BUKAN mudah untuk menjadi individu yang terbaik dalam semua perkara kerana fitrah manusia tidak ada yang sempurna.
Setiap orang inginkan yang terbaik dan mahu menjadi insan sempurna, namun ia tidak semudah yang diharapkan kerana Allah mencipta manusia dengan kekurangan dan kelebihan untuk diasuh supaya membaiki diri sepanjang hidup.
Naluri manusia inginkan yang terbaik, sedap mata memandang dan suka kepada pujian daripada orang sekeliling sehinggakan mereka sanggup melakukan apa sahaja demi kepuasan mereka walaupun kadang kala ia milik orang lain.
Ada ibu bapa memaksa anak-anak mengikut kehendak mereka kerana mahukan yang terbaik sehingga meninggalkan tekanan emosi yang amat perit kepada anak-anak yang memberontak termasuk juga dalam rumah tangga.
Inilah cerita yang akan dikongsi dengan pembaca minggu ini. Kisah yang dilalui oleh Kalsom (bukan nama sebenar ) dalam mencurah perhatian dan kasih sayang kepada anak menantu dan cucunya.
Apa yang terjadi dalam hidup Kalsom, kita sama-sama ikuti ceritanya.
Saya berusia lewat 50-an, mempunyai empat orang anak, seorang perempuan dan tiga lelaki. Menantu saya ada yang saya pilih sendiri dan pilihan anak-anak.
Saya tidak ada masalah dengan menantu lelaki dan menantu perempuan kerana kesemua mereka saya umpamakan seperti anak sendiri yang perlu ditegur jika bersalah dan memuji jika perlu.
Seperti ibu-ibu lain, ada ketikanya saya agak berkecil hati dengan anak-anak apabila calon pilihan untuk dijadikan isteri dan menantu saya mereka tolak, tapi saya tidak simpan di hati.
Yang saya berkenan adalah mereka yang kebanyakannya mempunyai latar belakang keluarga yang berasal dari kampung tetapi mereka berpendidikan dan boleh diambil sebagai menantu.
Sebagai seorang ibu, saya tidak mahu melukakan hati anak-anak yang sudah mempunyai pilihan hati masing-masing. Namun saya gembira kerana anak kedua saya mengikut kehendak saya dan kini mereka hidup bahagia serta telah pun mempunyai menantu dan seorang cucu.
Saya sangat-sangat bersyukur di atas kebahagiaan yang anak kedua saya nikmati sekarang, tetapi dalam menghadapi hidup bersama anak menantu ini, banyak juga dugaan yang saya hadapi.
Ada juga kisah anak menantu yang memeningkan kepala mentua. Tidak semua ibu bapa suka mengongkong hidup anak-anak. Jika ada pun sekadar untuk membaiki yang salah tetapi jangan sampai mereka bercakaran kerana sikap ibu bapa yang menjadi batu api menghasut dan akhirnya anak menantu menjadi mangsa perceraian.
Kehadiran seorang demi seorang menantu telah menambah keharmonian dalam keluarga, sama juga dengan saya. Seronok apabila mendapat menantu kerana kata orang, setahun kemudian menimang cucu pula.
Kini saya memiliki 10 orang cucu dan suasana menjadi semakin meriah bila semuanya berkumpul. Itu kisah keluarga harmoni, bagaimana pula dengan menguruskan keluarga masing-masing.
Suatu hari saya bertandang ke rumah salah seorang anak lelaki saya. Di mata saya, semuanya sempurna tetapi saya agak terkejut bila terjumpa beberapa biji pil perancang yang tersimpan di dalam bekas di kabinet dapur di rumahnya.
Untuk apa merancang jika hanya mempunyai seorang anak? Tidak manis untuk saya bertanyakan hal tersebut kerana ia terlalu peribadi. Saya diamkan sahaja dan mengalihkan pil-pil tersebut ke tempat lain. Biarkan mereka mencari atau mungkin juga boleh membelinya semula jika itu yang menjadi pilihan.
Ini kisah 25 tahun yang lalu dan sehingga kini mereka hanya mempunyai anak gadis tunggal. Satu hari, saya mendapat perkhabaran yang paling membahagiakan. Cucu saya, Shima (bukan nama sebenar) anak kepada anak lelaki yang saya ceritakan di atas akan dilamar orang.
Dia baru sahaja melangkah ke alam pekerjaan setelah menamatkan pengajian di IPTA. Sebagai anak tunggal dalam keluarga tentunya dia ditatang bagaikan seorang puteri.
Saya seperti tidak percaya, syarat yang dikenakan oleh anak dan menantu saya untuk menerima lamaran tersebut adalah bakal menantunya itu mesti tinggal dengan mereka kerana status anak tunggal tidak boleh berpisah dengan ibu dan ayah.
Setelah berbincang hasrat untuk menerima menantu terbantut kerana syarat yang dikenakan tidak dipersetujui oleh pihak lelaki. Tiga lamaran telah ditolak hanya kerana syarat yang dikenakan oleh anak menantu saya itu.
Sebagai ibu, saya nasihatkan mereka supaya tidak menyusahkan urusan pernikahan anak gadis yang sepatutnya dipermudahkan tetapi nasihat saya tidak langsung diendahkan.
Cucu saya tidak pernah membantah dengan tindakan ibu dan ayahnya. Satu hari, ketika sedang bersantai dengan keluarga, Shima menyatakan hasrat ingin menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Keputusan tersebut mendapat restu ibu dan ayahnya.
Setelah berbincang dengan majikannya, Shima berhenti kerja dengan maksud untuk menyambung pengajian.
Dalam tempoh sedang menuntut, cucu saya berkenalan dengan seorang jejaka warga asing. Orang sedang bercinta memang susah untuk dipisahkan.
Berbagai cara dilakukan oleh ibu dan ayahnya untuk menghalang mereka bernikah sehingga tercetus pertelingkahan antara anak dan ibu bapa dan memaksa seluruh keluarga campur tangan.
Soal jodoh, pertemuan dan maut tidak siapa boleh menolak. Akhirnya Shima bertemu juga jodoh dengan warga asing itu setelah ibu dan ayahnya terlalu memilih calon menantu. Kini mereka bermastautin di sana.
Mungkin juga itu jodoh mereka, tetapi ada ketikanya qada dan qadar boleh diubah dengan cara berdoa dan memudahkan sesuatu perkara dan bukannya menyusahkan.
Cucu saya pulang ke tanah air setahun sekali sahaja dan berhubungan dengan ibu dan ayah serta kami sekeluarga melalui maya, teknologi yang akhirnya menjadi pilihan untuk melepaskan rindu.
Saya tidak mampu lagi memberi nasihat kerana saya tahu kesilapan terletak di tangan anak menantu saya sendiri. Mereka yang mendidik, membesar dan menjadikan anak mereka begitu.
Mereka yang mencorak masa depan anak mereka. Tepat kata pepatah, kita hanya merancang, tetapi Allah yang jadi penentu.
Saya agak ralat dengan apa yang berlaku tetapi reda dengan ketentuan Ilahi. Saya hanya mampu berdoa dan mengharapkan cucu saya tidak terleka dalam dunianya sendiri.
Saya, ibu dan ayahnya telah memberi didikan agama yang cukup kepadanya dan saya hanya berdoa agar dia akan menjadi isteri yang solehah dan dapat membimbing suaminya ke jalan yang diredhai Allah di dunia dan akhirat.
Anak dan menantu saya? Menyesal pun sudah tidak ada gunanya lagi. Sudahlah hanya ada seorang anak, sekarang jauh pula di negara orang. Walaupun balik setahun sekali, tidak sama dengan anak menantu yang ada di depan mata dan boleh berkumpul bila terasa rindu.
Saya tidak mahu berkata apa-apa lagi dengan apa yang berlaku. Kadangkala saya sangat sedih dengan apa yang anak menantu saya ini lalui berbanding dengan yang lain.
Tetapi macam mana sekalipun, mereka tetap anak menantu saya, tak boleh nak ketepikan begitu sahaja. Saya harap pengalaman saya ini akan menjadi teladan kepada pasangan suami isteri lain.
Ada kalanya kita harus mendengar pandangan orang lain walaupun kita rasa kita bijak mengatur kehidupan sendiri terutama nasihat dan pandangan ibu bapa.
Saya tahu anak dan menantu saya itu sangat menyesal sekarang tetapi apa hendak dikatakan, semuanya sudah berlaku.
Ketika adik, abang dan kakak bersama keluarga masing-masing berkumpul di rumah saya sambil gelak ketawa, saya dapat lihat kesedihan di mata mereka.
Saya turut mengalir air mata melihat kesedihan mereka tetapi saya tidak dapat membantu. Saya doakan yang terbaik untuk mereka khususnya cucu saya yang kini hidup di negara orang dengan budaya, adat resam dan masyarakat yang berbeza.
Moga Allah lindungi keluarga saya dan berkati hidup kami di dunia dan akhirat," begitu harapan dan doa Kalsom menamatkan ceritanya.
Saya terkedu dengan cerita Kalsom. Begitu prihatin dan kasihnya beliau kepada anak menantunya. Perasaan dan hati seorang ibu menyerlah dalam cerita ini.
Saya berharap lebih ramai ibu-ibu dan mentua akan mengambil contoh sikap baik Kalsom ini untuk dimanfaatkan dalam kehidupan keluarga mereka.
Menamatkan catatan, pesanan saya, hidup berumah tangga tidak ada cubaan, ia hanya datang sekali. Jika tersilap langkah pasti membawa padah. Oleh itu, berhati-hati dalam meniti arus dan onak agar tidak hanyut atau tertusuk dek duri.
Salam.