Sabtu, 9 November 2013

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


NGO pencetus perpaduan

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

Oleh SOFIAN BAHAROM
sofian.baharom@utusan.com.my

Ibrahim Ali (belakang empat dari kanan) bersama Ahmad Maslan (lima dari kanan), U. Thamotharan (dua dari kanan) , Choy Chee Wai dan sebahagian kanak-kanak pelbagai kaum bergambar sempena Majlis Rumah Terbuka Deepavali di Taman Bolton, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Pertubuhan berasaskan kaum dan agama di negara ini bukan sahaja menjadi pencetus persefahaman antara rakyat tetapi juga pemangkin kepada perpaduan nasional.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, kewujudan pertubuhan-pertubuhan seumpama itu yang menjalankan kerjasama erat antara satu sama lain ternyata mampu menghasilkan imbangan sosial berkesan.

Katanya, kombinasi antara semangat jati diri kaum dengan aspirasi kebangsaan dapat melahirkan masyarakat beridentitikan Malaysia tulen yang mampu mengekalkan kestabilan, bukan berbahaya seperti didakwa segelintir pihak.

Beliau percaya ketelusan kesemua pertubuhan itu dalam mengangkat semangat perpaduan dan Perlembagaan Persekutuan dapat menghindari sebarang ketegangan kaum atau agama, malah perselisihan faham antara masyarakat pelbagai budaya di negara ini.

"Titik ketegangan kaum tidak dimulakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi parti-parti politik tegar yang memodalkan isu perkauman terutama selepas Pilihan Raya Umum 2008. Perkara ini jelas dengan sentimen yang dimainkan DAP terhadap masyarakat Cina.

"Kita NGO pelbagai kaum berganding bahu dalam mempromosikan perpaduan nasional seperti hari ini. Kita Perkasa, Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru Malaysia (Perinbam) dan Persatuan Cina 1Malaysia (Percisama) bersama-sama menjayakan majlis Deepavali ini," katanya kepada pemberita dalam majlis Sambutan Deepavali 2013 anjuran Perinbam di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan; Presiden Perinnbam, U. Thamotharan dan Presiden Percisama, Choy Chee Wai.

Seminar Hala Tuju Ayahanda himpun NGO Melayu

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

Syed Husain Al-Shahab (tiga dari kiri) mengadakan sidang akhbar selepas memberi taklimat kepada sebahagian NGO Melayu di Kuala lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Sebanyak 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu bertaraf Ayahanda akan berhimpun dalam Seminar Hala Tuju Kepimpinan Ayahanda di ibu negara pada 23 November ini.

Seminar yang julung-julung kali diadakan itu diharap dapat menyusun kembali perjuangan setiap NGO untuk mendaulatkan martabat kaum Melayu, agama Islam dan tanah air.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Ayahanda SeMalaysia (YAS), Syed Husain Al-Shahab berkata, kesemua NGO yang menyertai seminar berkenaan adalah berbai'ah dengan taraf Ayahanda dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Matlamat kami melalui penganjuran seminar ini adalah untuk mengangkat kedudukan ayahanda-ayahanda sebagai tulang belakang dan tonggak perpaduan Melayu, benteng pertahanan syiar Islam dan pendokong kedaulatan institusi raja-raja Melayu dan pejuang setia negara," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas program taklimat khas bersama para pemimpin daripada 50 NGO Melayu bertaraf Ayahanda bersempena penganjuran seminar tersebut.

Dalam pada itu, Syed Husain berkata, seminar itu juga akan dijadikan platform untuk membersihkan persepsi masyarakat dan memberi penerangan mengenai tanggungjawab sebenar NGO bertaraf Ayahanda.

"Saya ingin memberi penekanan bahawa YAS serta semua NGO Melayu ini menyokong tindakan polis melaksanakan Op Cantas dan kami berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap ayahanda-ayahanda yang songsang dan mengingkari undang-undang negara," katanya.

Menurut Syed Husain, penubuhan YAS adalah sebagai badan penyelaras dan perantara kepada semua NGO Melayu bertaraf Ayahanda di negara ini untuk menghimpunkan isu dan permasalahan yang dapat diutarakan kepada pemimpin negara.

"Saya ingin menyarankan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mewujudkan menteri yang khusus menjaga NGO termasuk NGO berbai'ah bertaraf Ayahanda.

"Memang kita tahu NGO perlu didaftar dengan ROS di bawah Kementerian Dalam Negeri tetapi kita perlukan menteri yang khusus agar semua garis panduan, bantuan dan pelaksanaan benar-benar sampai ke akar umbi," katanya.

Maritim Malaysia patahkan cubaan seludup PATI

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

SHAH ALAM 9 Nov. - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mematahkan cubaan menyeludup masuk tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas menahan mereka bersama seorang tekong warga Indonesia di perairan Selangor kelmarin.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia Daerah Maritim 4 Klang, Kepten Maritim Christopher Ravindran Dass berkata, sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang menjalankan operasi penguatkuasaan kira-kira pukul 7.30 malam mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan dan bergerak laju dipercayai dari negara jiran.

"Setelah diamati bot tersebut tidak mempunyai nombor pendaftaran. Pasukan kami cuba menahan bot tersebut tetapi pemandunya memecut laju menghala ke daratan.

"Setelah dikejar, bot peronda Maritim Malaysia berjaya menahan bot pancung itu yang tidak mempunyai nombor pendaftaran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Christopher berkata, setelah diperiksa pihaknya mendapati tekong bot itu cuba membawa masuk tiga penumpang berusia 28 hingga 45 tahun iaitu dua lelaki dan seorang wanita Indonesia yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan tidak lebih enam sebatan dan penjara tidak melebihi 10 tahun.

"Bot pancung berkenaan telah ditunda ke jeti Maritim Malaysia Klang untuk tindakan lanjut," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Rebat air bukti kerajaan prihatin

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

Hasni Mohammad (kanan) beramah-mesra dengan penuntut UTM Skudai yang menyertai Program Tintec di Kampung Parit Marjunit, Benut, Pontian, semalam.

PONTIAN 8 Nov. - Peluasan Program Rebat Air daripada 20 kepada 35 meter padu yang dibentangkan dalam Bajet Johor 2014 adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, kini terdapat 825 akaun golongan miskin dan miskin tegar yang menerima rebat sejak langkah tersebut diperkenalkan pada November 2010.

"Bilangan penerima dijangka bertambah apabila senarai mereka yang layak diperoleh dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) setiap daerah. Ini adalah tanda terima kasih kerajaan negeri kepada rakyat, selain menepati janji sebagaimana manifesto Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.

"Bukan sahaja mereka yang miskin dan miskin tegar tetapi penerima bantuan JKM dan MAINJ turut menerima program rebat yang diumumkan itu," katanya selepas merasmikan Program Titian Ilmu Anak Desa Teknologi Desa Lestari (Tintec) di Kampung Parit Marjunit, Benut di sini hari ini.

Beliau mengulas Bajet 2014 Johor yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan tema "Muafakat Pembangunan dan Pengagihan" dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, Nusajaya semalam.

Yang turut hadir, Pengetua Kolej 9 -10, Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Madya Dr. Ab. Latif Ibrahim; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kawasan 3 Mukim Sungai Pinggan, Kasmadi Suboh dan Penghulu Mukim Sungai Pinggan, Zulkifle Tubee.

Sebanyak 164 orang siswa dan siswi dari UTM menyertai program selama tiga hari dua malam dengan kerjasama JKKK Kawasan 3 Mukim Sungai Pinggan.

Bajet Johor 2014 memberi penekanan kepada empat strategi utama iaitu mencorak ekonomi mapan, meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkasa dan merakyatkan kerajaan dan melahirkan modal insan yang berketerampilan.

Menurut Hasni, JKM dan MAINJ diharap bersedia dengan keperluan ini serta menyenaraikan mereka yang benar-benar layak untuk dimajukan kepada pihak yang akan menyelaraskan program ini.

"Peluasan program ini lebih menyeluruh dalam usaha kerajaan meringankan beban golongan rakyat kurang berkemampuan berdasarkan kelayakan mereka. Penerima bukan sahaja masyarakat di luar bandar tetapi juga mereka yang berada di bandar, berdasarkan senarai e-Kasih yang akan dikeluarkan kelak," ujarnya.

Menyentuh tentang program, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut menyambut baik kesediaan penuntut institusi pengajian tinggi berkongsi pengetahuan dengan masyarakat desa sebagai pemimpin masa hadapan dan menabur bakti sebelum memasuki alam kerjaya selepas tamat pengajian.

Pukul isteri: Pekerja ladang ditahan

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Suspek kes pukul isteri diiring oleh seorang anggota polis selepas mendapat perintah reman untuk siasatan lanjut di Segamat, semalam.

SEGAMAT 8 Nov. - Polis menahan seorang pekerja ladang berusia 30 tahun selepas dia didakwa memukul isterinya dengan topi keledar di hadapan empat orang anak mereka kelmarin.

Menurut mangsa, kejadian itu bukan yang pertama kerana dia sebelum ini pernah dipukul beberapa kali oleh suaminya itu.

Bagaimanapun, kali ini, isterinya yang tidak lagi mampu bersabar dengan sikap baran suaminya itu telah membuat laporan polis.

Bertindak atas laporan berkenaan, sepasukan polis menahan lelaki berkenaan kira-kira pukul 3 pagi di Bekok dekat sini.

Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd. Kamil Sukarmi berkata, mangsa mendakwa sudah tidak tahan lagi kerana sering dipukul oleh suaminya.

"Mangsa yang juga berumur 30 tahun mendapat kecederaan di bahagian belakang kepala dan empat jari kirinya juga bengkak dipercayai dipukul menggunakan objek keras.

"Menurut mangsa, dia dipukul pukul 4.30 petang di hadapan empat anak perempuan mereka yang berusia antara dua hingga lapan tahun di kuarters kediaman pekerja kilang kelapa sawit di daerah Kluang," katanya di sini.

Menurut Mohd. Kamil, mangsa pernah bertanya kenapa dia dipukul tetapi suspek enggan memberitahu sehingga mengakibatkan mangsa berada dalam keadaan tertekan.

Suspek juga seringkali meninggikan suaranya sehingga menyebabkan pergaduhan mereka didengari oleh jiran-jiran dan membuatkan mangsa berasa malu.

"Demi menjaga nama baik suami dan kerukunan rumah tangga mereka, mangsa sanggup bersabar namun kejadian terbaru yang mengakibatkan kecederaan fizikal yang teruk memaksa mangsa untuk membuat laporan polis.

"Dengan kerjasama pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan IPD Segamat, kami telah menahan suspek yang cuba menyembunyikan diri di Bekok. Turut ditemui bersama suspek ialah topi keledar yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa," katanya.

Beliau memberitahu, suspek kini ditahan reman hingga hari ini untuk untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan kerana melakukan serangan dan mendatangkan kecederaan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Feminin

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Ilham tulen Arca Creation

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

KAFTAN pendek bersulam mewah menjadi pilihan ramai.

SAINGAN yang sengit dalam perniagaan fesyen membuatkan seseorang pereka atau pengusaha butik perlu sentiasa kreatif demi melahirkan sesuatu rekaan. Walaupun terdapat pereka yang gemar meniru rekaan pereka lain, namun tindakan itu tidak akan bertahan lama kerana lambat-laun orang ramai akan mengetahuinya juga.

Justeru, rekaan yang tulen dan lahir daripada ilham sendiri memberikan kepuasan dalam sesuatu rekaan. Dari situ, seseorang pereka akan dapat menilai rekaan bagaimana yang disukai pelanggan.

Inilah yang menjadi pegangan pada rekaan yang terdapat di Arca Creation. Sentiasa memikirkan rekaan yang menjadi pilihan ramai, Arca Creation lebih banyak menambahkan renda dan sulaman kerawang pada rekaannya.

Setiap fesyenseperti blaus, baju kurung moden dan kaftan akan direka sendiri dan kemudian dipadankan dengan warna fabrik serta renda dengan tambahan jahitan manik.

Bersama-sama menyumbangkan idea dengan tukang jahit, rekaan yang memberikan kepuasan hati kepada kedua-duanya akan dilaksanakan.

Setiap rekaan akan dibuat dalam enam pilihan warna-warna menarik yang menjadi trend pada masa kini.

Menggunakan fabrik bermutu tinggi, cantik dan selesa seperti syifon cerutti, renda dan songket, Arca Creation sentiasa menukarkan rekaan yang ada kepada rekaan baharu setiap dua minggu sekali.

Kaftan pendek bersulam mewah menjadi pilihan ramai bukan sahaja dalam kalangan pelanggan Melayu, malah daripada bangsa Cina juga. Kaftan ini boleh dipadankan sama ada dengan kain, skirt atau seluar.

Begitu juga dengan baju kurung moden yang kebanyakannya ditambah dengan jahitan renda dan jahitan manik yang menjadikan baju tampak mahal dan bergaya.

Wangian Avon penuh keriangan

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

ONLY Imagine Eau de Parfum, wangian terbaru daripada jenama Avon.

RASAI keterujaan saat tidak terduga dengan Only Imagine, wangian terbaru daripada Avon yang penuh keriangan. Haruman itu nyata merangsang imaginasi dan menginspirasi diri untuk menyelami saat-saat terindah dalam hidup.

Saat wanita sejati melalui perjalanan hidup yang penuh mengujakan, kesegaran flora daripada wangian ini menemani setiap langkah dalam menjadikan segala impian mampu menjadi kenyataan.

Nikmati saat-saat mengujakan dengan sentuhan kemilau epal hijau berulit kemewahan putik violet dan kasturi lembut itu.

Only Imagine Eau de Parfum didatangkan dalam botol elegan berona ungu ombre dan ungu ceria yang melambangkan pelbagai sisi seorang wanita, feminin serta riang, namun kuat, tabah serta yakin dengan nilai dirinya.

Only Imagine mula berada di pasaran pada 1 November lalu di semua wakil dan Butik Kecantikan Avon seluruh negara.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Dalam Negeri

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Tubuh Dana Perniagaan Sosial

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

NAJIB Tun Razak ketika hadir merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Sosial Global 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam. Turut hadir Profesor Muhammad Yunus (dua dari kanan) yang juga penerima Hadiah Nobel Keamanan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Tabung Belia MyHarapan, Nurfarani Daing (dua dari kiri) dan Hans Reitz (kanan). - BERNAMA

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan Dana Perniagaan Sosial bagi memperkasa golongan belia dan membantu menyelesaikan masalah sosial yang tidak dapat ditangani secara sendirian oleh kerajaan.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, dana dengan permulaan RM20 juta akan diselia Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) dan mana-mana pihak yang mahu menjayakan aktiviti memperkasakan sosial boleh memohon.

"Objektif kerajaan melalui penubuhan dana ini ialah mewujudkan masyarakat yang lebih baik. Kerajaan mengakui tidak semua masalah berkait sosial dapat kita selesaikan secara sendirian walaupun pelbagai usaha telah dilakukan.

"Jadi melalui dana ini, saya berharap kita dapat memperkasakan golongan muda yang komited dengan aktiviti berteraskan sosial dan kemudian membantu kerajaan menyelesaikan beberapa aspek melibatkan masalah sosial secara bersama," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Sosial Global 2013 di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah; Ketua Sidang Kemuncak Perniagaan Sosial Global, Hans Reitz; Pengerusi Pusat Yunus, Prof. Muhammad Yunus dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah My Harapan, Ashran Ghazi.

Dalam pada itu, Najib memberitahu, beliau yakin dengan model perniagaan sosial yang bertindak sebagai pelengkap kepada sistem pasaran terbuka dalam menyediakan platform lebih baik bagi memperkasakan sesebuah masyarakat.

Katanya, berpegang kepada prinsip itu, kerajaan telah melaksanakan pelbagai transformasi terutama dalam aspek ekonomi untuk memastikan rakyat menikmati kehidupan lebih sempurna dan pada masa sama mencapai status negara maju.

Nahas Genting: Beberapa pihak bakal didakwa

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Beberapa pihak termasuk pengurusan sebuah syarikat perkhidmatan bas ulang-alik Genting Highlands bakal berdepan tindakan undang-undang susulan kemalangan maut di Kilometer 3.5, Jalan Genting HighlandsKuala Lumpur pada 21 Ogos lalu.

Perkara itu dinyatakan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas meneliti analisis Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang mendapati bas berkenaan dipandu laju ketika menuruni lokasi kemalangan terbabit.

Malah jelasnya, siasatan MIROS mendapati, kenyataan daripada mangsa juga menyokong bahawa pemandu bas itu telah memandu laju melebihi had laju yang ditetapkan iaitu 50 kilometer per jam.

''Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan membuat pengumuman mengenai tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak tertentu. Cuma saya nak minta mereka memastikan undang-undang memberi ruang untuk tindakan diambil terhadap pengurusan syarikat selain syarikat itu sendiri.

''Saya sudah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis dan SPAD untuk mengambil tindakan terbabit. Selain itu, salah satu tindakan yang boleh dipertimbangkan adalah menghentikan operasi syarikat berkenaan,'' katanya dalam sidang akhbar mengumumkan laporan nahas tersebut di sini hari ini.

Kemalangan di Kilometer 3.5, Jalan Genting Highlands itu meragut 37 nyawa termasuk pemandu bas selepas kenderaan yang dinaiki 53 orang tersebut terjunam 60 meter ke dalam gaung semasa menuruni jalan curam dari puncak pusat peranginan itu ke ibu negara.

Hishammuddin memberitahu, selain dipandu laju, kekurangan kecekapan fungsi brek pada bas tersebut akibat daripada keadaan pelapik brek yang haus di kedua-dua roda hadapan bas telah mengakibatkan bas gagal diperlahankan ketika menghampiri selekoh tajam di lokasi kemalangan.

Selain itu ujarnya, implementasi syarikat bas terhadap Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran (SHE), khususnya berkaitan aspek polisi keselamatan dan sokongan pengurusan, pengurusan pemandu, pengurusan kenderaan serta laluan dan risiko adalah tidak memuaskan.

''Bagi menjalankan fungsi penyiasatan ini, MIROS juga telah mengadakan 14 sesi perjumpaan dengan pihak-pihak tertentu secara berasingan bagi mendapatkan penjelasan lanjut, mengesahkan beberapa maklumat yang berbangkit dan mendapatkan pandangan berkaitan penambahbaikan yang praktikal dan efektif.

''Selain siasatan MIROS, SPAD dan polis juga turut menjalankan siasatan berasingan mengikut skop dan bidang kuasa masing-masing, khususnya dalam aspek pelesenan kenderaan komersial dan undang-undang,'' tegasnya.

Katanya, kerajaan amat serius dan konsisten dalam menangani isu keselamatan jalan raya dan sebagai langkah segera, pihak kementerian bersetuju melaksanakan beberapa strategi terutama langkah-langkah keselamatan di Genting Highlands.

Strategi itu adalah:

l Penubuhan seksyen baharu di JPJ dikenali Seksyen Profil Pemandu yang memberi fokus kepada isu-isu pemanduan dengan JPJ berkuasa menggantung atau membatal lesen memandu.

l Penempatan pegawai JPJ dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Genting Highlands untuk menjalankan pemeriksaan fizikal bas bagi menjamin keselamatan dari segi teknikal.

l Penguatkuasaan terhadap pemandu bas di Genting Highlands bagi memastikan kesihatan pemandu di tahap baik dan tidak memandu di bawah sebarang pengaruh dadah atau alkohol.

''Dengan pelaksanaan inisiatif terbabit yang akan berkuatkuasa 1 Disember ini, adalah diharapkan ia dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan di kawasan tanah tinggi tersebut di samping meningkatkan keyakinan pengunjung mengenai tahap keselamatan jalan raya dan pengangkutan awam,'' tambahnya.

Naik taraf perjawatan untuk perkasakan JPAM - Zahid

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

DAUD Tahir menyematkan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) kepada 40 pegawai dan anggota JPAM yang terlibat dengan Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah dalam Majlis Perasmian Himpunan Pertahanan Awam Malaysia Ke-19, 2013 di Port Dickson, Negeri Sembilan, malam semalam. - UTUSAN/MD. SHAHJEHAN MAAMIN

TELOK KEMANG 8 Nov. - Usaha menaik taraf perjawatan sedia ada dan menambah perjawatan baharu adalah antara langkah yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dalam usaha memperkasakan jabatan berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jabatan itu akan menambah aset operasi dan logistik, memasang sistem amaran awam, menaik taraf pejabat operasi daerah, membina menara penyelamat pantai dan membuka pejabat operasi baharu.

Beliau berkata, semua langkah berkenaan penting bagi memantapkan operasi JPAM seiring dengan perkembangan dan keperluan semasa.

"Memorandum mengenainya kepada Kabinet telah disediakan dan dalam peringkat akhir sebelum dibentang melalui Jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan Negara," katanya dalam majlis perasmian Himpunan Pertahanan Awam Malaysia ke-19, 2013 di Port Dickson dekat sini malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Pengurusan), Kementerian Dalam Negeri, Datuk Daud Tahir.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Pertahanan Awam Malaysia, Datuk Suleiman Keling.

Ahmad Zahid memberitahu, pembinaan ibu pejabat Pertahanan Awam di Sungai Merab, Selangor bernilai RM50 juta dan Pusat Latihan Pertahanan Awam fasa 2 di Kluang, Johor dengan kos RM50 juta adalah dua projek baharu yang akan dilaksanakan tahun depan.

Lebih 1,500 pegawai dan anggota JPAM dari seluruh negara menyertai himpunan selama tiga hari itu.

Pada majlis itu, Daud turut menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) kepada 40 pegawai dan anggota JPAM yang terlibat dengan Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


76,000 gagal bayar cukai

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

KULIM 8 Nov. - Seramai 76,000 pemilik premis kediaman, kilang dan tanah kosong dikesan gagal membayar cukai taksiran berjumlah RM1.7 juta kepada Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) dalam tempoh Januari hingga September lalu.

Yang Dipertuanya, Bukhari Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 59,300 melibatkan pemilik premis kediaman, sementara 10,102 lagi pemilik tanah kosong, 6,182 premis perniagaan sementara selebihnya premis kilang.

"Tunggakan cukai taksiran yang dicatatkan setakat ini adalah sebanyak RM10.5 juta sementara kutipan semasa pula RM8.9 juta," katanya di sini baru-baru ini.

Bukhari berkata, sehubungan itu, MPKK kini giat mengadakan pelbagai program bagi menggalakkan para pemilik premis membayar tunggakan terbabit.

Katanya, antara langkah yang diambil adalah mengadakan rundingan dan pengenalan sistem penjadualan semula tunggakan kepada pemilik premis terbabit.

"MPKK mengambil pendekatan lebih berdiplomasi iaitu membuka peluang kepada mereka mengadakan rundingan dengan kita. Pada tahun lalu, kita berjaya mengutip lebih RM14.5 juta cukai taksiran tertunggak," jelasnya.

Tambah beliau, bagi meningkatkan lagi perkhidmatan mengutip balik cukai, pihaknya turut memperkenalkan kemudahan kiosk pandu lalu di Dataran Usahawan Kulim, selain tambahan kaunter di pejabat cawangan Padang Serai pada setiap hari Ahad.

"Di samping itu, para pemilik premis boleh membayar cukai menggunakan kaedah perbankan elektronik dan melalui kaunter bank terpilih," katanya.

Beca bakal diperkenal semula di Ipoh

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

IPOH 8 Nov. - Beca bakal diperkenalkan semula di bandar raya ini jika draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pekan Ipoh diluluskan tanpa sebarang bantahan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, usul mengenai perkara berkenaan merupakan salah satu daripada inisiatif yang dirancang Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di bawah RKK.

Menurutnya, beca begitu popular sebelum ini di Ipoh dan pengenalan semula pengangkutan itu mampu menjadi tarikan baharu untuk pelancong datang ke sini.

''Terdapat ramai penarik beca di bandar ini pada tahun 1980-an namun kini kelibat mereka hanya boleh dilihat di Pulau Pinang dan Melaka sahaja.

''Oleh itu, kita berhasrat memperkenalkan semula dan jika semuanya berjalan seperti yang dirancang, kita boleh lihat mereka berlegar-legar di bandar Ipoh semula dan membawa pelancong mengelilingi bandar," katanya di sini baru-baru ini.

RKK diwujudkan sejak 2012 bertujuan merancakkan Ipoh Old Town dan Ipoh New Town bagi tempoh 2014-2029 dan sebanyak RM12 bilion diperuntukkan bagi tujuan pembangunan berkenaan.

Selain itu, RKK juga diwartakan sebagai pelan pengurusan warisan untuk membantu pihak MBI dalam menguruskan bangunan yang dianggap sebagai aset kepada bandar Ipoh dan juga negara.

Roshidi berkata, RKK akan dipamerkan kepada orang awam di Ibu Pejabat MBI November ini.

''Kami mengalu-alukan orang awam, pembayar cukai dan pemegang saham untuk memberikan pandangan dan objektif mereka mengenai apa yang kita rancang itu," katanya.

Dalam pada itu, Roshidi berkata, Ipoh turut dikenali melalui bangunan bersejarahnya yang mempunyai nilai warisan dan tarikan pelancong.

Justeru, kata beliau, aspek pemuliharaan bangunan berkenaan sentiasa dititikberat pihaknya sehingga kini.

''Ipoh juga merupakan salah satu bandar di negara ini yang mempunyai banyak bangunan praperang. Oleh itu di samping kita meluluskan permit bagi pembangunan baharu, kita juga sentiasa memikirkan secara serius untuk memelihara aspek warisan bandar ini," katanya.

Enam lelaki ditahan, barangan RM7,000 dirampas

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

MOHD. Nadzri Hussain menunjukkan gambar suspek masih bebas bersama barangan curi yang berjaya dirampas ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau, semalam.

ARAU 8 Nov. - Polis percaya dapat menyelesaikan 10 kes pecah rumah di daerah ini sejak pertengahan bulan lalu ekoran tertangkapnya enam suspek termasuk tiga daripadanya memiliki rekod jenayah lampau di daerah ini dan Kodiang, Kedah, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Arau, Supritendan Mohd. Nadzri Hussain berkata, polis turut merampas tiga buah mesin gergaji kayu, sebuah mesin rumput, sebuah mesin pembancuh simen, sebuah mesin gerudi, seunit pemotong besi, dua amplifier, dua periuk nasi dan sebuah dapur.

Katanya, kesemua suspek berusia 20-an hingga 40-an itu melakukan perbuatan pecah rumah dan mencuri di rumah-rumah yang terletak di dalam kampung selain stor penyimpanan alat-alat pertukangan dan juga peralatan memasak.

Beliau berkata, selain menjual barangan yang dicuri, suspek turut menggunakannya sendiri.

"Kesemua suspek yang ditahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) kerana kesalahan mencuri, Seksyen 380 KK atas kesalahan mencuri dalam bangunan dan Seksyen 457 KK kerana melakukan pecah rumah di waktu malam telah dihadapkan ke mahkamah pada 1 dan 8 November lalu," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Katanya, pihaknya kini sedang mencari seorang lagi lelaki dikenali sebagai 'Azri' @ 'Angah' yang berusia 20-an.

"Orang ramai diminta memberi maklumat kepada pihak polis jika mengenali lelaki itu yang bertubuh kurus dengan ketinggian 167 sentimeter.

"Maklumat boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Arau, Asistan Supritendan, Sarip Salleh menerusi talian 04-9862222 atau 019-3334940," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Bandar baharu di Bukit Kepok

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

HASAN Rahman (dua dari kiri) bersama Murad Husin (kiri) dan Hairulzamani Othman (dua dari kanan) menunjukkan isyarat bagus semasa merasmikan Medan Selera Bukit Kepok, Merlimau di Jasin, Melaka, semalam.

JASIN 8 Nov. - Kerajaan negeri bercadang untuk mewujudkan sebuah bandar baharu di Bukit Kepok, Merlimau di sini bagi menampung keperluan kampus baharu Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang akan mula beroperasi tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, pembinaan bandar baharu di kawasan itu berada dalam perancangan dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) menyediakan 'blue print' tentang projek tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif tentang perkara ini dan bakal dirangka serta dilaksanakan segera sejurus selepas kampus baharu UiTM mula beroperasi Mac tahun hadapan.

"Pembangunan bandar baharu ini diharap dapat menggalakkan lebih ramai usahawan Melayu berniaga kerana UiTM memerlukan lebih banyak infrastruktur bagi membolehkan mereka bertapak dengan selesa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Medan Selera Bukit Kepok, Merlimau di sini semalam.

Yang hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Murad Husin dan Pengurus Industri dan Ruang Niaga Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Hairulzamani Othman.

Jelas Hasan, pembangunan bandar baharu itu kelak akan turut membantu memeriahkan lagi aktiviti usahawan dan peniaga kecil di kawasan berkenaan.

"Malah, saya juga percaya kewujudannya akan menjadikan medan selera ini kawasan tumpuan dan tempat berkumpulnya para pelajar universiti.

"Justeru, saya berharap pihak MPJ dan PKNM dapat menyediakan kemudahan internet bagi membolehkan pelajar mendapatkan akses dengan lebih mudah," jelasnya.

Medan Selera Bukit Kepok yang mengandungi enam unit kedai termasuk empat kedai makan dan dua pasar basah itu telah disiapkan sepenuhnya pada Julai 2011 dengan kos sebanyak RM495,000.

"Medan selera yang ringkas ini diharap akan dapat memberi manfaat kepada para peniaga dan pelanggan kerana kedudukannya di tepi jalan," katanya.

Wanita kurang prihatin ujian mamogram

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Anderson Kandiah (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Noor Hidayah Nazeri yang dua anaknya kini dirawat di Hospital Putra sambil diperhatikan oleh K. Kamalanathan (tiga dari kiri) dan kakitangan hospital itu di Melaka, semalam.

MELAKA 8 Nov. - Tahap kesedaran golongan wanita berusia 40 tahun ke atas memanfaatkan ujian mamogram secara percuma menerusi subsidi kerajaan masih rendah di negeri ini.

Pengurus Kanan Hospital Pakar Putra, K. Kamalanathan berkata, tidak ramai golongan tersebut mengambil kesempatan menjalani ujian tersebut di hospital itu walaupun tidak dikenakan sebarang bayaran.

Menurutnya, walaupun hebahan telah dibuat tetapi kadar wanita berusia 40 tahun ke atas menjalani ujian mamogram masih rendah.

"Saya tidak tahu apa sebabnya atau mungkin golongan ini takut untuk menjalani ujian tersebut walaupun diberikan secara percuma.

"Ujian mamogram ini amat penting khusus bagi wanita berusia 40 tahun ke atas supaya mereka mengetahui tahap kesihatan dan mengelak daripada menghidap kanser payu dara.

"Jika penyakit kanser payu dara berada pada tahap satu atau dua, itu masih boleh dirawati tetapi jika sampai ke tahap tiga atau empat, maka sukar untuk dirawati," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan kakitangan Hard Rock Cafe Melaka yang menyampaikan sumbangan kepada 30 kanak-kanak di Hospital Pakar Putra di sini hari ini.

Sumbangan berupa pelbagai barangan kanak-kanak bernilai RM100 telah disampaikan Pengurus Hard Rock Cafe Melaka, Anderson Kandiah.

Kamalanathan berkata, pemeriksaan secara percuma itu dibiayai oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Program Saringan Kesihatan Perkeso.

Sehubungan itu, beliau meminta golongan wanita berusia 40 tahun ke atas untuk datang ke hospital itu bagi menjalani pemeriksaan secara percuma.

"Pemeriksaan hanya pada hari bekerja iaitu dari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.30 pagi hingga 5 petang," ujarnya.

Katanya, wanita yang perlu menjalani ujian tersebut termasuk ahli keluarga yang menghidap kanser payu dara, wanita yang belum berkahwin dan wanita yang tidak menyusukan anak.

Sementara itu Anderson berkata, sumbangan yang diberikan Hard Rock Cafe Melaka kepada kanak-kanak yang menjalani rawatan di Hospital Pakar Putra adalah sempena sambutan Deepavali.

"Ini adalah sumbangan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bukan sahaja dilakukan pada setiap sambutan perayaan di negara ini," katanya.

Majlis persaraan pengetua dirai penuh istiadat

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Norpisah Md Nor menaiki tandu yang diusung oleh para pelajarnya dalam majlis persaraan beliau yang berkonsepkan Raja Melayu Lama di SMK Dato' Haji Mohd. Redza di Sikamat, Segamat, semalam.

SEREMBAN 8 Nov. - Selepas berkecimpung dalam dunia pendidikan sejak 30 tahun, Norpisah Md. Nor, 56, diraikan guru-guru dan para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Haji Mohd. Redza, Sikamat dekat sini hari ini dengan adat bertandu berkonsepkan Raja Melayu Lama sebagai simbolik persaraan wajib beliau sebagai pengetua.

Norpisah ketika ditemui Utusan Malaysia menjelaskan, para pendidik perlu bersedia dalam menghadapi cabaran dalam mendidik pelajar demi menaikkan nama sekolah sejajar dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah disasarkan.

"Kepimpinan guru amat penting untuk terus mengungguli nama sekolah. Mereka perlu positif, berani menghadapi cabaran, berfikiran terbuka dan bersedia menunjuk arah dalam mendidik pelajar.

"Justeru itu, guru perlu mempunyai komitmen yang mantap dalam memperjuangkan kecemerlangan pendidikan. Guru yang berkualiti akan melahirkan anak didik berkualiti," katanya.

Beliau telah berkecimpung dalam bidang perguruan lebih daripada 30 tahun dan merantau ke Perak, Johor, Pahang, akhirnya kembali ke kampung halamannya di Negeri Sembilan

Norpisah turut menasihatkan pelajar meletakkan diri dalam golongan berilmu dengan tidak mensia-siakan peluang menuntut ilmu di sekolah kerana amat penting dalam persediaan menuju kejayaan.

"Jika kita nak berjaya, kita perlu berubah demi diri sendiri bukannya demi orang lain dan kita perlu sedar bahawa kelak kitalah pewaris dalam memimpin," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Muka Hadapan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


CEO YPJH dilucut gelaran Datuk

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

12 mayat masih sempurna

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Tubuh Dana Perniagaan Sosial

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Broken Link!

The content you are looking for is not available. You might had clicked on a broken link from another website or the content itself might have been removed.

You may want to consider our archive on

If you think there is an error, please click here to report and let us know.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved