Jumaat, 15 November 2013

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


MPAJ buat pemantauan berterusan di Kemensah

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

Penduduk taman-taman perumahan yang menghadapi masalah banjir lumpur di Kemensah mendengar penerangan Hasrolnizam Shaari (barisan depan, empat dari kanan) di kawasan pembinaan baharu di Hulu Klang, Ampang, Selangor semalam.

AMPANG 15 Nov. - Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan menempatkan juruteranya di tapak projek perumahan baharu berdekatan Taman Tropika Kemensah, Hulu Klang untuk memastikan pemaju terlibat mengikut arahan yang dikeluarkan.

Ini berikutan kejadian banjir lumpur yang berlaku hujung bulan lalu berpunca daripada kerja-kerja tanah dan pembersihan oleh pemaju projek perumahan di situ.

Pengarah Jabatan Perancang Korporat MPAJ, Rosliza Mohd. berkata, jurutera MPAJ akan berada di tapak projek tersebut pada setiap Jumaat bagi membuat pemantauan terhadap kerja-kerja penyenggaraan yang diarahkan.

"Merujuk kepada permintaan penduduk dalam lawatan tapak hari ini, jurutera MPAJ akan ditempatkan di sana. Jurutera itu juga akan menjadi medium komunikasi antara penduduk dengan pihak berkaitan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPAJ, Hasrolnizam Shaari mengadakan lawatan tapak di lokasi itu pagi tadi bersama penduduk dari beberapa taman perumahan yang terlibat.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang, Saari Sungib; Orang Besar Gombak, Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh dan wakil pemaju Aman Kemensah.

Pada 6 November lalu, penduduk Taman Tropika, Prima Ukay, Prima Villa, Tiara Kemensah, Persona Villa dan Desaku Apartment menyuarakan kebimbangan berikutan kejadian banjir lumpur yang menimpa perumahan mereka.

Tambah Rosliza, Notis Pemberhentian Kerja yang dikeluarkan oleh MPAJ kepada Aman Kemensah dan dua lagi pemaju lain masih berkuat kuasa sehingga mereka mematuhi semua syarat yang ditetapkan terutamanya sistem kawalan hakisan kelodak.

"Mengenai kompaun pula, ketiga-tiga pemaju iaitu Aman Kemensah, SDB Properties dan Hamton Development telah dikenakan kompaun pertama mengikut Akta 133 Jalan, Parit dan Bangunan 70(a) dan 71 yang memperuntukan kompaun tidak lebih daripada RM500,000.

"MPAJ juga dalam proses untuk mengeluarkan kompaun kedua kepada ketiga-tiga pemaju tersebut," katanya.

Sementara itu, wakil pemaju Aman Kemensah dalam sesi lawatan tapak itu berjanji untuk menyiapkan monsun drain (longkang besar) dalam tempoh sebulan dan kerja-kerja itu akan bermula Isnin depan.

Shaari pula berkata akan membawa masalah berkaitan pembangunan di cerun kawasan itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang selain meminta kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap pemaju yang bersikap sambil lewa.

"Dalam projek ini, jelas sekali pemaju telah melanggar syarat yang ditetapkan dan arahan berhenti kerja itu perlu dikenakan untuk pengajaran kepada pemaju lain," katanya.

Banjir lumpur melanda lagi

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

KAWASAN projek baharu di taman Taman Tropika, Kemensah, Hulu Klang, Selangor yang didakwa menjadi punca banjir lumpur melanda kawasan perumahan berdekatan. - UTUSAN/AZLIZA HAILANI

AMPANG 15 Nov. - Belum pun selesai masalah banjir lumpur ekoran kerja-kerja tanah dan pembersihan berdekatan Taman Tropika Kemensah, kejadian sama berulang lagi awal pagi ini selepas hujan lebat melanda kawasan itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, halaman beberapa buah rumah di Jalan 5/L5 dinaiki air berlumpur.

Kejadian itu terus menimbulkan kebimbangan kepada penduduk, yang mempersoalkan tahap keselamatan mereka yang yang mendiami kawasan terbabit.

Seorang penduduk, Datuk Ahmad Azwan, 43, berkata, mereka kini hidup dalam ketakutan selepas masalah banjir lumpur itu berulang dalam tempoh dua minggu.

"Perkara ini sudah pun berlaku dan adakah kawasan ini selamat untuk diduduki, selain masalah banjir lumpur kami tidak tahu apa pula yang akan mengancam kami selepas ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.

Tambah beliau, sesi lawatan tapak bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan pemaju projek pembangunan baharu di situ pada hari ini itu juga gagal mencapai sebarang persetujuan.

"Kami hanya mendengar penerangan yang berulang-ulang mengenai perkara berkaitan projek dan banjir lumpur itu dan apakah jaminan kepada penduduk sekiranya projek itu diteruskan," katanya.

Seorang lagi penduduk, Azmi Abdul Aziz, 50, pula menyuarakan kebimbangan mengenai tiga bongkah batu yang berada di atas bukit berdekatan rumahnya.

"Saya sudah memaklumkan kepada pemaju sebanyak dua kali dalam tempoh kurang sebulan dan pemaju turut mengakui perkara itu ketika sesi lawatan tapak tadi.

"Tetapi, mengapa mereka tidak mengambil tindakan segera kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku, tambahan pula dalam cuaca hujan kebelakangan ini," tegasnya.

20 pengawal USIM gotong-royong bersih tasik

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

JETI di tasik turut diperbaiki untuk kemudahan pengunjung semasa aktiviti gotong-royong yang dijalankan oleh pengawal keselamatan USIM di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Sebanyak 20 pengawal keselamatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan telah menjalankan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan tasik di universiti berkenaan baru-baru ini.

Aktiviti itu dilaksanakan sebagai salah satu persediaan menjelang Pesta Konvokesyen USIM Ke-11 yang akan berlangsung pada 28 November hingga 1 Disember ini.

Ketua Bahagian Keselamatan USIM, Kapt. (B) Abdul Wahab Mat Zin berkata, program tersebut merupakan persiapan awal pihaknya sebelum majlis simbolik pelancaran pesta konvokesyen dan pelepasan ikan diadakan pada 28 November ini.

"Ini merupakan salah satu inisiatif Bahagian Keselamatan USIM, kerana kami tidak mahu dilihat hanya terikat kepada tugas hakiki semata-mata, tetapi turut berperanan membantu pihak universiti dalam segala aspek.

"Pada masa yang sama kami melihat tasik yang berkeluasan hampir 10 hektar ini mempunyai daya tarikan dan sesuai bagi menjalankan pelbagai aktiviti air termasuk memancing," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, tasik berkenaan akan dibuka kepada umum dan aktiviti pertama yang akan dijalankan di situ ialah pertandingan memancing sempena Pesta Konvokesyen Ke-11 anjuran USIM dan Kumpulan Utusan pada 1 Disember ini.

Abdul Wahab yakin tasik itu mampu dikomersialkan untuk menjadi tarikan kepada orang ramai, bukan sahaja warga USIM.

Menurut beliau, terdapat pelbagai jenis ikan mendiami tasik itu seperti toman dan tilapia.

"Kami melihat pertandingan memancing yang dianjurkan oleh pihak USIM dan Kumpulan Utusan itu adalah satu langkah yang tepat kerana sudah sampai masanya tasik itu dijadikan sebagai lokasi kunjungan orang ramai.

"Saya yakin pihak pengurusan universiti mempunyai perancangan untuk menjadikan kawasan tasik itu sebagai lokasi yang sesuai bukan saja untuk para pelajar malah kepada orang ramai beriadah," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Peratus cemerlang meningkat

Posted: 14 Nov 2013 11:12 AM PST

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my

Sebahagian murid SK Kempas bersorak gembira bersama guru mereka selepas mendapat 5A dalam keputusan UPSR 2013 di SK Kempas, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 14 Nov. - Sebanyak 5,532 atau 9.62 peratus daripada jumlah keseluruhan 58,391 calon yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di negeri ini tahun ini berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dengan memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Md. Hasidin Zaini berkata, keputusan itu sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 0.55 peratus berbanding 9.07 peratus atau seramai 5,777 daripada 63,676 calon tahun lalu.

Peratusan calon yang mencapai penguasaan minimum, sekurang-kurangnya mendapat C meningkat daripada 69.30 peratus tahun lalu kepada 69.69 peratus kali ini.

Anak seorang pemandu lori, Farie Zul Hakimi Mohd. Zulkifli (kiri) yang mendapat 5A menunjukkan slip UPSR kepada adiknya Mohammad Farish Daniel Hakim yang menangis kegembiraan di atas kejayaan abangnya di SK Kempas, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Bagi Gred Purata Negeri (GPN) pula, Johor mempamerkan peningkatan keseluruhan dengan mencatat 2.14 berbanding 2.19 pada 2012. Ini adalah pencapaian membanggakan memandangkan GPN tersebut berjaya mengatasi Gred Purata Nasional iaitu 2.27 mata.

Apabila nilai gred semakin mengecil bermakna negeri ini berjaya merekodkan pencapaian calon yang lebih baik," katanya dalam Majlis Pengumuman Keputusan UPSR peringkat negeri di Jabatan Pendidikan negeri, di sini hari ini.

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru UDA 2 (BBU2) diumumkan sebagai sekolah yang memiliki calon paling ramai memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil iaitu seramai 79 murid.

Tambah Md. Hasidin, ia diikuti SK Infant Jesus Convent (73) dan ketiga adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew 1.

Mengulas mengenai calon yang tidak mencapai penguasaan minimum iaitu mendapat semua D atau E, beliau berkata, Johor berjaya mencatatkan penurunan sebanyak 0.49 peratus iaitu daripada 30.44 peratus kepada 29.98 peratus.

Negeri ini juga berjaya merapatkan jurang antara calon bandar dan luar bandar apabila hanya mencatatkan perbezaan sebanyak 2.14 peratus berbanding tahun lalu iaitu 2.59 peratus," katanya.

Muar catat sejarah peroleh pencapaian terbaik GPS 2.08

Posted: 14 Nov 2013 11:12 AM PST

MUAR 14 Nov. - Keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) daerah ini mencatat sejarah tersendiri apabila memperoleh gred purata sekolah (GPS) 2.08, pencapaian terbaik berbanding 2.15 pada tahun lalu.

Ketua Unit Pengurusan Akademik Pejabat Pelajaran daerah, Lukman Simon berkata, seramai 677 daripada 6,746 calon yang menduduki peperiksaan itu berbanding 7,730 calon tahun lalu memperoleh 5A dan 7A.

"Sekolah daerah Muar berada pada kedudukan kedua di negeri ini selepas Johor Bahru. Kita berjaya merampas kembali kedudukan selepas jatuh ke tempat ketiga pada tahun lalu.

"Peratus penguasaan meningkat kepada 71.27 peratus berbanding 71.02 tahun lalu dan peratus pelajar cemerlang juga meningkat daripada 9.11 peratus kepada 10.04 peratus tahun ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, enam sekolah mencapai kelulusan penuh 100 peratus iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Air Manis, SK Penchu, SK Sultan Abu Bakar 1, SK Parit Nawi, SK Durian Chondong dan SK Parit Bulat.

Enam sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) juga mencapai kelulusan 100 peratus iaitu SJKC Limbang, SJKC Khay Hian, SJKC Chung Hwa, SJKC Yu Ming, SJKC Ladang Gersik dan SJKC Chung Sun.

"Sementara sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) yang turut mendapat keputusan yang sama adalah SJKT Ladang Nordanal, SJKT Tangkak dan SJKT Ladang Bukit Serampang," katanya.

Katanya, SK Bakri Batu 2 menjadi sekolah cemerlang apabila bilangan calon yang memperoleh 5A adalah paling ramai iaitu 30 pelajar diikuti SK Convent (28 pelajar) dan SK Bandar Maharani (25 pelajar).

Lukman berkata, Pejabat Pelajaran Daerah Muar menerima enam anugerah iaitu Anugerah Gred Purata Daerah Terbaik di tempat kedua, Anugerah Anjakan Saujana (ketiga), Anugerah Peratus Cemerlang Tertinggi (kedua), Anugerah Peratus Menguasai Tertinggi (kedua), Anugerah Gred Purata Daerah Terbaik SK (kedua) dan Gred Purata Daerah Terbaik SJKT (ketiga).

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Hub baju T Muslimah

Posted: 14 Nov 2013 10:12 PM PST

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar ASLIZA HAILANI

KOLEKSI Humaira Ellysha, ini diperbuat daripada fabrik rayon berkualiti tinggi yang selesa dan bergaya dipakai walau ke majlis rasmi.

HUMAIRA Design bermula secara kecil-kecilan pada 2005 di pasar malam. Diasaskan oleh Adnan Abd Aziz dan isterinya, Zuraida Yusof, Adnan menggunakan kemahiran dan kelayakannya sebagai pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Sarjana Pendidikan Seni dari Univesiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), untuk menghasilkan rekaan-rekaan fesyen yang kemudian dilabelkan di bawah Humaira Design.

Produk pakaian Muslimah di bawah jenama Humaira Designy merangkumi semua peringkat usia dan golongan.

"Keistimewaan produk kami adalah setiap rekaan hanya dikeluarkan sekali sahaja, menutup aurat, labuh dan longgar. Setiap rekaan dihasilkan khas mengikut konsep asas kami iaitu 'kesederhanaan dalam setiap rekaan'.

"Setakat ini butik borong kami dibukan di Tanjung Malim, Perak dan di Bandar Perda, Pulau Pinang," kata bekas sebagai pensyarah di UPSI, Tanjung Malim, Perak itu.

Selain jualan runcit dan borong, Humaira Design mempunyai tiga laman web yang menjalankan jualan dalam talian iaitu www.tshirtmuslimah.com yang diuruskan oleh pasukan khas mereka di Tanjung Malim. Manakala www.humairadesign.com pula diuruskan oleh kumpulan berbeza di Bandar Perda dan www.muslimebay.com adalah khas untuk agen dan pemborong.

"Sebanyak 70 peratus jualan adalah melalui dalam talian dan merangkumi seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

"Kami juga mendapat tempahan melalui laman sesawang daripada pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara seperti Australia, New Zealand, Russia, Kanada, Amerika Syarikat, Mesir, Jepun dan Korea," kata Adnan.

Inspirasi fesyen terkini

"Untuk menghasilkan setiap rekaan, kami mengambil inspirasi daripada perkembangan fesyen muslimah semasa dan pemilihan fabrik pula adalah berasaskan kepada kategori pelanggan kami.

"Setiap rekaan dan kualiti fabrik adalah berbeza. Untuk rekaan premium kami menggunakan fabrik berkualiti tinggi seperti cotton combed 20s iaitu 100 peratus kapas tetapi tidak mengembang seperti kain cotton single jersey biasa. Untuk kategori ini, ia hanya dijahit oleh penjahit mahir sahaja. Biasanya, pengguna kategori ini memakai baju kami untuk tujuan rasmi, kerja dan melancong.

" Bagi kategori sederhana, kami menggunakan fabrik teteron cotton 180g yang sesuai dipakai untuk tujuan riadah dan santai," jelas Adnan.

Iltizam beliau adalah untuk menggalakkan pemakaian yang menutup aurat di kalangan muslimah di Malaysia.

"Ini a adalah sebahagian daripada usaha kecil kami dalam berdakwah. Kami juga sedang membangunkan jenama pakaian untuk keperluan haji dan umrah pada tahun 2014," katanya.

Sederhana dalam setiap rekaan

Model ENGKU SULWANI

Terima Kasih kepada HUMAIRA DESIGN http://m.facebook.com/HumairaDesign.biz Website: www.humairadesign.com Www.tshirtmuslimah.com

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


NS kekal kedua terbaik UPSR

Posted: 14 Nov 2013 11:12 AM PST

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

Sebahagian murid yang mendapat keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah menunjukkan slip keputusan peperiksaan masing-masing di Sekolah Kebangsaan Puteri Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

SEREMBAN 14 Nov. - Negeri Sembilan mengekalkan kedudukan kedua terbaik di peringkat kebangsaan dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini selepas menyaksikan peningkatan dalam kualiti pencapaiannya di negeri ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Kalsom Khalid (gambar) berkata, perkara itu berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN) bagi sekolah rendah di negeri ini iaitu 2.13 mata yang berkurangan berbanding 2.14 mata tahun lalu sekali gus menyaksikan peningkatan kualiti pencapaian tersebut.

Pencapaian tersebut menjadikan negeri ini terus cemerlang dari segi prestasinya dengan menduduki tempat kedua bersama Melaka di peringkat kebangsaan di belakang Putrajaya.

Menurut Kalsom, sebanyak 2,058 atau 11.7 peratus calon UPSR di negeri ini mencapai status cemerlang berbanding 2,197 orang tahun lalu.

"Ini menunjukkan peningkatan dari peratusan calon yang memperoleh 5A dan 7A.

"Calon yang mendapat 4A 1B atau 6A 1B juga meningkat kepada 9.5 peratus berbanding 9.2 peratus pada tahun lalu," katanya dalam sidang akhbar di Balai Gadang, Jabatan Pendidikan negeri di sini hari ini.

Menurutnya, prestasi pelajar luar bandar juga menunjukkan peningkatan yang baik apabila seramai 1,056 calon memperoleh keputusan penuh 5A atau 7A berbanding 1,002 calon mendapat keputusan sama di bandar.

"Pencapaian keseluruhan calon luar bandar semakin baik dan ini dibuktikan melalui nilai jurang perbezaan GPN yang semakin kecil antara luar bandar dan bandar yang menurun kepada 0.12 mata pada tahun ini berbanding 0.18 mata nilai GPN tahun lalu," katanya.

Sementara itu di Kuala Pilah, pasangan kembar, Siti Nadhrah Hisham dan Siti Nadhirah Hisham ada sebab untuk bergembira.

Hal ini kerana anak kepada seorang kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Abdul Samad, Tanjong Ipoh itu berjaya mendapat keputusan 5A dalam UPSR hari ini.

Siti Nadhrah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Pilah berkata, mereka hanya menyasarkan untuk memperoleh keputusan 4A.

''Kami tidak sangka berjaya memperoleh keputusan cemerlang ini dan berterima kasih kepada ahli keluarga dan semua guru yang banyak membantu kami," katanya.

UPSR 2013 terbaik dalam tempoh 9 tahun

Posted: 14 Nov 2013 11:12 AM PST

Seorang guru, Maizatul Bahiyah Mohd. Ali, 42, menenangkan anaknya, Muhammad Adib Lukman Zulkifli dari Sekolah Rendah Datuk Demang Hussain yang tidak dapat menahan kesedihan apabila mendapat 3A 2B dalam UPSR 2013 di sekolah tersebut, semalam. - BERNAMA

MELAKA 14 Nov. - Prestasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Melaka adalah yang kedua terbaik di seluruh negara apabila seramai 1,443 daripada 13,917 calon mendapat keputusan cemerlang 5A.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, peratus calon yang mendapat semua A meningkat dari 9.7 peratus tahun lalu kepada 10.4 peratus pada tahun ini walaupun jumlahnya menurun berbanding 1,466 daripada keseluruhan 15,165 calon yang mendudukinya tahun lalu.

Menurutnya, keputusan cemerlang UPSR 2013 juga merupakan yang terbaik pernah dicapai Melaka dalam tempoh sembilan tahun.

"Kecemerlangan pencapaian itu seterusnya melonjakkan Gred Purata Negeri (GPN) daripada 2.17 pada tahun lalu kepada 2.13 tahun ini. Malah, pencapaian ini jauh lebih baik dari Gred Purata Nasional iaitu 2.27," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pengumuman Keputusan UPSR peringkat negeri di Yayasan Melaka, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Pendidikan negeri, Kasim Mohamad dan timbalannya, Abdul Mutalib Osman.

Sekolah yang mendapat 5A terbanyak adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Palembang seramai 47 orang, SK Lereh (42), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yok Bin (41), SK Batu Berendam (39), SK Paya Rumput, SK Convent Infant Jesus 2 dan SK St. Francis masing-masing seramai 37 orang.

Sementara itu, katanya, peratus calon yang mendapat pencapaian baik atau minimum gred C bagi semua mata pelajaran juga meningkat daripada 69.1 peratus tahun lalu kepada 69.4 peratus tahun ini.

"Sebanyak 13 mata pelajaran menunjukkan peningkatan dari segi calon menguasai iaitu memperoleh minimum C bagi semua mata pelajaran.

"Dari segi kecemerlangan pencapaian gred A, 15 mata pelajaran menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu," jelasnya.

Mengulas pencapaian tersebut, ujarnya, perkara itu merupakan petanda baik bagi negeri ini dalam bidang akademik di peringkat sekolah rendah hingga menjadi kedua terbaik dalam kalangan 16 negeri dan Wilayah Persekutuan seluruh negara.

"Kejayaan ini juga merupakan hasil tenaga yang dicurahkan semua pihak termasuk guru dan ibu bapa dalam membantu melonjak pencapaian serta faktor kejayaan kritikal kepada negeri," katanya.

Anak peneroka cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah

Posted: 14 Nov 2013 11:12 AM PST

KIRI Nur Iylisa Zaridan, Puteri Siti Aisyah, Shahrulhafiz

JEMPOL 14 Nov. - Sebanyak 17 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Serting Felda (SKSF) dekat sini, berjaya mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini sekali gus menobatkan sekolah tersebut sebagai sekolah terbaik Felda di negeri ini.

Salah seorang anak Felda, Nur Iylisa Zaridan, 12, dari Felda Raja Alias Dua menjelaskan, dia amat gembira dan bersyukur apabila usahanya dan didikan guru-guru berhasil sehingga dia mencapai keputusan membanggakan.

Dalam percubaan UPSR pada Jun lalu, saya dan 15 rakan lain mendapat 5A. Syukur jumlahnya dalam UPSR sebenar meningkat kepada 17 orang dan saya bertambah gembira kerana hari ini menerima Anugerah Pelajar Terbaik bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sekolah berkenaan di sini hari ini.

Katanya, antara rahsia kejayaannya itu ialah meningkatkan pembacaan dan memperbanyak latihan.

Saya banyak membaca buku berbahasa Inggeris bagi memantapkan penulisan dan penyusunan ayat. Tambahan pula, guru banyak membantu," katanya lagi.

Sementara itu, rakannya, Puteri Siti Aisyah Abdul Razak yang juga merupakan anak peneroka berkata, dia berdebar-debar sepanjang menantikan keputusan peperiksaan UPSR diumumkan.

Saya takut nama tercicir dalam senarai pelajar menerima keputusan 5A. Alhamdulillah, akhirnya saya memperoleh keputusan cemerlang ini," ujarnya.

Cucu kepada peneroka, Shahrulhafiz Yusman, 12, pula memberitahu, dia berhasrat melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh dan mahu mengambil aliran agama.

Saya mahu mendalami ilmu Islam dan amat berharap dapat memasuki sekolah agama berasrama penuh," katanya yang gembira kerana lapan daripada 17 pelajar cemerlang mendapat 5A di sekolah itu adalah anak peneroka Felda.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Kebanyakan negeri di utara catat peningkatan

Posted: 14 Nov 2013 11:12 AM PST

Saat menggembirakan bagi Osnamila Ilias apabila anaknya, Ku Anis Nabila Ku Idris (kiri) dan rakan baiknya, Syazliyana Sheik Daud mendapat 5A dalam UPSR di SK Convent Green Lane Georgetown, Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 14 Nov. - Kebanyakan negeri di utara mencatatkan keputusan baik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 yang diumumkan hari ini.

Pulau Pinang mencatatkan peningkatan manakala Perak mencatatkan penurunan.

Di GEORGETOWN, sebanyak 2,722 atau 11.6 peratus dari 23,562 calon memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran.

Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang Datuk Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata, keputusan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 1.11 peratus berbanding tahun lepas iaitu 2,752 murid daripada 26,370 calon memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran.

"Pada keseluruhannya, sebanyak 15,996 murid atau 68.55 peratus mencatat sekurang-kurangnya gred C dalam keseluruhan mata pelajaran dan jumlah ini menunjukkan penurunan sebanyak 0.1 peratus berbanding 17,904 murid tahun lepas,'' katanya.

Di IPOH, sebanyak 3,249 atau 8.49 peratus daripada 38, 248 murid yang menduduki UPSR di Perak lulus cemerlang dengan memperoleh A dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pendidikan Negeri Muhammat Roli Hassan berkata, peratusan calon yang mencapai tahap penguasaan minimum (A,B,C) bagi semua mata pelajaran menurun daripada 63.77 peratus pada tahun ini, berbanding 65.10 peratus tahun lepas.

"Sekolah yang paling banyak calon memperolehi A dalam semua mata pelajaran ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Ave Maria Convent, Ipoh (66 calon), Sekolah Jenis Kebangsaan Yuk Choy (45), Sekolah Kebangsaan Marian Convent (41), Sekolah Kebangsaan Tasik Damai (32) dan Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist (35)," katanya.

Di ALOR SETAR, seramai 3,282 daripada 35,630 calon di Kedah mencapai tahap cemerlang dengan memperoleh 5A dan 7A dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pendidikan Negeri Mansor Lat berkata, pencapaian calon cemerlang yang mendapat semua A meningkat sebanyak 0.73 peratus kepada 9.21 peratus tahun ini, berbanding 8.48 peratus tahun lepas.

"Pencapaian keseluruhan UPSR 2013 Kedah tahun ini adalah 65.94 peratus (lulus) berbanding 66.41 peratus pada tahun lalu," katanya.

Di KANGAR, Timbalan Pengarah Pendidikan Perlis Nuzrin Nuiman berkata, peratus kelulusan UPSR 2013 di Perlis menurun sebanyak 3.42 peratus kepada 62.29 peratus berbanding 65.71 peratus pada tahun lalu.

Beliau berkata sekolah yang mencapai peratus kecemerlangan dengan sekurang-kurangnya 20 peratus calon memperolehi semua A ialah SK Seri Indera (43 calon), SK Paya (16), SK Jejawi (18) dan SK Kayang (25).

Dua murid cacat dapat 5A dan 4A 1C

Posted: 14 Nov 2013 11:12 AM PST

MUHAMMAD Hamzani gembira didukung oleh bapanya, Mohd. Hawari Mohd. Rafiae selepas memperoleh 5A dalam UPSR di Sekolah Pendidikan Khas Hashim Awang di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.

KEPALA BATAS 14 Nov. - Cacat penglihatan dan disleksia tidak menghalang dua murid sekolah pendidikan di sini dan Alma, Bukit Mertajam meraih kejayaan 5A dan 4A 1C dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 negeri ini yang diumumkan hari ini.

Kejayaan kedua-dua calon tersebut, Muhammad Hamzani Mohd. Hawari, 12, (disleksia) dan Norafifa Abdul Halim, 12, (cacat penglihatan) membuktikan mereka mampu bersaing dengan murid normal yang lain.

Menurut bapa Muhammad Hamzani, Mohd. Hawari Rafiae, 40, kejayaan anak sulungnya itu memperoleh 5A tidak diduga kerana pembelajarannya agak lambat berbanding murid-murid lain di sekolahnya.

Katanya, anaknya itu dikesan tidak boleh bercakap sejak berusia tiga tahun.

"Saya berusaha menghantar anak saya belajar tuisyen terutama bagi mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris sejak darjah empat kerana dia lemah dalam mata pelajaran tersebut," katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Hashim Awang, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Hawari, hobi membaca dan sering membuat latihan pelajaran menjadikan anaknya mampu menguasai pelajaran dengan baik di sekolah.

"Anak saya tidak minat dengan barang mainan dan kerana itu dia mampu membaca sebuah buku dalam tempoh yang cepat," ujarnya yang bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang di Kulim, Kedah.

Sebanyak 96 calon menduduki peperiksaan UPSR di sekolah berkenaan dan daripada jumlah itu, lapan calon mendapat 5A manakala 10 calon memperoleh 4A 1B.

Sementara itu, bapa Nurafifa, Abdul Halim Mat Hassan, 47, berkata, dia bangga dengan kejayaan cemerlang anaknya memperoleh 4A 1 C dalam peperiksaan UPSR kali ini.

Beliau berkata, meskipun anaknya menghadapi masalah cacat penglihatan namun perkara itu tidak mematahkan semangatnya untuk belajar.

"Kecacatan yang dialami anak saya bermula setelah dia menghidap penyakit buah pinggang sejak darjah satu dan kerana sering makan ubat menyebabkan penglihatannya menjadi kabur.

"Anak saya menjalani lima kali pembedahan mata setelah dinasihatkan doktor supaya penglihatannya tidak terjejas," katanya ketika ditemui di Sekolah Pendidikan Khas di Alma, Bukit Mertajam.

Anak kelima daripada lima adik beradik itu memperoleh 4A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu-Pemahaman, Bahasa Melayu- Penulisan, Matematik dan Sains manakala 1 C dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Nor Afifa bercita-cita menjadi guru dan dia antara 13 calon yang menduduki peperiksaan di sekolah tersebut tahun ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Pengurus restoran "nasi ganja" nafi guna najis manusia

Posted: 15 Nov 2013 12:10 AM PST

IPOH 14 Nov. - Pengurus Restoran Nasi Kandar Ayam Merah di Jalan Yang Kalsom di sini hari ini menyangkal keras dakwaan restorannya ditutup susulan penemuan najis manusia di dalam peti simpanan makanan di premis itu.

Mohd Nihmatullah Syed Mustaffah berkata perkara itu yang disebar menerusi laman sosial sejurus selepas notis penutupan dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan petang semalam, merupakan fitnah yang bertujuan menjejaskan perniagaannya.

"Adakah najis orang kita boleh masak? Kenapa cemburu selepas 55 tahun saya berniaga di sini?," katanya kepada pemberita di sini.

Sambil menegaskan penutupan selama dua minggu sehingga 28 Nov itu atas faktor kebersihan, beliau berkata pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut mendakwa najis terbabit untuk disalut di sekeliling periuk.

"Kalau ada bukti (saya berbuat demikian) keluarkanlah...," katanya menambah perbuatan tersebut turut menjejaskan imej Perak yang sinonim dengan nasi kandar restorannya yang dikenali sebagai "nasi ganja".

Banyak orang kenamaan termasuk menteri dari luar negara datang menjamu selera di sini, justeru bayangkan apa perasaan mereka jika terbaca dakwaan yang dibuat itu, katanya.

Mohd Nihmatullah, 59, juga menegaskan hanya restorannya ditutup manakala Restoran Vanggey di Greentown yang turut menjual nasi kandar beroperasi seperti biasa.

Restoran Vanggey juga milik keluarga saya, katanya.

Beliau berkata restorannya dijangka beroperasi semula Ahad atau Isnin ini selepas Jabatan Kesihatan melakukan pemeriksaan susulan.

Restoran terbabit diarah tutup selama dua minggu bermula semalam kerana gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan.

Notis perintah tutup premis yang dikeluarkan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah Kinta Abdul Rahman Ismail, dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983. - BERNAMA

Gempa sederhana 5.0 magnitud gegar Flores, Indonesia

Posted: 14 Nov 2013 07:25 PM PST

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Gempa bumi sederhana berukuran 5.0 pada skala Richter menggegarkan wilayah Flores di Indonesia pada 7.32 pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa itu berpusat di 123 kilometer dari timur laut Bima, Indonesia dan 1,251 km dari tenggara Sarikei, Sarawak.

Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami. - BERNAMA

Gempa sederhana gegar Pulau W.Caroline, Micronesia

Posted: 14 Nov 2013 07:20 PM PST

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Gempa bumi sederhana berukuran 5.0 pada skala Richter menggegarkan Pulau W.Caroline, Micronesia, pada 9.09 pagi ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa itu berpusat di 1,400km timur laut Bandaraya Tagum di Filipina dan 2,576km timur laut Kinabatangan, Sabah.

Menurut kenyataan itu, jabatan akan mengeluarkan maklumat tambahan mengenai gempa itu. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


'Apa maksud sudah bersedia'

Posted: 14 Nov 2013 11:12 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Rakyat perlu akur

Posted: 14 Nov 2013 11:12 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Tangani Digital Malaysia

Posted: 14 Nov 2013 11:12 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved