah. - BERNAMA

Banjir: Pemuda UMNO WP salur bantuan

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

Tengku Adnan Tengku Mansor memegang bantuan makanan yang akan dihantar ke Rompin dalam Misi Bantuan Bencana Banjir anjuran Briged Kesatria Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Ketua Pemuda UMNO Seputeh, Mohd. Razlan Muhammad Rafii (dua dari kanan).

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Prihatin terhadap nasib yang menimpa mangsa banjir di Pantai Timur, Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan menyalurkan bantuan berupa barangan keperluan bernilai kira-kira RM25,000.

Ketuanya, Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, sumbangan tersebut termasuk makanan dan barangan keperluan diri yang dibawa oleh 48 petugas Briged Kesatria Muda pergerakan berkenaan dengan menggunakan lima buah kenderaan pacuan empat roda.

"Dalam misi bantuan ini, kami memberi fokus di daerah Rompin, Pahang yang difahamkan antara kawasan yang paling terjejas, terutamanya bekalan makanan kerana semakin berkurangan.

"Justeru, lebih banyak bantuan perlu dihantar ke kawasan yang terjejas dan selepas banjir surut nanti kami juga akan menghantar misi bantuan kedua bagi membantu kerja-kerja membersihkan kawasan-kawasan seperti masjid dan rumah warga emas," katanya selepas hadir pada majlis pelepasan konvoi bantuan berkenaan yang disempurnakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Yang turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Johari Ghani dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun.

Sementara itu, Tengku Adnan melahirkan rasa bangga apabila Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutan menyahut cabaran dengan menghantar bantuan kepada mangsa yang ditimpa bencana banjir.

"Ini satu bentuk keprihatinan yang sangat dialu-alukan kerana sudah tentu meringankan beban mangsa-mangsa banjir di sana yang amat memerlukan bantuan," katanya.

NGO Selangor turut bantu mangsa banjir

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor mengambil inisiatif menganjurkan program pengumpulan pakaian, makanan dan barang keperluan bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara Isnin ini.

Pengerusi NGO-NGO Selangor, Datuk Jamal Md. Yunos berkata, program yang akan diadakan di Dewan Centrum Mara Setiawangsa berdekatan Restoran Sekinchan Ikan Bakar di sini itu menyasarkan sebanyak mungkin bantuan untuk mangsa bencana alam tersebut.

"Orang ramai yang prihatin dengan kesengsaraan mangsa banjir boleh memberi sumbangan sama ada dalam bentuk pakaian terpakai, makanan dalam tin atau peralatan membersih pada hari tersebut, pukul 3 petang.

"Program ini merupakan inisiatif kami, NGO-NGO Selangor dalam membantu mangsa-mangsa banjir di lima negeri iaitu di Terengganu, Pahang, Melaka, Johor dan Kelantan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, sumbangan daripada orang ramai itu akan disampaikan kepada NGO-NGO kawasan terlibat untuk diagihkan kepada mangsa selewat-lewatnya Khamis ini.

"Sebarang pertanyaan atau sumbangan juga boleh disalurkan kepada pihak kami menerusi talian 016-3039404 (Jamil), 014-6312249 (Soleh) dan 011-26264359 (Afham)," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Cuti 1,100 anggota dibekukan

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

Oleh MOHAMED SAARI
utusanjohor@utusan.com.my

ABDUL Ghani Daud (dua dari kiri) bersama Mohd. Yusof Gunnos (kanan) diiringi oleh Mohd. Aizad Mamat (kiri) ketika memeriksa kelengkapan bot di Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra di Segamat, kelmarin.

SEGAMAT 6 Dis. - Cuti bagi 1,100 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri ini dibekukan sehingga banjir yang melanda sejak Ahad lalu pulih sepenuhnya.

Langkah tersebut diambil oleh JBPM supaya tugas membantu dan menyelamat mangsa bencana alam kali ini dapat dilaksanakan dengan sepenuh kekuatan yang ada.

Pengarahnya, Datuk Abdul Ghani Daud berkata, sebanyak 40 bot, 16 lori muatan lima tan dan lain-lain kenderaan milik bomba dan penyelamat di negeri ini siap sedia untuk digerakkan ke kawasan dilanda bencana.

"Apa yang pasti, bomba di Johor sentiasa bersedia 24 jam sehari lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini dan selaras dengan fungsi kami dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai anggota bantuan apabila berlaku bencana.

"Kami juga akan menggunakan segala kemudahan serta utiliti yang ada dan tidak teragak-agak untuk meminta bantuan daripada negeri lain khususnya Melaka dan Negeri Sembilan sekiranya memerlukan," katanya ketika melawat bilik operasi banjir di Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra di sini semalam.

Yang turut hadir timbalannya, Mohd. Yusof Gunnos dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra, Mohd. Aizad Mamat.

Menurut Abdul Ghani, tiada sesiapa pun mahu sebarang kemalangan jiwa berlaku dan demi merealisasikan hasrat tersebut, 42 anggota Unit Skuba JBPM Johor sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku terutama ketika cuaca tidak menentu ketika ini.

"JBPM juga turut menerima panggilan kecemasan seperti kemalangan, kebakaran dan lain-lain lagi. Setakat ini panggilan kecemasan yang paling banyak diterima adalah di Mersing yang mana daerah tersebut mencatatkan jumlah mangsa banjir yang tinggi.

Katanya, melalui maklumat yang diterima daripada anggotanya di sini, kebanyakan mangsa banjir berpindah sendiri berdasarkan pengalaman mereka ketika menghadapi banjir pada 2011.

Tambahnya, pengalaman menghadapi banjir di negeri ini pada 2006 dan 2011 membolehkan JBPM Johor memiliki dua bot amfibia yang boleh berfungsi di air dan darat.

"Bagi kami, bot tidak menjadi satu masalah kerana setiap jabatan juga mempunyai bot, tetapi apa yang penting hanya penyelarasan dan penggunaan bot itu sahaja," katanya lagi.

Sultan Johor ziarah, bantu mangsa banjir

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

SULTAN Ibrahim Iskandar menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Mangsa Banjir Kampung Pogoh 2 dekat Segamat, Johor, kelmarin.

SEGAMAT 6 Dis. - Rasa terkejut disusuli keceriaan jelas terpancar pada wajah mangsa banjir di tiga pusat pemindahan di daerah ini apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mencemar duli melawat dan melihat sendiri keadaan mereka di sini semalam.

Baginda meluangkan masa selama kira-kira sejam di setiap tiga pusat pemindahan tersebut selain menyampaikan bantuan dan turut beramah mesra dengan rakyat jelata yang dihimpit kesusahan.

Sultan Ibrahim tiba di Pusat Pemindahan Mangsa Banjir Kampung Pogoh 2 dekat sini, kira-kira pukul 3.40 petang dan meluangkan masa kira-kira 15 minit.

Baginda menyampaikan bantuan barangan dan wang tunai kepada 26 keluarga mangsa banjir yang mendapatkan perlindungan di situ sejak empat hari lalu sebelum berangkat melawat serta menyampaikan bantuan sama di pusat pemindahan di Paya Dalam dan juga Gemereh.

Sementara itu, Penghulu Mukim Pogoh, Hamzah Abu Bakar berkata, sehingga hari ini, sebanyak 135 mangsa banjir dari kampung berkenaan masih mendapat perlindungan di pusat pemindahan tersebut.

Mangsa, katanya, terdiri daripada 56 lelaki dewasa, 46 perempuan dewasa, masing-masing 15 dan 17 kanak-kanak lelaki dan perempuan serta seorang bayi.

"Kampung ini sentiasa dilanda banjir dan semua yang ditempatkan di sini sama ada rumah mereka ditenggelami air atau terputus hubungan. Setakat ini keadaan beransur pulih cuma paras air agak tidak menentu berikutan arus yang membawa air ke Sungai Muar," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Dalam pada itu, penerima bantuan, Azizah Mat Tap, 63, berkata, dia gembira dengan kehadiran Sultan Johor yang mencemar duli melawat mangsa banjir di situ.

Katanya, rakyat sepertinya amat terharu dengan keprihatinan ditunjukkan baginda ketika mereka berdepan musibah banjir.

"Rumah didiami keluarga saya terputus hubungan sejak empat hari lalu berikutan banjir dan saya berharap banjir akan segera pulih supaya dapat pulang segera ke rumah," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Redah paya tangkap PATI

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

ABU Bakar Sidek Hasan (dua dari kiri) menunjukkan warga Indonesia yang diberkas ketika melarikan diri ke dalam paya dalam Ops Bersepadu 6P di Melaka, malam kelmarin.

MELAKA 6 Dis. - Seorang anggota penguat kuasa Imigresen terpaksa berenang dalam paya sebelum menangkap seorang warga Indonesia yang cuba meloloskan diri dalam Ops Bersepadu 6P di sekitar bandar raya ini malam tadi.

Lelaki berusia 53 tahun itu bersembunyi dalam paya itu kerana cuba mengelak daripada ditahan sewaktu 14 anggota penguat kuasa Imigresen menyerbu sebuah rumah di Bachang dekat sini, kira-kira pukul 2.30 pagi.

Timbalan Pengarah imigresen negeri, Abu Bakar Sidek Hasan berkata, kelibat lelaki tersebut berjaya dikesan salah seorang anggota penguat kuasa ketika suspek cuba melarikan diri dengan memasuki paya berkenaan.

Menurutnya, penguat kuasa terlibat turut memasuki paya tersebut hampir setengah jam sebelum berjaya mencekup lelaki berkenaan.

Beliau berkata, lelaki itu adalah antara 40 warga asing yang diperiksa yang mana 24 daripada mereka ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Operasi yang diketuai oleh Mohd. Khairulnizam Che Ahmad itu bergerak dari rumah ke rumah dengan lokasi tumpuan di Serindit, Bachang, Cheng Ria dan Bandar Hilir yang menjadi lokasi kediaman warga asing.

"Kesemua mangsa berusia antara 20 hingga 53 tahun ditahan dalam operasi yang bermula pukul 6 petang hingga 5 pagi," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Imigresen negeri di Ayer Keroh hari ini.

Abu Bakar berkata, operasi dilakukan setelah mendapat maklumat daripada orang ramai mengenai kebanjiran pendatang asing yang mendiami beberapa rumah di sekitar bandar ini.

Menurutnya, sebanyak 24 suspek yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan sembilan wanita warga Indonesia, lima lelaki Bangladesh dan dua lelaki India.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dilakukan mereka adalah melanggar syarat pas (13 orang), tiada permit yang sah serta tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan (lapan orang) dan memalsukan permit kerja (tiga orang).

Menurutnya, lapan lelaki pula dibebaskan hari ini setelah majikan mereka menyerahkan semua dokumen sah.

MPAG musnahkan 1,542 iklan ceti haram

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

Anggota penguata kuasa Majlis Perbandaran Alor Gajah menanggalkan poster dan iklan ah long dalam Ops Poster Ah Long di Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini.

ALOR GAJAH 6 Dis. - Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) memusnahkan kira-kira 1,542 iklan ceti haram atau ah long yang digantung dan ditampal di sekitar daerah ini baru-baru ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Abu Bakar Abdul berkata, dalam Ops Poster Ah Long itu, penguat kuasa MPAG telah menjalankan pemeriksaan di beberapa lokasi sekitar daerah ini terutama tempat tumpuan orang ramai.

Menurutnya, operasi itu akan dilakukan secara berterusan bagi mengelak masyarakat terjerumus dan menjadi mangsa kegiatan itu selain memastikan keindahan bandar Alor Gajah terpelihara.

"Biarpun kegiatan itu seakan tidak pernah berhenti, namun MPAG bersama pihak polis akan berusaha membanteras dan menghapuskan iklan ah long di daerah ini.

"Hasrat kita bukan hanya mahu mengekang masyarakat daripada menjadi mangsa kegiatan ini, malah juga mahu memastikan keindahan daerah ini kerana sindiket ah long ini sewenang-wenangnya menampal iklan pada kemudahan awam," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, tindakan menggantung iklan seumpama itu tidak dibenarkan dan MPAG boleh mengambil tindakan mengikut Undang-Undang Kecil Iklan MPAG 2010 di bawah kesalahan Iklan Dipamerkan Tanpa Lesen.

Katanya, iklan yang dipamerkan tanpa lesen itu boleh dikenakan kompaun sehingga RM250 seunit dan juga penalti tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi setahun.

Beliau berkata, sindiket berkenaan diingatkan supaya tidak mempamerkan iklan mereka di daerah ini kerana pihak MPAG akan segera memusnahkannya.

"Saya mengingatkan kepada golongan ah long dan pekerja mereka supaya tidak lagi mempamerkan iklan haram di sekitar daerah ini kerana kita akan segera mengekangnya," katanya.

Abu Bakar berkata, semua nombor telefon yang dipamerkan itu diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk disiasat dan disenaraihitamkan.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat sekiranya terlihat mana-mana individu menampal poster iklan ah long supaya pihak berkuasa boleh mengambil tindakan.

96 komputer judi dirampas dalam Ops Dadu

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

ABD. Wahab Harun (dua dari kanan) memeriksa premis perjudian menggunakan internet di Taman Orkid Jalan Bypass, Port Dickson, Negeri Sembilan, malam kelmarin.

TELOK KEMANG 6 Dis. - Sebanyak 96 unit komputer yang digunakan untuk kegiatan judi internet berjaya dirampas dalam Ops Dadu yang dijalankan oleh polis di tiga premis kafe siber di sekitar daerah Port Dickson malam tadi.

Operasi yang bermula pukul 8.45 malam hingga 12.30 tengah malam itu melibatkan dua premis di pekan Linggi dan sebuah di Taman Orkid Jalan Pintasan Port Dickson.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Abd. Wahab Harun berkata, ketika serbuan dijalankan terdapat 36 pelanggan berusia daripada 19 hingga 61 tahun sedang leka bermain judi.

"Kesemua mereka merupakan penduduk tempatan yang berasal dari dari daerah ini malah terdapat juga pelanggan dari Lubok China, Melaka.

"Polis turut merampas wang tunai sebanyak RM958 yang digunakan sebagai wang taruhan bagi kegiatan ini di ketiga-tiga premis yang diserbu," katanya.

Menurut Abd. Wahab, ketiga-tiga premis yang diserbu itu dipercayai menjalankan kegiatan haram berkenaan sejak beberapa bulan lalu sebelum aktiviti mereka dihidu oleh polis hasil risikan di pusat siber itu.

Beliau berkata, kesemua barang rampasan dibawa ke stor simpanan barangan kes bagi tujuan pendakwaan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 4B (A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, katanya.

Bagi menyekat kegiatan judi siber ini kata beliau polis akan mengguna pakai Seksyen 21A akta yang sama bagi meminta pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik di premis tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Jangan pakai topi 'kura-kura'

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

Oleh FAJAR NUR SURIA AZMAN
pengarang@utusan.com.my

S. JEGAN (kiri) dan Collin Peter Pareira (kanan) menunjukkan tanda bagus selepas memakaikan topi keledar kepada pengguna motosikal sempena kempen keselamatan jalan raya di Batu Uban, Pulau Pinang, kelmarin.

PULAU PINANG 6 Dis. - Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) kecewa dengan sikap penunggang motosikal yang masih menggunakan topi keledar yang tidak mendapat kelulusan SIRIM Berhad (SIRIM) meskipun pelbagai kempen dijalankan.

Kajian JKJR mendapati masih ramai penunggang menggunakan topi keledar berbentuk separuh atau 'kura-kura' dan topi mainan kanak-kanak ketika berada di jalan raya.

Pengarah JKJR Pulau Pinang, S. Jegan berkata, topi keledar sedemikian tidak mampu untuk melindungi bahagian kepala sekiranya penunggang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

"Topi keledar yang digunakan perlu mendapat kelulusan SIRIM dan selamat untuk melindungi bahagian kepala, justeru topi keledar separuh ini langsung tidak sesuai di jalan raya.

"JKJR telah bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk membuat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap premis perniagaan yang menjual topi keledar jenis itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya anjuran JKJR Pulau Pinang dan Allianz Malaysia Berhad di sini semalam.

Dalam program tersebut, sebanyak 50 topi keledar, 600 pelekat pantul cahaya dan 20 kerusi keselamatan khas untuk kanak-kanak diedarkan kepada orang ramai.

Sementara itu, Pengurus Cawangan Utara Allianz Malaysia Berhad, Collin Peter Pereira menjelaskan, program berkenaan merupakan kali keempat diadakan pihaknya.

"Ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat kami kepada masyarakat dengan memberi pendidikan tentang keselamatan jalan raya kepada orang ramai.

"Aspek keselamatan sering dilupakan terutama oleh penunggang motosikal, jadi kami mengambil langkah untuk menukar topi keledar yang tidak selamat kepada topi keledar baharu yang mendapat kelulusan SIRIM," ujarnya.

PUO beri saingan di Eco-Challenge

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

PENGARAH PUO, Md. Nor Yusof mendengar penjelasan daripada seorang pelajar mengenai projek tahun akhir mereka pada Pameran dan Pertandingan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (MEDSPEC) 2013 yang dianjurkan di Ipoh, Perak, baru-baru ini.

IPOH 6 Dis. - Politeknik Ungku Omar (PUO) bersedia memberikan saingan hebat, sekali gus mengekalkan kejuaraan pada pertandingan Perodua Eco-Challenge 2013 yang akan berlangsung di Litar Go-Kart Shah Alam pada 12 hingga 14 Disember ini.

Pegawai Perhubungan Awam Eco-Challenge PUO, Zarina Sulaiman berkata, keyakinan itu berdasarkan prestasi cemerlang PUO yang telah merangkul kejuaraan sebanyak tiga kali dalam acara yang dipertandingkan sejak tahun 2009.

Katanya, pertandingan kali ini bukan sahaja tertumpu kepada aspek teknikal yang melibatkan pelajar mekanikal semata-mata tetapi aspek pemasaran dalam kalangan pelajar perdagangan.

"Bermula tahun lalu, format pertandingan ini telah ditukar iaitu pemarkahan bukan sahaja merangkumi aspek teknikal semata-mata tetapi juga aspek pemasaran.

"Melalui pertandingan ini, pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan pelajar Fakulti Perdagangan akan bersama-sama menghasilkan produk yang baik, sekali gus memasarkannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zarina berkata, satu majlis pelancaran program akan diadakan di Perodua Cawangan Ipoh, Jalan Lahat pada 9 Disember ini.

Katanya, acara yang bermula pada pukul 9 pagi itu turut menampilkan kemunculan istimewa kumpulan Hyper Act.

"Segala aktiviti, program dan makluman berkenaan pertandingan itu boleh layari laman sosial Facebook di http://www.facebook.com/facepuo dan instagram pecpuo," ujarnya.

Sumbangan kerusi roda ringankan beban Othman

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

ABDULLAH Mohd. Noor (duduk) dan Mariam Nawawi (berdiri, kiri) serta Roslan Mat (berdiri, tiga dari kiri) mendengar penerangan Othman Mohd. Akil tentang penyakitnya ketika menyampaikan sumbangan kepada beliau di Flat Ampang Jajar, Butterworth, baru-baru ini.

BUTTERWORTH 6 Dis. - Kesukaran Othman Mohd. Akil, 49, untuk bergerak aktif selepas kaki kiri dipotong akibat menghidap diabetes lapan bulan lalu terubat apabila menerima sumbangan kerusi roda kelmarin.

Kerusi roda berharga RM4,000 yang disumbangkan oleh seorang pengusaha stesen minyak di Mak Mandin, di sini, Abdullah Mohd. Noor membolehkan bapa kepada lima anak itu menjalani kehidupan harian dengan lebih selesa.

Othman berkata, sebelum kaki kirinya dipotong, dia bekerja sebagai penjual ubat tradisional selepas berhenti kerja dengan sebuah syarikat swasta, tiga tahun lalu.

"Kaki kiri saya terpaksa dipotong selepas dinasihatkan oleh pakar perubatan kerana difahamkan telah dijangkiti kuman dan boleh membahayakan nyawa.

"Sebelum ini, satu jari kaki lebih awal dipotong yang kemudiannya disusuli pergelangan kaki hingga membataskan pergerakan dan menyukarkan saya menguruskan diri dan keluarga," katanya semasa menerima kunjungan Abdullah di kediamannya di sini semalam.

Yang turut hadir Pengurus Shell Kawasan Utara, Mariam Nawawi dan Pegawai Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Inspektor Roslan Mat.

Othman berkata, bantuan itu disifatkan tepat pada masa, sekali gus membantunya yang kini hanya bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Zakat Pulau Pinang.

Sementara itu Abdullah, berkata, dia terpanggil untuk menyumbang kerusi roda dan peralatan keperluan lain seperti lampin pakai buang dan makanan selepas dimaklumkan kesusahan yang ditanggung Othman.

"Kerusi roda ini diharap akan meringankan beban ahli keluarga Othman kerana sebelum ini, dia terpaksa mendapatkan bantuan untuk bergerak di dalam rumah.

"Malah, kerusi roda ini turut memudahkan pergerakannya untuk mencari rezeki menjual ubat bagi menyara keluarganya," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


PM umum bantuan RM500 kepada keluarga mangsa banjir

Posted: 07 Dec 2013 01:18 AM PST

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian bantuan sebanyak RM500 bagi setiap keluarga mangsa banjir yang sedang melanda Pantai Timur dan Johor.

Ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, beliau juga mahukan kesemua bank membenarkan mangsa banjir terbabit menangguhkan pembayaran balik pinjaman mereka. - UTUSAN ONLINE

Mangsa banjir di Terengganu naik mendadak petang ini

Posted: 07 Dec 2013 12:49 AM PST

Oleh RADHUAN HUSSAIN

KUALA TERENGGANU 7 Dis. - Meskipun tiada hujan dan cuaca mendung, jumlah mangsa banjir di negeri ini mencatatkan peningkatan mendadak iaitu sebanyak 22,699 orang daripada 5,190 keluarga yang ditempatkan di 73 pusat pemindahan.

Pertambahan itu dicatatkan setakat pukul 3.30 petang ini berbanding 7,172 mangsa daripadsa 1,743 keluarga pada sebelah pagi.

Menurut laporan portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, kebanyakan mangsa adalah di daerah Kemaman yang mencatatkan sebanyak 18,576 orang daripada 4,177 keluarga dan mereka ditempatkan di 43 pusat pemindahan di daerah berkenaan.

Jumlah itu naik mendadak berbanding hanya sebanyak 2,778 orang daripada 633 keluarga di Kemaman yang ditempatkan di 31 pusat pemindahan di daerah itu setakat pagi tadi.

Diikuti Dungun, seramai 4,016 orang melibatkan 982 keluarga yang ditempatkan di 27 pusat pemindahan, 64 orang daripada 17 keluarga (Hulu Terengganu), enam orang daripada satu keluarga (Kuala Terengganu) manakala 37 mangsa daripada 13 keluarga di daerah Marang. - UTUSAN ONLINE

JLKN tempatkan briged sukarelawan bantu mangsa banjir

Posted: 06 Dec 2013 11:48 PM PST

KUANTAN 7 Dis. - Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) telah menempatkan pasukan sukarelawan jabatan itu iaitu Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) di negeri terjejas teruk akibat banjir iaitu di Pahang dan Johor.

Pengarah Bahagian Sukarelawan dan Alumni JLKN, Leftenal Kolonel Rosli Tahir berkata, pasukan itu akan melakukan kerja-kerja pembersihan di pusat pemindahan banjir selain turut membantu mengangkat barang dan memasak. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Kuasa bakal berakhir

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

'Musuh tidak pernah berhenti'

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Banjir belum surut di 5 negeri

Posted: 06 Dec 2013 11:03 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved