Ahad, 10 November 2013

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


NGO minta MPKj bersikap adil

Posted: 10 Nov 2013 10:26 AM PST

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

Mohd. Ridzuan Abdullah (depan, tiga dari kiri) bersama wakil-wakil NGO dan peniaga Melayu di Kajang mengadakan bantahan terhadap tindakan MPKj di kawasan gerai yang didakwa menyalahi peraturan di Kajang, Selangor kelmarin. - UTUSAN/Nasirruddin Yazid

KAJANG 10 Nov. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meminta Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bersikap adil terhadap peniaga di kawasan pentadbirannya dan tidak memilih bulu dalam mengambil tindakan.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, tindakan pihak berkuasa tempatan itu (PBT) yang didakwanya dilihat hanya diambil terhadap peniaga Melayu tidak boleh dibiar berterusan.

Menurutnya, operasi pihak berkuasa tempatan itu banyak menyasarkan gerai peniaga Melayu kebelakangan ini, namun peniaga kaum lain dan warga asing dilihat bebas untuk meraih untung tanpa gangguan.

"Hari ini kami meninjau gerai buah-buahan di Jalan Wan Siew, Taman Sepakat Indah yang dipercayai ada antaranya beroperasi tanpa permit yang sah dan melakukan sambungan haram termasuk memasang kanopi, membina tandas dan meletakkan peti ais.

"Sekiranya MPKj tegas merobohkan struktur tambahan terhadap kios peniaga Melayu yang jarak kurang lima kilometer dari sini, mengapa gerai peniaga kaum lain di sini dibiarkan.

"Sedangkan secara terang-terangan mereka melakukan kesalahan yang serupa di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 seperti dinyatakan MPKj," katanya kepada pemberita semalam.

Antara wakil NGO lain yang hadir adalah Persatuan Penjaja dan Peniaga Negeri Selangor (PPPNS) Cawangan Kajang, Pertubuhan Pengusaha Kios Melayu Daerah Hulu Langat (PPKMHL), Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) dan Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM).

Pada akhir bulan lalu, MPKj merobohkan struktur tambahan membabitkan 13 kios peniaga Melayu di Taman Mesra, malah beberapa tindakan sama turut diambil membabitkan peniaga di Taman Sepakat Indah pada 23 Oktober dan Sungai Jelok, sebelum Ramadan lalu.

Tambah Mohd. Ridzuan, pihaknya juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu bagi membolehkan siasatan dibuat sekiranya terdapat unsur-unsur tidak sihat berlaku.

"Malah, kami juga akan membuat tangkapan awam membabitkan peniaga warga asing sekiranya pihak berkaitan tidak bertindak mengatasi masalah itu dengan segera," katanya.

Terdahulu, beliau mengetuai wakil NGO tersebut mengadakan bantahan secara aman di hadapan gerai buah-buahan itu sambil membawa beberapa sepanduk yang mempersoalkan tindakan MPKj.

Pasar Borong KL dinaik taraf tahun depan

Posted: 10 Nov 2013 10:26 AM PST

Ahmad Phesal Talib (tiga dari kiri) memulakan program gotong-royong Jom Bersih Bukit Bintang 5 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur kelmarin.

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menambah baik fasiliti Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang bagi memastikan pasar tersebut sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, proses penambahbaikan itu dijangka dilaksanakan tahun depan melalui peruntukan yang akan dimasukkan dalam Bajet DBKL 2014.

"Penambahbaikan itu perlu kerana Pasar Borong Kuala Lumpur adalah hab yang menyediakan kira-kira 70 peratus keperluan makanan ke seluruh negara dan kita mahu memastikan kualiti bahan mentah di situ terjamin," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program gotong-royong Jom Bersih Bukit Bintang 5 di Plaza Low Yat Boulevard semalam.

Program kali kelima itu disertai kira-kira 700 peserta daripada pelbagai agensi termasuk Alam Flora Sdn. Bhd., Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Indah Water Konsortium, Plaza Low Yat dan Hotel Federal.

Tambah Ahmad Phesal, pihaknya baharu sahaja selesai mengadakan perbincangan mengenai projek itu yang akan membabitkan persatuan pemborong kelak.

"Projek itu masih di peringkat awal dan antara perkara yang akan diberi perhatian nanti adalah pemusatan sistem penyenggaraan sampah, kebersihan dan keselamatan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Phesal berkata, operasi Pasar Raja Bot akan ditutup selama dua hari bermula Selasa depan bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian tikus dilaksanakan.

"Kami akan melihat keberkesanan operasi pembersihan di pasar tersebut terlebih dahulu sebelum diperluas ke pasar-pasar lain," katanya.

Untuk rekod, terdapat kira-kira 6.8 juta ekor tikus bersarang di ibu negara kini dan jumlah itu adalah empat kali ganda berbanding populasi penduduk ibu negara.

Sementara itu, sebanyak 227 restoran dan gerai makanan di ibu negara yang kotor dan tidak menepati tahap kebersihan ditetapkan telah diarahkan tutup.

"DBKL membuat pemeriksaan berkala dan mengejut ke atas semua premis makanan bagi memastikan kebersihan selain mengekang pembiakan tikus.

"Kami mahu memastikan restoran dan kedai makan di ibu negara berada pada tahap kebersihan yang tinggi terutamanya sempena Tahun Melawat Malaysia 2014," ujarnya.

DBKL lucut 200 papan iklan lakukan kesalahan bahasa

Posted: 10 Nov 2013 10:26 AM PST

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Sebanyak 200 papan tanda iklan di sekitar Kuala Lumpur yang didapati gagal mematuhi penggunaan bahasa Melayu yang betul telah ditanggalkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepanjang tahun ini.

Tindakan tersebut diambil ekoran terdapat pelbagai kesalahan dari aspek ejaan, tatabahasa dan struktur bahasa yang mengelirukan sehingga memberikan makna yang lari dari maksud sebenar.

Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup berkata, beliau kesal dengan sikap sesetengah peniaga yang masih tidak mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sedangkan papan iklan yang menggunakan bahasa yang betul mampu mempromosikan keindahan dan kekuatan bahasa Melayu di kalangan orang ramai termasuk pelancong asing.

"DBKL dengan bidang kuasa yang ada akan terus memantau dan tanpa teragak-agak akan segera mengambil tindakan jika masih terdapat premis yang memasang papan-papan tanda, tanpa mengira saiz kecil atau besar yang gagal menggunakan bahasa Melayu yang betul.

"Ini termasuk mencampur aduk dengan bahasa asing atau menggunakan bahasa asing sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Mini Bulan Bahasa Kebangsaan sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2013 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran.

Karnival sehari dengan pelbagai aktiviti itu turut disertai DBP, Istana Budaya, Perpustakaan Negara Malaysia, Majlis Belia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Persatuan Penduduk PPR Seri Alam Fasa Satu dan Dua.

Salleh berkata, selain perlunya kesedaran di kalangan pemilik premis yang menggantung dan memasangkan iklan bagi memastikan iklan mereka mematuhi segala syarat pengiklanan termasuk penggunaan bahasa yang betul, orang ramai juga perlu melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap iklan-iklan yang didapati boleh menjatuhkan martabat bahasa Melayu.

"Orang ramai berhak menegur pemilik premis tersebut atau segera membuat aduan kepada DBKL bagi membolehkan DBKL, dan dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain, mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis terutama yang sewenang-wenang menaikkan iklan dengan bahasa Melayu yang salah," katanya.

Menurutnya pemilik premis dan pembuat iklan perlu mengambil inisiatif untuk merujuk perkataan-perkataan iklan mereka kepada DBKL sebelum mempamerkan iklan tersebut bagi mengelakkan kerugian di pihak mereka sendiri.

Beliau menjelaskan, tindakan boleh diambil selaras dengan peruntukan Undang-undang Kecil (3) dan Undang-undang Kecil (4) Undang-undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan 1982 dengan kompaun maksimum hingga RM2,000.

Sementara itu, Abang Sallehudin Abang Shokeran berkata, DBP sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya kepada DBKL dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu pada setiap papan-papan tanda tunjuk arah, nama premis dan iklan.

"Dari aspek penguatkuasaan DBKL memerlukan DBP bagi memastikan tindakan yang diambil adalah serius dan sama sekali tidak boleh dipandang ringan walaupun hanya melibatkan jenayah bahasa," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Jana pendapatan RM12 bilion

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

NUSAJAYA 9 Nov. - Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) tahun depan, Johor menyasarkan kehadiran pelancong kira-kira 4.6 juta orang, sekali gus mampu menjana pendapatan sekitar RM12 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, jumlah tersebut dilihat optimis untuk dicapai ekoran kehadiran pelancong ke Johor tahun ini yang telah mencapai 4.2 juta.

Beliau berkata, promosi yang kian rancak dijalankan di dalam dan luar negara juga merupakan salah satu pendekatan untuk menarik lebih ramai pengunjung, selain memberi nilai tambah kepada produk pelancongan sedia ada.

"Johor mempunyai keunikan dan keistimewaan dari segi laluan pintu masuk utama berbanding negeri lain. Kita mempunyai 14 pintu masuk utama dengan enam daripada telah terpilih untuk menjadi laluan utama bagi TMM 2014.

"Antara pintu masuk berkenaan ialah Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar dan Link Kedua bagi jalan darat, Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail (LTSI) Senai (laluan udara) dan Terminal Feri Puteri Harbour (laluan laut)," katanya dalam sidang akhbar Bangunan Dato Jaafar Muhammad di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Johor, Edzuar Zar Ayob Azhari.

Ujar Siew Kiong, pihaknya berharap dapat menarik lebih ramai pelancong, khususnya pelawat baharu yang belum menjelajah ke negeri ini terutamanya dari Singapura, Indonesia, India, China dan Asia Barat.

Sementara itu, Edzuar Zar berkata, pihaknya turut merancang mengadakan cabutan bertuah 'Spot the Sticker' sebagai galakan penglibatan orang ramai dalam mempromosi kempen berkenaan.

"Kita akan edarkan pelekat kenderaan sebagai rangka promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 ini di Plaza Tol Skudai dan kenderaan bertuah akan terpilih untuk menerima hadiah yang ditawarkan. Dalam menjayakan agenda kebangsaan ini, semua pihak terutamanya orang awam terlibat secara langsung dan tidak langsung," katanya.

Lantikan baharu Badan Perhubungan UMNO Johor selesai

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 9 Nov. - Badan Perhubungan UMNO Johor melantik Ketua UMNO Bahagian Kluang yang juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Md. Jais Sarday dan Ketua UMNO Bahagian Sekijang, Datuk Baharum Mohamed sebagai Setiausaha dan Bendahari Perhubungan UMNO negeri yang baharu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO negeri juga sebulat suara mengekalkan Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali sebagai Ketua Penerangan UMNO negeri.

"Pada kali ini kita juga telah melantik biro-biro yang mana Biro Agama diketuai Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman manakala Biro Ekonomi disandang Ketua UMNO Bahagian Tebrau yang juga ADUN Tiram, Datuk Maulizan Bujang.

"Bagi Biro Pendidikan digalas Ketua UMNO Bahagian Tenggara yang baharu yang juga ADUN Pasir Raja, Datuk Adham Baba. Manakala Biro Latihan disandang Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong yang juga Exco negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri yang khusus membuat lantikan tersebut di Pejabat Perhubungan UMNO negeri di sini hari ini.

Lantikan tersebut dibuat setelah kepimpinan sayap UMNO termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri selesai mengadakan pemilihan masing-masing pada 12 Oktober lalu, manakala pemilihan di peringkat bahagian dan kepimpinan Majlis Tertinggi dibuat 19 Oktober lalu.

Menurut Mohamed Khaled, lazimnya ketua-ketua sayap UMNO di peringkat pusat akan mengadakan perbincangan untuk melantik ketua-ketua sayap di peringkat negeri-negeri dan selepas proses itu selesai, ketua sayap terbabit akan berjumpa Pengerusi Perhubungan UMNO negeri untuk membincangkan lantikan tersebut.

"Apa pun yang penting sesiapa juga yang dilantik untuk mewakili negeri ini, sewajarnya mengambil kira mereka yang berkenaan mampu sama-sama membina kekuatan UMNO sebagai satu-satunya parti tulen yang memperjuangkan bangsa Melayu dan mendaulatkan agama Islam," katanya.

Md. Jais ketika ditemui meluahkan perasaan terharu dengan kepercayaan yang diberikan untuk menggalas tanggungjawab besar dalam membantu Pengerusi Perhubungan UMNO negeri memantap dan memperkukuhkan jentera parti, khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 .

Katanya, tumpuan akan diberikan kepada pentadbiran parti yang baik di peringkat negeri, menarik sokongan orang Melayu, mendekati pengundi baharu supaya memahami perjuangan UMNO dan parti juga memahami kehendak mereka.

Bagi Samsol Bari, pelantikan semula sebagai Ketua Penerangan disifatkan sebagai kepercayaan terhadapnya bagi menggalas tugas tersebut.

"Pada prinsipnya saya menghargai lantikan dan kepercayaan yang diberikan. Saya akan bersama dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO yang memang dikenali sebagai orang yang kuat bekerja, baik sebagai pentadbir negeri mahupun untuk parti keramat Melayu iaitu UMNO ini, " katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Cermin mata vintaj

Posted: 10 Nov 2013 05:06 AM PST

bersama Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah
adawiyah.koh@utusan.com.my

Saiz cermin mata MRV lebih besar dan kebanyakan kanta berwarna hitam.

KLASIK, kontemporari dan sempurna. Itu gambaran ringkas untuk jenama cermin mata baharu dari Hong Kong, Modern Retro Vintage (MRV). Diilhamkan untuk memenuhi keperluan fesyen khusus untuk Asia, MRV menghasilkan 10 koleksi sulung tahun ini.

Kebanyakan rekaan yang dihasilkan bersaiz besar sesuai untuk mereka yang inginkan kesempurnaan wajah. Wajah akan menjadi lebih luas, hidung kelihatan lebih mancung dan tulang pipi lebih naik.

MRV yang direka di Itali sesuai untuk semua peringkat umur.

Anda mempunyai pilihan untuk penjelmaan berjalur, jet berkilat , matte hitam atau perang tanah.

Uniknya, kanta cermin mata MRV menggunakan material berkualiti daripada Zeiss.

Anda mungkin menggayakan cermin mata yang berwarna gelap seperti hitam tetapi penglihatan anda tetap cerah seolah-olah kanta yang digunakan berwarna putih cerah.

Sebagai permulaan, MRV hanya menghasilkan 50 edisi untuk setiap jenis rekaan.

Selain Malaysia, MRV mula memasuki pasaran Singapura , Thailand, Indonesia, Vietnam dan Jepun mulai November ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Jangan ghairah buang sistem negara - Raja Nazrin

Posted: 10 Nov 2013 01:13 AM PST

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mengingatkan semua pihak khususnya orang Melayu supaya tidak terlalu ghairah dengan tuntutan pemodenan sehingga mudah "membuang" sistem negara termasuk institusi Raja-raja Melayu.

Malah, titah baginda, di sebalik gelombang globalisasi, rakyat perlu bijak mengimbangkan antara tuntutan tradisi dan permintaan terhadap pemodenan supaya 'air tempayan tidak terlalu cepat dicurahkan kerana mendengar guruh di langit'.

"Institusi raja pernah berdepan ujian getir sekitar 80-an dan 90-an, ketika orang Melayu begitu ghairah, merasakan dirinya cukup gagah, cukup hebat. (Ingatlah), institusi raja adalah penerusan tradisi untuk mengekalkan identiti negara bangsa, satu lambang kedaulatan, payung mahkota negara. Ia mungkin pelita lama tetapi kekal memancarkan cahaya.

"Pelita lama jangan terlalu cepat mahu dibuang kerana 'riak melihat fajar yang sedang menyingsing. Ingatlah, hari siang juga akan berakhir, jangan nanti bila senja mendakap malam, rakyat mula teraba-raba, hilang haluan diselubungi kegelapan malam, kerana pelita lamanya sudah tiada lagi," titah baginda dalam Kongres Profesor Negara II di sini hari ini.

Kongres anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) itu turut dihadiri Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengerusi MPN, Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Zakri Abdul Hamid.

Raja Nazrin bertitah, raja adalah simbol penyatuan dan payung kedaulatan negara yang memberi naungan saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum, agama dan kabilah politik. - UTUSAN ONLINE

Sudah tiba masa kandungan Internet ditapis - Tun M

Posted: 10 Nov 2013 01:08 AM PST

DR. Mahathir Mohamad menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah daripada Canselor Uniten, Tun Dr. Abdul Rahman Abbas (kanan) pada Majlis Konvokesyen Uniten ke-16 di Bangi, Selangor har ini. - UTUSAN

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Sudah tiba masanya kerajaan menggubal undang-undang baharu bagi mengawal serta menapis isi kandungan dalam Internet dan menghentikan akses kepada laman web yang tidak bermanfaat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, meskipun beliau sebelum ini tidak bersetuju kandungan Internet ditapis, namun peningkatan jumlah kes jenayah ketika ini memerlukan kerajaan mengambil langkah tersebut dengan segera.

Menurutnya, lambakan kandungan Internet yang menjurus kepada pornografi, penyebaran fitnah dan berita palsu telah memusnahkan nilai-nilai moral baik dalam kalangan generasi muda.

"Walaupun kerajaan sudah berjanji tidak akan menapis Internet tetapi perjanjian itu dibuat sebelum Internet berkembang luas. Hari ini, kita dapati media sosial mudah disalah guna dan menyumbang kepada bertambahnya jenayah termasuk melibatkan kes rogol dan bunuh," katanya.

Beliau berucap selepas dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Pengurusan Komunikasi dan Teknologi Maklumat pada Istiadat Majlis Konvokesyen Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ke-16 di sini hari ini.

Tambah Dr. Mahathir, walaupun langkah yang bakal diambil itu tidak selari dengan kebebasan bersuara serta hak asasi manusia, namun perlu dilakukan demi keamanan negara. - UTUSAN ONLINE

Laut bergelora: Nelayan dinasihat tidak ke laut

Posted: 10 Nov 2013 12:41 AM PST

Oleh TOREK SULONG

PASIR PUTEH 10 Nov. - Lebih 3,000 nelayan tradisional dan laut dalam di Kelantan dinasihatkan tidak turun ke laut berikutan keadaan laut bergelora dan berbahaya kepada sebarang aktiviti menangkap ikan mulai sekarang.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kelantan, Wan Mohd. Adnan Wan Ibrahim berkata, nelayan mesti akur terhadap nasihat pihak berkuasa terutama amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi yang lebih arif tentang keadaan semasa cuaca.

"Kita tidak mahu nelayan dari empat jajahan iaitu Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu dan Tumpat mengambil tindakan sendiri untuk mencari rezeki di laut. Sebarang tindakan keluar masuk ke laut perlu dilaporkan atau dilakukan secara berkumpulan," katanya ketika ditemui di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Gangguan air di Rembau, Tampin 12 November

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

SEREMBAN 9 Nov. - Penduduk di sekitar kawasan Rembau dan Tampin bakal mengalami gangguan bekalan air sementara berikutan pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air (LRA) Gemencheh, Tampin pada 12 November ini.

Pengurus Besar Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains), Zulkifli Ibrahim menjelaskan, pihak Sains akan menjalankan penutupan sementara bekalan air yang akan mengakibatkan gangguan di sekitar kawasan terbabit bermula 8 pagi (12 November) sehingga 8 pagi keesokan (13 November).

Katanya, di kawasan Rembau gangguan air melibatkan seluruh kawasan Kendong, Kota, Gadong, Legung Ulu, Legung Hilir, Bongek, Chengkau, Nerasau, Penajis, Miku, Selemak, Astana Raja, Air Melintang, Kampung Kuala Dadih, Semerbok, Kampung Durian Daun, Kampung Pulau Besar, Kampung Pulau Bukit, Kampung Pulau Mampat.

Ia juga melibatkan Kampung Fajar Harapan, Kampung Batang Nyamor, Kampung Chenong Ulu, Kampung Lada, Mukim Tanjung Kerling, Batu Hampar, Taman Seri Rembau Fasa 1,2,3 dan kawasan tanah lot, Kampung Chuai, Pekan Rembau, Sena Ulu dan Hilir, Kampung Rendah Kayu Ara, seluruh Kampung Senama.

Desa Permai Mampong, Kampung Mampong, Petronas Rembau, Shell Rembau, Pejabat Daerah Rembau, Majlis Daerah Rembau, Kampung Mulia, Kampung Seberang Sawah, Kampung Perigi Jernih, Kampung Tebing Tinggi, Kediaman Rasmi Undang Rembau dan Kuarters Pejabat Rembau akan turut terjejas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, di Tampin pula, kawasan terlibat ialah Kampung Keru, Taman Repah Baru, Kampung Repah, Kampung Seri Repah, Kawasan Industri Repah, Taman Gunung Mas, Kawasan Industri Gunung Mas, Taman Woon, Taman Bahagia, Taman Tampin, Kampung Baru.

Turut terlibat Hospital Baharu Tampin, Kampung Tampin Tengah, Kampung Dusun, Taman Tampin Jaya, Rumah Rakyat Repah, Kampung Kolam Air, Taman Bukit Tampin, Taman Sri Berlian dan Taman Rasa Sayang.

Di Gemencheh pula katanya, kawasan terlibat ialah Taman Orkid, Taman Gembira, Taman Gemencheh Baru, Ladang Regent, Taman Regent, Taman Muhibbah, Kawasan Batang Melaka dan Kampung Punggor.

Beliau menjelaskan, bekalan air akan disambung semula selepas waktu yang dinyatakan dan dijangka pulih secara berperingkat.

Bagaimanapun, katanya, beberapa kawasan tinggi dijangka mengalami gangguan lebih panjang memandangkan pemulihan bekalan air sepenuhnya akan mengambil masa.

Beliau meminta pengguna yang memerlukan perkhidmatan pada hari berkenaan supaya menghubungi talian bebas tol 1-800-88-6982.

Warga Bangladesh maut lori dipandu terbabas

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

MAYAT Md. Taizuddin Khan (kiri) di tempat kejadian setelah lori yang dipandu terlibat dalam kemalangan di kilometer 30 Jalan Bahau-Kemayan, Negeri Sembilan, malam kelmarin.

JEMPOL 9 Nov. - Seorang pemandu lori warga Bangladesh maut manakala kelindannya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan membabitkan tiga buah lori di simpang Lui Selatan malam tadi.

Kemalangan pukul 8.45 malam di Kilometer 30, Jalan Bahau-Kemayan itu menyebabkan Md. Taizuddin Khan, 41, maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Tukiman Seriman berkata, kelindan lori itu merupakan lelaki tempatan berusia 38 tahun cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Jempol.

Katanya, kemalangan berlaku apabila lori dipandu mangsa dari arah Kemayan dipercayai cuba memotong sebuah lori.

"Selepas memotong kenderaan itu mangsa cuba masuk ke laluan asal namun bahagian belakang kenderaannya bergesel dengan lori dipotongnya lalu terbabas ke bahu jalan kiri dan hilang kawalan.

"Lori itu kemudian terbalik dan masuk ke laluan bertentangan. Ketika itu muncul sebuah lori lain dan bertembung dengan lori mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tukiman berkata, mangsa yang cedera parah terpaksa dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Balai Bandar Seri Jempol.

Katanya, mangsa yang telah berkahwin dengan wanita tempatan serta mempunyai anak itu baru mengambil bekalan barang makanan mentah untuk jualan.

"Berikutan keadaan lori dipandu mangsa yang terbalik, bekalan barang basah seperti ikan dan sayur-sayuran bertaburan di atas jalan.

"Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," kata beliau.

Pelajar perubatan ditemui mati

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

KUALA PILAH 9 Nov. - Seorang pelajar lelaki tahun tiga jurusan perubatan di sebuah universiti awam ditemui mati dalam bilik ibu bapanya dengan kesan jerutan di leher di Taman Bukit Pilah Perdana di sini kelmarin.

Mayat Loo Alvern, 21, ditemui ibunya yang berusia lingkungan 50-an dalam keadaan tertiarap serta kepala berselubung plastik putih dalam bilik tidur kira-kira pukul 12 tengah hari.

Pelajar terbabit yang merupakan anak sulung daripada dua beradik sebelum itu gagal dihubungi oleh keluarganya.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Azmi Abdul Rahim berkata, siasatan awal polis menemukan tali pinggang yang telah terputus dan diikat pada jeriji tingkap bilik itu.

Tali pinggang itu dipercayai terputus menyebabkan mangsa tersembam ke lantai sehingga sebahagian daripada mukanya cedera.

Tiada kecederaan lain atau kesan pergelutan ditemukan malah semua pintu serta tingkap berkunci sebaik sahaja ibunya tiba di rumah," katanya ketika dihubungi hari ini

Azmi menambah, berdasarkan siasatan lanjut polis mendapati keadaan dalam rumah keluarga itu tidak berselerak dan tiada barang-barang yang hilang dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mingguan Malaysia difahamkan, Alvern pulang ke rumah keluarganya sempena cuti semester sejak Ahad lalu. Kejadian ini dipercayai mempunyai kaitan dengan permohonan Alvern untuk menukar jurusan pengajian bidang perubatan kepada bidang lain sejak pertengahan Ogos lalu.

Mayat pelajar terbabit dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


1,094 sekolah ada internet 4G

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada pengetua dan guru besar yang menghadiri majlis perasmian Hari Profesionalisme 1BestariNet di UTAR, Kampar, Perak, semalam.

KAMPAR 9 Nov. - Sebanyak 1,094 sekolah rendah dan menengah di negeri ini telah dilengkapi kemudahan internet 4G dan Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) menerusi projek 1BestariNet.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, projek itu yang merupakan salah satu inisiatif kerajaan yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025, bertujuan memudahkan pelajar di sekolah terlibat mendapat akses internet berkelajuan tinggi.

Menurut beliau, menerusinya, pihak sekolah berpeluang menggunakan kemudahan capaian Internet YES 4G, penggunaan aplikasi Frog VLE dan penggunaan teknologi cloud computing yang merupakan yang pertama di dunia.

''Setakat ini hampir kesemua sekolah di negeri ini termasuk melibatkan perkampungan Orang Asli telah dilengkapi sistem 1BestariNet. Kalau adapun yang belum cuma beberapa sekolah rendah di pedalaman.

''Sistem ini secara tidak langsung telah memberi manfaat kepada 41,000 guru, 420,000 murid dan kira-kira 688,000 ibu bapa di seluruh negeri ini," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Profesionalisme 1BestariNet Pengetua dan Guru Besar Sekolah-sekolah Negeri Perak di sini hari ini.

Hari Profesionalisme yang diadakan di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) itu merupakan kali keenam diadakan setelah di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang dan Terengganu.

Majlis tersebut yang bertujuan memberi penerangan khusus berhubung projek 1BestariNet itu turut dihadiri para pengetua serta guru-guru besar dari hampir semua sekolah di negeri ini.

Yang turut hadir Pengarah Eksekutif YTL Corporation, Datuk Yeoh Soo Keng dan Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Muhamat Roli Hassan.

Tambah Zambry, satu manfaat yang sangat penting dan ketara adalah keupayaan 1BestariNet untuk memberikan akses yang sama rata kepada pendidikan yang berkualiti dan bertaraf global kepada semua sekolah-sekolah termasuk di luar bandar.

''Kita tidak boleh mengabaikan teknologi atau penggunaan internet dalam kehidupan seharian begitu juga dalam pendidikan. Untuk itu, kita perlu mengenal pasti bagaimana untuk memanfaatkan teknologi ini bagi membangunkan pendidikan di negara kita secara amnya dan di negeri Perak khususnya.

''Justeru, saya amat menghargai usaha kementerian dalam melaksanakan projek 1BestariNet. Projek ini memberikan ruang dan potensi yang sama kepada semua anak-anak kita tidak kira latar belakang mereka," katanya.

Dalam masa sama, Zambry turut menyeru supaya pengetua dan guru besar memanfaatkan sebaiknya teknologi itu, sekali gus dapat membantu membangunkan taraf pendidikan di negeri ini.

Masa untuk UMNO kembali bersatu - Zambry

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

IPOH 9 Nov. - Semua ketua ketiga-tiga sayap UMNO bahagian di negeri ini diminta kembali menyatupadukan ahli-ahli di tempat masing-masing dan mula menggerakkan aktiviti parti selepas pemilihan bulan lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, langkah tersebut penting bagi memberikan kekuatan kepada parti supaya terus berada di atas landasan untuk berjuang dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri ini.

"Saya harap mereka akan terus menyumbang dan meningkatkan usaha-usaha untuk memberikan perkhidmatan untuk memenangi hati rakyat dan jangan kita ketinggalan dari sudut aktiviti parti.

"Mereka juga perlu bekerjasama antara mereka dan mewujudkan hubungan yang baik di peringkat baik terutamanya dengan ketua bahagian. Kita seperti sebuah keluarga dan sebagai sayap, mereka mempunyai ketua sendiri iaitu ketua bahagian," katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan ringkas dengan semua Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian di negeri ini di Bangunan UMNO Perak di sini semalam.

Pertemuan tersebut merupakan sesi suai kenal bagi Zambry mengenali ketua-ketua ketiga-tiga sayap UMNO dari 24 bahagian di negeri ini yang sebahagian besarnya adalah kepimpinan baharu.

Menurut Zambry, dalam pemilihan lalu, sebanyak 13 daripada 24 ketua Wanita UMNO bahagian di negeri ini terdiri daripada kepimpinan baharu.

"Pemuda pula mempunyai sebanyak 17 ketua baharu manakala Puteri 16 ketua baharu. Ini bermakna, keseluruhannya sebahagian besar kepimpinan ketiga-tiga sayap ini adalah kepimpinan baharu.

"Saya yakin mereka telah tunjukkan dan memberikan komitmen yang tinggi dan sumbangan kepada perjuangan parti," katanya.

YBU henti mohon pinjaman secara online

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

SUNGAI SIPUT 9 Nov. - Yayasan Bina Upaya (YBU) Perak telah menghentikan permohonan bantuan pinjaman makro kredit yang dibuat secara online sejak dua bulan setelah mengesan ada permohonan yang memberikan maklumat peribadi tidak betul.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Ismail Sofian menegaskan, pihaknya berjaya mengesan beberapa kes sedemikian yang bertujuan untuk memudahkan pinjaman mereka diluluskan.

"Penipuan maklumat mudah dilakukan kerana menerusi permohonan secara online, pemohon cuma perlu mengisi borang yang disediakan di dalam sistem dan kemudiannya dihantar tanpa perlu pengesahan daripada pihak berkenaan.

"Memang kita berjaya mengesan beberapa kes maklumat peribadi yang disertakan oleh pemohon, tidak benar," katanya selepas program Khidmat Turun Padang Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang di Dewan Terbuka Felda Lasah dekat sini hari ini.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Zolkafly Harun.

Ismail menjelaskan, di bawah skim pinjaman makro kredit, YBU menyediakan pinjaman dari RM20,000 hingga RM60,000 untuk membantu pengusaha atau peniaga kecil meningkatkan perniagaan mereka.

Menurutnya, sebaik sahaja menerima permohonan secara online, pegawai YBU akan menemui pemohon untuk membuat penilaian lanjut.

"Namun, maklumat yang diberikan oleh pemohon menerusi online tidak sama dengan apa yang kita lihat dan ini mengelirukan, jadi YBU membuat keputusan menghentikan permohonan seumpama itu.

"Jika permohonan dibuat menerusi ketua kampung atau wakil rakyat, mereka boleh membuat tapisan dan mengesahkan seseorang pemohon itu layak atau tidak untuk mendapat pinjaman," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, YBU sedang dalam usaha menarik pihak swasta untuk memberikan sumbangan bagi meneruskan program membantu rakyat.

"Buat masa ini, YBU bergantung kepada peruntukan kerajaan negeri dan memerlukan sumber kewangan tambahan untuk memberikan khidmat lebih menyeluruh," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Anak guru warga Britain ditemui

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Saya sudah bosan dengan FAM

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Jadi peladang yang progresif - PM

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved