Jumaat, 15 November 2013

Utusan Online - Pendidikan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Pelajar cemerlang UPSR terima hadiah Mini Cooper

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

Siti Nur Fatini Zulaikha bersama ayahnya, Zukila Deraman dan ibu, Nor Aishah Mahmud meraikan kejayaannya mendapat 5A dalam UPSR di Sekolah Kebangsaan Zainab 1, Kota Bharu, kelmarin.

KOTA BHARU 15 Nov. - Seorang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Siti Nur Fatini Zulaikha Zukila tidak menyangka menerima hadiah istimewa sebuah kereta jenis Mini Cooper yang bernilai RM210,000 atas kejayaannya mencatatkan keputusan 5A dalam peperiksaan tersebut.

Lebih istimewa, hadiah itu diserahkan sendiri bapanya, Zukila Deraman, 36, pagi semalam sebaik sahaja keputusan peperiksaan tersebut diumumkan di Sekolah Kebangsaan Zainab 1 di sini.

Zukila yang juga pembekal ayam terkenal di bandar ini membuat kejutan selepas memandu sendiri kereta tersebut untuk diserahkan kepada anaknya itu di sekolah berkenaan kira-kira pukul 11 pagi.

Kisah hadiah kereta mewah tersebut menjadi topik perbualan hangat di laman sosial sejak semalam.

Sementara itu, Siti Nur Fatini yang ditemui di rumahnya di Taman Tanjung Chat dekat sini hari ini berkata, ayahnya benar-benar membuat kejutan dengan mengotakan janji menghadiahkan kereta itu kepadanya.

"Saya pernah memberitahu ayah ingin memiliki kereta tersebut kerana bentuknya yang comel pada awal tahun ini dan pada pertengahan tahun, ayah berjanji akan menghadiahkan kereta tersebut jika memperoleh 5A dan ayah benar-benar mengotakan janji itu semalam.

"Saya sedar saya tidak mungkin dapat memandu kereta ini kerana masih belum mencapai usia untuk memiliki lesan tetapi sekurang-kurangnya saya boleh mengaku kereta itu kepunyaan saya.

"Hadiah istimewa ini juga akan dijadikan perangsang sekurang-kurangnya untuk mencapai kejayaan yang lebih besar selepas ini," katanya.

Siti Nur Fatini berkata, dia berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut selepas bapanya berjanji menghadiahkan kereta idamannya.

Walau bagaimanapun, Siti Nur Fatini memberitahu, kereta tersebut kini tidak ada di rumahnya kerana masih dalam proses dokumentasi untuk pembelian.

Dalam pada itu, ketika kunjungan Utusan Malaysia ke rumahnya, ayah dan ibunya tidak berada di rumah tersebut.

Dapat 5A walaupun ulang alik 500km ke hospital

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

AINEEN Sofea Azhari menunjukkan sijil penghargaan yang diterimanya selepas mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR di Shah Alam, Selangor, kelmarin.

KOTA BHARU 15 Nov. - Biarpun terpaksa berulang alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) yang terletak lebih 500 kilometer dari rumahnya di Puchong, Selangor, namun itu tidak menghalang seorang murid yang menghadapi masalah saraf tunjang kongenital mencipta kejayaan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Murid Sekolah Kebangsaan Seksyen 1, Bandar Kinrara, Puchong, Selangor, Aineen Sofea Azhari, 12, mencatatkan keputusan 5A dalam peperiksaan tersebut walaupun terpaksa 'ponteng' sekolah semata-mata untuk mendapatkan rawatan.

Dia yang dikategorikan sebagai pelajar kurang upaya (OKU) menghadapi masalah tersebut sejak dilahirkan dan menjalani rawatan susulan bermula tahun 2002 sehingga sekarang.

Sepanjang tempoh tersebut, Aineen Sofea terpaksa mendapatkan rawatan susulan dengan pakar neurosains, pediatrik dan ortopedik bagi mengatasi masalah berkaitan.

Penasihat Kelab Neurosains, Jabatan Neurosains Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Jafri Malin Abdullah melahirkan rasa gembira di atas kejayaan murid itu.

Katanya, murid tersebut menunjukkan iltizam dan semangat yang tinggi biarpun dalam tempoh pembesarannya terpaksa berulang alik dari Puchong ke Kota Bharu bagi menjalani rawatan termasuk pelbagai pembedahan di HUSM.

''Namun, di atas semua dorongan dan perhatian yang diberikan termasuk keluarga dan warga hospital, dia mampu menjalani kehidupan sebagaimana orang lain," katanya.

Semalam, Aineen Sofea menerima penghargaan daripada Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Mahmud Karim di Jabatan Pelajaran Negeri Selangor di Shah Alam.

Sebagai murid yang menghadapi masalah Spinal Dysraphism, kata Jafri Malin, kejayaan memperoleh 5A sungguh membanggakan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Bahrain kalahkan Malaysia 1-0

Posted: 15 Nov 2013 09:13 AM PST

[unable to retrieve full-text content]KUALA LUMPUR 16 Nov - Malaysia kalah 0-1 kepada Bahrain dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2015 Kumpulan D hasil jaringan Ismail Abdul Latiff pada minit ke-71. - Utusan-

Jangan cepat panik - Kim Swee

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Ong Kim Swee (berdiri) yakin anak-anak buahnya mampu memberi saingan terbaik untuk mempertahan pingat emas pada Sukan SEA Myanmar 2013 bulan depan.

KUALA LUMPUR - Dibaham 5-0 oleh Jordan dalam aksi persahabatan tidak perlu disambut dengan nada panik menjelang Sukan SEA Myanmar 2013 bulan depan.

Menurut jurulatih skuad Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee, itu bukanlah persembahan sebenar anak-anak buahnya kerana ramai pemain utama mengalami kecederaan ketika itu.

Katanya, mereka semua akan lebih bersedia sebaik sahaja bermulanya Sukan SEA nanti dalam misi mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada dua edisi lalu iaitu di Laos dan Indonesia.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan bahawa Jordan adalah lawan yang kuat dan berharap kekalahan itu akan menjadi pedoman terbaik kepada para pemainnya untuk memperoleh sesuatu berguna daripada dua perlawanan persahabatan di Amman.

''Kebanyakan pemain saya turunkan terdiri daripada mereka yang berada dalam senarai simpanan memandangkan kebanyakan pemain utama dilanda masalah kecederaan dan terbabit dengan skuad kebangsaan (Harimau Malaya).

''Harap semua pihak jangan cepat panik dengan dua kekalahan ini kerana tujuan kami ke sana adalah untuk mendapatkan pendedahan bagi pemain-pemain secara keseluruhan walaupun keputusannya mungkin mengecewakan.

''Satu lagi, kita kena ingat apabila menentang sebuah pasukan seperti Jordan, salah sebuah pasukan terbaik di Asia Barat. Kita tidak boleh bandingkan dengan tahap pasukan-pasukan di benua Asia Tenggara, jelas nampak perbezaan ketara jika kita tidak turunkan skuad terbaik," katanya ketika dihubungi sebaik sahaja tiba di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam aksi pertama pada 12 November, Harimau Muda kalah 1-3 kepada Jordan sebelum dibelasah 0-5 dalam aksi persahabatan kedua, Khamis lalu.

Jika dibandingkan dengan jentera serangan dan tengah, pertahanan menjadi bahagian paling meruncing apabila kehilangan Mohd. Fadhli Shas dan Nik Shahrul Mohd. Azim yang dibelenggu kecederaan.

Itu menjadi perkara paling merisaukan Kim Swee kerana dua pemainnya yang lain di bahagian pertahanan tengah iaitu Mohd. Amer Saidin dan Wan Amirzafran Wan Nadris baru sahaja pulih daripada masalah kecederaan.

Kedua-dua pemain tersebut, Amer dan Wan Amirzafran jelas beraksi sedikit buruk apabila gagal mengekang jentera serangan Jordan di samping sering kali salah faham dengan penjaga gol, Mohd. Farhan Abu Bakar di dalam kotak penalti.

''Masalah ini sering kali menimpa kepada pemain-pemain saya, kesilapan yang serupa dan mudah terus dilakukan, sudah tiba masanya mereka semua bersikap serius kerana Sukan SEA kurang sebulan dari sekarang.

''Memang ada segelintir pemain saya kurang menunjukkan kesungguhan, sikap ini tidak boleh berlaku lagi dan saya harap mereka semua dapat mengambil sesuatu yang berguna dalam kedua-dua perlawanan di Jordan bagi menghadapi saingan Sukan SEA," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Mahkamah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Pengawal keselamatan Filipina mengaku samun kedai emas

Posted: 15 Nov 2013 12:42 AM PST

Oleh SITI NOORALINA AHMAD

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Seorang pengawal keselamatan warga Filipina mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merompak 93 utas rantai emas bernilai RM150,000 milik kedai emas Tomei di Setapak menggunakan senjata api jenis Revolver. 38, bulan lalu.

Hakim Azman Mustapha menerima pengakuan Rakib Asla, 27, dan menetapkan 19 Disember depan untuk menjatuhkan hukuman bersama rakan sejenayah tertuduh, Hussin Jalain, 29, yang turut mengaku bersalah menyimpan harta curi dan tiada dokumen perjalanan. - UTUSAN ONLINE

Bekas guru rogol, cabul murid kekal dipenjara, sebat

Posted: 14 Nov 2013 11:39 PM PST

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA 15 Nov. - Seorang bekas guru kekal menjalani hukuman penjara 12 tahun dan sebatan tujuh kali kerana merogol dan mencabul seorang muridnya yang masih di bawah umur dalam makmal sains sekolah tersebut, empat tahun lalu.

Perkara itu berikutan keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Azahar Mohamed yang menolak rayuan akhir Yek Hock Soon, 30.

Hukuman berkuat kuasa hari ini.

Kuorum berkenaan berpuas hati bahawa mangsa merupakan saksi yang boleh dipercayai dan keterangannya berhubung kejadian rogol dan cabul adalah munasabah. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


2,600 hektar untuk bioteknologi

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

KUANTAN 15 Nov. - Kerajaan negeri menyediakan kawasan seluas 2,600 hektar yang telah dibangunkan sebagai taman khas untuk pembangunan bioteknologi.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, terdapat enam projek mega yang akan dan sedang diusahakan di kawasan berkenaan, membabitkan pelaburan kira-kira RM2 bilion.

Beliau berkata, antara projek berkenaan adalah Taman Industri Halal di Gambang yang membabitkan pelaburan berjumlah RM1.1 bilion, diusahakan bersama oleh tujuh syarikat di kawasan seluas 80 hektar.

"Projek ini dirancang bagi memastikan semua kawasan yang berada dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mendapat manfaat dan dapat dibangunkan.

"Projek ini juga bukan saja membawa pulangan lumayan kepada pelabur, bahkan menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Konvensyen Pelaburan Bioteknologi Pahang 2013 dan Pelancaran Pelan Strategik Ekonomi Pahang 2011-2015 di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Razak.

Yang turut hadir Duta Besar Rusia, Lyudmila G Vorobyeva; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif.

Adnan berkata, antara projek lain yang dibangunkan adalah Ladang Penanaman Nanas Bersepadu Rompin, Taman Gaharu, Chegar Perah, Lipis; Kuantan Biopark, Gebeng dan Zon Perladangan Burung Walit, Rompin.

Dalam pada itu beliau berkata, negeri ini akan terus menjadi penyokong utama dasar bioteknologi negara yang kini telah memasuki fasa kedua (2011-2015).

"Di sini saya juga ingin mengumumkan bahawa kerajaan negeri Pahang bersedia untuk menjadi tuan rumah Konvensyen BioMalaysia pada 2015," katanya.

Alam Flora perkenal jentera pembersihan pantai

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

Mohd. Zain Hassan (dua dari kanan) melihat jentera pembersihan pantai yang digunakan di Pantai Teluk Chempedak selepas majlis perasmian jentera baharu berkenaan di Kuantan, semalam.

KUANTAN 15 Nov. - Syarikat konsesi, Alam Flora Sdn. Bhd. memperkenalkan jentera pembersihan pantai baharu yang secara rasminya memulakan operasinya di Pantai Teluk Chempedak di sini semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Zain Hassan berkata, jentera itu mampu menjalankan kerja-kerja pembersihan secara teliti dan cekap serta boleh memungut segala bentuk sampah sarap di atas permukaan dan yang tertanam di pasir sehingga kedalaman 15 sentimeter dari permukaan pasir.

"Dengan kelajuan yang selamat iaitu kira-kira lapan kilometer sejam iaitu kelajuan efektif untuk kutipan sisa, jentera ini akan dapat membersihkan pelbagai jenis sisa termasuk kaca pecah, plastik, puntung rokok, tin minuman, rumpai air, bangkai ikan dan ranting kayu.

"Jentera ini yang bernilai kira RM300,000 sebuah hanya perlu dikendalikan seorang pekerja sahaja dan akan beroperasi setiap hari kecuali hari Ahad bermula dari pukul 8 pagi hingga 3 petang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian jentera baharu itu yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Datuk Ab. Rahim Md. Noor di sini.

Yang turut hadir Pengarah PPSPPA, Mohd. Nor Afandi Abdul Aziz.

Mohd. Zain berkata, pantai Teluk Chempedak di sini, akan menjadi perintis penggunaan jentera baharu itu sebelum digunakan di kawasan pantai lain.

"Kita yakin melalui penggunaan jentera ini akan dapat memperindahkan lagi kawasan pantai Teluk Cempedak yang mana sering mendapat tumpuan orang ramai sama ada penduduk tempatan ataupun pelancong asing," katanya.

Sementara itu, Ab. Rahim berkata, penggunaan jentera itu akan dapat mengurangkan tempoh masa yang diambil untuk membersihkan lapan buah pantai dari dua jam bagi satu kilometer kepada hanya setengah jam.

Selain itu, katanya, jentera pembersihan pantai itu juga dapat membersihkan lebih satu kilometer sehari berbanding hanya 800 meter yang dijalankan oleh seorang pekerja.

"Pihak PPSPPA berharap penggunaan jentera baharu ini dapat menyelesaikan masalah sisa-sisa sampah di tepi pantai," katanya.

Baitul Husna Bukit Sekilau akan berpindah akhir tahun

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

Sebahagian daripada anak yatim Baitul Husna Bukit Sekilau bergambar di hadapan rumah anak yatim berkenaan yang akan berpindah ke lokasi yang belum ditentukan dalam tempoh terdekat.

KUANTAN 15 Nov. - Baitul Husna Bukit Sekilau (BHBS) yang merupakan sebuah rumah kebajikan menempatkan anak-anak yatim perempuan akan berpindah dari Bukit Sekilau di sini, ke suatu lokasi yang masih belum ditentukan.

Setiausaha BHBS, Hasanin Ahmad berkata, pihaknya menerima sepucuk surat daripada pihak Masjid Lama Bukit Sekilau yang memaklumkan kerja-kerja pembesaran masjid itu akan dibuat pada awal Januari tahun depan.

"Pihak masjid juga memaklumkan lokasi rumah kebajikan ini adalah dalam kawasan tanah milik masjid berkenaan, jadi tanpa ingin mengeruhkan keadaan kami membuat keputusan untuk berpindah ke lokasi lain.

"Kami menjangkakan paling lewat akhir Disember ini kami akan berpindah, sekarang kami sedang mencari lokasi yang sesuai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

BHBS mula beroperasi pada 21 Mac 2010 dengan pengambilan 10 orang penghuni ketika itu.

Sehingga kini, 20 penghuni menetap di rumah kebajikan itu yang penubuhannya bertujuan memberikan penempatan yang lebih selesa kepada anak-anak yatim dan miskin.

Hasanin berkata, pihaknya telah menerima beberapa tawaran mengenai lokasi baharu rumah kebajikan tersebut.

"Namun kita masih belum memilih dan buat keputusan, satu mesyuarat akan diadakan minggu hadapan untuk memilih lokasi yang sesuai.

"Kalau boleh kita tidak mahu lokasi yang terlalu jauh daripada Bukit Sekilau, ini bagi memudahkan urusan terutama persekolahan kerana kalau boleh kita tidak mahu penghuni rumah kebajikan ini bertukar sekolah," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


2 maut kereta api tergelincir

Posted: 15 Nov 2013 11:24 AM PST

NEW DELHI 16 Nov. - Sekurang-kurangnya dua orang terkorban manakala 38 lagi cedera apabila kereta api penumpang tergelincir di barat negara ini, awal pagi semalam.

Jurucakap kereta api Ak Jain berkata, keretapi yang mempunyai lapan kabin itu tergelincir berhampiran Nashik, kira-kira 150 kilometer dari utara Mumbai.

Dua kabin dilaporkan rosak teruk dan jumlah kematian kemungkinan meningkat kepada 14 orang apabila ramai yang mengalami cedera parah dalam kemalangan tersebut," katanya. - dpa

Abbas pujuk kembali berunding

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

Mahmoud Abbas bertemu dengan Imam Besar Universiti Al-Azhar, Sheikh Ahmed al-Tayeb di Kaherah ketika beliau melawat Mesir pada awal minggu ini. - AFP

BAITULMAQDIS 15 Nov. - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas akan memujuk anggota pasukan rundingan untuk kembali melakukan tugas mereka dalam rundingan damai dengan Israel.

Dalam wawancara bersama saluran televisyen Mesir, CBC, Abbas berkata, beliau memerlukan masa sekurang-kurangnya seminggu untuk memujuk semua wakil perunding Palestin kembali ke meja rundingan atau beliau terpaksa membentuk pasukan baharu.

Beliau berkata, tiada pencapaian yang besar dicapai dalam rundingan kedua-dua pihak setakat ini, namun beliau tetap akan memberi komitmen untuk meneruskan usaha terbabit dalam tempoh sembilan bulan seperti yang dipersetujui sebelum ini.

Pasukan perunding Palestin yang diketuai oleh Saeb Erekat dan Mohammed Shtayyeh kelmarin bertindak meletakkan jawatan sebagai membantah pembinaan penempatan haram Yahudi yang diluluskan oleh Israel pada bulan lalu, sekali gus menunjukkan usaha perjanjian damai Palestin-Israel semakin rapuh.

Dalam pada itu, Israel menyifatkan tindakan perunding Palestin meletak jawatan sebagai 'mencabuli' dicapai persefahaman kedua-dua pihak untuk menghidupkan semula rundingan damai pada Julai lalu selepas tertangguh selama lima tahun.

Ketua perunding Israel, Tzipi Livni dalam wawancara bersama Radio Tentera Israel berkata, perbuatan tersebut melanggar dan tidak sejajar dengan komitmen yang dinyatakan oleh mereka sebelum ini.

Bagaimanapun, Livni turut menyalahkan satu gabungan rakan kongsi Israel berhubung krisis terbaharu itu kerana cuba mensabotaj rundingan damai berkenaan.

Kenyataannya dipercayai merujuk kepada tindakan Menteri Perumahan Israel, Uri Ariel yang menyokong kuat usaha pembinaan penempatan haram Yahudi, menyiarkan tender pelan pembinaan hampir 20,000 pangsapuri di Tebing Barat dan 4,000 buah rumah di timur Baitulmaqdis pada hujung bulan lalu.

Penyiaran pelan pembinaan itu merupakan satu daripada langkah awal untuk proses pembinaan dan perancangan penempatan haram di kedua-dua kawasan terbabit.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu hanya mengetahui hal tersebut selepas pendedahan oleh pemantau penempatan Israel, Peace Now dan beliau mengarahkan agar pelan pembinaan berkenaan dihentikan selepas mendapat bantahan daripada ramai pihak termasuk sekutu kuatnya, Amerika Syarikat.

"Tujuan pelan pembinaan itu disiarkan adalah untuk menghalang Israel mencapai kata sepakat dengan Palestin.

"Akibatnya, mereka membuatkan kedua-dua negara tidak akan hidup dengan aman," jelas Livni. - DPA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Wasatiyyah dalam hubungan kaum

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

OLEH DR. ABDULLAH MD. ZIN
TAN SRI DR. ABDULLAH MD. ZIN ialah Pengerusi Institut Wasatiyyah Malaysia.

Pendekatan wassatiyyah yang disarankan agama Islam amat baik dalam mengurus negara yang mempunyai pelbagai kaum seperti Malaysia.

BAGI menentukan hala tuju ummah dalam menghayati 1Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan pendekatan Wasatiyyah iaitu pendekatan sederhana, pertengahan, berimbang dan adil.

Jika kita meneliti dari segi bahasa, perkataan wasatiyyah bererti sederhana, pertengahan, berimbang (al-tawazun) dan 'adil (al-adlu). Perkataan lain yang digunakan dalam bahasa Arab iaitu i'tidal bererti tidak melampau yakni tidak rigid atau ketat dan tidak pula longgar atau cuai.

Justeru Allah SWT mengisyarat penggunaan pertengahan dalam al-Quran, Surah al-Furqan, ayat 67 yang bermaksud "Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebih, dan tidak (pula) bakhil, dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian".

Begitu juga dalam athar yang sahih ada diriwayatkan "Sebaik-baik perkara itu ialah yang paling pertengahan". Pendekatan wasatiyyah adalah amat digalakkan oleh Islam, kerana melakukan perbuatan yang lebih daripada sepatutnya dianggap melampau, begitu juga perbuatan yang kurang daripada sepatutnya dianggap kecuaian. Justeru, orang Islam tidak boleh rigid dan ekstrem, begitu juga tidak boleh terlalu bebas tanpa ikatan dan sempadan.

Allah SWT telah memartabat umat Islam sebagai ummatan wasata iaitu umat pertengahan, terpilih, adil dan mampu memberi keterangan tentang kebenaran kepada manusia sejagat. Perkara ini dirakamkan dalam al-Quran, Surah al-Baqarah, ayat 143 yang bermaksud: "Dan demikianlah pula Kami jadikan kamu (wahai umat Islam) "ummatan wasata" (satu umat yang pilihan, cemerlang dan adil), supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu…"

Dalam ayat di atas Allah SWT menyebut umat Islam sebagai ummatan wasata (umat pertengahan). Para ulama tafsir menjelaskan umat pertengahan di sini ialah umat yang adil, mengamalkan cara hidup berdasarkan ajaran Islam secara tepat, tidak melampau lebih dan melampau kurang dalam urusan duniawi dan ukhrawi, tetapi seimbang antara kedua-duanya.

Pada zaman permulaan Islam, umat Islam masa itu masih terpengaruh dengan cara kehidupan dan amalan dua golongan masyarakat. Golongan pertama ialah orang-orang Yahudi dan Musyrikin yang cenderung kepada kepentingan duniawi dan jasmani semata-mata. Golongan kedua pula ialah orang-orang Nasrani dan al-Sabi'in yang lebih mementingkan kerohanian sehingga mengabaikan hal-hal keduniaan.

Apabila Islam datang ajarannya telah mengharmonikan dua keadaan yang ekstrem itu dengan meletakkan kepentingan urusan dunia dan akhirat, serta rohani dan jasmani secara seimbang dan bersepadu, selain memberi hak dan keperluan kemanusiaan secara adil.

Dalam surah al-Qasas, ayat 77, Allah SWT menggesa umat Islam supaya jangan melampau dalam melakukan ibadah semata-mata untuk akhirat dengan mengabaikan urusan dunia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang dianugerahkan Allah kepada mu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu".

Mengambil maklum dan iktibar daripada dalil-dalil ini, maka dapatlah ditegaskan bahawa wasatiyyah ialah pendekatan bersifat komprehensif yang sangat dituntut oleh Islam dan mampu menyelesaikan tuntutan serta permasalahan ummah.

Kepelbagaian (plurality) adalah satu realiti yang diakui oleh Islam. Kepelbagaian adalah sunnatullah yang harus diuruskan dengan penuh bijaksana, supaya ia boleh menjadi faktor kekuatan dalam masyarakat dan boleh membawa kepada kerukunan dan keharmonian hidup orang ramai.

Dalam sejarah tamadun Islam mencatatkan pengalaman yang sangat hebat dalam menangani masalah masyarakat majmuk. Sejak awal penubuhan negara Islam di Madinah, Rasulullah SAW membuat perjanjian untuk menangani kemajmukan supaya dapat diwujudkan kerukunan dalam masyarakat Madinah. Perjanjian ini dikenali sebagai Sahifah (Piagam) Madinah. Pada masa itu masyarakat Madinah merupakan masyarakat majmuk daripada Muhajirin dan Ansar (Aus dan Khazraj), kaum Yahudi terdiri daripada Bani Qainuqa', Bani Quraizah dan Bani Nadir dan orang-orang Arab menyembah berhala (musyrikin).

Kitab Sirah ada mencatatkan tidak kurang dari 12 ayat dalam Piagam Madinah yang mengatur kehidupan bersama dengan kaum Yahudi. Sebagai contoh salah satu fasal perjanjian itu: "Bangsa Yahudi dari Bani 'Auf merupakan kaum bersama orang-orang yang beriman (Muslim), bagi bangsa Yahudi agama mereka dan bagi umat Islam agama mereka…".

Sebenarnya semangat dan nilai-nilai pendekatan wasatiyyah telah lama diamalkan di Malaysia. Proses meninggikan syiar Islam dengan menggunakan pendekatan wasatiyyah terserlah dengan cara yang lebih jelas selepas mencapai kemerdekaan.

Asasnya, Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelas memperuntukkan agama Islam sebagai agama Persekutuan selari dengan sejarah dan amalan yang ada di negara ini. Walaupun begitu, agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman di mana-mana bahagian dalam Persekutuan.

Dalam Perlembagaan Persekutuan juga jelas menyatakan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tanpa melupakan peranan bahasa-bahasa lain; dan kedudukan istimewa kaum Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak tanpa menafikan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Persoalannya, mengapa orang boleh keluar dari mengikuti landasan yang sederhana, pertengahan dan berimbang ini kepada mengamalkan sifat-sifat keterlaluan, berlebih-lebihan, melampau dan ekstrem?

Dalam masyarakat Islam di Malaysia, walaupun majoritinya menganut fahaman sederhana, namun ia diasak dan dihimpit oleh dua aliran pemikiran iaitu aliran terlalu ketat dan aliran yang terlalu longgar. Bagi golongan pengetat agama mereka mengeluarkan pandangan dan hukum hakam yang berat serta melampau. Sementara itu, golongan yang terlalu longgar pandangan mereka amat terbuka dan kadang-kadang bertentangan dengan prinsip-prinsip asas Islam. Oleh itu umat Islam tersepit antara dua ekstrem; yang pertama terlalu ketat dan berlebih-lebihan dan yang keduanya terlalu longgar dan berlebih-lebihan liberal.

Di sinilah letaknya kepentingan konsep wasatiyyah perlu disebar-luaskan supaya berkembang dalam masyarakat sebagai satu manhaj untuk mencari jalan yang sederhana, berimbang dan pertengahan antara dua pandangan yang ekstrem tersebut.

Di dalam mengurus perhubungan kaum dan agama di Malaysia, kerajaan sejak merdeka lagi memilih untuk mengamalkan dasar integrasi berbanding asimilasi. Perbezaan antara kedua-dua dasar ini amat besar. Integrasi bermakna kepelbagaian dihormati, dikekalkan seterusnya diraikan.

Ia selaras dengan prinsip ajaran Islam yang menegaskan tiada paksaan di dalam beragama dan kepelbagaian adalah asas untuk kenal-mengenal sebagai satu kerahmatan. Berbeza dengan asimilasi yang menggabungkan perbezaan bagi tujuan mencipta identiti yang sama. Malaysia menolak dasar ini bagi membina negara kerana tidak bersesuaian dengan realiti di Malaysia.

Sebelum kita dapat melaksanakan wasatiyyah dalam hubungan kaum, kita perlu mewujudkan perpaduan ummah atau persaudaraan Islam terlebih dahulu sebagai asas kepada perpaduan nasional atau perpaduan antara kaum dan etnik di Malaysia. Orang Melayu-Islam perlu mengukuhkan perpaduan dan persaudaraan antara mereka, kemudian barulah diperkukuhkan perpaduan antara kaum.

Gelagat memualkan ahli Parlimen pembangkang berterusan

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

PAKATAN pembangkang ternyata tidak pernah mahu menghentikan tabiat mereka sejak pilihan raya umum 2008 untuk menjadikan Dewan Rakyat atau Bangunan Parlimen seolah-olah tempat untuk meneruskan agenda politik mereka.

Imbas kembali, pakatan pembangkang sejak awal lagi memang suka membuat kecoh apabila bersedia menghimpunkan penyokong mereka di Padang Merbok yang terletak tidak jauh dari Bangunan Parlimen tidak lama dulu bagi membantah majlis angkat sumpah ahli-ahli Parlimen selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Sebelum ini , selepas pilihan raya umum 2008, kita juga sudah saksikan Bangunan Parlimen dan Dewan Rakyat menjadi seolah-olah gelanggang politik bagi mereka.

Di dalam dewan mereka terpekik terlolong dan di luar dewan pula ada ketikanya mereka membawa penyokong-penyokong untuk mengadakan demonstrasi dan sidang akhbar. Sama ada hendak diakui atau tidak, berikutan tindakan mereka itu taraf eksklusif Bangunan Parlimen yang sepatutnya dihadkan kepada ahli-ahli Yang Berhormat (YB), sudah semakin terhakis.

Pemimpin-pemimpin pembangkang berbangga dengan tindakan itu kerana menganggap Parlimen adalah hak rakyat. Justeru bagi mereka, rakyat juga mempunyai hak untuk berkumpul di bangunan yang dianggap lambang demokrasi negara ini.

Minggu ini, sekali lagi, kita terpaksa menyaksikan adegan memualkan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang apabila mereka bukan sahaja membuat bising di dalam dewan tetapi juga membawa apa juga usul yang dilihat hanya bertujuan politik.

Walaupun memahami usul-usul yang mereka bawa akan ditolak oleh dewan kerana tidak memenuhi syarat dan sebagainya tetapi pemimpin pembangkang tetap berbuat demikian. Kesudahannya ia mencetuskan perbalahan dengan ahli-ahli Parlimen BN.

Akibatnya, wang dan masa yang seharusnya diperuntukkan untuk membahaskan masalah rakyat serta negara 'terbazir' begitu sahaja. Tetapi malangnya, pemimpin-pemimpin pembangkanglah yang juga selama ini mendabik dada kononnya mereka pejuang sebenar rakyat dan menuduh serta melakukan pelbagai tohmahan terhadap perbelanjaan oleh kerajaan BN.

Namun mereka tidak pula mahu mengkaji bagaimana tindakan mereka di Dewan Rakyat secara terang-terangan membazir masa dan wang rakyat.

Namun semua itu tidak perlu kita hairan kerana pakatan pembangkang sememangnya sejak dulu, kini dan selamanya akan berperangai bak kata pepatah 'Gajah di seberang nampak, kuman di depan mata tak nampak.'

Begitulah juga dengan sikap mereka di Dewan Rakyat sepatutnya kalau mereka selalu mendabik dada sebagai pejuang demokrasi, pembela nasib rakyat dan menentang segala pembaziran, maka pastikan sidang dewan itu berjalan dengan lancar.

Dari segi undang-undang dan hak, tidak salah untuk mana-mana ahli Parlimen mewakili mana-mana juga parti membawa apa-apa juga usul di Dewan Rakyat, tetapi apabila dewan memutuskan usul itu ditolak maka terimalah dengan hati terbuka. Janganlah membantah dengan melemparkan pelbagai tuduhan dan lebih malang lagi terjerit-jerit seperti kanak-kanak tadika tidak mendapat sesuatu barang yang diminta.

Bayangkan, perasaan rakyat yang melihat adegan ahli-ahli Parlimen tersebut di kaca televisyen. Mungkin bagi penyokong tegar, mereka akan menganggap pemimpin yang mereka sokong itu hebat boleh memaki hamun dan bertekak dengan wakil kerajaan di Parlimen.

Tetapi bagaimana dengan rakyat atas pagar yang berasa bosan dan mual dengan sikap pemimpin pembangkang yang tidak sudah-sudah berperangai seperti 'kaduk naik junjung' itu?

Dewan Rakyat bukan gelanggang politik, Bangunan Parlimen bukan medan pilihan raya dan lobi Parlimen bukan pentas ceramah.

Kita tidak pasti sampai bilakah perangai buruk pembangkang yang mahu berpolitik tidak mengira tempat dan masa ini akan berterusan. Apa yang pasti perbuatan mereka menunjukkan ketidakmatangan pembangkang untuk mencari modal politik dan publisiti murahan.

Seperti mana ditegaskan, tidak salah untuk pembangkang membawa apa juga isu atau usul di Parlimen sebab itu hak mereka tetapi pastikan ia bukan dengan matlamat untuk mencari keuntungan politik semata-mata.

Apa pun yang dilakukan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat mestilah berteraskan kepada usaha mengutamakan kepentingan rakyat.

Bagaimanapun apa yang kita saksikan, hanya terdapat segelintir ahli-ahli Parlimen pembangkang bertindak matang di dewan itu, selebihnya lebih banyak melakukan tindakan atas matlamat untuk menarik perhatian rakyat terhadap perbuatan mereka.

Adalah sesuatu yang malang, jika setiap tahun kita terpaksa menyaksikan gelagat membosankan ahli-ahli Parlimen pembangkang. Kalau merasakan politik yang dibawa oleh mereka hebat sangat maka gunakanlah pentas-pentas ceramah dan gelanggang pilihan raya untuk meraih sokongan rakyat.

Lebih mengecewakan kita, majoriti ahli Yang Berhormat daripada pembangkang memahami undang-undang dan peraturan. Namun apa yang kita saksikan golongan inilah paling banyak mencetuskan kekecohan seolah-olah mereka sahaja yang betul.

Sebab itulah, kita memuji ketegasan yang ditunjukkan oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam menangani sidang itu. Sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang, Pandikar Amin dilihat berusaha untuk menjadi 'hakim' yang adil, siapa yang salah tetap dikenakan tindakan.

Bagaimanapun bagi pembangkang ia belum mencukupi, kalau keputusan yang dibuat menyebelahi mereka, maka ucapan 'Terima kasih Tan Sri Yang Dipertua' dilafazkan, tetapi kalau keputusan sebaliknya, maka Yang Dipertua akan dianggap 'bias' (berat sebelah).

Apa yang diharapkan, rakyat akan menilai dengan sebaik-baiknya perbuatan mereka itu, biarlah penyokong tegar mereka menganggap mereka hebat, tetapi rakyat pasti memahami bahawa kehebatan seorang ahli politik bukan berdasarkan kemampuan mereka terpekik terlolong di Dewan Rakyat semata-mata.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Sahabat baik nyaris jadi menantu

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

PERTEMUAN dan perpisahan menjadi adat dalam kehidupan manusia. Ada yang terpisah kerana merajuk dengan keluarga dan ada juga yang sengaja ingin hidup berdikari.

Yang pasti jika ditakdirkan akan bertemu semula, maka terjadilah saat itu, tidak kira dalam keadaan apa sekalipun.

Itulah pengalaman yang dilalui oleh Faridah (bukan nama sebenar) dan anaknya Shahira (bukan nama sebenar).

Ingin tahu cerita lanjut, kita ikuti kisah ini yang diceritakan sendiri oleh Faridah untuk dikongsi dengan pembaca.

"Saya seorang penjawat awam mempunyai dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Anak perempuan saya sudah bekerja sementara yang lelaki masih belajar. Suami seorang ahli perniagaan.

"Sebagai ibu, saya hanya memberi nasihat kepadanya agar dia selalu mensyukuri anugerah yang Allah berikan kepadanya dan menjaga tingkah laku serta pergaulan.

"Sebab setiap manusia hanya memandang kecantikan luaran tetapi tidak kecantikan dalaman, hati dan jiwa, budi bahasa, sopan santun dan akhlak yang molek, itu yang selalu saya pesan kepadanya.

"Dalam setiap perkara anak-anak perlu diawasi biarpun mereka sudah dewasa. Begitu juga dengan saya yang sentiasa memerhati gerak-geri Shahira sehingga dia merasa kurang selesa kerana katanya saya terlalu cerewet.

"Saya bersara awal kerana mahu menumpukan perhatian terhadap keluarga dan saya faham benar kekalutan yang sering tercetus dalam kalangan mereka jika berjauhan dari pandangan orang tua.

"Itu juga yang terjadi kepada Shahira. Saya mula perasan dia ada menyimpan rahsia daripada saya. Tentunya yang saya syak tentang teman lelaki.

"Telefon bimbit sentiasa berada di tangan, itu yang saya nampak setiap kali dia berada di rumah.

"Naluri keibuan saya selalunya tepat. Bila ditanya dia hanya tersenyum sahaja. Ditanya katanya nantilah dulu ibu. Sampai masa, Ira akan ceritakan.

"Dalam diam, saya intip gerak-gerinya melalui seorang kenalan yang kebetulan bertugas setempat dengan anak saya.

"Benar firasat saya, Shahira menjalin hubungan dengan Hisham (bukan nama sebenar ), suami orang yang telah mempunyai empat orang anak yang telah dewasa.

"Terkejut saya bukan kepalang. Risau menjadi mainan hidup saya selepas itu. Apa yang perlu saya buat? Lalu saya meminta bantuan kenalan saya itu untuk mengintip gerak geri mereka dan memberi makluman kepada saya.

"Alhamdulillah, akhirnya saya dapat menghubungi Hisham dan meminta untuk berjumpa dengannya. Saya ajak suami bersama untuk menemui lelaki itu dengan harapan anak kami masih boleh diselamatkan.

"Saya juga pelik kenapa perlu Shahira berkawan dengan Hisham, sedangkan masih ramai lelaki bujang yang ada untuk dimiliki tetapi saya tidak bertanya Shahira akan perkara itu kerana tidak mahu urusan saya menyiasat terganggu.

"Saya menghubungi Hisham dan meminta untuk berjumpa. Dia setuju tanpa banyak alasan. Saya akan bersemuka demi kebaikan anak saya, akan tetapi jika jodoh mereka kuat, saya reda walaupun saya akan malu dengan jiran-jiran dan sanak saudara. Tak tahu mana nak letak muka jika jodoh mereka menjadi kenyataan.

"Pada hari yang dijanjikan, saya dan suami bertemu Hisham di sebuah restoran yang agak terkenal dan eksklusif di pinggir bandar bersama suami.

"Alangkah terkejutnya saya apabila melihat lelaki yang dikhabarkan bercinta dengan anak gadis saya itu adalah teman saya semasa di universiti dulu. Bukan saya sahaja yang terkejut, Hisham juga separuh pengsan apabila mendapat tahu Shahira adalah anak saya.

"Maafkan aku, Idah, aku tak tahu Shahira itu anak kamu. Maafkan aku. Ya Allah, kecilnya dunia ini, berulang kali Hisham memohon maaf kepada saya dan suami.

"Saya tidak berkata apa-apa kerana saya faham akan keadaan yang dilalui oleh Hisham, begitu juga dengan suami. Malah saya merasa malu yang amat sangat dengan Hisham.

"Pertemuan itu merungkai segala masalah antara kami. Hisham berulang kali meminta maaf kerana tidak menyangka Shahira adalah anak saya.

"Katanya lagi, dia sebenarnya tidak ada apa-apa perasaan terhadap Shahira selain daripada layanan seorang ketua kepada stafnya, itu sahaja.

"Katanya lagi, ini semua kerana Shahira telah tersalah tafsir tentang hubungan mereka disebabkan rakan-rakan pejabatnya ramai yang menyokong jika dia bertemu jodoh dengan Shahira.

"Saya juga meminta maaf kepada Hisham dengan apa yang berlaku, begitu juga dengan suami. Kami benar-benar malu dan ralat dengan kejadian yang tidak disangka ini.

"Sebelum berpisah, saya dan suami mempelawa Hisham dan keluarganya ke rumah untuk mengeratkan hubungan kami dan menyelesaikan masalah dengan Shahira.

"Seminggu kemudian Shahira memberitahu saya yang ada orang hendak datang ke rumah kami. Saya tanya siapa, dia tidak menjawab tetapi melemparkan senyuman yang mana saya sangat-sangat faham siapa tetamu itu.

"Seperti yang dijanjikan tetamu tiba seperti masa yang dimaklumkan. Kami sekeluarga menyambut mereka dengan mesra.

"Setelah bersalaman, secara spontan Hisham memberitahu Shahira, saya adalah kenalannya semasa kami menuntut di universiti. Penjelasan tersebut menjadikan anak saya terkedu. Serta-merta wajahnya berubah.

"Sebenarnya saya kenal ibu awak Shahira dan saya gembira bila mendapat tahu awak adalah anak rakan baik saya. Saya dan ibu awak amat rapat semasa di universiti, malah kami juga belajar dalam satu kumpulan sehingga lulus, cerita Hisham.

"Kata-kata dan penjelasan Hisham menyebabkan Shahira terdiam dan berubah wajah. Dia nampak tidak gembira. Saya faham perasaannya saat itu, tetapi saya buat tak peduli kerana tidak mahu tetamu lain perasan.

"Saya dan Hisham telah berjanji tidak akan memberitahu sesiapa perkara ini termasuk isterinya.

"Ketika sedang makan-makan, saya nampak Shahira murung dan tidak banyak bercakap. Mungkin terkilan dengan kejutan yang dibuat oleh Hisham. Tetapi saya yakin, ia tidak lama.

"Ketika hendak meninggalkan rumah saya, kami bersalaman dengan mesra dan berharap dapat bertemu lagi dan kekal menjadi keluarga untuk selamanya.

"Setengah jam kemudian, Shahira menunjukkan kepada saya pesanan ringkas yang diterima melalui telefon bimbitnya dari Hisham mengandungi kata-kata, sebenarnya saya sayang awak seperti anak saya sendiri dan saya tidak ada apa-apa maksud lain yang dihebohkan oleh rakan-rakan di pejabat."

"Saya melihat Shahira menangis. Air matanya menitis membasahi kedua-dua pipinya. Saya memeluk Shahira dan berkata, "Pertemuan ada ketikanya membahagiakan dan ada kalanya meninggalkan kesan yang meruntun perasaan.'

"Sebagai ibu tentu saya bersyukur kerana kasihnya tidak kesampaian, lagipun saya faham Hisham tidak bermaksud apa-apa dengan persahabatannya dengan anak saya.

"Saya mendoakan agar Shahira akan bertemu jodoh dengan lelaki yang lebih baik untuknya. Saya beritahu dia, usianya masih muda dan dia masih ada peluang untuk mencari lelaki lain yang lebih sesuai dan sebaya dengannya.

"Malam itu, ketika saya melintas bilik Shahira, saya dapat mendengar tangisan anak gadis saya sedang berdoa setelah selesai solatnya.

"Esoknya, Shahira saya lihat sudah kembali ceria. Ketika hendak keluar ke tempat kerja dia berkata kepada saya, "Ira minta maaf kerana tersalah tafsir tentang perasaan kawan ibu itu.

"Sebenarnya Ira yang tidak fikir panjang dan cepat terpengaruh dengan gosip kawan-kawan di tempat kerja. Sekarang Ira sudah faham dan berjanji tidak akan mengulangi lagi sikap Ira itu," katanya tenang membuatkan hati saya sebagai ibu amat bahagia sekali. Syukur Alhamdulillah.

"Sebagai ibu, saya mendoakan yang terbaik untuk anak gadis saya, juga masa depan yang bahagia buat Hisham dan keluarganya. Mudah-mudahan pertemuan kami bukan yang terakhir tetapi permulaan bagi sebuah persaudaraan yang akan kekal tersimpul mati," pinta Faridah ikhlas menamatkan ceritanya.

Itulah hati seorang ibu, sanggup buat apa sahaja untuk anaknya. Moga apa yang dilalui Faridah dan anaknya tidak berlaku kepada orang lain.

Ujian Allah datang berbeza-beza dalam keadaan yang juga berlainan antara seorang manusia dengan manusia yang lain.

Saya kagum dengan sikap positif yang ditunjukkan Faridah dan suaminya dalam mencari penyelesaian terhadap masalah anak gadis mereka, tidak seperti sesetengah ibu bapa yang hanya mengikut telunjuk anak walaupun tahu hubungan yang terjalin akan membawa masalah di kemudian hari.

Menutup catatan, sepatah pesanan saya, hidup ini ada kalanya sangat pahit dan kelat tetapi manisnya akan terasa bila sampai waktu bahagia yang dijanjikan untuk kita.

Salam

Jamu selera di taman Inggeris

Posted: 14 Nov 2013 10:12 PM PST

Oleh NORAZLINA ISMAIL

Laksa Johor

SEKILAS pandang sebuah lot kedai yang terletak di Ground Floor, Bangunan Ampwalk, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, tidak ubah seperti sebuah kedai bunga atau kedai menjual barangan Inggeris Cottage.

Mana tidaknya, setiap sudut premis tersebut dipenuhi dengan kuntuman bunga-bungaan pelbagai warna dan jenis.

Tertarik dengan 'keindahan' itu, kaki terus melangkah mendekati premis tersebut untuk mendapatkan kepastian.

Namun, segala tanggapan yang dibuat nyata meleset sebaik melihat papan tanda kedai yang tertera perkataan Flora Kafe.

Pengurusnya, Mohd. Nizam Bujang atau lebih dikenali sebagai Mell berkata, kafe tersebut diilhamkan daripada pemiliknya, Abdul Razak Ahmad yang merupakan seorang pengubah bunga dan perunding perkahwinan.

Menurutnya lagi, pemilik Flora Kafe itu menggunakan kepakaran dan kreativitinya untuk menghasilkan sebuah kafe yang cantik dan dihiasi dengan bunga bagi memberikan kelainan kepada pelanggan.

"Uniknya walaupun dekorasi kafe kelihatan seolah-olah seperti dalam taman Inggeris, tetapi kita tawarkan menu tempatan.

"Menu tempatan itu ialah makanan popular negeri Johor, termasuk laksa Johor, mi Bandung, ubi goreng Flora, sira ubi dan jus katira," katanya.

Menurut Mohd. Nizam lagi, semua menu yang ditawarkan kafe itu disediakan sendiri oleh Hamimah Ahmad mengikut resipi turun temurun.

Dalam pada itu, Hamimah berkata, pelanggan yang memesan laksa Johor pasti akan terpikat kerana kuahnya yang pekat dan cukup rasa.

"Kuah laksa Johor di sini memang pekat kerana kita banyak gunakan ikan dan udang kering.

"Ubi goreng Flora pula memang lain daripada yang lain kerana ia diperap dengan beberapa jenis herba sebelum digoreng dan enak dicicah bersama sambal kicap," katanya.

Selain menu laksa Johor, Flora Kafe turut menawarkan set makan tengahari pada hari Isnin hingga Khamis dengan harga RM13, manakala pada hari Jumaat pula pelanggan akan disajikan set Bufet Jumaat pada harga RM25.

Bagi yang berminat boleh menghubungi talian 017-3024112 atau layari www.facebook.com/flora.k.ampwalk.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved